You are on page 1of 14

Tajuk: Nyatakan bagaimana guru boleh berperanan dalam melaksanakan strategi-strategi untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)

agar dapat diaplikasikan di dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR)

KONSEP FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, falsafah bermaksud pengetahuan tentang ilmu yang tertinggi atau sebagai dasar kepada ilmu-ilmu lain. Istilah falsafah berasal daripada dua perkataan Yunani, iaitu philos (bermakna kecintaan) dan sophia (bermakna kebijaksanaan). Dengan berpandukan kepada makna dua perkataan Yunani ini, istilah falsafah boleh diertikan sebagai perihal mencintai kebijaksanaan atau mencintai ilmu. Menurut Akta Pendidikan tahun 1996, Falsafah Pendidikan Negara tahun 1988, telah digantikan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan pada tahun 1996 (Kementerian Pendidikan, 1999). Falsafah Pendidikan Kebangsaan, 1996, berbunyi: Pendidikan di Malaysia ialah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dulunya disebut Falsafah Pendidikan Negara (FPN) merupakan dasar kepada pendidikan di Malaysia. Hal ini bermakna, semua aktiviti pendidikan dan persekolahan di Malaysia mestilah selaras dengan FPK ini. Justeru setiap bakal guru di Malaysia diwajibkan membaca, memahami dan mengingati falsafah ini agar setiap tindakan mereka melalui proses pengajaran dan pembelajaran sentiasa berada dilandasan yang betul. Intipati utama dalam FPK ini ialah melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual yang sering disebut oleh guru-guru sebagai JERI. Perlu diingat bahawa tidak ada yang lebih utama antara keempatempat unsur tersebut, yakni tidak boleh dikatakan jasmani lebih penting daripada intelek atau sebaliknya Salah satu yang terkandung dalam FPK adalah falsafah tentang manusia yang berasaskan kepercayaan kepada Tuhan dan agama. Matlamat pendidikan adalah untuk membangunkan semua aspek diri manusia secara harmonis dan seimbang supaya kesepaduan fitrah diri manusia terpelihara. Berilmu dan berpendidikan harus menghasilkan budi pekerti yang baik dan akhlak yang mulia yang sekali gus menjadi ciri-ciri asasi seorang ahli keluarga, masyarakat dan warganegara yang baik dan terdidik. Satu konsep asas yang terkandung dalam FPK ialah tentang ilmu, nilai ilmu dan peranan ilmu dalam pembangunan insan dan masyarakat. Nilai ilmu terletak pada kebenaran kandungan yang berfungsi bukan sahaja untuk memaklumkan dan menerangkan kepada manusia akan sesuatu, tetapi lebih penting lagi ilmu mempengaruhi, mengubah dan membentuk diri serta masyarakat manusia. Fungsi ilmu yang boleh mengubah manusia dan masyarakat inilah yang menjadikan sesuatu yang amat tinggi nilainya. Pendidikan ialah satu proses dan aktiviti sepanjang hayat dan manusia sentiasa berada dalam keadaan memerlukan perluasan, pendalaman dan pengesahan kepada ilmu yang ada. Pengalaman bukan sahaja boleh memperkaya dan mengukuhkan ilmu tetapi juga mencabar dan mengubah ilmu yang sedia ada

pada manusia. FPK juga melihat individu itu dalam beberapa lapisan pertalian atau perhubungan. Tujuan pendidikan bukan sahaja untuk pembangunan dan kesejahteraan diri individu tetapi juga untuk pembangunan dan kesejahteraan setiap lapisan hubungan individu berkenaan bermula dengan keluarga, meluas kepada masyarakat dan negara. Berdasarkan FPK, jelas bahawa tujuan pendidikan tinggi bukan hanya setakat memperoleh segulung ijazah atau diploma, tetapi adalah untuk pembangunan diri manusia secara menyeluruh dan seimbang supaya menjadi seorang insan, ahli keluarga dan masyarakat dan warganegara yang berilmu, bertanggungjawab, berakhlak mulia, dan berbakti. [Mok, 2008] Berpandukan kepada pernyataan Falsafah Pendidikan Kebangsaan di atas, pendidikan di Malaysia merupakan suatu usaha memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Matlamat pendidikan ialah melahirkan rakyat yang berilmu pengetahun, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berupaya mencapai kesejahteraan dan memberi sumbangan untuk keharmonian dan kemakmuran negara. Seiringan dengan itu, Falsafah Pendidikan Guru telah digubal untuk menjadi panduan bagi merealisasikan FPK. Secara dasar, FPG menjelaskan jenis guru yang diperlukan oleh negara kita. Ia berbunyi seperti di bawah: Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin perkembangan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin.

[Mok, 2008] Berdasarkan kepada FPG di atas, maka matlamat pendidikan guru ialah menghasilkan guru yang berkualiti dari segi peribadi, profesional, sosial dan amalan tingkah laku; menguasai ilmu, kemahiran dan amalan nilai-nilai keguruan, serta berupaya mencapai kecemerlangan pendidikan untuk pengisian tuntutan Wawasan Pendidikan dalam abad ke-21. [Choong, 2008] FPG digubal bertujuan untuk menjadi panduan bagi merealisasikan FPK. Ia sebenarnya menjelaskan jenis guru yang dihasratkan oleh negara kita. Justeru, guru mempunyai akautabiliti yang tinggi terhadap murid, ibu bapa, masyarakat dan negara bagi memastikan sistem penyampaian ilmu, kemahiran dan nilai yang berkesan. Guru juga disifatkan sebagai rol model dan teladan bagi golongan murid. Sehubungan itu, guru hendaklah mempunyai sahsiah yang baik. Dengan adanya FPG yang telah digubal untuk menjadi panduan bagi merealisasikan FPK, maka jelaslah bahawa para pendidik memainkan peranan utama dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Berikut merupakan beberapa cara bagaimana seorang guru dapat merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru dalam profesionnya untuk diaplikasikan dalam KBSR. 1. Pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum yang dapat berjaya

memperkembang potensi pelajar dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial secara keseluruhan dan bersepadu Salah satu strategi merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah pembangunan insan iaitu memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu. Salah satu perkara yang diberi penekanan dalam strategi

pembangunan insan pula ialah penyediaan kurikulum yang relevan dengan mengubahsuai kandungannya mengikut keperluan semasa. Dalam buku Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979), kurikulum ditakrifkan sebagai segala rancangan yang dikendalikan oleh sesebuah sekolah ataupun sesebuah institusi pelajaran untuk mencapai matlamat pendidikan. Kandungan kurikulum sekolah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu: (i) Sukatan Pelajaran dan kandungan mata pelajaran serta segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran; dan (ii) Aktiviti kokurikulum seperti sukan, permainan, kelab dan unit beruniform. Peranan kurikulum dalam pendidikan di Malaysia adalah untuk

mengembangkan potensi murid-murid dari segi intelek, jasmani, rohani dan sosial dengan seimbang dan menyeluruh, membina sifat-sifat yang boleh membawa ke arah perpaduan negara serta menghasilkan tenaga rakyat yang mahir dan terlatih untuk keperluan negara. Oleh itu, guru haruslah terlebih dahulu memahami dan menghayati falsafah dan matlamat kurikulum, struktur dan organisasi kurikulum serta sukatan pelajarannya untuk memastikan suatu kurikulum dapat dilaksanakan dengan jayanya. Di samping itu, guru harus mempunyai pengetahuan tentang mata

pelajaran pengkhususannya serta mempunyai kemahiran mengajar termasuk menghubungkan pengetahuan, kemahiran dan nilai di antara satu sama lain, mengendalikan pengajaran bagi pelajar-pelajar pelbagai kebolehan, serta mempunyai ciri-ciri keguruan yang positif dan kreatif untuk melaksanakan dan manjayakan kurikulum yang terbentuk. Dalam pelaksanaan dan kejayaan kurikulum, guru harus mengetahui peranannya di peringkat sekolah iaitu meliputi tugas-tugas seperti menganalisis

objektif kurikulum dan isi kandungannya, menentukan keperluan pelaksanaan seperti melengkapkan diri dengan kemahiran mengajar dan penyediaan bahanbahan pelajaran, merancang dan melaksanakan pengajaran mengikut saranan kurikulum serta membuat penilaian untuk mengenal pasti kelemahan dengan tujuan meningkatkan keberkesanan dalam pelaksanaan kurikulum dengan membuat pengubahsuaian dalam rancangan mengajar. Pada masa yang sama, guru juga boleh memilih bahan-bahan tambahan seperti buku kerja yang sesuai untuk murid-muridnya, melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum serta menyediakan alat bantu mengajar yang sesuai. Setiap tugas dan peranan guru yang telah dinyatakan diatas adalah bertujuan untuk memastikan pelaksanaan kurikulum oleh guru adalah seiring dengan kurikulum yang telah disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan seterusnya memperkembang potensi pelajar dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial secara keseluruhan dan bersepadu. 2. Pelaksanaan pengurusan dan pentadbiran dengan penyelenggaraan prasarana supaya kemudahan atau sumber pengajaran dan pembelajaran dapat digunakan secara licin dan optimum, serta dalam keadaan yang baik dan selamat Di dalam salah satu strategi untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu pembangunan insan, perubahan organisasi sekolah ke arah mewujudkan situasi yang sesuai untuk melahirkan pelajar-pelajar mengikut tujuan dan cita FPK adalah dengan menyediakan kemudahan dan sumber pengajaran dan pembelajaran supaya pelajar-pelajar mendapat peluang untuk mengembangkan potensi mereka dari segi intelek, rohani, emosi, sosial dan jasmani, secara menyeluruh dan seimbang. Sebagai contoh, sistem teknologi yang canggih seperti ICT telah diperkenalkan bagi penyediaan sistem penyampaian yang berkesan. Manakalah penyediaan bahan-bahan rujukan,

bahan pengajaran dan pembelajaran disediakan agar aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih berkesan, seronok dan bermakna. Organisasi sumber pengajaran-pembelajaran adalah amat penting untuk aktiviti pembelajaran dalam bilik darjah. Sekiranya sumber pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah diorganisasikan dengan baik, teratur dan sistematik, keberkesanan interaksi murid dengan bahan serta aktiviti pembelajaran akan dapat dipertingkatkan. Oleh itu, untuk merealisasikan hasrat FPK dan FPG, seorang guru harus melaksanakan peranannya sebagai seorang pengurus. Antara tugas guru sebagai pengurus ialah mengurus rutin bilik darjah; mengurus murid-murid supaya menjalankan tugas mereka mengikut jadual bertugas seperti membersihkan bilik darjah dan menyusun meja-kerusi; mengurus murid-murid supaya mematuhi segala peraturan bilik darjah; mengurus keadaan fizikal bilik darjah supaya menjadi lebih kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran; dan mengurus bahan-bahan pengajaran supaya dapat digunakan dengan lebih berkesan. Kecekapan guru menjalankan tugas sebagai pengurus akan mewujudkan suasana sosioemosi yang selesa, disiplin kelas yang baik dan keadaan bilik darjah yang kondusif dan sesuai untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Justeru dengan itu, untuk menjadi pengurus bilik darjah yang berkesan, seorang guru perlu mengetahui dan memahami elemen-elemen pengurusan bilik darjah serta berusaha untuk menguasai kemahiran-kemahiran yang berkaitan dengan pengurusan bilik darjah.

3. Pelaksanaan perhubungan dengan masyarakat dengan mewujudkan perkongsian pintar (smart partnership) di antara sekolah dengan masyarakat supaya melahirkan semangat kerjasama demi dapat membantu pembangunan sekolah, baik dalam sumber kewangan mahupun tenaga yang diperlukan Mengikut Yang Berbahagia Dato Hj. Abdul Rafie Bin Mahat, Bekas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia di dalam kertas kerjanya yang bertajuk Pengukuhan dan Peningkatan Kualiti Pendidikan Dan Profesionalisme Keguruan menyatakan: Hubungan tiga dimensi iaitu sekolah, rumah dan komuniti perlu diberi penekanan. Ketiga-tiga entiti ini perlu ada hubungan yang mantap dan akrab kerana kejayaan sistem pendidikan negara bergantung kepada sejauh mana ketiga-tiga elemen ini dapat berfungsi, saling melengkapi dan bantu membantu antara satu sama lain. Saranan beliau itu amat jelas menyatakan bahawa sesebuah institusi pendidikan tidak boleh wujud bersendirian. Hubungan tiga dimensi yang disebut oleh beliau menerangkan bahawa permuafakatan dan perkongsian bijak penting untuk membawa kejayaan kepada sesebuah sistem pendidikan pada masa kini. [Mohd, 2004] Dalam usaha mencapai cita-cita sekolah dan negara, konsep perkongsian dalam pendidikan cuba mencapai matlamat supaya masyarakat dapat mengambil berat terhadap anak-anak mereka di sekolah. Permuafakatan dan kerjasama sekaligus akan menunjukkan keprihatinan mereka terhadap usaha membentuk dan mendidik generasi pada masa akan datang. Matlamat yang berkaitan dengan konsep ini adalah: (i) mewujudkan permuafakatan dan perkongsian pintar yang mantap dan akrab antara pihak sekolah, rumah dan komuniti supaya sistem pendidikan mencapai kejayaan;

(ii) (iii)

penglibatan masyarakat amat penting dalam membentuk dan mendidik generasi masa depan; dan masyarakat dapat menjayakan hasrat murni ini melalui sumbangan idea, tenaga, bahan atau peralatan serta wang ringgit. Namun suatu hakikat yang tidak dapat dielakkan bahawa pelaksanaan konsep ini hanya akan berjaya jika pihak sekolah yang memainkan peranan sebagai pencetus atau penggerak ke arah permuafakatan dan perkongsian pintar.

[Epstein, 1995] Jika pendidik melihat murid-murid sebagai seorang anak, mereka cenderung untuk melihat keluarga dan komuniti sebagai rakan kongsi dengan sekolah dalam perkembangan dan pendidikan kanak-kanak. Rakan kongsi mengenalpasti minat dan tanggungjawab yang sama terhadap kanakkanak, dan mereka bekerjasama untuk mewujudkan program serta peluang yang lebih baik kepada murid-murid ini. Apabila ibu bapa, guru-guru, pelajar dan masyarakat lain melihat di antara satu sama lain sebagai rakan kongsi di dalam pendidikan, wujud suatu komuniti yang mengambil berat. Oleh itu, guru perlu melaksanakan perhubungan dengan masyarakat dengan mewujudkan perkongsian pintar (smart partnership) di antara sekolah dengan masyarakat supaya melahirkan semangat kerjasama demi dapat membantu pembangunan sekolah, baik dalam sumber kewangan mahupun tenaga yang diperlukan. Sebagai seorang pendidik, guru perlu mewujudkan hubungan komunikasi yang baik dengan para ibu bapa. Guru mestilah menghormati para ibu bapa kepada murid-muridnya serta berusaha mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat di antara institusi pendidikan dengan rumah tangga tanpa mengira kedudukan sosial dan ekonomi ibu bapa pelajar. Guru juga perlu membina kepercayaan ibu bapa terhadap para guru dengan tidak memberikan

maklumat keadaan keluarga atau murid (yang diberikan oleh ibu bapa) kepada orang yang tidak berhak. Selain itu, guru juga perlu menghormati masyarakat setempat dan memenuhi segala tanggungjawab sebagai seorang warganegara dan sentiasa sanggup mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan masyarakat. Guru juga perlu menggalakkan kerjasama dan persefahaman di antara guru dengan ibu bapa, institusi pendidikan dengan masyarakat. Masyarakat, terutamanya ibu bapa pelajar, sepatutnya dijemput untuk menyertai sebarang aktiviti-aktiviti sekolah supaya dapat meningkatkan kesedaran masyarkat, khasnya ibu bapa mengenai peranan mereka dalam menjayakan hasrat FPK.

4. Melengkapkan diri dengan pengetahuan am dan pengetahuan dalam mata pelajaran, serta pengetahuan ikhtisas keguruan. Untuk menyampaikan pelajaran dengan yakin dan menyebarkan ilmu yang lengkap, guru harus memperoleh ilmu pengetahuan yang luas serta mendalam tidak kira dalam mata pelajaran yang diajar maupun pengetahuan am. Objektif ini hanya boleh dicapai apabila guru sentiasa membaca buku ilmiah serta peka terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekeliling melalui suratkhabar, radio, televisyen dan internet. Selain pengetahuan am dan pengetahuan dalam mata pelajaran, seorang guru juga perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan ikhtisas keguruan. Ikhtisas ialah suatu pekerjaan yang biasanya memerlukan latihan dan pendidikan yang mendalam. Mengajar pula ialah sesuatu pekerjaan yang melibatkan intelek dan tindakan yang cekap. Guru perlu sentiasa belajar, berfikir, merancang dan menilai murid-muridnya. Di samping itu, beliau mesti mempunyai pengetahuan yang luas, kemahiran dan kaedah penyampaian yang cekap serta mempunyai sahsiah yang elok dan bersikap dedikasi dalam pekerjaan mengajar.

10

Pelbagai jenis ilmu pengetahuan seperti ilmu psikologi kanak-kanak, ilmu kaedah mengajar, ilmu kurikulum, dan sebagainya dapat diperolehi dalam meningkatkan pengetahuan ikhtisas keguruan. Selain membaca buku ilmiah, pengetahuan ini dapat diperolehi dengan menyertai seminar pendidikan dan menghadiri Kursus Dalam Perkhidmatan. Pengetahuan ini dapat meningkatkan prestasi guru dalam aktiviti pengajaran dan seterusnya menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dalam memenuhi hasrat FPG dan FPK. 5. Menyemai dan memupuk nilai-nilai murni dan etika keguruan kepada diri dan pelajar selaras dengan tuntutan FPG Konsep nilai dalam konteks pendidikan adalah berkait dengan moral, prinsip atau kelakuan orang, khasnya pelajar-pelajar di sekolah. Salah satu cara untuk membentuk nilai moral yang baik, wajar dan diingini ialah melalui contoh teladan. Guru perlu memainkan peranan sebagai ibu bapa kepada murid-muridnya dalam membentuk sahsiah dan kelakuan mereka sesuai dengan nilai dan norma masyarakat. Tingkah laku guru adalah contoh teladan kepada murid-murid. Oleh itu, guru haruslah mempunyai sifat-sifat yang terpuji yang boleh menjadi teladan kepada murid-murid untuk dicontohi. Sebagai contoh, guru haruslah sentiasa berpakaian kemas, berkelakuan baik, bersopan santun, berbudi bahasa, sentiasa menepati masa, rajin dan mempunyai sikap positif terhadap tugastugasnya. Sehubungan dengan ini, guru haruslah berusaha menyemai dan memupuk nilai-nilai murni dan etika keguruan kepada diri sendiri terlebih dahulu.

11

6. Menyempurnakan tanggungjawab dan akauntabiliti sebagai insan guru yang sentiasa mencari ilmu serta mengamalkannya bagi memenuhi tuntutan keperluan pendidikan dan masa depan Mengikut Kamus Dwibahasa, perkataan akauntabiliti dihuraikan sebagai bertanggungjawab kepada seseorang atau bertanggungjawab terhadap sesuatu. Di bawah konteks keguruan, akauntabiliti boleh dirumuskan sebagai bertanggungjawab terhadap profesionalisme keguruan. Sebagai seorang pendidik, guru bertanggungjawab untuk sentiasa mencari ilmu serta mengamalkannya bagi memenuhi tuntutan keperluan pendidikan dan masa depan. Ilmu pengetahuan merupakan alat yang utama dan mengandungi nilai yang berharga kepada manusia kerana ilmu dapat mengubah diri manusia daripada jahil kepada berpengetahuan, bebal kepada cerdik, mundur kepada maju dan derita kepada bahagia. Seorang guru yang berilmu pengetahuan bukan saja memperolehi pengetahuan, kebenaran dan keyakinan, tetapi sanggup untuk menggunakan ilmunya demi menegakkan kebenaran dan keadilan serta memberi sumbangan yang bermakna kepada keluarga, masyarakat dan negara. Salah satu matlamat pendidikan mengikut FPK ialah melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Oleh itu, guru yang mengamalkan ilmu akan sentiasa memberi sumbangan yang bermakna bagi memastikan matlamat FPK dapat dicapai.

12

7. Mengamalkan pengajaran dan pembelajaran selaras dengan hasrat FPG, khasnya mengembangkan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu patu, demokratik, progresif dan berdisiplin Selain daripada perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan seimbang, proses pendidikan Malaysia juga diharapkan dapat mencapai matlamat pendidikan untuk melahirkan rakyat yang bersatu patu, demokratik, progresif dan berdisiplin. Dengan kata lain, melahirkan rakyat yang memiliki sikap kenegaraan. Sebagaimana yang telah diketahui, unsur-unsur kenegaraan telah tersisip dalam semua mata pelajaran sama ada di bawah rancangan KBSR atau KBSM. Peranan guru pula ialah menonjolkan sikap kenegaraan, khasnya cinta dan taat setia kepada negara, semasa menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. [Mok, 2008] Peneguhan pembentukan sikap kenegaraan boleh

dilaksanakan secara langsung apabila guru mengajar dalam mata pelajaran seperti Pendidikan Moral, Sejarah, Bahasa Melayu dan sebagainya, atau secara tidak langsung apabila murid-murid menjalankan aktiviti kumpulan di mana murid-murid akan dilatih mengamalkan sikap-sikap seperti kerjasama, tolongmenolong, hormat-menghormati, tanggungjawab dan toleransi. Guru sebagai patriot memainkan peranan yang penting dalam membina satu budaya yang berteraskan perpaduan. Oleh itu, guru harus menekankan unsur perpaduan (patuh kepada ideologi Rukun Negara) dalam semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran termasuk aktiviti kokurikulum.

13

BIBLIOGRAFI Choong, L.K. (2008). Falsafah dan Pendidikan di Malaysia untuk Program Pergurauan Pendidikan Rendah Pengajian 4 Tahun, Siri Pendidikan Guru. Mok S.S. (2008). Ilmu Pendidikan Untuk KPLI (Sekolah Rendah: Komponen 1 & 2) Psikologi Pendidikan & Pedagogi, Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Mohd, S. M. (2004). Perkongsian Dalam Pendidikan-Fokus Di Sekolah [Versi elektronik]. Jurnal Penyelidikan Jilid 5, 2004, Institut Perguruan Batu Lintang. Epstein, J. L. (1995). School/family/community Partnerships: Caring for the Children We Share [Versi elektronik]. Artikel Jurnal Phi Delta Kappan, Vol. 76, 1995.

14

You might also like