You are on page 1of 3

JURNAL REFLEKTIF MINGGU 3 (29 Julai 2013 hingga 26 Ogos 2013) NAMA: FAIZON BINTI ABDUL SATA OPSYEN:

SAINS/PENDIDIKAN JASMANI/BAHASA MELAYU NAMA SEKOLAH: SEKOLAH KEBANGSAAN BAYAN LEPAS TARIKH: 2 OGOS 2013

1. Isu/Masalah/Peristiwa Pada hari ini Khamis bersamaan 2 Ogos 2013 guru pembimbing saya Puan Zurina Hashim telah memantau pengendalian sesi pengajaran dan

pembelajaran kelas 5 Bumi yang dikendalikan oleh saya sendiri pada jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Bagi aktiviti untuk memahami bahan boleh berubah dari satu bentuk ke bentuk yang lain, saya telah menggunakan kaedah mengeksperimen secara berkumpulan. Murid-murid dibahagikan kepada 6 kumpulan kecil untuk memerhati dan membuat ramalan tentang 5 proses iaitu peleburan, pembekuan, pendidihan, kondensasi dan penyejatan.

2. Pandangan dan Perasaan Terhadap Isu/Masalah/Peristiwa Saya berasa gembira dan berpuas hati dengan perancangan sesi pengajaran dan pembelajaran pada hari ini kerana aktiviti dapat dijalankan dengan jayanya. Sebahagian besar murid-murid melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti mengeksperimen secara berkumpulan. Arahan yang disampaikan dapat dipatuhi oleh murid. Mereka turut teruja dan bersemangat ingin tahu tentang proses yang diperhatikan. Selain itu juga, murid-murid berjaya memberi pendapat dan membuat inferen yang baik tentang proses yang terlibat. Malah, ada murid yang berjaya memberikan pendapat diluar pendapat saya. Kesimpulannya, aktiviti mengeksperimen secara berkumpulan sangat berkesan dan memudahkan murid untuk memahami topik pembelajaran memandangkan mereka melihat sendiri perubahan bentuk air yang berlaku.

3. Analisis Isu/Masalah/Peristiwa Saya memulakan pengajaran dengan membahagikan murid kepada beberapa kumpulan mengikut pelbagai kebolehan. Sebelum murid menjalankan

eksperimen, saya telah meransang idea mereka dengan menunjukkan satu kelalang termos untuk menggalakkan murid-murid memberikan contoh proses perubahan bentuk air yang telah diberitahu pada pembelajaran lalu. Kemudian, setiap kumpulan dibekalkan dengan alat radas untuk mengenal pasti proses perubahan bentuk air. Untuk memandu murid-murid menjalankan eksperimen, saya telah menjelaskan langkah-langkah dan peringatan yang mesti mereka patuhi. Saya telah bertindak sebagai fasilitator sepanjang aktiviti eksperimen dijalankan.

4. Tempoh Masa Untuk Menyelesaikan Isu Kaedah yang dijalankan seperti ini wajar diteruskan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran seterusnya selepas ini. Aktiviti secara berkumpulan dapat memupuk kerjasama antara murid dan mereka saling bertukar pendapat mengenai sesuatu topik yang dipelajari.

5. Pelaksanaan Langkah Penambahbaikan Semasa aktiviti eksperimen secara berkumpulan dijalankan, terdapat

beberapa alatan yang tidak dapat berfungsi dengan baik seperti penunu Bunsen. Jadi, untuk aktiviti eksperimen pada masa akan datang saya perlu menyediakan penunu lebih agar setiap kumpulan dapat menjalankan eksperimen dengan lancar. Contoh alatan lain yang perlu ditambah baik adalah penggunaan cermin untuk memerhatikan proses kondensasi. Cermin tingkap yang digunakan kurang berkesan untuk melihat titisan air kerana permukaan yang agak kasar. Oleh itu, untuk membantu murid mendapat pemerhatian dan keputusan yang lebih baik, cermin harus ditukarkan kepada cermin muka yang mempunyai permukaan yang lebih rata.

6. Tindakan Susulan Saya akan meneruskan kaedah pengajaran ini pada masa akan datang. Perlu diberi perhatian juga tentang pembahagian kumpulan. Guru harus

memastikan setiap kumpulan terdiri daripada murid yang pelbagai kebolehan. Dengan itu, aktiviti yang dirancang dapat berjalan dengan lancar disertakan pandangan serta pendapat bernas daripada ahli kumpulan masing-masing. Selain itu, setiap alat radas yang akan digunakan untuk eksperimen wajar

diperiksa dengan lebih teliti supaya tidak menimbulkan masalah semasa murid menjalankan aktiviti. Pengajaran turut boleh disertakan dengan aktiviti aras yang lebih tinggi seperti pengendalian projek.

Guru Pelatih .. (Faizon Binti Abdul Sata)

Guru Pembimbing ( )

Pensyarah Penyelia .. ( )

You might also like