You are on page 1of 3

MIDI/Di sebalik Rasa 15 Jun 2013 Sofiyah Satuyah Rasin Email: sofiyah.odyssey@gmail.

com Ekspresi As Syakur Anjing Doberman Februari 2011. Cemas bercampur tandatanya memenuhi perasaan si jurukamera, Patrick Schneider. Dia tidak dapat menjangka apa yang bakal berlaku di hadapannya. Patrick mengangkat kameranya bersedia untuk merakamkan sesuatu yang bakal berlaku. Sebagai jurukamera akhbar tempatan The Observer di daerah Charlotte, North Carolina, Patrick berharap untuk mengabadikan gambar yang bertaraf berita. Kejadian yang biasa-biasa jika dirakamkan hanya dinilai sebagai gambar biasa yang tidak layak mengisi dada media massa. Ternyata hari itu di mengabadikan gambar yang sangat menyentuh hati. Patrick berada di lokasi kebakaran. Dia Nampak seekor anjing betina jenis Doberman yang sedang mengandung merenung ahli bomba yang sedang berehat selepas bertungkus-lumus memadamkan api. Anjing itu kemudian bangun dan berjalan menuju ahli bomba. Situasi ini yang membuat jurukamera cemas dan tertanya-tanya apa yang bakal berlaku. Anjing jenis Doberman biasa dipelihara, menjadi anjing pengawal dan pernah popular sebagai anjing bantuan polis. Sifatnya garang dan agresif. Sifat inilah yang menyebabkan anjing jenis ini sering dijadikan pengawal peribadi namun bukan sebagai kawan sepermainan. Ia mengawal dan melindungi tuannya, tetapi garang dan agresif terhadap orang yang tidak dikenali. Alangkah lega hati jurukamera bila melihat apa yang berlaku dan sempat diambil gambar. Anjing betina itu menjilat-jilat wajah ahli bomba yang sedang keletihan. Anjing jenis Doberman itu rupanya kenal ahli bomba tersebut. Bagaimana mereka berkenalan? Mereka berkenalan dalam nyalaan api. Rumah tuan anjing terbakar. Dalam keadaan yang teragak-agak dan sedikit cemas, ahli bomba nekad mendukung anjing yang sedang mengandung itu dan menyelamatkannya dari terbakar di dalam rumah. Selepas meletakkan anjing di tempat selamat, dia meneruskan tugas memadamkan kebakaran sehingga selesai. Ahli bomba mengambil peluang melepaskan keletihannya lalu duduk berehat. Ketika inilah anjing tersebut mengecam wajah manusia yang menyelamatkannya lalu berjalan menuju lelaki itu dan menjilat-jilat wajahnya. Menjilat adalah bahasa badan yang digunakan oleh anjing untuk menunjukkan kasih sayang. Anjing yang sedang mengandung anak-anak di dalam rahimnya menunjukkan sikap berterima kasih dan menyayangi penyelamatnya. Segala puji milik Allah As Syakur (Maha Mensyukuri) Al Hamid (Maha Terpuji) yang menciptakan anjing tersebut. Pada anjing tercatat bukti kebesaran Allah s.w.t untuk diambil pengajaran dan inspirasi oleh manusia. Bukankah manusia adalah khalifah bumi dan sentiasalah Allah mengaturkan pengajaran dan iktibar supaya hati manusia selalu ingat kepada-Nya. Manusia yang diberikan amanah sebagai khalifah di bumi menempuh berbagai ujian dalam menjalankan tugas mentadbir bumi. Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah (tanggungjawab agama) kepada langit, bumi serta gunung ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan untuk memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya. (Pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikul amanah itu. (Ingatlah) sesungguhnya (kebanyakan) manusia adalah suka melakukan kezaliman dan amat bodoh. (Surah Al Ahzab 33: ayat 72)

Dengan keterbatasan akal dan jiwa, ujian-ujian mentadbir bumi sering membuat manusia letih atau hilang tenaga. Ada masanya perasaan tertekan. Ketika ahli bomba keletihan, Allah ilhamkan melalui malaikat supaya membisikkan ilham secara fitrah ke dalam hati anjing Doberman supaya menyatakan terima kasih serta menghargai jasa ahli bomba itu. Pasti terharu perasaaan si ahli bomba bila dihargai sedemikian rupa. Hati manusia pasti tenang dan bertenaga bila mengingati penciptanya. Ini jaminan dari Allah s.w.t dan diabadikan dalam maksud firman-Nya di dalam Al Quran: (Iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan zikrullah (mengingati Allah). Ketahuilah dengan zikrullah itu hati menjadi tenang. (Surah Ar Rad 13: ayat 28) Rasa kesyukuran dari hati berjiwa hamba. Seekor anjing sering dikaitkan dengan kehinaan. Ia tidak pernah memikirkan tentang hina atau mulia dirinya. Ia tidak diciptakan sebagai khalifah bumi. Ia dicipta sebagai bukti keagungan Penciptanya. Manusia sentiasa ada pilihan untuk bersyukur atau sebaliknya dan sebagai pemegang amanah khalifah bumi, manusia menerima balasan dan risiko dari pilihan yang dibuatnya menggunakan pertimbangan minda dan hati. Janji Allah, siapa yang bersyukur akan ditambah lagi anugerah kepadanya. Dan (ingatlah), ketika Tuhan kamu memberitahu: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat-Ku) kepadamu, dan jika kamu mengingkarinya (kufur nikmat), maka sesungguhnya azab-Ku amat keras. (Surah Ibrahim 14: ayat7) Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadanya). [Surah Al Fathir 35: ayat 30] Mengambil inspirasi dan bertauhid dengan nama Allah As Syakur bermakna sentiasa bersyukur kepada Allah dengan hati, lisan dan seluruh anggota badan. Tidak tersentuhkah hati apabila Allah As Syakur memberi peringatan melalui seekor anjing? Makhluk yang sering dipandang hina dan sentiasa diharap untuk memberi khidmat kepada manusia dijadikan contoh pengajaran buat manusia. Subhanallah... Dalam serba kefakiran manusia sebagai makhluk, Allah Al Hamid masih memuji keistimewaan makhluk yang dilantik-Nya sebagai khalifah-Nya di bumi. Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. (Surah At Tin: ayat 4) Dalam situasi manusia yang diciptakan dalam bentuk yang sebaik-baiknya, Yang Maha Terpuji adalah Allah Al Hamid dan segala pujian, hakikatnya adalah milik-Nya. Dan Allah menguasai segala-galanya, maka) wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara) , sedangkan Allah, Dialah yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji. (Surah Al Fathir 35 : ayat 15) Allah jualah Yang memiliki segala yang ada di langit dan di bumi, sesungguhnya Allah, Dialah jua Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (Surah Luqman 31: ayat 26) Ahli bomba telah menjalankan amanah melindungi makhluk yang lain. Allah Al Hamid (Maha Terpuji) memuji tindakannya dengan mengilhamkan Patrick Schneider mengambil gambarnya tepat pada saat dihargai oleh seekor anjing. Gambar tersebut tersebar di seluruh dunia melalui media massa dan laman internet. Ya Allah Ya Syakur Ya Hamid, anugerahkanlah kami kebijaksanaan untuk mengambil inspirasi mengenal-Mu dari setiap peristiwa yang Engkau taqdirkan. Detik Patrick Schneider

mengambil gambar bukan kebetulan. Peristiwa kebakaran di rumah tempat anjing Doberman berlindung bukan satu kebetulan. Ahli bomba berada di tempatnya bertugas bukan satu kebetulan. Semuanya dalam perancangan dan ketentuan-Mu untuk menyapa hati hambahamba-Mu yang mendapat khabar tentang kisah ini. Jadikan hati kami sentiasa bersyukur. Lembutkan hati kami untuk memuji kebesaran dan keagungan-Mu sebagaimana semua makhluk ciptaan-Mu yang lain memuji-Mu. Langit yang tujuh dan bumi serta sekelian makhluk yang ada padanya sentiasa mengucap tasbih bagi Allah. Tiada suatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya. Tetapi kamu tidak memahami tasbih mereka. (Al Isra 17: ayat 44) Ya Allah, segala puji bagi-Mu yang memenuhi langit dan bumi dan apa yang ada di antara kedua-duanya dan memnuhi apa-apa yang Engkau kehendaki

You might also like