You are on page 1of 5

Gaya hidup bermalas-malas (sedentari) Cuba tanya diri sendiri, apakah yang menyebabkan anda malas untuk bersenam?

Adakah alasan tidak ada masa, terkejar-kejar, banyak perkara lebih penting yang perlu dibuat dan diselesaikan boleh diterima?. Jika ditanya kaum ibu, ada yang mengatakan mereka sibuk melakukan kerja rumah, daripada menyapu, mengelap lantai dan memasak dan itu semua dianggap satu senaman kerana mengeluarkan banyak tenaga. Apakah yang akan terjadi jika anda membiarkan tubuh 'dimanja' tanpa sebarang pergerakan? Antara punca utama kematian di hospital kerajaan pada 2007 ialah penyakit jantung dan penyakit berkaitan pengedaran pulmonari, penyakit serebrovaskular (gangguan pada pembuluh darah otak dan membran yang menyelaputinya), penyakit berkaitan masalah pencernaan dan pneumonia. Faktor risiko penyakit jantung koronari ialah faktor tidak boleh ubah dan boleh ubah. Antara faktor risiko tidak boleh ubah ialah usia, sejarah keluarga, jantina dan etnik manakala faktor risiko boleh ubah iaitu boleh dikawal atau dicegah ialah diabetes, darah tinggi, kolestrol tinggi, obes, merokok dan gaya hidup sedentari iaitu gaya hidup tidak aktif. Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Tropicana (TMC), Dr Haizal Haron Kamar, berkata kurang amalan aktiviti fizikal atau gaya hidup bermalas-malas seperti duduk, menonton televisyen atau bermain permainan komputer dan tidur membunuh lebih tiga juta orang setiap tahun. Gaya hidup sedentari ialah faktor risiko keempat di seluruh dunia yang mengakibatkan kematian, selepas tekanan darah tinggi, merokok dan tinggi kandungan gula dalam darah. Menurutnya, sebanyak 43.7 peratus penduduk negara ini mengamalkan gaya hidup sedentari membabitkan lebih ramai wanita iaitu 50.5 peratus (%) berbanding lelaki (35.5 %). Katanya, kurang amalan aktiviti fizikal di kalangan penduduk Malaysia lebih tinggi di kawasan bandar (59.4%) dan pertambahan gaya hidup seperti ini lebih ramai membabitkan mereka yang berusia, mencecah 80.35% di kalangan mereka yang berusia sekurang-kurangnya 80 tahun. "Jantung perlu dijaga dengan baik bagi memastikan ia dapat mengepam darah yang beroksigen ke seluruh bahagian tubuh. Caranya ialah dengan bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat, menjadikan jantung lebih dinamik. "Bersenam membantu melancarkan peredaran darah badan, membantu mengeluarkan gumpalan dalam salur darah, menurunkan kadar kolestrol jahat dalam darah, meningkatkan kolestrol baik, menyusutkan lemak badan dan mengatasi stres," katanya pada forum awam Senaman Untuk Kehidupan Yang Sihat, di TMC, barubaru ini. Sempena program berkenaan, Ketua Fisioterapi, Brandon Lee, menunjukkan cara senaman memanaskan badan yang betul. Dr Haizal berkata, senaman disarankan bagi mencegah sakit jantung ialah secara kerap tiga hingga lima kali seminggu selama 20 hingga 60 minit dan dipergiatkan daripada sederhana kepada senaman lebih berat. Menurutnya, senaman aerobik seperti berjalan, berlari, menunggang basikal dan berenang baik untuk kesihatan jantung selain latihan menguatkan badan kerana ia menyebabkan penurunan lemak badan dan tahap kolestrol. Degupan jantung yang normal ketika rehat ialah 70 kali seminit dan jantung berdegup sebanyak 100,000 kali sehari. "Jantung ialah otot dan ia menjadi lebih kuat dengan bersenam, sama seperti otot lain pada tubuh. Pertubuhan

Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan golongan dewasa bersenam sekurang-kurangnya 150 minit daripada sederhana hingga aktiviti yang lebih berat dalam seminggu. "Amalkan juga bersenam di tempat kerja seperti berjalan kaki ke tempat kerja atau menunggang basikal seperti yang diamalkan penduduk sesetengah negara maju. Di pejabat, sesekali buat kerja dengan berdiri dan selepas lama duduk, buat senaman ringan bagi melancarkan peredaran darah. Anda juga tidak sepatutnya melepaskan peluang bersenam di gimnasium yang disediakan di pejabat selepas waktu kerja," katanya. -----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

MENGEKALKAN kesihatan yang baik pasti menjadi keinginan setiap individu dan ia sangat penting dalam kehidupan seharian. Namun, kebanyakan daripada kita kurang mengendahkan aspek itu menyebabkan ramai yang mudah mendapat penyakit. Biarpun sibuk di pejabat tetapi kesibukan kita sebenarnya hanya menghadap komputer tanpa perlu melibatkan aktiviti fizikal. Malah di rumah pula, ramai yang suka menghabiskan masa dengan menonton televisyen dan menghadap komputer. Tahukah kita gaya hidup tidak aktif atau dalam bahasa perubatan dikenali sebagai sedentari sebenarnya membahayakan diri dan kesihatan. Tetapi ia kini merupakan gaya hidup yang semakin menjadi fenomena global. Kebergantungan kepada mesin dan sistem yang automatik dalam kehidupan harian mengurangkan keperluan untuk kita melakukan aktiviti fizikal dan juga senaman. Teknologi moden abad ke-21 membolehkan kita melakukan hampir segala-galanya dengan hanya menekan butang. Meskipun ia menyenangkan hidup kita semua tetapi hakikatnya ia mampu membawa kesan yang tidak sihat. Gaya hidup sedentari itu bukan sahaja mengganggu kesihatan diri dengan penyakit-penyakit merbahaya tetapi juga boleh menyumbang kepada masalah lemah tulang. Perkara ini diakui oleh Pakar Perunding dan Pembedahan Ortopedik dan Trauma, Hospital Gleneagles, Dr. Chin Chee Howe. "Tulang kita adalah tisu hidup, sungguhpun nampak keras, tulang sentiasa melalui proses penguraian dan pembinaan semula. "Gaya hidup sedentari tidak membantu kesihatan tulang, kita perlu mengambil langkah untuk melindungi tulang sejak muda sebaik-baiknya sebelum jisim tulang mencapai puncaknya,'' katanya ketika ditemui sempena bengkel media Fonterra-Anlene mengenai kesihatan tulang, baru-baru ini. Tegas beliau, kekurangan jisim yang berterusan boleh mengakibatkan osteoporosis, satu proses yang tidak boleh dikembalikan.

"Osteoporosis, penyakit yang menyebabkan tulang rapuh dan retak bukan lagi masalah yang dihadapi golongan tua semata-mata," ujarnya. Katanya lagi, satu-satu cara untuk melindungi tulang ialah dengan mengamalkan diet yang seimbang dan mengamalkan gaya hidup yang sihat. "Tidak kira tua ataupun muda, kita perlu bersenam secara sederhana, mengamalkan tabiat makan yang sihat dan memastikan kita memenuhi keperluan kalsium harian kita,'' ujarnya lagi. Tegasnya, keadaan ini penting untuk membina dan mengekalkan jisim tulang dan membolehkan kita meregang dan menggunakan potensi tulang kita dengan sepenuhnya. Katanya, dengan hanya melakukan aktiviti fizikal, kita dapat mencergaskan badan dan mencerdaskan mental kita. Selain aktiviti fizikal, pengambilan kalsium yang mencukupi setiap hari juga adalah penting. "Perkara ini penting bagi memastikan tulang kita sentiasa kuat dan mengelakkan daripada ia reput,'' ujarnya lagi. Sementara itu, Pengurus Insight Fontera Brands Malaysia, Sheua Yea pula memberitahu, ramai yang menyangka osteoporosis hanya akan berlaku kepada warga emas sahaja. Malah ramai juga percaya bahawa penyakit yang berkaitan tulang tidak membawa maut. Bagaimanapun, ramai yang tidak sedar bahawa penyakit tersebut juga boleh menyerang golongan muda dan membawa maut sekiranya tidak ditangani secara awal Hasil kajian penyelidikan yang dijalankan baru-baru ini menunjukkan wanita dalam usia pertengahan hingga lewat 60-an yang mengalami masalah pinggul adalah lima kali ganda lebih berkemungkinan mati dalam masa setahun. Tambah Yea lagi, ramai wanita menganggap kemerosotan tulang hanya berlaku di usia yang lanjut, hakikatnya ia juga boleh berlaku kepada golongan muda sekiranya tidak mendapat bekalan kalsium yang secukupnya. "Sebab itu, ramai yang tidak mengambil perhatian sehinggalah mereka sendiri merasai kesakitan tersebut, lebih malang keadaan itu adalah kritikal,'' ujarnya. Sambil menasihati golongan muda supaya mengamalkan meminum susu setiap hari, amalan gaya sihat juga perlu diterapkan dalam kehidupan seharian. "Senaman bukan saja membina tulang kuat, ia juga memperbaiki imbangan dan kordinasi kita. Kita perlu memastikan tulang mempunyai bahan mentah yang diperlukannya secukupnya. Malah, cara yang paling baik untuk melindungi tulang kita adalah dengan menjaganya dari usia muda dan sepanjang hayat," ujarnya.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

BEKERJA sambil duduk di atas kerusi empuk sudah menjadi budaya kebanyakan penduduk dunia. Teknologi mesin dan elektronik yang memudahkan kerja dan perkongsian maklumat membuatkan manusia selesa menggerakkan tubuh secara minimum.

Cara hidup yang tidak aktif itu dikenali sebagai gaya hidup sedentari. Sedentari merupakan sebuah terma kesihatan mengenai gaya hidup bermalas-malasan dengan sedikit aktiviti fizikal. Gaya hidup sedentari itu diukur menggunakan unit setara metabolik. Penggunaan tenaga di bawah nilai 1.5 dalam sesuatu aktiviti menunjukkan seseorang itu mengamalkan sedentari. Jisim tulang Antara gaya hidup sedentari yang popular adalah duduk, menonton televisyen, menggunakan komputer dan tidur. Menurut kajian, sedentari boleh menimbulkan banyak masalah kesihatan yang serius. Ini termasuk penyakit berkaitan kardiovaskular, obesiti dan diabetes. Ia juga dikenal pasti sebagai faktor risiko keempat dalam kadar kematian global. Biarpun mereka yang mengamalkan sedentari sering dikaitkan dengan pelbagai jenis penyakit, namun ramai yang tidak sedar bahawa ia turut menyumbang kepada masalah tulang. Tulang terdiri daripada tisu hidup. Biarpun nampak keras, ia sentiasa melalui proses penguraian dan pembinaan semula, ujar Pakar Perunding dan Pembedahan Ortopedik dan Trauma, Hospital Gleneagles, Dr. Chin Chee Howe. Chee Howe menjelaskan bahawa gaya hidup sedentari tidak membantu dalam membentuk tulang yang sihat sebaliknya menjadi punca kepada kemerosotannya. Justeru, orang ramai seharusnya mengambil langkah untuk melindungi tulang sejak muda lagi iaitu sebelum jisim tulang mencapai kemuncaknya. Menurut Chee Howe, kekurangan jisim tulang yang berterusan boleh mengakibatkan penyakit tulang rapuh atau osteoporosis. Chee Howe menambah, satu-satunya cara untuk melindungi tulang daripada terus kehilangan jisim adalah dengan mengamalkan diet seimbang dan gaya hidup sihat. Kita perlu bersenam secara sederhana, mengamalkan tabiat makan yang sihat dan memastikan jumlah keperluan kalsium harian mencukupi. Dengan hanya berjalan kaki selama 30 minit setiap hari dan mengambil makanan kaya kalsium, kita dapat membantu proses penguraian dan pembentukan semula tulang, katanya pada bengkel Media Bersama Fonterra dan Anlene di Kuala Lumpur baru-baru ini. Makanan Antara makanan terbaik untuk kesihatan tulang adalah susu berkalsium tinggi dan pelbagai produk tenusu. Sambil menyebut kira-kira 50 peratus masalah keretakan tulang pinggul bakal berlaku di Asia menjelang tahun 2050, Chee Howe menyeru orang ramai agar menyedari hakikat itu. Sudah tiba masanya rakyat Malaysia bangun daripada sofa dan mengambil langkah proaktif melindungi tulang mereka, tutur Chee Howe. Dalam satu kajian yang dilakukan oleh penyelidik dari Institut Sosial dan Penyelidikan Ekonomi, Universiti Essex, Britain, Dr. Kimberley Fisher, mendapati ramai golongan muda yang lebih lemah berbanding mereka yang berusia lebih tua disebabkan amalan sedentari.

Dalam kajian ke atas 1,200 orang daripada pelbagai latar belakang umur itu, Fisher mendapati rata-rata warga emas berusia 65 tahun ke atas mampu bertahan melakukan aktiviti fizikal selama hampir dua jam berbanding remaja berusia lapan hingga 19 tahun yang bertahan selama sejam sahaja. Mereka menjadi lemah dan lembik kerana sering mementingkan kerja di hadapan skrin komputer, bermain permainan video dan asyik menonton televisyen di sofa. Obses kepada hiburan elektronik menyebabkan mereka menjauhi aktiviti hiburan fizikal yang jauh lebih menyihatkan, jelas Fisher.

Rujukan http://anizyn.blogspot.com/2012/11/risiko-gaya-hidup-bermalas-malas.html http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn _02.htm http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=1106&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru _04.htm

You might also like