You are on page 1of 3

PROGRAM PENGKOMPUTERAN DI SEKOLAH* (Oleh: Ahmad Fauzi bin Mohamed) Walaupun dikatakan ketinggalan berbanding sektor lain, program

pengkomputeran di sekolah semakin meningkat dan diberi perhatian. Menurut Schofield (1995), bilangan komputer di kebanyakan sekolah semakin meningkat. Hari demi hari penggunaan komputer bukan sahaja semakin meluas tetapi juga semakin diperlukan di lebih banyak sekolah. Program pengkomputeran mula diperkenalkan ke sekolah-sekolah di Malaysia secara rasminya pada tahun 1986 iaitu melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. (5) Tahun 1986. Bermula dari tarikh tersebut, program pengkomputeran di sekolah-sekolah mula dilaksanakan dan berkembang secara beransur-ansur mengikut keperluan dan kemampuan yang dimiliki. Bermula dengan kelab-kelab komputer yang kebanyakannya ditubuh atas inisiatif sekolah-sekolah sendiri (Othman Khalid, 1992) telah berkembang kepada apa yang ada sekarang. Namun begitu, menurut KPM (2001), penggunaan komputer telah mula diperkenalkan lebih awal iaitu semenjak pertengahan tahun 1960-an lagi. Ketika mula diperkenalkan, penggunaannya didapati terhad di kementerian dan untuk tujuan pengurusan sahaja. Bermula dengan pengurusan dan pengendalian peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran, kemudian penggunaannya telah diperluas kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan diikuti dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia. Pada masa yang sama komputer juga digunakan untuk mengumpul, memproses, dan menganalisis data sekolah rendah dan menengah bagi tujuan perancangan pendidikan. Pada awal tahun 1990-an, kementerian mula melaksanakan beberapa projek pendidikan yang berasaskan ICT dan pembekalan komputer, khususnya sebagai penyediaan infrastruktur ICT. Pada 5hb. Julai, 1992, sebanyak 60 buah sekolah menengah luar bandar dibekalkan dengan 21 set komputer bagi setiap sekolah. Bermula dari tarikh tersebut, usaha-usaha menerapkan penggunaan komputer ke dalam sistem pendidikan juga menjadi semakin menyerlah dan menyeluruh. Selaras dengan perkembangan berkaitan, Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Bahagian Pendidikan Guru mula melaksanakan program latihan praperkhidmatan dalam ICT kepada guru-guru pelatih di maktab perguruan bagi Kursus Diploma Perguruan Malaysia pada awal tahun 1990-an. Pelaksanaan program tersebut kemudiannya disusuli dengan Kursus Pengajian Teknologi Maklumat kepada guru-guru pelatih Kursus Perguruan Lepasan Ijazah. Selain kursus-kursus praperkhidmatan, tidak ketinggalan dianjurkan kursus-kursus dalam perkhidmatan jangka pendek dan kursus khas. Selain Bahagian Pendidikan Guru, program-program latihan kepada guru sekolah rendah dan menengah turut dianjurkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan melalui Pusat Sumber Pendidikan Negeri dan Pusat Kegiatan Guru. Institut Aminuddin Baki (IAB) juga tidak ketinggalan menyediakan latihan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran warga pendidikan dalam ICT. Kumpulan sasaran IAB ialah para pentadbir dan kakitangan sokongan di peringkat sekolah. Pada tahun 1994, Kementerian Pelajaran Malaysia telah melancarkan pula Projek Rintis Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik. Projek tersebut dilaksanakan di 15 buah sekolah rendah luar bandar di Selangor. Setiap sekolah dibekalkan dengan 21 set komputer sementara perisian kursus pendidikan disediakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum. Dalam perkembangan berkaitan, pada tahun 1996 penyediaan infrastruktur ICT telah diperluaskan ke 209 buah sekolah menengah dan 20 buah sekolah rendah. Setiap buah sekolah menengah tersebut dibekalkan dengan 21 set komputer, termasuk sebuah komputer pelayan (server) untuk Persekitaran Rangkaian Setempat (Local Area Network) tanpa kemudahan internet. Walau bagaimanapun komputer yang dibekalkan di sekolah rendah tidak dirangkaikan. Bagi tempoh tahun 1999 hingga 2000, sebanyak 332 buah sekolah lagi (110 buah sekolah menengah dan 222 buah sekolah rendah) di seluruh negara telah menerima komputer iaitu sebanyak 10 set komputer bagi setiap sekolah.

Komputer yang dibekalkan ke sekolah-sekolah pada peringkat awal pelaksanaan program Komputer Dalam Pendidikan (KDP) ialah di bawah peruntukan projek-projek khas. Sementara komputer yang dibekalkan antara tahun 1999 hingga 2000 ialah komputer multimedia jenis Pentium III yang sama ada disewa daripada MIMOS atau melalui tender terbuka untuk Sabah dan Sarawak. Untuk menempatkan komputer yang dibekalkan, bilik darjah diubah suai menjadi makmal komputer. Menjelang tahun 2000, Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan pula Projek Penyediaan Infrastruktur Fizikal dan Pengkomputeran Sekolah Menengah dan Rendah di 2,148 buah sekolah rendah dan menengah. Projek tersebut dilaksanakan secara berperingkat dengan mendahulukan sekolah-sekolah yang mempunyai enrolmen melebihi 150 orang dan mempunyai bekalan eletrik. Makmal komputer yang dibina dilengkapi dengan komputer terkini berserta kemudahan persekitaran rangkaian setempat dan internet. Selain komputer, projek tersebut turut membekalkan projektor Liquid Crystal Display (LCD). Jumlah peruntukan makmal, komputer, komputer pelayan, dan projektor LCD kepada sekolah-sekolah diberikan berdasarkan enrolmen pelajar. Kerajaan Malaysia amat serius untuk menerapkan penggunaan komputer dalam sistem pendidikan. Jutaan ringgit telah dilabur untuk membina makmal serta rangkaian komputer. Tujuan pelaburan tersebut ialah untuk mempercepatkan usaha melahirkan lebih ramai tenaga mahir bagi memenuhi keperluan pasaran semasa. Di sidang parlimen, Kementerian Pelajaran Malaysia memaklumkan kepada dewan bahawa sehingga bulan September 2003 sahaja sudah terdapat 4,297 projek makmal komputer sekolah (3,700 makmal baru dan 597 makmal ubah suai) sudah diluluskan pembinaannya. Jadual 1.1 berikut menunjukkan taburan bilangan pembinaan bangunan baru makmal komputer di sekolah-sekolah mengikut negeri. Jadual 1.1. Taburan Bangunan Baru Makmal Komputer Mengikut Negeri Negeri Perlis Kedah Pulau Pinang Perak Selangor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Negeri Sembilan Melaka Johor Pahang Terengganu Kelantan Sabah Sarawak Bilangan 68 461 91 487 340 87 239 140 415 443 258 307 200 164

Nota. Bilangan makmal komputer yang dipaparkan di jadual ini tidak termasuk 597 buah projek makmal komputer ubahsuai bilik darjah. Dipetik dari Berita Harian, hal. 7.

Menurut Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia [BTPKPM] (2002), Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengariskan tiga dasar utama ICT dalam pendidikan iaitu (a) literasi ICT untuk semua pelajar, (b) mengutamakan peranan dan fungsi ICT dalam pendidikan sebagai kurikulum dan alat pengajaran dan pembelajaran , dan (c) penekanan penggunaan ICT. Literasi ICT untuk semua pelajar bermaksud pelajar memperoleh kemahiran menggunakan kemudahan ICT. Manakala peranan dan fungsi ICT sebagai kurikulum bermaksud pelajar mempelajari ICT sebagai mata pelajaran Teknologi Maklumat bagi peringkat Sijil Pelajaran Malaysia dan Pengkomputeran bagi peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Peranan dan fungsi sebagai alat pengajaran dan pembelajaran bermaksud menggunakan kemudahan ICT di dalam bilik darjah. Dasar penekanan penggunaan ICT pula memberi fokus untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan, dan keberkesanan sistem pengurusan. Fokus-fokus tersebut akan terhasil melalui pengautomasian pejabat dan pelaksanaan sistem aplikasi pengurusan yang membawa kepada penambahbaikan proses kerja. Sementara itu, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris serta pengenalan satu mata pelajaran elektif baru iaitu English for Science and Technology yang dilaksanakan mulai awal tahun 2003 memperlihatkan penggunaan komputer menjadi semakin ketara. Untuk melaksanakan program tersebut, kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia telah membekal komputer laptop ke sekolah-sekolah untuk membantu guru-guru mengatasi masalah penguasaan Bahasa Inggeris. KPM (2001), telah merangka program pembangunan ICT dalam pendidikan. Tempoh masa 10 tahun iaitu mulai tahun 2001 hingga 2010 akan digunakan untuk merealisasikan matlamat-matlamat berikut: (a) meningkatkan pembangunan infrastruktur ICT. (b) memperluaskan akses dan ekuiti kepada kemudahan ICT. (c) memperluaskan kurikulum berasaskan ICT. (d) meningkatkan sistem pentaksiran dengan menggunakan ICT. (e) menekankan pengintegrasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran. (f) meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ICT di kalangan pelajar. tenaga pengajar, dan personel Kementerian Pelajaran Malaysia. (g) meningkatkan penggunaan ICT dalam pengurusan pendidikan. (h) meningkatkan usaha pengurusan dan penyenggaraan perkakasan ICT. (i) meningkatkan penyelidikan dan pembangunan dalam ICT. (j) meningkatkan kerjasama antara institusi pendidikan dengan masyarakat untuk membantu memperkembangkan ICT dalam pendidikan. * Esei ini merupakan sebahagian daripada tesis MSc. (Education Management) penulis di Universiti Utara Malaysia, 06010 Sintok, Kedah Darul Aman.

You might also like