You are on page 1of 3

Berbakti Kepada Ibu Bapa: Antara Sunnah Dan Adat

Oleh: Muhammad Fashan b.Ahmad Ziadi

Islam memandang tinggi peranan wanita di dalam kehidupan.Salah satunya


ialah Islam mengangkat kedudukan ibu.Ibu ialah mereka yang telah melahir,
memelihara dan mendidik kita dengan penuh kasih sayang.Beban, kesukaran
dan jerit perih mereka mengandungkan kita selama hampir sembilan bulan
sehinggalah usia kita mencapai dua tahun digambarkan oleh Allah s.w.t di
dalam firmanNya: Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik)
kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan
menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga
akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua
tahun.Dengan demikian Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu
bapamu, hanya kepada-Kulah tempat kembalimu(untuk menerima balasan).
(Luqman 31:14)
Allah s.w.t memerintahkan agar kita berbuat baik kepada ibu bapa selepas
perintahNya agar menyembahNya dan tidak mensyirikkanNya dengan
sesuatu sepertimana firmanNya: Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya
kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada
ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya
atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka
sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah"
dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka
perkataan yang mulia.( al-Isra` 17:23) Berbuat baik kepada keduanya dengan
sebaik-baiknya merangkumi keseluruhan bentuk kebaikan baik perkataan
dan perbuatan kerana mereka berdua(ibu bapa) merupakan sebab wujudnya
seorang hamba dan bagi mereka berdualah kasih sayang dan juga kebaikan
yang dicurahkan kepada seorang anak.( Syeikh`Abdul Rahman Ibn Nasir as-
Sa`di, Taysir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannaan ms 488, Dar al
Hadith Kaherah 1426H)

Umum mengetahui berbuat baik kepada kedua ibu bapa merupakan salah
satu daripada perintah dan juga ajaran Islam.Malah kedudukannya sangat
tinggi di dalam agama.Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, seorang lelaki
menemui Rasulullah s.a.w dan bertanya: “ Ya Rasulullah! Siapakah orang
yang paling harus aku hormati? Nabi s.a.w bersabda: “ Ibumu.” Lelaki itu
berkata lagi: “ Siapakah setelah ibuku?”. Nabi s.a.w bersabda: “ Ibumu.”
Lelaki itu bertanya lagi: “ Siapa lagi setelah ibuku?”. Nabi s.a.w bersabda: “
Ibumu.” Lelaki itu bertanya lagi: “ Lalu siapa lagi sesudahnya?” Nabi s.a.w
menjawab: “ Ayahmu.”( HR Bukhari no:5514)..Berkata Ibn Batthal: “ Hal
ini(disebut Ibu sebanyak tiga kali mendahului seorang ayah) kerana
kesusahan ibu merangkumi tiga keadaan yang susah iaitulah ketika
mengandung kemudian melahirkan kemudian menyusukan, hal ini adalah
kesusahan yang hanya ditanggung oleh seorang ibu manakala si ayah hanya
berkongsi kesusahan bersama si ibu dalam mendidik(dan memberi
nafkah)terhadap seorang anak.( Ibn Hajar al-`Asqalani, Fathul Bari bi Syarh
Shahih al-Bukhari 17/ 90, Maktabah Syamilah edisi ke -2) Jumhur ulama juga
berpendapat wajib mendahulukan ibu berbanding ayah.Banyak lagi kelebihan
berbuat baik terhadap ibu bapa yang diriwayatkan di dalam hadith-hadith
Nabi s.a.w antaranya apa yang diriwayatkan oleh Ibn Mas`ud r.a katanya:Aku
bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “ Amalan apakah yang paling utama?”
Jawab Nabi s.a.w: “ Solat pada waktunya” Aku bertanya lagi: “ Kemudian?”
Jawab Nabi s.a.w: “ Berbuat baik kepada kedua ibu bapa…” (HR Muslim
no:120) Di dalam riwayat yang lain Nabi ditanya tentang amalan apakah
yang boleh mendekatkan diri ke syurga dan sangat dicintai oleh Allah lantas
Nabi menjawab di antaranya ialah: “ Berbuat baik terhadap kedua ibu bapa”

Jika kita teliti dan mentadabburi kalam Allah s.w.t yang Maha Indah dan Maha
Benar serta petunjuk Nabi s.a.w maka kita akan mendapati perintah,
kelebihan dan juga fadhilat berbuat baik terhadap kedua ibu bapa sudah
cukup untuk menggalakkan kita agar berbakti terhadap kedua-dua orang tua
sama ada ketika mereka masih hidup mahupun sesudah mereka meninggal
dunia.Ketika mereka masih hidup kewajipan seorang anak ialah berbuat baik
terhadap mereka dengan sentiasa manis muka terhadap mereka, berlemah
lembut, merendah diri, mendoakan kesejahteraan mereka dan membantu
mereka jika mereka memerlukan bantuan.Adapun setelah mereka meninggal
dunia maka kita dituntut agar memperbanyakkan istighfar, dan mendoakan
ke atas mereka,melangsaikan hutang mereka dan juga nazar mereka ,
berhubung dan menziarahi sahabat-sahabat baik mereka .Firman Allah
ta`ala: Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh
kesayangan dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya,
sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku ketika waktu kecil" (al-Isra`
17:24) Petunjuk Nabi s.a.w yang telah sempurna tidak pernah mengajar kita
untuk berbuat baik terhadap kedua orang tua selepas kematian mereka
dengan menyedekahkan al-Fatihah, membuat majlis tahlilan, membaca yasin
dan sebagainya.Apa yang di ajarkan Nabi s.a.w ialah dengan kita
memperbanyakkan doa agar Allah mengampuni mereka dan mengurniakan
kesejahteraan ke atas mereka baik di dunia mahupun di akhirat.Diriwayatkan
dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: “ Apabila
matinya seorang manusia maka terputuslah (pahala) amalannya kecuali tiga
perkara: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak Soleh yang
mendoakannya”. ( HR Muslim no:3084) Berkata para Ulama` ketika
mensyarahkan Hadith ini: “ Bahawasanya (pahala)amalan si mati akan
terputus disebabkan kematiannya kecuali dalam tiga perkara tersebut
disebabkan ianya merupakan sebab(yang boleh si mati mendapatkan pahala)
atas usahanya(ketika hidup) sesungguhnya anak itu adalah usahanya,begitu
juga ilmu yang ditinggalkannya sama ada melalui pengajaran ataupun
penulisan begitu juga sedekah jariah seperti hartanya yang diwakafkan ( an-
Nawawi, Syarh Shahih Muslim 2/61, Maktabah Syamilah) Nabi s.a.w pernah
bersabda: “ Sesungguhnya sebaik-baik makanan yang dimakan seseorang
yang berasal dari usahanya dan anak adalah termasuk usahanya”.(Hadith
Shahih riwayat Abu Daud no:3061 an-Nasaie no:4373,Ahmad no:22904 lihat
Irwaaul Ghalil,7/230) Adapun pahala bacaan al-Quran untuk si mati adakah
sampai atau tidak, menurut Imam Nawawi di sana terdapat khilaf di kalangan
ulama` tetapi mazhab Syafi`e dan jumhur Ulama` berpandangan ianya tidak
sampai.Penulis berpandangan ianya tidak sampai kerana amalan tersebut
tidak pernah ditunjukkan oleh para sahabat dan juga ulama Salaf.Pendapat
ini lebih dekat dengan firman Allah ta`ala: . Dan bahwasanya seorang
manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya.( an-Najm
53:39) Dan ingatlah setiap amalan yang tidak mengikuti petunjuk Nabi s.a.w
maka ianya tertolak dan sia-sia.Sabda Nabi s.a.w: Sesiapa yang beramal
dengan amalan yang bukan berdasarkan urusan(petunjuk)kami maka ianya
adalah tertolak.( HR Bukhari no:2499)

Adapun mengadakan kenduri arwah, tahlilan dan juga bacaan Yasin dirumah
si mati maka hukumnya sudah thabit akan keharamannya di dalam hadith
yang diriwayatkan oleh Jarir Ibn `Abdullah Ibn Bajalli r.a katanya: “Kami(Para
Sahabat) memandang berkumpul di rumah si mati dan mengadakan jamuan
makanan adalah sebahagian daripada ratapan”.( HR Ibn Majah no:1601,
dinilai Shahih oleh al-Albani .Lihat Shahih Ibn Majah no:1612, 4/112) Nabi
s.a.w melarang sekerasnya ratapan ketika menghadapi kematian dengan
larangan yang keras malah amalan tersebut merupakan amalan kaum
jahiliyyah, hal ini sepertimana yang diriwayatkan dari Abu Malik al-Asy`ari
bahawasa Rasulullah s.a.w bersabda: “ Empat hal dari kebiasaan Jahiliyyah
yang masih dilakukan umatku dan tidak juga ditinggalkannya, iaitu
berbangga-bangga dengan keturunan, mengingkari keturunan, meminta
hujan dengan ramalan bintang dan meratapi mayat.Wanita yang meratapi
mayat, jika tidak bertaubat sebelum mati,maka pada hari kiamat kelak dia
akan memakai baju yang diperbuat dari bara api yang bersalut besi”( HR
Muslim no:1550,Ahmad no:21837) Justeru penulis menyeru agar kembalilah
kita kepada al-Quran da as-Sunnah dalam setiap aspek kehidupan kita
termasuklah dalam niat kita untuk berbuat baik dan berbakti kepada kedua
ibu bapa kita.Janganlah kita berani menghalalkan apa yang telah diharamkan
oleh Allah s.w.t melalui lisan RasulNya s.a.w .Firman Allah ta`ala: “Dan
janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu
secara dusta "Ini halal dan ini haram", untuk mengada-adakan kebohongan
terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan
kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung.( an-Nahl 16:116)

Taiping,

12:57 a.m
16 Jamadil Ula 1430H/ 11 Mei 2009

Menurut Kaca Mata Yang Shahih

You might also like