You are on page 1of 3

Pada 30 September 2013, bertempat di Sekolah Kebangsaan Ong Tiang Swee saya telah menjalankan pengajaran mikro untuk

mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan untuk menyempurnakan tugasan subjek PJM 3110. Kelas yang terpilih terdiri daripada 19 orang murid lelaki tahun 5. Sesi pengajaran mikro bermula pada jam 8 pagi dan saya dan Saudari Ermalia mengajar secara berpasangan dalam masa 30 minit. Terdapat beberapa bahagian yang telah dirancang dengan rapi dalam rancangan pengajaran harian yang disediakan dan kami telah bersetuju mengajar bahagian-bahagian tersebut secara berselang-seli bagi memudahkan penyampaian arahan dan penyusunan peralatan bagi setiap aktiviti. Kemahiran yang diajar untuk sesi pengajaran mikro tersebut ialah kemahiran menghantar dan menerima baton. Persiapan awal telah diadakan dengan baik mengikut perancangan yang telah ditetapkan. Semua peralatan dan bahan bantu mengajar lengkap dan mencukupi. Bermula dengan aktiviti memanaskan badan iaitu aktiviti Sapa Bahu, sesi pengajaran telah dimulakan oleh saya. Oleh sebab ini merupakan pengalaman pertama saya mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, saya menyedari bahawa lontaran suara saya agak kurang jelas apabila berasa di kawasan luar bilik darjah yang agak terbuka. Terdapat murid-murid yang tidak mendengar arahan dengan jelas dan kurang memahami arahan yang telah saya sampaikan. Bagi mengatasi masalah tersebut pada masa itu, saya terpaksa mengulang arahan sekali lagi dan menunjukkan demonstrasi bagi membantu pemahaman murid-murid tersebut. Antara penambahbaikan yang telah saya fikirkan untuk mengatasi masalah ini bagi sesi pengajaran yang akan datang ialah menyusun kedudukan murid dengan lebih baik agar mereka memberi lebih fokus terhadap arahan yang saya berikan dan suara saya lebih jelas kedengaran. Memandangkan sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan secara berpasangan, saya dan Saudari Ermalia saling bekerjasama bagi memastikan pengelolaan kelas dan penyusunan peralatan berjalan dengan lancar. Kami telah mencuba sebaik mungkin untuk menyediakan aktiviti seperti dalam perancangan.

Kemahiran menghantar dan menerima baton telah diajar dengan kaedah tunjuk cara dan kami telah dimaklumkan oleh murid-murid tersebut bahawa mereka telah mempelajari kemahiran tersebut sebelum ini. Ini membantu kami untuk menjalankan aktiviti menghantar dan menerima baton secara statik dan bergerak dengan lebih cepat. Bagi memudahkan kawalan kelas, kami telah membahagikan murid-murid kepada 4 kumpulan kecil dan setiap aktiviti dijalankan secara berkumpulan. Pengalaman sedia ada murid yang pernah mempelajari kemahiran tersebut telah menjadikan sesi pengajaran tidak mencabar dan mereka ingin mencuba sesuatu yang baru. Pada pendapat saya, bagi mengatasi masalah muridmurid bosan melakukan aktiviti, penggunaan muzik yang rancak semasa aktiviti mungkin dapat membantu menaikkan semangat mereka dan menimbulkan rasa seronok walaupun melakukan aktiviti tersebut berulang-ulang kali. Beralih kepada aktiviti kemuncak bagi sesi pengajaran mikro tersebut iaitu acara lari berganti-ganti, saya telah mengalami masalah untuk menerangkan peraturan permainan tersebut sehinggakan telah memakan masa yang agak panjang. Sebagai cara penyelesaian, saya telah meminta sebuah kumpulan murid untuk menunjukkan demonstrasi kepada seluruh kelas. Satu lagi masalah yang timbul semasa sesi demonstrasi ialah murid-murid suka bertindak sebelum mendengar arahan yang diberikan oleh guru. Hal ini menjadikan arahan lebih mengelirukan dan melambatkan masa. Saya mendapati masalah ini berpunca daripada komunikasi yang kurang berkesan di mana saya langsung tidak mengenali nama murid-murid di dalam kelas tersebut. Perwatakan mereka yang berbeza-beza perlu dikenal pasti dengan lebih mendalam agar kelas dapat dikawal dengan lebih baik. Terdapat murid yang agak aktif dan tidak kurangnya yang menunjukkan sikap pasif dengan tidak mahu melibatkan diri bagi pertandingan tersebut. Oleh itu, di sini saya menyedari kepentingan seseorang guru untuk mengenali setiap murid dengan lebih dekat dan mengingati nama murid-murid agar mereka akan mudah untuk memberi kerjasama semasa sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Semasa mengajar, guru perlu

peka terhadap setiap kelakuan murid dan memberi teguran yang sewajarnya agar menjadi teladan kepada rakan yang lain. Semasa acara kemuncak dijalankan, terdapat segelintir murid yang letih dan mula mencari alasan untuk tidak melibatkan diri. Pengalaman seperti ini telah melemahkan semangat saya namun setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Saya menyedari banyak penambahbaikan yang perlu diadakan dalam perancangan aktiviti agar murid-murid berasa lebih seronok dan melibatkan diri secara aktif. Bagi mengatasi masalah seperti itu, saya perlu merancang aktiviti yang lebih menarik dengan menggunakan variasi alatan, permainan yang lebih mencabar dan bersesuaian dengan tahap kemahiran dan perkembangan fizikal murid-murid. Bahagian yang terakhir ialah menyejukkan badan dan kami telah menggunakan lagu Semut Api bagi mengekalkan perhatian murid-murid yang sudah kepenatan. Mereka memberi kerjasama yang baik dan menunjukkan lebih minat dengan adanya penggunaan lagu tersebut. Secara keseluruhannya, pengalaman pertama mengajar mata pelajaran pendidikan jasmani telah memberi impak yang amat mendalam terhahap diri saya. Terdapat banyak lagi kemahiran mengajar yang perlu dikuasai dan kelemahankelemahan yang masih boleh diperbaiki. Tanggungjawab seorang guru dalam menyampaikan ilmu dengan baik dan berkesan memerlukan perancangan yang teliti, kreativiti untuk pelaksanaan aktiviti dan penilaian yang berterusan agar murid-murid berasa seronok dan sesi pengajaran dan pembelajaran menjadi bermakna dan berkesan. Saya akan terus berusaha untuk memperbaiki diri dan mendalami kemahiran mengajar dengan lebih baik agar mampu menjadi seorang pendidik yang berwibawa dan disegani.

You might also like