You are on page 1of 2

SEJARAH ASIA TEMA 1 (MASYARAKAT TEMPATAN)

N0.8 ...... Jelaskan sistem feudal di Myanmar dan sistem feudal di Vietnam.

Feudal secara umumnya boleh didefinisikan sebagai satu bentuk kerajaan, iaitu kuasa politik dikuatkuasakan secara tempatan oleh individu persendirian dan bukan kerajaan pusat. Pada asasnya, sistem ini seperti yang wujud di Eropah sejak abad ke-9 memperlihatkan hubungan peribadi yang erat antara tuan tanah (lord) dan petani (vassal) yang disyaratkan untuk memberi taat setia kepada lord. Satu pihak akan memberi perlindungan sementara satu pihak lagi memberi perkhidmatan ketenteraan dan keselamatan kepada raja. Selain aspek ketenteraan dan keselamatan, feudotari juga dikehendaki menyediakan keperluan tertentu termasuklah buruh untuk sistem kerah. Hubungan ini menentukan kedua-dua pihak memperoleh faedah dan keuntungan bersama. Jika dilihat dari segi strukturnya, sistem feudal memaparkan satu bentuk piramid. Di bahagian bawah sekali ialah golongan rakyat atau petani manakala di bahagian atas sekali ialah raja. Bahagian tengah pula ialah golongan pembesar yang bertanggungjawab menjadi tali penghubung antara raja dengan rakyat dan secara praktikalnya turut bertindak sebagai tuan tanah. Dalam pemerintahan bercorak feudal ini, wujud satu hierarki yang jelas antara feudatories dan subfeudatories di bawah pemerintahan seorang raja. Ia sangat terikat dengan pendapatan dari kampung. Di rantau Asia Tenggara, sistem feudal yang wujud adalah berasaskan masyarakat pertanian yang merupakan satu ciri umum utamanya. Raja adalah kuasa yang besar dan dianggap sebagai pemilik tanah yang boleh ditemui di semua kerajaan Asia Tenggara. Raja dianggap sebagai pemilik tanah seperti yang termaktub dalam Undang-undang Tiga Tera di Siam serta perundangan di Burma. Raja dianggap sebagai tuhan yang mempunyai kuasa mutlak terhadap semua aspek termasuk kehidupan rakyat yang turut ditentukan oleh raja. Dalam masa yang sama, raja juga bergantung kepada pembesar daerah terutama dalam melaksanakan segala keperluan pemerintahan ataupun keperluan yang berbentuk peribadi. Sebelum kehadiran pihak Barat, sistem feudal yang dilaksanakan di Asia Tenggara menjelaskan bahawa kuasa pembesar wilayah adalah cukup besar. Dalam keadaan-keadaan tertentu, kuasa pembesar lebih besar daripada raja atau pembesar pusat. Berdasarkan kelayakan serta pengaruh tertentu, golongan pembesar telah menerima anugerah yang besar daripada raja termasuk mentadbir sebuah wilayah. Di Burma, sistem feudal yang wujud merupakan kesan daripada kebergantungan raja kepada golongan pembesar terutama Myowun (gabenor) dan Myosa (pembesar wilayah). Di ibu negeri terdapat empat orang Myowun yang mengendalikan hal ehwal tempatan, setiap orang mentadbir sebuah daerah di ibu negeri tersebut. Myowun yang berada di luar ibu negeri menjalankan kuasa atas dasar feudal iaitu mereka mempunyai kuasa besar memungut cukai

sebanyak 10 hingga 15 peratus daripada hasil tahunan rakyat. Sebahagiannya dihantar kepada raja di pusat dan sebahagiannya disimpan untuk kegunaan sendiri. Masyarakat Vietnam pula masih berpegang kepada sistem tradisi. Sistem pemerintahan di bawah Maharaja Gia Long dan selepasnya adalah bercorak birokratik yang berasaskan hierarki Mandarin. Negara dibahagikan kepada tiga wilayah iaitu Annam, Tongking dan Cochin-China. Wilayah Annam terletak di bawah kuasa raja manakala dua wilayah lagi dikuasai oleh wizurai yang mempunyai kuasa yang sangat besar. Wilayah-wilayah ini kemudiannya dibahagikan kepada beberapa bahagian yang lebih kecil termasuk Provinci, Phu, Huyen, Tong, dan Kemun di mana setiap bahagian di tadbir oleh seorang pembesar. Pembahagian ini menyebabkan kerajaan pusat kurang memberi perhatian dan menyebabkan para pembesar mengukuhkan kedudukan masingmasing. Walaupun raja berkuasa mutlak, namun dalam keadaan sebenarnya, pembesar Mandarin yang menjalankan sistem sosial dan pemerintahan Vietnam. Sistem feudal di Asia Selatan pula telah diamalkan lebih kurang pada abad ke-4 sebelum Masihi. Sistem ini telah dilakukan oleh kerajaan Maurya yang turut menjadikan tanah sebagai elemen utama iaitu tuan tanah mempunyai hak yang lebih besar berbanding petani. Dalam sistem feudal di Asia Selatan, golongan keagamaan atau Brahmin turut terlibat. Brahmin merupakan pemilik tanah terutama geran-geran yang diberikan oleh pihak-pihak berkuasa sebagai satu keistimewaan terhadap golongan ini dan untuk menjaga status mereka di kalangan masyarakat. Mereka mempunyai kuasa autonomi yang besar pada tanah-tanah yang mereka miliki. Secara langsung, sistem feudal di Asia Selatan yang terus berlangsung sehingga pasca-kemerdekaan memperlihatkan satu keterikatan yang sangat kuat antara pihak berkuasa, bangsawan dan pemerintah tempatan, golongan agama dan petani yang menduduki atau menyewa tanah. Kesimpulannya, sistem feudal yang diamalkan oleh masyarakat di Asia dimansuhkan setelah berlakunya imperialisme kuasa barat pada abad ke-19 dan awal abad ke-20 seperti yang berlaku di Jepun, China, India, Sri Lanka, Myanmar dan negara Thai.

......Nora Fitri Binti Mohd Zain..... .......Pra Unversiti 2012......

You might also like