You are on page 1of 25

Antara Ilmu dan Akal dalam Kerangka Melayu dan Islam

Faizatul Syaheera Abdul Aziz


Muhammad Jailani Abu Talib
Akademi Pengajian Melayu
Universiti Malaya

Abstrak

Akal dan ilmu merupakan dua perkara yang penting dalam kebudayaan
Melayu dan Islam. Kepentingannya malah sering dipertekankan dalam
beberapa hadith dan ungkapan adat Melayu. Kajian ini menelusuri
kepentingan akal dan ilmu dalam kebudayaan Melayu dan Islam serte
menyatakan kepentingan sintesis akal dan ilmu demi menjana
keintelektualan bangsa. Hasil daripada kajian yang dijalankan, pengkaji
telah merangkakan model XYZ Melayu-Islam, iaitu sebuah model yang
menggariskan tiga sudut ilmu yang memainkan peranan yang besar dalam
pembentukan masyarakat Melayu. Menurut kajian yang dijalankan, ruang
ilmu Melayu terbahagi kepada ilmu eksplisit, yakni Al-Quran, Ilmu Tacit
(Kognitif), yakni ungkapan adat Melayu, dan ilmu tacit (teknikal, yakni
pengalaman individu itu sendiri. Di samping itu juga, kertas kajian ini
membincangkan sumber nilai keilmuan dan keintelektualan Melayu-Islam,
Al-Quran sebagai sumber akal dan ilmu Melayu-Islam dan punca konflik
sumber keilmuan Melayu-Islam.

1.0 Pengenalan

Ilmu keintelektualan dan kerasionalan memainkan peranan penting dalam peradaban

Melayu. Bahkan, segala tindak-tanduk, hukum-hakam serta budaya manusia Melayu

dipengaruhi oleh kedua-dua nilai tersebut. Dalam erti kata yang lain, ilmu dan akal

merupakan main ingredient ataupun ramuan utama dalam proses melahirkan seorang

insan yang Melayu dari sudut raga dan jiwanya. Namun begitu, sebesar manakah

peranan ilmu dan akal dalam kerangka Melayu, khususnya dalam kerangka peradaban

Melayu-Islam.

Kertas kerja ini akan menghuraikan kepentingan nilai ilmu dan akal dalam

konteks peradaban Melayu-Islam serta mencerakinkan kesan dan impak

pembangunan ilmu dunia dalam peradaban manusia Melayu. Namun begitu, sebelum

menghuraikan persoalan yang dikeutarakan dalam kertas kerja ini, terdapat beberapa

1
perkara penting yang terlebih dahulu harus diterangkan dan dibentangkan dalam

dimensi teoretikal dan intelektual, sekali gus mewakili konsep kajian yang dijalankan.

2.0 Ilmu

Sebagai salah satu daripada dua pokok perbicaraan kertas kerja ini, ilmu ditafsirkan

Kamus Dewan Edisi Ketiga (1998:483) sebagai “pengetahuan, kepandaian” dalam

sebarang perkara yang merujuk kepada dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain.

Tafsiran tersebut turut dapat diperhatikan dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia

(2007:423) sebagai “pengetahuan atau kepandaian tentang soal duniawi, akhirat, lahir,

batin dan sebagainya”. Dalam erti kata yang lain, dapat kita tafsirkan bahawa ilmu

sebenarnya merentasi jurang fizikal manusia dan turut merangkumi ruang spiritual

manusia itu sendiri. Namun begitu, penelitian yang lebih kritis turut dapat

diperhatikan dalam definisi pertama Kamus Besar Bahasa Indonesia (2007:423) yang

menerangkan ilmu sebagai “pengetahuan tentang suatu bidang yang disusun secara

bersistem menurut metode tertentu, yang dapat digunakan untuk menerangkan gejala

tertentu di bidang itu.” Tafsiran tersebut sekali gus menerangkan keupayaan ilmu

sebagai penghurai segala fenomena yang menyelubungi diri manusia.

Selain daripada itu, ilmu turut dapat diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris

sebagai knowledge. Sekiranya madah Sir Francis Bacon – “Knowledge is Power”

diteliti, maka sudah tentulah ilmu merupakan sesuatu elemen yang menjadi sumber

kepada kehebatan bangsa Melayu sepanjang zaman. Menurut Leif Edvinsson and

Michael S. Malone (1997:10-15), ilmu dapat dipecahkan kepada dua jenis asas, iaitu

ilmu eksplisit (explicit knowledge) dan ilmu tacit (tacit knowledge). Menurut

tanggapan mereka, ilmu eksplisit dapat diterjemahkan ke dalam bentuk perkataan dan

angka serta dapat dikongsi bersama lewat sebarang bentuk data, formula saintifik,

2
manual, manuskrip dan sebagainya. Sementara itu, ilmu tacit bersifat personal dan

sukar dibakukan ke dalam sebarang bentuk konkrit sekali gus merumitkan proses

menyampaikan atau berkongsi ilmu yang terdapat pada seseorang dengan makhluk

yang lain.

Ruang ilmu tacit seterusnya dapat dipecahkan kepada dua dimensi asas, yakni

dimensi ilmu kognitif dan dimensi ilmu teknikal. Dimensi pertama, yakni dimensi

ilmu kognitif merangkumi segala kepercayaan, ideal, persepsi, emosi dan kerangka

pemikiran yang tersemat dalam pendirian seseorang. Sementara itu, dimensi kedua

mencakupi ilmu yang lebih teknikal sifatnya dan merujuk kepada kepandaian

seseorang yang diwarisinya melalui penat lelah dan pengalamannya sendiri. Dalam

hal ini, individu tersebut seringkali mempunyai kerumitan dalam menerangkan

ataupun “menurunkan” ilmu tersebut kepada individu yang lain. Daripada itu, ilmu

tersebut bersifat subjektif dan personal dan merangkumi perspektif peribadi, intuisi,

inspirasi, perasaan dan firasat.

Sekiranya diteliti gagasan Leif Edvinsson dan Michael S. Malone (1997),

maka dapatlah dirumuskan bahawa tata pemikiran masyarakat Melayu sebenarnya

lebih kompleks dan dinamis daripada apa yang diteliti oleh kedua-dua individu

tersebut. Berbeza dengan konsep ilmu dalam peradaban barat yang secara purata

terbina daripada ilmu jenis eksplisit, ilmu jenis tersebut hanya merupakan cebisan

kecil dalam konsep ilmu Melayu yang kebanyakannya diwariskan dari satu generasi

ke generasi yang lain menerusi pelbagai medium termasuk cerita rakyat, pantun,

gurindam, nazam, syair dan sebagainya.

3
Dari sudut Islam pula, ilmu dapat dipecahkan kepada dua jenis yakni, yakni

taqlad1 dan naqla2. Termasuk dalam ilmu yang dapat dikategorikan sebagai jenis ilmu

taqlad (William C. Chittick, 2000) adalah ayat-ayat al-Quran serta hadith-hadith

Islam. Kepentingannya diterangkan William (2000) :

“Mustahil untuk menjadi Muslim tanpa taqlad, kerana seseorang itu


tidak boleh memahami Quran atau mengamalkan Syariah secara
sendirian. Sama juga dengan bahasa yang dipelajari dengan ikut-
ikutan, Quran dan amalan Islam juga dipelajari dengan mengikut
mereka yang mengetahuinya. Mereka yang memikut tanggungjawab
mengekalkan warisan yang disebarkan ini dikenali sebagai mereka
yang mengetahui, iaitu ulama.”

Namun begitu, sebagaimana yang telah diterangkan di atas, ilmu jenis naqla

turut diterima dari sudut Islam. Menurut William (2000) lagi :

“mujtahid perlu diikuti, sama ada mujtahid itu masih hidup (dalam
kes Syiah) atau mati (dalam Suni). Dalam erti kata lain, seseorang itu
mengikuti seorang mujtahid kerana cara untuk mempelajari ilmu
yang disebarkan adalah dengan mengikuti mereka yang
mengetahuinya. “

Pada asasnya, biarpun ilmu yang diterima dari sumber tertentu selain manusia

(ilmu taqlad) tampak berbeza daripada jenis ilmu yang disebarkan oleh seorang

pengantara (ilmu naqla), kedua-dua jenis ilmu tersebut sebenarnya berkaitan dan serta

memberikan impak antara satu sama yang lain. Kedua-dua jenis tersebut saling

melengkapi sehingga terbinanya budaya yang berteraskan keintelektualan.

2.1 Akal

Nilai ilmu yang seterusnya diterjemahkan sebagai keintelektualan memainkan peranan

1
Ilmu yang disebarkan dengan penggunaan bahan-bahan seperti Al-
Quran dan sebagainya.
2
Ilmu yang disebarkan dengan penggunaan pakar dalam bidang
Islam. Termasuk dalam cakupan tersebut adalah para ulama,
asatizah, ustaz, ustazah dan sebagainya.

4
yang genting dalam pembinaan tamadun dan peradaban sesebuah bangsa. Namun

begitu, apakah konstituen atau elemen yang membolehkan manusia untuk menerima

serta mencerakinkan ilmu tersebut? Dalam hal ini, konstituen tersebut dapat dikenali

sebagai akal, yakni sebuah fakulti dalam psikologi manusia yang membolehkan proses

pencerakinan ilmu yang diperolehi manusia, sama ada melalui kaedah taqlad atau

naqla.

Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1998:19) akal dapat ditafsirkan sebagai

“budi, fikiran” manakala Kamus Besar Bahasa Indonesia (2007:18) mentafsirkannya

sebagai “daya pikir (untuk memahami sesuatu dsb)”. Dapat dirumuskan daripada itu

bahawa akal sebenarnya merujuk kepada sebuah fakulti dalam psikologi manusia yang

memberikan daya pemikiran kepada manusia. Ilmu yang kadangkala diterima dalam

bentuk yang serba abstrak mengambil bentuk yang lebih utuh dan konkrit dalam

minda individu. Bergantung pada ilmu logika dan rasionaliti yang terbentuk dalam diri

manusia, individu tersebut dapat membuat penilaian dan penerimaan kritis terhadap

sebarang bentuk ilmu.

Namun begitu, kepentingan akal dalam peradaban Islam telah menimbulkan

sebuah polemik dalam kalangan cendekiawan dan asatizah Islam serta membuahkan

dua kutub yang bertentangan dalam perbincangan tersebut. Kedua-dua kutub tersebut

diwakili oleh mazhab yang berpegang pada aliran Jabariyyah dan mazhab aliran

Qadarriyah.

Mazhab aliran Jabariyyah merujuk kepada golongan yang percaya bahawa

manusia tidak mempunyai sebarang hak untuk menentukan kehidupannya sendiri serta

5
sebarang fenomena alam merupakan takdir Allat s.w.t semata. Dari sudut etimologi,

perkataan Jabariyyah berasal daripada al-jabr yang bererti “terpaksa”, “tiada

kehendak” atau “tiada kebebasan”. Pegangan mazhab tersebut bertentangan dengan

aliran Qaddriyah yang berpegang kepada gagasan bahawa Allah s.w.t menciptakan

manusia dengan keupayaan untuk berfikir maka jelaslah daripada kenyataan tersebut

bahawa Islam turut menggalakkan proses berfikir. Sedangkan aliran Jabariyyah

berpendapat bahawa manusia tidak mempunyai sebarang keupayaan hakiki untuk

menentukan jalan hidupnya, aliran Qaddriyah bersifat liberal dan terbuka serta

berpendapat bahawa segala perbuatan manusia bergantung kepada kehendaknya

sendiri. Berkenaan dengan hal yang dibincangkan, perbezaan aliran dan pendapat

berkenaan dengan konsep pemikiran tentang Islam telah dijelaskan dalam dua hadith

berikut :

“Umat sebelummu dari ahli kitab terpecah menjadi 72 millah


(aliran). Dan agama ini (Islam) terpecah menjadi 73. 72 diantaranya
di neraka dan satu di surga, iaitu Al-Jamaah.” -(Hadith Riwayat Abu
Daud)

“Yahudi terpecah menjadi 71 firqah, nasrani terpecah seperti itu


juga. Sedankgan umatku terpecah menjadi 73 firqah.” – (HR At-
Tirmizy)

Namun demikian, kertas kerja ini tidak akan membincangkan dengan lebih

terperinci akan konsep Al-Jamaah melainkan sebagai rujukan sepintas lalu sekiranya

perlu.

Dapat dirumuskan daripada segala tafsiran di atas bahawa akal membolehkan

manusia untuk berfikiran secara logik, rasional dan kritis. Dengan cara itu, manusia

Melayu, khususnya yang bergelar Melayu-Islam dapat mendalami isi kandungan Islam

yang suci lagi murni.

6
3.0 Sintesis Akal dan Ilmu

Keterangan akan kedua-dua konsep asas yang dibincangkan dalam kertas kerja ini

sekali gus mengisyaratkan kepada khalayak pembaca akan konsep akal dan ilmu

sebagai dua konsep yang saling melengkapi. Bahkan, kepentingan akal dan ilmu

sebagai dua konsep yang saling melengkapi turut tersemat dalam pantun adat berikut :

“Redup ini amatlah nikmat


Berkat rimbunnya si pokok jati
Hidup ini amatlah singkat
Sekali hidup biarlah bererti

Berkat rimbunnya si pokok jati


Tempat burung selalu bertemu
Sekali hidup biarlah bererti
Isikan akal dengan ilmu

Tempat burung selalu bertemu


Menghabiskan masa siangnya
Isikan akal dengan ilmu
Ilmu itu tiada habisnya

Menghabiskan masa siangnya


Sebelum bermalam di dalam hutan
Ilmu itu tiada habisnya
Ibarat saujana air lautan

Sebelum bermalam di dalam hutan


Diam berjejeran di atas ranting
Ibarat saujana air lautan
Ditimba, manakan kering”

Namun begitu, dapat diperhatikan dan diteliti juga pada penjelasan akan kedua-

dua konsep di atas bahawa sedangkan ilmu berasal daripada lingkaran luar jasad

manusia, akal berasal daripada jiwa dan naluri insan itu sendiri. Nescaya, ilmu

sebanyak mana sekalipun tidak akan bererti tanpa akal untuk memproses segala data

dan fakta yang diterima. Sintesis akal dan ilmu seterusnya menghasilkan sebuah

7
produk yang genting dalam pembinaan budaya yang berkesan, yakni keintelektualan.

Tradisi keintektualan yang kukuh sekali gus dapat disifatkan sebagai paksi yang utuh

dalam usaha memartabatkan budaya dan bangsa Melayu. Hubungan akrab antara akal

dan ilmu turut dapat diperhatikan dalam rajah berikut :

Rajah 1 : Sintesis Akal dan Ilmu sebagai Penjana Keintelektualan

Bagi masyarakat Melayu yang berguru pada alam3, ilmu dapat diperolehi dari

pelbagai ruang dan sudut. Termasuk dalam ruang lingkup sumber ilmu orang Melayu

adalah pengalaman seharian mereka sebagai mikrokosmos alam. Malah, diri manusia

dan alam tidak dapat dipisahkan sama sekali dalam perbincangan tentang konsep alam

bagi manusia Melayu. Segala pengalaman tersebut seterusnya dibekamkan ke dalam

bentuk madah, ucapan dan ungkapan adat Melayu. Namun begitu, setelah kemasukan

Islam pada abad ke-14, masyarakat Melayu mula beralih kiblat daripada kepercayaan

animisme, hinduisme dan buddisme. Agama Islam sekali gus membantu orang

Melayu dalam pencarian jati diri dan pengertian dalam kehidupan.

Psikologi dalaman manusia yang sentiasa mendahagakan jawapan akan segala

fenomena alam memaksa dirinya untuk memperolehi jawapan tersebut dari pelbagai

sumber. Antara sumber yang dirujuk termasuklah agama, khususnya agama Islam

3
Rujuk peribahasa “Alam Terkembang Menjadi Guru”

8
bagi masyarakat Melayu-Islam.

Menurut kepercayaan agama Islam, sumber ajaran Islam terletak pada dua

sumber primer, yakni kitabullah (al-Quran) dan as-sunnah sebagaimana yang dapat

diperhatikan dalam sabda rasullulah :

Aku tinggalkan bagi kalian dua hal yang karenanya kalian tidak
akan tersesat selamanya, selama kalian berpegang pada keduanya,
iaitu Kitab Allah (Alquran) dan sunahku (Hadis).”

Kepentingan al-Quran yang sarat dengan pengajaran dan ilmu yang penting

untuk diraih kaum muslimin dan muslimat turut dapat diperhatikan seperti berikut :

Ini adalah sebuah Kitab yang kami turunkan kepadamu penuh


dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatNya dan
supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran
(Qs. Shad : 29)

Ayat di atas secara tidak langsung turut menjelaskan peri pentingnya kaum

muslimin untuk menggunakan akal mereka untuk berfikir. Jelas bahawa al-Quran

bukanlah sebuah kitab untuk dituruti secara membuta tuli tanpa kefahaman akan

isinya. Al-Quran dan hadith yang sekali gus membentuk cakupan ilmu masyarakat

Melayu membentuk ilmu keintektualan Melayu apabila digandingkan dengan

keupayaan umat Melayu-Islam untuk berfikir. Sintesis akal dan ilmu berkenaan

dengan konsep Islam menyumbang terhadap penjanaan keintelektualan Melayu. Lewat

segala ayat dan surah yang terkandung dalam kitab al-Quran, keintelektualan yang

terbina daripada prinsip dan pengajaran Islam menjadi wali dan wasi adat serta budaya

Melayu. Malah, kepentingan al-Quran dalam peradaban Melayu dapat diperhatikan

seperti berikut :

9
“Adat bersendikan syarak
Syarak bersendikan kitabullah
Syarak mengata
Adat memakai”

Hadith dan Quran kedua-duanya memainkan peranan yang penting dalam

pembentukan akal dan ilmu Melayu. Namun begitu, tidak kurang pentingnya dalam

kerangka pemikiran dan psikologi manusia Melayu adalah adat Melayu. Selain agama

Islam yang mengisi kekosongan rohani jiwa manusia, adat turut berperan sebagai

“pendamping” agama dalam pembentukan nilai masyarakat Melayu sepertimana

digambarkan dalam ungkapan berikut :

“Buah keduduk menghujung dahan


tempat bersarang semut kerengga
bertuah petunjuk mengandung iman
bertuah ajaran beradat lembaga

Banyak keduduk banyak bijinya


Banyak belukar banyak kayunya
Banyak petunjuk banyak isinya
Banyak pengajar banyak ilmunya”

Sementara hadith dan quran merupakan sumber ilmu eksplisit Melayu, adat

Melayu merupakan sumber ilmu tacit Melayu. Segala pengamatan dan pengalaman

masyarakat Melayu dari zaman ke zaman digubal dalam bentuk ungkapan dan madah

yang diwariskan dari satu generasi ke generasi yang lain. Dalam hal ini, adat Melayu

dapat difahamkan sebagai ilmu kognitif4 masyarakat Melayu. Kefahaman sintesis akal

dan ilmu Melayu dapat difahamkan dalam rajah berikut :

4
Rujuk penjelasan konsep Ilmu di bahagian 2 pada kertas kerja ini.

10
Rajah 2 : Model XYZ Melayu-Islam

Melayu Islam = (XY+XZ+YZ)


Ruang XY = Al-Quran + Ungkapan Adat Melayu
Ruang XZ = Al-Quran + Pengalaman Individu
Ruang YZ = Ungkapan Adat Melayu + Pengalaman Individu

4.0 Model XYZ Melayu-Islam

Rajah di atas merupakan model yang dihasilkan daripada kefahaman ruang ilmu yang

terdapat dan diterima oleh masyarakat Melayu, khususnya masyarakat Melayu-Islam.

Model ini memecahkan ruang ilmu Melayu kepada tiga ruang utama yakni ruang ilmu

eksplisit untuk mewakili Al-Quran (X), ruang ilmu tacit – kognitif yang mewakili

ungkapan adat Melayu (Y), dan ruang ilmu tacit – teknikal yang mewakili ilmu yang

diperolehi individu itu sendiri lewat pengalaman dan pengamatan peribadinya terhadap

dunia (Z). Model di atas mengabadikan tiga ruang lingkup utama yang mempengaruhi

11
budaya Melayu.

5.0 Kepentingan Sintesis Ilmu dan Akal Menurut Perspektif Islam

" Tapi orang-orang zalim dengan tanpa ilmu mengikuti hawa nafsu
mereka, maka siapa yang dapat memberi petunjuk pada orang yang
Allah telah sesatkan? Dan bagi mereka tidak ada lagi penolong" -
Surah Ar-Rum : ayat 29

Selaras dengan gagasan yang telah dijelaskan di atas, surah Ar-Rum turut menjelaskan

hubungan akal pemikiran manusia dengan ilmu pengetahuan. Bahkan, ketiadaan ilmu

dalam diri seseorang bakal menjejas hala tujunya dalam kehidupan. Senada dengan itu,

dapat dirumuskan bahawa hubungan akrab akal pemikiran manusia dan ilmu

pengetahuan turut menjejas perkembangan budaya dan bangsa Melayu. Sekiranya

madah ”Takkan Melayu hilang di dunia” diperhatikan dengan teliti, maka jelaslah

bahawa ilmu dan akal menjadi dua komponen yang genting.

Kehadiran kedua-dua elemen tersebut merupakan bahan pemisah yang

membezakan manusia dengan haiwan. Nescaya, kehadiran akal fikiran dan ilmu

menjadikan manusia jauh lebih mulia sifatnya dari haiwan. Hakikatnya, ilmu dan akal

membolehkan manusia untuk membuat perubahan kepada dunia persekitaran dan

dirinya sendiri. Perawakan diri yang dibolehkan dengan kehadiran ilmu dan akal itu

sekali gus membolehkan manusia untuk membuat pilihan-pilihan tertentu dalam

kehidupan. Hal ini berbeza dengan haiwan yang terpaksa berhadapan dengan

ketetapan hidup.

Dalam pandangan Islam, ilmu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah

s.w.t. Malahan, kelebihan ilmu dalam diri seseorang jauh mengatasi kekurangan harta

duniawi. Perihal tersebut jelas dapat diperhatikan dalam firman Allah s.w.t. :

12
“Allah akan mengangkat darjat orang-orang yang beriman di
antara kamu dan orang-orang yang mempunyai ilmu.” - Surah al-
Mujadalah : ayat 11

Dalam pembinaan budaya yang jitu dan bersepadu, ilmu menjadi prasyarat

awal bagi mencapai kejayaan, kekuatan, dan kegemilangan sesuatu bangsa. Ilmu dan

akal sekali gus merupakan teras sistem nilai agama serta menduduki tempat yang

amat tinggi dalam pandangan alam, syariah, akhlak dan tamadun Islam. Penekanan

kepada ilmu dalam ajaran Islam jelas dalam sumber asas agama, iaitu Al-Quran dan

sunnah. Hal ini turut dijelaskan Ibnu Khaldun yang berpendapat bahawa sesuatu

bangsa yang kuat tetapi tidak ditunjangi dengan akal dan ilmu yang baik akan

memeluk dan menganut ciri dan nilai tamadun lain. Apakah fenomena tersebut kian

merupakan sebuah fenomena yang melandai bangsa Melayu? Islam juga

mendefinisikan ilmu sebagai cahaya yang dianugerahkan oleh Allah kepada

hambaNya. Sebagai cahaya, keberadaan ilmu sekali gus menyuluh dan menerangi

jalan haluan seseorang individu serta membawa pemiliknya kepada tujuan akhir yang

terpuji. Walau bagaimanapun, hakikatnya ialah sesetengah ilmu turut dapat

memberikan kesan negatif kepada kehidupan manusia dan sebaliknya menggelapkan

masa hadapannya. Akal daripada itu merupakan senjata penting untuk mengatasi ilmu

yang bersifat negatif. Kehadiran ilmu yang negatif atau tidak berupaya untuk

memberikan sebarang manfaat positif dapat diperhatikan dalam hadith berikut :

“Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari ilmu yang tidak


bermanfaat, dari hati yang tidak khusyuk, dari nafsu yang tidak
pernah puas dan dari doa yang tidak dikabulkan” - HR . Muslim

6.0 Sumber Nilai Keilmuan dan Keintelektualan Melayu-Islam

Menurut perspektif Islam, budaya ilmu bermula dari alam roh lagi sekali gus

13
menjelaskan tentang ruang ilmu tacit (teknikal) yang hadir dalam diri manusia. Ilmu

tacit (teknikal) mempertekankan tentang pengalaman individualistik seseorang.

Namun begitu, masyarakat umum harus menyadari bahawa pengalaman

individualistik tidak pernah hadir dalam ruang vakum. Sekiranya kita telusuri konsep

budaya ilmu yang bermula di alam roh, dapatlah dirumuskan bahawa budaya ilmu itu

sebenarnya telah dianugerahkan kepada manusia sejak waktu prapenglahirannya ke

bumi lagi. Namun begitu, ilmu yang hadir pada diri manusia pada waktu itu masih

bersifat raw dan masih perlu digilap dan dicerna. Pencerakinan dan penggilapan ilmu

tersebut malah dimestikan dalam agama Islam yang mewajibkan pencarian ilmu.

Namun begitu, umat Islam turut terpaksa berhadapan dengan hakikat bahawa

manusia dilahirkan ke muka bumi dengan beberapa keterbatasan yang tertentu. Maka

mustahillah bagi manusia untuk memperolehi segala bentuk ilmu pengetahuan dalam

keterbatasan waktu dan daya. Dalam hal ini, Burhanuddin Az-Zarnuji menjelaskan

dalam Ta`lim al Muta`allim – Tariq at-Ta`allum bahawa seseorang individu tidak

wajib mempelajari kesemua bidang ilmu kecuali yang berkaitan dengan hal ehwal

kehidupannya sendiri. Dalam erti kata lain, manusia mempunyai hak untuk

menggunakan kebijaksanaannya sendiri untuk menggunakan akal bagi mencapai ilmu

pengetahuan yang bersesuaian dengan dirinya.

Selaras dengan gagasan di atas, akal digunakan dalam proses memilih,

mengklasifikasi, memutuskan serta melakukan pelbagai keputusan yang kemudiannya

menghasilkan rangkaian hukum dan prinsip yang menjadi teras ilmu pengetahuan.

Perihal tersebut dapat diteliti dalam firmanNya :

“Apakah kamu tidak memperhatikan, bahawa sesungguhnya Allah

14
menurunkan air dari langit, maka diaturnya menjadi sumber-sumber
air di bumi kemudian ditumbuhkan-Nya dengan air itu tanam-
tanaman yang bermacam-macam warnanya, lalu ia menjadi kering
lalu kamu melihatnya kekuning-kuningan, kemudian dijadikan-Nya
hancur berderai-derai. Sesungguhnya pada yang demikian itu
benar-benar terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai
akal” - Surah Al- Zumar : Ayat 21

Jelas sekali dalam agama Islam yang bersifat syumul atau menyeluruh, akal

dan ilmu saling berkaitan. Mentelah pula, kaedah membuktikan keabsahan Islam

sebagai agama, membukti dan memahami ajaran Islam serta semua hal yang berkaitan

dengan Islam hanya dapat dilakukan dengan keintelektualan bangsa yang hanya bisa

dicapai dengan ilmu dan akal. Sebagaimana yang sudah diterangkan di atas, agama

Islam mempunyai pengaruh yang besar terhadap alam Melayu. Atas dasar itu,

sebagaimana akal dan ilmu menduduki tangga yang tertinggi martabat dalam

perangkaan budaya Islam, akal dan ilmu turut dipandang tinggi dalam kalangan

masyarakat Melayu. Perihal tersebut dapat diperhatikan dalam ungkapan berikut :

”apa tanda Melayu jati,


ilmu bermanfaat ia minati

apa tanda Melayu jati,


orang berilmu ia dekati

apa tanda Melayu jati,


di mana guru, di situ berhenti

apa tanda Melayu jati


mau berguru duduk berdiri

apa tanda Melayu ja bertuah,


menuntut ilmu tekun dan tabah

apa tanda Melayu bertuah,


belajar sampai ke dalam tanah

apa tanda Melayu bertuah,


menuntut ilmu tahan bersusah

15
apa tanda Melayu bertuah,
menuntut ilmu sehabis daya

apa tanda Meayu bertuah


ilmu dicari membawa faedah”

Bagi masyarakat Melayu, kepentingan menjadi seseorang yang berintelek

tinggi bertujuan untuk memberikan pengertian yang lebih terhadap kehidupan.

Nescaya, kehidupan tanpa ilmu membawa lebih padah daripada barakah. Kenyataan

tersebut malah dapat diperhatikan dalam ungkapan berikut :

”wahai anak dengarlah madah,


menuntut ilmu janganlah lengah
supaya kelak hidup tak susah
kekepada Allah mohonkan berkah

wahai anak kekasih ayah


cari olehmu ilmu berfaedah
supaya tua hidup semenggah
kepada Allah engkau berserah

wahai anaknda cahaya mata,


ilmu dituntut menjadi pelita
supaya menjauh gelap gelita
semoga kelak hidupmu bahagia

wahai anaknda harapan bonda


tuntutlah ilmu selagi muda
carilah guru di mana sahaja
supaya hidupmu tiada sia-sia”

Ungkapan yang terhasil daripada pengamatan yang diperolehi daripada segala

pengalaman yang dilalui masyarakat Melayu menunjukkan kepentingan ilmu dalam

rangka pemikiran dan kebudayaan masyarakat Melayu. Ilmu dan keintelektualan yang

dapat diperolehi daripadanya menjadi modal dalam kehidupan demi memastikan

sebuah perjalanan yang ”menjauh gelap gelita”.

Justeru, bersesuaian dengan rangka perbincangan hubungan akal dan ilmu dari

16
perspektif Islam dan Melayu, pembaca harus akur bahawa kedua-dua elemen ini

sebenarnya saling berkaitan serta mempengaruhi tata perkembangan Islam dan alam

Melayu. Ilmu yang diamalkan dengan akal yang waras menunjukkan kemuliaannya di

sisi Islam seperti sabda Rasulullah s.a.w :

“Barangsiapa menempuh jalan untuk mencari ilmu maka Allah


akan memudahkan jalannya ke syurga”

7.0 Al-Quran Sebagai Sumber Akal dan Ilmu Melayu-Islam

“Sesungguhnya Kamilah Yang berkuasa mengumpulkan al-Quran


itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu);
Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya
(kepadamu, Dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut
bacaannya itu” - Surah al-Qiyamah : Ayat 17-18

Al-Quran telah diturunkan kepada umat manusia lewat malaikat Jibril a.s dalam

jangka masa 23 tahun dengan setiap himpunan bacaan dan kalimahnya membawa

seribu pengertian yang membawanya ke jalan yang satu. Senada dengan itu, pencarian

ilmu merupakan sebuah ibadah dalam agama Islam. Namun begitu, dalam

perbincangan tentang mencari identiti budaya orang Melayu, di manakah harus orang

Melayu mencari jawapan yang dicarinya itu? Dalam hal ini, adat Melayu

menjelaskan:

“Adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitabullah


adat ialah syarak semata
adat semata Quran dan sunnah
adat sebenar adat ialah Kitabullah dan sunnah Nabi
syarak mengata, adat memakai
ya kata syarak, benar kata adat
adat tumbuh dari syarak, syarak tumbuh dari kitabullah
berdiri adat kerana syarak”

Berdirinya adat adalah kerana syarak. Dalam erti kata lain, al-Quran dan as-

sunnah merupakan paksi adat Melayu. Lantaran itu, masyarakat Melayu harus

17
menyedari hakikat bahawa penyempurnaan diri sebagai insan Melayu hanya dapat

dilakukan dengan kefahaman yang mendalam akan konsep yang diketengahkan dalam

al-Quran dan sunnah. Dalam hal ini, pengkaji berpendapat bahawa untuk menjadi

seorang insan yang benar-benar Melayu, nilai dan pengajaran yang diajarkan dalam

al-Quran haruslah dibudayakan. Lantaran itu, demi membudayakan gaya hidup orang

Melayu yang sebenar, masyarakat Melayu harus rujuk kembali kepada ajaran Islam

yang sebenar. Namun begitu, masalah besarnya hadir apabila masyarakat Melayu

berpendapat seperti berikut:

“Biar mati anak


Asalkan jangan mati adat
Tak lapuk dek hujan
Tak lekang dek panas”

Dalam hal ini, golongan tersebut harus akur akan hakikat bahawa adat,

biarpun merupakan sumber ilmu yang penting dalam masyarakat Melayu, turut harus

berlandaskan syarak. Malahan pula, menurut Pendeta Muhammad Ariff Ahmad

(2007:39), ungkapan tersebut sebenarnya menggarap isi kandungan pengajaran ilmu

dalam al-Quran. Beliau berpendirian bahawa adat yang sebenar-benarnya adat

merupakan adat yang berpaksikan agama Islam dan perihal tersebutlah yang cuba

diketengahkan dalam ungkapan di atas. Mentelah lagi, adat sendiri menjelaskan :

“Pada adat,
Menghilangkan yang buruk,
Menimbulkan yang baik,
Kata syarak,
Menyuruhkan berbuat baik
Menegahkan berbuat jahat
Adat bersendikan hukum,
Hukum bersendikan kitabullah.
Adat ke hukum mati hukum
Hukum ke adat mati adat.”

Dalam rangka kefahaman masyarakat Melayu mengenai persoalan ilmu dan

18
akal, Syeikh Daud al-Fatani berpendapat bahawa akal sebenarnya dapat dibahagikan

kepada lima, yakni akal malaki, akal fa’al, akal gharizi, akal kasbi dan akal syarqi.

Menurutnya, akal malaki merujuk kepada bakat semula jadi yang hadir pada diri

manusia sehingga membolehkannya untuk membezakan segala perkara secara intuitif

manakal akal fa’al merujuk kepada kekentalan sesebuah pendapat dan pendirian

dalam diri seseorang sehingga membolehkannya untuk membuat penilaian dan

tafsiran sendiri terhadap sesuatu ilmu. Sementara itu, akal gharizi merujuk kepada

keupayaan manusia untuk mengetahui perkara-perkara yang darurat dalam keadaan

ketidaktenteraman akal dan jiwa manakala akal kasbi merupakan hasil daripada

kemahiran yang diperolehi seseorang hasil daripada usahanya terhadap sesuatu

perkara. Selain daripada itu, beliau turut menyentuh akan akal syarqi, iaitu akal Nabi

Muhammad s.a.w yang jauh lebih mulia daripada semua akal makhluk Allah s.w.t.

Pembahagian akal di atas telah dibuatnya dengan pertimbangan terhadap al-Quran

dan hadith. Kesepaduan dan penjituan ilmu yang diaplikasikan menurut acuan Islam

dan adat Melayu yang sebenar mampu menjana keintelektualan bangsa yang dapat

membawa masyarakat Melayu ke tahap yang lebih tinggi. Insya’allah.

8.0 Punca Konflik Sumber KeIlmuan Melayu-Islam

Dalam rangka perbincangan tentang konsep ilmu dan akal dalam korpus budaya dan

alam Melayu, wajarlah untuk mengetengahkan konflik pendapat yang hadir dalam

masyarakat Melayu. Konflik tersebut lazimnya berpunca daripada perbezaan pendapat

akan konsep ilmu dalam budaya Melayu. Sementara segenap golongan masyarakat

Melayu berpegang teguh pada adat Melayu sebagai sumber keintelektualan bangsa,

terdapat juga seseparuh individu yang berpendapat bahawa konsep adat tidak penting

19
sama sekali.

Namun begitu, sebelum membincangkan tentang konflik tersebut, pembaca

harus terlebih dahulu faham akan tafsiran ”konflik” yang dimaksudkan di sini. Dari

sudut etimologi, istilah ”konflik” berasal dari perkataan Latin yang membawa maksud

saling memukul hasil perasaan atau pendapat yang berbeza-beza. Tindakan ini

berlaku apabila terdapatnya percanggahan antara dua pihak dalam sesuatu interaksi.

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2007:814) pula, ”konflik” ditafsirkan sebagai

”perselisihan atau pertentangan antara individu, idea, kepentingan dll”. Berdasarkan

tafsiran yang diberikan di atas, dapatlah dirumuskan bahawa ”konflik” dalam konteks

ilmu dan akal di tanah Melayu, konflik berlaku apabila terdapat perbezaan ideologi

tentang penetapan gaya hidup masyarakat Melayu.

Secara ringkas, Islam merupakan sebuah kepercayaan baharu dalam tamadun

Melayu. Hakikatnya, jauh sebelum Islam bertapak dalam jiwa dan psikologi

masyarakat Melayu, bangsa Melayu turut dipengaruhi pelbagai agama yang lain.

Umumnya, sistem psikologi, kepercayaan serta kosmologi orang Melayu berlegar

antara dua perkara yang kompleks dengan sejarah perkembangannya yang tersendiri.

Biarpun di satu sudut, Islam telah banyak mempengaruhi gaya hidup dan budaya

masyarakat Melayu, perkara tersebut masih belum berupaya untuk membasmi sistem

kepercayaan Melayu yang sedia ada. Dalam hal ini, masyarakat Melayu telah melalui

beberapa fasa perubahan dalam sistem kepercayaannya. Antaranya, masyarakat

Melayu telah menganuti kepercayaan animisme, Buddha, Hindu dan Islam.

Kendatipun begitu, antara keempat-empat kepercayaan yang telah disebutkan,

Biarpun begitu, Islam merupakan agama yang telah memberikan kesan dan impak

20
yang mendalam dalam kehidupan masyarakat Melayu.

Sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu, masyarakat Melayu terdedah

kepada kepercayaan animisme, Buddha serta Hindu. Perkembangan agama ini

seterusnya mempengaruhi ilmu pengetahuan dan akal fikiran masyarakat tersebut.

Biarpun kedatangan Islam telah memberikan impak yang besar dan mendalam

terhadap gaya hidup dan sistem kepercayaan masyarakat Melayu yang berteraskan

Islam, namun perkara tersebut masih tidak berupaya mengatasi sistem kepercayaan

sedia ada.

Zaman Pra-Islam lazimnya merujuk kepada zaman masyarakat Melayu

menganuti sistem kepercayaan animisme, Hindu ataupun Buddha. Pada zaman

tersebut, ilmu yang diperolehi lebih cenderung terhadap pemujaan alam sekitar.

Mereka percaya semangat inilah yang mentadbir alam serta menggerakkan kosmos

dan mitos animistik. Namun begitu, perihal tersebut mula berubah apabila masyarakat

Melayu memilih untuk memeluk agama Hindu dan Buddha, Sejak itu, masyarakat

Melayu mula mempercayai terhadap kosmos mistikal dan metafizikal. Akal dan ilmu

pengetahuan masyarakat lebih didorong ke arah mengagungkan kesenian sehingga

mengorbankan sifat akliah dan ilmiah dalam agama tersebut selain kepercayaan

penganut terhadap penyampaian ilmu agama Hindu yang diajar secara langsung oleh

tuhan yang disebut sebagai Awatara. Penyampaian agama ini meresap dengan cepat

dalam kalangan masyarakat Melayu pada zaman tersebut sehingga menjangkau

masyarakat di Bali, Pulau Jawa, Lombok, Kalimantan dan Sulawesi.

Namun begitu, Syed Naquib Al-Attas (1999) berpendapat bahawa kedatangan

agama Islam di Kepulauan Melayu merupakan titik permulaan bersejarah dalam

21
peningkatan akal dan ilmu pengetahuan orang Melayu. Islam yang mula bertapak di

Tanah Melayu sekitar abad ke-15 telah mula menghakis kepercayaan kuno

masyarakat Melayu pada masa itu. Biarpun begitu, di suatu sisi yang lain, agama

Islam turut menimbulkan konflik dalaman terhadap psikologi manusia Melayu.

Kedatangan Islam telah melarang beberapa perbuatan dan perkara yang sudah

menjadi tabii masyarakat tersebut. Sebagai contoh, mantera yang bermula dengan

kedatangan agama Hindu dianggap sebagai perantaraan yang menghubungkan tuhan

dengan makhluknya dalam menyampaikan hajat dan hasrat. Amalan tersebut walau

bagaimanapun ditegah keras dalam agama Islam yang melarang melarang segala

perbuatan yang mensyirikkan atau menduakan Allah seperti firmanNya :

“Dan sesungguhnya, masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah.


Maka janganlah kamu menyembah seseorang pun di dalamnya di
samping (menyembah) Allah.” - Al-Jinn : Ayat 18

Selepas kedatangan Islam, agama tersebut seterusnya mekar dalam jiwa

manusia Melayu sehingga sebati dengan adat dan budaya masyarakat tersebut. Namun

begitu, dalam kesebatian tersebut, hadir juga beberapa polemik kecil. Dalam hal ini,

masyarakat kontemporari Melayu harus akur bahawa dalam usaha mengenal gaya

hidup Melayu yang sempurna dan benar, Al-Quran yang menjadi pembimbing dalam

memahami nilai-nilai yang seharusnya terdapat pada orang Melayu. Al-Quran

sebenarnya sarat dengan ilmu yang isinya merangkumi pelbagai aspek kehidupan

yang berguna dalam memajukan ke arah yang lebih tinggi dan agung. Walaupun

kehidupan masyarakat turut telah sebati dengan ajaran Hindu-Buddha, pengaruh yang

dimainkan kedua-dua agama tersebut sebenarnya kurang mencengkam sekiranya

dibandingkan dengan pengaruh yang dimainkan agama Islam.

22
Dalam hal ini, masyarakat Melayu sebenarnya harus berupaya untuk

memikirkan cara-cara untuk mengislamkan budaya dan amalan yang sedia ada.

Sekiranya terdapat unsur-unsur yang didapati tidak bersesuaian dengan agama Islam,

maka haruslah unsur itu ditinggalkan. Masyarakat itu sendiri sebenarnya mempunyai

hak untuk memikirkan perkara tersebut dengan sendiri dengan penggunaan ilmu dan

akal yang diperolehi. Malahan lagi, terdapat sebuah hadith yang menceritakan tentang

peristiwa antara Nabi Muhammad s.a.w dan Mu’adh ibn Jabal. Menurut hadith

tersebut :

”Bila Mu’adh telah dilantik menjadi gabenor Yaman, Nabi (s.a.w)


bertanya kepadanya, bagaimanakah ia akan memutuskan sesuatu
perkara di hadapannya ”Saya akan menghukumnya mengikut
Quran”, jawabnya. ”Tetapi jika Quran tidak menunjukkan sesuatu
kepadamu?” ”Kemudian saya akan mengikut hadith-hadith Nabi.”
”Tetapi jika Quran dan Hadith-Hadith tidak juga memberikan kamu
petunjuk?” ”Kemudian saya akan membuat keputusan mengikut
fikiran saya sendiri.”

Biarpun adat Melayu itu penting dalam rangka pemikiran masyarakat

Melayu, orang Melayu tidak seharusnya memisahkan adat daripada Quran.

Sesungguhnya, adat Melayu yang sebenar adalah adat Melayu yang berteraskan Al-

Quran dan as-Sunnah. Apatah lagi, adat Melayu terbentuk daripada pengalaman

masyarakat Melayu dan telah melalui beberapa perubahan dari zaman praIslam ke

zaman Islam. Sebaliknya, Al-Quran bersifat syumul dan tidak boleh diubah sama

sekali. Othman Ishak (1982:124) menjelaskan :

”Quran dan hadith nabi Muhammad s.a.w menerangkan beberapa


jenis nilai dan praktik adat sebelum Islam. Setengah daripadanya
boleh disahkan atau dimodifikasi..”

9.0 Rumusan

23
Hasil daripada penelitian yang dibuat dalam kertas kerja ini, dapatlah dirumuskan

bahawa akal dan ilmu memainkan peranan yang penting dalam kehidupan masyarakat

Melayu-Islam. Bahkan, ketidakhadiran salah satu daripada kedua-dua elemen tersebut

akan menjejas nilai kemelayuan ataupun ketidakmelayuan seseorang individu. Hasil

daripada penelitian ini juga, pengkaji telah menghasilkan model XYZ Melayu-Islam

yang menerangkan tiga lingkaran utama yang mempengaruhi sifat keintelektualan

Melayu-Islam serta perawakan budayanya. Model tersebut menjelaskan bahawa nilai

keintelektualan Melayu sebenarnya dipengaruhi tiga ruang lingkup yang biarpun

berbeza dari segi zahirnya namun memainkan peranan besar terhadap satu sama lain.

Dalam kertas kerja ini juga, pengkaji telah menjelaskan sumber permasalahan

dan percanggahan konsep ilmu dalam alam Melayu serta menghuraikan langkah-

langkah mengatasinya dengan penggunaan ketiga-tiga ruang lingkup yang

dikeutarakan di atas, yakni ruang lingkup Al-Quran, ungkapan adat Melayu, dan

pengalaman individu itu sendiri. Hakikatnya, kemajuan dan penakatan bangsa Melayu

sebenarnya hanya dapat dilakukan dengan penggunaan ilmu dan akal yang berkesan.

Insya’allah.

Bibliografi

Aliman Hassan. 2007. Sanggan Budaya. Singapura : Angkatan Sasterawan 50.


Farid Mat Zain. 2007. Islam di Tanah Melayu abad ke – 19. Shah Alam : Karisma
Publications.
Hairidin Harun. 2001. Kosmologi Melayu dalam Era Teknologi Maklumat. Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hashim Bin Haji Musa. 2001. Merekonstruksi Tamadun Melayu Islam, Ke Arah
Pembinaan Sebuah Tamadun Dunia Alaf Ketiga. Malaysia : Akademi Pengajian
Melayu, Universiti Malaya.
H.M. Jamil, MA. 2007. Cakrawala Tasawuf, Sejarah Pemikiran dan Kontekstualitas.
Indonesia :Gaung Persada Press Jakarta
Henry Bayman. (2000). The Station of No Station. California : North Atlantic Books.
Leif Edvinsson and Michael S. Malone. (1997). Intellectual Capital: Realizing Your
Company's True Value by Finding Its Hidden Brainpower. New York : Harper
Muhammad Ariff Ahmad. 2007. Nilam – Nilai Adat Melayu. Singapura : Majlis

24
Pusat.
__________. 1993. Bicara Tentang Adat dan Tradisi. Singapura : Pustaka Nasional
Pte. Ltd.
Muhammad Haniff Hassan. 2003. Asas Bagi Fiqh Minoriti Muslim. Dlm. Sharifah
Alawiyah Bte Salim Alhadad. (Ed.), Paradigma (ms. 56-87). Singapura :
Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura.
Muhammad Jailani Bin Abu Talib. 2009. Budaya Melayu dalam Era Sarwajagat dlm
majalah Dewan Budaya. Februari 2009 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka,
Malaysia.
__________. 2009. Nilai Guru Berteraskan Taming Sari. Dlm. Mohamed Pitchay
Gani Bin Mohamed Abdul Aziz. (Ed.), Aktivis, Jurnal Akademik, Jilid IX, 2009
(hlm 14-22). Singapura : Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi
Nanyang.
__________. 2008. Hikayat Purba Diberi Nafas Baru. Dlm. Endo Suanda. Gong :
Media, Seni, dan Pendidikan Seni. Edisi 100/IX/2008. Yogyakarta : Yayasan
Tikar Media Budaya Nusantara.
__________. 2009. Budaya Melayu dalam Era Sarwajagat. Dlm. A.G. Abdullah,
Dewan Budaya, Februari. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
__________. 2009, Mei. Kepercayaan Warisan Melayu : Dilema Tradisi dan Realiti.
Kertas kerja dibentangkan dalam Sesi Bicara “Kepercayaan Warisan Melayu”
di Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.
Norazit Selat. 2000. Adat Melayu : Kesinambungan dan Perubahan. Dlm. Abdul
Latiff Abu Bakat. (Ed.), Adat Melayu Serumpun (ms. 87-98). Melaka :
Perbadanan Muzium Melaka
Noresah Baharom et. Al. 2007. Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Siddik, Abdullah. 1976. Islam dan Ilmu Pengetahuan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa
dan Pustaka
Siti Hajar Che Man. 2004. Ke Arah Melahirkan Insan Kamil: Penghayatan Amalan
dan Saranan Pemikiran Tuan Tabal dalam Jala’ al-Qulub Bidhikril’Lah.
Worawit Baru@Haji Ahmad Idris (Ed.), Paradigma (ms. 175-194). Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tenas Effendy. 2008. Tunjuk Ajar Melayu. Yogyakarta : Balai Kajian dan
Pengembangan Budaya Melayu.

25

You might also like