You are on page 1of 5

Mantera Perubatan Melayu : Sebuah Tafsiran Hadith dan Al-Quran

Muhammad Jailani Abu Talib


Yang Dipertua
Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya

Pengenalan

Sistem psikologi, kepercayaan serta kosmologi orang Melayu berlegar antara dua perkara yang kompleks
dengan sejarah perkembangannya yang tersendiri. Biarpun di satu sudut, Islam telah banyak
mempengaruhi gaya hidup dan budaya masyarakat Melayu, perkara tersebut masih belum berupaya
untuk membasmi sistem kepercayaan Melayu yang sedia ada. Secara umumnya, masyarakat Melayu
telah melalui beberapa fasa perubahan dalam sistem kepercayaannya. Antaranya, masyarakat Melayu
telah menganuti kepercayaan animisme, Buddha, Hindu dan Islam. Kendatipun begitu, antara keempat-
empat kepercayaan yang telah disebutkan, Islam merupakan agama yang telah memberikan kesan dan
impak yang mendalam dalam kehidupan masyarakat Melayu. Dalam erti kata yang lain, Islam merupakan
kepercayaan yang dominan dalam dasar psikologi orang Melayu.

Perihal tersebut dapat diperhatikan pada segenap aktiviti orang Melayu. Antaranya termasuklah
kepercayaan orang Melayu terhadap keupayaan mantera, serapah, jampi dan sebagainya sebagai
pengganti ucapan-ucapan yang terdapat dalam Al-Quran ataupun ucapan sampingan bagi bacaan doa-
doa daripada kitab suci tersebut. Walau bagaimanapun, persoalan yang hadir dalam perbincangan
mengenai mantera Melayu ialah adakah kaedah tersebut diterima menurut pandangan Islam?

Mantera

Mantera lazimnya dapat ditafsirkan sebagai gubahan kata yang sifatnya bercirikan doa yang ditujukan
kepada sebuah makhluk yang tidak dapat ditakluki ataupun dilihat secara mata kasar. Dalam erti kata
yang lain, mantera merupakan sebuah kod yang menjadi simbolik terhadap perbicaraan antara makhluk
kasar sebagai pengamal mantera, iaitu manusia dan makhluk lembut sebagai penerima untaian doa
tersebut, sama ada makhluk tersebut merupakan jinn, syaitan, tuhan, dewa dan sebagainya.

Klasifikasi Mantera

Mantera sebenarnya turut dapat dibahagikan kepada dua kategori utama sebagaimana yang
diklasifikasikan pada ilmu sihir dan perubatan Melayu, iaitu ilmu putih dan ilmu hitam. Dalam hal yang
sama, skop perbincangan mantera turut dapat diperincikan dengan membahagikan korpus kajian kepada
dua kelompok utama, iaitu mantera putih dan mantera hitam. Untuk membahagikan mantera-mantera
tersebut, dua landasan utama digunakan oleh pengkaji untuk membedakan antara kedua-dua aliran
tersebut. Pengkaji turut menggunakan sistem yang digarispandukan oleh Abu Umar Abdillah (2006:24)
dengan beberapa pindaan minimal.

Mantera putih dapat diklasifikasikan sebagai mantera yang tujuan utamanya adalah untuk
membantu orang lain demi mendatangkan kebaikin. Antara ciri-ciri mantera putih ialah untaian doa
tersebut dapat digunakan untuk “menyembuhkan penyakit, mencarikan barang hilang, memberikan jimat
penglarisan, atau memberikan kesaktiuan untuk ‘kebaikan’.” (2006:24)

Sementara itu, mantera hitam dapat dirujuk sebagai doa-doa yang tujuan utamanya untuk
mencelakai orang seperti apa yang dipraktikkan oleh golongan-golongan tertentu seperti dukun santet,
dukun pellet, gendam atau dukun yang secara khususnya menggunakan kesaktian yang terdapat
padanya untuk kejahatan lain.

Pandangan Islam Terhadap Penggunaan Mantera


“Dan sesungguhnya, masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah. Maka janganlah kamu
menyembah seseorang pun di dalamnya di samping (menyembah) Allah.” (Al-Jinn, Ayat
ke-18)

Agama Islam tegas dalam pendapat bahawa tiada tuhan yang hadir selain Allah s.w.t serta tiada makhluk
yang wajar disembah selainnya. Dalam hal ini, kecenderungan beberapa mantera untuk memasukkan
elemen-elemen Islam ke dalam doa-doa yang berbentuk bukan Islam tidak seharusnya digalakkan.
Perkara tersebut sekali gus merupakan sebuah amalan syirik sebagaimana yang dapat diperhatikan
dalam mantera seterusnya :

“Bismillahirahmannirahim. Niat ingsun mata aji, ajiku suket kalanjana. Aji…saka Sang
Hyang Pramana. Byar pet, peteng dadi padhang. Padang terawangan…Sakabehing sifat
katon sakung kersaning Allah.” (dlm. Abu Umar Abdillah, 2006:64)

Dalam hal ini, mantera tersebut turut menyebut Sang Hyang Pramana di samping Allah s.w.t.
Jelas daripada mantera tersebut bahawa ia sedang mencampurkan apa yang hak dan mutlak dengan
yang bathil. Penggunaan mantera-mantera yang sebegitu sebenarnya adalah berdosa dari sudut Islam.
Hal yang sama turut dapat diperhatikan pada mantera dan serapah tepung tawar berikut :

" Bismillahirrahmanirrahim.
Hai Jin Tanah Jembalang Bumi,
Hai Jin Hitam serangkap rang bumi, pelesit di bumi,
putar tanggah di bumi, puak juak mu, aku nak minta tolong jaga,
tempat yang aku buat ni, aku menanggung baik di atas aku,
dan jahat di atas mu, dengan berkat kata Lailahaillah Muhammadurrasulullah”

Larangan Islam terhadap kaedah menggunakan khadam ataupun perantaraan jelas dapat
diperhatikan dalam firman Allah :

“Dan bahawasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta


perlindungan kepada beberapa laki-laki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi
mereka dosa dan kesalahan.” (Al-Jinn, Ayat ke-6)

Namun begitu, tidak semua mantera yang terdapat dalam korpus kajian mempunyai ciri-ciri yang
disebutkan di atas. Sebagai contoh :

“Matahari empat, bulan lima


Bintang tujuh ke mata aku
Bintang berayun ke dagu aku
Bulan purnama ke kening aku..”

Cebisan daripada mantera sumbangan Senawi Ahmad (2004) digunakan sebagai mantera
pengasih. Mantera tersebut menggunakan perwatakan alam semesta sebagai kiasan kepada anggota
badan pengamal agar kelihatan cantik. Mantera tersebut seterusnya mengungkap:

“Suara aku seperti rupa Nabi Daud


rupa aku seperti rupa Nabi Yusuf
cahaya aku seperti cahaya Muhammad
berkat aku memakai
pemanis dengan berkat Lailahaillallah”

Mantera tersebut jelas mengambil contoh daripada kelebihan para Nabi sebagai kayu ukuran.
Jelas dari senikata mantera tersebut bahawa ia menyuratkan harapan pengamal mantera tersebut bagi
memperolehi perawakan alam semesta dan para Nabi melalui pembacaan serta penghayatan akan
bacaan. Antara mantera yang turut diperbolehkan dan tidak melanggar syarak Islam adalah seperti
berikut :
“bismillahirahman nirrahim
dengan berkat izinmu
mengalirlah kersani dalam tubuhku
menjadi sasa si besi kuningan
dengan urutan berkat doa
la'illaha illaha muhammadur rasul allah”

Syarat Penggunaan Mantera

Secara asasnya, kepercayaan terhadap Mantera ataupun puisi sihir telah hadir sebelum kemasukan
Islam ke perairan Nusantara pada abad ke-15. Menurut tafsiran Worawit Baru@Haji Ahmad Idris (2005),
mantera ialah “Bahasa magik yang digunakan untuk memuja roh atau semangat, untuk mengubati
penyakit dan sebagainya. Kemudian kepercayaan ini diperkukuhkan pula oleh kosmologi panteistik
pengaruh Hinduisme”.

Mantera sebenarnya masih dapat digunakan sekiranya ia menepati tiga syarat utama, iaitu :

Pertama, menggunakan pembacaan ayat-ayat al-Quran dan as-Sunnah atau ruqyah


dalam bahasa Arab yang diketahui maknanya tidak bertentangan dengan syarak.

Kedua, boleh menggunakan bacaan selain daripada yang pertama, dengan apa jua
bahasa, tetapi mestilah difahami maknanya dan tidak ada sebarang percanggahan
dengan syarak.

Ketiga, hendaklah yang merawat mengiktikadkan bahawa penyembuh sebenarnya


adalah Allah s.w.t sahaja. Pengubat hanyalah berikhtiar.

Pandangan segenap lapisan masyarakat bahawa mantera (yang menepati ketiga-tiga syarat
yang ditetapkan) adalah bertentangan dengan ajaran Islam adalah salah. Hal tersebut dapat diperhatikan
dalam firman Allah s.w.t :

“Dan kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran, ayat-ayat suci yang menjadi
ubat penawar dan rahmat kepadanya; dan al-Quran tidak menambah kepada orang-
orang yang zalim melainkan kerugian jua.” (Surah al-Isra’, ayat ke-82)

Mantera diperbolehkan dengan syarat pengamal mantera tersebut memahami inti mantera
tersebut dan dapat memastikan bahawa doa yang digunakan tidak menduakan Allah s.w.t serta
terpesong dari kiblat Islam. Apatah lagi, sebuah hadith sahih turut menyentuh tentang kehadiran jampi
untuk menyembuhkan penyakit sebagaimana yang dapat diperhatikan seperti berikut :

“ Wahai Muhammad, aku jampikan kamu, Allahlah yang akan menyembuhkan kamu.
Semua penyakit yang kamu derita daripada kejahatan hasad manusia dan sihir manusia,
Allah menyembuhkan kamu.”

Jampi yang dibacakan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad s.a.w sewaktu beliau dalam
keadaan sakit seterusnya dikenali sebagai Ruqyah Jibril. Sebuah hadith daripada Aisha r.a turut
menjelaskan, “Tidak ada seorang sahabat yang mengadu kepada Nabi kerana kesakitan melainkan Nabi
menjampi mereka dengan beberapa jampi.”

Amalan perubatan dengan menggunakan doa ataupun bacaan ayat sememangnya merupakan
salah satu daripada cabang rawatan yang diakui syarak sebagai amalan mulia. Apatah lagi kalau kaedah
yang digunakan bertujuan untuk membantu golongan yang memerlukan.
Kesimpulan

Pendekatan menggunakan mantera bagi mengubatkan seseorang tidak semestinya salah dari tuntutan
agama Islam. Namun begitu, pengamal mantera bertanggungjawab atas mantera gunaannya dalam
memastikan bahawa mantera tersebut tidak melanggar sebarang hukum syarak Islam, khususnya dalam
kecenderungan mantera untuk meminta pertolongan daripada makhluk selain Allah s.w.t. Keupayaan dan
keberkesanan mantera untuk mengubati sebarang penyakit hanya dapat mengambil tempat dengan izin
Allah s.w.t. Pengguna harus menyedari bahawa mereka sebenarnya sedang meminta pertolongan
tersebut daripadaNya.

Malahan, pengguna mantera turut bertanggungjawab untuk menggunakannya demi kebaikan


masyarakat bersama seperti yang disabdakan rasul sewaktu beliau ditanyakan tentang ruqyah. Baginda
bersabda, “barang siapa di antara kalian bisa memberikan manfaat untuk saudaranya, maka lakukanlah.”
(Riwayat Muslim). Mantera diperbolehkan asal ia tidak mempunyai sebarang unsur syirik sebagaimana
yang tertulis dalam Hadith Riwayat Muslim. Menurutnya, Nabi pernah bersabda, “Tidak mengapa
melakukan ruqyah selagi tidak ada unsur syirik.” Rumusannya, mantera Melayu wajar diajarkan kepada
generasi muda yang akan datang demi memartabatkan serta memastikan agar budaya tersebut tidak
hilang dek zaman. Namun begitu, sesuai dengan ungkapan adat bersendikan syarak, syarak
bersendikan kitabullah, masyarakat Melayu harus bijak untuk mengeluarkan unsur-unsur yang
bercanggah dengan agama Islam dan membudayakan agama Islam ke dalam kehidupan seharian
mereka.

Bibliografi

Abu Umar Abdillah. 2006. Dukun Hitam Dukun Putih. Klaten : Wafa Press.

Mohd. Taib Osman. 1989. Agama dan kepercayaan orang Melayu. In Masyarakat Melayu : Struktur,
Organisasi dan Manifestasi (pp. 146-203). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

________________. 1985. Islamization of the Malays : a transformation of culture. Singapore: Institute of


South-east Asian Studies.

Muhammad Ariff Ahmad. 1993. Bicara Tentang Adat dan Tradisi. Singapura: Pustaka Nasional.

Muhammad Jailani Bin Abu Talib. 2009. Budaya Melayu dalam Era Sarwajagat. In A. G. Abdullah,
Dewan
Budaya, Februari. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Norazit Selat. (2000). Adat Melayu : Kesinambungan dan Perubahan. Dlm Abdul Latiff Abu Bakar, Adat
Melayu Serumpun (ms. 87-98). Melaka: Perbadanan Muzium Melaka.

Skeat, W. W. 1900. Malay Magic : Being an Introduction to the Folklore and Popular Religion of the Malay
Peninsula. London: Macmillain.

Sweetenham, F. 1895. The Real Malay. London: The Ballantyne Press.

Syed Alwi bin Sheikh Al-Hadi. 1960. Adat Resam Melayu dan Adat Istiadat. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Syed Muhammad Naguib Al-Attas. 1972. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur:
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tjaroko HP Teguh Pranoto. 2007. Semar, Ajaran hidup, tuntutan luhur, piwulan agung. Indonesia : Kuntul
Press.

Worawit Baru@Haji Ahmad Idris. 2005. Pemikiran Melayu : Tradisi dan Kesinambungan. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Yusmar Yusur. 2006. Melayu Juwita, Renjis Riau Sebingkai Perisa. Indonesia : Wedatama Widya Sastra.

You might also like