You are on page 1of 5

Bahasa Melayu telah memainkan peranan yang signifikan sejak zaman dahulu, iaitu sebelum kedatangan pengaruh Barat

ke rantau Melayu. Merujuk kepada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Bahasa Melayu telah diisytiharkan dan diiktirafkan sebagai Bahasa Kebangsaan dan seterusnya Bahasa Rasmi negara Malaysia. Setelah menjadi rakyat Malaysia yang telah mencapai kemerdekaan sejak 50 tahun yang lalu, kita patut berasa bersyukur dan bangga kerana kita mempunyai bahasa kita yang tersendiri dan unik yang dianggap sebagai jati diri yang ulung selaras dengan misi Wawasan 2020. Justeru itu, rakyat Malaysia seharusnya menitikberatkan peranan Bahasa Melayu dan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di persada antarabangsa supaya negara Malaysia mampu muncul sebagai sebuah negara yang pesat dan setanding dengan negara-negara lain yang maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan China.

Secara amnya, Bahasa Melayu mempunyai enam fungsi utama iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan, bahasa ilmu, bahasa pengantar dan bahasa perdagangan. Bahasa kebangsaan adalah bahasa yang diberikan peranan untuk menampilkan identiti kebangsaan bagi sesebuah negara. Mengikut pandangan Asmah Hj. Omar (1993), beliau mentakrifkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa yang melambangkan identiti dan kedaultan negara. Bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa kebangsaan negara Malaysia kerana bahasa ini merupakan bahasa tempatan dan telah lama digunakan sebagai alat perhubungan dalam kalangan penduduknya. Walaupun terdapat bahasa-bahasa yang lain seperti bahasa Cina dan bahasa Tamil yang dituturkan oleh sebahagian rakyat Malaysia, namun bahasa tersebut tidak memperlihatkan identiti kebangsaan bagi negara Malaysia kerana bahasa-bahasa tersebut merupakan bahasa pendatang.

Bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa rasmi. Bahasa rasmi merupakan bahasa yang digunakan dalam urusan rasmi dan pentadbiran kerajaan bagi sesebuah negara. Menurut pendapat Asmah Hj. Omar (1993), beliau berpendapat bahasa rasmi ialah bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi, yakni dalam urusan pemerintahan dan pentadbiran, sistem pendidikan negara, urusan perdagangan dan perusahaan, upacara rasmi dan sebagainya. Bahasa rasmi adalah berbeza dengan bahasa kebangsaan kerana ia digunakan semata-mata untuk tujuan tertentu yang tidak perlu dikaitkan dengan nasionalisme. Pemilihan bahasa rasmi tidak semestinya bahasa tempatan tetapi boleh dipilih daripada bahasa asing. Sebelum negara Malaysia mencapai kemerdekaan, bahasa Inggeris

merupakan bahasa rasmi tetapi selepas negara Malaysia mencapai kemerdekaan, peranan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi telah diganti oleh bahasa Melayu.

Dari aspek bahasa perpaduan pula, bahasa perpaduan merupakan bahasa yang digunakan dalam sesebuah negara yang bermatlamat untuk menyatupadukan masyarakat yang berbilang kaum. Ini bermaksud bahasa Melayu berfungsi sebagai agen penyatuan masyarakat Malaysia. Bahasa Melayu turut menimbulkan perasaan cinta dan semangat kebangsaan dalam kalangan masyarakat menerusi fungsinya sebagai bahasa kebangsaan. Menurut Saad Md Yasin (2007), beliau menganggap bahawa penerimaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan oleh semua kaum di Malaysia adalah suatu tanda bahawa mereka menerima konsep bahasa Melayu sebagai bahasa yang dapat menyatupadukan masyarakat Malaysia.

Selain itu, bahasa Melayu turut berperanan sebagai bahasa pengantar yang merupakan bahasa yang digunakan di peringkat sekolah rendah hinggalah peringkat institusi pengajian tinggi. Melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan pada tahun 1981, bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa pengantar di semua peringkat persekolahan. Manakala pada tahun 1983 pula, semua kursus tahun pertama di universiti menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Mengikut pandangan Siti Hajar Abd. Aziz (2008), segala usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang peranannya untuk melahirkan bahasa Malaysia yang mempunyai pemikiran yang tinggi tidak akan berjaya selagi rakyat sendiri tidak dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik. Oleh sebab itu, amatlah penting supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar dalam semua peringkat persekolahan.

Disamping itu, bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa ilmu. Bahasa ilmu adalah bahasa yang digunakan di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi. Ini bermaksud bahasa Melayu telah berada di tahap yang tinggi dan seiring dengan bahasa-bahasa utama lain. Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu perlu mempunyai perbendaharaan kata, istilah dan bahasa yang sesuai agar dapat menghurai konsep kompleks dan abstrak. Untuk mencapai matlamat tersebut, bahasa Melayu perlu mempunyai dua ciri utama iaitu keintelektualan bahasa dan kesempurnaan bahasa. Menurut Siti Hajar Abd. Aziz (2008), keintelektualan bahasa dicapai melalui perkembangan perbendaharaan kata dan struktur tatabahasa. Dari sudut

kesempurnaan bahasa pula, ia mampu dicapai melalui kestabilan, kelenturan, kepelbagaian, keberkesanan dan keindahannya.

Bahasa Melayu turut menjadi bahasa perdagangan iaitu bahasa yang digunakan dalam urusan perdagangan melibatkan aktiviti tawar-menawar dan sebagainya. Kadar penggunaan bahasa Melayu dalam perdagangan adalah bergantung pada sejauh mana penutur-penutur bahasa ini menggunakannya dalam urusan perdagangan mereka. Seandainya banyak dalam kalangan mereka terlibat dalam urusan perdagangan, maka bahasa yang digunakan akan berkembang dan menjadi alat komunikasi utama. Misalnya, bahasa Inggeris telah menjadi pilihan utama para pedagang pada masa kini kerana besarnya jumlan penutur yang menjalankan perdagangan dengan negara-negara yang menggunakna bahasa Inggeris seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia, New Zealand dan Britain.

Manakala dari sudut konsep budi bahasa dalam masyarakat Melayu dan Malaysia pula, terdapat empat aspek yang termaktub dalam konsep tersebut iaitu takrif budi, takrift bahasa, takrif budi bahasa dan ciri-ciri budi bahasa. Pertama sekali, menurut Asma Abdullah (2009), budi ditakrifkan sebagai intelek atau kebaikan. Budi adalah sebahagian daripada sistem etika orang Melayu dan Malaysia yang mencerminkan peribadi dan asuhan mereka, dan mempengaruhi cara mereka berhubungan dengan orang lain. Manakala Profesor Dahlan dari Universiti Kebangsaan Malaysia telah menggambarkan budi sebagai penguasaan rasa ke atas pemahaman yang rasional semata-mata. Kesimpulannya, seseorang yang berbudi ialah orang yang berilmu, bijak, pandai, mengetahui, mengerti, berpengalaman dan berakal.

Kedua adalah takrif bahasa. Definisi bahasa adalah sistem yang arbitrari iaitu simbol bunyi bersuara yang membenarkan semua orang dalam budaya itu ataupun mereka yang mempelajari sistem budaya berkomunikasi (Finocchiaro, 1964). Dari sudut pendidikan pula, Nik Safiah Karim (2002) mengatakan bahawa penggunaan bahasa merujuk kepada kebolehan pelaja memulakan, membina dan mengekalkan persahabatan serta perhubungan dengan orang lain. Kesannya, pelajar mampu berinteraksi, memberi pendapat, berunding, berbincang, membuat pertimbangan, merujuk dan berurus bagi mendapatkan maklumat dan perkhidmatan.

Dari segi takrif budi bahasa pula, budi bahasa merupakan satu pendekatan budaya, komunikasi dan hubungan yang ditekankan serta mengandungi unsur-unsur sopan santun, menghormati tetamu atau pelanggan, menunjukkan sikap mesra pelanggan dan merupakan satu elemen penting bagi meningkatkan martabat budaya bangsa (Abd. Rahim Abd Rashid, 2006). Ini bermaksud budi bahasa ialah kebolehan

menyampaikan simbol-simbol makna dalam bentuk pertuturan iaitu satu bentuk komunikasi yang paling mudah difahami dan seseorang perlu berhati-hati apabila berkata-kata. Kesimpulannya, kemahiran berbahasa adalah amat penting dalam masyarakat Malaysia untuk memastikan wujudnya suasana harmoni dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Dari aspek ciri-ciri budi bahasa, terdapat lima ciri-ciri budi bahasa iaitu sifat merendah diri, bersifat sabar, bersikap positif, kesantunan bahasa apabila berinteraksi serta tertib dan bersopan santun. Sifat merendah diri menyeru kita supaya tidak menunjukkan perasaan bangga diri yang keterlaluan semasa berkomunikasi manakala sifat sabar menyeru kita supaya lebih bersabar dalam kehidupan seharian dalam menyelesaikan segala masalah hidup dengan bertolak ansur secara bijaksana. Sikap positif pula mengajar kita supaya sentiasa memilih cara yang terbaik dengan menggunakan akal fikiran yang positif. Kesantunan bahasa apabila berinteraksi serta tertib dan bersopan santun mengajar kita menunjukkan sikap menghormati orang lain, peramah, mesra dan manis tutur kata supaya tidak timbul kegusaran, kemarahan dan rasa tersinggung daripada pihak lain apabila berkomunikasi.

Dalam kesantunan bahasa Melayu pula, ia dibahagikan kepada tiga aspek iaitu konsep kesantunan, kesantunan verbal dan kesantunan bukan verbal. Dalam konsep kesantunan, kesantunan berbahasa ialah tatacara atau peraturan yang wujud dalam berbahasa dan sering kali dilihat dalam interaksi antara individu semasa berkomunikasi. Tatabahasa atau tatacara berbahasa harus sesuai dengan norma budaya sesuatu masyarakat yang menggunakan bahasa tersebut. Menurut Abdull Sukor Shaari et al. (2003), beliau mentakrifkan kesantunan sebagai cara dan bentuk bahasa yang digunakan oleh seseorang itu dengan penuh sopan, tidak biadap atau kurang ajar. Ia merangkumi aspek-aspek sepert pemilihan kata yang digunakan ketika bertegur sapa (bahasa sapaan), nada, gerak laku dan gaya yang digunakan ketika berkomunikasi. Kesimpulannya, kesantunan berbahasa bermaksud kesopanan dan kehalusan bahasa ketika berkomunikasi, sama ada secara lisan atau bertulis.

Bagi aspek kesantunan verbal, ia bermaksud komunikasi lisan dan ia banyak digunaka dalam kalangan individu dalam kehidupan seharian. Antara contoh kesantunan verbal adalah kesantunan menggunakan telefon. Semasa menjawab telefon, kita haruslah menjawab tiap-tiap panggilan dengan ucapan selamat diikuti

oleh nama sendiri dengan nada suara yang ramah sebaik sahaja kita mengangkat gagng telefon. Contoh seterusnya adalah kesantunan bahasa di pintu masuk. Imej kita atau sesebuah organisasi bermula dari pintu masuk. Walaupun petugas di pondok pengawal dikendalikan oleh syarikat swasta, bimbinglah mereka untuk bertutur dengan penuh kesantunan.

Kesantunan bukan verbal pula yang juga dikenali sebagai bahasa tubuh ialah bahasa komunikasi bukan lisan yang melibatkan isyarat tangan, air muka, dan gerakan badan. Bahasa ini amat penting kerana ia dapat menyampaikan mesej yang sukar dilahirkan melalui pertuturan atau tulisan. Menurut pandangan Abdullah Hassan dan Ainon Mohd. (1999), apa yang disebut bahasa badan (bahasa tubuh) termasuklah perhubungan ruang dari jarak, orientasi masa, gerak-geri, roman (rupa) muka, gerak mata, sentuhan, suara dan kadar kelajuan kita bercakap. Terdapat beberapa contoh bahasa tubuh. Yang pertama adalah gerak anggota badan. Misalnya, apabila seseorang itu membesarkan kelopak mata mereka ia bermaksud mereka berasa geram atau marah. Kedua sekali adalah gerakan mata. Contohnya, jika mata dan dahi seseorang itu berkerut, ia bermaksud mereka menunjukkan rasa minat tetapi tidak percaya terhadap perkara tersebut. Yang ketiga adalah gerakan tangan. Sebagai analogi, semasa seseorang itu sedang bercakap, dia gemar menggunakan tangan untuk menggambarkan sesuatu yang dia ingin sampaikan. Akhir sekali adalah memek muka. Memek muka dapat menyatakan emosi, kehendak dan harapan seseorang. Berdasarkan memek muka orang yang sedang berinteraksi dengan kita, lazimnya kita akan mengetahui maklumat tersurat dan tersirat. Contohnya, apabila seseorang itu memberi senyuman kepada kita semasa kita berjumpa dengan mereka, ini bermaksud orang tersebut adalah mesra dan peramah.

Generalisasinya, kita harus sentiasa mengingati bahawa bahasa Melayu merupakan satu saluran bagi masyarakat Malaysia untuk menyatupadukan pelbagai kaum dalam usaha mencapai perpaduan nasional seperti yang diharapkan sejak negara ini mencapai kemerdekaan. Sebagai rumusan, bahasa Melayu telah mencapai tahap kesempurnaannya, ia mampu bersaing dan berdaya maju dalam mencapai bahasa ilmu. Kita sebagai rakyat Malaysia harus berbangga dengan pencapaiannya dan bukan berasa sangsi dan jijik. Ini telah terbukti di mana negara Korea, dan Jepun disertai oleh China yang sangat mendaulatkan bahasanya mampu menjadi gergasi ekonomi dunia. Ini jelas menunjukkan bahawa bahasa tidak pernah menjadi penghalang kemajuan. Oleh itu, bahasa Melayu memainkan peranan yang penting dalam menjadi bahasa ilmu.

You might also like