You are on page 1of 4

Memori tanggal 31 Ogos 1957 menggamit kenangan yang tidak mungkin dilupakan oleh seluruh anak watan yang

sememangnya amat mengimpikan kebebasan mutlak sekian lamanya. Laungan MERDEKA,MERDEKA, MERDEKA, oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang pertama,Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj , membuatkan diri kita seolah olah dibawa merentasi masa kembali semula ke saat yang penuh dramatik itu. Laungan kebanggaan itu memberikan sebuah isyarat bahawa kita akhirnya telah terlepas daripada suatu siri penjajahan perit oleh kuasa Barat selama 446 tahun. Episod penjajahan yang menyaksikan kita menjadi bangsa suruhan akhirnya berlalu hasil jerih payah tokoh tokoh pejuang tanah air yang sanggup bermandikan darah demi melindungi maruah bangsa daripada tercalar. Namun kini, setelah hampir melewati separuh abad kemerdekaan yang dikecapi, semangat patriotic semakin terpancar pada wajah generasi kini yang mengamalkan kesepaduan dalam kehidupan bermasyarakat. Hal ini bertepatan dengan konsep gagasan Satu Malaysia yang direncanakan oleh Perdana Menteri Malaysia yang kelima,Dato Seri Najib Tun Abdul Razak. Gagasan Satu Malaysia yang berteraskan kepada perpaduan di antara kaum di Malaysia bertujuan mewujudkan kesefahaman dan secara tidak langsung memantapkan kesejahteraan yang telah dikecapi sejak sekian lamanya. Satu Malaysia adalah penerusan agenda membina negara bangsa.Untuk mencapai kemajuan bagi negara, maka rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ianya dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar. Inilah yang digelar sebagai mana dicanangkan iaitu rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Perpaduan boleh ditakrifkan sebagai sesuatu keadaan yang bersatu atau berpadu. Perpaduan bukanlah lagi perkara yang asing lagi terahadap kita, malahan frasa tersebut telah sebati dan menjadi darah daging buat setiap anak watan . Barangkali kita sudah ditakdirkan hidup dalam sebuah masyarakat majmuk dengan keragaman pelbagai budaya dan agama. Dengan struktur sosial yang amat kompleks, kita hendaklah memeliharanya agar tidak dicemari oleh angkara salah faham, pertelingkahan, dan perbalahan antara kaum. Kita juga perlu insaf dan sedar bahawa tiada sebuah negara pun di dunia ini yang mampu mengekalkan keamanan selagi ketenteraman sosial tidak mampu dipertahankan . Kita

tidak mahu tragedi 13 Mei 1969 yang tragis serta meruntun hati berulang kembali. Peristiwa yang berpunca kepada persilisihan kaum itu telah mengakibatkan ramai nyawa yang terkorban dan nyawa individu menjadi tidak bernilai lagi. Kita seharusnya menjadikan peristiwa berdarah ini sebagai iktibar yang amat berharga dan biarlah terus tersimpan di dalam diari lama. Sekiranya hal ini berlaku lagi, mustahil gagasan Satu Malaysia yang diharapkan tercapai dan hanya akan menjadi mimpi di siang hari sahaja.Oleh itu, bagi memastikan hal ini tidak mungkin terjadi, semua kaum perlulah sedar bahawa tiada sedikit pun kelebihan jika kita bertelingkah. Kita perlulah belajar menerima perbezaan dan menangkis perasaan ketidakpuasan hati sesama masyarakat. Sudah terang lagi bersuluh, peristiwa rusuhan kaum yang berlaku telah membuktikan bahawa hakikat menang jadi arang, kalah jadi abu. Kata kata mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat ,Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu Melayu Mudah Lupa bertepatan dengan situasi semasa. Sekalipun generasi terdahulu pernah terseksa hidup dalam cengkaman penjajah, namun peristiwa itu telah lama berlalu. Kini, segala kesusahan dan keperitan telah bertukar ganti dengan kesenangan. Lantas kesenangan yang diperoleh itulah menyebabkan generasi kini mula alpa akan kebebasan dan keharmonian yang dinikmati. Kealpaan di sebalik kesenangan ini membuatkan kita leka dibuai angan angan dan tamak akan kekuasaan. Pertelingkahan di antara pemimpin- pemimpin telah menggugat keutuhan perpaduan justeru menggoyahkan kesepaduan masyarakat. Misalnya, peristiwa perebutan kedudukan sebagai Menteri Besar Perak yang berlaku tidak lama dahulu telah menyebabkan masyarakat melakukan pelbagai bentuk demostrasi yang sememangnya menimbulkan kekecohan dan hal ini seterusnya menimbulkan keadaan yang tidak tenteram terhadap anggota masyarakat. Hilangnya kesepaduan antara pemimpin ini turut memberikan gambaran buruk kepada rakyat dan hal ini menyukarkan hasrat merealisasikan gagasan Satu Malaysia.Hal ini, memberikan peringatan jelas bahawa gagasan ini sememangnya memerlukan kesatuan hati dan suara pemimpin pemimpin untuk dilaksanakan dengan jayanya. Pemimpin merupakan akar, rakyat pula rantingnya, oleh yang demikian pemimpin-pemimpin perlulah bersama-sama bersatu hati dalam membuat sebarang keputusan kerana gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah- tengah. Sekiranya hal ini diamalkan sepenuhnya, tidak

mustahil perpaduan hakiki mampu dimiliki dan gagasan Satu Malaysia berjaya dicapaidengan cemerlang dan gemilangnya. Kita hidup dalam sebuah masyarakat ibarat aur dengan tebing. Hidup yang sering membantu sedikit tanda ada, banyak tanda ingat. Amalan lama seperti bergotong-royong hendaklah terus disuburkan dalam kalangan masyarakat. Amalan seperti ini persis dapat mengikat dan menyatukan masyarakat dalam pelbagai lapisan untuk turun padang dan bersama- sama menyumbangkan tenaga demi kebaikan masyarakat setempat. Hidup bersama serumpun bak serai, sejunjung bak sirih, inilah prinsip yang menjadi pegangan untuk kita terus kekal menjadi juara perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk. Kita bersatu dan bersama menghormati doktrin Rukun Negara yang menumpahkan taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.Rasa hormat ini juga menuntut kita tidak mengeluarkan kata-kata kesat tentangkaum lain dan juga tidak mempersoalkan peruntukan-peruntukan undangundang yang menyentuh sensitiviti kaum. Natijahnya keamanan dan keharmonian terjana. Di Malaysia, kita dapat melihat pelbagai jenis perayaan,adab resam, kebudayaan dan juga cara hidup yang berlainan. Dalam kontekssosial, norma-norma masyrakat yang berasakan perkara perkara ini perlulah dihormati . Masyarakat seperti ini mampu membentuk interaksi sosial yang dinamik . Keunikan-keunikan ini tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kita untuk mencapai perpaduan yang sejajar dengan konsep Satu Malaysia,malah kita sewajarnya menjadikan keunikan ini sebagai salah satu wahana bagi mengeratkan hubungan antara kaum. Keharmonian inilah yang memantapkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang cukup disegani hasil daripada perpaduan yang dimiliki. Hal ini sudah tentunya membolehkan gagasan Satu Malaysia yang direncana tidak hanya menjadi bicara kosong malah menjadi sebuah gagasan yang akan kekal dalam lipatan sejarah suatu masa nanti. Seterusnya, perpaduan sememangnya penting dalam usaha melaksanakan gagasan Satu Malaysia ini. Tanpa wujudnya perpaduan dan keharmonian, masyarakat semestinya hidup dalam keadaan terumbang ambing tanpa hala tuju yang kukuh. Namun realitinya, kehidupan masyarakat di Malaysia kini lebih bersatu dan berpadu berbanding dengan negara-negara asing yang lain. Hal ini, membolehkan kita hidup

umpama aur dengan tebing dengan rasa saling hormat- menghormati antara masyarakat yang bervariasi latar belakang, kaum mahupun agama sekali pun. Malah, negara kita sendiri dikagumi oleh pelancong-pelancong asing yang melihat perpaduan Satu Malaysia ini sebagai sesuatu yang cukup unik dan sememangnya jarang-jarang sekali untuk ditemui di negara - negara lain. Keamanan ini secara tidak langsung berjaya memajukan ekonomi dan meningkatkan pelaburan pelaburan asing di Malaysia ini lalu berjaya mengangkat Malaysia hampir setanding dengan kuasa kuasa besar dirantau dunia. Oleh yang demikian , perpaduan haruslah sentiasa dipelihara dan dikekalkan dari generasi ke generasi dan dari abad ke abad agar segala yang telah kita kecapi selama ini tidak terus lenyap terpadam serta hanya menjadi lipatan sejarah sahaja. Jelaslah bahawa, perpaduan memainkan watak utama dalam usaha untuk merealisasikan gagasan Satu Malaysia yang bertepatan dengan frasa Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan. Sebagai anak watan kita seharusnya sedar dan bangkit dari mimpi di siang hari. Kita perlu sedar bahawa keamanan dan keharmonian yang lahir ini mudah sahaja dihancurkan jika perpaduan rakyat terus rapuh dan terus diabaikan begitu sahaja. Perbezaan dan kelainan yang ada haruslah dianggap sebagai suatu keunikan negara, Oleh yang demikian , masyarakat perlulah ,bersama , bersatu dan berpadu untuk menjayakan gagasan Satu Malaysia yang merupakan hasrat murni Perdana Menteri bagi menjamin kedamaian Malaysiat idak goyah dan tidak mungkin sesekali tergugat dengan sebarang ancaman dariluar mahupun dalam . Tidak mustahil dan bukanlah angan-angan kosong ,Malaysia akan dipandang tinggi serta dijadikan idola oleh negara negara diseantero dunia.

You might also like