You are on page 1of 13

BAB 1: KONSEP TEKNOLOGI PENGAJARAN.

1.1 KONSEP TEKNOLOGI. Teknologi mempunyai pelbagai makna. Makna teknologi yang biasa kita dengar ialah mesin atau lainlain produk yang terhasil daripada ilmu sains moden. Mesin atau alat-alat ini diperluka oleh manusia untuk memastikan kehidupan yang selesa dan bahagia. Bagaimanapun, tafsiran seperti ini dianggap amat sempit. Ia merupakan satu generalisasi jika teknologi ditafsirkan sama seperti mesin atau peralatan semata-mata. Ini kerana maksud teknologi merangkumi lebih daripada perkara-perkara tersebut. Jadi apakah makna teknologi yang lebih wajar bagi manusia? Perkataan teknologi berasal daripada Bahasa Yunani , techne yang bermakna kemahiran. Berdasarkan erti asal perkataan Yunani ini, maka wajarlah jika Galbraith (1967) mendefinisikan teknologi sebagai: the systematic application of scientific knowledge and other organized knowledge to practical tasks. Ertinya, kemahiran yang dimaksudkan ialah kemahiran menggunakan pengetahuan (saintifik mahupun tidak) secara sistematik sehingga terbit satu amalan yang praktikal bagi melaksanakan sesuatu tugas. Marilah kita teliti istilah ini dengan lebih lanjut. Pengetahuan saintifik ialah sebarang himpunan pengetahuan atau ilmu yang telah teruji dan dapat dinyatakan dalam bentuk satu set prinsip-prinsip am. Misalnya, air yang dimasak hingga menggelegak didapati dapat membunuh kebanyakan kuman yang memudaratkan kesihatan manusia. Satu lagi contoh ialah pembelajaran perlu dimulakan daripada pengalaman konkrit kepada abstrak. Andainya, kita laksanakan prinsip ini, bermakna kita telah menggunakan pengetahuan saintifik. Pengetahuan lain yang tersusun (other organized knowledge) adalah juga pengetahuan yang berguna kepada manusia. Masih banyak pengetahuan yang tidak terbukti secara saintifik tetapi menjadi amalan kita kerana ia diterima berdasarkan pengalaman dan pengamatan manusia. Contohnya, penggunaan herba dan serangga dalam perubatan. Namun, penggunaan pengetahuan semata-mata belum boleh diklasifikasikan sebagai satu teknologi kerana syarat untuk digelarkan sesuatu amalan itu berteknologi terletak kepada aspek penggunaannya secara sistematik lagi praktikal. Dalam hal ini, jika dirujuk kembali kepada memasak air, maka, aspek yang dilihat mungkin tentang kebersihan bekas memasak air, dapur memasak yang selamat dan jangka masa untuk air menggelegak. Andainya kesemua aspek ini dipenuhi dan memberi keselesaan (berkesan

dan cekap) kepada pengguna (diri kita), maka barulah dapat dikatakan itu satu teknologi. Maka, jelaslah bahawa teknologi (seperti dalam hal memasak air ini), bukan alat sematamata perkara yang dititikberatkan. Ia sesungguhnya adalah juga satu proses, satu kaedah dan satu idea. Heinich, Molenda dan Rusell (1969) menyokong pandangan ini dengan tafsiran teknologi seperti berikut:

Teknologi bukan semata-mata alat dan mesin sahaja. Ia merangkami proses dan idea. Kekuatannya terletak terutamanya pada proses dan idea, manakala kejayaan untuk mencapai sesuatu maksud atau objektif terletak pada alat. Ini bermakna, dalam merancang sesuatu pengajaran, perancangan awal yang melibatkan penggunaan idea sama ada dalam bentuk teori, pendekatan, kaedah dan sebagainya adalah merupakan proses yang terpenting. Alat pula merupakan pemangkin kea rah mencapai kejayaan.

Terdapat satu lagi tafsiran tentang teknologi oleh Evans dan Nation (2000) yang secara terangterangan menolak konsep alat sebagai teknologi. Ia dikatakan seperti berikut: Technology is not a tool it is an art or science of how to use a tool for a purpose. (hlm. 2) Di sini, amat jelas ditegaskan bahawa teknologi itu adalah bagaimana kita menggunakan alat untuk memenuhi sesuatu keperluan. Penggunaan itu pula bukan dilihat dari sudut sains semata-mata, tetapi juga seni. Jadi, jika papan hitam atau papan tulis yang usang di bilik darjah dicantikkan rupanya dan digunakan hingga membangkitkan kefahaman dalam pembelajaran, maka itulah teknologi. Akan tetapi jika papan tulis itu terbiar dan tidak pernah dicari jalan untuk mengoptimumkan penggunaannya, maka tinggallah ia sebagai alat yang usang.

1.2 KONSEP PENGAJARAN. Daripada kajian Wan Zah Ali (2000) terhadap sekumpulan guru pelatih di kampus Universiti Putra Malaysia, pengajaran didapati mempunyai banyak erti dan ia boleh dikategorikan kepada empat kategori, iaitu pengajaran sebagai: (i) menyampaikan maklumat, (ii) memindakan maklumat, (iii) mendorong pembelajaran; dan (iv) membina manusia yang lebih baik. Didapati 32% pelajar dalam kajian ini mentafsirkan pengajaran dalam kategori menyampaikan dan memindahkan maklumat. Ertinya, pengajaran tertumpu kepada guru. Guru adalah orang yang bertanggungjawab untuk menyampaikan dan memindahkan segala maklumat ke dalam minda pelajar. Maka, pelajar merupakan unsur yang pasif, sekadar menerima sahaja apa yang diberikan. Maka, adalah didapati 68% pelajar tergolong dalam dua kategori terakhir. Jelas sekali di sini, pengajaran difahami sebagai proses dua hala, perkongsian antara pelajar dan guru bagi memahami segala macam pengetahuan yang diperlukan bagi pembinaan manusia sebenar. Konsep pengajaran serupa inilah yang harus menjadi pegangan setiap guru. Dakwaan ini adalah berasaskan kepada tafsiran kebanyakan penyelidik di bidang ini (Ramsden, 1993; Trigwel, Prosser & Lyons, 1997). Mereka memahami pengajaran sebagai:

Proses bekerja bersama pelajar untuk membantu mereka berkebolehan dan berkemungkinan untuk belajar. Ia melibatkan usaha mencari dan mengenal pasti salah tafsiran pelajar terhadap sesuatu yang diajarkan, mengambil tindakan untuk memastikan perubahan kefahaman dan mencipta konteks pembelajaran yang menggalakkan pelajar terlibat secara aktif dalam pelajaran yang diikuti.

Marilah kita teliti tafsiran ini dengan lebih terperinci.

Pertama, pengajaran adalah proses yang memerlukan guru dan pelajar bekerja bersama, bukan satu pihak sahaja. Satu pergerakan ke arah pembentukan insan yang berupaya menyelesaikan persoalan yang kompleks, mengiktiraf kuasa dan keelokan konsep-konsep sesuatu bidang pelajar, dan menggunakan ilmu yang dipelajari di dalam kelas dalam menyelesaikan masalah di luar kelas. Ertinya pembelajaran itu berguna bagi mentafsir dunia yang kita diami ini. Pembelajaran yang sebenar dapat mengubah kefahaman seseorang mengenai sesuatu.

Kedua, usaha yang ditumpukan dalam kerjasama ini dijuruskan ke arah satu tujuan, iaitu membantu pelajar belajar. Apakah belajar yang dimaksudkan di sini? Menurut Ramsden (1988), belajar atau pembelajaran di sekolah seharusnya merupakan: Taksiran di atas jelas menegaskan bahawa belajar itu bukan usaha mengembangkan minda dengan mengutip segala maklumat tanpa berfikir. Belajar menjadi bermakna apabila wujudnya perubahan dalam cara berfikir atau melihat. Pembelajaran menjadi lebih bermakna apabila ilmu dapat diaplikasikan hingga menimbulkan rasa puas di jiwa. Pembelajaran menjadi bermakna, apabila dunia ini semakin difahami hingga kehidupan menjadi lebih bererti. Untuk tujuan itu, pelajar perlu dibimbing untuk berfikir dan berusaha mencari pengertian terhadap setiap perkara yang dipelajari. Daripada pengertian ini akan memungkinkan penggunaan dan pencetusan ilmu yang memberi kesejahteraan manusia sejagat. Pendirian ini seiring dengan pandangan Pullias dan Young (1968) yang menyatakan pengajaran itu keseluruhannya merupakan cara membimbing murid untuk memperoleh sejumlah pengalaman yang cukup bermutu hingga mampu sejauh mungkin menolong pembinaan kemungkinankemungkinan sebagai manusia. Manusia boleh menjadi pemikir, pemaham, pembangun dan pencari penuh daya gerak jika mereka dibimbing dengan cinta dan kebenaran, bukan dengan kebencian dan tengking herdik. Menyentuh tentang manusia dan kefahaman, Oakeshott berkata: Nobody is born a human being. A human being is the inhabitant of a world composed not of things, but of meaning. Pernyataan ini walaupun agak ekstrim tetapi itulah kenyataannya. Manusia yang hanya mempunyai jasad tetapi kosong mindanya (tidak dapat memahami apa yang ada di sekitarnya) bukanlah manusia. Misalnya, seseorang yang membuang sampah di meratarata kerana tidak faham atau sengaja tidak faham

kesannya, maka mereka boleh dianggap bukan manusia. Orang yang benar-benar memahami tidak akan melakukan perkara seperti ini. Sebagai rumusan, konsep pengajaran yang dikemukakan adalah untuk melahirkan pembelajaran yang berkualiti. Apa yang menjadi inti pati konsep ini ialah untuk membebaskan manusia daripada ikatan pandangan yang sempit dan terbatas. Ini hanya dapat dicapai jika manusia didorong untuk mencari makna, memahami dan melihat reality seperti adanya.

Setelah mempelajari tentang konsep pengajaran, uji pemahaman anda dengan mencuba latihan berikut. Selamat mencuba!

1.3 KONSEP TEKNOLOGI PENGAJARAN. Terdapat dua perkara yang perlu dijelaskan dalam menerangkan maksud teknologi pengajaran , iaitu: (i) Kekeliruan dengan teknologi pendidikan. Sesetengah pakar dalam bidang ini beranggapan pendidikan merangkumi skop yang lebih luas daripada pengajaran. Oleh itu , istilah teknologi pengajaran adalah subset kepada pengajaran, manakala pengajaran pula adalah subset kepada pendidikan. Jadi, jika labelnya pengajaran maka skopnya hanyalah pengajaran dan bukan pendidikan. Lantas, dua istilah ini berbeza maksudnya. Sebahagian pakar yang lain pula mendapati istilah teknologi pengajaran adalah lebih sesuai digunakan kerana bidang ini memang kurang memberi penekanan terhadap soal-soal yang melibatkan segala aspek pendidikan, tetapi lebih kepada soal-soal yang berhubung dengan pengajaran dan pembelajaran. Justeru, soal subset tidak timbul kerana istilah teknologi pengajaran telah jelas menunjukkan kedudukan bidang ini. Terdapat juga mereka yang berpandangan bahawa teknologi pengajaran dan teknologi pendidikan boleh digunakan secara bertukar ganti. Makna dan matlamat yang tersirat dalam dua istilah ini adalah sama sahaja. Ini adalah kerana matlamat pengajaran adalah seiring dengan matlamat pendidikan, iaitu membina manusia yang bercirikan manusia. Jadi, sudah pasti pertikaian tentang istilah mana yang lebih sesuai, tidak mendatangkan banyak faedah. Di Malaysia dan di Eropah, istilah teknologi pendidikan lebih luas digunakan daripada teknologi pengajaran, manakala di Amerika Syarikat adalah sebaliknya. Dalam modul ini, istilah teknologi pendidikan akan digunakan seerti dengan teknologi pengajaran. (ii) Konsep yang tidak static. Hingga kini tidak ada pengertian yang mutlak bagi teknologi pengajaran. Maksud dan istilah teknologi pengajaran sentiasa berubah menurut perubahan zaman. Konsep yang dipaparkan di sini mungkin akan berubah lagi pada masa akan dating. Apa yang pasti, untuk melahirkan perubahan yang baru dan lebih bermakna ia memerlukan kefahaman yang mendalam tentang konsep yang ada pada hari ini. Secara umum, teknologi pengajaran adalah satu bidang yang berusaha kea rah meningkatkan

kualiti atau keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Semenjak permulaan tercetusnya bidang ini, usaha kea rah ini jelas kelihatan. Misalnya, pada tahun 1930an, penghasilan bahan-bahan visual seperti filem, gambar, slaid dan realia giat diadakan bagi membantu guru dalam pengajaran di bilik darjah. Hal ini diperteguhkan lagi dengan terbitnya definisi pertama teknologi pengajaran (yang dikenali

Sebagai audiovisual communication pada masa itu) yang dibuat oleh Department of Audio Visual Instruction (DAVI) pada tahun 1963 hingglah definisi terkini yang dikeluarkan oleh Association for Education Communications and Technology pada tahun 1994. Audiovisual communication is the branch of educational theory and practice concerned primarily with the design and use of message which control the learning process. It undertakes: (a) the study of the unique and relative strengths and weaknesses of both pictorial and nonrepresentational messages which may be employed in the learning process for any purpose; and (b) the structuring and systematizing of messages by men and instruments in an educational environment. These undertakings include the planning, production, selection, management, and utilization of both components and entire instructional systems. Its practical goal is the efficient utilization of every method and medium of communication which can contribute to the development of the learners full potential (Ely, 1963, hlm. 18 19) Instructional technology is the theory and practice of designing, development, utilization, management, and evaluation of processes and resources for learning. (Seels & Richey, 1994, hlm.1) Apa yang membezakan dua definisi di atas ialah teori yang mempengaruhi pembentukan definisi tersebut. Sebagai sebuah bidang yang sedang berkembang, maka perkembangan teori di sekitar bidang ini turut mempengaruhi arah dan alirannya. Bagi definisi yang pertama, teori komunikasi merupakan asas definisi ini. Dengan kata lain, teori komunikasi dilihat mempunyai pengaruh yang besar terhadap proses pengajaran dan pembelajaran. Berdasarkan teori komunikasi, isi dan subjek pembelajaran sama pentingnya dengan media. Definisi ini berbeza daripada pendirian awal bidang ini yang hanya menitikberatkan aspek media sebagai alat Bantu mengajar atau tool technology. Ini adalah kerana permulaan bidang ini dicetuskan oleh pergerakan pandang dengar. Manakala bagi definisi yang kedua, aktiviti seperti mereka bentuk, membina mengimplementasi, mengurus, menilai dan menganalisis; menerima pakai amalan dan teori dari pelbagai bidang, asalkan ia boleh dimanfaatkan kepada proses dan sumber pembelajaran. Pembentukan definisi ini terjadi ketika teori kognitif dan konstruktif mempunyai pengaruh yang besar terhadap pengamal professional. Pada masa yang sama, pembangunan yang pesat dalam bidang teknologi computer dan maklumat turut mempengaruhi definisi ini. (Huraian lanjut tentang definisi dan domain teknologi pengajaran akan

dibentangkan dalam Bab 2). 1.3.1 Definisi Teknologi Pengajaran dalam Konteks Tempatan. Setakat ini, kita merujuk definisi yang dikeluarkan oleh pihak yang berada di luar Malaysia. Memandangkan Malaysia turut sama menerima dan mengikuti perkembangan bidang teknologi pengajaran, maka di sini juga lahir definisi teknologi pengajaran. Salah satu daripadanya dikeluarkan oleh Persatuan Teknologi Malaysia pada tahun 1988.

Teknologi pendidikan ialah proses yang kompleks dalam menganalisis keperluan pendidikan secara sistematik, saintifik dan rasional bertujuan untuk mereka bentuk dan mengaplikasikannya secara sepadu idea, tenaga, sumber bahan, kaedah dan tatacara untuk mempertingkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Definisi yang diterbitkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1991 didapati lebih menitikberatkan aspek aplikasi daripada keseluruhan proses. Berikut adalah definisi tersebut: Teknologi pendidikan ialah aplikasi media, sistem, pendekatan dan teknikteknik ke arah pencapaian pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

Justeru, aspek reka bentuk, pembinaan, pengurusan dan penilaian tidak ketara seperti mana yang terdapat dalam definisi-definisi yang lain. Dengan yang demikian, dibimbangi di kalangan guru kita, masih ada yang mentafsir teknologi pengajaran dalam konteks yang sempit, serupa dengan tafsiran di awal perkembangannya. Setelah pelbagai definisi dibentangkan, didapati terdapat satu elemen yang tidak disebut tetapi amat penting, iaitu aspek kemanusiaan. Justeru, definisi teknologi pengajaran turut memasukkan elemen ini agar ia seiring dengan fitrah manusia dan seterusnya kesejahteraan yang terhasil menjadi lebih bermakna berkekalan. Kita tertarik kepada slogan Apalah erti teknologi tanpa kehidupan yang jelas mengambil kira aspek kemanusiaan ini. Ilmu yang banyak, kepakaran yang tinggi tidak berguna jika nilai murni tidak dipupuk. 1.3.2 Tren Terkini dalam Konsep Teknologi Pengajaran. Pada tahun 2001, Reiser telah mencipta satu lagi definisi. Kehadiran definisi ini diiringi dengan nama baru bagi bidang ini, iaitu Instructional design and technology atau Reka bentuk pengajaran dan teknologi. Terdapat beberapa sebab nama dan definisi baru diwujudkan. Pertama, Reiser mendapati ramai orang menyamakan teknologi pengajaran dengan media pengajaran. Sedangkan bidang teknologi pengajaran adalah lebih luas dan mengandungi tiga sub-bidang utama iaitu media pengajaran, reka bentuk pengajaran dan teknologi prestasi (performance technology). Teknologi prestasi merupakan satu pergerakan baru yang mula mempengaruhi perkembangan bidang ini sejak awal 1990an. Ia berkait rapat dengan analisis yang menyebabkan masalah dalam prestasi dan kemudian mencadangkan alternative bagi mengatasi masalah tersebut seperti pemberian insentif dan perubahan dalam persekitaran pekerjaan.

Berikut adalah definisi baru yang dimaksudkan: The field of instructional design and technology encompasses the analysis of learning and performance problems, and the design, development, implementation, evaluation and management of instructional and non-instructional processes and resources intended to improve learning and performance in a variety of settings,

Particularly educational institutions and the workplace. Professionals in the field of instructional design and technology often use systematic instructional design procedures and employ a variety of instructional media to accomplish their goals. Moreover, in recent years, they have paid increasing attention to non-instructional solutions to some performance problems. Research and theory related to each of the afore mentioned areas is also an important part of the field. (Reiser, 2001, hlm. 53). Jika diteliti definisi di atas, jelaslah bidang ini amat peka terhadap perubahan serta keperluan semasa. Pengajaran dan keperluan terhadapnya bukan hanya terletak di sekolah, tetapi juga di tempat kerja. Sama ada di sekolah atau di tempat kerja, kejayaan seseorang diukur berdasarkan prestasinya. Akan tetapi prestasi itu bukan hanya dipengaruhi oleh latihan (cukup atau tidak) tetapi persekitaran hidupnya. Justeru, penyelesaian masalah pun bukan lagi sekitar skop pengajaran tetapi melampauinya. Definisi ini lebih realistic dan rasional kerana ia telah mengambil kira aspek di luar pengajaran sebagai penyebab kepada masalah prestasi. Kita tidak seharusnya memisahkan dunia akademik (dalam bilik darjah) dengan dunia di luar sana kerana apa yang kita lakukan dalam dunia akademik adalah untuk menghadapi dunia luar. Sebagai kesimpulan, definisi ini membuka satu lagi lembaran yang penuh erti, walaupun secara langsung ia mengundang cabaran untuk para pendidik dan professional di bidang ini. Walaupun begitu, istilah ini masih belum diterima secara meluas. Setelah anda mengikuti pelajaran di atas, cuba soalan di bawah untuk menguji kefahaman anda. Semoga berjaya !!

Latihan 1.2 Tuliskan perbezaan kefahaman anda tentang teknologi pengajaran sebelum dan selepas meneliti bab ini.

RUMUSAN. Sebagai kesimpulan, bab ini telah membincangkan tentang konsep teknologi, pengajaran dan teknologi pengajaran. Konsep yang dikemukakan adalah berteraskan kepada tren semasa dunia pendidikan dan bidang teknologi pendidikan. Kefahaman tentang konsepkonsep ini merupakan teras sebuah pengajaran yang berkesan.

You might also like