You are on page 1of 1

1.

PENGENALAN

Pendidikan merupakan penyumbang utama dalam pembangunan modal insan dan ekonomi negara. Ia dapat memupuk kreativiti, daya imaginasi dan bakat dalam diri individu

(Kurikulum Standard Sekolah Rendah, KPM). Melalui perkembangan kemahiran-kemahiran ini, ia dapat membolehkan generasi muda bersaing dalam pasaran kerja dunia global. Justeru itu, kerajaan perlu memastikan sistem pendidikan negara berfungsi secara berkesan. Oleh yang demikian, satu pelan tindakan negara dalam bidang pendidikan telah dibina oleh kerajaan dalam memartabatkan taraf pendidikan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia, iaitu PPPM 2013-2025. Antara agenda utamanya ialah memperkasakan kualiti guru-guru Malaysia. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 adalah satu bentuk dokumen komprehensif yang dibentuk melalui hasil rundingan awam. Ia menetapkan sasaran negara yang perlu dicapai oleh produk dan pendidik dari segi kualiti , ekuiti dan akses dalam tempoh 13 tahun. Bertitik tolak daripada itu, kerajaan secara berperingkat menggembleng sumber tenaga untuk membawa perubahan dengan pendekatan yang berbeza ke atas kemenjadian guru dan murid. Antara dimensi utama yang diberi perhatian adalah kualiti pengajaran dan pembelajaran. Dalam memacu misi negara ini, kualiti guru adalah antara yang perlu diberi perhatian khusus kerana ia mampu mentransformasikan dan meningkatkan keberhasilan murid serta guru. Hanya guru yang berkualiti mampu menghasilkan generasi yang berkualiti melalui pencapaian yang cemerlang (Rusnah et al. 2013). Namun persoalannya, sejauh manakah kualiti guru-guru yang dihasilkan di Malaysia? Apakah aspek-aspek yang mendorong dan perlu ditekankan dalam memperkasakan kualiti mereka? Kualiti ini berbeza-beza apabila dilihat hasil daripada penilaian KPI oleh pentadbir-pentadbir di sekolah. Antara faktor yang menyumbang adalah kepelbagaian produk guru yang terhasil daripada institut perguruan yang pelbagai di Malaysia. Ia disebabkan ketidakseragaman pelaksanaan dan standard kurikulum antara Institut Perguruan Awam dan Institut Perguruan Swasta. Setiap IPG mempunyai pendekatan yang berbeza dalam melahirkan bakal guru yang terlatih. Oleh yang demikian, penulisan ini bertujuan mengupas dengan lebih lanjut tentang keberhasilan guru yang berkualiti yang berfokuskan kepada empat elemen utama, iaitu norma perjawatan, kompetensi serta tugas dan tanggungjawab guru.

You might also like