You are on page 1of 4

Perbandingan antara Kurikulum Standard Sekolah Rendah(KSSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah(KBSR)

Transformasi pendidikan di Malaysia merupakan suatu usaha membangunkan system pendidikan yang berdaya saing selaras dengan pendidikan global. Maka, suatu kurikulum pendidikan yang baru telah diperkenalkan untuk mengantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah(KBSR). Kurikulum yang baru ini diberi nama Kurikulum Standard Sekolah Rendah(KSSR) dan telah dilaksanakan di seluruh pelusuk Negara sejak 2011. Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) diperkenalkan sebagai usaha menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai relevan untuk memenuhi keperluan semasa serta menghadapi cabaran abad ke-21. Terdapat banyak perbezaan diantara Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah. Perbezaan yang pertama adalah dari rekabentuk kurikulum. Reka bentuk Kurikulum Standard Sekolah Rendah adalah berasaskan 6 tunjang iaitu, komunikasi, kerohanian sikap dan nilai, kemanusiaan, perkembangan fizikal dan estetika, sains dan teknologi dan akhirnya ketrampilan diri. Manakala reka bentuk Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) pula hanya merangkumi tiga bidang iaitu, komunikasi, manusia dan alam sekeliling dan juga perkembangan diri individu. Komunikasi merupakan satu-ssatunya tunjang yang terdapat dalam kedua-dua kurikulum. Dengan ini, kita dapat mengetahui bahawa Kurikulum Standard Sekolah Rendah adalah lebih memyeluruh dan ia memperbaiki dan menambah beberapa tunjang yang tidak ditekankan dalam KBSR. Selain itu, reka bentuk KSSR adalah berbentuk Modular manakala KBSR pula berbentuk Linear.

Di samping itu, bahan kurikulum untuk KBSR dan KSSR juga adalah berbeza. Kurikulum Standard Sekolah Rendah mengikuti Dokumen Standard Kurikulum sebagai bahan kurikulum dalam pengajaran manakala, Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah pula menggunakan sukatan pelajaran untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Dalam huraian sukatan pelajaran KBSR terdapat tiga bahagian iaitu, kandungan, hasil pembelajaran dan juga cadangan aktiviti pengajaran dan pembelajaran manakala dokumen standard kurikulum pula hanya mengandungi standard kandungan dan standard pembelajaran. Dalam KBSR proses Pengajaran dan Pembelajaran dijalankan dalam 3 tahap mengikut tahap murid-murid namun dalam KSSR pengajaran secara bertahap tidak lagi diikuti. Selain itu, dari segi kandungan pula, kedua-duanya mempunyai perbezaan yang ketara kerana berlaku perubahan kepada kandungan dalam semua mata pelajaran. Dari aspek pedagogi pula, kedua-dua kurikulum ini mengekalkan semua elemen. Pedagogi ialah kajian mengenai pengajaran, khususnya pengajaran dalam pendidikan formal. Dengan kata lain, ia adalah sains dan seni mengenai cara mengajar di sekolah. Elemen-elemen seperti kemahiran berfikir dalam P&P, aplikasi kecerdasan pelbagai dalam P&P, penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi, pengajaran berasaskan kajian masa depan, pembelajaran secara konstruktivisme, pembelajaran secara kontekstual, pembelajaran akses kendiri, pembelajaran masteri dan juga belajar cara belajar dikekalkan KSSR dan juga KBSR. Aspek Pedagogi dalam kedua-dua kurikulum tidak berubah sedikitpun. Ini menandakan bahawa terdapat banyak aspek-aspek dari KBSR dikekalkan dalam KBSR dan KSSR merupakan penambahbaikan KBSR. Seterusnya, KBSR dan juga KSSR bolehlah dibandingkan dari aspek organisasi. Organisasi dalam KBSR adalah berasaskan mata pelajaran. Namun, organisasi dalam Kurikulum

Standard Sekolah Rendah pula dibahagikan kepada dua tahap. Tahap satu dalam organisasi KSSR merangkumi tiga modul iaitu modul teras asas, modul teras tema dan juga modul elektif. Tahap dua pula merangkumi 6 modul iaitu modul komunikasi, modul komunikasi elektif, modul kerohanian, sikap dan nilai, modul fizikal dan estetika, modul sains dan teknologi dan akhirnya modul kemanusiaan. Sistem pentaksiran juga mengalami perubahan yang agak ketara dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah. Dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah, penekanan yang ketara telah diberikan kepada pentaksiran sumatif. Pentaksiran sumatif ialah ujian yang dijalankan di akhir sesuatu kursus atau program. Ia bertujuan untuk memperoleh maklumat tentang pencapaian pelajar pada kursus itu, atau untuk mengetahui setakat mana keberkesanan program yang telah dijalankan itu. Ujian sumatif juga diguna untuk tujuan persijilan. Contoh ujian sumatif ialah ujian pada peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM. Namun, dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah, pentaksiran dilakukan secara berterusan untuk mengesan perkembangan dan pencapaian murid dalam pembelajaran. Kaedah ini memastikan semua murid menguasai setiap kemahiran yang dipelajari. Selain itu, KSSR juga menggunakan kaedah pentaksiran yang pelbagai. Di samping itu, kaedah pentaksiran dalam KSSR adalah bersifat holistik dan autentik. Perbezaan yang paling utama yang terdapat dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah adalah ia memberi penekenan untuk 4M iaitu membaca, mengira, menulis dan yang terbaru menaakul. Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah pula hanya memberi keutamaan kepada 3M iaitu membaca, mengira dan juga menulis. Menaakul ialah kemahiran berfikir yang membolehkan seseorang pelajar itu membuat keputusan berdasarkan akal dan logik. Kemahiran ini sangat penting dan haruslah disuntik dalam diri setiap pelajar kerana ia akan membantu

mereka memilih yang mana betul dan yang mana salah. Ini akan membantu para pelajar untuk mencapai kematangan tentang baik buruk sesuatu tindakan sebelum melakukannya. Akhir kata, banyak perubahan telah dibawa dalam system pendidikan di Malaysia menerusi Kurikulum Standard Sekolah Rendah. Nescaya, segala perubahan ini akan menjadikan pendidikan di Malaysia bertaraf dunia.

You might also like