You are on page 1of 10

PENGENALAN

Di mana-mana sahaja kita berada di muka bumi ini, sangat sukar untuk kita meneruskan kehidupan tanpa ada insan yang bergelar jiran. Mereka menjadi sahabat baik dan saudara terdekat di saat kita berjauhan dengan keluarga. Negara kita merupakan negara yang terdiri daripada penduduk yang berbilang bangsa dan agama. Oleh sebab itulah kita mempunyai jiran-jiran yang unik. Ada yang berbangsa Melayu, Cina, India, dan lain-lain. Masing-masing mempunyai kepercayaan dan cara hidup yang berbeza. Atas dasar perbezaan inilah kita semua harus tahu hak dan tanggungjawab dalam hidup berjiran serta adab berjiran. Semua ini menjadi panduan kepada kita agar kesejahteraan terjamin. Subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) merupakan subjek wajib di semua IPTA. Subjek ini turut diwajibkan bagi semua guru pelatih di IPG. Semua guru pelatih diwajibkan menyelesaikan satu tugasan pendek dalam tempoh dua minggu. Tajuk tugasan yang saya peroleh ialah Konsep Tamadun Islam dalam Kejiranan.

Kejiranan merupakan satu elemen yang sangat dititikberatkan dalam tamadun Islam. Elemen ini merupakan antara kunci penting dalam pembentukan tamadun Islam. Malah, tamadun Islam turut menyatakan bahawa amalan hidup berjiran adalah fitrah semula jadi manusia. Dalam bahasa Arab, istilah berjiran bermaksud orang yang tinggal sebelah-menyebelah ataupun tetangga. Berdasarkan agama Islam, mereka yang disebut sebagai jiran merupakan orang yang tinggal dalam satu bangunan, orang yang tinggal berdekatan dengan rumah kita, orang yang tinggal dalam lingkungan jarak 40 buah rumah daripada rumah kita dalam semua jurusan dan arah serta orang yang tinggal senegara dengan kita.

Jiran yang mempunyai satu hak

Hak Jiran Jiran yang mempunyai 3 hak Jiran yang mempunyai dua hak

Rajah 1 Hak Jiran

Dalam tamadun Islam, hak jiran terbahagi kepada tiga, iaitu jiran yang mempunyai satu hak, jiran yang mempunyai dua hak dan jiran yang mempunyai tiga hak. Jiran yang mempunyai satu hak merupakan jiran yang bukan beragama Islam dan hak yang dimilikinya adalah hak kemanusiaan. Jiran yang mempunyai dua hak merupakan jiran yang beragama Islam dan haknya ialah hak Islam dan hak
2

kemanusiaan. Sementara itu, jiran yang mempunyai tiga hak merupakan jiran yang beragama Islam dan kerabat ataupun saudara. Tiga hak tersebut adalah hak Islam, hak kemanusiaan dan hak kerabat.

Mewujudkan ikatan persaudaraan sesama Islam Membalas kesalahan dengan kemaafan

Tidak terlibat dengan jenayah

Hak dan Tanggungjawab Amalan Berjiran Menghadiri majlis yang diadakan jiran Menghormati hati dan perasaan jiran

Tidak menyusahkan jiran

Tidak mengganggu ketenteraman dan keselesaan jiran

Rajah 2 Hak Dan Amalan Hidup Berjiran

Di dalam dunia ini, adalah mustahil untuk kita hidup secara bersendirian. Kita sentiasa memerlukan orang lain untuk menyempurnakan lagi kehidupan kita di muka bumi ini. Atas dasar inilah amalan berjiran sangat penting. Peta minda di atas menggambarkan hak dan tanggungjawab amalan berjiran yang diwajibkan dalam Islam. Antara hak dan tanggungjawab tersebut adalah mewujudkan ikatan persaudaraan sesama Islam. Dalam agama Islam, terdapat beberapa perkara yang dianggap wajar dilaksanakan bagi mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama Islam. Antaranya ialah saling tolong-menolong dalam melakukan apa-apa tugas dan memberikan salam apabila berjumpa. Amalan-amalan ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama Muslim. Ikatan persaudaraan ini dianggap penting kerana ia merupakan kunci ke arah perpaduan dan kesejahteraan. Hal ini ditegaskan dalam sabda Rasulullah yang bermaksud: Sesungguhnya seorang mukmin bagi seorang mukmin yang lain adalah seperti satu binaan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain. (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Selain itu, seseorang jiran dilarang terlibat dalam jenayah seperti membunuh, mencederakan orang lain, mencuri, merosakkan harta benda jiran, menabur fitnah, mengumpat, sombong, buruk sangka, menceritakan keburukan jiran, dan lain-lain. Dalam usaha hidup berjiran secara aman, aktiviti jenayah harus dihindari walau atas apa-apa alasan sekalipun. Kita harus sedar bahawa setiap jenayah walaupun kecil merupakan perbuatan berdosa dan wajar dihindari. Sebelum melakukan apa-apa tindakan, kita harus membuat pertimbanagn secara waras agar tidak terjebak dalam jenayah. Hal ini kerana jenayah-jenayah seperti ini merenggangkan hubungan sesama jiran tetapi turut membuka ruang kepada perbalahan serta perpecahan. Hak dan tanggungjawab yang seterusnya adalah menghormati hati dan perasaan jiran. Dalam hidup berjiran, sikap hormat-menghormati memainkan peranan yang sangat penting. Apabila jiran ditimpa musibah seperti kehilangan ahli keluarga, kita wajar menziarahinya dan mengucapkan takziah. Sebaliknya, jika jiran beroleh kejayaan, kita ucapkanlah tahniah. Berkongsi kesedihan dan kegembiraan
4

dengan jiran membuatkan jiran berasa lebih dihargai, dihormati dan hubungan sesama jiran juga dapat dieratkan. Di samping itu, kita dilarang mengganggu ketenteraman dan keselesaan jiran. Setiap individu mempunyai privasinya sendiri yang harus dihormati. Walaupun kita sudah lama mengenali jiran kita dan mempunyai hubungan yang sangat rapat, kita harus tahu bahawa setiap individu mempunyai privasi yang harus dihormati. Sebagai contoh, ketika mengadakan majlis atau tiba musim perayaan, kita tidak boleh memasang muzik terlalu kuat agar tidak mengganggu jiran-jiran lain yang mungkin sedang berehat. Sebagai tambahan, kita tidak boleh menyusahkan jiran. Memang tidak dapat dinafikan bahawa jiran merupakan antara orang yang terdekat dengan kita dan bantuan yang paling segera datangnya daripada jiran. Namun, kita tidak boleh terlalu bergantung kepada jiran sehingga benda yang mudah juga kita meminta bantuan daripada jiran. Keadaan ini akan menyusahkan jiran dan membuatkannya berasa tidak selesa. Sepatutnya, kita berusaha sendiri menyelesaikan sesuatu perkara dan hanya meminta bantuan jiran sekiranya betul-betul tidak mampu melakukannya sendiri. Malah, kita digalakkan menghadiri majlis yang diadakan oleh jiran. Seorang Muslim boleh menghadiri majlis yang diadakan oleh jiran yang bukan Muslim dengan syarat majlis tersebut tidak bertentangan dengan Islam. Apabila diundang ke sesuatu majlis, kita harus berusaha untuk menghadirinya dan hanya menolak jika mempunyai alasan yang kukuh. Pakailah pakaian yang bersesuaian dan hormatilah aturcara majlis tersebut. Kesudian kita menghadiri majlis yang diadakan oleh jiran dapat mengeratkan silaturahim dan dapat mengenal jiran dengan lebih baik. Akhir sekali, dalam hidup berjiran mengikut perspektif Islam, kita harus membalas kesalahan dengan kemaafan. Dalam menjalani kehidupan, kita sebagai manusia tidak akan terlepas daripada membuat kesalahan. Begitu juga dalam hidup berjiran. Perbezaan pendapat, latar belakang, kepercayaan, cara hidup, dan sebagainya merupakan faktor-faktor yang mendorong ke arah percanggahan pendapat yang kemudiannya boleh menyebabkan perselisihan faham. Namun, apabila perselisihan faham berlaku, kita haruslah berusaha menjernihkan kembali

keadaan dan meminta maaf. Sekiranya jiran yang meminta maaf terlebih dahulu, kita harus memaafkannya dengan hati yang terbuka. Rukun amalan berjiran seperti yang diunjurkan oleh tamadun Islam jelas menunjukkan bahawa kita semua mempunyai tanggungjawab yang sama dalam menjaga hubungan baik sesama jiran. Sekiranya semua individu mengetahui dan memainkan peranan masing-masing dalam hidup berjiran, pelbagai masalah dapat dielakkan dan kehidupan kita semua akan menjadi lebih baik. Rukun ini sekiranya dipatuhi akan mendatangkan pelbagai hikmat kepada kita. Antaranya ialah bantuan akan diperoleh dengan mudah. Seperti yang kita semua sedia maklum, jiran merupakan individu yang terdekat dengan kita. Apabila ditimpa apa-apa musibah, bantuan paling cepat akan diperoleh daripada jiran. Sebagai contoh, apabila menganjurkan majlis atau kenduri, jiranlah yang banyak menghulurkan bantuan seperti membantu memasak, melayan tetamu, mendirikan khemah, dan lain-lain. Ketika sakit, jiran jugalah antara orang pertama yang akan menziarahi kita. Hanya melalui hubungan yang erat dengan jiran dapat melahirkan suasana seperti ini. Selain itu, sesuatu masalah juga dapat diselesaikan dengan mudah. Sikap bertolak ansur, saling memahami dan saling memaafkan merupakan kunci utama dalam menyelesaikan sesuatu masalah atau konflik. Sebagai misalan, ketika berbincang tentang masalah pembuangan sampah domestik di kawasan kejiranan, konflik sesama jiran boleh timbul berikutan perbezaan pendapat. Namun, dengan merujuk kepada rukun kejiranan, konflik sesama jiran dapat dielakkan kerana dalam rukun tersebut nilai bertolak ansur dan saling memaafkan ditekankan. Malah, perpaduan juga dapat dicapai dengan mudah. Penduduk dalam sesebuah kawasan perumahan terdiri daripada berbilang kaum dan agama. Jika semua penduduk mengamalkan rukun amalan berjiran, pelbagai masalah berkaitan perkauman dapat dielakkan. Hal ini kerana rukun amalan berjiran menekankan nilainilai murni yang menjurus ke arah perpaduan. Apabila perpaduan antara rakyat dapat dicapai, maka keamanan negara sudah tentu akan terjamin. Di samping itu, rukun amalan berjiran dapat mengelakkan kita daripada melakukan perbuatan yang berdosa. Dalam rukun tersebut, terdapat banyak
6

larangan seperti larangan membunuh. Seperti mana yang kita semua tahu, membunuh merupakan satu dosa besar. Rukun ini turut mewajibkan kita menghormati jiran dan menjaga hubungan baik antara satu sama lain. Laranganlarangan ini membantu kita menjalani kehidupan dengan mengamalkan nilai-nilai murni dan menjauhkan kita daripada perbuatan berdosa. Pada abad ke-21 ini, dunia kita diwarnai dan dicorakkan dengan pelbagai kejayaan dalam sains dan pengenalan teknologi-teknologi canggih yang mampu memudahkan urusan kehidupan kita. Namun, tanpa kita sedari di sebalik kejayaankejayaan yang kita banggakan ini, kita telah kehilangan sesuatu yang amat bernilai iaitu semangat kejiranan. Kes kanak-kanak yang dikurung oleh bapanya yang berlaku di Pulau Pinang pada 2 Januari 2012 menjadi bukti bahawa semangat kejiranan semakin luntur. Hanya selepas sepuluh jam tangisan kanak-kanak itu didengari barulah jirannya melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis. Jika diteliti, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada masalah lunturnya amalan kejiranan dalam kalangan masyarakat, khasnya masyarakat di negara kita. Antaranya ialah sikap dengki yang kian bermaharajalela dalam diri. Ada individu yang tidak suka melihat orang lain beroleh kejayaan dan kesenangan. Apabila ada jiran yang mencapai kejayaan, kita sepatutnya mengucapkan tahniah kepadanya. Namun, perkara yang sebaliknya pula berlaku. Ramai yang suka menabur fitnah dan menyebarkan khabar angin yang boleh menjatuhkan orang lain. Orang yang bersikap sebegini mendapat kepuasan melihat jirannya hidup dalam kesusahan. Dalam zaman yang moden ini, manusia seolah-olah menjadi buta disebabkan oleh wang ringgit dan kuasa. Semuanya sibuk dengan urusan kerja masing-masing. Manusia kini bekerja bukan lagi sekadar memenuhi keperluan hidup, tetapi lebih kepada memenuhi keinginan diri. Turun ke pejabat seawal jam 6 pagi dan balik ke rumah pada waktu tengah malam sudah menjadi rutin harian kebanyakan daripada kita. Tiada langsung masa yang diperuntukkan untuk bersosial dengan jiran tetangga. apa-apa yang berlaku kepada jiran langsung tidak diketahui. Malah, ada yang tidak mengenali jiran yang tinggal bersebelahan meskipun telah hidup berjiran selama bertahun-tahun dek kerana terlalu sibuk bekerja.

Selain itu, sikap sombong dan mementingkan diri turut menjadi barah dalam masalah kelunturan amalan kejiranan. Masyarakat kini kebanyakannya berfikir demi kebaikan diri sendiri sahaja dan bersikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Apabila sikap mementingkan diri ini bermaharajalela dalam diri, seseorang individu sanggup melakukan apa-apa sahaja yang boleh

mendatangkan kebaikan dan kepuasan terhadap diri sendiri walaupun perkara atau tindakan tersebut mendatangkan kemudaratan kepada jiran. Sebagai contoh, ketika aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan perumahan diadakan, ada penduduk yang tidak ikut serta. Golongan ini inginkan kawasan perumahan yang bersih dan cantik tetapi tidak sanggup meluangkan sedikit masa untuk bekerja bersama-sama dengan penduduk yang lain. Malah, mentaliti masyarakat yang terlalu sempit turut menyumbang kepada masalah ini. Mereka tidak mahu mengambil tahu keadaan atau masalah yang dihadapi jiran dengan alasan tidak mahu menjaga tepi kain orang lain. Sebagai contoh, kes penderaan kanak-kanak yang berlaku di Seri Kembangan pada April 2010. Dalam kes ini, para jiran mengatakan bahawa mereka mendengar tangisan kanak-kanak tersebut dan suara perempuan marah-marah hampir setiap hari tetapi mereka tidak melaporkan perkara tersebut dengan segera kepada pihak yang berkuasa. Mentaliti masyarakat yang terlalu bersifat perkauman turut menjadi faktor. Mereka lebih gemar bergaul dan bersosial dengan jiran yang sama agama dan bangsa dan hal ini sering mencetuskan salah faham antara satu kaum dengan satu kaum yang lain. Bagi menangani masalah ini daripada menjadi bertambah teruk, program Rukun Tetangga harus dikaji semula. Projek ini telah bermula pada tahun 1975 bertujuan membolehkan rakyat sendiri mengawal keselamatan kawasan kediaman mereka. Namun, program ini harus dikaji semula bagi meningkatkan lagi keberkesanannya dalam menyemai semangat kejiranan dalam kalangan

masyarakat. Aktiviti rondaan di sekitar kawasan kediaman pada waktu malam haruslah melibatkan semua penduduk dan bukannya hanya segelintir sahaja yang turut serta. Aktiviti-aktiviti yang melibatkan para penduduk seperti gotong-royong, Hari Keluarga, Sukaneka, ceramah, dan sebagainya harus diadakan dengan lebih kerap. Melalui pelaksanaan aktiviti-aktiviti ini, nescaya hubungan sesama jiran dapat dieratkan.
8

Di samping itu, ketika musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Pesta Kaamatan dan Krismas masyarakat harus digalakkan membuat rumah terbuka. Konsep rumah terbuka ini memberi peluang kepada kita untuk saling mengunjungi ketika musim perayaan, merapatkan lagi hubungan silaturahim dan mengenali satu sama lain dengan lebih baik. Saat-saat seeprti ini juga memberi peluang kepada kita untuk saling bermaafan atas segala perselisihan yang telah berlaku. Malah, melalui rumah terbuka juga kita dapat mengenali latar belakang jiran kita dari segi amalan, kepercayaan dan cara hidup mereka dengan lebih baik. Hal ini membolehkan kita lebih memahami jiran dan seterusnya menyumbang ke arah perpaduan di antara masyarakat. Sesungguhnya, hidup berjiran mendatangkan seribu satu manfaat kepada diri, masyarakat dan juga negara. Hubungan yang baik dalam sesebuah masyarakat merupakan asas yang kukuh dalam pembinaan sebuah tamadun yang gemilang. Hidup berjiran bukanlah suatu tugas yang mudah tetapi tidak mustahil. Rasulullah bersabda bahawa: Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. (Hadis Riwayat al-Imam al-Bukhari dan muslim)

Hal ini jelas menunjukkan bahawa aspek hidup berjiran sangat dititikberatkan dalam Islam. Rukun hidup berjiran yang disarankan dalam agama Islam adalah sangat baik dan wajar menjadi panduan kita semua. Dalam apa keadaan sekalipun, kita harus sentiasa berpegang pada slogan Jiran Sepakat Membawa Berkat.

PENUTUP

Tuntasnya, amalan hidup berjiran harus diamalkan oleh kita semua. Konsep kejiranan yang diunjurkan dalam agama Islam adalah sangat indah dan wajar menjadi panduan setiap lapisan masyarakat. Perbezaan agama tidak seharusnya menjadi penghalang. Tanpa adanya garis panduan, kehidupan kita akan menjadi kacau-bilau dan tidak aman. Memang tidak dapat dinafikan bahawa semangat kejiranan dalam kehidupan masyarakat kini telah semakin luntur. Namun, kita tidak boleh menjadikan semua ini sebagai alasan untuk tidak mengamalkan amalan hidup berjiran. Sebaliknya, kita harus menjadikan situasi ini sebagai pendorong untuk kita membangkitkan kembali semangat kejiranan yang telah hilang. Kita harus ingat bahawa di dalam dunia ini, kita tidak hidup bersendirian dan kita tidak akan dapat hidup bersendirian.

10

You might also like