You are on page 1of 3

Perkembangan Tenaga Nuklear Malaysia APABILA memperkatakan tentang Tenaga Nuklear kebanyakan masyarakat pasti akan mengaitkannya sebagai

ancaman keselamatan dan kemusnahan kepada negara. Pengumuman Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui pada 4 Mei 2010 bahawa kementeriannya telah diberi kebenaran oleh Majlis Perundingan Ekonomi (MPEN) untuk mengenalpasti tapak bersesuian bagi pembinaan loji nuklear yang pertama di negara ini telah mengundang pelbagai reaksi daripada kalangan anggota masyarakat. Persepsi negatif masyarakat seringkali dibayangi tragedi pengguguran bom nuklear Little Boy" pada 6 Ogos di bandar raya Hiroshima dan Fatman" di Nagasaki pada 9 Ogos 1945 ketika Perang Dunia Kedua yang telah mengorbankan lebih 200,000 nyawa. Begitu juga dengan bencana kebocoran nuklear Chernobly, Ukraine pada 26 April 1986, lebih 300,000 orang telah dipindahkan akibat daripada kesan radioaktifnya.

Sejarah tenaga nuklear di Malaysia bermula dengan penubuhan sebuah Pusat Penyelidikan Atom Tun Ismail (PUSPATI), di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar pada 19 September 1972. Penubuhan pusat ini diilhamkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Ismail Dato' Abdul Rahman, yang memikirkan Malaysia perlu memainkan peranan penting dalam pembangunan sains dan teknologi untuk kegunaan secara aman. Pada 10 Ogos 1972, Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negara (JPPN) telah bersetuju agar pusat nuklear negara yang dibangunkan ini dinamakan Pusat Penyelidikan Atom Tun Ismail (PUSPATI) bersempena dengan nama Allahyarham Tun Dr. Ismail.

PUSPATI terus berkembang apabila diberikan taraf sebagai Pusat Penyelidikan Kebangsaan pada 12 Mac 1975, setelah syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Penasihat Kebangsaan Mengenai Tenaga Nuklear (JPKTN) mendapat persetujuan Jemaah Menteri. Pada 16 Jun 1983, PUSPATI ditukar nama kepada Unit Tenaga Nuklear dan diletak di bawah Jabatan Perdana Menteri, dan kemudiannya dipindahkan ke Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar pada 10 Oktober 1990. Pada 10 Ogos 1994, pusat ini ditukar nama kepada Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia (MINT). Mulai daripada 28 September 2006, ianya dikenali sebagai Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) selaras dengan keutamaannya dalam bidang pembangunan dan penyelidikan (P&P) kepada enam bidang utama, terdiri daripada bahan termaju, pembuatan termaju, bioteknologi, teknologi maklumat dan komunikasi, sumber alternatif dan teknologi nano.

Era P&P nuklear di Malaysia mula berkembang apabila Reaktor TRIGA PUSPATI (RTP) model Triga MK 11 memulakan operasi pada 28 Jun 1982, setelah mencapai tahap kegentingan pertama. Perkataan TRIGA adalah singkatan kepada Training, Research, Isotope Production dan General Atomic. Pembinaan RTP yang dimulakan dalam bulan November 1981 ini bertujuan untuk membangunkan bidang latihan, penyelidikan dan pengeluaran radiosotop yang terdapat di Agensi Nuklear Malaysia. RTP adalah reaktor

http://www.arkib.gov.my/perkembangan-tenaga-nuklear-malaysia

jenis kolam yang direka bentuk bagi membolehkan eksprimen dijalankan di teras reaktor. Reaktor ini di reka agar sesuai digunakan dalam pelbagai bidang sains nuklear dan pendidikan. RTP juga menyediakan kemudahan untuk penggunaan neutron termaju dan kajian sinaran gama termasuk analisis pengaktifan neutron (NAA), analisis neutron tertunda (DNA), pengeluaran radiosotop untuk kegunaan perubatan, perindustrian dan pertanian, radiografi neutron dan penyerakan neutron sudut kecil (SANS).

Sejak awal penubuhan agensi ini, tujuannya bukanlah untuk membangunkan mahupun membina senjata nuklear bagi peperangan ataupun mencipta bahan yang bersifat pemusnah kepada manusia sejagat. Malaysia adalah antara negara terawal di rantau ini yang menandatangani Triti Ketiakcambahan Senjata Nuklear (NPT), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang melarang sebarang pembangunan senjata nuklear mahupun menerima apa jua bentuk bantuan dari luar mengenai senjata nuklear; dan Triti Pengharaman Menyeluruh Ujian Senjata Nuklear (CTBT). Sebuah stesyen pemantauan CTBT telah didirikan di Malaysia bagi tujuan pemantauan dan pengesanan ujian senjata nuklear.

Pengawalan ke atas penggunaan benda-benda radioaktif di negara ini bermula sejak tahun 1968 lagi, apabila Parlimen meluluskan Akta-akta Benda radio aktif 1968. Berikutan daripada perkembangan pesat aktiviti-aktiviti tenaga atom di negara ini, pada April 1984, Parlimen telah meluluskan Akta Perlesenan Tenaga Atom (Akta 304). Pada 1 Februari 1985, selaras dengan kehendak Seksyen 3, Akta 304, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) telah ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. AELB bertanggungjawab terhadap peraturan dan perlaksanaan Akta Bahan-bahan Radioaktif (Radioactive Substances Act), dasar negara mengenai tenaga nuklear dan keselamatan radiasi dan keselamatan. Mulai 27 Oktober 1990 AELB telah diletakkan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. AELB dianggotai oleh lima orang ahli yang dilantik oleh menteri. Ahli-ahlinya terdiri daripada pakar-pakar yang berkelayakan dalam bidang sains dan teknikal berkaitan tenaga atom.

Pengumuman Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika dalam lawatan rasmi ke Korea Selatan pada Jun 2009, bahawa Malaysia berminat untuk membina loji nuklear berskala kecil sebagai sumber penjanaan elektrik telah memberikan suntikan baharu dalam bidang tenaga nuklear negara yang selama ini tertumpu kepada bidang penyelidikan dan pembangunan dalam bidang perubatan, perindustrian, pertanian dan pemeliharaan alam sekitar. Tenaga nuklear kini dilihat sebagai sumber alternatif terbaik untuk menjana kuasa elektrik negara bagi menampung permintaan tenaga yang kian meningkat dan penyusutan sumber tenaga minyak. Tenaga elektrik yang dihasilkan daripada teknologi kuasa nuklear disifatkan sebagai teknologi sihat dan lebih murah daripada sumber alternatif yang lain.

http://www.arkib.gov.my/perkembangan-tenaga-nuklear-malaysia

Sesungguhnya loji janakuasa nuklear yang dicadang dibina dengan anggaran kos RM 9.75 billion dan dijangka beroperasi pada 2021 ini dilihat mampu menyumbang ke arah kemakmuran ekonomi dan pembangunan negara. Ianya juga selaras dengan hasrat negara yang mahu bergerak ke arah ekonomi karbon-rendah bagi menangani perubahan iklim dunia akibat pembebasan karbon dioksida.

Artikel ini telah disiarkan di majalah Dewan Siswa, Mac 2011

http://www.arkib.gov.my/perkembangan-tenaga-nuklear-malaysia

You might also like