You are on page 1of 10

Tahap Kefahaman Kemahiran Mereka Bentuk Eksperimen Dan Mengeksperimen Dalam Kalangan Pelajar Tahun Tiga Pendidikan Fizik

Shaharom Bin Noordin & Noor Liyana Binti Shamsudin Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia Abstrak : Tahap kefahaman di dalam Kemahiran Proses Sains dalam kalangan bakal guru fizik mendapat perhatian penyelidik. Penyelidik menumpukan kajian ini kepada dua kemahiran iaitu kemahiran mereka bentuk eksperimen dan kemahiran mengeksperimen. Pembolehubah manipulasi bagi kajian ini ialah jantina dan program pengajian yang terdiri daripada pelajar Tahun Tiga Sarjana Muda Sains Serta Pendidikan (Fizik) dan Sarjana Muda Sains Dan Komputer Serta Pendidikan (Fizik). Manakala pembolehubah bersandar pula ialah tahap kefahaman subjek kajian dalam kemahiran mereka bentuk eksperimen dan kemahiran mengeksperimen. Seramai 36 orang pelajar tahun tiga Program Pendidikan Fizik terlibat sebagai subjek kajian iaitu 13 orang lelaki dan 23 orang perempuan. Ujian Pencapaian Kemahiran Mereka Bentuk Eksperimen Dan Kemahiran Mengeksperimen merupakan alat kajian bagi kajian ini. Kebolehpercayaan bagi alat kajian ini diuji menggunakan alpha cronbach () = .82. Analisis data bagi kajian ini menggunakan statistik deskriptif iaitu dalam bentuk min, sisihan lazim, maksimum dan minimum. Dapatan kajian menunjukkan tahap kefahaman subjek kajian di dalam kedua-dua kemahiran adalah baik. Tiada perbezaan tahap kefahaman merentas program pengajian di dalam kedua-dua kemahiran. Dapatan kajian juga mendapati tiada perbezaan tahap kefahaman merentas jantina di dalam kedua-dua kemahiran. Secara keseluruhan, tahap kefahaman pelajar Tahun Tiga Program Pendidikan Fizik, Universiti, Teknologi Malaysia Skudai dalam kemahiran mereka bentuk eksperimen dan kemahiran mengeksperimen adalah baik. Usaha perlu ditingkatkan bagi menjamin kecemerlangan bakal guru di dalam Kemahiran Proses Sains. Katakunci : tahap kefahaman, Kemahiran Proses Sains, bakal guru Fizik Pendahuluan Dalam proses menuju ke arah era negara maju, Malaysia memerlukan masyarakat yang berilmu pengetahuan dan serba boleh terutamanya dalam bidang sains dan teknologi. Untuk melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan, maka ibu bapa dan guru merupakan ejen yang terpenting untuk mendidik anak-anak serta pelajar. Ini selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) iaitu ingin melahirkan rakyat Malaysia yang mampu merealisasikan matlamat negara yang ingin mencapai kemajuan menjelang tahun 2020 (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2002). Berdasarkan perenggan di atas, ini menunjukkan bahawa pendidikan di Malaysia amat mengambil berat tentang pentingnya ilmu Fizik untuk dikuasai oleh pelajar sekolah di Malaysia. Dengan ilmu Fizik, Malaysia bakal melahirkan generasi-generasi muda yang mampu membawa Malaysia ke arah negara maju. Kurikulum Fizik juga memberi penekanan kepada kemahiran saintifik (KS) di mana ia terbahagi kepada kemahiran proses sains (KPS) dan juga kemahiran manipulative (KM). Kedua-dua kemahiran ini sebenarnya membantu pelajar untuk mempelajari mata pelajaran Fizik dengan lebih bermakna di samping melahirkan pelajar yang sentiasa berfikir kerana Fizik merupakan mata pelajaran yang mengutamakan kaedah inkuiri dan penyelesaian masalah (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2002).

Daripada pernyataan ini, pelajar perlu mempelajari Fizik secara hands-on yang melibatkan KPS kerana Fizik tidak boleh dipelajari secara berpusatkan guru sahaja. KPS terdiri daripada beberapa kemahiran yang perlu pelajar kuasai untuk membantu mereka mendalami Fizik dengan lebih bermakna serta boleh mengaplikasikannya di dalam kehidupan seharian. Antara kemahiran-kemahiran yang terlibat di dalam KPS ialah kemahiran memerhati, kemahiran mengelas, kemahiran berkomunikasi, kemahiran mengawal pemboleh ubah dan kemahiran mengeksperimen (Abu Hassan, 2003). Mempelajari Fizik secara hands-on sebenarnya dapat melatih pelajar supaya berfikiran terbuka, kreatif dan kritis dan mampu merealisasikan hasrat negara untuk maju menjelang tahun 2020. Seterusnya, Abu Hassan (2003) menyatakan Kurikulum Sains seperti berikut: Kurikulum Sains memberi tumpuan kepada penguasaan kemahiran yang diperlukan untuk mengkaji sains sebagai satu disiplin yang berorientasikan eksperimen dan kegiatan amali. Kemahiran saintifik merupakan kemahiran yang penting untuk menjalankan sebarang aktiviti penyiasatan dengan menggunakan kaedah saintifik misalnya, eksperimen, penyelidikan dan projek. Selaras dengan ini, kemahiran proses sains dan kemahiran manipulatif diberi penekanan yang sewajarnya dalam kurikulum sains. Kedua-dua jenis kemahiran ini hendaklah dilihat secara bersepadu dalam konteks pengajaran dan pembelajaran sains. (Abu Hassan, 2003:84) Berdasarkan pernyataan di atas, matapelajaran Fizik memang memerlukan pembelajaran yang melibatkan KPS di mana pelajar akan terlibat di dalam eksperimen. Semasa mengeksperimen, pelajar akan dilatih untuk menguasai kemahiran menyusun serta memasang radas mengikut pengkaedahan, kemahiran mengambil dan membaca ukuran dan kemahiran mengendalikan radas dan bahan mengikut pengkaedahan (Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2004). Sarojini (2003) menyatakan untuk memastikan pembelajaran secara bereksperimen adalah berkesan dan dapat merealisasikan impian negara, maka adalah wajar untuk mengenal pasti persekitaran sebenar di dalam makmal iaitu dari segi persediaan dan pengajaran guru semasa mengendalikan pembelajaran di dalam makmal. Penguasaan KPS adalah penting kerana Fizik mengutamakan kaedah inkuiri dan penyelesaian masalah dengan menggunakan kemahiran saintifik dan kemahiran berfikir (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2002). Pernyataan Masalah Berdasarkan pernyataan yang telah dibincangkan di atas, penyelidik ingin mengenal pasti tahap kefahaman kemahiran mereka bentuk eksperimen dan kemahiran mengeksperimen dalam kalangan pelajar Tahun Tiga Program Pendidikan Fizik (3 SPF dan 3 SPP) yang juga merupakan bakal guru. Objektif Kajian Berdasarkan pernyataan masalah yang dinyatakan di atas, berikut adalah tujuan-tujuan khusus kajian ini dijalankan: 1. Mengenal pasti tahap kefahaman kemahiran mereka bentuk eksperimen dan kemahiran mengeksperimen dalam kalangan pelajar Tahun Tiga Program Pendidikan Fizik ( 3 SPF dan 3 SPP ) di UTM Skudai. 2. Membandingkan tahap kefahaman kemahiran mereka bentuk eksperimen dan kemahiran mengeksperimen dalam kalangan pelajar Tahun Tiga Program Pendidikan Fizik merentas program pengajian iaitu di antara 3 SPF dan 3 SPP.

3. Membandingkan tahap kefahaman kemahiran mereka bentuk eksperimen dan kemahiran mengeksperimen dalam kalangan pelajar Tahun Tiga Pendidikan Fizik merentas jantina iaitu di antara lelaki dan perempuan. Kepentingan Kajian Kajian ini dijalankan bertujuan untuk menilai tahap kefahaman kemahiran mereka bentuk eksperimen dan kemahiran mengeksperimen pelajar Tahun Tiga Program Pendidikan Fizik UTM, Skudai. Dapatan kajian ini boleh mendatangkan faedah kepada beberapa pihak khususnya Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Fakulti Pendidikan UTM, pensyarah, bakal guru serta guru sekolah. Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) : Kurikulum KBSM yang digubal adalah berdasarkan penguasaan serta kemahiran saintifik dan penerapan nilai murni kepada pelajar (Pusat Perkembangan Kurikulum,2002). Melalui dapatan kajian ini, PPK boleh mendapat gambaran mengenai keberkesanan kurikulum yang digubal. Jika ianya tidak berkesan, PPK boleh mengambil langkah bagaimana hendak memastikan pelajar menguasai kemahiran saintifik. Contohnya dengan memberi kursus-kursus mengenai kemahiran saintifik kepada guru-guru agar mereka lebih berpengalaman serta menguasai kemahiran saintifik sebelum mengajar pelajar di sekolah. Fakulti Pendidikan, UTM Skudai. : Melalui kajian ini sebenarnya boleh membantu Fakulti Pendidikan mengetahui bahawa kursus Pendidikan Amali Fizik I dan II patut diteruskan atau dimansuhkan. Ini kerana dapatan kajian boleh membantu fakulti untuk mengetahui keadaan sebenar dan adakah kursus ini membantu pelajar yang juga merupakan bakal guru menguasai kemahiran saintifik sebelum mengajar di sekolah. Jika hasil kajian ini menunjukkan bahawa kursus Pendidikan Amali Fizik ini tidak membantu pelajar maka fakulti perlu memikirkan cara menyelesaikan masalah tersebut contohnya dari segi menambah isi kandungan atau dengan menggantikan kursus ini dengan kursus yang lebih sesuai. Pensyarah : Kajian yang dilakukan oleh penyelidik boleh membantu pensyarah sama ada ingin meneruskan cara mengajar yang sama atau mempelbagaikan lagi cara mengajar agar pengajaran lebih berkesan. Ini bergantung kepada dapatan kajian. Jika daripada dapatan kajian menunjukkan bahawa pelajar menguasai kemahiran saintifik, maka jelas di sini cara pengajaran pensyarah berkesan. Namun, jika dapatan kajian adalah sebaliknya maka pensyarah perlu mencari alternatif lain untuk membantu pelajar dalam memahami dan menguasai kemahiran saintifik. Bakal Guru Serta Guru Sekolah : Bakal guru khususnya pelajar Program Pendidikan Fizik UTM boleh mendapat manfaat melalui kajian ini dengan menjadikan kajian ini sebagai panduan sama ada mereka menguasai atau tidak kemahiran saintifik terutamanya kemahiran mereka bentuk eksperimen dan kemahiran mengeksperimen. Mereka boleh mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memperbaiki kelemahan mereka jika daripada dapatan kajian didapati penguasaan mereka di dalam kemahiran saintifik bukan berada pada tahap cemerlang. Ini adalah penting kerana jika mereka tidak menguasai kemahiran saintifik dengan cemerlang, bagaimana mereka mahu mengaplikasikan apa yang dipelajari dengan baik di sekolah? Sudah tentu objektif kurikulum fizik sukar dicapai kerana jika guru mempunyai masalah dalam menguasai kemahiran saintifik, sudah tentu pelajar juga menghadapi masalah yang sama (Lilia et al., (2002). Begitu juga dengan guru sekolah. Dengan melihat masalah-masalah yang dinyatakan di dalam kajian ini, diharap guru sekolah berusaha menguasai kemahiran saintifik ini sebaik mungkin dan apa yang diharapkan adalah pengajaran lebih berjalan lancar dan pelajar di sekolah memahami dan mengusai kemahiran saintifik sebaik mungkin.

Reka Bentuk Kajian Penyelidik menggunakan kaedah tinjauan untuk melaksanakan kajian ini. Ini kerana masa yang singkat dan data juga mudah dianalisis dengan menggunakan kaedah ini. Penyelidik akan mengedarkan alat kajian berbentuk ujian pencapaian untuk mendapatkan data bagi kajian ini. Kajian yang dilakukan oleh penyelidik adalah berbentuk kuantitatif. Dapatan kajian ini dianalisis secara statistik deskriptif iaitu min, sisihan lazim maksimum dan minimum dan melalui penganalisaan ini, penyelidik dapat mengetahui tahap kefahaman kemahiran mereka bentuk eksperimen dan mengeksperimen dalam kalangan pelajar Tahun Tiga Program Pendidikan Fizik UTM Skudai dan seterusnya membandingkan tahap kefahaman mereka merentas jantina dan program pengajian. Subjek Kajian Penyelidik menjalankan kajian ini ke atas pelajar Tahun Tiga Program Pendidikan Fizik di UTM, Skudai. Penyelidik ingin mengkaji tahap kefahaman subjek kajian dalam kemahiran mereka bentuk eksperimen dan kemahiran mengeksperimen setelah mempelajari kursus tersebut dan menjalani latihan mengajar. Mereka juga merupakan bakal guru. Jadi secara tidak langsung penyelidik boleh mengetahui sama ada tahap kefahaman mereka mencukupi atau tidak untuk mengajar di sekolah nanti. Berikut adalah maklumat lanjut mengenai subjek kajian penyelidik. Jadual 1: Jadual Taburan Subjek Kajian Mengikut Jantina Dan Program Pengajian

Subjek kajian adalah berumur dalam lingkungan 21-22 tahun. Umur sangat penting bagi penyelidik kerana umur menggambarkan kematangan subjek kajian dan ini boleh mempengaruhi dapatan kajian. Penglibatan subjek kajian dalam kajian ini adalah secara sukarela. Alat kajian Di dalam kajian ini, penyelidik telah mengguna semula alat kajian yang dibina oleh Noor Anita (2007). Alat kajian yang digunakan merupakan ujian pencapaian yang dinamakan sebagai Ujian Pencapaian Kemahiran Mereka Bentuk Eksperimen dan Mengeksperimen (UPKMBEM).

Alat kajian ini telah mendapat pengesahan daripada dua orang pakar bidang di Fakulti Pendidikan UTM. Kebolehpercayaan alat kajian ini ialah = .82 (Noor Anita, 2007). UPKMBEM terbahagi kepada dua bahagian iaitu Bahagian A dan Bahagian B. Bahagian A mengandungi maklumat pelajar iaitu jantina, dan program pengajian. Manakala Bahagian B mengandungi 40 item iaitu 20 item menguji tahap kefahaman di dalam kemahiran mereka bentuk eksperimen dan 20 item lagi menguji tahap kefahaman di dalam kemahiran mengeksperimen. Ujian ini berbentuk objektif yang mengandungi empat pilihan jawapan iaitu A, B, C dan D (Noor Anita, 2007). Berikut adalah subskala Kemahiran Mereka Bentuk Eksperimen dan Kemahiran Mengeksperimen bagi pembinaan alat kajian. Subskala ini adalah merujuk Noor Anita (2007) berikutan beliau merupakan pembina alat kajian. Rajah 1 mentakrifkan kemahiran mereka bentuk eksperimen. Noor Anita (2007) menyatakan terdapat tujuh aspek yang terlibat di dalam kemahiran mereka bentuk eksperimen iaitu menyatakan tujuan eksperimen, menyatakan inferens, menyatakan semua pembolehubah, menyatakan senarai radas dan bahan, menerangkan pemasangan radas, menyatakan pengkaedahan eksperimen, menunjukkan pengkaedahan penjadualan data dan menyatakan hipotesis. Manakala Rajah 2 pula mengandungi tiga aspek yang diambil kira dalam kemahiran mengeksperimen iaitu menyusun serta memasang radas mengikut pengkaedahan, mengendalikan radas dan bahan mengikut pengkaedahan dan mengambil dan membaca ukuran serta menukar unit dengan kaedah yang betul. Berikut adalah subskala seperti yang dinyatakan oleh Noor Anita (2007).

Rajah 1 : Subskala Kemahiran Mereka Bentuk Eksperimen

Rajah 2 : Subskala Kemahiran Mengeksperimen Kajian Rintis Penyelidik tidak menjalankan kajian rintis untuk mencari kebolehpercayaan alat kajian berikutan penyelidik mengguna semula alat kajian Noor Anita (2007). Penyelidik menjalankan kajian rintis untuk mengenal pasti masalah pada alat kajian dari segi pemahaman item atau masalah-masalah lain yang mungkin boleh mempengaruhi dapatan kajian. Di dalam kajian ini, penyelidik mengedarkan UPKMBEM kepada dua orang subjek kajian. Semasa kajian rintis dijalankan, subjek kajian memberi maklum balas mengenai item-item di dalam UPKMBEM. Analisis Data Subjek kajian merupakan 36 orang pelajar Tahun Tiga Program Pendidikan Fizik UTM. Mereka dikehendaki menjawab alat kajian dalam bentuk ujian pencapaian iaitu Ujian Pencapaian Kemahiran Mereka Bentuk Eksperimen dan Mengeksperimen (UPKMBEM) yang dibina oleh Noor Anita (2007). Jadual 1 membentangkan hasil dapatan kajian tentang tahap kefahaman kemahiran mereka bentuk eksperimen dan kemahiran mengeksperimen yang menjawab persoalan kajian pertama bagi kajian ini iaitu : Apakah tahap kefahaman kemahiran mereka bentuk eksperimen dan kemahiran mengeksperimen dalam kalangan Pelajar Tahun Tiga Program Pendidikan Fizik?

Jadual 1 : Analisis Statistik Deskriptif Tahap Kefahaman Kemahiran Mereka Bentuk Eksperimen Dan Kemahiran Mengeksperimen

Bagi menjawab persoalan kajian pertama, dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap kefahaman kemahiran mereka bentuk eksperimen dan kemahiran mengeksperimen dalam kalangan pelajar Tahun Tiga Program Pendidikan Fizik ialah pada tahap baik. Bardasarkan Jadual 1, tahap kefahaman bagi kemahiran mereka bentuk eksperimen bagi 36 orang subjek kajian adalah pada tahap baik (M = 13.86, SL =1.76) dengan peratusan 69.30%. Julat markat bagi kemahiran mereka bentuk eksperimen ialah 8 dan peratus serakan pula ialah 12.70%. Mod bagi kemahiran mereka bentuk eksperimen ialah 15.00 iaitu seramai 10 orang (27.80%). Bagi kemahiran mengeksperimen pula, tahap kefahaman subjek kajian ialah pada tahap baik (M = 13.58, SL = 1.93) dengan peratusan 67.90%. Julat markat bagi kemahiran mengeksperimen ialah 7 dan peratus serakan pula ialah 14.21%. Mod bagi data ini ialah 15.00 iaitu seramai 12 orang (33.30%). Secara keseluruhannya, tahap kefahaman subjek kajian bagi kemahiran mereka bentuk eksperimen dan kemahiran mengeksperimen adalah pada tahap baik (M = 27.44, SL = 2.61 ) dengan peratus 68.60%. Julat markat bagi kedua-dua kemahiran ini ialah 14.00 manakala peratus serakan pula ialah 9.51%. Mod bagi kedua-dua kemahiran ini berada pada 27.00 iaitu seramai 9 orang (25.00%). Perbincangan Di dalam bab ini, penyelidik ingin membincangkan mengenai dapatan kajian penyelidik. Kajian ini diharap dapat memberi gambaran mengenai tahap kefahaman subjek kajian di dalam dua kemahiran yang dikaji penyelidik. Ini kerana, melalui tahap kefahaman, ia akan mempengaruhi proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Fizik semasa di sekolah nanti. Setelah data bagi kajian ini dianalisis, didapati secara keseluruhannya, tahap kefahaman kemahiran mereka bentuk eksperimen dan kemahiran mengeksperimen bagi 36 orang pelajar Tahun Tiga Program Pendidikan Fizik adalah baik (M = 27.44,SL = 2.61) bersamaan 68.60%. Daripada perenggan di atas, penyelidik mendapati bahawa tahap kefahaman pelajar Tahun Tiga Program Pendidikan Fizik di dalam kedua-dua kemahiran yang dikaji adalah baik. Walaupun tahap kefahaman pelajar bagi kedua-dua kemahiran ini berada pada tahap baik, namun keputusan ini bukan berada pada tahap yang boleh dibanggakan iaitu cemerlang. Mengapakah

keadaan ini berlaku sedangkan subjek kajian merupakan pelajar tahun tiga dan telah selesai menjalani kursus Pendidikan Amali Fizik I, Amali Fizik I dan II, kursus berkaitan Fizik dan latihan mengajar? Sedangkan di sini, bakal guru perlu manguasai KPS dengan cemerlang memandangkan pentingnya proses membudayakan KPS dalam kalangan pelajar. Kemungkinan pertama yang mempengaruhi tahap kefahaman pelajar dalam kemahiran ini ialah salah tanggapan pelajar. Lilia et al. (2002) menyatakan bahawa masalah salah tanggapan pelajar adalah berpunca daripada pensyarah sendiri iaitu pensyarah juga mempunyai salah tanggapan yang sama dengan pelajar. Penguasaan KPS yang lemah dalam kalangan pensyarah mungkin boleh mengganggu pelaksanaan pembelajaran secara bereksperimen dan seterusnya pelajar juga menghadapi kesukaran dalam penguasaan KPS. Sedangkan, telah diketahui bahawa Fizik bukanlah mata pelajaran yang hanya boleh dipelajari dengan pembelajaran secara fakta sahaja. Pelajar perlu mengamalkan dan menghayati pentingnya Fizik di dalam kehidupan harian dan menjadikan KPS sebagai jentera untuk mencapai tujuan tersebut. Dengan ini, bakal guru perlu menguasai KPS dengan cemerlang supaya dapat membimbing pelajar dalam menguasai KPS. Kemungkinan kedua yang boleh mempengaruhi tahap kefahaman pelajar di dalam kemahiran ini ialah sikap pelajar terhadap kelas Amali Fizik. Abu Hassan (2003) menyatakan Sains sebagai sikap: Sikap adalah penting bagi menentukan keberkesanan dan kejayaan seseorang pelajar mempelajari Sains. (Abu Hassan, 2003: 45) Sikap boleh mempengaruhi tahap kefahaman pelajar di dalam kursus yang dipelajarinya. Mungkin pelajar masih lagi belum menyedari bahawa dengan melakukan eksperimen, ia banyak membantu mereka untuk meningkatkan tahap kefahaman terhadap KPS dengan cemerlang. Justeru, mereka tidak menumpukan perhatian sepenuhnya semasa kelas Pendidikan Amali Fizik I dan II dijalankan. Bagi mereka, ianya sekadar menjalankan eksperimen dan menyiapkan laporan yang dikehendaki oleh pensyarah tanpa menyedari bahawa mereka terlibat dengan penggunaan KPS. Selain itu, pensyarah yang terlalu menekankan gred dan pencapaian juga mungkin mempengaruhi sikap pelajar terhadap kursus yang sedang diikuti dan seterusnya mungkin mempengaruhi tahap kefahaman pelajar (Rohana, 2007). Penyelidik berpendapat bahawa apabila gred dan pencapaian merupakan satu keutamaan, ia mungkin boleh menyebabkan pelajar lebih tertekan. Pelajar mungkin akan cenderung untuk menghafal segala yang diajar oleh pensyarah tanpa memahami dengan baik. Situasi pembelajaran begini berkemungkinan besar mengarah kepada pencapaian jangka masa pendek. Pendapat penyelidik disokong oleh Ruhizan et al. (2004) yang menyatakan bahawa pelajar yang mengamalkan teknik menghafal di dalam pembelajarannya merupakan pelajar yang bukan dari golongan pelajar cemerlang. Seterusnya, antara kemungkinan yang mempengaruhi tahap kefahaman pelajar ialah corak pengajaran pensyarah di dalam kelas Amali Fizik. Meor Ibrahim menyatakan kebenyakan pengajaran guru adalah seperti berikut: Guru menentukan apa yang perlu dilakukan atau tidak boleh dilakukan pelajar di dalam makmal sebagaimana yang dicadangkan dalam buku teks dan buku kerja amali. (Meor Ibrahim, 2006:162) Di dalam kursus Pendidikan amali Fizik I dan II, pensyarah mungkin kurang menekankan kepentingan menguasai KPS melalui eksperimen dan ini mungkin menyebabkan pelajar tidak menyedari kepentingan KPS dalam mempelajari Fizik seterusnya berkemungkinan akan menghadapi masalah dalam proses membudayakan KPS kepada pelajar mereka di sekolah kelak.

Tan (2001) menyatakan penguasaan KPS pelajar adalah bergantung kepada kebolehan pensyarah untuk membudayakannya di dalam kelas. Kurangnya pembudayaan KPS ini mungkin mempengaruhi tahap kefahaman pelajar. Berdasarkan pengalaman penyelidik, pensyarah hanya memperkenalkan kemahiran kepada pelajar, manakala penekanan kepada aspek di dalam KPS adalah sedikit dan tidak mencukupi untuk meningkatkan tahap kefahaman pelajar. Pensyarah hanya memberi arahan dan menetapkan apa yang perlu dilakukan oleh pelajar tanpa memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka Fizik semasa eksperimen dijalankan. Situasi pembelajaran begini berkemungkinan besar menyebabkan pelajar berasa terkongkong serta tidak gembira dengan eksperimen yang mereka jalankan dan seterusnya kurang minat terhadap eksperimen Fizik. Ini mungkin boleh mempengaruhi tahap kefahaman mereka di dalam KPS. Adalah menjadi tugas pensyarah dalam membimbing pelajar ke arah kepentingan menguasai KPS dengan cemerlang. Ini penting sebagai persediaan pelajar yang juga bakal guru sebelum mengajar di sekolah nanti. Rujukan Abu Hassan Kassim (2003). Kurikulum Sains Sekolah Malaysia. Johor.: Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia. Brinkworth, B.J. (1973). An Introduction To Experimentation. London.: The English Universities Press Ltd. Dirks, C. and Cunningham, M. (2006). Enhancing Diversity In Science:Is Teaching Science Process Skills The Answer? Life Science Education, 5, 218-226. The American Society For Cell Biology. Foulds, W. and Rowe, J. (1996). The Enhancement Of Science Process Skills In Primary Teacher Education Students. Australian Journal Of Teacher Education, 21(1), 1623.Edith Cowan University. Germann, P. J., Aram, R. and Burke, G. (1996). Identifying Patterns And Relationships Among The Responses Of Seventh-Grade Students To The Science Process Skill of Designing Experiments. Journal Of Research In Science Teaching, 33(1), 79-99. Harlen, W. (2000). The Teaching of Science in Primary Schools. (3rd ed.). London.: David Fulton Publisher. Ibrahim Bilgin (2006). The Effects Of Hands-On Activities Incorporating A Cooperative Learning Approach On Eight Grade Students Science Process Skills And Attitude Toward Science. Journal Of Baltic Science Education, 1(9), 27-37.Faculty of Education Baysal University. Jamil Ahmad (1993). Tinjauan Mengenai Kekangan-Kekangan Dalam Pelaksanaan Sains KBSM Di Sekolah-Sekolah Menengah Di Negeri Kedah Daerah Darul Aman. Laporan Projek Sarjana Muda, Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor. Kauchak, D. (1980). Exploring Science In The Elementary Schools. (1st ed.). Massachusetts, USA.: Houghton Mifflin Company. Lilia Halim, Subahan.M. M., dan Zolkepeli Haron., (2002). Strategi Pengajaran Fizik Untuk Guru Sains. Kuala Lumpur.: Prentice Hall. Nur Ruzaini Che Mansor (2007). Tahap Kefahaman Kemahiran Komunikasi Dan Mengeksperimen Di Kalangan Pelajar Tahun Dua Program Pendidikan Fizik, Laporan Projek Sarjana Muda, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai. Poh, S. H (2000). Staretagi Pengajaran Pembelajaran Sains.(edisi ketiga) Kuala Lumpur.: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Qualter, A., Strang, J., Swatton, P., and Taylor, R. (1990). Exploration : A Way Of Learning Science. (1st ed.) Oxford, England.: Basil Backwell Limited. Rogers, E.M. (1962). Teaching Physics for the Inquiring Mind. (1st ed.). New Jersey,USA; Princeton University Press. Sriganesh,K. (2006). The Principle of Experimental Research (1st ed.). Oxford, UK; Elsevier Inc. Tan, L.T. (1991). Menyiasat Tahap Kemahiran Proses Sains Bersepadu Di Kalangan Pelajar Tahun Satu Di UTM Sese 1990/91 Dan Kesan Kursus Amali Yang Diikuti. Laporan Projek Sarjana Muda, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai.

You might also like