You are on page 1of 12

Kompilasi Kisah

Saudara Baru Islam


Bahagian 2

Klik Pada Kisah Pilihan Anda

Kajian Membawa Miller Kepada Islam

Dr. Abu Ameenah Bilal Phillips Berdakwah


Kepada Tentera AS

Yusuf Islam bantu pengislaman Idris


Kajian membawa Miller kepada Islam
SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI

BELIAU seorang pakar dalam bidang matematik. Ini kerana beliau suka sesuatu yang logik,
yang boleh diselesaikan melalui kekuatan dan boleh diterima oleh akal. Oleh itu beliau tidak
mudah untuk menerima sesuatu itu jika ia tidak logik atau masuk akal.

Ini termasuk juga soal pegangan agama. Namun baginya agama Kristian menepati semua
prinsip-prinsip saintifik dan ilmu yang menyebabkan beliau tidak sahaja percaya
sepenuhnya malah beliau juga seorang yang sangat aktif sebagai seorang paderi.

Sehinggalah pada suatu hari iaitu pada tahun 1978, beliau bercadang untuk membaca kitab
suci umat Islam, al-Quran. Niatnya untuk mencari sebarang kesalahan dan kesilapan dalam
isi kandungan dan ajarannya.

Paderi tersebut, Dr. Gari Miller bercadang mengambil kesempatan setiap kesilapan yang
beliau temui dari al-Quran untuk digunakan sebagai senjata melemahkan umat Islam dalam
usahanya untuk menarik mereka kepada Kristian.

Miller yakin akan menemui pelbagai kesalahan kerana beliau menganggap al-Quran, sebuah
kitab agama yang sangat tua. Sudah 14 abad usianya dan pastinya pada hari ini boleh
ditemui pelbagai kesilapan di dalamnya.

Namun, apa yang berlaku adalah di sebaliknya. Beliau yang berasal dari Toronto, Kanada
itu, tanpa disangka terus memeluk Islam! Ini kerana beliau langsung tidak menemui
sebarang kesilapan dari kitab itu malah yang ditemui hanyalah kebenaran demi kebenaran!

Tentu sahaja tanpa sebarang keraguan beliau mengambil keputusan sedrastik itu kerana
Miller juga seorang yang sangat arif mengenai kitab Injil. Lantas ini yang membuatkan
beliau menemui pelbagai perbezaan antara kedua-dua kitab itu dan mana yang lebih logik
untuk diterima oleh akal!

Beliau kemudiannya dikenali sebagai Abdul Ahad Omar. Apa yang membuatkan beliau
terkejut mengenai al-Quran ialah apabila kitab itu mengandungi lebih banyak kisah
mengenai Nabi Isa a.s yang dianggap tuhan dalam Kristian berbanding Nabi Muhammad
SAW itu sendiri. Sedangkan Nabi Muhammad yang membawa dan menyebarkan Islam di
muka bumi ini.

"Saya lebih terkejut lagi apabila al-Quran memperuntukkan satu surah yang khas, iaitu
surah Mariam (Mary) bagi mengisahkan ibu Nabi Isa sedangkan jika Mariam itu benar-
benar ibu kepada seorang 'tuhan' dalam Kristian, beliau sepatutnya layak diceritakan dalam
tajuk atau surah yang khas di dalam kitab Injil.

"Tetapi perkara seperti itu tidak pernah terjadi malah tidak ditemui. Malah yang lebih
mengharukan saya, mengapa Siti Mariam yang terpilih kisahnya dicatatkan dalam satu surah
sedangkan beliau hanya ibu kepada Nabi Isa, mengapa al-Quran tidak mengutamakan sama
ada Siti Aishah, isteri Rasulullah mahupun Siti Fatimah, anak perempuan baginda untuk
dirakam dalam surah-surah khas, sedangkan mereka lebih layak kerana memberikan
sumbangan yang besar kepada Islam?," ujar Abdul Ahad.
Namun yang lebih mengejutkan Abdul Ahad ini apabila dalam al-Quran juga disebutkan Nabi
Isa itu sebanyak 25 kali berbanding Nabi Muhammad yang empat kali sahaja disebutkan
dalam kitab suci itu.

Ini menjadikannya semakin keliru. Beliau tidak menyangka bahawa Nabi Isa dijelaskan oleh
Allah sebagai menghapuskan kekeliruan di kalangan penganut Kristian yang selama ini
menganggap bahawa Nabi Isa itu adalah tuhan.

Tetapi oleh kerana ketika itu niatnya hendak mencari sebarang kesalahan, Abdul Ahad terus
berusaha membongkar setiap isi kandungan al-Quran. Beliau tetap percaya kesilapan pasti
akan wujud di mana-mana walaupun kitab itu telah memberi banyak jawapan yang benar
mengenai soal kenabian Isa dan bukannya tuhan sebagaimana yang disangka oleh umat
Kristian.

Namun Abdul Ahad terus menerima kejutan demi kejutan. Apa yang lebih memeranjatkan
apabila makna ayat al-Quran, iaitu dari surah an-Nisa' ayat 82, seolah-olah tepat ditujukan
kepada beliau. Abdul Ahad benar-benar terduduk dan terkejut.

Firman Allah yang bermaksud: Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan
isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan
dapati perselisihan (ikhtilafan) yang banyak di dalamnya... (an-Nisa': 82).

Tidak tergambar perasaan terkejut beliau, seolah-olah Allah tahu niat buruknya itu. Ini
menjadikan Abdul Ahad tidak lagi terdaya meneruskan niatnya itu kecuali menerima hakikat
dan kebenaran yang terbentang di hadapannya itu kini.

Sebelum itu beliau pernah bertanyakan kepada kalangan umat Islam yang lain, sama ada Nabi
Muhammad itu seorang nelayan atau ahli pelayaran.

Tentu sama sekali tidak, kerana seumur hidup baginda, baginda tidak pernah keluar kecuali
berada di padang pasir yang tandus dan tidak pernah menuju ke mana luar dari Tanah Arab
apatah lagi melalui jalan laut.

Ini menyebabkan Abdul Ahad kehairanan. Jika benar bagai dikatakan itu, bagaimana al-Quran
itu mampu bercerita mengenai keadaan laut yang bergelora, tiupan angin dan kedudukan
awan dan sebagainya sedangkan Nabi Muhammad yang beliau tuduh sebagai menulis semua
isi kandungan kitab itu bukan seorang ahli pelayaran atau nelayan!

Menurut Abdul Ahad, menerusi al-Quran pelbagai kelogikan akal dan menepati kehendak
sains, beliau temui. Ayat 30 surah al-Anbiyaa' misalnya, adalah apa yang selama ini para
saintis kaji dan temui. Iaitu; Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai
bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang
satu (kanataa). Lalu kami pisahkan kedua-duanya (fafataknaahuma) dan Kami jadikan dari air
tiap-tiap benda yang hidup (minnal ma'ie) dan mengapa mereka tidak mahu beriman?

Kata beliau, ayat ini merupakan apa yang selama ini para saintis kaji mengenai asal kejadian
alam dan hidupan di muka bumi ini bagi melayakkan memenangi anugerah Nobel pada tahun
1973.
"Iaitu penemuan Teori Great Explosion (Letusan Hebat) yang antara lain mendapati bahawa
bumi ini terhasil dari satu kejadian letupan yang paling hebat dan kuat yang pernah berlaku
yang membawa kepada pemisahan antara kedudukan bumi dengan langit dan planet-planet
yang lain," kata Abdul Ahad.

Namun hakikat al-Quran yang beliau tidak nafikan kebenarannya apabila Allah menyebut
betapa Yahudi itu benar-benar musuh Islam walaupun puak-puak itu mendakwa mereka
melayani umat Islam sebagai kawan.

"Jika Yahudi mendakwa sedemikian rupa, mengapa Allah berkata yang sebaliknya pula,
mesti ada sesuatu yang tidak kena pada al-Quran ini," kata Abdul Ahad sebelum mengucap
syahadah.

Namun dalam banyak ayat dalam Kitab itu akhirnya Abdul Ahad menyedari kebenaran
bahawa Yahudi itu memang musuh Islam. Ia sebagaimana yang terbukti berlaku pada hari ini
apabila puak itu sentiasa mengambil kesempatan untuk memerangi umat Islam dalam apa
juga bentuk.

Beliau kini adalah seorang pendakwah yang aktif dan komited dalam menjelaskan kebenaran
Islam terutama dari aspek sains.

Buku karangannya, The Amazing al-Quran menceritakan segala-galanya. Terlalu banyak di


dalam bukunya itu yang mendedahkan pelbagai lagi aspek fakta kebenaran al-Quran yang
tidak dilihat dari satu satu-satu sudut semata-mata malah kepincangan kitab Injil turut
menjadi tumpuan dalam bukunya itu.

*** *** ***


Dr. Abu Ameenah Bilal Phillips
Berdakwah kepada tentera AS
Susunan SITI AINIZA KAMSARI

SELEPAS enam bulan lamanya saya mengkaji dan berbincang secara serius, akhirnya saya
membuat keputusan untuk memeluk Islam pada tahun 1972," kata pendakwah terkemuka, Dr.
Abu Ameenah Bilal Phillips.

Namun sebelum memeluk Islam dan sedang mengikuti pengajian di Universiti Simon Frasier
di Vancouver, Kanada, Dr. Abu Ameenah yang mahir bermain muzik terutamanya gitar,
sering menghabiskan masa mengadakan persembahan di kelab-kelab malam.

Sehinggalah tamat pengajian dan mengambil keputusan menetap di Sabah, Malaysia, Dr. Abu
Ameenah meneruskan minatnya terhadap muzik dan dunia seni hiburan.

Di Sabah, beliau mengadakan persembahan-persembahan sehingga mendapat gelaran sebagai


Jimmy Hendrix Sabah kerana begitu popular!

"Tetapi apabila memeluk Islam saya berasa tidak selesa dengan dunia hiburan. Akhirnya saya
mengambil keputusan untuk bersara, sama ada secara profesional dan peribadi.

"Saya tidak lagi bermain muzik walaupun tuhan sahaja yang tahu betapa saya begitu sukakan
muzik dan menghiburkan para pendengar," katanya.

Keputusan yang agak mengejutkan para peminat itu turut disebabkan apabila selepas setahun
memeluk Islam, Dr. Abu Ameenah melanjutkan pelajaran mendalami Islam di Universiti
Madinah di Arab Saudi.

Katanya, beliau mahu mengenali Islam dengan lebih mendalam daripada sumber-sumber yang
lebih asli dan sahih kerana Islam itu berasal dari Arab Saudi itu sendiri.

"Ini kerana Islam tidak boleh dikenali dari amalan-amalan tradisi kerana kadang kala tidak
bersumber atau berasaskan ajaran Islam itu sendiri," katanya.

Ketika menyiapkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Riyadh, beliau sempat


menerbitkan program televisyen untuk Saluran Dua Televisyen Saudi iaitu rancangan yang
dikenali sebagai Why Islam?

Ia memfokuskan wawancara bersama mereka yang memeluk Islam dari asal usul dan latar
belakang yang berbeza dan sebab musabab mengapa mereka memeluk Islam.

Walaupun beliau beroleh pelbagai ilmu pengetahuan mengenai Islam sehingga ke peringkat
sarjana namun perkembangan itu masih tidak membolehkan beliau menjawab pelbagai
persoalan mengenai Islam. Terutama yang bertalu-talu ditanya oleh kalangan rakan dan ahli
keluarganya sendiri.
Ini membuatkan beliau melakukan satu penyelidikan. Akhirnya segala kemusykilan bagaikan
terjawab apabila beliau berjaya menulis sebuah buku bertajuk Poligami Dalam Islam.

Dr. Abu Ameenah mengupas persoalan mengenai poligami itu daripada aspek sejarah dan
biologi dan rasional di sebalik sistem itu.

Beliau benar-benar seorang penulis yang prolifik mengenai dunia Islam walaupun baru
setahun jagung memeluk Islam.

Ini apabila buku kedua beliau iaitu Fundamentals of Islam Monotheism diterbitkan bagi
menjelaskan keunikan Islam dari aspek kepercayaan kepada Tuhan Yang Satu.

Seusai mendapatkan ijazah sarjana, beliau ditawarkan bertugas di Bahagian Agama di Ibu
Pejabat Tentera Udara Arab Saudi semasa meletusnya perang Teluk (Desert Storm) pada
tahun 1990.

Di sini, Dr. Abu Ameenah bertanggungjawab memberi penerangan mengenai Islam kepada
anggota-anggota tentera Amerika Syarikat (AS) yang berpangkalan di Bahrain dan Wilayah
Timur Laut Arab Saudi.

"Oleh kerana imej Islam menjadi begitu buruk di Amerika, saya bersama lima lagi rakan
selama hampir enam bulan selepas tamatnya Perang Teluk itu, terlibat dalam projek
menjelaskan dan memberikan gambaran sebenar mengenai Islam kepada hampir separuh
anggota tentera AS yang berpengkalan di situ," katanya.

Hasilnya, tanpa disangka seramai 3,000 anggota tentera AS itu memeluk Islam kerana tertarik
dengan kebenaran dan keindahan Islam.

Namun beliau menyedari bahawa tugas yang lebih berat adalah memastikan bahawa askar-
askar itu tetap berpegang teguh kepada Islam dan mematuhi dan ajaran-ajaran agama itu.

Lalu apabila askar-askar itu kembali semula ke tanah air, Dr. Abu Ameenah mengikut mereka
pulang ke AS bagi membantu saudara-saudara baru itu.

Di Amerika, beliau dengan bantuan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Muslim
Members of the Military (MMM) sering mengadakan persidangan dan pelbagai aktiviti.

Ini termasuk berusaha mendapatkan kemudahan mendirikan ibadat dan solat bagi kemudahan
askar-askar beragama Islam di seluruh dunia di mana pangkalan-pangkalan tentera Amerika
ada ditempatkan.

Kerajaan AS akhirnya bersetuju dengan permintaan itu dan meminta supaya dilantik seorang
dari kalangan anggota tentera beragama Islam itu bertugas sebagi Muslim Chaplains di setiap
pangkalan tentera AS. (Nota: Chaplains lazimnya merujuk jawatan paderi Kristian yang
bertugas di pangkalan tentera AS)

"Apa yang membuatkan saya lebih terharu, apabila ada di kalangan anggota tentera AS yang
baru memeluk Islam ini menawarkan diri berjihad bagi membantu umat Islam yang tertindas
dek kekejaman rejim dan puak Serbia di Bosnia Herzegovina," katanya.
Dr. Abu Ameenah terus melebarkan usaha walaupun dikira baru dalam Islam dengan terus
komited terhadap agama itu dengan mengembara ke Selatan Filipina iaitu Pulau Mindanao.

Tujuannya mengajak umat Islam di situ supaya mencintai kedamaian berbanding bertindak
terlalu agresif sehingga mencemarkan imej Islam itu sendiri.

Beliau juga berjaya menaikkan taraf pengajian Islam di Universiti Cotabato City bagi
menawarkan peluang pengajian sehingga ke peringkat Sarjana di universiti itu.

Pada tahun 1994, beliau kemudiannya berhijrah ke Emiriah Arab Bersatu bagi menerima
jemputan Sheikh Salim Al Qasimi. Beliau diminta menjayakan satu pertubuhan kebajikan
beribu pejabat di Dubai yang dikenali sebagai Dar Al Ber.

Di pertubuhan itu, Dr. Abu Ameenah berjaya mendirikan sebuah Pusat Maklumat Islam
dengan dibantu oleh para sahabat yang baru memeluk Islam tetapi sudah begitu komited
terhadap segala perjuangan agama itu.

Ini termasuklah Uthman Barry (saudara baru berbangsa Ireland), Ahmed Abalos (saudara baru
dari Filipina) dan Abdul Latif, saudara baru dari Kerala, India.

Dalam tempoh lima tahun sejak penubuhan pusat itu, seramai 1,500 individu dari AS,
Australia, United Kingdom, Russia, China, Jerman, Filipina, Sri Lanka, India dan Pakistan
memeluk Islam di situ.

Sejak tiga tahun lalu, beliau berjaya menubuhkan jabatan yang dikenali sebagai Jabatan
Kesusasteraan Asing di Dar Al Fatah, Kementerian Luar Dubai. Ia bagi menjelaskan mengenai
Islam kepada yang bukan Islam melalui bahasa-bahasa asing selain bahasa Arab dan Inggeris.

Namun hari yang paling menggembirakan beliau apabila kedua-dua orang tuanya yang dalam
usia 70-an, yang sebelum ini menghabiskan kebanyakan usia mereka di utara Nigeria, Yemen
dan Malaysia akhirnya memeluk Islam empat tahun lalu.

Walau mengecap dunia glamor semasa bergelar Jimmy Hendrix Sabah namun semua itu hanya
tinggal kenangan.

Berdakwah di jalan Allah dan hidup dalam kesederhanaan lebih menjanjikan kenikmatan iman
walaupun sesekali sambil mengalunkan irama dari tali gitar!

*** *** ***


Yusuf Islam bantu pengislaman Idris
Susunan SITI AINIZA KAMSARI

Idris tawfik semasa melawat penduduk Gaza yang menjadi mangsa keganasan Israel di
Hospital al Nasr, Kaherah, Mesir atas dasar keprihatinan tinggi beliau terhadap saudara sesama
Islam.

TAHUKAH anda, kedua-dua ayat surah al-Maidah itu membuka pintu hati seorang paderi
Gereja Katholik Roman di Britain memeluk Islam!

Bekas paderi itu, Idris Tawfik pada mulanya sekadar membaca makna ayat kalam suci
al-Quran itu di hadapan anak-anak muridnya ketika bertugas sebagai Ketua Pengajian Agama-
agama di beberapa buah sekolah di England dan Wales.

"Tetapi pada suatu hari, saya seolah-olah disedarkan oleh ayat-ayat di atas ditujukan kepada
saya. Bahawa tidak ada bezanya kerana saya merupakan pendita dan ahli ibadat (Nasrani)
seperti yang disebut dalam ayat itu.

"Sejak itu saya sering tertanya-tanya, adakah saya orangnya yang Allah maksudkan untuk
akhirnya mengakui mengenai kebenaran al-Quran dan menerima kerasulan Nabi Muhammad?,"
ujarnya.

Seusai memeluk Islam, Idris akui tidak menyesal mengenang masa silamnya yang pernah
menjadi orang kepercayaan kuat gereja. Termasuk menghabiskan lima tahun masa pengajian
beliau di Vatican City semata-mata untuk menjadi seorang paderi yang berwibawa.

"Untuk tempoh beberapa tahun, saya gembira menjadi paderi terutama menolong mereka
yang memerlukan bantuan. Namun jauh di sudut hati, saya tidak dapat menipu diri sendiri
apabila akhirnya saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena yang begitu menganggu hati
dan perasaan saya," katanya.

Semuanya bermula apabila Idris memutuskan untuk tidak lagi bertugas di Vatican atas alasan,
hatinya begitu tertarik melawat Mesir.

"Sebelum ini saya sering menganggap Mesir hanyalah sebagai negara yang sinonim dengan
monumen ajaib iaitu piramid-piramid, unta-unta, padang pasir dan pohon-pohon palma.

"Tetapi sebaik tiba di Kaherah, pertama kali saya mengenali Islam di sini dengan lebih jelas.
Saya dapati penduduk Islam Mesir mempunyai hati yang lembut, baik hati serta mempunyai
hati dan semangat yang kuat," kata Idris.

Sebelum ini seperti rakyat Britain yang lain, Idris juga mengenali Islam sebagaimana yang
mereka ikuti daripada laporan media. Terutama televisyen yang hanya menyiarkan mengenai
serangan bom dan lain-lain tindakan ganas yang kononnya mempunyai kaitan dengan pejuang
dan ajaran Islam.
Tertarik dengan Mesir

"Tetapi apabila saya berada di Mesir, saya mendapati agama ini sungguh cantik. Saya amat tertarik
melihat para peniaga yang memenuhi jalan-jalan meninggalkan barang jualan mereka begitu
sahaja untuk berhenti, mengadap Allah dan menunaikan solat sejurus mereka mendengar azan
dilaungkan dari puncak-puncak menara masjid.

"Cara mereka segera menunaikan solat itu seolah-olah bukan sahaja kerana percaya mengenai
kewujudan Allah, malah mereka tidak sabar-sabar untuk bertemu dengan Tuhan," katanya.

Sekembali dari Mesir, Idris menyambung tugasnya sebagai guru Pengajian Agama-Agama, iaitu
perbandingan ajaran mengenai Kristian, Islam, Yahudi, Buddha dan pelbagai agama lagi.

"Setiap hari saya mesti membaca mengenai agama-agama ini bagi membolehkan saya mengajar
dengan baik terutama kepada anak-anak murid yang kebanyakannya terdiri dari anak pelarian dari
negara-negara Islam.

"Berbanding anak murid dan remaja-remaja lain, saya dapati anak-anak pelarian ini berbeza kerana
mempunyai sahsiah diri yang baik, sopan dan berbudi bahasa. Hasilnya, mampu menjadi seperti
sahabat yang baik dan saya tidak bermasalah apabila mereka meminta kebenaran menggunakan
kelas saya bagi mendirikan sembahyang terutamanya pada bulan Ramadan," kata Idris.

Ketika mereka mendirikan ibadat itulah, Idris tertarik melihat setiap kali mereka solat. Kadang
kala beliau ikut berpuasa Ramadan walaupun ketika itu Idris masih lagi Kristian.

"Dan pada peringkat saya membaca petikan daripada ayat 83 surah al-Maidah yang bermaksud,
Dan apabila mereka mendengar al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad SAW),
engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui
Kitab mereka) dari kebenaran (al-Quran).

"Tidak semena-mena hati saya begitu sayu oleh makna ayat itu. Saya tidak mampu menahan air
mata yang gugur walaupun berusaha untuk melindungnya daripada dilihat oleh anak murid,"
katanya.

Detik perubahan yang besar dalam hidup bekas paderi ini berlaku selepas serangan di Pusat
Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001.

"Ketika itu seluruh warga Barat terus menuding jari kepada Islam yang menjadi punca serangan
dan menyebabkan kematian ribuan penduduk awam tetapi saya berpendapat sebaliknya.

"Mengapa Islam hendak dipersalahkan sedangkan terdapat juga keganasan yang dianjurkan oleh
orang Kristian dan mengapa mereka tidak dipersalahkan.

"Sebabnya, Islam yang saya kenali dan saya lalui bersama dengan penganut agama itu sebelum ini
menunjukkan agama itu sangat menentang keganasan dan pembunuhan sesama manusia," katanya.
Ini menyebabkan Idris makin serius memikirkan mengenai Islam yang membawa beliau
akhirnya menjejakkan kaki ke masjid terbesar di kota London, London Central Mosque bagi
mencari jawapan yang pasti

Ketika beliau sampai di masjid itu, kelihatan bekas penyanyi popular era 70-an, Cat Steven
atau Yusuf Islam berada dalam satu kelompok yang terdiri daripada beberapa orang lelaki dan
mereka seperti sedang membincangkan mengenai Islam.

Tanpa membuang masa, beliau terus bertanya Yusuf: "Apa yang perlu saya lakukan untuk
menjadi seorang Islam?"

Yusuf menjawab seseorang itu hendaklah mempercayai kepada Tuhan Yang Satu, mendirikan
sembahyang lima waktu sehari semalam, berpuasa di bulan Ramadan...

Belum sempat Yusuf memberi penjelasan, Idris terus memotong kata-kata Yusuf dengan
berkata: "Saya percaya kesemua itu, malah saya pernah berpuasa di bulan Ramadan."

"Jadi apa yang awak tunggu lagi, apa yang menahan awak memeluk Islam setelah anda telah
mengenali dan mengakui kebenaran Islam?" tanya Yusuf.

"Saya masih belum mempunyai niat yang kuat untuk memeluk Islam," jawab Idris.

Namun perbualan mereka terhenti di situ apabila azan berkumandang menandakan waktu solat.

Sejurus mereka selesai solat dengan menoleh ke kiri dan kanan memberi salam, Idris terus
menerpa Yusuf dan meminta beliau membimbingnya melafazkan syahadah.

Alhamdulillah dengan bantuan Yusuf, bekas paderi ini tunduk dan sujud kepada Islam dengan
para jemaah dan Masjid Central London menjadi saksi pengislaman Idris.

Sambil bergenang air mata, Idris mengucapkan syukur atas limpah hidayah yang telah
dikurniakan oleh Allah. Kini beliau meyakini sepenuhnya Allah tidak pernah mendustai dan
ternyata di sebalik ayat dari surah al-Maidah tidak sahaja benar kerana ternyata ayat itu begitu
memberikan kesan langsung kepada dirinya.

Dari aspek pendidikan, Idris adalah pemegang Ijazah Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris dari
Universiti Manchester, Ijazah dalam Sacred Theology dari Universiti Pontifical of Saint Thomas
Aquinas di Rom yang melayakkan beliau bertugas sebagai guru Bahasa dan Paderi sebelum
memeluk Islam.

Lebih banyak lagi mengenai Idris dapat anda kenali dan ketahui dengan melayari
http:www.idristawfiq.com.

*** *** ***


Maha suci Allah tidak jemu memberi tunjuk ajar kepada manusia. Walaupun jarak di antara
kitab-kitab ini beratus dan beribu tahun bezanya tetapi Tuhan mengulangi kebenaran supaya
manusia terselamat. Saya sedar betapa sayangnya Tuhan kepada kita.

Bila dikaji sejarah, kuil Hindu pertama dibina 2000 tahun selepas wahyu diturunkan. Sama
juga dengan Buddha, patung pertama dibuat selepas 500 tahun pemergian Buddha. Konsep
Tuhan 3 dalam satu di dalam Bible wujud selepas 325 pemergian Nabi Isa (Jesus). Maka dalam
tempoh sebelum penyelewengan, manusia memang beribadat dengan cara yang betul.

Terlalu banyak persamaan antara agama dari segi hukum seperti pengharaman arak, tidak
boleh makan babi, wanita kena pakai penutup kepala, puasa, zakat dan sebagainya tetapi
kenapa amalan mereka terpesong?

Setelah mengkaji, saya dapati punca utamanya adalah tidak faham proses wahyu. Saya ketahui
melalui kajian saya bahawa Allah menurunkan wahyu melalui nabi-nabi-Nya. Pada waktu itu,
bukan nabi yang berkata tetapi Tuhan yang Maha Esa yang berkata. Manusia pada masa
tersebut faham perkara ini, sebab itulah mereka tidak menyembah nabi dan tidak membuat
patung berhala untuk nabi.

Selepas beberapa waktu, apabila mereka membaca kitab dengan tiada ilmu mengenai proses
penurunan wahyu, mereka menyalah anggap dan menyangka Nabi itu mengaku Tuhan.

Sebenarnya ada ayat-ayat yang lain di dalam kitab yang menerangkan bahawa nabi itu bukan
Tuhan, tetapi sebab mereka keliru tentang ayat yang bercanggah ini, maka mereka meninggal-
kannya.

Beginilah proses wahyu diturunkan, ada ayat-ayat yang menjelaskan satu sama lain.
Bila dikaji, jelas semua mereka adalah manusia, utusan Tuhan yang Maha Tinggi.

Benarlah kitab-kitab lain tidak terpelihara sebagaimana al-Quran. Maka wajarlah untuk kita
mengikutinya.

Allah juga memberi jaminan bahawa al-Quran adalah petunjuk, dan Dia tidak memaksa
sesiapa tetapi menggalakkan manusia mengkaji kitab-Nya. Dia juga sediakan banyak fakta
sains yang boleh kita kaji dan pastikan kebenarannya, supaya boleh kita percaya kepada
wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Ini terbukti dalam firman Allah bermaksud:


Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertakwa.
(Al-Baqarah: 2)

Hal ini diperkukuhkan lagi dengan firman Allah yang bermaksud:


Tidak ada paksaan dalam agama (Islam);
sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang salah.
[Al-Baqarah: 256]
Proses mencari kebenaran ini mengambil masa sekitar sembilan tahun sehingga saya tidak ada
lagi timbul keraguan. Sekembali dari UK, saya teruskan kehidupan dengan agama asal
sehinggalah pada 23 September 2003 saya melafazkan syahadah di Jabatan Agama Islam
Wilayah Persekutuan (Jawi). Itupun selepas mendalami Islam dari segi amal ibadat kira-kira
enam bulan sebelum pengislaman.

Pada waktu itu kegembiraannya sukar digambarkan dengan kata-kata dan semacam perasaan
terselamat. Keyakinan saya bertambah kuat apabila sesuatu yang mustahil berlaku itu dimak-
bulkan Allah. Namun, sebagai manusia kita perlu sentiasa beringat dan menerima setiap
ujian-Nya kerana kejayaan mengharunginya, menjadi kemanisan Islam.

Saya mengambil masa dua tahun untuk memberitahu keluarga dan apabila semuanya terlerai,
ia menjadi kejutan besar buat mereka.

Saya melihat kini tidak ramai daripada kalangan mualaf yang menjadi pendakwah. Oleh itu,
ruang inilah perlu diisi dan ada keperluannya.

*** *** ***

You might also like