You are on page 1of 8

Sejarah perkembangan filem Melayu pertama yang dihasilkan di Tanah Melayu ialah Laila Majnun (1933) yang dihasilkan

oleh B.S.Rajhan, pengarah yang berasal dari India. Filem Laila Majnun ini telah dijadikan rujukan oleh pengarah-pengarah filem Melayu selepasnya kerana kejayaan filem tersebut meraih kutipan tiket pecah panggung. Pada era 2000 hingga 2007 hasil pengarah generasi baru yang digarap dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK),berlaku perkembangan kreativiti yang mengangkat kelainan tema filem Melayu.Filem Melayu sekarang sudah berubah wajah selari dengan evolusi masyarakat setempat.Tambahan pula filem Melayu turut diresapi oleh pengaruh budaya masyarakat majmuk,globalisasi dan gaya hidup masyarakat moden.Penghasilan filem Melayu lebih cenderung kea rah kapitalisme. Ideologi sesebuah filem sebenarnya secara halus dipengaruhi oleh persepsi pengarah-pengarah tentang persekitan ataupun sesuatu isu yang ingin dikupas.Filem sebenarnya bukan hak milik peribadi pengarah untuk membicarakan hal peribadi tetapi merupakan medium yang penting untuk menyampaikan propaganda serta sesuatu ideologi secara halus. Dunia perfileman melayu pada hari ini menyaksikan kehadiran banyak filem melayu dilahirkan dipersada filem Malaysia. Secara praktiknya, kebanjiran pelgabai genre filem membuktikan kreativiti dalam penglahiran idea oleh penghasil-penghasil filem tempatan. Menurut rencana Utusan Online (2009) filem-filem yang berjaya menyertai festival-festival antarabangsa di seluruh dunia adalah filem yang bersifat tempatan di negara masing-masing. Filem itu mencubit secebis daripada kisah masyarakat yang boleh membawa orang luar mengenal alam pemikiran bangsa dan negaranya.Filem Bunohan merupakan contoh terbaik dalam mengetengahkan diversiti dalam genre perfileman tempatan disamping mendedahkan budaya tempatan dari segi latarbelakang cerita dan bahasa yang digunakan. Bunohan mengisahkan kisah tragik antara tiga adik-beradik Ilham (Faizal Hussein), Bakar (Pekin Ibrahim) dan Adil atau Bunga Lalang (Zahiril Adzim) di samping bapanya yang uzur, Pok Eng (Wan Hanafi Su). Masing-masing terpisah dengan cerita tersendiri sebelumnya. Berlatarbelakangkan kawasan di sempadan di selatan Thai dan Malaysia; kampung Bunohan, bermula dengan Adil pelarian peninju Tomoi yang menjadi buruan penganjur tinju haram kerana Adil lari dari pertandingan oleh sebab hampir tewas, yang dibantu oleh kawannya sejak kecil, Muski (Amerul Affendi). Ilham seorang pembunuh upahan yang hampir 20 tahun tidak pulang ke

kampung halamannya, Bunohan walaupun ibunya meninggal dunia (pernah kerja di atas kapal dan ke serata dunia). Ilham diupah oleh bos penganjur tinju haram Siam dengan di awasi Deng (Bront Palarae). Sementara itu, Bakar asalnya seorang guru, yang juga abang Adil pulang dari kota untuk menjaga ayahnya Pok Eng seorang Tok Dalang wayang kulit. Niat Bakar bukanlah suci tetapi ada hajat terselindung iaitu untuk memilik tanah ayahnya seluas 30 ekar di tepi pantai untuk dijual kepada pemaju bagi tujuan resort. Kepulangan tiga orang adik-beradik itu akhirnya menimbulkan segala macam memori sedih sewaktu tinggal di Bunohan. Kepulangan Ilham mendorong dia untuk menjejaki kubur ibunya, Mek Yah (Azura) isteri pertama Pok Eng iaitu di tanah milik Pok Eng di tepi pantai tersebut. Dia hampir terlupa akan tujuan asalnya iaitu menyelesaikan Adil yang kemudiannya disedari adalah adik tirinya sendiri. Setibanya di Bunohan, Adil yang di bawah jagaan Pok Wah (Namron) berusaha menyelamatkan kelab tinju lama milik Pok Wah. Masa berlalu dan Bakar terdesak untuk mendapatkan tanah itu. Walau bagaimanapun, Pok Eng tetap berpegang janjinya dengan Mek Ani (ibu Bakar dan Adil, isteri kedua Pok Eng) untuk menyerahkan tanah itu kepada Adil suatu hari nanti. Ini mendatangkan marah si Bakar dan membuatkan dirinya tertekan dengan perjanjian perniagaan dengan pemaju dari bandar. Pendirian teguh ayahnya terhadap janji itu, menjadikan Bakar dapat mengesan yang Adil dan dirinya bukanlah saudara sedarah sedaging. Lalu Adil terdorong untuk mengetahui kisah sebenar tentang siapa dirinya. Ilham mendapati tengkorak mayat ibunya dan tengkorak mayat-mayat lainnya yang ditanam di tanah 30 ekar di tepai pantai itu telah dialihkan oleh orang pesuruh Bakar. Deng kini pula ditugaskan untuk mengawasi Ilham kerana gagal menurut perintah. Adil pula bersedia untuk perlawanan penentu bagi menyelamatkan gelanggang tinju Pok Wah seterusnya menebus semula tanah ayahnya. Bakar sekadar memerhati dari jauh dan tidak sabar untuk segala-galanya berakhir seperti apa dicitanya. Setelah sekian lama pemikiran penonton filem Melayu berada di zon selesa, filem arahan Daid Said, Bunohan bakal merubah kelesuan tersebut. Pemikiran takuk lama peminat filem Melayu bakal digegarkan dengan ideologi pembikinnya dalam satu ujian minda yang berlatarkan sebuah perkampungan gersang di Kelantan iaitu Bunohan. Bunohan nyata berbeza apabila menampilkan lakonan penuh berkarisma, visual sinematografi dengan tangkapan artistik, kualiti pengarahan seni penuh

simbolik dan disulam garapan bijak sang sutradaranya. Sinematografi paya bakau pada waktu malam amat sesuai dan cantik dipandakan dengan konsep filem. Babak tengkorak-tengkorak dalam perahu amat mahal seakan pembawakan nyawa yang mudah diangkut ke sana ke mari sama saja nilai nyawa di tangan Ilham. Babak jasad Ilham dan bangau yang terbang dalam keadan perlahan ke arah Ilham seakan dalam filem ANTICHRIST. Muzik latar hanya dengan menggunakan muzik tradisional di Kelantan (mungkin yang digunakan masa pertunjukan wayang kulit) menambahkan mood misteri pada cerita. Babak Mek Yah yang berlatarbelakangkan piramid memberi tanda bahawa Mek Yah kononnya mewakili firaun yang ditanam di dalam piramid untuk hidup selamanya. Sebab itulah Ilham mengambil tengkorak ibunya yang bercampur dengan yang lain untuk ditanam semula ke tempat asalnya supaya rohnya abadi di tempat ibunya disemadikan. Bunohan menawarkan suatu makanan yang segar pada menu tawar yang selama ini dihidangkan kepada penonton. Bunohan berada pada taraf yang berbeza dan tidak salah sekiranya dikatakan filem ini setaraf Jogho dan Kaki Bakar arahan U-Wei Haji Shaari lebih sedekad yang lalu. Menariknya Bunohan apabila visual yang digambarkan di layar perak mengukuhkan jalan cerita dan kekuatan tersebut turut disokong karisma setiap perwatakan yang hidup di tangan pelakonnya. Menurut GUA.my (2012), tangkapan artistik tetapi penuh makna dilakukan Charin Tong Pengpanich, sinematografer untuk filem terkenal dunia, Tropical Malady dan Uncle Boonmee Who Cant Recall His Pass Lives, masing-masing pemenang trofi di festival berprestij Festival Filem Cannes. Bunohan sangat gelap pada visualnya. Gelap yang memaparkan sisi hitam pada watak masing-masing. Paya bakau yang suram, lalang hijau, sungai kusam, arakan awan hitam dan ombak keras berpasir menambah kegelapan dan kegersangan kampung yang cukup kontang pada visualnya. Mise-en-scene dalam filem ini akan terus kekal menjadi rahsia pengarah tetapi ia menjadi hak penonton untuk menafsirkannya. Kisah dan drama mengenai adik beradik yang punya ideology tersendiri itu telah disampaikan dengan cara yang sangat mendalam sehinggakan apa yang digambarkan kadangkala sukar untuk ditangkap dan difahami dengan mata kasar. Cara penceritaanya bukanlah mudah untuk difahami oleh penonton biasa yang mahukan hiburan semata-mata kerana ianya lebih kepada maksud seni yang sukar untuk digambarkan. Selain itu, ia penuh dengan nilai-nilai dan pengajaran yang tinggi dalam setiap babak yang dimainkan oleh setiap pelakon. Malah, sukar untuk menyamakan filem ini dengan mana-mana filem kelahiran anak tempatan.

Namun, adegan yang paling sukar untuk dilupakan pastinya sewaktu babak pertama filem ini. Berlatarkan di tepi pantai, Bakar memerhatikan pelan pembangunan pusat peranginan sebelum seorang kanak-kanak berlari dan akhirnya jatuh tersungkur. Tubuhnya disalut darah. Dia berlari dan disorot ke kelir wayang kulit dengan kesan torehan sebelum imej kanak-kanak itu berlari dirakam di sebalik torehan tersebut. Ia sudah cukup untuk menceritakan keseluruhan cerita yang ingin disampaikan dalam filem ini. Diadun dialog pintar yang sepenuhnya menggunakan dialek Kelantan, penonton sekali sekala disuntik elemen jenaka bukan buatan dan dalam waktu yang sama harus pintar dan tangkas mentafsir metafora yang mahu disampaikan. Ada cerita dalam cerita pada Bunohan yang dimasukkan tanpa sedar. Sebaiknya Bunohan ditonton dengan minda yang bersedia lagi terbuka untuk menyelami lapisan-lapisan tersirat yang disampaikan baik menerusi dialog mahu pun visual. Perhatikan babak selepas Ilham diurut batin dan skrin televisyen yang menguasai ruang layar. Adegan pada setiap babak disatukan dengan cukup baik, walaupun adakalanya kelihatan seperti suntingan yang tidak kemas sebaliknya ia adalah idea pengarah untuk membawa ideologinya kepada penonton dalam satu alam lain bagi membuka ruang mitos serta misteri. Sama seperti mimpi-mimpi yang kita alami setiap malam dalam tidur kita. Ia datang saat pejam dan tatkala celik, ia hilang. Manakala bagi penonton yang pernah menonton drama dan filem arahan Dain, "Senandung Malam" dan klip video 8 minit dari filem Dukun di YouTube, pastinya sedar ia adalah auteur pengarah itu yang cukup gemar bermain dengan imej grafik dan visual di bawah sedar. Bunohan bukan sekadar kisah sekelompok masyarakat dalam kehidupan sebuah kampung tersebut, malah melangkaui lebih daripada isu biasa yang sering melingkari mereka. Selain elemen kekeluargaan dan budaya (wayang kulit dan main puteri) yang cukup kuat semangatnya dalam filem tersebut, Bunohan turut memaparkan kejelekan politik dan senario perfileman negara secara tersirat untuk penonton kelas pertama. Amati dialog pelakon dan gambaran visual yang ditampilkan kerana penggunaan Pohon Beringin dalam wayang kulit ada maknanya. Kemungkinan untuk penonton datang menyaksikan Bunohan sematamata kerana aksi tomoinya adalah sangat tinggi, boleh saya katakan mereka pastinya akan kecewa kerana babak yang melibatkan adegan lasak tidak begitu panjang. Namun ia bukan persoalan besar kerana isu budaya, kekeluargaan, pengkhianatan, kesetiaan dan penipuan saling berkait bagi merungkai permasalahan sebenar dalam filem tersebut juga mampu melonjakkan adrenalin penonton

terutamanya kepada watak Bakar. Bunohan kaya dengan sifat artistik, penonton kena bijak mentafsir setiap metafora yang cuba dipaparkan. Dialognya boleh dikatakan 100% adalah dialek Kelantan dan bergantung sepenuhnya pada sarikata. Ketika filem melayu di pasaran dipenuhi bahasa rojak, tetapi Bunohan mengangkat dialek Kelantan sepenuhnya. Jika penonton mengharapkan filem ini penuh dengan aksi tomoi, pergaduhan dan pembunuhan, kesilapan konsep dapan dikesan kerana semua itu bukanlah intinya. Bukan sebaris dengan KL Gangster. Malah aksi perlawanan atau fighting scene tidaklah terlalu fokus namun kewujudanne merupakan satu fokus dapam mendedahkan pengenalan bagi cerita ini. Ini mungkin menimbulakn kekecewaan bagi pihak penonton dan eminat filem tempatan namun Bunohan lebih banyak kepada drama keluarga, ketamakan dan kesayuan. Menurut Shazryn Mohd Faizal (2012) melalui artikel nya di Utusan Online Bunohan merupakan filem yang berada dalam liga tersendiri. Bunohan bukan sebuah filem komersial kerana ia tidak dibarisi pelakon popular yang memiliki wajah kacak dan menjadi kegilaan ramai. Sebaliknya, kekuatannya terletak kepada lakonan hebat dan mantap para pelakon yang kesemuanya adalah lelaki yang telah memberikan dimensi baru dalam sinema tempatan. Di aspek lakonan, Faizal Hussein sebagai Ilham cukup berat wataknya. Bayangkan bagaimana seorang pembunuh upahan perlu berdepan dengan Adil, adiknya sendiri dan dalam waktu yang sama dia cuba mempertahankan kubur ibunya dari dibongkar oleh komplot jijik adik tirinya sendiri, Bakar demi sekeping tanah untuk dibangunkan. Konflik perasaan dan jiwa yang dihadapi Ilham diperkuatkan lagi dengan visual yang cukup menggambarkan sisi perwatakannya yang gelap berlatarkan ombak besar, bayang cahaya bulan, gumpalan awan hitam dan wajah bersalut peluh jantan yang tidak pernah henti menitis. Dipetik dari artikel MyMetro Faizal Hussein memulakan langkah di pentas lakonan sejak 1982 menerusi filem Senja Merah, nama Faizal, 45, melonjak naik selepas membintangi Gila-Gila Remaja pada 1986 sebagai Azroy. Diarahkan bapanya, Allahyarham Hussein Abu Hassan, ia memberi impak besar untuk Faizal membuktikan darah seni diwarisi. Biarpun terus aktif berlakon, namun ada pasang dan surutnya. Ditambah, faktor seperti peningkatan usia dan kemunculan hero pelapis membuatkan Faizal menyahut pula cabaran melakonkan watak antagonis. Justeru, ia bermula dengan tawaran membintangi filem patriotik, Leftenan Adnan arahan Aziz M Osman. Melakonkan watak prebet Ayob yang menjadi pembelot, ia

umpama pembuka langkah buat Faizal menerima lebih banyak peranan negatif. Bahkan, watak hitam lakonannya dalam filem Gerak Khas The Movie II berjaya melayakkan dia menang Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Anugerah Skrin 2003. Menurut Faizal, walaupun dia banyak melakonkan watak antagonis, tetapi masih gembira kerana diterima baik peminat yang setia memberikan sokongan. Ujarnya, memang tidak disangka peminat boleh suka dia menjadi jahat dalam filem sekali pun babak dilakonkan sedikit dan ada kalanya berasa tak puas. Begitu juga Pekin, mastermind yang luarannya nampak baik tetapi kelicikannya sangat bersebab. Sementara Adil, yang sedar dia menjadi buruan abangnya sendiri berada dalam dilema untuk mengetahui asal-usulnya sendiri. Hubung kait ketiga-tiga watak dalam penceritaan yang tersendiri diolah oleh pengarah dengan cukup berkesan. Bagaimana 3 watak bergerak dan develop seiring sangat berkesan. Bukan banyak filem Malaysia yang tertumpu pada 3 watak penting sekaligus atau ensemble. Faizal Hussein paling menonjol. Manakan tidak, ia di samakan dengan Jack Palance oleh wartawan barat (John Anderson - Variety) ketika festival Filem Toronto yang lalu. Ilham memang sangat cocok di tangan Faizal. Cara mengelar leher pun bukan sebarang gayanya. Malah dengan lawi ayam alat tradisional bukan dengan senjata bahan api jika senang nak membunuh. Malahan semua pelakon memang hebat! Dari watak sekecil-kecil Gasi yang tiada dialog tu (Eyzendy - Seru) hingga ke Pok Wah (Wan Hanafi Su) penonton tidak akan rasa cacat pada teknik lakonan Bunohan. Pelakon yang agak asing dimata penonton iaitu Jolok (Hushairy Husin) memang padan dengan wataknya. Pekin Ibrahim yang pertama kali membawa watak yang besar dalam filem sangat meyakinkan dalam tenang. Dalam sebersih-bersih pakaian Bakar bukan mengambarkan dalamannya. Lakonan Pekin Ibrahim sebagai Bakar dipuji kerana dia berjaya membuat penonton percaya bahawa dia satu-satunya abang sulung yang baik dan cuba menyatukan adik beradiknya. Namun sangkaan itu meleset kerana dialah dalang semuanya demi memenuhi kepuasannya. Zahiril Adzim sebagai Adil pula tidak kurang hebatnya. Lakonannya kali ini lebih serius, dan wataknya seperti sudah sebati dengan diri dan jiwanya. Filem harus dilihat sebagai sebuah karya yang bermula dengan cerita yang diolah menjadi menarik oleh pengarah. Cerita itu dihidupkan dengan lakonan oleh pelakonpelakon yang memahami & menghayati watak yang dibawanya. Lakonan yang hidup itu pula berhasil menimbulkan konflik yang menyentuh hati penonton. Penonton akan

turut merasai setiap perlakuan, tindakan & perasaan yang dialami watak & sentiasa mengharapkan berlakunya penyelesaian yang memberikan mereka kepuasan. Lakonan yang menghidupkan cerita digambarkan dalam framing dengan komposisi yang menghidupkan latar, mood & suasana. Gambaran yang terhasil ini dibantu atau digetarkan pula dengan muzik, kesan bunyi & lagu. Kesemuanya pula direalitikan dengan penataan seni termasuk busana, tatarias, pencahayaan & sudut kamera. Ertinya filem itu dihidupkan dengan gabungan berbagai elemen yang diadun dengan kreativiti terpilih. Sebuah filem akan menjadi terbaik jika adunan ini menjadi menarik & berkesan & tiada cacat-cela yang merosakkan. Ia juga menjadi terbaik jika kita yang menonton menjadi lupa bahawa yang ditonton itu adalah sebuah cereka. Kita hadir di dalam dunia yang dicipta itu secara tidak sedar & terheret sama dalam setiap persoalan, emosi, aksi atau tindakan serta pengalaman pahit manis watak-wataknya. Bagi filem bunohan ia didapati memnuhi segla kriteria yang telah dinyatakan kerana dari sudut penggarapan cerita ia mampu membuatkan msayarakat sedar bahawa terdapat pelbagai jenis manusia didalam dunia ini. Setiap manusia dijadikan berbeza walaupun hubungan kekeluargaan terjalin antara mereka. Faktor perbezaan itu juga diketengahkan di dalam filem ini dimana setiap watak melalui fasa yang menyebabkan mereka berubah manjadi diri mereka didalam cerita tersebut. Hubungan kekeluargaan yang kurang akrab yang ditunjukkan didalam filem ini sebenarnya lebih kepada raliti masyarakat kita dimana mementingkan hal sendiri berbanding hubungan kekeluargaan. Sikap pura-pura yang dapat dilihat didalam cerita ini juga merupakan unsur perli dari pengarah sendiri agar masyarakat yang menonton filem ini dapat sedar dari sikap negatif yang diamalkan buat sekian lamanya dalam kalangan masyarakat kita. Dtidak dapat dinafikan lagi disini bahawa filem ini elok ditonton atas dasar penyedaran diri dan refleksi individu terhadap gaya hidup serta amalan yang dilakukan selama kehidupan setiap mereka. Kesimpulanya, Bunohan dilihat sebagai satu kesinambungan beberapa isu dan subjek yang direnungkan oleh P. Ramlee dalam filem Pendekar Bujang Lapok (1959). Manusia Melayu, apabila sudah maju, mudah melupakan budaya dan nilainilai bangsa mereka. Lebih lima puluh tahun sudah berlalu, namun manusia yang (kononnya) sudah maju pada hari ini, bertukar menjadi kapitalis yang rakus, menerima dan memberi rasuah dan sanggup membunuh untuk mencapai matlamat mereka. Bintang yang dapat diberikan ialah empat bintang kerana sinematografinya

yang baik dan jalan cerita yang penuh dengan mesej berguna tetapi teknik CGI nya yang agak keterlaluan menganggu originaliti cerita ini.

You might also like