You are on page 1of 4

AKTIVITI 3 : JURNAL REFLEKTIF (T1A3)

Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan rahmatNya, saya telah berjaya mengakhiri dan menyiapkan tugasan bagi subjek Perkembangan Profesionalisme Keguruan (HBEF2803). Sekali lagi, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang setingginya kepada semua pihak yang terlibat termasuklah pensyarah dan rakan-rakan yang banyak memberi bantuan, tunjuk ajar serta teguran sepanjang tugasan ini dilaksanakan. Saya sedar, tanpa kehadiran semua tidak mungkin saya dapat menyiapkan tugasan saya dengan baik. Berdasarkan soalan tugasan yang diberikan, saya dikehendaki menyediakan satu penulisan esei yang berkaitan dengan adat resam perkahwinan bagi kaum yang dipilih. Oleh itu, saya membuat keputusan untuk membuat pembacaan mengenai adat resam perkahwinan kaum India. Hal ini kerana kaum India terkenal dengan adat resam yang pelbagai dan menarik. Bagi menyediakan penulisan esei ini, saya perlu mencari maklumat daripada pelbagai sumber termasuklah daripada laman sesawang, jurnal serta buku berkaitan. Kemodenan pada masa kini menyebabkan semua maklumat berada di hujung jari, namun begitu, sumber utamanya perlu diketahui dengan jelas supaya tidak berlaku penyelewengan ataupun kesalahfahaman. Oleh itu, saya lebih banyak merujuk buku berbanding laman sesawang. Melalui penulisan esei ini secara tidak langsung saya dapat meningkatkan kemahiran saya dalam mengguna serta menyusun bahasa serta ayat yang betul dan tepat. Namun begitu, pembacaan meluas ini menambah pengetahuan saya mengenai adat resam perkahwinan yang diamalkan oleh kaum India. Antara maklumat yang saya perolehi termasuklah kaedah pelaksanaaan perkahwinan dalam masyarakat India. Ianya terdiri daripada persediaan sebelum upacara majlis yang terdiri daripada adat merisik, bertunang, menetapkan tarikh dan seterusnya ketibaan pengantin lelaki di rumah pengantin perempuan pada hari perkahwinan.

Selain itu, saya turut mempelajari mengenai makanan, pakaian serta pantang larang yang dijadikan sempadan bagi kaum India bagi melaksanakan dan melancarkan sesebuah majlis perkahwinan. Walaupun ada sesetengah kelihatan remeh, namun ianya menjadi pegangan teguh sejak turun temurun bagi kaum India. Melalui penulisan esei ini juga, saya mendapati bahawa saya masih lagi kurang pengetahuan mengenai adat resam yang terdapat di negara majmuk ini. Sedikit demi sedikit pengetahuan baru dapat saya perolehi sepanjang proses menyiapkan penulisan esei ini. Selain itu, pengetahuan-pengetahuan baru ini banyak memberi saya impak baru yang mana mampu membuatkan saya berfikir sejenak. Hal ini juga menyedarkan saya bahawa seorang guru wajib mempunyai pengetahuan yang luas dalam menghadapi peranan sebagai pendidik dan juga pengajar. Setiap perbezaan yang wujud dalam kalangan kaum yang terdapat di Malaysia wajib diketahui oleh semua guru supaya guru tahu dan peka dengan setiap adat resam ataupun budaya yang diamalkan oleh murid pelbagai kaum. Malah, penulisan esei hendaklah disediakan dalam bentuk penulisan kertas kerja. Walaupun kertas cadangan merupakan salah satu dokumen yang kerap kali disediakan, namun perancangan yang teliti amatlah diperlukan supaya penulisan disediakan mengikut format yang betul. Bagi tugasan 2 pula, saya dikehendaki mengadakan lawatan ke majlis perkahwinan kaum India dan seterusnya membuat rakaman melalui video ataupun gambar mengenai suasana sambutan sebenar majlis perkahwinan tersebut. Saya tidak berkesempatan mengunjungi majlis perkahwinan berkenaan yang telah diadakan pada cuti persekolahan yang lepas. Namun saya berpeluang untuk menyaksikan keseluruhan proses bagi perkahwinan kedua mempelai dalam majlis tersebut dari rakaman video rakan sekuliah. Dari rakaman video tersebut saya mendapat suatu pengalaman baru dalam hidup saya apabila saya dapat mengetahui dengan lebih dekat lagi setiap perihal yang berlaku dalam adat resam perkahwinan kaum India. Ianya bermula dengan pengantin lelaki, diikuti pengantin perempuan serta perjumpaan dengan sami bagi memulakan upacara perkahwinan yang seterusnya. Walaupun majlis ini diadakan di dewan dan tidak dilangsungkan di rumah seperti kebiasaan, namun majlis ini berlangsung dengan meriah dan dihadiri oleh ramai hadirin termasuklah keluarga, rakan terdekat dan juga jiran tetangga. Semua ini satu pengetahuan baru bagi saya. Namun begitu, peristiwa yang betul-

betul memberi makna yang mendalam bagi diri saya ialah ketika mana si suami memakaikan thaali kepada si isteri. Momen ini merupakan detik terindah di mana segala peranan akan tergalas di bahu masing-masing bagi menjayakan rumahtangga yang bakal dibina kekal hingga ke akhirnya. Namun begitu, di majlis perkahwinan ini, saya mendapati beberapa adat resam telah dilakukan dan ianya tidak terdapat dalam pembacaan yang telah saya lakukan. Pertama sekali mengenai kehadiran adik pengantin lelaki mahupun pengantin perempuan dalam permulaan proses perkahwinan ini. Saya sama sekali tidak mengetahui akan hal ini. Hal ini jelas menunjukkan pembacaan yang telah saya lakukan masih tidak mencukupi. Namun begitu, setelah melakukan penambahan pembacaan, saya mendapati proses yang melibatkan adik pengantin lelaki dan perempuan ini tidak dicatatkan dalam kebanyakan penulisan berikutan penumpuan kepada acara-acara yang lebih penting seperti pemakaian thaali dan juga pusingan 7 kali api suci. Malahan, beberapa sumber mengatakan kehadiran adik pengantin ini adalah sebagai pengiring ataupun lebih dikenali dengan pengapit seperti mana dalam adat perkahwinan kaum Melayu. Selain itu, saya juga mendapati beberapa adat resam perkahwinan kaum India ini berubah selaras dengan keperluan semasa di zaman moden ini. Hal ini berkaitan dengan arus kemodenan yang menjalar dalam segenap budaya mahupun adat resam. Namun begitu, arus kemodenan ini sedikitpun tidak menghalang masyarakat Hindu di negara ini mengekalkan adat tradisi perkahwinan mereka tetapi dipermudahkan sesuai dengan peredaran zaman. Hal ini dibuktikan dengan setiap proses yang dilalui sepanjang majlis perkahwinan ini menyamai adat resam perkahwinan yang telah diamalkan sejak dahulu lagi. Kesimpulannya, perkahwinan merupakan suatu ikatan mahupun hubungan yang suci dalam menyatukan lelaki dan wanita dewasa bagi sesuatu kaum dan agama. Ikatan ini membenarkan sepasang suami isteri mempunyai kehidupan berkeluarga yang sah, menjalinkan hubungan seks sebagai suami isteri dan mengatur hak-hak ekonomi di samping merancang masa hadapan bersama-sama. Sesuatu upacara adat resam sesuatu kaum itu akan terus hidup dan berkembang semarak apabila upacara itu dilakukan secara berulang-ulang. Hal ini menyebabkan berlakunya proses pembelajaran bagi memahami sesuatu hukum agama dan adat resam, sama ada secara langsung ataupun secara tidak

langsung. Perkembangan ini akan terus maju ke hadapan melalui liku-liku masa. Kemajuannya yang berlaku secara progresif dan menjadikan sesuatu adat resam itu berubah, semakin berkembang dan bertokok-tambah. Bentuk perubahan itu terjadi menurut perubahan masa, keperluan dan keadaan. Perubahan ini juga bergantung kepada daya fikir masyarakat yang mengamalkannya sejajar dengan pegangan agama, kepercayaan, latar belakang pendidikan yang diterima, latar tempat masyarakat itu berada dan kepada sesuatu keperluan mendatang. Oleh itu, sebagai rakyat di negara majmuk ini, perbezaan adat resam mahupun budaya bagi sesuatu kaum seharusnya tidak dijalankan titik perbezaan. Malahan, sekiranya diimbas kembali, setiap adat resam dari segi perkahwinan, pantang larang mahupun pegang bagi setiap kaum adalah saling mempengaruhi antara satu sama lain. Sebagai mana budaya memakai inai semasa perkahwinan kaum Melayu adalah dipengaruhi oleh budaya kaum India itu sendiri. Oleh itu, perbezaan sebegini sewajarnya dijadikan titik permulaan supaya kita dapat terus membina delegasi masyarakat pelbagai kaum dalam sebuah negara yang semakin maju. Setiap individu memainkan peranan yang penting dalam usaha membina hubungan murni ini. Malahan, menghormati antara satu sama lain adalah faktor utama yang harus dipegang dan dijadikan amalan hidup. Sekiranya setiap kaum boleh menghormati adat resam sesuatu kaum yang lain, maka kehidupan harian akan menjadi lebih bermakna. Hal ini seterusnya dapat membina hubungan yang baik dan mesra antara semua kaum yang terdapat di Malaysia. Akhir kata, sebelum saya mengundur diri, sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pensyarah yang terlibat dan rakan seperjuangan yang banyak membantu dalam melaksanakan tugasan ini. Akhir sekali, saya berharap ilmu-ilmu yang terkandung sepanjang tugasan ini dapatlah dikongsi kepada yang lain agar semua mendapat manfaat yang berguna untuk masa hadapan.

You might also like