You are on page 1of 3

REFLEKSI PROGRAM BINA INSAN GURU ( BIG ) PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA PERGURUAN SEMESTER 1 / 2008 ABSTRAK Program

Bina Insan Guru (BIG) yang dijalankan oleh guru pelatih PISMP adalah bermatlamat sebagai pencetus kepada usaha pembinaan insan guru yang berakhlak mulia, bersemangat juang yang tinggi, mempunyai ketahanan fizikal dan mental, dan bermanfaat kepada diri, keluarga, masyarakat serta negara selaras dengan nilai-nilai keguruan serta sebagai penyediaan diri terhadap keadaan persekitaran sekolah yang akan dihadapi kelak. PROGRAM BINA INSAN GURU (BIG) PISMP SEM1/08 Program Bina Insan Guru diadakan pada 1 hingga 4 April 2008 di Chalet Harapan Riverview, Kampung Mambang Pekan, Pahang. Program ini disertai seramai 57 orang guru pelatih PISMP semester 1/2008, yang terdiri daripada Unit Pengajian Islam, Unit Bahasa Melayu dan Unit Pengajian Cina/Matematik. Melalui program ini, peserta dapat mencapai objektif berikut antaranya, meningkatkan semangat berpasukan, bersepakat, bekerjasama serta melahirkan insan yang bertanggungjawab kepada pasukan, meningkatkan ketahanan diri dari segi mental dan fizikal badan, meningkatkan serta menguasai tahap kemahiran interpersonal dan intrapersonal serta meningkatkan perpaduan antara kaum dan masyarakat. Seawal 8.00 pagi, kami bertolak dari IPTAA dan sampai di kawasan BIG pada pukul 2.00 petang. Sementara menunggu kedatangan pensyarah, kami mendirikan solat zohor berjemaah dan melihat sekitar kawasan. Pada pukul 3.00 petang, En. Shafie dan beberapa pensyarah yang lain hadir dan kami berkumpul di dewan untuk mendengar taklimat. En.Shafie memperkenalkan diri sebagai komanden kem bagi BIG ini, dan memperkenalkan jawatankuasa pensyarah yang lain. Dalam taklimat tersebut, kami diterangkan mengenai aktiviti yang akan dijalankan selama 4 hari 3 malam tersebut. Selain itu, beliau juga memberi nasihat serta undang-undang yang perlu dipatuhi sepanjang aktiviti dijalankan. Kemudian, beliau mengarahkan kami semua membentuk 6 kumpulan yang ahlinya terdiri daripada setiap unit. Saya rasa, pembentukan kumpulan seperti ini dapat mengeratkan hubungan antara sesama rakan PISMP lain yang telah dikenali atau tidak dikenali sebelum ini. Saya menjadi salah satu ahli daripada kumpulan yang ke-6.

Setelah pembahagian kumpulan dijalankan, komanden kem telah mengarahkan setiap kumpulan mengambil peralatan dan bahan memasak serta memulakan kerja mendirikan khemah di tapak perkhemahan yang disediakan. Dalam aktiviti tersebut, para peserta saling bekerjasama dan tolong-menolong menyelesaikan tugas yang diberikan mengikut kumpulan masing-masing. Peserta lelaki bertugas mendirikan khemah, manakala peserta perempuan pula sibuk menyediakan makanan untuk ahli kumpulan masing-masing. Saya gembira dan seronok di samping membantu rakan-rakan lain yang memerlukan pertolongan. Selesai aktiviti tersebut, pada jam 7.30 malam peserta bersama mendirikan solat maghrib dan isyak berjemaah. Ini sebagai kepentingan rohani yang perlu ditekankan dalam setiap diri guru pelatih dan juga kepada waktu solat lain seperti subuh yang diadakan tazkirah. Manakala bagi peserta yang bukan muslim pula diadakan aktiviti moral bagi membentuk guru yang mempunyai sikap moral yang tinggi. Kemudian, kami diperkenalkan dengan fasilitator mengikut kumpulan masingmasing. Ustazah Safinah bt. Yaakob adalah fasilitator bagi kumpulan saya dan ahli kumpulan memperkenalkan diri untuk pengenalan diri. Antara aktiviti lain yang diadakan ialah Ice Breaking yang bertujuan mendidik diri guru pelatih menerima arahan dengan baik dan menjalankan arahan yang dikemukakan secara sempurna tanpa menimbulkan sebarang masalah sebagai menjalani hidup sebagai guru kelak. Contohnya, guru pelatih diarahkan berkumpul mengikut negeri masing-masing. Seterusnya, guru pelatih juga diarahkan pula mengambil sekeping kertas yang tertulis antara salah satu nama guru pelatih lain dan menuliskan surat kepada nama tersebut dengan menuliskan komen atau pandangan terhadap diri orang tersebut. Kemudian, aktiviti Malaysia Cergas pada pukul 7.00 setiap pagi diadakan dengan guru pelatih diajarkan aktiviti kawat kaki. Melalui penerapan salah satu unsur JERIS iaitu kepentingan jasmani yang diterapkan dalam aktiviti ini, kami diajarkan cara kawat kaki yang betul dan sebagai salah satu persediaan diri dalam menjalankan aktiviti ko-kurikulum di sekolah kelak. Kemudian, aktiviti LDK yang dijalankan pula bagi melahirkan guru pelatih yang mempunyai sikap kerjasama dan saling memberikan idea dalam aktiviti berkumpulan yang diadakan seperti membina logo bendera dan moto kumpulan serta aktiviti malam kebudayaan yang diadakan pada malam ke-4. Melalui pemerhatian saya dalam aktiviti LDK ini, ahli kumpulan saya memberikan sumbangan idea dan usaha yang baik kerana dapat memuaskan hati setiap ahli kumpulan.

Manakala aktiviti darat iaitu kembara dan aktiviti air iaitu berkayak yang dijalankan pula menjadikan rasa keberanian dan keyakinan kepada setiap diri guru pelatih. Selain itu, ia juga sebagai pemantapan sikap kerjasama antara ahli kumpulan dan kumpulan yang lain. Ini dapat dibuktikan dengan aktiviti 'water confident' dan berkayak yang mencabar diri saya menghadapi ketakutan terhadap air di samping mendapat pengalaman baru yang dapat dijadikan pengajaran dalam hidup sendiri dan orang lain. Selain itu, aktiviti kembara bersama 2 kumpulan yang lain dapat mewujudkan sikap tolong menolong ahli kumpulan kerana perlu merentasi halangan dan cabaran yang agak sukar perlu dihadapi oleh semua orang dalam hutan tersebut. Perkara paling mencabar ialah, ketika saya dan ahli kumpulan yang lain terperangkap dalam selut rumput yang berair di kandang lembu dan keadaan menjadi sukar kerana waktu sedang hujan dan di sini dapat dilihat ahli lain cuba menarik kami keluar dari selut tersebut. Saya berasa sungguh terharu dengan sikap mereka berusaha sedaya upaya menolong. Pada hari terakhir pula, kami bersama-sama membersihkan kawasan perkhemahan dan memulangkan peralatan memasak dan bersedia untuk majlis penutup yang dirasmikan oleh Tuan Timbalan Pengarah IPTAA. Program Bina Insan Guru ini sebenarnya dapat meningkatkan kemahiran pengurusan diri, kumpulan dan masa dengan berkesan dalam diri setiap individu. Pengurusan ini amat penting dalam membentuk diri bakal guru supaya dapat menjalankan peranan secara baik dan cemerlang. Selain itu, program ini juga mendidik saya dalam meneliti dan memahami arahan yang diberikan secara baik dan melaksanakannya mengikut panduan yang diberikan. Ia juga melahirkan diri supaya menyesuaikan diri dalam segala pelbgai keadaan yang dihadapi tanpa sebarang rungutan dan masalah. Saya memberi cadangan, bagi program ini supaya menyediakan tapak perkhemahan yang lebih sesuai, serta memperelokkan jeti dalam aktiviti kayak bagi memudahkan perjalanan aktiviti tersebut kelak. Selain itu, saya cadangkan juga supaya aktiviti LDK atau berkumpulan yang dijalankan lebih menarik dan berunsur lain daripada yang lain. Ini kerana, kebanyakan peserta pernah melalui aktiviti LDK yang diadakan. Saya berharap, semoga Program Bina Insan Guru ini menjadikan bakal guru pelatih menjadi insan yang berguna dan berpengalaman yang pelbagai bagi menjalankan peranan yang dipertanggungjawabkan kelak.

You might also like