You are on page 1of 2

Kemerdekaan negara - Mengekalkannya lebih penting dan sukar

Oleh MOHTAR MOHAMAD

Setiap bangsa di dunia inginkan kebebasan dalam mentadbir negara. Bangsa yang merdeka boleh melaksanakan dasar-dasar dan matlamat yang diimpikan oleh mereka. Bagi negara-negara Islam pula, kemerdekaan membolehkan pemimpin-pemimpin negara melaksanakan dasar-dasar yang boleh membawa keuntungan umat Islam dengan meninggikan syiar agama, melaksanakan programprogram dakwah, menjalankan sistem pendidikan Islam dan sebagainya.

Malaysia telah mencapai kemerdekaan semenjak 46 tahun lalu. Banyak perubahan telah dilakukan di dalam sistem pentadbiran negara dan dasar-dasar pembangunannya. Mencapai kemerdekaan bukanlah berakhirnya suatu perjuangan kerana usaha-usaha untuk mengekalkan kemerdekaan adalah lebih penting dan perlu diperjuangkan dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya, perjuangan untuk mempertahankan kemerdekaan sesebuah negara lebih sukar daripada perjuangan menuntut kemerdekaan.

Banyak negara yang telah merdeka gagal mengekalkan kemerdekaannya disebabkan beberapa faktor seperti tidak ada perpaduan di kalangan rakyat, pemimpinnya tamakkan kuasa dan harta, tidak menumpukan usaha-usaha untuk membasmi kemiskinan, tidak membangunkan prasaranaprasarana yang utama kepada rakyat seperti pendidikan, kemudahan asas, peluang pekerjaan dan sebagainya. Akhirnya, negara menjadi huru-hara dan sekali lagi mengundang penjajah yang terdiri daripada kuasa-kuasa besar untuk menguasai mereka semula.

Rakyat negara Malaysia, khasnya umat Islam perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku kepada negara-negara berkenaan. Kemerdekaan mestilah dihargai dengan sepenuhnya oleh seluruh rakyat. Generasi muda yang lahir selepas tarikh kemerdekaan seharusnya menghayati kemerdekaan dengan erti kata yang sebenar. Kemerdekaan merupakan suatu nikmat yang patut disyukuri dengan cara melaksanakan pengisian-pengisiannya.

Perkara utama yang perlu dipelihara ialah mengekalkan perpaduan di kalangan semua rakyat tidak kira bangsa, agama dan keturunan. Perpaduan di Malaysia yang mempunyai penduduk berbilang kaum perlu dititikberatkan supaya negara ini sentiasa aman dan damai. Seluruh rakyat akan dapat menjalankan aktiviti-aktiviti dengan selamat dan ekonomi negara dapat dimajukan. Persefahaman dan semangat toleransi perlu ada kepada semua bangsa supaya masing-masing dapat menjalankan aktiviti agama tanpa ada perasaan benci-membenci dan permusuhan.

Islam mengajar kita supaya memberi kebebasan kepada penganut agama lain untuk beribadat. Umat Islam dilarang sama sekali mengganggu atau memusnahkan tempat ibadat agama lain atau melakukan serangan kepada orang bukan Islam yang tidak memusuhi Islam.

Kita perlu meningkatkan ilmu pengetahuan sama ada ilmu dunia mahupun akhirat agar boleh menjadi bangsa yang maju dan bertakwa. Penguasaan ilmu menjadikan sesebuah negara mencapai martabat yang tinggi dan dihormati oleh seluruh manusia. Inilah matlamat utama kemerdekaan yang diperjuangkan oleh semua bangsa kerana kebebasan dapat memberikan ruang yang sangat luas untuk mengembangkan ilmu pengetahuan di dalam berbagai-bagai bidang di sesebuah negara. Ia memerlukan perancangan yang teliti dari pihak atasan supaya bidang-bidang tertentu diberi keutamaan sesuai dengan peredaran zaman. Tambahan pula penguasaan ilmu dan teknologi terkini menjadi ukuran kepada kekuatan sesebuah negara.

Islam amat menekankan budaya ilmu dan penyelidikan kepada penganutnya supaya memperolehi manfaat untuk kehidupan dunia dan dapat mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Melalui ilmu pengetahuan manusia dapat mencipta bermacam-macam kemudahan seperti pengangkutan moden, jentera-jentera pengilangan, teknologi maklumat, teknologi komunikasi dan sebagainya. Ini boleh meningkatkan pengeluaran dan membina kekuatan ekonomi. Seterusnya ia boleh menghapuskan kemiskinan atau merapatkan jurang perbezaan di antara yang kaya dan yang miskin.

Mencapai tahap kemajuan yang tinggi belum cukup untuk sesebuah negara yang merdeka jika tidak disertakan dengan pembinaan insan yang bertakwa. Manusia yang tidak mementingkan agama akan menjadi tamak dan rakus setelah menjadi kaya raya. Ada pula yang mengambil jalan mudah untuk memperoleh harta dengan mengamalkan rasuah. Sikap sebeginilah yang telah menghancurkan kerajaan Islam yang besar suatu ketika dahulu seperti Kerajaan Abbasiah dan Sepanyol. Setelah mencapai kemajuan yang unggul, kebanyakan pemimpin dan rakyat menjadi lalai dan leka sehingga pihak musuh dapat mengambil kesempatan daripada kelekaan ini dan mereka dihancurkan sehingga hanya tinggal sejarah.

Akhirnya umat Islam ketinggalan kebelakang dan menjadi umat yang hina di mata masyarakat dunia. Inilah akibatnya pembangunan yang tidak disertakan dengan ketakwaan kepada Allah. Kita yang hidup pada zaman ini haruslah mengambil pengajaran daripada sejarah silam. Kita mesti memulakan langkah untuk kembali menjadi bangsa yang disegani di dalam negara yang telah merdeka ini. Kesempatan ini janganlah dipersia-siakan.

You might also like