You are on page 1of 14

BAB 1

PENDAHULUAN

1.1 PENGENALAN

Dalam menuju era globalisasi, sistem pendidikan di negara kita dijangkakan akan mengalami perkembangan yang pesat. Malah, pada masa kini juga sistem pendidikan telah banyak berlaku perubahan membawa kepada matlamat dan objektif yang jelas. Di samping itu, perkembangan pesat juga berlaku di seluruh dunia tidak kira sama ada di negara maju atau negara sedang membangun. Ini memberi gambaran bahawa pendidikan tidak lagi berkisar hanya memberikan pengetahuan asas kepada para murid tetapi mestilah boleh melahirkan insan yang berilmu pengetahuan dan mempunyai pelbagai kemahiran bagi menghadapi cabaran di abad ini. Selaras dengan perkembangan ini, institusi pendidikan di Malaysia berusaha keras untuk melonjakkan sistem pendidikan di suatu tahap yang tinggi. Kejayaan dan kecemerlangan sesebuah sekolah bergantung kepada keberkesan kepimpinan di mana pengetua merupakan tunjang utama dalam memacu kegemilangan sekolah yang ditadbir.

Menurut Jazmi Md Isa (2009), kejayaan sesebuah sekolah adalah berkait rapat dengan gaya kepemimpinan yang kebijaksanaan pemimpin untuk mengadun gaya yang pelbagai dalam menghasilkan gaya kepimpinan yang bersesuaian dengan situasi di sesebuah sekolah itu. Ishak Sin (2001) menyatakan kepemimpinan ialah keupayaan seseorang mempengaruhi orang lain supaya melaksanakan kerja dengan penuh kerelaan untuk mencapai matlamat organisasi. Manakala Lokman Mohd Tahir & Robiah Sidin (2008) menyatakan kepimpinan yang berkualiti perlu diamal oleh pengetua kerana proses kepemimpinan adalah penentu kepada kecemerlangan sekolah

(Lokman Mohd Tahir & Robiah Sidin, 2008; Fiedler dan Chemers, 1974; Abd Syukur , 1988; Alimuddin, 2006Hussein Mahmood, 2005 dalam Habib Ismail dan Zaimah Ramli, 2012).

Kementerian

Pelajaran

Malaysia

telah

menyatakan

hasratnya

untuk

menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan berkualiti di rantau Asia Tenggara dan untuk merealisasikan matlamat itu, kepemimpinan pengetua dianggap sebagai teras utama kepada pembangunan pendidikan berkualiti iaitu merujuk kepada

kecemerlangan pengurusan dan kepemimpinan pendidikan (Lokman Mohd Tahir & Robiah Sidin, 2008). Kepemimpinan sekolah merupakan elemen kritikal dalam peningkatan dan pembaharuan sekolah (Thomas, 1997; Musa Sulaiman; 2000). Oleh itu, nadi utama kepada kepemimpinan berkesan ialah pengetua yang mentadbir sekolah itu. Peranan pengetua adalah amat penting di mana dia merupakan orang yang menentukan arah tuju sekolah, menyediakan garis panduan dan bimbingan,

menjelaskan peranan dan prosedur kerja, memotivasi dan memberi inspirasi kepada para guru dan para murid, menyediakan sumber dan sokongan serta menilai dan mengambil tindakan susulan serta melakukan perubahan yang diperlukan oleh sekolah (Sergiovanni, 2001; Ubben, Hughes & Noris, 2001, Bush, 2003; Middlewood, 2005). Justeru itu, para pengetua dikehendaki mengamalkan gaya kepemimpinan yang dapat diterima oleh oleh majoriti kakitangan sebagai anjakan ke arah kecemerlangan. Kepemimpinan sekolah masa kini perlu berubah atau diperbaharui untuk memastikan sekolah mengalami perubahan yang berterusan (Habib Ismail dan Zaimah Ramli, 2012).

Pemimpin merupakan agen perubahan dalam sesebuah organisasi (Conger & Kanungo 1988) di mana pemimpin berperanan penting dalam menyatupadukan keseluruhan organisasi untuk mencapai matlamat organisasi. Kejayaan sesebuah

sekolah bergantung kepada corak kepemimpinan yang diamalkan oleh pemimpin sekolah itu (Hussein Mahmood 2005; Mortimore 1997). Asas kepada

penambahbaikan sekolah yang berterusan adalah melalui kepemimpinan yang berkesan (Mujis & Harris 2007; Simkins, Sisum & Muhammad Memon 2003). Namun, peranan pemimpin juga tidak terhad kepada mencapai matlamat organisasi tetapi peranannya juga meliputi tugas menyediakan persekitaran yang mempunyai kolaborasi antara ahli-ahlinya dalam mencapai matlamat organisasi serta

pembaharuan yang dilaksanakan (Najjar 1999; Aziah & Abdul Ghani Kanesan 2008). Seluruh komuniti sekolah merupakan faktor penyumbang kepada kecemerlangan sesebuah sekolah dan bukan terletak kepada peranan pengetua sahaja (Abdul Shukor 2004). Pada dasarnya, kepimpinan sekolah diterajui oleh kumpulan pentadbir iaitu Pengetua, Penolong Kanan Akademik, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Penolong Kanan Petang, Penolong Kanan Ko-kurikulum dan para Guru Kanan Matapelajaran. Namun demikian, kepemimpinan sekolah masa kini perlu berubah untuk memastikan sekolah mengalami perubahan yang berterusan di mana budaya kepemimpinan sekolah daripada model hieraki atas-bawah kepada struktur yang lebih mendatar yang meibatkan semua komuniti terutama guru-guru yang berkhidmat di sekolah perlu diperluaskan. Hal ini demikian, guru-guru memainkan peranan utama dalam menentukan kejayaan para pelajarnya. Lambert (1998) menyatakan bahawa penyertaan yang berterusan daripada guru-guru yang kompeten mewujudkan sekolah yang berkesan. Kompeten yang dimaksudkan ialah berkemahiran dalam kerja kepimpinan, peranan dan tanggungjawab, menunjukkan penglibatan dan kerjasama, serta menjadi inquiry base untuk membuat keputusan sekolah dan bilik darjah dan fokus yang membawa kepada pencapaian pelajar yang cemerlang dalam akademik, bukan akademik dan disiplin (Aziah & Abdul Ghani Kanesan 2008). Ini bertepatan dengan pendapat Aminudin (1990) yang mendapati bahawa hubungan positif antara pengetua dengan guru-guru telah memberi impak yang besar kepada prestasi dan komitmen guru di sesebuah sekolah.

1.2 LATAR BELAKANG KAJIAN

Peranan pengetua sebagai pemimpin sekolah memerlukan komitmen yang tinggi kerana fungsi sekolah pada masa kini adalah amat besar dan mencabar. Pengetua dilihat sebagai personaliti yang bertanggungjawab untuk mewujudkan kemajuan dan diharapkan mampu membawa pelbagai perubahan dan kecemerlangan sekolah (Raziah Mansor dan Ahmad Esa, 2009).

Justeru itu, perubahan yang berlaku dalam pendidikan memerlukan kepemimpinan sekolah yang bertanggungjawab untuk mempengaruhi guru

menerapkan amalan pendidikan yang lebih baik dengan meningkatkan kolaborasi dalam kalangan warga kerja untuk mengharungi perubahan-perubahan ke arah

mencapai status sekolah berkesan. Rahimah Ahmad (2005) menyatakan bahawa sekolah merupakan agen yang penting dalam pembinaan generasi masa depan. Selain itu, kejayaan sesebuah sekolah bergantung kepada corak kepimpinan yang berkesan yang diamalkan di sesebuah sekolah itu (Hussein Mahmood, 2005; Fiedler dan Chemers, 1974; Abd Syukur , 1988; Alimuddin, 2006). Kepemimpinan yang berkesan adalah asas kepada penambahbaikan sekolah yang berterusan (Mujis dan Haris, 2007; Abdul Ghani dan Anandan, 2009). Oleh itu, kepemimpinan sekolah perlu berubah untuk memastikan sekolah mengalami perubahan yang berterusan (Abdul Aziz Yusof, 2000; Habib Ismail dan Zaimah Ramli, 2012).

Terdapat enam kategori kepemimpinan yang utama iaitu kepemimpinan pengajaran, kepemimpinan transformasi, kepemimpinan moral, kepemimpinan penyertaan, kepemimpinan pengurusan dan kepemimpinan kotigensi (Leithwood dan Jantzi (1990). Namun, sekolah mengalami cabaran penstrukturan sumula dan persekitaran yang tidak menentu dalam bidang pendidikan telah menyebabkan berlakunya perubahan kepimpinan sekolah daripada kepemimpinan pengajaran kepada kepemimpinan transformasi (Leithwood dan Jantzi, 2000).

Manakala gaya kepemimpinan pengetua juga boleh dilihat dari sudut pandangan teori gelagat berdasarkan kajian Ohio State, kajian Universiti Michingan dan grid pengurusan. Kajian Ohio State melihat gaya kepemimpinan pengetua dari dua dimensi berstruktur dan dimensi bertimbang rasa. Kajian Universiti Michingan melihat gaya kepemimpinan pengetua dari segi kepimpinan berorientasikan manusia di mana pekerja dan kepemimpinan berorientasikan pengeluaran-tugas. Grid pengurusan yang dilakukan oleh Robert Blake and Jane Mouton member penekanan kepada manusia dan penekanan kepada pengeluaran.

Selain itu, gaya kepemimpinan yang berteraskan teori kotigensi boleh dilihat dari Model Fiedler, Julat Kepimpinan Tannenbaum dan Schmidth, Teori Situasi Hersey-Blanchard, Teori Laluan Matlamat dan Model Pemimpin-Penyertaan.Owens (1970) telah membahagikan gaya kepemimpinan kepada lima iaitu autokratik, demokratik, laissez-faire, birokratik dan karismatik.

Teori gaya kepemimpinan transformasional pula diperkenalkan oleh Bass (1985) berdasarkan kepemimpinan karismatik House (1977) dan teori kepemimpinan transformasi Burns (1978). Menurut Burns (1978), terdapat dua jenis kepemimpinan asas iaitu kepemimpinan transformasional dan transaksional. Burns (1978) menyatakan bahawa kepemimpinan transformasional ialah keupayaan seseorang individu melihat, mengiktiraf dan mengeksploitasi keperluan dan kehendak pengikutnya. Kepemimpinan transaksional merujuk kepada hubungan penukaran ganjaran antara pemimpin dengan individu.

Pengetua sebagai pemimpin sekolah seharusnya berusaha memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap pelbagai perkara terutamanya yang melibatkan aspek kepuasan kerja kerana faktor komitmen guru adalah penting untuk mempertingkatkan lagi mutu pendidikan dan kejayaan sekolah. Pengetua sepatutnya member yang terbaik kepada orang bawahannya khususnya guru-guru. Gaya kepimpinan guru besar yang berhubung kait dengan kepuasan kerja guru perlu dikaji supaya mampu menghasilkan beberapa tindakan susulan mengenai keberkesanan kepemimpinan merekan. Ini kerana kecemerlangan murid dalam pelbagai segi sama ada kurikulum atau kokurikulum banyak bergantung kepada faktor kepuasan kerja guru.

1.3 PENYATAAN MASALAH

Prestasi seseorang pemimpin bergantung kepada kepemimpinan yang berkesan. Para penyelidik membuat andaian bahawa kepemimpinan yang berkesan bergantung kepada gaya kepimpinan yang diamalkan. Pengurusan dan kepemimpinan pengetua adalah faktor utama yang menentukan keberkesanan sekolah serta menentukan jatuh bangun sekolah tersebut (Abdul Shukor, 2004). Peranan pengetua juga semakin mencabar untuk menguruskan perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan pada masa kini dan memerlukan kecekapan dalam selok-belok pengurusan yang rencam untuk menggerakkan sekolah mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Kepemimpinan yang berkesan boleh melahirkan kerja-kerja yang bermotivasi, di mana usaha bagi mencapai tujuan bersama dan bukan menjatuhkan satu sama lain daripada menjadi amalan.

Para penyelidik membuat andaian bahawa kepemimpinan yang baik bergantung kepada gaya kepimpinan yang diamalkan. Sebagai seorang ketua dalam sebuah organisasi, pengetua perlu mempunyai gaya kepemimpinan yang mampu membawa warga sekolahnya ke arah mencapai matlamat yang telah dibina. Gaya kepemimpinan pengetua yang baik akan menjadikan warga sekolah melaksanakan bidang tugas masing-masing dengan penuh dedikasi (Tinah, 2007). Keadaan ini boleh dicapai jika pengetua mempunyai gaya kepimpinan yang dapat memenuhi kepuasan kerja guru-guru.

Abdul Ghani Abdullah (2005) di dalam kajiannya menegaskan bahawa pengamalan gaya kepemimpinan transformasional oleh pengetua berkeupayaan meningkatkan prestasi guru dan sikap guru dalam memberi komitmen terhadap tugasan yang diberi. Dapatan kajian ini mendokong dapatan kajian yang dilakukan oleh Zainal Abidin Che Omar (1997) dan Khalid Ashari (1997).

Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti gaya kepemimpinan transformasional yang diamalkan oleh pengetua berdasarkan persepsi guru dan hubungannya terhadap kepuasan kerja guru di sekolah berprestasi tinggi (SBT).

1.4 TUJUAN KAJIAN

Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti tahap gaya kepemimpinan transformasional yang diamalkan oleh pengetua di sekolah menengah berprestasi tinggi (SBT) berdasarkan persepsi guru-guru dan kepuasan kerja guru berdasarkan gaya kepemimpinan yang diamalkan oleh pengetua. Selain itu, kajian ini juga bertujuan untuk mengenalpasti tahap amalan gaya kepemimpinan transformasional pengetua mengikut dimensi karisma, stimulus intelek, pertimbangan individu dan motivasi berinspirasi. Di samping itu, kajian ini juga bertujuan untuk mengenalpasti tahap kepuasan kerja guru dan hubungan antara gaya kepemimpinan transformasional mengikut empat dimensi dengan kepuasan kerja guru di sekolah menengah berprestasi tinggi (SBT).

1.5 OBJEKTIF KAJIAN

Objektif kajian ini ialah untuk:

1. mengenalpasti tahap amalan gaya kepemimpinan transformasional pengetua di sekolah menengah berprestasi tinggi (SBT) mengikut dimensi karisma, stimulus intelek, pertimbangan individu dan motivasi berinspirasi. 2. mengenalpasti tahap kepuasan kerja guru di sekolah menengah berprestasi tinggi (SBT). 3. mengenalpasti sama ada terdapat hubungan yang signifikan di antara gaya kepemimpinan transformasional pengetua berdasarkan dimensi karisma,

stimulus intelek, pertimbangan individu dan motivasi berinspirasi dengan kepuasan kerja guru di sekolah menengah berprestasi tinggi (SBT).

1.6 PERSOALAN KAJIAN

Berdasarkan objektif kajian yang dinyatakan, persoalan-persoalan kajian adalah seperti berikut:

1. Sejauhmanakah tahap amalan gaya kepemimpinan transformasional pengetua di sekolah menengah berprestasi tinggi (SBT) mengikut dimensi karisma, stimulus intelek, pertimbangan individu dan motivasi berinspirasi? 2. Apakah tahap kepuasan kerja guru di sekolah menengah berprestasi tinggi (SBT)? 3. Adakah terdapat hubungan yang signifikan di antara gaya kepemimpinan transformasional pengetua berdasarkan dimensi karisma, stimulus intelek, pertimbangan individu dan motivasi berinspirasi dengan kepuasan kerja guru di sekolah menengah berprestasi tinggi (SBT)?

1.7 HIPOTESIS

Ho1

: Tidak terdapat perbezaan yang signifikan subskala-subskala gaya kepemimpinan transformasional pengetua dengan kepuasan kerja guru di sekolah menengah berprestasi tinggi.

Ho2

: Tidak terdapat perbezaan yang signifikan subskala-subskala gaya kepemimpinan transformasional pengetua dengan usaha kerja guru di sekolah menengah berprestasi tinggi.

Ho3

: Tidak terdapat perbezaan yang signifikan subskala-subskala gaya kepemimpinan transformasional pengetua dengan keefektifan kerja guru di sekolah menengah berprestasi tinggi.

1.8 KEPENTINGAN KAJIAN

Kajian ini dilakukan sebagai usaha untuk membantu pihak-pihak tertentu dalam menangani masalah yang berkaitan dengan kepemimpinan pengetua. Dapatan kajian ini diharap dapat meningkatkan pengatahuan para pengetua berhubung dengan gaya kepimpinan yang sesuai untuk diamalkan dan yang berkaitan dengan kepuasan kerja guru. Selain itu, hasil kajian ini juga akan dapat membantu pengetua selaku pemimpin di sekolah membuat refleksi kendiri di mana pengetua boleh bertindak untuk melaksanakan tanggungjawabnya dalam situasi yang harmoni agar kepimpinannya menuju kea rah orientasi tugas tetapi dalam masa yang sama guru-guru dapat menjalankan tugas dengan komitmen yang tinggi.

Pengetahuan mengenai gaya kepimpinan gaya kepimpinan diharap dapat memberi alternatif kepada para pengetua untuk mempertingkatkan keberkesanan kepimpinannya. Penyelidikan ini juga diharap dapat menjadi panduan kepada penyelidik-penyelidik lain yang menunjukkan minat menjalankan kajian mengenai gaya suatu kepemimpinan.

1.8 BATASAN KAJIAN

Kajian ini dijalankan ke atas guru yang mengajar di lima buah sekolah menengah berprestasi tinggi (SBT) di Negeri Sembilan. Skop kajian hanya meninjau gaya kepemimpinan pengetua di sekolah tersebut sama ada mereka mengamalkan atau tidak mengamalkan gaya kepemimpinan transformasional. Tahap kepuasan kerja guru

pula ditinjau berdasarkan gaya kepimpinan pengetua dari satu jenis gaya kepemimpinan. Selain itu, pemilihan kaedah pengumpulan data yang terhad mengakibatkan penyelidikan ini bergantung sepenuhnya kepada jawapan yang diberikan oleh responden dari borang soal selidik. Kajian ini juga hanya menghubungkaitkan kepemimpinan dengan kepuasa kerja daripada persepsi guru-guru sendiri. Kesibukan guru-guru untuk menyelesaikan komitmen-komitmen kerja di sekolah selain dari menumpukan perhatian kepada proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) menyebabkan mereka mempunyai kecenderungan menjawab item-item dalam borang soal selidik secara terburu-buru. Kajian ini hanya melibatkan sebahagian guru daripada dua buah sekolah menengah berprestasi tinggi (SBT) tidak dapat menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku di dalam seluruh sistem pendidikan di Malaysia.

1.9 SKOP KAJIAN

Skop kajian ini menjurus kepada pengetua dan guru-guru di lima buah sekolah menengah berprestasi tinggi (SBT). Selain itu, skop kajian yang tertumpu kepada pengetua dan guru-guru di sekolah berprestasi tinggi (SBT) kerana kajian ini berfokuskan persepsi guru-guru mengenai gaya kepemimpinan transformasional pengetua dan sejauhmanakah tahap kepuasan kerja guru berdasarkan gaya kepemimpinan yang diamalkan oleh pengetua.

1.10 DEFINISI OPERASI

Definisi-definisi yang dikemukakan di dalam kajian ini bertujuan untuk memberi gambaran yang lebih jelas bagi sesuatu istilah serta mengelakkan kekeliruan. Definisidefinisi yang diberikan adalah menjurus kepada konteks kajian ini.

1.10.1 Gaya Kepemimpinan Transformasional

Kepemimpinan transformasi ialah satu set kemampuan pemimpin yang membolehkan mereka mengesan keperluan untuk melakukan perubahan, mencipta wawasan, komitmen terhadap wawasan, membimbing perubahan itu dan seterusnya

melaksanakan perubahan dengan cekap (Abdul Kudus, 2000 di dalam Jazmi Md Isa, 2009).

Gaya kepemimpinan transformasional merujuk kepada tingkah laku pemimpin yang karismatik dan mempunyai peranan utama dan strategi dalam membawa organisasi mencapai tujuannya. Pemimpin yang mengamalkan gaya kepemimpinan

transformasional juga mempunyai kemampuan untuk menyamakan visi masa depan dengan bawahannya, serta meningkatkan keperluan bawahan pada tahap yang lebih tinggi daripada apa yang mereka perlukan. Pemimpin transformasional harus mampu memujuk orang bawahannya melakukan tugas-tugas mereka melebihi kepentingan mereka sendiri demi kepentingan organisasi yang lebih besar (Abdullah Sani Yahya, Abdul Rashid Mohamed dan Abdul Ghani Abdullah (2007) di dalam Abdul Ghani Abdullah dan K. Anandan (2009). Pemimpin transformasional juga akan berusaha mengartikulasikan visi masa depan organisasi yang realistik, menstimulasi orang bawahan dengan cara yang intelektual, dan menaruh parhatian pada perbezaan yang dimiliki oleh bawahannya (Bass dan Avolio, 1994; Daryanto, 2005; Zaidatol Akmaliah Lope Pihie dan Foo Say Fooi, 2003; Abdul Kudus, 2000; Jazmi Mad Isa, 2009).

Dalam kajian ini, kepemimpinan transformasional yang dikaji adalah berdasarkan subskala-subskala berikut:

a) Karisma - Pemimpin membentuk wawasan, misi, matlamat, keyakinan tinggi meningkatkan rasa optimis, identifikasi dan emosi yang kuat di kalangan subordinat. b) Stimulus intelek Pemimpin mempengaruhi subordinat untuk melihat masalah dengan perspektif baru yang menumpu kepada penyelesaian masalah dan penaakulan. c) Pertimbangan individu Pemimpin mengambil berat tentang cirri-ciri kemanusiaan subordinat. Pemimpin juga mengaggap setiap subordinat sebagai seorang individu. d) Motivasi berinspirasi Pemimpin mengkomunikasikan wawasan dan menjadikan tingkahlaku yang sesuai sebagai model.

1.10.2 Pengetua

Pengetua ialah individu yang bertanggungjawab dalam melaksanakan tindakan, menentukan matlamat dan proses menggerakkan anggota bagi memastikan operasi harian di sekolah dapat berjalan dengan lancar dan berkesan (Azlin Norhaini, 2004). Menurut Jemaah Nazir Sekolah-Sekolah Persekutuan (1993), pengetua sekolah merupakan kakitangan yang terpenting di peringkat sekolah kerana peranannya sebagai pemimpin, pentadbir dan pengurus sekolah.

Dalam kajian ini, pengetua dirujuk sebagai ketua dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah di mana pengetua mempunyai cara yang tersendiri untuk menentukan hala tuju dan matlamat sekolah. Cara dan gaya pengetua mentadbir dan mengurus sekolah berkait secara langsung dengan semua guru. Oleh itu, guru mempunyai pandangan dan persepsi tersendiri tentang gaya kepimpinan ditunjukkan oleh pengetua. yang

1.10.3 Kepuasan Kerja Guru

Kepuasan kerja

merupakan salah satu elemen khusus dan penting dalam aspek

seseorang individu terhadap kerjayanya (Raziah Mansor dan Ahmad Esa, 2009). Definisi kepuasan kerja ialah perasaan dan kerelaan seseorang itu dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan tanpa rungutan dan rasa tidak selesa semasa menjalankan tugasan yang diberikan. Menurut Ibrahim Mamat (1998) dan Ramiah (1999) menyatakan kepuasan kerja merujuk kepada keadaan emosi yang menyenangkan dan menggembirakan hasil daripada tafsiran guru terhadap pekerjaannya yang menyenangkan dan berjaya.

Kepuasan kerja merupakan satu tindak balas emosi atau perasaan suka atau tidak seseorang pekerja terhadap sesuatu kerja (Ishak Mad Shah, 2006). Dalam kajian ini istilah kepuasan kerja akan digunakan. Ia merujuk kepada tahap kepuasan yang dimiliki oleh seseorang guru terhadap gaya kepimpinan yang ditunjukkan oleh pengetua. Kadar tahap kepuasan yang dimiliki oleh guru adalah berbeza walaupun pada pengetua yang sama.

1.10.4 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT)

Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) merujuk kepada konteks kajian ini ialah sekolah yang mempunyai etos, watak, identiti tersendiri dan unik serta menyerlah dalam semua aspek pendidikan. Sekolah ini mempunyai tradisi budaya kerja yang sangat tinggi dan cemerlang dengan modal insan nasional yang berkembang secara holistik dan berterusan serta mampu berdaya saing di persada antarabangsa dan menjadi sekolah pilihan utama (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2010).

Selain itu, sekolah berprestasi tinggi (SBT) merupakan model kecemerlangan pendidikan di Malaysia yang boleh diteladani oleh sekolah-sekolah lain di seluruh Negara demi memastikan pencapaian kualiti yang tinggi dalam bidang pendidikan. Antara ciri-ciri sekolah berprestasi tinggi yang ditetapkan oleh KPM seperti mempunyai kepimpinan pengetua yang dinamis dan berkesan, pengurusan kurikulum yang tersusun, pemantauan ataupun penyeliaan yang baik dan lain-lain lagi. Ini merupakan di antara elemen-elemen yang perlu ada bagi sesebuah sekolah yang dianggap sebagai berprestasi tinggi. 1.11 KERANGKA KONSEPTUAL

Kajian ini dijalankan berdasarkan kerangka yang ditunjukkan dalam Rajah 1.1. Kajian kepimpinan transformasional dikaji berdasarkan amalan-amalan dimensi karisma, stimulus intelek, pertimbangan individu dan motivasi berinspirasi. Pengetua sebagai subjek kajian akan dikaji melalui persepsi guru terhadap amalan kepemimpinan transformasional yang diamalkan. Amalan kepimpinan transformasi yang dikaji adalah berasaskan kepada model Burns (1978) dan Bass (1985) serta Slocum dan Hellriegel (2007).

Pembolehubah Bebas

Pembolehubah Bersandar

Pembolehubah Bersandar

Pengetua Akademik Pengalaman Jenis sekolah

Amalan Kepimpinan Transformasional Pengetua Karisma Stimulus Intelek Pertimbangan Individu Motivasi Berinspirasi

Kepuasan Kerja Guru Usaha Efektif Kepuasan kerja

Rajah 1.2: Kerangka Konseptual yang diadaptasi daripada Model Burns (1978), Bass (1985) dan Slocum dan Hellriegel (2007)

1.12 PENUTUP

Kajian tentang gaya kepemimpinan transformasional pengetua dan kepuasan kerja guru perlu dilakukan bagi mengenalpasti tahap amalan gaya kepemimpinan tersebut dan kepuasan kerja mereka. Guru-guru yang berpuas hati dengan gaya kepimpinan yang ditunjukkan oleh pengetua akan sekaligus meningkatkan kepuasan kerja mereka terhadap tugasan yang diberikan.

Di samping itu, kualiti dan komitmen kerja guru dari segi pembelajaran dan pengajaran (PdP), kurikulum dan kokurikulum dapat dipertingkatkan yang secara langsung dapat meningkatkan pencapaian murid secara menyeluruh. Ini secara tidak langsung akan mengekalkan guru-guru kepada sesuatu tempat dan organisasi.

You might also like