You are on page 1of 3

TAKLIMAT GURU DALAM MENGHADAPI CABARAN ERA GLOBALISASI PENDIDIKAN.

Oleh: Mohd Norhaffizie Bin Durahim Terima kasih diucapkan kepada Pengerusi Majlis, yang berusaha Pn. Salmah Binti Abdullah, pengarah IPGM kampus Gaya, yang berusaha En. Subramanian A/L Muthusamy, Timbalan Pengarah IPGM Kampus Gaya, En. Ladius Emor, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, para pensyarah dan guru-guru pelatih sekalian. Assalamualaikum dan salam Satu Malaysia. Pada pagi ini, saya akan menyampaikan satu taklimat bertemakan Globalisasi Pendidikan dengan tajuk Guru dalam Menghadapi Cabaran Era Globalisasi Pendidikan. Untuk meneruskan taklimat saya pada hari ini saya akan menerangkan maksud Globalisasi Pendidikan. Menurut Kamus Dewan globalisasi diertikan sebagai fenomena yang menjadikan dunia mengecil dari segi perhubungan manusia kerana kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Manakala menurut Prof Micheal Gibbons (2003), Setiusaha Agong Persatuan Universiti Komonwel (ACU), globalisasi pendidikan diertikan sebagai satu proses perubahan untuk amalan dan pelaksanaan pengajaran yang berkualiti. Dalam pendidikan di negara kita, globalisasi pendidikan merupakan sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Kerajaan juga telah menetapkan matlamat untuk membangunkan modal insan minda kelas pertama yang dapat dilihat dalam teras kedua dalam rancangan Malaysia kesembilan iaitu membangunkan sistem pendidikan yang bertaraf dunia, agar generasi yang dilahirkan nanti akan mampu bersaing dalam persaingan sengit era globalisasi mengikut acuan kita sendiri (minda kelas pertama) Untuk merealisasikan matlamat nasional iaitu memupuk minda kelas pertama. Sebagai arkitek utama dalam dunia pendidikan, para guru haruslah bersedia untuk melengkap diri mereka dalam usaha mengerakkan misi nasional ini. Namun begitu

dalam usaha mencapai misi nasional ini, terdapat 10 cabaran yang harus ditempuhi oleh para guru dalam era globalisasi pendidikan. Cabaran pertama ialah guru hendaklah mempunyai ciri iltizam. Apa yang dimaksudkan ialah sikap guru yang bersungguh-sungguh untuk melibatkan diri dan bertanggungjawab dalam pelaksanaan tugas sebagai pendidik di sekolah. Cabaran kedua ialah guru hendaklah berorientasikan maklumat, iaitu guru yang bersungguh-sungguh mengejar maklumat- maklumat baru berkaitan dengan dunia pendidikan. Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) merupakan sesuatu yang harus dipelajari oleh para guru dalam usaha untuk mengemaskini ilmu pengetahuan dan kemahiran diri untuk menempuh era globalisasi pendidikan. Cabaran ketiga ialah guru yang mempunyai wawasan, iaitu mempunyai misi dan visi sendiri, terutama yang berkaitan dengan dunia pendidikan. Misi dan visi inilah yang akan membantu guru-guru dalam proses memupuk minda kelas pertama. Cabaran keempat ialah guru yang berpandangan global. Dalam dunia yang semakin mengecil disebabkan perkembangan internet (IT), guru tidak seharusnya melihat dunia pendidikan dalam perspektif lama sebaliknya perlu memandang lebih jauh sehingga ke peringkat global untuk meningkat mutu pendidikan di negara kita. Cabaran kelima ialah guru yang berpandangan positif. Kualiti professional perguruan yang positif dapat dilihat dalam empat aspek penting iaitu: Peka kepada perubahan. Sedar tentang keperluan negara. Bersikap positif terhadap pembelajaran. Mempunyai inovasi dalam tugas.

Cabaran yang keenam ialah guru hendaklah berpengetahuan, fleksibel dan mudah menyesuaikan diri dalam reformasi, inovasi dan perubahan pendidikan. Ini bermakna guru hendaklah menguasai kemahiran belajar untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran, demi menyesuaikan diri dengan peranan dan tugas baru dari semasa ke semasa, serta dalam persekitaran sosial.

Cabaran yang ketujuh ialah guru hendaklah mahir dalam teknologi pendidikan. Teknologi pendidikan yang dimaksudkan adalah penggunaan computer dan teknologi terkini. Pengunaan teknologi pendidikan telah berjaya membawa reformasi dalam bidang pendidikan seterusnya membantu kita untuk menghadapi cabaran era globalisasi pendidikan. Cabaran kelapan ialah membuat refleksi melalui penyelidikan tindakan. Amalan ini sangat penting untuk meningkatkan profesionalisme keguruan. Melalui cara ini, guru dapat menggunakan teori pengajaran dan pembelajaran untuk menilai kebaikan dan kelemahan pengajaran serta pembelajaran pelajarnya, lalu memperhalusi cara-cara untuk memperbaiki kelemahan dan mempertingkatkan penguasaan para pelajar. Cabaran kesembilan ialah merebut peluang pendidikan terbuka (open education). Pendidikan terbuka boleh diertikan sebagai pendidikan di luar sekolah. Contoh pendidikan terbuka di negara kita ialah Pendidikan Jarak Jauh (PJJ), Pendidikan Universiti Virtual dan Pendidikan Universiti Terbuka. Melalui sistem pendidikan terbuka pemerolehan ilmu tidak lagi terhad di dalam kawasan sekolah sahaja. Pendidikan hari ini sememangnya telah merentasi sempadan dan media. Cabaran kesepuluh ialah mewujudkan hubungan interpersonal secara sarwajagat untuk menghadapi cabaran globalisasi pendidikan. Guru hendaklah berusaha mewujudkan hubungan interpersonal secara sarwajagat untuk berkongsi maklumat dan kaedah pengajaran dan pembelajaran terkini dalam dunia pendidikan. Sekian saja taklimat saya pada hari ini iaitu Guru dalam Menghadapi Cabaran Era Globalisasi Pendidikan. Semoga segala maklumat yang telah saya berikan kepada semua guru-guru pelatih pada hari ini, mampu mendedahkan anda semua tentang cabaran guru-guru dan era globalisasi pendidikan. Sekian, terima kasih.

You might also like