You are on page 1of 63

33 BAB DUA SOROTAN KAJIAN LEPAS

2.0 Pengenalan Bab ini akan membincangkan tentang beberapa penulisan dan kajian yang berkaitan dengan topik kajian. Perbincangan akan berasaskan kepada tujuh bahagian iaitu:

i. ii. iii. iv. v. vi. vii.

Isu-isu berkaitan dengan perkembangan moral Teori perkembangan moral Penggunaan dilema moral dalam kajian penaakulan moral Perbezaan jantina dan dilema sebenar Orientasi moral dalam penaakulan moral Perbezaan jantina dalam orientasi moral Orientasi moral pelajar salah laku dan tidak salah laku

2.1

Isu-isu Berkaitan dengan Perkembangan Moral Perkembangan moral sering dikaitkan dengan isu-isu kemoralan. Isu-isu

kemoralan yang terkandung dalam komponen kemoralan terdiri daripada pemikiran moral, emosi moral dan tingkah laku moral. Kajian yang dijalankan ini akan berfokus kepada isu penaakulan moral yang secara khusus terkandung dalam pemikiran moral. Ketiga-tiga isu yang berkaitan dengan komponen kemoralan akan dibincangkan di dalam bab ini. Bagaimanapun, sebelum

34 membincangkan komponen-komponen kemoralan, penjelasan mengenai konsep kemoralan dirasakan perlu dijelaskan. Hal ini demikian, memandangkan orientasi moral merupakan salah satu elemen yang terkandung dalam komponen kemoralan. Perkataan moral pada dasarnya berasal daripada perkataan Latin iaitu mos atau mores yang bermaksud mulia, beretika, berfikiran luas, dan rasional (Abd. Rahim, 1993). Ia juga bererti peraturan masyarakat yang terdiri daripada tatahukum, tatasusila atau tatatertib masyarakat (Abdul Rahman, 1999; Abdul Rahman & Chang, 1994). Istilah kemoralan pula menitikberatkan aspek kelakuan dan nilai hidup manusia (Falikowski, 1990; Thiroux, 1977). Walau bagaimanapun kedua-dua istilah ini pada hakikatnya merujuk kepada akhlak seseorang (Abd Rahim, 1993). Sarjana barat seperti Durkheim (1961) menjelaskan kemoralan

terkandung dalam satu sistem peraturan tindakan yang menentukan tingkah laku. Merujuk kepada kamus Webster (2007) pula, kemoralan didefinisikan sebagai satu keadaan yang membezakan tingkah laku betul dengan tingkah laku yang salah. Ianya juga membawa maksud suatu perbincangan moral, kenyataan atau pelajaran atau satu pegangan atau sistem kelakuan yang bermoral atau keakuran terhadap kelakuan manusia yang diterima oleh orang ramai. Kohlberg (1958) mendefinisikan kemoralan sebagai penentuan tingkah laku kepada suatu peraturan yang dapat diterima oleh budaya individu. Bagaimanapun, definisi ini akan memberi implikasi kepada budaya tempatan.

35 Budaya individu yang dibentuk adalah agak berbeza dengan budaya individu di negara ini. Ini berikutan individu di negara ini hidup bermasyarakat, maka budaya hidup bermasyarakat harus dititikberatkan agar setiap individu dapat diterima sebagai ahli sesebuah masyarakat. Oleh itu, dalam budaya tempatan, kemoralan perlu dirujuk juga sebagai peraturan yang dapat diterima oleh budaya sesuatu masyarakat itu. Definisi kemoralan ini sedikit sebanyak menyentuh mengenai konsep keadilan yang telah diutarakan oleh Kohlberg (1981), di mana Kohlberg menyatakan, keadilan bukan suatu peraturan atau sistem peraturan, sebaliknya keadilan ialah prinsip moral yang membawa maksud memilih sesuatu peraturan yang bersifat sejagat dan diterima oleh masyarakat dalam sebarang situasi. Pada dasarnya, kemoralan ialah satu ukuran yang digunakan untuk memimpin individu dan kumpulan kecil dalam kehidupan mereka. Falikowski (1990) menjelaskan bahawa kemoralan berkait dengan kehidupan manusia dan hubungan antara perseorangan serta berkait rapat dengan konflik dan nilai. Tindakan yang tidak ada kesan terhadap kehidupan orang lain atau tindakan yang tidak melibatkan konflik adalah tidak berkaitan langsung dengan soal moral dan ini di luar maksud kemoralan. Wilson (1973) menjelaskan bahawa terdapat empat komponen kemoralan yang meliputi aspek fikiran, aspek emosi, aspek pengetahuan dan aspek tingkah laku. Menurutnya, aspek fikiran menyentuh mengenai persepsi individu manakala aspek emosi menyentuh mengenai emosi diri dan emosi orang lain. Aspek pengetahuan pula menyentuh mengenai fakta berkenaan sesuatu

36 keadaan dan aspek tingkah laku merujuk kepada tindakan individu yang disebabkan oleh fikiran, emosi dan pengetahuan yang dipunyai oleh individu tersebut. Thiroux (1977), juga telah mengkategorikan kemoralan kepada empat iaitu kemoralan agama, iaitu merujuk kepada hubungan manusia dengan tuhan. Kedua, kemoralan naturalis iaitu merujuk kepada tanggungjawab manusia terhadap alam semulajadi. Yang ketiga, kemoralan individualisme merujuk kepada kepentingan individu dan yang terakhir kemoralan sosial yang memberi perhatian kepada hubungan antara individu. Apa yang jelas, kemoralan membawa maksud mengikuti secara reflektif segala peraturan masyarakat serta memupuk sifat-sifat murni dan peraturan masyarakat yang digubal berdasarkan prinsip autonomi, keadilan dan altruisme (Abdul Rahman, 1986). Abdul Rahman (1986) menjelaskan, prinsip autonomi melibatkan tingkah laku berdasarkan penaakulan yang rasional dan ianya perlulah bersandarkan pemikiran diri sendiri. Prinsip keadilan pula menekankan keupayaan individu melakukan sesuatu secara adil dan tidak mengikut perasaan. Prinsip altruisme pula membawa maksud melakukan sesuatu perbuatan adalah untuk memberi manfaat kepada orang lain. Prinsip ini lebih digerakkan oleh emosi moral seperti rasa simpati. Perbincangan di atas jelas menunjukkan bahawa kemoralan penting memandangkan manusia hidup bermasyarakat. Hidup bermasyarakat ini melibatkan peraturan yang perlu diikuti demi menjamin kesejahteraan masyarakat itu. Oleh itu, sebagai anggota masyarakat, individu perlu memahami

37 peraturan-peraturan masyarakat dan mengikutnya bukan kerana dipaksa tetapi kerana dia autonomous dan boleh berfikir serta mengambil tindakan mengikut situasi (Tan, 2001; Wilson, 1973). Kesimpulannya, tindakan moral terhasil daripada persembahan mental bagi situasi yang diberi. Setiap pelajar perlu mempunyai kekuatan moral iaitu kebolehan mengawal kelemahan moralnya. Kelemahan moral boleh diatasi sekiranya pelajar-pelajar berupaya membuat penaakulan moral kerana sikap tersebut akan membantu pembentukan tingkah laku moral yang positif.

2.1.1 Penaakulan Moral Penaakulan moral bermaksud keupayaan membuat penaakulan, berfikir rasional dan memberi perhatian kepada pilihan dan kesan-kesan daripadanya (Downey & Kelly, 1982). Piaget (1932) adalah pengasas dalam kajian yang melibatkan penaakulan moral. Usaha beliau kemudiannya dikembangkan dan dimurnikan oleh Kohlberg (1976,1981). Menurut Kohlberg, perkembangan moral melibatkan peningkatan kematangan apabila berdepan dengan satu-satu situasi yang melibatkan dilema. Kematangan penaakulan moral ini telah dibahagikan kepada tiga tahap dan melibatkan enam peringkat di mana setiap tahap mempunyai dua peringkat. Kohlberg (1981) juga menjelaskan penaakulan moral ini merujuk kepada proses menilai pemikiran apabila seseorang individu tersebut memilih bentuk pemikiran dan tindakan yang sesuai dalam sistem nilai seseorang. Melalui proses penaakulan moral, seseorang dapat menentukan apa yang baik dan yang

38 tidak dalam sesuatu situasi. Memandangkan penaakulan moral melibatkan proses pemikiran maka apa yang difikirkan baik akan dilahirkan dalam bentuk tindakan dalam sesuatu situasi moral. Bagaimanapun, terdapat kemungkinan apa yang difikirkan baik mungkin tidak dapat dilakukan, kemungkinan disebabkan nilai-nilai yang baik itu tidak dihayati (Rothman, 1980; Wan Hasmah, 2000). Pandangan ini disokong oleh Straughan (1989) yang menyatakan terdapat keadaan di mana penaakulan moral difahami dari segi teori sahaja dan tidak diterjemahkan dalam bentuk amalan. Menurut Straughan lagi, individu yang gagal melaksanakan penaakulan moral yang telah dibuat dianggap belum terdidik dari segi moral. Kay (1975) pula menyatakan penaakulan moral yang telah dibuat tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan kerana kadangkala tindakan yang ingin dilakukan itu dipengaruhi oleh komponen kemoralan yang lain seperti emosi moral. Dalam hal ini, Kohlberg (1975) menyatakan penaakulan moral adalah komponen kemoralan yang terpenting memandangkan pemikiran yang

menentukan tingkah laku seseorang. Kenyataan ini adalah berlandaskan kajian beliau terhadap tingkah laku meniru dalam peperiksaan terhadap sekumpulan pelajar. Didapati mereka yang membuat penaakulan pada peringkat yang tinggi kurang melibatkan diri dalam aktiviti salah laku iaitu meniru dalam peperiksaan. Pandangan Kohlberg ini juga telah disokong oleh pengkaji lain seperti Walker (1986b).

39 2.1.2 Emosi Moral Emosi moral pula merujuk kepada perasaan yang betul yang melibatkan kerasionalan dalam sesuatu situasi yang dihadapi (Downey & Kelly, 1978). Emosi moral melibatkan perasaan serta suara hati yang mampu memotivasikan seseorang untuk bertindak secara moral dan meyakini keputusan dan tindakan tersebut. Perasaan moral ini berupaya menyekat perlakuan tidak bermoral dan membawa kepada tindakan secara bermoral. Wilson (1973) menjelaskan emosi moral memerlukan seseorang mengenal pasti emosi diri dan emosi orang lain. Melalui cara ini individu akan lebih prihatin kepada orang-orang di sekeliling mereka. Penekanan terhadap akal dan fikiran menyebabkan komponen

kemoralan ini kurang diberikan perhatian (Abdul Rahman & Chang, 1994). Berk (1989) menjelaskan bahawa emosi moral adalah komponen kemoralan yang perlu diberikan perhatian dalam kehidupan kerana setiap manusia perlu mengimbangi akal fikiran dan emosi masing-masing bagi membentuk tingkah laku yang diingini. Dengan kata lain, emosi moral seseorang adalah lebih peka dengan perasaan dan keperluan orang lain. Spiecker (1988) mengatakan setiap orang memerlukan dua jenis emosi dalam diri mereka iaitu emosi peraturan dan emosi altruistik. Emosi peraturan melibatkan perasaan seperti rasa bersalah, rasa keadilan, malu dan menyesal apabila terlibat dengan perkara-perkara yang melanggar peraturan. Manakala emosi altruistik ialah perasaan murah hati, simpati dan kasihan terhadap orang lain. Bull (1969) berpendapat pendidikan perlu juga memberi perhatian kepada emosi moral. Beliau berpendapat sedemikian memandangkan emosi yang tidak

40 dikawal mampu merosakkan penaakulan yang rasional. Menurutnya lagi, emosi adalah penting untuk memotivasikan dan mengawal tingkah laku.

2.1.3 Tingkah Laku Moral Tingkah laku moral pula menurut Abdul Rahman & Chang (1994), adalah segala yang dilakukan oleh seseorang individu berkaitan dengan peraturan moral secara konsisten dan iltizam. Peraturan moral memberi panduan kepada seseorang bertingkah laku moral pada bila-bila masa. Eow (2000) berpendapat tingkah laku moral berkaitan dengan pemahaman sebab yang baik dan munasabah dan bertindak dengan penuh tanggungjawab mengikut kemampuan sendiri terhadap sesuatu keputusan berlandaskan penaakulan dan emosi moral. Tan (2001) pula menjelaskan tingkah laku moral merupakan komponen kemoralan yang overt apabila individu melakukan tingkah laku moral selepas proses penaakulan moral dan dipengaruhi oleh emosinya. Walau bagaimanapun, Wilson (1973) menyatakan pemupukan tingkah laku moral bukan secara semula jadi, tetapi memerlukan latihan berulang kali melalui proses pengulangan. Apa yang penting menurutnya, setiap tingkah laku perlu ditunjuk ajar sehingga menjadi kebiasaan individu tersebut. Tujuan bertingkah laku secara moral perlu disokong dan didorong oleh sebab melakukan tingkah laku tersebut. Sekiranya tujuan tingkah laku tersebut adalah untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan maka tingkah laku ini dianggap tingkah laku moral (McKinnon, 1995). Walau bagaimanapun, motif melakukan tingkah laku perlu juga diambil kira (Benninga, 1988; Wilson, 1973;

41 Kay, 1975). Apa yang jelas ialah sesuatu tingkah laku itu dikira bermoral atau tidak bermoral bukan kerana kesan tingkah laku tetapi ditentukan oleh motifnya. Jika motifnya adalah untuk menunaikan kewajipan, maka motif ini dianggap tingkah laku bermoral dan sebaliknya jika untuk kepentingan diri sendiri maka dianggap tingkah laku yang tidak bermoral (Benninga, 1988). Kesimpulannya, kepentingan ketiga-tiga komponen kemoralan ini perlu di berikan perhatian dalam Pendidikan Moral (Berk, 1989; Rothman, 1980; Wilson, 1973). Bagaimanapun, kajian mengenai komponen pemikiran iaitu penaakulan moral sering dilihat sebagai satu dimensi yang penting dalam menentukan tingkah laku individu. Penaakulan moral yang dititikberatkan dalam kajian-kajian Pendidikan Moral dijangka mampu mengawal emosi dan tingkah laku (Kohlberg, 1975). Oleh itu, kajian ini telah memberikan tumpuan yang khusus kepada komponen pemikiran sahaja dengan menitikberatkan kepada kandungan penaakulan moral iaitu orientasi moral dan bukannya struktur penaakulan moral iaitu peringkat-peringkat penaakulan moral.

2.2

Teori Perkembangan Moral Tavecchio, Stams, Brugman dan Thomeer-Bouwens (1999) menjelaskan

salah satu matlamat jangka panjang mengkaji perkembangan moral adalah untuk memahami serta menjangka tingkah laku moral, termasuk salah laku. Secara empirikal, hubungan antara kecekapan pertimbangan moral atau penaakulan moral dan salah laku merupakan cabang kajian yang terbukti penting pada dekad ini (Gregg, Gibbs & Basinger, 1994).

42 Kajian mengenai perkembangan moral telah membantu pelbagai lapisan masyarakat mengenal pasti hubungan persekitaran dengan manusia (Raths, Harmin & Simon, 1978) pengaruh nilai-nilai moral ke atas tingkah laku manusia (Tavecchio, Stams, Brugman & Thomeer, 1999; Gregg, Gibbs & Basinger, 1994; Gavaghan, Arnold & Gibbs, 1983; Blasi, 1980) serta pelbagai kajian bagi meningkatkan perkembangan moral dalam kalangan manusia. Ramai pengkaji sebelum ini menjadikan bidang penaakulan moral sebagai keutamaan dalam kajian mengenai perkembangan moral. Tidak kira apa pandangan yang diberikan, yang pasti semua pihak pasti bersetuju bahawa kanak-kanak memerlukan bimbingan dan panduan untuk membentuk kemoralan seperti yang dikehendaki. Rest (1976) mengutarakan tiga teori yang penting dalam kajian perkembangan moral iaitu:

i. ii. iii.

Teori Psiko Seksual Freud; Teori Pembelajaran Sosial Teori Perkembangan Kognitif.

Apabila kanak-kanak memperkembang kemahiran berfikir, mereka dijangka bermula dengan mengikut peraturan-peraturan kemoralan seperti yang

ditetapkan oleh masyarakat. Teori-teori psikologi tentang perkembangan moral mempunyai perbezaan yang ketara dalam pendapat mereka tentang cara bagaimana perkembangan moral terbentuk.

43 Sigmund Freud mendakwa bahawa kualiti perhubungan antara anak-anak dengan ibu bapa mempengaruhi cara kanak-kanak berkembang secara bermoral (Mac Intyre, 1958; Wright & Bearer, 2005). Teori Psikoseksual oleh Freud ini mengatakan individu bertingkah laku baik kerana suara batinnya sentiasa mengingatkannya untuk bertingkah laku baik. Penekanan teori ini adalah pada aspek afektif. Teori pembelajaran sosial pula menjelaskan kanak-kanak mempelajari untuk bertingkah laku moral menerusi peniruan tingkah laku orang dewasa kerana ia telah dididik dan dibesarkan begitu. Teori perkembangan kognitif menjelaskan kemampuan anak-anak memberi sebab atau alasan bermoral bergantung kepada keupayaan berfikir. Teori ini menerangkan bahawa tingkah laku moral bermaksud bertingkah laku secara rasional. Teori ini memberi penekanan kepada aspek pemikiran moral iaitu penaakulan moral. Hakikatnya tiada satu teori yang mampu membincangkan mengenai aspek perkembangan moral secara menyeluruh iaitu meliputi aspek afektif, tingkah laku, emosi mahupun kognitif. Bagaimanapun sumbangan teori-teori secara menyeluruh telah membantu individu mengaitkan teori-teori ini dengan perkembangan moral individu. Downey dan Kelly (1978) menjelaskan bahawa ketiga-tiga teori ini berfungsi bersama untuk memberi pandangan terhadap aspek yang berbeza dalam perkembangan moral individu dan pandangan ini tidak bercanggah antara satu sama lain. Di bawah dijelaskan dengan lebih lanjut tentang teori-teori perkembangan moral ini.

44 2.2.1 Teori Psiko Seksual Freud Teori ini diasaskan oleh Sigmund Freud (1856-1939). Teori ini dinamakan sedemikian kerana teori ini menghubungkaitkan perkembangan personaliti kanak-kanak menjelaskan dengan sifat perkembangan seksnya (Mahmood yang 1992). penting Freud dalam

biologi

memainkan

peranan

perkembangan manusia. Teori ini menekankan konsep psikodinamik yang dikenali sebagai libido, iaitu tenaga seks yang ada pada setiap manusia semasa dilahirkan. Mengikut Teori Psikoseksual, libido inilah yang menggerakkan

tingkah laku seseorang itu. Mengikut saranan Teori Psikoseksual Freud, semasa kanak-kanak dilahirkan, dia dikuasai sepenuhnya oleh tenaga libido dan nalurinya sendiri (Lauzun 1964). Freud pada mulanya telah mengutarakan suatu teori yang membahagikan akal fikiran manusia kepada tiga lapisan yang berbeza. Ia membahagikan fikiran manusia kepada alam sedar, alam prasedar dan alam tidak sedar (Mac Intyre, 1958). Mahmood (1992) menerangkan bahawa Freud menjelaskan dalam alam sedar, manusia menyedari dan mengetahui apa yang telah berlaku dan sedang berlaku kepadanya, juga kepada persekitarannya. Manakala dalam alam prasedar yang letaknya antara alam sedar dan alam tidak sedar, individu sebenarnya tidak menyedari dan tidak tahu yang sesuatu itu sedang berlaku melainkan jika dia secara sedar memberi perhatian kepada apa yang berlaku itu. Dalam alam yang tidak sedar pula, individu memang tidak menyedari langsung apa yang berlaku. Walaupun idea ini pada mulanya amat menarik hati Freud, tetapi teori ini tidak berupaya untuk menjelaskan dengan lebih lanjut dan teliti

45 lagi, ia pun mengemukakan pandangannya yang kedua. Idea kedua yang diutarakan oleh Freud melihat fikiran manusia sebagai suatu sistem yang mengandungi tiga sistem utama yang dinamakan Id, Ego, dan Superego (Mac Intyre, 1958). Menurut Corey (1982), Freud menjelaskan manusia dilahirkan dengan naluri-naluri kebinatangan yang bersifat jahat. Kehidupannya ditentukan dari awal lagi oleh naluri-naluri ini. Lantaran dorongan dari naluri-naluri ini seseorang boleh bertindak secara tidak rasional dan tidak logik. Semua kuasa naluri ini tersimpan dalam suatu sistem tenaga. Tenaga ini tidak bertambah, dan tidak pula pernah berkurangan. Tenaga ini sering menjadi rebutan antara id, ego dan superego, kerana sistem yang mempunyai paling banyak tenaga akan berkuasa mengawal tingkah laku dan kehidupan manusia itu. Tenaga yang berasal daripada naluri ini boleh dikatakan terbahagi dua (Mahmood,1992), iaitu: a. tenaga hidup (naluri hidup, libido atau Eros) yang sentiasa berusaha untuk melanjutkan zuriat manusia. Tenaga ini tidak terbatas semata-mata kepada tenaga seks sahaja, tetapi meliputi juga usaha-usaha ke arah mengembang, membina dan mendorong kreativiti manusia. Tenaga ini merupakan tenaga penggerak atau motivasi yang mendorong manusia untuk mencari keseronokan dan mengelakkan kesakitan. b. tenaga mati atau naluri mati atau Thanatos yang terjelma dalam bentuk dorongan-dorongan agresif. Oleh itu, terdapat ketika di mana manusia

46 cuba menyakiti dirinya sendiri atau membunuh dirinya sendiri atau pun orang lain.

Kedua-dua tenaga inilah yang bertanggungjawab terhadap tingkah laku manusia yang mempamerkan personaliti seseorang individu. Corey (1982) menjelaskan personaliti seseorang pula mengandungi tiga sistem iaitu, id, ego dan superego. Ketiga-tiga sistem ini bukanlah sesuatu yang konkrit tetapi berinteraksi antara satu sama lain bagi menghasilkan tingkah laku tertentu yang dikenali sebagai personaliti seseorang. Menurut Freud, id dianggapnya sebagai komponen biologi, ego pula dianggap sebagai komponen psikologi manakala superego pula sebagai komponen sosial dan nilai-nilai moral masyarakat. Id ialah sistem asal, yang wujud sejak individu dilahirkan, malah bersama-sama individu itu sendiri kerana sifatnya sebagai sistem biologi. Id juga merupakan punca utama bagi tenaga jiwa dan pusat bagi semua naluri. Id bertindak secara membabi buta dan tidak mempunyai sistem organisasi yang teratur. Id hanya tahu mendesak dan memaksa (Lauzun, 1964). Satu ciri yang jelas mengenai id ialah, id tidak pernah matang dan membesar, walaupun individu yang memilikinya sudah bertambah umur dan kian matang

pemikirannya. Oleh sebab itu, kita dapati id ini bertindak secara tidak logik, tidak bermoral dan hanya mempunyai satu matlamat iaitu memuaskan nafsu naluri semata-mata pada setiap masa. Tindakan dan dorongan-dorongan yang dibuat oleh id ini bersifat tidak sedar (Lauzun, 1964).

47 Ego merupakan tenaga jiwa yang berasal daripada id, tetapi ego amat berbeza dengan id. Ego mengawal jenis-jenis tindakan yang hendak dilakukan, memilih persekitaran-persekitaran yang sesuai serta menentukan naluri mana yang akan dipuaskan dan cara naluri-naluri ini dipuaskan. Ego dipandu oleh prinsip realiti, dan kerana itu segala tindak tanduknya mestilah dilakukan setelah menimbangkan dengan baik segala perkara yang wujud dalam realiti (Berk, 1989). Ego berada di tengah-tengah id dan superego. Ego memerlukan pemikiran yang waras dan logik dalam melaksanakan tugas-tugas ini dengan baik dan jayanya. Ego bertindak melalui proses kedua atau sekunder di mana pemikiran yang logik dan rasional digunakan bagi merancang dan melaksanakan sesuatu tindakan untuk mengurangkan ketegangan. Ego dapat bertindak sebegini kerana mempunyai kuasa atau kawalan ke atas fungsi kognitif atau intelektual (Hall & Lindzey, 1978). Perlu dijelaskan di sini bahawa ego wujud bagi memuaskan kehendak-kehendak id dan bukan untuk menghampakannya. Superego merupakan komponen sosial atau moral. Superego merupakan cabang moral atau kehakiman bagi sesuatu personaliti itu. Superego bertanggungjawab di dalam menentukan apakah sesuatu tingkah laku itu baik atau buruk, betul atau salah. Menurut Freud (1949), superego bersifat idealistik dan sempurna. Superego merupakan nilai-nilai tradisi serta ideal yang diturunkan dari generasi ke generasi. Superego bertanggungjawab untuk menyekat ego dari menuruti kehendak id, di samping mendorong ego untuk menerima nilai-nilai dan matlamat-matlamat moral (Freud, 1949). Ia menentukan ganjaran dan denda. Ganjaran yang diberikannya berbentuk perasaan bangga, manakala

48 denda pula berbentuk perasaan bersalah dan rendah diri. Sama seperti ego, superego juga berpunca dari tenaga id, yang dari kecil lagi sudah mula menerima penentuan masyarakat melalui didikan keluarga. Pendek kata, fungsi-fungsi utama superego ialah menyekat desakandesakan id, terutama sekali yang berbentuk seks, kerana desakan-desakan ini amat dicemuh oleh masyarakat; memujuk ego untuk menggantikan matlamat realistik dengan matlamat moral dan berusaha ke arah mencapai kesempurnaan. Umumnya, setiap individu melalui lima peringkat perkembangan moral yang masing-masing memperlihatkan penekanan dan ciri-ciri tertentu. Pada setiap peringkat ini, individu akan menghadapi proses pertumbuhan yang bersifat fisiologi; kekecewaan; konflik dan ancaman (Hall & Lindzey, 1978). Proses pertumbuhan ini yang akan menjadi unsur-unsur yang akan mencabar individu itu untuk bertindak balas. Ada kalanya perkembangan moral ini akan tersekat oleh dua faktor utama iaitu: a. individu berkenaan tidak mendapat kepuasan yang cukup dalam sesuatu peringkat itu untuk membolehkannya berkembang kepada tahap yang lebih tinggi; b. individu yang berkenaan mungkin mendapat terlalu banyak kepuasan pada peringkat tertentu sehingga ia tidak mahu berpindah ke peringkat yang lebih tinggi kerana ia terlalu selesa pada peringkat ini. Kelima-lima peringkat yang dikemukakan oleh Freud (1967) ialah: a. b. peringkat mulut - tahun pertama peringkat dubur - tahun 1-3;

49 c. d. e. peringkat zakar dan faraj - tahun 3-5; peringkat latensi - tahun 5-12; peringkat syahwat - dewasa. Menurut Freud perkembangan moral individu hampir lengkap pada usia lima tahun (Berk, 1989). Tambah beliau, pengalaman pada usia kanak-kanak serta hubungan mereka dengan ibu bapa akan membentuk sahsiah moral individu bila besar nanti. Menurut teori ini sahsiah seseorang individu itu telah pun ditetapkan pada usia kecil dan ini tidak dapat diubah. Pandangan teori ini kurang popular dalam bidang pendidikan dan tidak sesuai digunakan untuk meningkatkan penaakulan moral individu kerana sekiranya sahsiah moral telah ditetapkan sejak usia muda maka tidak perlulah program pendidikan moral diwujudkan yang bertujuan membentuk pemikiran moral, emosi moral dan tingkah laku moral.

2.2.2 Teori Pembelajaran Sosial Teori pembelajaran sosial menggunakan prinsip kesalingan dalam interaksi manusia dengan alam persekitarannya. Manusia dianggap sebagai agen perubahan dan mempengaruhi persekitarannya dengan cara pembelajaran mengikut percontohan (Bandura, 1963). Manusia mempunyai daya rangsangan pemikiran yang boleh menggerakkan proses secara simbolik serta berupaya membuat peraturan pilihannya secara sendiri (Sieber, 1980). Kefahaman seperti ini memberi penekanan bahawa tingkah laku ditumpukan ke arah individu dan huraian analisis tentang individu dikaitkan

50 dengan keadaan kehidupan psikologinya. Tingkah laku mula difahami dengan menumpu pada cara individu berinteraksi dengan orang lain yang signifikan dalam masyarakat. Di samping berupaya mengubah tingkah laku mereka mengikut matlamat dan ideal yang dikehendaki sealiran dengan usaha memahami budaya alam sekelilingnya. Teori Pembelajaran Sosial menganggap kanak-kanak belajar tingkah laku yang diingini melalui proses peneguhan positif dan negatif, serta melalui pemerhatian dan peniruan tingkah laku yang diterima oleh masyarakat (Bandura & Walters, 1963). Othman Mohamed (1997), menyatakan Bandura melihat personaliti sebagai interaksi antara tiga perkara iaitu persekitaran, tingkah laku serta proses psikologi seseorang itu. Menurutnya, kelakuan manusia saling bertindak secara berterusan antara kognitif, kelakuan dan agen penentu persekitaran. Mengikut pandangan Teori Pembelajaran Sosial, manusia tidak didorong oleh kuasa dalaman atau didesak oleh stimulus persekitaran. Teori Pembelajaran Sosial memperakui bahawa kebanyakan kelakuan manusia dipelajari melalui

pemerhatian terhadap percontohan (Bandura, 1986; Eisenberg & Mussen, 1989). Melalui proses pemerhatian terhadap orang lain, seseorang individu membentuk satu idea bagaimana kelakuan dilaksanakan dan apakah kesannya. Maklumat yang telah direkodkan ini bertindak sebagai panduan untuk tindakan. Oleh sebab manusia boleh belajar daripada contoh sebelum melaksanakan sendiri kelakuan tersebut, ini membantu mereka terselamat daripada melakukan percubaan dan kesilapan.

51 Seterusnya, mengikut teori ini manusia tidak semata-mata bertindak kepada pengaruh luaran, seolah-olah mereka merupakan organisma yang tidak berfikir. Namun hakikatnya, manusia sebenarnya memilih, mengelola, dan memindahkan stimulus yang meninggalkan kesan terhadap mereka (Bandura, 1986). Menurut Bandura (1973,1977), dalam proses peniruan terdapat beberapa langkah yang perlu diikuti di mana proses ini melibatkan perhatian, pengekalan, tindak balas motor dan motivasi. Dalam proses memberi perhatian seseorang akan mempelajari sesuatu sekiranya memberikan perhatian. Selepas proses memberi perhatian, proses kedua ialah proses pengekalan. Dalam proses ini individu perlu mengingati sama ada dalam bentuk gambaran atau perkataan. Proses ketiga memerlukan individu menterjemahkan gambaran dan perkataan itu dalam bentuk tingkah laku sebenar. Akhir sekali ialah proses motivasi, di mana tanpa motivasi individu tidak akan meniru. Hal ini menyebabkan ibu bapa mencorakkan tingkah laku anak-anak mereka dengan tiga cara iaitu ganjaran, hukuman dan menjadi teladan. Tingkah laku yang dikehendaki diberi peneguhan positif seperti pujian dan tingkah laku yang tidak diingini diberi peneguhan negatif seperti hukuman. Menurut Berk (1989) peneguhan positif adalah cara yang paling sesuai untuk mendapatkan tingkah laku yang diingini. Bandura (1986) mengemukakan satu bentuk pendekatan perlakuan berasaskan kepada sistem interaksi antara tiga aspek iaitu rangsangan dari acara luaran, peneguhan luaran dan proses perantara secara kognitif. Oleh kerana beliau telah memberi perhatian yang serius ke atas konsep kognitif (Bandura, 1986; Bandura & Walters, 1963). Bandura telah memulakan kajian ke

52 atas pengaruh kognitif terhadap pembelajaran sosial. Teori ini menekankan kepentingan aspek pemikiran dan faktor kognitif dalaman. Beliau mula memberi fokus kepada cara kanak-kanak dan dewasa menggunakan keupayaan kognitif dalam pengalaman sosial dan bagaimana cara pemikiran ini mempengaruhi tingkah laku dan perkembangannya. Bandura menjelaskan reaksi orang-orang di sekeliling kanak-kanak akan membantu kanak-kanak ini untuk memahami tingkah laku yang diingini oleh masyarakat. Ini akan memerlukan kanak-kanak menggunakan kognitif untuk taakulan, memilih dan menjadikan tingkah laku sebagai pegangan. Oleh sebab teori ini mula menekankan aspek kognitif, pada tahun 1986, Bandura memberi nama baru kepada Teori Pembelajaran Sosial iaitu Teori Sosial Kognitif. Kesimpulannya, perkembangan moral dalam teori ini dilihat sebagai perubahan yang diperoleh hasil daripada interaksi antara pengaruh sosial dan kebolehan kognitif yang sering berubah.

2.2.3 Teori Perkembangan Kognitif Pakar-pakar perkembangan kognitif seperti Jean Piaget, Lawrence Kohlberg dan Elliot Turiel mendakwa bahawa perkembangan moral bersifat universal dalam dua perkara: 1. Setiap individu dalam semua kebudayaan melalui peringkat-

peringkat perkembangan moral yang sama.

53 2. Perkara yang mendasari setiap peringkat perkembangan moral

adalah konsep-konsep moral yang serupa seperti kewajipan, keadilan dan tanggungjawab.

Teori perkembangan moral kognitif buat pertama kalinya diutarakan oleh seorang saintis sosial bernama McDougall (1926). Beliau telah memerhatikan bahawa terdapat empat peringkat dalam tingkah laku manusia iaitu tahap kelakuan bersifat naluri yang diubah suai hanya dipengaruhi oleh kesakitan dan kepuasan yang dialami secara kebetulan dalam menjalankan aktiviti-aktiviti yang bersifat naluri. Kedua, tahap di mana operasi gerak hati yang bersifat naluri, diubah suai dengan dipengaruhi oleh ganjaran dan hukuman, dan dijaga dengan sistematik oleh persekitaran sosial. Ketiga, tahap di mana kelakuan dikawal dalam pujian sosial atau tuduhan sosial. Keempat, tahap tertinggi, di mana kelakuan adalah dikawal oleh perilaku yang ideal yang membolehkan seorang lelaki bertindak mengikut apa yang betul baginya tanpa mengambil kira pujian atau tentangan terhadap persekitaran sosial yang terhampir dengannya. Pengikut McDougall yang agak terkenal dengan peringkat-peringkat

perkembangan kognitif mereka adalah seperti Gesell (1954) dan Peck & Havighurst (1960).

2.2.3.1

Pandangan Piaget terhadap Perkembangan Moral

Piaget (1932) merupakan pelopor yang telah menggunakan peringkatperingkat moral dalam perkembangan kognitif. Dasen dan Heron (1984)

54 mengatakan yang teori perkembangan kognitif Piaget bukanlah suatu teori psikologi tetapi ialah satu pandangan epistemologi, iaitu suatu falsafah pengetahuan (Philosophy of Knowledge) yang diperoleh melalui pemerhatian terperinci yang dilakukan ke atas beribu-ribu kanak-kanak pada pelbagai tahap umur dan perkembangan. Walau bagaimanapun, melalui kaedah ini, Piaget telah berjaya mengemukakan konsep-konsep tentang perkembangan kanak-kanak yang telah diterima sebagai satu teori komprehensif yang meliputi kesemua budaya dan masyarakat (Mahmood Nazar, 1992). Piaget (1965) telah memberi tumpuan kepada Perkembangan Kognitif kanak-kanak yakni dengan memberi penekanan mengenai bagaimana manusia berfikir dan memahami. Dengan melihat kepada anak-anaknya sendiri beliau cuba memahami bukan sahaja apa yang mereka fahami tetapi juga bagaimana mereka memberi makna kepada dunia. Pemerhatian secara teliti menunjukkan kanak-kanak menjadi matang secara biologi dan juga melalui pengalaman sosial. Menurut Piaget setiap manusia melalui empat tahap perkembangan kognitif iaitu tahap deria motor, tahap praoperasi, tahap operasi konkrit dan tahap operasi formal. Perkembangan moral pula ditentukan dalam tiga tahap. Tahap pertama adalah tahap pramoral. Pada tahap ini kanak-kanak berminat dengan diri sendiri sahaja dan mengutamakan pandangan sendiri. Pada peringkat kedua iaitu peringkat heteronomous, kanak-kanak lebih berhati-hati dan berminat pada orang lain. Pada peringkat ini perasaan hormat kepada pihak yang berkuasa serta berupaya menerima peraturan. Kanak-kanak juga berupaya membuat

55 pertimbangan moral iaitu menentukan baik buruk atau betul salah melakukan sesuatu perkara. Peneguhan dalam bentuk ganjaran dan hukuman diambil kira dalam peringkat ini. Peringkat yang terakhir pula ialah kemoralan autonomous. Pada peringkat ini kanak-kanak mengambil berat tentang kebajikan dan minat masing-masing. Perasaan hormat pada orang lain juga mula dititikberatkan. Piaget menjelaskan pada peringkat ini kanak-kanak menganggap peraturan boleh berubah-ubah berdasarkan kerjasama dan rasa hormat pada orang lain. Keputusan moral tidak lagi pada kehendak undang-undang autoritarian tetapi segala aspek boleh diambil kira. Keupayaan melihat sesuatu perkara daripada pelbagai sudut bertambah, ini meningkatkan keupayaan seseorang menkonseptualisasi dilema moral (Kurtines & Greif, 1974) Sumbangan Piaget terhadap perkembangan moral telah dikembangkan oleh Kohlberg (1963, 1964, 1969, 1976,1981, 1984). Pada kali ini kajian-kajian oleh Kohlberg telah mengambil kira semua peringkat umur dari golongan kanakkanak sehinggalah golongan dewasa.

2.2.3.2

Pandangan Kohlberg terhadap Perkembangan Moral

Selepas kajian secara intensif oleh teori Piaget, Kohlberg (1969) telah memperkembang peringkat perkembangan moral kepada enam di mana setiap peringkat mewakili cara tertentu seseorang berfikir mengenai dilema moral. Menurut Walker dan Moran (1991), teori perkembangan kognitif Kohlberg telah berjaya menarik minat pengkaji menjalankan pelbagai kajian dan penilaian,

56 kerana Kohlberg menegaskan bahawa teorinya dapat diaplikasikan di serata dunia. Tambahnya lagi, teori Kohlberg mempamerkan pelbagai kontroversi memandangkan teorinya berakar umbi kepada falsafah moral di barat serta ideologi liberal sains sosial. Disebabkan kontroversi ini maka kajian demi kajian dijalankan bagi menguji teori ini dalam budaya yang berlainan seperti di Papua New Guinea (Tietjen & Walker, 1985), di negara China (Walker & Moral, 1991), di Israel (Wainryb, 1995), di Pakistan (Maqsub, 1978) dan di negara-negara lain. Kajian yang menyentuh tentang penaakulan moral dan perbezaan gender juga banyak dilakukan seperti oleh Flanagan dan Jackson (1987), Galotti, Kuzberg dan Farmer (1991), Gilligan (1977,1979,1982a,1982b), Meehan (1984), Rothbart, Hanley dan Albert (1986) dan ramai pengkaji lagi. Kajian Kohlberg yang pertama bermula pada tahun 1958 di mana respondennya terdiri daripada kanak-kanak dan remaja lelaki berusia 10,13 dan 16 tahun daripada keluarga kelas pertengahan dan kelas rendah dari Bandar Chicago. Beliau kemudiannya telah menggunakan responden yang terdiri daripada kanak-kanak yang lebih muda, remaja, lelaki dan perempuan dari beberapa buah bandar di Amerika dan beberapa negara lain. Kajian secara jangka panjang juga telah dijalankan di perkampungan dan bandar Turki bagi sekumpulan kanak-kanak lelaki pada usia yang sama dan kajian secara rentas budaya juga telah dijalankan di Canada, Britain, Israel, Taiwan, Yucatan, Honduras dan India (Kohlberg, 1986). Beliau telah menggunakan dilema hipotetikal untuk menentukan peringkat penaakulan moral. Kohlberg sebenarnya berminat untuk mengetahui penaakulan moral seseorang di sebalik jawapan yang diberi dan bukannya jawapan ya atau

57 tidak apabila memberi respons kepada dilema moral yang diberikan. Tumpuan utama Kohlberg ialah penaakulan moral. Lawrence Kohlberg dalam kajian selama 20 tahun merumuskan terdapat tiga tahap perkembangan moral dan setiap satu tahap terdapat dua peringkat. Susunan dalam enam peringkat ini adalah mengikut keupayaan seseorang memberi sebab dan alasan kepada dilema moral yang diberikan dalam menangani isu moral. Menurut Colby dan Kolhberg (1987), setiap pertimbangan moral yang dibuat oleh individu adalah menggambarkan peringkat terkini perkembangan moral mereka. Pandangan Kohlberg bahawa peringkat baru mengambil alih dan menggantikan peringkat yang lama semasa perkembangan moral. Apabila seseorang berada dalam satu-satu peringkat mereka dijangka mempamerkan satu bentuk pertimbangan moral, manakala apabila seseorang berada dalam peringkat peralihan, mereka dijangka membuat pertimbangan moral yang mempamerkan peringkat terkini dan yang lebih tinggi mengikut susunan (Colby & Kohlberg, 1987). Teori Perkembangan Kognitif Kohlberg yang menjelaskan mengenai perkembangan penaakulan moral telah berjaya menarik perhatian pengkaji barat, memandangkan saranan beliau bahawa teorinya adalah bersifat sejagat (Walker & Moran, 1991). Bagi menentukan kesejagatan teorinya banyak kajian telah dijalankan terutama dalam budaya, bahasa dan cara hidup yang berbeza daripada yang di barat seperti yang dijalankan di Papua New Guinea (Tietjen & Walker, 1985) dan di Republik China (Walker & Moran, 1991).

58 Selama tiga puluh tahun melakukan kajian, Kohlberg telah mengenal pasti terdapatnya tiga tahap penaakulan moral. Setiap tahap dibahagikan kepada dua peringkat. Kajiannya meliputi mereka daripada pelbagai peringkat umur, latar belakang budaya dan sosioekonomi yang memberi sebab dan alasan kepada dilema moral dalam peringkat-peringkat yang bersifat hierarki, berurutan dan invarian (Snarey, 1985). Menurut Kohlberg (1976), enam peringkat moral yang telah dibahagikan kepada tiga tahap utama. Ini dikenali, tahap prakonvensional (peringkat 1 dan 2), tahap konvensional (peringkat 3 dan 4), dan tahap pascakonvensional (peringkat 5 dan 6). Menurutnya peringkat yang lebih tinggi dalam setiap tahap adalah lebih baik dan tersusun dan mampu menggambarkan perspektif umum setiap tahap tersebut. Menurutnya lagi untuk memahami peringkat-peringkat ini adalah lebih baik untuk memahami ketiga-tiga tahap terlebih dahulu. Tahap prakonvensional, merupakan tahap bagi kebanyakan kanak-kanak berusia kurang sembilan tahun, sedikit golongan remaja, dan banyak bagi golongan dewasa dan remaja yang terlibat dengan jenayah. Tahap

konvensional pula merupakan tahap bagi kebanyakan remaja dan golongan dewasa dalam masyarakat dunia. Manakala tahap pascakonvensional pula paling kurang dicapai oleh dewasa dan selalunya dicapai oleh mereka yang telah berusia lebih dua puluh tahun. Kohlberg (1976) telah menyarankan agar ketiga-tiga tahap dilihat dalam tiga bentuk yang berlainan iaitu dalam hubungannya antara diri, masyarakat dan jangkaan, iaitu:

59 Tahap l: golongan prakonvensional, di mana undang-undang dan jangkaan sosial adalah bersifat luaran pada diri seseorang. Tahap ll: golongan konvensional, di mana diri mereka dikenal pasti menurut peraturan dan jangkaan terhadap orang lain terutama pihak berkuasa. Tahap lll: golongan pascakonvensional, golongan ini berupaya membezakan diri daripada undang-undang dan jangkaan-jangkaan orang lain dan memberi makna pada nilai-nilai dalam bentuk prinsip pilihan sendiri (self-chosen prinsipal).

Jadual 2.0 Enam Peringkat Perkembangan Moral Kohlberg ______________________________________________________________ Peringkat 1. Orientasi Hukuman dan Kepatuhan (Might makes right) Peringkat 2. Orientasi Timbal balik (Scratch my back, Ill scratch yours) ________________________________________________________________ Peringkat 3. Orientasi Persetujuan Antara Individu (Good boy, nice girl approval) Peringkat 4. Orientasi Undang-undang dan Peraturan (Fixed rules, right behavior consists in doing ones duty) ________________________________________________________________ Peringkat 5. Orientasi Kontrak Sosial (Standards critically examined and agreed upon by whole society) Peringkat 6. Orientasi Prinsip Etika Sejagat (Universal justice, equality) ________________________________________________________________ Dipetik daripada Traviss, 1985. Pascakonvensional Konvensional Prakonvensional

Peringkat-peringkat perkembangan seperti di atas pada dasarnya tidak menunjukkan kandungan sebenar yakni kepercayaan tertentu mahupun

60 pendapat dalam pertimbangan moral tetapi merujuk kepada struktur ataupun bentuk (form) penaakulan yang mempamerkan corak pemikiran (Kohlberg, 1986, Colby & Kohlberg, 1987). Dalam menentukan peringkat-peringkat dan orientasi penaakulan moral, soalan-soalan berbentuk menyiasat akan diberikan bagi mencungkil penaakulan moral pelajar-pelajar. Soalan-soalan berbentuk

penyiasatan ini pula dibahagikan kepada tiga jenis iaitu soalan berkaitan dengan dilema. Soalan yang ditanya adalah untuk mendapatkan pertimbangan ya atau tidak dalam dilema, contoh soalan Patutkah Heinz mencuri ubat tersebut? Kedua, soalan berpusat kepada isu di mana soalan yang ditanya untuk mencungkil penaakulan moral peserta kajian mengenai isu yang dipilih, contoh soalan, Adalah salah dari segi undang-undang bila Heinz mencuri, tetapi adakah perlakuan itu salah dari segi moral? dan ketiga, soalan umum mengenai nilai sesuatu isu yang dikemukakan. Soalan-soalan yang ditanya bertujuan menentukan tindakan yang akan diambil apabila memberi respons kepada dilema-dilema moral berbentuk hipotetikal serta dilema sebenar yang diimbas oleh pelajar. Berdasarkan kepada tindakan pilihan yang dipilih oleh pelajar maka alasan ke atas tindakan perlu dijelaskan, dengan ini, pengkaji perlu mengenal pasti penaakulan moral seseorang pelajar berdasarkan kepada alasan yang diberikan terhadap pemilihan tindakan yang dilakukan. Banyak kajian telah dijalankan bagi menentukan penaakulan moral seseorang individu berdasarkan vignet dilema hipotetikal oleh Kohlberg dan disokong hampir selama 2 dekad dengan kajian intensif secara longitudinal, cross sectional serta merentas

61 budaya (Blasi, 1980; Gibbs & Widaman, 1982; Rest, 1986b; Snarey, 1985). Kesejagatan peringkat-peringkat penaakulan moral juga telah dibuktikan dengan beberapa kajian tempatan di negara kita (Jeevajothi, 1997; Loganathan, 1995; Azian, 1990; Chandrasegaran, 1979). Kajian-kajian yang dijalankan sebelum ini juga telah membuktikan perkembangan penaakulan moral berlaku seiring dengan peningkatan usia seseorang. Namun begitu, kadar perkembangan moral individu mungkin berbeza dari satu negara dengan negara yang lain kerana dipengaruhi oleh budaya bangsa di negara tersebut (Snarey, 1985). Hal ini demikiaan kerana dua orang individu yang membesar dalam dua persekitaran yang berbeza berkembang dengan corak pemikiran yang berbeza (Bandura, 1986; Kohlberg & Candee, 1984; Maqsud, 1980).

Menurut

Kohlberg,

peringkat-peringkat

perkembangan

moral

mempunyai

beberapa ciri, iaitu: a) peringkat yang bersifat hierarchial intergrations. Ini bermakna apabila

seseorang individu didapati berada disatu peringkat yang lebih tinggi, ia telah pun melalui peringkat-peringkat moral yang lebih rendah. Seseorang individu akan menggunakan peringkat yang lebih tinggi apabila membuat sesuatu keputusan. b) Peringkat yang bersifat structured wholes kerana peringkat ini

merupakan sistem pemikiran yang berterusan. Cara seseorang menganalisis dan menginterpretasikan data serta membuat keputusan mengenai masalah

62 sosial dan peribadi merupakan perkara yang sangat penting dalam

perkembangan menyeluruh seseorang itu. c) Urutan dalam peringkat-peringkat itu adalah tidak varian. Ini bermakna

dalam keadaan normal, pergerakan dalam peringkat penaakulan moral selalunya adalah ke depan dan tidak pernah undur. Individu juga tidak akan melompat ke peringkat yang lebih tinggi tanpa melalui susunan sepatutnya. Kesimpulannya, Piaget dan Kohlberg berjaya menjelaskan bahawa perkembangan moral bukan sahaja melibatkan usaha memupuk nilai-nilai murni sebaliknya perkembangan moral melibatkan proses transformasi struktur kognitif. Keberkesanannya bergantung kepada kematangan intelek dan bagaimana seseorang berupaya menyesuaikan diri dengan persekitarannya (Duska & Whelan, 1975).

2.2.3.3

Kritikan Gilligan terhadap Teori Perkembangan Moral

Gilligan (1977,1982) merupakan orang pertama yang telah mencabar Teori Perkembangan Moral Kohlberg. Beliau menyatakan bahawa keadilan bukanlah satu-satunya orientasi yang terkandung di dalam dilema moral. Beliau mendakwa terdapat dua orientasi asas iaitu orientasi keprihatinan dan orientasi keadilan. Orientasi ini juga dikatakan berkaitan dengan jantina seseorang yang menjawab dilema moral. Kedua-dua orientasi ini mempamerkan cara yang berbeza apabila membincangkan soal perhubungan manusia di dunia, cara berbeza menerangkan masalah moral, cara berbeza dalam memahami masalahmasalah ini, dan strategi berbeza apabila menyelesaikan dilema ini (Day &

63 Tappan, 1996; Lefton, 2000). Memandangkan Kohlberg tidak mengambil kira golongan perempuan dalam kajian asalnya, maka Gilligan (1977,1982) telah mempertikaikan Teori Kohlberg yang dilihat berat sebelah terhadap golongan perempuan. Sebagai contoh, dalam bidang perkembangan moral apabila skala Kohlberg digunakan untuk mengukur perkembangan moral orang perempuan di dapati ....sifat paling utama yang mengatakan kebaikan wanita iaitu sifat keprihatinan dan sensitif terhadap keperluan orang lain adalah sifat-sifat yang juga dikenal pasti menunjukkan perkembangan moral yang rendah (Gilligan, 1982). Gilligan (1977) yang telah menjalankan beberapa kajian dengan melihat kepada alasan yang diberi oleh responden perempuan apabila menjawab dilema moral. Berdasarkan temu bual yang dijalankan bersama 29 wanita, mengenai keputusan untuk mengekalkan atau menggugurkan kandungan, Gilligan berjaya menunjukkan perkembangan moral yang berdasarkan pemahaman dan penaakulan moral golongan perempuan berdasarkan dilema tersebut.

Perkembangan moral tersebut dilihat dari tiga tahap iaitu: a) Orientasi Penghidupan Individu (Orientation to Individual Survival) (b) Kebaikan sebagai Pengorbanan Diri (Goodness as Self-Sacrifice), dan c) Kemoralan tanpa keganasan (The Morality of Nonviolence)

Tahap 1: Orientasi Penghidupan Individu Peringkat pertama mempamerkan sikap mementingkan diri atau melindungi diri sendiri. Menurut Brabeck (1983) dan Belknap (2000), pada tahap ini, Diri

64 sendiri adalah objek yang paling penting. Kelangsungan diri diberi keutamaan terutama apabila seseorang itu membuat pertimbangan moral ketika diri menghadapi konflik. Pada peringkat ini didapati golongan perempuan cuba untuk berjaya tanpa memikirkan pihak lain. Perhubungan didapati tidak menepati kehendak sekiranya tiada sebarang ganjaran diberikan. Kepentingan diri merupakan tunjang utama dan mereka hanya mengambil berat mengenai keinginan diri sendiri. Pada peringkat ini golongan perempuan tidak mengambil kira akibat atau keinginan untuk bertanggungjawab terhadap tindakan yang mereka ambil (Gilligan, 1977). Peralihan daripada peringkat pertama kepada peringkat kedua

diklasifikasikan kepada peralihan sikap mementingkan diri sendiri kepada sikap lebih bertanggungjawab. Peringkat ini mula meneroka rasa tanggungjawab terhadap tindakan yang diambil. Golongan perempuan mula mengaitkan tindakan yang diambil dengan perasaan orang lain dan bersikap tanggungjawab terhadap diri sendiri. Konflik mula dilihat apabila ingin membuat keputusan iaitu antara apa yang ingin dilakukan dan apakah tindakan yang bertanggungjawab. Dalam peralihan ini, menurut Gilligan (1977) ..seseorang perempuan akan mula dibelenggu oleh perasan bersalah yang terhasil akibat percanggahan antara kehendak dan tanggungjawabnya. Golongan perempuan mula memikirkan bahawa bukan hanya perasaannya sahaja yang terlibat, maka ini mendorong kepada keazaman untuk melihat orang lain juga bahagia dengan tindakannya. Sekiranya seseorang itu tidak mampu membuat seseorang bahagia dengan

65 tindakannya maka dia harus mampu menanggung rasa bersalah akibat perbuatannya. Tahap 2: Kebaikan sebagai Pengorbanan Diri Pada tahap ini, Pertimbangan moral dihasilkan daripada norma dan persetujuan sosial (Barbeck, 1983). Golongan perempuan lebih berhati-hati dengan persekitarannya. Pemerhatian terhadap orang lain dan mencontohi apaapa yang dilakukan oleh mereka agar sesuai dengan kehendak masyarakat. Menurut Gilligan (1977) pada peringkat ini suara sebenar golongan perempuan dapat difahami atau dilihat dengan jelas. Pada peringkat ini golongan perempuan mula memahami peranan mereka terhadap orang lain. Mereka mula mengenali diri dan mampu mengambil peranan sebagai pelindung kepada yang lain. Mereka mampu melindungi orang lain dengan mengorbankan pandangan diri sendiri. Terdapat sedikit kekeliruan mengenai apa yang betul, tambahan jika tindakan yang ingin diambil akan melukakan orang lain. Di sini mereka akan berkorban demi kebahagiaan pihak lain. Pada peringkat peralihan, iaitu peringkat daripada kebaikan kepada kebenaran (from goodness to truth), dipenuhi dengan penelitian perasaan di mana seseorang perempuan itu akan berulang kali mendefinisikan perkara yang dilihat sebagai mementingkan diri sendiri dan perkara yang dilihat sebagai tanggungjawab. Pada peringkat ini mereka akan menilai kehendak dan pandangan mereka sebagai sangat penting. Mereka mampu mencari keselarian antara tanggungjawab pada diri sendiri dan juga pada orang lain. Di sini golongan perempuan memahami bahawa rasa prihatin terhadap orang lain tidak

66 semestinya menyakitkan hati diri sendiri (Gilligan, 1977). Keinginan sebenar untuk bertindak dan memberi alasan menjadi sangat penting berbanding sikap yang hanya ingin menunjukkan baik terhadap orang lain seperti peringkat tiga Kohlberg (1969) iaitu peringkat orientasi persetujuan antara individu. Dalam peringkat transisi ini, keupayaan golongan perempuan untuk menilai keinginannya menjadi penting di mana mereka akan mula mengenali setiap kesalahan dan juga sifat mementingkan diri dalam hubungan dengan orang lain. Pada peringkat ini keputusan yang dilakukan adalah berbeza. Walaupun seseorang perempuan itu berkelakuan seperti di peringkat satu namun penaakulan di sebalik tindakannya adalah berbeza. Menurut Gilligan (1977), seseorang perempuan akan mengenal pasti pendapat diri sendiri dan menilai pendapat tersebut dari sudut dalaman dan luaran. Ini bertujuan untuk menentukan sebarang kesan yang mungkin terjadi akibat reaksi ke atas pilihan yang ada.

Tahap 3: Kemoralan tanpa keganasan Peringkat terakhir ini menunjukkan Keprihatinan merupakan keinginan sejagat...dengan kesedaran bahawa sikap melukakan perasaan orang lain perlu diatasi (Brabeck, 1983). Pandangan ini dikenal pasti melalui keupayaan golongan perempuan untuk mengenali pilihan-pilihan dalam objektif terakhirnya, mengambil berat tentang diri dan orang lain. Mereka melihat sesuatu dilema secara logik dan mengambil tindakan berdasarkan kesedaran bahawa perasaan sedih harus dikurangkan bagi mereka yang terlibat. Ketiga-tiga tahap ini terhasil

67 berdasarkan temu bual yang telah dilakukan oleh Gilligan dengan menggunakan dilema sebenar.

2.3

Penggunaan Dilema Moral Dalam Kajian Penaakulan Moral Jenis dilema moral yang digunakan dalam kajian penaakulan moral

dipercayai memberi kesan kepada corak penaakulan moral dan orientasi moral seseorang individu. Menurut Walker et al., (1987), perbezaan orientasi moral boleh dirujuk kepada jenis dilema moral yang digunakan, tidak dinafikan jenis dan pilihan dilema yang berbeza berkemungkinan mempengaruhi orientasi moral seseorang individu. Namun begitu, pengalaman sosial lelaki dan perempuan yang berbeza dalam kehidupan harian akan menunjukkan dilema moral yang cuba dikaitkan. Menurut penyataan di atas, boleh dikatakan orientasi moral bergantung kepada jenis dilema yang dibincangkan oleh peserta kajian. Bagaimanapun pengalaman sosial yang dilalui oleh orang lelaki dan perempuan adalah berbeza dalam kehidupan harian dan ini berkemungkinan mempengaruhi jenis-jenis dilema yang dibincangkan. Kajian penaakulan moral sebelum ini telah menggunakan dua jenis vignet dilema. Vignet-vignet tersebut ialah vignet dilema sebenar (real-life dilemma) dan vignet dilema hipotetikal. Vignet dilema sebenar, merujuk kepada konflik yang dialami sendiri oleh peserta kajian. Vignet dilema hipotetikal pula terdiri daripada vignet dilema hipotetikal klasik dan vignet dilema hipotetikal praktikal. Vignet dilema hipotetikal klasik digunakan oleh Kohlberg dalam MJI (Moral Judgment Interview), manakala vignet dilema hipotetikal

68 praktikal pula terdiri daripada isu-isu yang sering dialami oleh manusia dalam kehidupan seharian (Chang, 1998; Leming, 1978).

2.3.1 Dilema Sebenar Haviv dan Leman (2002) dan Baumrind (1978) menjelaskan cara yang lebih sesuai membentuk vignet dilema moral adalah dengan memberi fokus ke atas situasi sosial yang melibatkan individu. Menurutnya cara ini bukan sahaja berupaya mendedahkan masalah-masalah moral yang dihadapi individu tetapi juga dikatakan berupaya meningkatkan lagi penaakulan moral individu. Dilema dalam situasi moral yang melibatkan individu inilah dikenali sebagai dilema sebenar. Dilema sebenar merupakan konflik hidup yang benar-benar dialami oleh seseorang individu. Penggunaan dilema sebenar memerlukan seseorang membincangkan dilema yang pernah dialami oleh mereka. Penggunaan dilema sebenar dalam kajian penaakulan moral mula berkembang sejurus saranan Gilligan (1982) bahawa ianya berupaya mempamerkan orientasi moral seseorang. Satu rumusan penting yang dibuat menunjukkan penggunaan dilema sebenar didapati lebih realistik dalam memahami perspektif moral peserta kajian. Penggunaan dilema sebenar perlu kerana setiap individu berbeza antara satu sama lain dalam cara mereka menginterpretasikan masalah moral (Vishalache, 2002; Gilligan & Attanucci, 1988). Menerusi kajian-kajian yang dijalankan oleh Gilligan dan Attanucci (1988), Gilligan dan Belensky (1980), Lyon (1983), Gilligan (1982) dengan

69 menggunakan dilema sebenar sama ada untuk menentukan peringkat penaakulan moral mahupun orientasi moral, berjaya mempamerkan orientasi moral seseorang. Selain itu, perbandingan penaakulan moral antara jantina dengan menggunakan dilema hipotetikal Kohlberg dan dilema sebenar juga telah dijalankan (Walker, de Vries, Trevethan, 1987). Dapatan kajian oleh Walker dan Moran (1991), serta Wark dan Kreb (1996) menunjukkan terdapat orientasi yang berbeza di antara jantina apabila menggunakan dua jenis dilema yang berbeza. Jenis dilema yang digunakan dalam sesuatu kajian telah membuktikan kepentingannya dan merupakan faktor utama dalam kajian orientasi moral dan juga kajian penaakulan moral amnya. Kandungan dilema dilihat bukan sahaja mempengaruhi pertimbangan moral tetapi metodologi pemilihan dilema juga dilihat sangat menarik dalam kajian yang menentukan orientasi moral (Haviv & Leman, 2002). Walaupun sesetengah kajian menggunakan dilema sebenar tetapi konflik di dalam dilema telah diutarakan oleh pengkaji sendiri. Namun kebelakangan ini kajian yang menggunakan kaedah self-report telah mengambil kira konflik yang dialami dan ditimbulkan oleh peserta kajian. Kajian seumpama ini telah dilakukan oleh Vishalache (2002) terhadap 16 orang pelajar tingkatan empat yang mengambil matapelajaran Pendidikan Moral. Kaedah self-report yang dilakukan dengan menggunakan borang soal selidik telah berjaya mengumpul sebanyak 80 masalah pelbagai jenis. Kajian-kajian yang menggunakan dilema sebenar juga telah

menggunakan konflik peribadi (personal) di mana keputusan perlu dilakukan oleh

70 diri sendiri. Selain itu, konflik bukan peribadi (impersonal) juga diambil kira di mana konflik ini tiada kena mengena dengan diri sendiri atau orang-orang yang rapat dengan diri, yang secara tidak langsung tidak memaksa peserta membuat keputusan tetapi cuma memikirkan perkara-perkara penting yang perlu dilakukan. Kajian seperti ini telah dilakukan oleh Wark dan Krebs (1996, 1997). Apa yang menarik, kajian tersebut berjaya mengenal pasti dilema yang berkaitan dengan dilema philosopikal iaitu isu yang berkaitan dengan isu sejagat seperti hak wanita, konflik antarabangsa, pengguguran dan sebagainya. Perbincangan mengenai dilema sebenar menunjukkan selain daripada dilema yang menggunakan konflik peribadi dan konflik bukan peribadi seperti di atas, terdapat juga jenis dilema antisosial, ianya melibatkan sikap membabitkan diri dengan pencabulan ke atas undang-undang, peraturan mahupun

kesaksamaan, mempengaruhi seseorang demi keinginan dan keperluan peribadi, melibatkan kekejaman peraturan dan undang-undang, berkelakuan tidak jujur, tidak bermoral, atau tidak berlaku adil (Wark & Krebs, 1997). Dilema prososial juga telah dikenal pasti, perkataan prososial membawa maksud dilema yang melibatkan perhubungan antara dua atau lebih individu yang membuat tuntutan yang tidak selaras dengan kehendak diri mereka, yang akhirnya mungkin memberi implikasi kepada perhubungan mereka, ia juga menimbulkan perasaan sama ada perlu atau tidak memikul tanggungjawab apabila membantu seseorang yang penting kepada mereka. (Wark & Kreb, 1997).

71 Sarjana barat seperti Wark dan Krebs (1996) dan Kreb et al., (1991) telah membandingkan peringkat-peringkat penaakulan moral antara dilema hipotetikal dan dilema sebenar dan mendapati dilema sebenar menunjukkan penaakulan yang lebih rendah berbanding dilema hipotetikal.

2.3.2 Dilema Hipotetikal Dilema hipotetikal ialah cerita pendek yang mengandungi dilema moral. Ianya terdiri daripada dilema hipotetikal klasik, dan juga dilema hipotetikal praktikal. Dilema hipotetikal klasik telah direka dan dibina oleh Kohlberg (1963) bagi mencungkil penaakulan moral peringkat tertinggi seseorang individu. Vignet dilema hipotetikal ini terdiri daripada sembilan dilema yang terkandung dalam borang A, B dan C Moral Judgment Interview. Tujuan Kohlberg membina dilema ini adalah untuk mencungkil keupayaan individu membuat pertimbangan moral. Dilema hipotetikal klasik ini diiringi oleh soalan terbuka yang memerlukan seseorang memberi tindakan pilihan dan alasan kepada tindakan bagi menentukan peringkat perkembangan moral seseorang. Menurut Kohlberg (1984), isu-isu yang diketengahkan dalam dilema ini adalah bersifat sejagat dan berupaya mempamerkan nilai-nilai moral universal. Terdapat soalan-soalan terbuka yang seragam berbentuk probing yang bertujuan menyiasat respons yang diberi oleh peserta kajian di sebalik setiap soalan yang diutarakan. Terdapat 12 soalan yang digunakan bagi menentukan tindakan pilihan dan orientasi moral setiap peserta kajian. Menurut Colby dan Kohlberg (1987), bukan

72 semua soalan perlu dijawab oleh peserta kajian sekiranya orientasi moral peserta kajian telah berjaya ditentukan oleh pengkaji atau pengkaji menghadapi kesuntukan masa. Sistem pengukuran yang dibina oleh Kohlberg adalah berdasarkan kepada alasan yang diberikan oleh responden apabila memberi tindakan kepada dilema-dilema. Penggunaan vignet dilema hipotetikal klasik kemudiannya telah dikritik. Menurut Gilligan (1982a) adalah sukar bagi manusia menentukan secara tepat tindakan yang perlu diutamakan, kerana orientasi moral seseorang individu adalah berbeza, ini bergantung kepada isi cerita dan konteks dilema tersebut. Gilligan menambah, perbincangan dilema sebenar adalah cara yang terbaik bagi seseorang itu menyuarakan isi hatinya. Bantahan terhadap penggunaan dilema hipotetikal ini juga dilakukan oleh beberapa pengkaji seperti Wark dan Krebs (1996); Krebs, Vermeulan, Denton dan Carpendale (1994); Pratt, Golding, Hunter dan Sampson (1988); dan Walker, de Vries dan Trevethan (1987) yang menjelaskan penggunaan dilema hipotetikal seperti yang digunakan oleh Kohlberg, tidak mempamerkan penaakulan moral sebenar seseorang individu. Menurut mereka penggunaan dilema berbentuk hipotetikal menyebabkan individu tidak mempamerkan penaakulan moral yang sebenarnya. Hal ini demikian kerana fokus terhadap isu dalam dilema ini adalah tidak relevan dan tidak pernah dialami oleh individu. Kesannya, akan mengurangkan identifikasi dan penglibatan emosi (Walker, de Vries & Trevethan, 1987; Gilligan, 1982; Baumrind, 1978).

73 Selain daripada dilema hipotetikal klasik, dilema hipotetikal praktikal juga pertama kalinya telah diperkenalkan oleh Leming (1978). Dilema yang diutarakan oleh Leming ini menyentuh isu yang dialami oleh manusia dalam kehidupan harian. Tujuan Leming menggunakan dilema hipotetikal praktikal ini adalah kerana menurut pandangannya isu-isu yang dikemukakan dalam dilema hipotetikal klasik Kohlberg jarang dialami oleh manusia. Maka ini mampu mengurangkan keupayaan membuat penaakulan moral kerana individu tidak terlibat dengan dilema moral ini. Dilema hipotetikal praktikal ini bagaimanapun telah digunakan oleh Leming hanya untuk menentukan peringkat penaakulan moral. Beliau menghadapi kesukaran untuk menentukan peringkat penaakulan moral kerana peringkat-peringkat penaakulan moral yang ingin ditentukan telah berpandukan sistem pengukuran yang ditetapkan oleh Kohlberg. Sistem pengukuran yang telah ditetapkan oleh Kohlberg ini didapati tidak sesuai dengan dilema moral praktikal kerana isu-isu yang dikemukakan dalam kedua-dua dilema ini adalah berbeza. Chang (1998) juga telah menggunakan dilema praktikal dalam kajiannya terhadap pelajar-pelajar tingkatan empat yang mengambil matapelajaran Pendidikan Moral. Kajian menunjukkan peserta kajian lebih mengutamakan orientasi pertimbangan kendiri dan orientasi keprihatinan apabila memberi respons kepada dilema hipotetikal praktikal. Satu lagi dilema hipotetikal yang pernah digunakan ialah dilema hipotetikal yang menggunakan cerita rakyat terutama yang melibatkan karakter binatang untuk menentukan orientasi moral. Kajian ini telah dijalankan oleh

74 Johnston (1988) dan mendapati remaja lelaki lebih mirip kepada orientasi keadilan berbanding remaja perempuan. Memandangkan terdapat beberapa jenis dilema yang boleh digunakan dalam mengkaji orientasi moral peserta maka kesesuaian dilema perlu ditentukan. Kajian ini telah menggunakan dilema sebenar berikutan saranan pengkaji sebelum ini bahawa dilema sebenar berupaya mencungkil keupayaan penaakulan moral individu (Gilligan,1977,1982). Tambahan pula, peserta kajian akan menggunakan masalah sebenar yang melibatkan diri mereka sendiri dan bukannya masalah pihak ketiga. Dilema sebenar ini dijangka mampu mencungkil dan mengenal pasti orientasi moral peserta.

2.4

Perbezaan Jantina dan Dilema Sebenar Kajian perkembangan moral pada peringkat awal telah menggunakan

dilema hipotetikal untuk menentukan peringkat penaakulan moral seseorang itu. Penggunaan dilema ini adalah untuk membolehkan seseorang memberi respons tanpa pengaruh prakonsepsi. Bagaimanapun, terdapat andaian di mana penggunaan dilema yang tidak bersesuaian dengan dilema diri sendiri menyebabkan seseorang tidak berjaya melibatkan diri dan emosi dalam penyelesaian dilema tersebut (Walker, 1987). Dalam masa yang lain, teori Gilligan (1977,1982) telah melibatkan perbincangan dilema sebenar yang dialami oleh ibu mengandung. Isu pengguguran kandungan yang dibincangkan telah menghasilkan penemuan baru. Memandangkan jenis-jenis dilema yang berbeza

75 berupaya mencungkil penaakulan yang berbeza antara jantina maka kajian lanjutan perlu dilakukan. Kajian lepas menunjukkan terdapat peralihan dalam penggunaan dilema hipotetikal kepada dilema sebenar apabila membincangkan dilema moral seseorang (Gilligan & Attanucci, 1988). Gilligan mengatakan, dilema hipotetikal sesuai digunakan bagi tujuan penambahbaikan prinsip keadilan dan juga untuk pengukuran kesaksamaan serta timbalbalik. Bagaimanapun, usaha pemurniaan dilema dari segi kontekstualnya telah memberi pemahaman tentang sebab dan akibat yang akhirnya mengaitkan kesabaran dan tolak ansur dalam membezakan pertimbangan moral (Gilligan, 1982). Sehubungan dengan itu, isu perbezaan jantina dalam perkembangan moral telah lama dijalankan tetapi kebanyakan kajian tersebut ingin melihat sekiranya wujud sebarang perbezaan dalam peringkat perkembangan moral berbanding orientasi moral. Apabila orientasi moral mula diuji didapati dapatan kajian adalah berbeza-beza antara pengkaji. Terdapat kajian yang

menunjukkan terdapat perbezaan jantina (Lyon, 1983) dan ada yang tidak menunjukkan perbezaan jantina (Pratt, Golding & Hunter, 1984; Walker et al., 1987). Perbezaan ini lebih ketara dalam kalangan orang dewasa apabila membincangkan dilema sebenar (Gilligan & Attanucci, 1988; Rothbart, Hanley & Albert, 1986; Walker, 1984; Walker, 1989; Walker & et al., 1987). Lyon (1983) mendapati, secara keseluruhannya perempuan telah menggunakan orientasi keprihatinan (75%) berbanding lelaki yang lebih berorientasi keadilan (79%)

76 apabila membincangkan dilema sebenar. Perbezaan ini juga ada kaitannya dengan jenis dilema sebenar yang dibincangkan (Pratt et al.,1984). Kajian-kajian dalam orientasi moral menunjukkan perbezaan jantina hanya wujud di kalangan individu dewasa apabila menggunakan dilema sebenar (Walker, 1989; Walker et al., 1987). Kajian dalam orientasi moral tidak menjumpai sebarang perbezaan jantina dalam kalangan kanak-kanak apabila menggunakan dilema hipotetikal. Perbezaan jantina cuma didapati dalam kalangan dewasa apabila menggunakan dilema sebenar (Walker, 1980; Walker et al., 1987). Menurut Walker (1987), kebanyakan orang tidak menggunakan satu orientasi sahaja, dan orang dewasa lebih menggunakan kombinasi orientasi apabila memberi respons kepada dilema moral sebenar. Namun menurutnya, dilema hipotetikal lebih berjaya mencungkil orientasi keadilan manakala penggunaan dilema sebenar lebih berupaya mencungkil orientasi keprihatinan. Apabila dilema sebenar diterokai, didapati kandungan dilema memberikan kesan kepada orientasi moral seseorang mengikut jantina (Pratt et al., 1984). Didapati dilema sebenar yang berkisar kepada soal perhubungan lebih meningkatkan penggunaan orientasi keprihatinan berbanding dilema sebenar yang tidak berkaitan dengan perhubungan diri dan orang lain (Pratt et al., 1984; Walker, 1989; Walker et al., 1987). Didapati juga jenis dilema yang berkaitan dengan soal perhubungan sosial ini didominasi secara keseluruhannya oleh golongan perempuan (Pratt, Golding, Hunter & Sampson, 1988).

77 2.5 Orientasi Moral dalam Penaakulan Moral Orientasi moral ialah perkara yang kurang dititikberatkan oleh Kohlberg dalam kajiannya mengenai perkembangan moral seseorang. Orientasi moral adalah kecenderungan seseorang menyelesaikan dilema moral dari sudut etika keprihatinan atau etika keadilan (Liddell, 1990). Secara mudah, etika keprihatinan memberi fokus kepada perhubungan antara seseorang (Gilligan, 1993), manakala etika keadilan memberi fokus kepada peraturan serta prinsip (Kohlberg, 1984). Walker & Moran (1991) menjelaskan bahawa orientasi moral mewakili kerangka kerja atau perspektif global untuk menyusun dan memahami domain moral, yang secara konsepnya bebas daripada peringkat penaakulan moral. Ia berkait dengan kandungan berbanding struktur penaakulan individu dan dalam erti kata lain mampu memberi perspektif tambahan ke atas perkembangan moral yang mungkin berguna untuk menjelaskan kepelbagaian merentas budaya. Bagaimanapun, terdapat kajian-kajian lepas menyokong fakta yang menunjukkan lelaki dan perempuan menggunakan kedua-dua jenis orientasi dalam penaakulan moral mereka (Gilligan & Attanucci, 1988; Liddell, 1990). Kedua-dua orientasi yang dinyatakan didapati sama pentingnya, kajian juga mendapati apabila dilema moral digunakan, kebanyakan individu akan memberikan fokus kepada salah satu orientasi dan bukan kepada keduaduanya. Kohlberg (1976,1984) menjelaskan di bawah prinsip keadilan terdapat empat orientasi moral yang dikenal pasti apabila seseorang memberi respons kepada dilema moral. Orientasi-orientasi tersebut adalah orientasi normatif yakni bersifat saksama serta adil menurut peraturan dan peranan normatif. Orientasi

78 utilitarian yakni memaksimumkan kebajikan dan kebahagiaan terhadap setiap orang, orientasi ini sendiri terbahagi kepada dua iaitu utilitarian egoistik iaitu tindakan yang diambil sering mengingatkan akibatnya pada diri sendiri. Manakala, utilitarian sosial menyentuh tindakan yang diambil sering

mengenangkan kesan pada kumpulan. Orientasi kesempurnaan (perfectionistic orientation) pula mencari keharmonian, maruah, autonomi atau intergriti untuk diri dan kumpulan sosial dan orientasi kesaksamaan (fairness orientation), yakni mengimbangi perspektif, menitikberatkan soal kebebasan, keadilan serta kesaksamaan, mengekalkan keadilan dan kesaksamaan serta kontrak sosial. Orientasi ini telah ditentukan dengan mengumpulkan alasan dan sebab yang diberikan oleh subjek apabila memberi respons kepada dilema hipotetikal. Kohlberg dalam usahanya mengukur peringkat penaakulan moral telah menyenaraikan 17 respons atau elemen yang diberi oleh individu yang mana ianya merangkumi kesemua pertimbangan moral. Kesemua elemen yang dikenal pasti ini digunakan dalam proses menentukan pertimbangan moral (Colby et al., 1987). Kesemua 17 alasan atau respons yang telah dikenal pasti oleh Kohlberg dikumpulkan dalam empat orientasi moral seperti di bawah.

Orientasi Normatif: 1. Menurut perintah/berunding dengan individu atau tuhan. Patut menurut perintah dan mendapatkan kebenaran (patut berunding, pujuk) 2. Menyalahkan/menyetujui. Patut dipersalah, tidak dipersetujui (patut disetujui)

79 3. 4. 5. Balasan bentuk hukuman /buktikan tidak bersalah Ada hak/tiada hak Ada tugas/tiada tugas.

Orientasi Utilitarian: 6. 7. 8. 9. Reputasi baik/reputasi tidak baik Mencari ganjaran/mengelak hukuman Akibat perbuatan baik/akibat perbuatan jahat Akibat kumpulan berkelakuan baik/akibat kumpulan berkelakuan jahat.

Orientasi Kesempurnaan (Perfectionistic Orientation): 10. 11. 12. 13. Menjaga kelakuan Menjaga kehormatan diri Berkhidmat demi keharmonian atau keadaan sosial yang ideal Berkhidmat untuk maruah dan autonomi.

Orientasi Kesaksamaan (Fairness Orientation): 14. 15. 16. 17. Mengimbangi perspektif atau mengambil peranan Timbal balik atau pengabaian secara positif Mengekalkan kesaksamaan Mengekalkan kontrak sosial atau persetujuan bersama.

Kohlberg dalam teorinya menjelaskan bahawa prinsip keadilan mendasari keempat-empat orientasi secara lebih eksplisit dan digunakan terus dalam orientasi kesaksamaan. Gilligan (1982) mempersoalkan bahawa kerana terlalu memfokuskan prinsip keadilan sebagai orientasi asas dalam penaakulan moral,

80 sistem tersebut gagal mengambil kira kepentingan aspek kemoralan yang disebutnya sebagai keprihatinan dan perhubungan antara manusia. Gilligan (1982,1993) menyatakan terdapat dua orientasi sahaja yang menunjukkan penaakulan moral seseorang. Orientasi tersebut adalah orientasi keadilan dan orientasi keprihatinan. Menurutnya, orientasi keprihatinan menyentuh keunikan individu, situasi serta orientasi ini mementingkan perhubungan, kasih sayang serta pertalian individu dalam sesuatu dilema. Manakala orientasi keadilan lebih mementingkan kebenaran, peraturan serta keadilan. Colby dan Kohlberg (1987) bersetuju dengan pandangan Gilligan (1982) bahawa dilema yang digunakan dalam Standard Moral Judgment Interview mempamerkan konflik mengenai kebenaran, tetapi pertimbangan sebenar yang dilakukan oleh peserta kajian mungkin berfokus pada kasih sayang atau mengambil berat terhadap orang lain, pada komitmen diri, rasa simpati dan memahami, kesedaran mengenai kemanusiaan dan juga mengenai peraturan, tanggungjawab serta kebenaran. Komitmen seumpama ini meliputi setiap manusia. Beberapa kajian telah dijalankan sebelum ini untuk menentukan sama ada terdapat sebarang pertalian antara dakwaan Gilligan dan Kohlberg dalam model mereka (Walker, 1986). Dapatan kajian menunjukkan orientasi

keprihatinan adalah gabungan orientasi utilitarian dan orientasi kesempurnaan manakala orientasi keadilan adalah gabungan orientasi normatif dan orientasi kesaksamaan. Walau bagaimanapun Colby dan Kohlberg (1987), menegaskan orientasi yang ditegaskan oleh Gilligan pada dasarnya telah digambarkan dalam

81 teori Kohlberg. Menurut mereka orientasi utilitarian dan orientasi kesempurnaan dipamerkan dalam orientasi keprihatinan manakala orientasi normatif dan kesaksamaan dipamerkan dalam orientasi keadilan. Walker (1986) menyatakan walaupun orientasi keprihatinan dan orientasi keadilan ini tidak serupa, namun terdapat keselarian dari segi tema atau tajuk. Walker (1986a) telah menjalankan kajian untuk melihat kebenaran dakwaan Gilligan bahawa orang lelaki memberikan respons berdasarkan orientasi normatif atau orientasi kesaksamaan. Hal ini demikian disebabkan mereka lebih memfokuskan kepada kebenaran, tugas dan keadilan. Manakala orang perempuan pula memberikan respons berdasarkan orientasi utilitarian atau orientasi kesempurnaan memandangkan mereka lebih memfokuskan kepada perhubungan, kebajikan serta kasih sayang. Kajiannya gagal membuktikan terdapat sebarang perbezaan jantina dalam orientasi. Kajian oleh Lyon (1983) terhadap 30 individu antara umur 8 hingga 60 tahun dengan membincangkan dilema sebenar mendapati 75% sampel perempuan memilih orientasi

keprihatinan manakala 79% sampel lelaki cenderung kepada orientasi keadilan. Kohlberg (1969,1976) jelas menegaskan aspek keadilan merupakan asas konsep kemoralan. Bagaimanapun, Gilligan (1982) menegaskan dilema hipotetikal bersifat abstrak, ini menyebabkan peserta kajian mengambil kira pertimbangan right atau keadilan, manakala dilema sebenar disebabkan bersifat contextualized nature akan mencungkil pertimbangan keprihatinan

response/care seseorang peserta kajian.

82 Berdasarkan kepada dilema sebenar yang dialami oleh manusia, Gilligan (1982) juga telah membina Teori Perkembangan Moral yang terbahagi kepada tiga tahap iaitu peringkat pertama, keprihatinan pada diri. Peringkat kedua, keprihatinan pada yang lain-lain dan peringkat ketiga, gabungan antara keprihatinan pada diri sendiri dan keprihatinan pada yang lain. Orientasi keadilan dan orientasi keprihatinan (Gilligan, 1982; Gilligan & Attanucci, 1988) membayangkan dua cara yang berbeza dalam mana manusia membayangkan, memikirkan dan menerangkan masalah moral. Perbezaan ini menghasilkan perbezaan dalam dimensi perhubungan manusia. Ini menimbulkan dan membangkitkan kesedaran moral. Kemoralan berdasarkan keadilan memberi perhatian kepada masalah ketidaksamaan dan penindasan dengan menegakkan prinsip keadilan seperti kesaksamaan, adil dan timbal balik serta hak individu. Dalam orientasi keadilan masalah moral ditafsirkan sebagai isu yang berkonflik antara individu. Masalah moral ini terpisah atau objektif dalam hubungannya dengan orang lain dan penyelesaian bagi masalah ini adalah dengan merujuk kepada peraturan-peraturan yang tidak berat sebelah. Orientasi keprihatinan memberi fokus kepada masalah yang tidak mendapat perhatian, seterusnya memberi perhatian serta mengambil berat kepada yang memerlukan. Masalah moral ditafsirkan sebagai isu perhubungan, atau isu kebenaran dan diselesaikan melalui aktiviti keprihatinan. Walaupun pengkaji-pengkaji teori telah memberi sorotan perbezaan antara Teori Perkembangan Moral Kohlberg dan Gilligan (Gilligan, 1982; Gilligan & Attanucci, 1988; Lyon, 1983; Lyon, 1989) Kedua-dua teori ini mempunyai pandangan yang sama bahawa perbezaan

83 dalam penaakulan moral terhasil disebabkan terdapat perbezaan sifat dalaman antara manusia. Kedua-dua ahli teori ini mengharapkan pertimbangan moral konsisten antara manusia dan merentas dilema. Kohlberg (1984) menjelaskan bahawa kematangan moral terhasil daripada dalaman seseorang individu itu, struktur kognitif secara keseluruhannya yang menerangkan peringkat-peringkat

perkembangan moral. Gilligan (1982) mendakwa bahawa orientasi keadilan dan orientasi keprihatinan adalah dua kerangka dan perspektif yang tersendiri di mana individu menunjukkan konsistensi dalam memahami dan mengatur isu-isu moral. Walau bagaimanapun, terdapat kritikan yang mempercayai bahawa pandangan individu sama ada menyebelahi atau tidak sesuatu isu moral itu memberi kesan terhadap penaakulan moral. Ini berlaku sama ada pada orang lelaki mahupun orang perempuan (Carpendale & Krebs, 1995). Hal ini demikian kerana kebanyakan manusia tidak menunjukkan pilihan yang serupa serta konsisten untuk satu orientasi moral merentas dilema moral yang berbeza-beza. Perbezaan individu dan perbezaan jantina dalam orientasi moral adalah signifikan apabila kandungan masalah moral dikawal (Wark & Kreb, 1996; Walker, 1989,1991; Walker, De Vries & Thevethan 1987). Sebelum ini telah dijelaskan bahawa, sebab serta alasan yang diberikan oleh peserta kajian apabila memberi respons kepada dilema sebenar boleh dikategorikan. Kajian lepas menunjukkan terdapat tiga cara yang paling kerap digunakan oleh pengkaji-pengkaji sebelum ini untuk menentukan Orientasi

84 Moral, iaitu kategori yang dicadangkan oleh Lyon (1983), Rest (1986) serta Colby dan Kohlberg (1987). Tiga cara yang telah digunakan ialah pertama, Lyons Coding Scheme (Lyons, 1982), kedua, Rests Defining Issues Test (Rest, 1986) yang telah disemak semula, dan ketiga, Moral Judgment Interview (MJI) oleh Kohlberg (Colby & Kohlberg, 1987). Lyons Coding Scheme (Lyons, 1982) menggunakan kaedah content analysis bagi mengenal pasti lima kategori yang merangkumi pertimbangan keadilan dan pertimbangan keprihatinan. Pertimbangan-pertimbangan yang diambil kira, sebagai contoh adalah unit analisis yang diberi maksud setiap idea yang dikemukakan oleh peserta, membincangkan masalah moral (Gilligan & Attanucci, 1988). Lyon telah memperkembang skim ini hasil daripada kajian yang dilakukan secara sistematik bagi mengenalpasti orientasi moral responden. Kajian yang telah dijalankan adalah berdasarkan teori Gilligan (1977,1982). Lyon telah menemu bual 36 peserta kajian, di mana setiap peserta kajian di minta untuk menceritakan dilema sebenar yang sedang dialami oleh mereka. Data yang diperoleh daripada temu bual tersebut menghasilkan dua cara mengambil kira isu moral seperti yang dicadangkan oleh Gilligan iaitu kemoralan keadilan dan kemoralan keprihatinan. Rests Defining Issues Test (Rest, 1986), adalah ujian paper-and-pencil yang memerlukan peserta kajian mengambil kira pertimbangan keprihatinan dan pertimbangan keadilan dalam memberi respons kepada dilema hipotetikal. Dilema yang telah digunakan ialah Heizn Dilemma dan Escaped Prisoner Dilemma. Ujian ini adalah lebih mudah berbanding ujian yang dijalankan oleh

85 Lyon kerana mudah ditadbir dan ditentukan skor. Bagaimanapun, kajian yang menggunakan ujian ini gagal menunjukkan perbezaan jantina dalam orientasi moral (Friedman, Robinson & Friedman, 1987; Pratt & Royer, 1982). Cara ketiga mengukur orientasi moral yang telah digunakan adalah menggunakan Kohlberg Moral Judgment Interview (MJI) dan cara mengukur yang telah ditetapkan oleh Colby dan Kohlberg (1987). MJI telah meminta peserta kajian memberi respons kepada beberapa dilema dan soalan-soalan terbuka telah diberikan. Temu bual itu kemudiannya akan diskorkan dengan menentukan peringkat penaakulan moral dan juga menentukan elemen atau moral orientasi. Kohlberg telah memberikan empat jenis orientasi moral iaitu normatif, kesaksamaan, utilitarian serta kesempurnaan seperti yang telah dijelaskan di atas. Kajian-kajian yang telah menggunakan MJI (Moral Judgement Interview) dan cara pengukurannya sebelum ini telah berjaya menunjukkan perbezaan jantina yang signifikan dalam orientasi moral seperti kajian oleh Walker (1986). Namun kaedah ini tidak menggunakan dilema sebenar dalam menentukan orientasi moral peserta kajian. Soalan terbuka juga memerlukan masa yang panjang untuk ditadbirkan. Gilligan (1986) menegaskan kebanyakan manusia memfokuskan kepada satu orientasi sahaja. Bagaimanapun, Colby dan Kohlberg (1987)

mengkategorikan empat jenis orientasi manakala Lyon (1983) dengan dua jenis orientasi moral iaitu keadilan dan keprihatinan. Kajian oleh Gilligan dan Attanucci (1988) mendapati terdapat gabungan orientasi dalam alasan yang diberi oleh peserta kajian apabila menjawab dilema. Skim Lyon (1983) kemudiannya telah

86 di kembangkan kepada lima jenis orientasi iaitu keadilan sahaja, fokus kepada keadilan, kombinasi keadilan dan keprihatinan, keprihatinan sahaja dan fokus kepada keprihatinan. Walker, de Vries dan Trevethan (1987) pula dalam kajian mereka telah menghasilkan tiga kategori bagi menunjukkan orientasi moral. Orientasi tersebut adalah keadilan, keprihatinan dan gabungan antara orientasi keprihatinan dan orientasi keadilan. Eisenberg (1991), Menutti dan Creamer (1987), Yeh dan Creamers (1987) pula menunjukkan kehadiran orientasi kendiri yang menjurus kepada pertimbangan mengenai diri sendiri. Chang (1998) dalam kajiannya untuk melihat orientasi moral pelajar-pelajar berusia 16 tahun di Malaysia mendapati empat jenis orientasi telah digunakan iaitu orientasi keadilan, orientasi keprihatinan, orientasi pertimbangan kendiri dan orientasi gabungan. Orientasi gabungan digunakan bagi respons yang menunjukkan kombinasi antara dua atau lebih jenis orientasi dalam penaakulan moral. Manakala orientasi pertimbangan kendiri pula adalah orientasi yang memberi fokus kepada harapan, keperluan-keperluan dan hormat kendiri.

2.6

Perbezaan Jantina dalam Orientasi Moral Teori perkembangan moral oleh Kohlberg (1969, 1976, 1981) dikritik

kerana dikatakan berat sebelah atau bias terhadap golongan wanita (Gilligan, 1977, 1982a; Haan, 1977; Holstein, 1976). Hal ini berlaku disebabkan terdapat kajian-kajian yang dijalankan dengan menggunakan dilema sebenar (real-life dilemma) telah meletakkan wanita pada peringkat yang lebih tinggi berbanding

87 dengan dilema hipotetikal dalam kajian mereka. Kritikan yang paling

menyemarakkan keadaan dibuat oleh Gilligan (1977, 1979, 1982a, 1982b). Menurut Gilligan, Teori Kohlberg dan sistem pengukurannya terhadap peringkat penaakulan moral, kurang sensitif terhadap ciri-ciri golongan wanita. Sifat wanita yang mengambil berat perkara-perkara yang berkaitan dengan kebajikan, tanggungjawab dan perhubungan telah meletakkan golongan perempuan pada peringkat yang lebih rendah berbanding dengan golongan lelaki dalam Teori Kohlberg. Gilligan (1982a) berpendapat penggunaan skim yang ditetapkan oleh Kohlberg meletakkan golongan perempuan pada peringkat ketiga sahaja iaitu pada tahap konvensional dan berkemungkinan besar tidak mampu mencapai tahap pasca konvensional. Pandangan ini telah disokong oleh Lyon (1983). Untuk membuktikan kesahihan pendapat Gilligan (1982a, 1982b) dan Lyon (1983), Walker, de Vries dan Trevethan (1987) telah menggunakan kedua-dua dilema iaitu dilema hipotetikal serta dilema sebenar untuk melihat peringkat penaakulan moral serta orientasi moral ke atas 240 peserta kajian yang terdiri daripada ibu, bapa dan seorang anak. Kajian mendapati, mereka yang berada pada peringkat penaakulan moral yang lebih tinggi menggunakan kedua-dua orientasi iaitu keprihatinan dan keadilan. Kajian yang dilakukan oleh Lyons (1983), Gilligan dan Attanucci (1988), Stiller dan Forrest (1990) telah mengambil peserta kajian yang terdiri daripada lelaki dan perempuan. Persampelan dilakukan bagi mengelakkan bias jantina. Lyon (1983) pula dalam kajiannya telah menggunakan dua jenis dilema iaitu

88 dilema hipotetikal klasik oleh Kohlberg (dilema Heinz) dan juga dilema moral sebenar dengan orientasi tanggungjawab/keprihatinan yang telah dibina oleh Gilligan dalam kajiannya. Kajian oleh Gilligan dan Attanucci (1988) serta Stiller dan Forrest (1990) telah menggunakan dilema sebenar bagi mendapatkan respons pelajar tentang dilema moral. Ketiga-tiga kajian tersebut mendapati terdapat perbezaan jantina apabila memberi respons kepada dilema moral. Lyons (1983) serta Stiller & Forest (1990) melaporkan bahawa perempuan lebih dominan dalam penggunaan orientasi keprihatinan berbanding lelaki (p<.001). Hampir sama dengan kajian tersebut, Gilligan dan Attanucci (1988) juga mendapati bahawa perempuan lebih berorientasikan keprihatinan

berbanding lelaki. Bagaimanapun, kedua-dua kajian mendapati kedua jantina, lelaki dan perempuan menggunakan orientasi keprihatinan juga keadilan apabila memberi alasan kepada dilema moral. Kajian oleh Pratt et. al., (1988), Walker et. al., (1987) dan Walker (1989) mempamerkan bahawa orientasi moral peserta kajian juga bergantung kepada jenis dilema sama ada personal atau impersonal. Personal adalah dilema yang melibatkan hubungan antara peserta kajian dengan orang yang dikenali seperti keluarga dan rakan-rakan manakala impersonal adalah dilema yang mengaitkan seorang atau sekumpulan orang yang tidak mempunyai hubungan dengan peserta kajian. Apabila peserta kajian ditanya untuk menceritakan dilema diri sendiri, Pratt et al., (1988) mendapati bahawa 39% lelaki, dan 7% perempuan yang membincangkan dilema impersonal berorientasikan keadilan. Walker et al., (1987) juga mendapati peserta kajian perempuan lebih suka membincangkan

89 dilema personal manakala peserta kajian lelaki lebih suka membincangkan dilema impersonal (p<.05). Hasilnya sama seperti kajian Pratt di mana dilema personal berjaya mencungkil orientasi keprihatinan manakala dilema impersonal berjaya mencungkil orientasi keadilan (p<.005). Walker (1989) mendapat skor yang lebih tinggi di mana untuk dilema personal (p<.001). Hasilnya, berorientasikan ketiga-tiga keprihatinan kajian dan mendapati perempuan adalah lebih apabila

lelaki berorientasikan

keadilan

kandungan dilema tidak diambil kira. Dalam erti kata lain jika kandungan dilema diambil kira maka tiada seorang pengkaji yang berjaya membuktikan terdapat perbezaan jantina apabila membuat penaakulan moral. Ini bermakna, dilema personal mempamerkan orientasi keprihatinan bagi kedua jantina dan dilema impersonal menghasilkan orientasi keadilan. Memandangkan kajian yang dilakukan oleh Gilligan (1977,1982), Gilligan dan Attanucci (1988), Lyons (1983), dan Stiller dan Forrest (1990), tidak mengelaskan dilema kepada personal atau impersonal maka tidak menghairankan jika dikatakan orientasi keprihatinan dilihat memfokus kepada jantina. Terdapat beberapa pengkaji mendapati golongan wanita mentafsir dilema sebenar lebih kepada orientasi keprihatinan berbanding golongan lelaki (Wark & Krebs, 1996; Gilligan & Attanucci, 1988; Walker, de Vries & Trevethan, 1987; Ford & Lowery, 1986; Lyons, 1983). Bagaimanapun, masih terdapat pengkaji yang mendapati tiada terdapat perbezaan jantina dalam orientasi moral (Wark & Krebs; 2000). Kajian yang telah dijalankan oleh Maqsud (1979) terhadap kanakkanak perempuan dan lelaki Muslim Haunsa mendapati terdapat perbezaan

90 yang signifikan dalam respons yang diberikan apabila menjawab dilema moral. Menurut Maqsud, hal ini berlaku kerana kanak-kanak perempuan Haunsa adalah lebih patuh dan bertanggungjawab. Ini berikutan dengan budaya penduduk Haunsa di mana perempuan diharapkan agar lebih patuh dan bersifat permisif daripada lelaki. Menurutnya lagi, perbezaan jantina dalam penaakulan moral adalah bergantung pada peranan lelaki dan perempuan dalam masyarakat. Perbezaan jantina dalam penaakulan moral juga berkaitan dengan umur kanak-kanak di mana seseorang tidak dapat melihat perbezaan jantina secara signifikan dalam penaakulan moral pada awal usia kanak-kanak memandangkan peranan mereka dalam masyarakat adalah kurang. Namun perbezaan jantina dalam penaakulan moral menjadi lebih ketara apabila usia seseorang itu meningkat, memandangkan peranan individu menjadi semakin berbeza pada usia lewat kanak-kanak dan awal remaja. Dapatan yang didapati oleh Baumrind (1986) yang mendapati perempuan yang kurang berpendidikan lebih berorientasikan keadilan berbanding

perempuan yang berpendidikan tinggi. Oleh

itu, pemerhatian terhadap

perbezaan jantina dalam pemahaman moral dan tingkah laku mempamerkan kecenderungan dilema moral yang membezakan perkembangan moral lelaki dan perempuan (Gilligan & Wiggins, 1987). Gilligan dan Attanucci (1988)

menyatakan ketegangan ini wujud kerana pandangan atau alasan-alasan yang dikatakan matang dari perspektif keadilan, dilihat sebagai masalah moral dari perspektif keprihatinan sebaliknya pertimbangan moral yang matang dari

91 perspektif keprihatinaan pula dikatakan masalah moral dari perspektif keadilan, ini menyebabkan tiada persefakatan untuk berlaku adil. Pandangan ini perlu difahami sebagai saling melengkapi antara satu sama lain. Walaupun golongan lelaki dan perempuan memberi pandangan yang berbeza terhadap dilema moral, namun mereka tidak menggunakan satu orientasi sahaja. Kebanyakan mereka akan menggunakan kedua-dua orientasi apabila membincangkan dilema sebenar. Tetapi kadangkala kekerapan

menggunakan satu-satu orientasi melebihi daripada orientasi yang satu lagi (Gilligan & Attanucci, 1988).

2.7

Orientasi moral pelajar salah laku dan pelajar tidak salah laku Kajian dalam bidang penaakulan moral dalam kalangan pelajar salah laku

dan tidak salah laku menyentuh lebih kepada peringkat-peringkat penaakulan moral atau melihat hubungan antara pemikiran moral dengan tingkah laku moral. Satu kajian yang melibatkan seramai 60 orang remaja delinkuen pernah dilakukan, dengan menggunakan Hares (1985) Psychopathy Checklist. Kajian ini bertujuan melihat hubungan antara pemikiran moral dengan tingkah laku moral. Kajian klasikal oleh Kohlberg (1958) mendapati ada kaitan antara corak tingkah laku antisosial apabila pelbagai jenis alat pengukuran ketidakmatangan moral digunakan. Terdapat juga kajian yang dilakukan memberi fokus kepada usaha yang dilakukan untuk memperkembang pengetahuan moral golongan salah laku dan tidak salah laku (Haynie, 2002; Matsuede & Anderson, 1998; Harre, 1983).

92 Terdapat juga kajian yang menunjukkan terdapat perkaitan antara jenayah atau tingkah laku delinkuen dengan ketidakmatangan berfikir dalam penaakulan moral (Warr & Stafford, 2007; Sarich, 2004; Blasi, 1980; Hayes & Walker, 1986; Jurkovic, 1980; Kohlberg & Candee, 1954). Kajian seumpama ini menunjukkan remaja mempunyai kematangan yang rendah dalam penaakulan moral (Hanushek, Kain, Markman & Rivkin, 2003; Haines & Ryan, 1983; Jurkovic & Prentice, 1974). Hasil yang sama juga diperoleh apabila kajian dilakukan terhadap golongan yang telah didiagnosis sebagai sosiopathic atau psychopathic (Moffiltt, 2005; Campagna & Harter, 1975; Jurkovic & Prentice, 1977; Trevethan & Walker, 1989). Turiel (1983) dalam kajian-kajiannya pula mendapati bahawa setiap manusia akan dapat membezakan pengetahuan sosial, moral dan peraturanperaturan yang mengikat nilai ini. Turial berjaya mengenal pasti tujuh peringkat pengetahuan sosial dan mendapati pelajar-pelajar yang sering mengganggu suasana kelas berada di tangga terendah daripada tujuh peringkat. Semasa peringkat remaja, terdapat peralihan dalam keupayaan membuat keputusan yang mana keputusan yang ingin dilakukan sering bergantung kepada peringkat kognitif seseorang. Peringkat kognitif ini merujuk kepada

perkembangan yang dilalui dan egosentrism (Hirschi & Gottfredson, 2003; Levine & Linn, 1977). Contohnya pada usia remaja keupayaan remaja adalah membuat deskripsi serta menerangkan sesuatu fenomena (Gaviria & Raphael, 2001). Sekiranya fenomena ini difahami dan mampu dijelaskan, pengetahuan ini mungkin mampu digunakan dalam situasi yang sama pada masa depan.

93 Bagaimanapun, terdapat elemen lain yang juga mampu mempengaruhi keupayaan seseorang remaja membuat keputusan iaitu pengalaman pada

masa lalu (Levine & Linn, 1977, Linn & Pulos, 1983). Mereka mendapati remaja menunjukkan kematangan yang lebih pada situasi-situasi yang pernah dilalui. Didapati apabila remaja diberi satu situasi yang tidak pernah dialami, keputusan selalunya berat sebelah atau bias. Satu lagi elemen yang mempengaruhi keupayaan seseorang remaja membuat keputusan adalah jangkaan serta isu kontekstual (Beaver & Wright, 2005; Levine & Linn, 1977; Juhasz & Sonnenshein-Schneider, 1980; Linn, Pulos & Gans, 1981; Linn, de Benedictus & Delucchi, 1982). Gilligan sendiri mencadangkan agar isu kontekstual digunakan untuk melihat orientasi moral pelajar kerana isu seumpama ini lebih difahami dan pernah dilalui oleh individu. Selain itu, perkembangan kognitif juga didapati rendah dalam kalangan mereka yang delinkuen (Warr & Stafford, 2007). Secara keseluruhannya, remaja delinkuen mempamerkan keupayaan penaakulan yang lebih rendah daripada remaja tidak delinkuen (Sarich & Miele, 2004; Hains, 1981; Hains, 1982; Hains, 1985). Keputusan yang dilakukan didapati sering berat sebelah terhadap informasi, situasi tekanan dan pengaruh egosentrik. Pengkaji-pengkaji sebelum ini telah menyiasat penaakulan moral dalam kalangan remaja salah laku dalam kerangka perkembangan moral (Kohlberg, 1969; Jurkovic & Prentice, 1977). Teori perkembangan moral dan konsep penaakulan moral telah digunakan untuk menyiasat tingkah laku salah laku remaja (Jurkovic, 1980). Kohlberg (1958)

94 mengandaikan bahawa penaakulan moral memainkan peranan penting dalam tingkah laku moral. Penaakulan moral didapati menyediakan kesepaduan dalam banyak proses seperti menjawab soalan-soalan, keraguan-keraguan, pertimbangan serta keputusan yang mampu mengubah tingkah laku moral. Jika dilihat daripada perspektif ini, tingkah laku moral mampu dilihat sebagai satu kriteria untuk mengukur penaakulan moral (Nelson, Smith, dan Dodd, 1990). Dengan ini pengkaji-pengkaji sering membuat hipotesis bahawa penaakulan moral remaja salah laku adalah kurang matang berbanding remaja tidak salah laku (Moffiltt, 2005; Jurkovic & Prentice, 1977; Kohlberg, 1958). Kajian meta analisis oleh Nelson, Dodd dan Smirt (1990) telah melibatkan 13 kajian lepas yang menggunakan vignet hipotetikal Kohlberg dan 2 lagi kajian lepas yang menggunakan vignet dilema sendiri. Kajian ini mengambil kira kumpulan salah laku yang berusia 11-17 tahun. Dapatan menunjukkan min 0.74 (median=0.79), bermaksud kajian meta analisis ini menyokong pendapat yang menyatakan peringkat penaakulan moral remaja salah laku adalah rendah berbanding remaja tidak salah laku. Kesimpulannya, bab dua ini telah membincangkan tujuh perkara yang menyentuh tentang isu-isu berkaitan kemoralan, teori-teori perkembangan moral, orientasi moral dalam penaakulan moral, perbezaan jantina dalam orientasi moral, perbezaan jantina dan dilema sebenar, penggunaan dilema moral dalam kajian penaakulan moral, serta orientasi moral pelajar salah laku dan pelajar tidak salah laku. Kajian-kajian lepas yang telah dibincangkan mampu memberi

95 panduan kepada penyelidikan ini. Terutamanya bagi mengenal pasti orientasi moral pelajar salah laku dan tidak salah laku dengan mengambil kira faktor jantina dan jenis dilema sebenar dalam kalangan pelajar tingkatan empat.

You might also like