You are on page 1of 3

Jenis-jenis Pencemaran Terdapat pelbagai cara pencemaran ini boleh berlaku .

Tetapi ianya terbahagi kepada dua jenis iaitu : Pencemaran yang disebabkan oleh faktor Semulajadi Pencemaran yang disebabkan oleh faktor semulajadi adalah pencemaran yang berlaku dengan sendirinya setelah berlakunya bencana alam seperti letusan gunung berapi, dilanda ribut taufan, gempa bumi dan sebagainya . Contohnya: Pencemaran yang disebabkan oleh faktor semulajadi seperti letusan gunung berapi, ribut taufan, gempa bumi dan sebagainya, banyak memberi kesan kepada kerosakan harta benda. Sebagai contoh kejadian letusan gunung berapi yang berlaku di Indonesia iaitu Gunung Merapi telah menyebabkan berlakunya kerosakan harta benda. Ini disebabkan oleh lahar panas yang dikeluarkan oleh gunung tersebut. Antara kerosakan harta benda yang berlaku ialah kemusnahan kediaman penduduk dan kemudahan infrastruktur di kawasan yang terlibat. Pencemaran yang disebabkan oleh faktor manusia Pencemaran yang disebabkan oleh faktor manusia adalah pencemaran yang dilakukan oleh manusia sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Antaranya adalah pencemaran udara, pencemaran air, pencemaran tanah dan pencemaran bunyi. (a) Pencemaran Udara Pencemaran udara diakibatkan oleh panambahan bahan pencemar seperti gas, debu dan asap ke atmosfera. Keadaan ini menyebabkan gangguan dalam kehidupan manusia, haiwan, tumbuhan dan harta benda kita. Tambahan pula, iklim dunia juga terganggu. Antara bahan pencemar, gas karbon dioksida merupakan bahan pencemar utama di negara kita (Laporan Sahabat Alam Sekitar M'sia-1984) Asap yang mengandungi zarah karbon adalah bahan pencemar alam yang paling ketara. Apabila karbon banyak terdapat di atmosfera, wap air terkondensasi pada cuaca sejuk dan membentuk asbut. Oksida nitrogen terhasil daripada pembakaran bahan api dalam kenderaan bermotor atau kilang pada suhu yang tinggi. Selain itu, ia juga terhasil secara semulajadi semasa ribut petir dan tindakan bakteria dalam tanah. 1. Kesan Rumah Hijau Kesan rumah hijau merupakan suatu fenomena pemanasan bumi. Sinar ultraungu yang dipancarkan oleh matahari ke bumi, sebahagiannya akan dipantul semula ke angkasa lepas oleh atmosfera, sebahagian lagi pula akan sampai ke bumi untuk memanaskan bumi. Haba yang sampai ke bumi akan dipantul semula oleh permukaan bumi ke angkasa lepas sebagai sinar inframerah. Tidak semua tenaga haba ini akan menembusi atmosfera. Kebanyakan tenaga haba ini akan diserap oleh gas-gas di atmosfera contohnya gas karbon dioksida, karbon monoksida, klorofluorokarbon dan metana. Haba yang terperangkap ini akan meningkatkan suhu bumi dan memastikan bahawa bumi sentiasa panas. Pertambahan gas-gas yang mencemar seperti oksida nitrogen dan sulfur dioksida juga telah memerangkap haba dan menaikkan suhu. Pertambahan karbon dioksida disebabkan oleh pembakaran bahan-bahan api fosil seperti arang batu, petrol dan gas asli. Pertambahan yang berterusan ini, jikalau tidak dikawal dijangka akan meningkat 15 bahagian per juta setiap 10 tahun.

Kesan rumah hijau ini akan mendatangkan pelbagai masalah kepada manusia. Air di lautan dan sungai akan menjadi panas dan lebih mudah tersejat. Tanah-tanah terutamanya di hemisfera utara dan latitud tengah akan menjadi lebih kering. Atmosfera akan menjadi lebih panas. Arah angin pula akan berubah dan menyebabkan kejadian ribut kerap berlaku. Taburan hujan yang tidak seragam juga akan berlaku sehingga mengakibatkan kemarau, akibat pemanasan bumi yang tidak sekata. Aras laut akan naik dan banjir sedunia akan berlaku kerana bongkah-bongkah ais di kutub utara dan kutub selatan akan cair. Kejadian-kejadian yang akan berlaku mengancam kehidupan manusia serta hidupanhidupan lain. Kejadian-kejadian itu akan mengganggu aktiviti-aktiviti seperti pertanian, perikanan dan bekalan air. Pertambahan penduduk dunia juga akan meningkatkan penggunaan tenaga. Permintaan terhadap bahan api fosil dan bekalan tenaga elektrik akan bertambah, lebih banyak akan ditebang dan dibuka dan kawasan perindustrian semakin banyak. Kesemua aktiviti ini akan mengakibatkan penambahan kuantiti gas rumah hijau di atmosfera dan seterusnya meningkatkan suhu bumi. Penipisan lapisan ozon atmosfera boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian. Ozon ialah sejenis gas yang terdiri daripada tiga atom oksigen yang terletak di lapisan Stratosfera bumi. Lapisan ozon merupakan satu perisai semula jadi bumi dengan menyerap sinar ultraungu yang berbahaya. Lapisan ozon adalah sangat penting untuk keseimbangan cuaca dunia. Ozon dibentuk apabila molekul oksigen terurai kepada atom oksigen dengan kehadiran sinar ultraungu, atom oksigen bebas ini akan bertindak balas dengan molekul oksigen dan membentuk molekul ozon dengan kehadiran gas nitrogen. Walaupun begitu, ozon boleh terurai kepada molekul oksigen oleh oksida nitrogen yang dibebaskan oleh kapal terbang supersonik atau atom klorin dari sebatian CFC (kluorofluorokarbon). Kluorofluorokarbon ini merupakan satu sebatian yang digunakan oleh pendingin hawa dan peti sejuk. Tindak balas antara atom klorin dengan ozon akan mengembalikan oksida nitrogen dan atom klorin ke atmosfera setelah memusnahkan molekul ozon. Jadi, lapisan ozon semakin nipis. Kebocoran pada lapisan ozon telah dikesan di kawasan Antartika pada tahun 1985, di Artik pada tahun 1987 dan sekarang di Australia pula. CFC bukan sahaja memusnahkan lapisan ozon, molekul CFC berupaya menyerap haba 20,000 kali ganda lebih baik daripada satu molekul karbon dioksida. 2. Jerebu Jerebu adalah merupakan zarah-zarah kecil yang boleh wujud secara semulajadi ataupun wujud akibat daripada kegiatan seharian manusia. Asap kilang, asap kenderaan dan juga asap pembakaran adalah faktor penyumbang kewujudan jerebu. Apabila zarah-zarah kecil berkumpul dengan jumlah yang banyak, bertaburan dan terapung di udara maka ia akan menyerap dan menghalang cahaya matahari untuk sampai ke permukaan bumi. Keadaan ini kemudiannya akan menyekat pemandangan dan menurunkan kadar penglihatan. Jerebu selalunya berlaku di kawasan bandar. Kilang dan jumlah kenderaan yang banyak menjadi penyumbang utama kepada fenomena ini. Selain daripada itu keadaan cuaca memburukan lagi keadaan, di mana pada tahun 1997, negara telah dilanda fenomena El-Nino yang membawa cuaca kering dan panas berpanjangan. Jumlah hujan menurun dan negara mengalami masalah bekalan air dan penurunan tekanan air. Antara daerah yang mengalami masalah ini di Sabah ialah daerah Kota Merudu, Kota Belud dan Kudat.

Namun begitu kejadian jerebu yang paling teruk dialami pada tahun 1997 adalah disebabkan oleh pembakaran terbuka oleh negara jiran. Sabah juga terjejas teruk akibat daripada fenomena ini. Pembakaran terbuka di Kalimantan nyata telah membawa padah apabila api sukar dikawal dan menjilat sebahagian besar kawasan hutan. Pembakaran ini bukan sahaja menimbulkan masalah kepada negara kita malah negaranegara lain yang berdekatan seperti Thailand, Singapura, Brunai dan Filipina juga tercemar dengan teruk.

You might also like