You are on page 1of 10

LAMBAIAN SYAHDU DI AIDILFITRI

KICAU burung diiringi hembusan bayu pagi mengiringi kemunculan sang mentari di
ufuk timur. Kokok-kokok ayam menandakan satu hari lagi perlu ditempuhi. Tangan
lincah Nek Yah sudah lama mengirai daun mengkuang yang berwarna-warni sejak subuh
berlalu. Niatnya, bukan kerana hendak mencari duit lebih atau bukan kerana ingin
mengisi masa lanjutnya, bukan juga kerana terpaksa tetapi kerana minat dan darah seni
yang mengalir dalam tubuhnya. Seninya bukan terletak pada berus cat bukan juga pada
suara dan paras rupa tetapi pada kehalusan tangannya menari dengan pantas untuk
menghasilkan anyaman yang begitu cantik dan teliti buatannya.

Kadang-kadang terlintas di fikirannya akan orang jauh di rantauan. Sudah 25 tahun tidak
bersua. Sebak rasa di dada. Segera dia mematikan lamunan itu. Dia tidak mahu
mengundang air mata. Setelah kehilangan orang yang tersayang lima tahun dulu, tiada
lagi penyeri hidupnya kecuali anak cucunya yang tinggal berhampiran. Keluarganya
bukan orang sembarangan tetapi merupakan saudara dekat kaum kerabat, anak cucu
pendekar Melaka. Namun, pangkat dan darjat tidak mampu mengumpulkan kesemua
anak cucunya.

25 tahun dulu kedegilannya telah menyebabkan salah seorang anak kesayangannya, anak
pertama yang dipangkunya setelah bergelar isteri telah merajuk membawa diri hingga
beribu-ribu batu jauhnya dari kaum keluarga yang lain. Dengar khabar beritanya
pasangan yang ditentangnya dulu itu merupakan satu-satunya pasangan anaknya yang
berjaya melahirkan zuriat yang gagah. Satu-satunya cucu lelakinya. Cucu yang tidak
pernah bersua muka dengannya apatah lagi hendak bermanja.

"Assalamualaikum. Nenda..." suara gemersik Patin mematikan lamunan Nek Yah. Segera
disapunya air mata yang mengalir tanpa disedari.
"Nenda buat apa tu?"

"Buat apa lagi. Nak harapkan orang muda, tak luaklah daun-daun mengkuang kat
belakang rumah tu!" bidas Nek Yah. "Engkau kenapa ke sini? Pergilah pegang buku. Tak
lama lagi nak periksa."

"Shhh.... diam-diamlah nenda. Dengar dek orang malulah saya." Patin ambil STPM buat
kali kedua tanpa diketahui keluarga angkatnya. Dia tak mahu diejek kakak-kakak
angkatnya. Hanya Nek Yah seorang saja yang diberitahunya. Semua perbelanjaannya
ditanggung Nek Yah. Sudah 15 tahun dia mengenali keluarga Nek Yah. Selama itulah dia
telah dapat menilai hati budi kesemua anak cucu Nek Yah.

"Eh, nek Patin ada kerja sikitlah. Mak pesan petang nanti buka puasa sama-sama. Jangan
nenda buka puasa kat masjid pulak."

Nek Yah angguk saja.

Hari ini genaplah sepuluh pucuk surat yang dihantar Patin Ke London. Sembilan pucuk
sebelum ini tidak pernah terbalas namun Patin tidak pernah putus asa. Patin tidak tahu
sama ada suratnya dibaca atau tidak oleh si penerimanya. Yang pastinya dia telah
berusaha untuk menyatukan semula Nek Yah dengan keluarga yang dirinduinya.
Melihatkan kegembiraan Nek Yah adalah misi utamanya. Sebelum memasukkan surat itu
ke dalam kotak pos, Patin berselawat tiga kali. Moga-moga surat di alaf baru ini
membawa perubahan.

7.45 petang, London


Amir meletakkan beg berisi fail-fail pejabat yang perlu disemaknya
malam nanti di atas meja dalam bilik bacaan. Matanya menangkap
sampul surat bersaiz A4 berwarna coklat, tepat di tengah-tengah
meja. Melihatkan tarikh hari itu dia telah dapat mengagak kandungan surat tersebut.

Surat pertama yang diterimanya melahirkan rasa benci. Surat kedua tidak diendahkan isi
kandungannya. Surat yang ketiga, ditunjukkan kepada papanya. Papanya hanya diam
apabila melihatkan kandungan surat itu. Papanya meninggalkan surat itu di depannya
tanpa bersuara. Surat keempat menyebabkan tidurnya terganggu. Surat kelima tidak
dibukanya menyebabkan dia tertanya-tanya kandungannya. Selepas membuka surat itu,
dia mula ternanti-nanti surat yang seterusnya. Surat keenam menyebabkan air matanya
mengalir. Surat ketujuh menyebabkannya tersenyum. Surat kelapan amat dinanti-
nantinya. Surat kesembilan menyebabkan jantungnya berdebar- debar. Dan surat
kesepuluh...

Dia mengeluh. Masih tiada nama pengirimnya. Pengenalannya hanya, `cucu nenda'.
Melalui surat-surat itu juga tersenarai 18 orang cucu seorang wanita bernama Nek Yah.
18 orang cucu perempuannya. Bermakna dia merupakan cucu tunggal lelaki Nek Yah.
Cucu yang tidak diakuinya 25 tahun dulu.

Kini, betulkah apa yang ditulis cucu nenda itu? Betulkah Nek Yah merindui mereka?
Betulkah Nek Yah tidak lagi bencikan mama, pelakon opera Inggeris yang berjaya
menambat hati papa sekaligus merampas papa daripada Nek Yah? Bergetar tangan Amir
apabila membaca perenggan akhir surat itu. ...Jika kali ini tiada juga apa-apa berita
daripada tuan di sana, anggaplah ini surat terakhir. Nenda dah terlalu uzur. Menunggu
panggilan Ilahi. Jika masih ada belas ihsan daripada tuan, lupakanlah perkara silam.
Jumpalah nenda buat kali terakhir. Hapuskanlah air mata yang mengalir tiap-tiap kali
laungan takbir raya di pagi raya. Jika bukan kerana sayang, anggaplah sebagai hutang
susu ibu yang belum terjelas. Pulang-lah...

10.45 pagi, Malaysia


"Kak Patin! Kak Patin!," termengah-mengah Ina Latifa mendapatkan Patin.
"Eh! engkau ni kenapa?"

"Ada orang datang rumah..." jelas Ina Latifa. "Kita seriuslah, Kak Patin. Orang jauh...
Orang Londonlah, Kak Patin."

Tersentak Patin. Orang London? Setahunya orang London hanya orang itu dan
keluarganya. Betulkah mereka datang?

"Err... Ina balik dulu. Kejap lagi Kak Patin susul, ya."

"Ala... balik samalah. Ha, waktu berbuka pun dah tak lama ni. Bolehlah kita berbuka
puasa dengan orang London. Jomlah!"

Ina Latifa tersengih melihat reaksi Patin. Kakak Ina, Ima Farahanim bekerja sebagai
setiausaha di sebuah syarikat besar di ibu kota. Orangnya cantik dan bergaya. Cakapnya
pun petah. Umi Fazila, kakak kedua pada Ina Latifa. Dia cikgu sekolah menengah. Kakak
ketiga Ina Latifa pula tak kurang hebatnya. Dia baru saja selesai buat penggambaran
filem. Dua orang lagi iaitu Ila Marhana dengan Ifa Dalila, sudahpun berkahwin. Seorang
lagi ialah kakak angkatnya iaitu Fatihanul Izwa. Tak lain tak bukan, Kak Patin. Nek Yah
yang ambilnya sebagai cucu ang kat tapi makan minumnya dan tempat berteduhnya
adalah bersama-sama keluarga Ina Latifa.

Ibu Ina Latifa adalah adik kepada Pak Long London mereka. Pak Ngah, Mak Cik dan Pak
Su semuanya mempunyai anak-anak yang belum diisytiharkan sebagai anak dara yang
dah boleh kahwin. Maka, pilihannya akan berkisar kepada keluarga mereka sahaja.

"Ina pergilah balik dulu. Kak Patin susul kejap lagi. Pergilah..."
"Yalah...yalah. Jangan lama sangat tau. Menyesal nanti." gelak Ina Latifa.

Dalam termenung sambil memikirkan cara-cara untuk mengelakkan identitinya


terbongkar, waktu berbuka sudah hampir tiba. Bergegas Patin pulang. Dia tidak ikut pintu
depan kerana dia bimbang terserempak dengan orang London tu.

"Apa yang terintai-intai ni, Patin. Dah! Jangan nak mengarut. Masuk cepat. Siap-siap.
Kita ada tetamu." sergah maknya.

"Tetamu mak? Err... siapa?"

"Ina tak cakap ke? Pak Long kamu dengan keluarganya. Hmm... balik jugak mereka
akhirnya. Dah! pergi masuk."

Wah! bukan main gembiranya lagi Nek Yah dengan kehadiran orang baru, sampaikan
Patin sendiri rasa tersisih. Tapi dia tidak rasa kecil hati kerana hajatnya dan hajat Nek Yah
sudah tercapai.

Malam tu Patin berbuka puasa dengan anak-anak Pak Ngah dan Pak Su. Saja tidak mahu
mengganggu konsentrasi Nek Yah dengan 'hadiah' hari rayanya.

"Abang Amir kata dia nak kahwin dengan orang yang hantar surat
padanya kat London!" tiba-tiba tajuk perbualan mereka berubah.
Tersedak Patin.

"Mana kau tahu Ami? Mesti curi dengar ni..." soal Ika, anak ketiga
Pak Ngah juga seusia dengan Ina Latifa.

Ami tersengih. "Tapi betul. Kan Ina?"


Ina Latifa angguk. Nasi disuap ke mulut. Dikunyahnya beberapa kali kemudian segera
membuka cerita yang didengarnya pula. "Kak Fara kata dia ada hantar surat. Tapi tak
tahulah. Kak Fara tak pernah pula tipu..."

"Entah-entah surat lain kot..." celah Patin tiba-tiba.

"Kenapa? Kak Patin ada kirim surat jugak ke?" gelak Ina Latifa.

Merah muka Patin. "Tak da lah. Saja Kak Patin cakap macam tu..."
"Tapi betul. Ada hari tu Kak Fara suruh Ina tolong poskan. Alamatnya memang alamat
Pak Long..."

Dahi Patin berkerut. Dia tidak tahu kenapa tiba-tiba hatinya kecewa. Dia tahu tidak
sepatutnya dia berperasaan sedemikian tapi dia tidak dapat menghalang dirinya daripada
berasa sedih.

"Patin, pergi ambil barang-barang Pak Usu kau suruh cari tu..." pinta maknya.

"Hmmm..." angguk Patin. Sewaktu dia hendak keluar, dia terserempak dengan seorang
lelaki. Lama mereka saling merenung. Perlahan-lahan bibir Amir mengukir senyuman.
Merah wajah Patin apabila menyedari perlakuannya.

"Ini mesti Fatihanul. Mmm... berjumpa juga kita akhirnya. Ceritanya dah banyak saya
dengar, baru sekarang dapat bersua empunya badan."

Makin merah padam wajah Patin. Bimbang dengan kata-kata Amir itu.

"Ha! dah jumpa kan? Sekarang tepi, kita nak lalu. Kita ada kerja nak cepat!" Patin cuba
melintasi Amir tetapi dihalang olehnya.

"Kita nak berkenalan dengan awak. Nak eratkan silaturrahim!" ucap Amir, lembut.
Senyumannya seolah-olah menyindir Patin. Entah kenapa senyuman itu menambahkan
lagi rasa geram Patin.

"Mungkin Fatihan tahu siapa yang tulis surat-surat tu?"

"Oh, surat tu... Kan Kak Fara yang tulis..."

"Surat terakhir itulah menyebabkan kami sekeluarga pulang ke Malaysia."

"Habis, surat-surat sebelum tu?"

"Mmmm... surat mana ya? Tak de pulak saya terima surat lain. Seorang saja yang hantar
surat pada saya yang bersetemkan Malaysia..."

Sah! Dia tidak terima suratnya. Betullah kerana surat Kak Fara dia pulang. Sebak Patin
dating tiba-tiba. Ah! pedulikan.

"Amir tolong bawa barang-barang ni bagi kat Pak Su, Mak Uda dan Mak Ngah. Aa....
lepas tu tangkap dua ekor ayam kat reban tu, bagi kat Pak Ngah." Patin menyerahkan
senarai barang-barang ke tangan Amir. "Pandai baca kan?" soal Patin.

Ish, budak ni sengaja menguji keimanan aku. Tak apa, aku tengok sejauh mana dia nak
bermain. Detik hati Amir. Dia tersenyum tanpa menjawab.

"Dengar betul-betul ya!" Patin bersuara seperti cikgu sekolah tadika yang sedang
berdepan dengan salah seorang daripada anak muridnya.
"Daun palas dengan daun kelapa ni nak buat rendang. Ingat R-E-N-D-A-N-G! Bagi kat
Pak Su. Buluh ni... ni... omputih kata 'bamboo', bagi kat Mak Uda. Mak Uda nak buat
ketupat, faham? Ha, beras pulut ni bagi Mak Ngah nak buat kerisik, OK? Ha, ayam tadi
jangan lupa bagi kat Pak Ngah. Pak Ngah nak kacau dodol. Ingat jangan tak ingat, OK.
Bye!"

Dua tiga jam kemudian Amir kembali bersama-sama barang yang telah dicarinya. Waktu
itu Patin tengah tolong maknya memerah santan.

"Mak Uda ini dia barang yang Mak Uda pesan. Mak Uda nak buat ketupat, kan?"

"Aaa... Amir. Ngko mesti tak pernah rasa ketupat Mak Uda buat. Ha, bak sini barang tu."
Mak Patin berpaling untuk menyambut daun palas dengan pucuk daun kelapa. Dia
terpaku apabila Amir meletakkan seikat buluh lemang yang telah dipotong di depannya.

"Buluh ni nak buat apa bawak sini, Mir?" soal mak Patin.

"Nak buat ketupatlah, Mak Uda."

"Ha?" Tergelak mak Patin mendengarnya. Amir terpinga-pinga melihat perlakuan Mak
Udanya. Patin yang mendengar segala-galanya cuba menahan ketawa.

"Siapa yang suruh cari buluh ni?" soal mak Patin setelah ketawanya
berbaki.

"Fatihan, mak uda."

"Apa lagi yang disuruhnya?" soal mak Patin yang seolah-olah sudah
dapat meneka apa yang dilakukan oleh Patin.

"Daun palas dengan daun kelapa bagi kat Pak Su buat rendang. Ha, beras pulut bagi Mak
Ngah nak buat kerisik, ayam bagi kat Pak Ngah. Pak Ngah nak kacau dodol. Kenapa Mak
Uda gelak?" soal Amir melihatkan mak Patin makin kuat ketawanya.

"Hai budak Patin ni..." gelak mak Patin. Amir turut ketawa apabila mak Patin
menerangkan kegunaan sebenar barang-barang yang dicarinya itu. Sempat Amir
menangkap gelak Patin dan berjaya menarik pandangan Patin. Dia tersenyum. Patin
faham akan mesej senyuman itu... 'giliran saya akan tiba...

Pagi raya
Allahuakhbar... Allahuakhbar... Allahuakhbar... Takbir raya memuji kebesaran Ilahi
menyebabkan mengalirnya air mata Nek Yah apabila anak menantu dan cucu yang lama
merajuk kembali mencium tangannya di Hari Raya Aidilfitri yang mulia itu. Dia gembira
kerana semua anak cucunya dapat berkumpul beramai-ramai begini. Patin turut
tersenyum apabila Nek Yah tersenyum.

"Selamat hari raya nenda!" ucap Amir setelah mencium tangan Nek Yah dan mengucup
pipinya.

"Selamat hari raya cu. Hmmm... selama ni hanya Patin sorang saja yang panggil nenda
pada nen. Sekarang dah dua orang. Syukur alhamdulillah..."

Patin di sebelah Nek Yah terkedu. Matanya membesar, jantungnya berdegup kencang.
Amir yang memandang gelagat gadis manis bermata bulat itu tersenyum. Perlahan-lahan
pipi basah Nek Yah disapunya.

"Bagaimana Fatihan? Air mata yang mengalir pada pipi nenda setiap laungan takbir raya
bergema dah kita sapukan. Harap Fatihan pegang pada janji..."

"Jan... janji? Ukh... mmm.. janji apa?" bisik Patin, gementar.

"Janji yang Patin akan terus tulis surat ke-11 dan seterusnya kepada kita."

Ya Allah!

"Surat... surat Kak Fara?"

"Ooo...surat tu. Surat undangan kahwin Ira Fazila..." Amir ketawa melihatkan wajah
merah Patin.

"Nenda, saya dah jumpa bakal isteri saya. Saya harap nenda tak ada apa-apa halangan?"
ucap Amir.

Nek Yah yang mengerti perasaan orang muda tersenyum. "Kalau nak sekarang juga
nenda boleh kahwinkan."

"Nenda!" jerit Patin. Semua yang ada di situ berpaling ke arah Patin. Kemudian mereka
semua turut ketawa. Tahulah Patin yang dia telah diperangkap. Dalam hatinya berbunga
kerana burung layang-layang yang terbang jauh kembali hinggap ke dahan tempatnya
belajar terbang. Lambaian syahdu di aidilfitri tahun 2000 membawa kenangan bahagia.

Ikatan suci telah terjalin tanda agungnya rahmat Aidilfitri...

You might also like