You are on page 1of 6

TAJUK 3: PENDEKATAN PENGAJARAN PENDIDIKAN MORAL

Pendekatan Pemupukan Nilai Pendekatan pemupukan nilai merujuk kepada proses pemupukan budi pekerti yang baik pada diri kanak-kanak. Oleh sebab pendekatan ini digunakan secara sedar dan tidak sedar, pemupukan merupakan pendekatan yang paling luas digunakan dalam Pendidikan Moral sekolah rendah. Pendekatan ini juga sesuai digunakan pada peringkat sekolah menengah rendah. Objektif pendekatan ini adalah untuk menanam nilai tertentu yang dianggap baik dan patut dimiliki oleh pelajar. Menurut pendekatan ini, nilai dilihat sebagai piawai atau peraturan tingkah laku yang tetap dan sarwajagat dalam sesuatu masyarakat atau budaya. Pendokong pemupukan nilai percaya bahawa pendekatan ini dapat memenuhi keinginan dan matlamat masyarakat untuk mengatasi, malahan menentukan keperluan dan matlamat individu. Strategi pengajaran dan pembelajaran pendekatan ini adalah seperti berikut: 1. Menentukan nilai yang akan dipupuk. 2. Mengenalpasti taraf penghayatan yang dikehendaki. 3. Menentukan objektif-objektif pelajaran. 4. Memilih teknik-teknik pengajaran dan pembelajaran yang sesuai: a) meningkatkan tingkah laku yang bermoral b) mengajar tingkah laku moral yang baru c) mengukuhkan tingkah laku yang bermoral d) mengurangkan tingkah laku yang yang tidak bermoral 5. Melaksanakan pengajaran pembelajaran dalam kelas 6. Menilai pengajaran - pembelajaran Kesimpulannya tugas guru Pendidikan Moral adalah untuk menanam atau memupuk nilai yang individu mesti miliki agar dia dapat dengan cekap memainkan peranan yang ditetapkan oleh masyarakat.

Rumusan Melalui pendekatan pemupukan nilai, pelajar-pelajar perlu memahami, menganalisis dan menerima konsep-konsep asas yang ditegaskan dalam setiap nilai moral sebelum menghayatinya dan mengambil keputusan yang berautonomi ke atas isuisu moral berlandaskan kepada prinsip-prinsip moral yang sarwajagat. Pendekatan

ini adalah relevan untuk sekolah-sekolah kerana pembentukan tabiat moral yang baik adalah satu daripada matlamat program Pendidikan Moral.

Penjelasan Nilai Pendekatan penjelasan nilai dipelopori oleh Louis Raths dan rakan-rakan. Pendekatan ini melibatkan penggunaan pemikiran rasional dan kesedaran emosi dalam pembentukan dan perkembangan set nilai-nilai seseorang individu. Dengan pendekatan ini, nilai-nilai tidak diberikan kepada pelajar, sebaliknya mereka diajar menghargai atau memberikan nilai kepada sesuatu. Andaian yang dibuat di sini ialah individu-individu tidak boleh dipaksa menerima satu-satu nilai. Sesuatu nilai perlu membayangkan pilihan individu. Teras kepada andaian ini ialah pelajar seharusnya dihormati sebagai individu yang boleh membuat pilihan tentang nilai yang sedia ada. Pendekatan ini membantu pelajar menjelaskan apa yang mereka anggap sebagai bernilai dan memperoleh satu set nilai yang nyata, yang boleh digunakan sebagai panduan hidup. Proses penjelasan nilai mengandungi tiga subproses seperti berikut: Memilih a. secara bebas b. daripada beberapa alternatif c. selepas mempertimbangkan kesan setiap alternatif 2. Menghargai a. berasa gembira dengan pilihan b. secukupnya hingga mahu atau sanggup menyerahkan pilihan itu kepada orang lain 3. Mengambil tindakan a. melakukan sesuatu terhadap apa yang dipilih b. berulang-ulang dalam suatu pola kehidupan. Rumusan Seseorang individu itu membentuk sesuatu nilai dengan memilih secara bebas, tanpa dipaksa, daripada beberapa alternatif, selepas pertimbangan teliti kesankesan setiap alternatif. Pilihan itu merupakan satu nilai sekiranya individu tersebut berpuas hati dan Gembira dengan pilihan tersebut serta bertindak terhadapnya. Ini membayangkan suatu kombinasi domain kognitif dan afektif.

Analisis Nilai Setelah memahami penjelasan nilai, sekarang marilah kita melihat pula apa yang dimaksudkan dengan pendekatan analisis nilai. Pendekatan analisis nilai disebut juga pendekatan Coombs. Pendekatan ini menawarkan suatu proses berfikir secara rasional dalam mengkonsepsikan dan menghubungkaitkan nilai-nilai dalam menghadapi isu moral yang kontroversial. Pendekatan ini lebih kepada penggunaan pemikiran saintifik dan logik dalam membuat keputusan. Khususnya, pendekatan ini dapat membantu murid

mengumpul dan menimbangkan fakta yang terlibat dalam pertimbangan moral melalui enam prosedur penting dalam analisis nilai. Prosedur atau tugas analisis nilai ini adalah seperti berikut: 1. Mengenal pasti dan menjelaskan nilai yang dipersoalkan 2. Mengumpul data / maklumat berkenaan apa yang didakwa sebagai fakta 3. Mengukur kebenaran tentang fakta itu 4. Menjelaskan sama ada fakta berkenaan relevan atau tidak 5. Mencapai sesuatu keputusan yang muktamad tentang nilai yang dipersoalkan 6. Menguji prinsip nilai yang dibayangkan oleh keputusan nilai yang dibuat Disebabkan isu nilai atau moral adalah kontroversi, pertelingkahan berhubung keputusan yang dibuat boleh berlaku. Namun demikian, jika prosedur di atas diikuti dengan rapi, perbezaan dalam keputusan atau pertimbangan ini boleh dikurangkan. Untuk mengurangkan perbezaan ini, pelopor pendekatan analisis nilai memperkenalkan pula tugas resolusi konflik. Asasnya, konflik hendaklah diselesaikan dengan mengurangkan perbezaan semasa pelajar menggunakan teknik analisis nilai.

Tugas resolusi konflik adalah seperti berikut: 1. Mengurangkan perbezaan dalam pentafsiran tentang nilai yang dipersoalkan 2. Mengurangkan perbezaan tentang apa yang didakwa sebagai fakta yang dikumpulkan 3. Mengurangkan perbezaan tentang ukuran kebenaran fakta yang telah terkumpul 4. Mengurangkan perbezaan tentang kerelevanan fakta berkenaan 5. Mengurangkan perbezaan tentang keputusan nilai yang tidak muktamad 6. Mengurangkan perbezaan dalam menguji kesanggupan menerima prinsip moral

Rumusan Pendekatan analisis nilai memberikan suatu perihal yang lengkap tentang strategi yang melibatkan proses langkah demi langkah dalam menghadapi persoalan serta isu moral dan sebagainya yang kontroversial dan berkonflik. Langkah-langkah dalam pendekatan ini walaupun bersifat logikal dan berdasarkan fakta namun aspek afektif (sikap dan nilai) amat perlu bagi pemupukan, penghayatan serta amalan nilai-nilai.

Bertimbang rasa Pelajar sekalian, adakah anda seorang yang bertimbang rasa? Mengapakah anda berkata demikian? Tahukah anda perbidalan Melayu ya ng sesuai dengan pendekatan ini ialah berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Sekarang mari kita lihat apa yang dimaksudkan dengan pendekatan bertimbang rasa. Pendekatan ini juga lebih menegaskan pembelajaran tentang perasaan atau emosi. Pendekatan ini membantu murid berfikir secara mendalam dan menimbulkan perasaaan moral (sentuhan hati nurani - emosi moral). Menurut Peter Mc Phail dan rakan-rakan, Pendidikan Moral perlu berfokus kepada cara individu berhubung dengan orang lain seperti bertimbang rasa terhadap keperluan, perasaan dan kepentingan orang lain. Ini adalah kerana kelakuan itu akan memberikan kepuasan kepada orang yang bertindak sedemikian dan menggalakkan mereka

mengembangkan cara hidup yang bertimbang rasa. Apabila menggunakan pendekatan ini, guru perlu meningkatkan kebolehan pelajar untuk mentafsir kesan-kesan sesuatu tindakan ke atas diri sendiri dan orang lain seperti berikut :

Rumusan Pendekatan bertimbang rasa dapat memberikan sumbangan secara positif kepada Pendidikan Moral. Ini berdasarkan alasan bahawa pelajar-pelajar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang terutama dari segi etnik, budaya, sosial dan agama perlu peka kepada keperluan, perasaan dan kepentingan orang lain.

2.6 Pembinaan Rasional Seperti pendekatan perkembangan moral kognitif dan pendekatan analisis nilai, pendekatan pembinaan rasional menekankan kepada pemikiran yang rasional dan kritis. Pendekatan ini melibatkan pelajar meneliti makna dan fungsi nilai serta menganalisis sifat dan dimensi nilai masyarakat demokratik. Dalam pendekatan ini sesuatu nilai dianalisiskan bukan sahaja yang berkaitan dengan sesuatu tindakan atau pertimbangan tertentu tetapi juga yang berkaitan dengan nilai-nilai yang lain. Menurut James Shaver dan William Strong, nilai berbeza daripada sikap. Sungguhpun ada aspek emosi dalam nilai, nilai sebenarnya adalah standard nasional dan prinsip untuk mempertimbangkan sesuatu yang dikatakan baik. Mereka kemudiannya membezakan beberapa kategori nilai, iaitu nilai moral dan bukan moral, yang intrinsik dan instrumental, serta mencadangkan bahawa nilai moral dianggap sebagai standard peribadi dan prinsip asas dalam bermasyarakat. Mereka menegaskan bahawa konflik nilai merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan konflik ini perlu diselesaikan sebelum sesuatu pertimbangan dibuat. Berikut ialah garis panduan bagaimana pendekatan pembinaan rasional boleh digunakan. 1. Kenal pasti dan jelaskan nilai dari segi maksud dan perhubungan antara satu dengan lain 2. Membuat generalisasi konsep nilai diri dan nilai diterima oleh masyarakat 3. Menimbangkan implikasi dan kesan yang mungkin timbul dalam situasi berkonflik 4. Membuat keputusan munasabah dengan kriteria mengutamakan nilai 5. Memupuk penglibatan diri secara emosi

Rumusan Pendekatan pembinaan rasional lebih berfaedah kepada pelajar-pelajar di sekolah menengah dan peringkat pengajian tinggi berbanding dengan pelajar di sekolah rendah. Ini adalah kerana pendekatan ini melibatkan kebolehan pelajar menganalisis dan menyatakan pendapat mereka dalam perkataan-perkataan yang abstrak.

Tindakan Sosial Pendekatan tindakan sosial yang dimajukan oleh Fred Newmann dianggap sebagai satu pendekatan yang memberikan peluang tertentu kepada pelajar untuk bertindak ke atas nilai-nilai kendiri sebagai agen moral. Sebagai agen moral, pelajar perlu mempertimbangkan apakah yang sepatutnya dibuat dalam situasi yang melibatkan konflik. Konflik ini mungkin berlaku antara kepentingan diri dan kepentingan orang lain, atau di antara hak-hak seorang individu dalam konflik itu. Pendekatan ini meningkatkan keprihatinan murid kepada isu-isu masyarakat dan mereka bersikap pro aktif menyelesaikan masalah dalam masyarakat. Sehubungan dengan itu pendekatan ini melibatkan pembelajaran di dalam dan di luar bilik darjah. Nilai-nilai yang diperlihatkan Lebih luas bukan sahaja di dalam sesebuah masyarakat atau pada diri seorang individu, tetapi meliputi interaksi antara individu dan masyarakat keseluruhannya. Untuk mencapai matlamat ini guru boleh menggunakan garis panduan di bawah. 1. menyedari isu atau masalah yang dihadapi oleh pelajar dan komuniti 2. memahami isu 3. memutuskan tindakan yang akan diambil 4. merancang dan menggubal matlamat dan strategi 5. melaksanakan rancangan tindakan sama ada secara individu atau kumpulan 6. merenung tindakan-tindakan yang telah diambil dan menimbangkan tindakan selanjutnya.

You might also like