You are on page 1of 9

LAPORAN PROGRAM LAWATAN ILMIAH KE AGENSI SUKAN DI PERINGKAT NEGERI TARIKH: 27 APRIL 2009 (ISNIN) MASA: 1.

00 PETANG - 5.00 PETANG TEMPAT: PERSATUAN ANGKAT BERAT AMATUR SABAH, STADIUM LIKAS PENSYARAH PENGIRING: EN. MOHD. SAWARI B. RAHIM Sebelum bertolak ke Persatuan Angkat Berat Amatur Sabah di Stadium Likas, kesemua guru pelatih telah berkumpul awal pada jam 12.45 di perkarangan pondok cendawan, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Kent, Tuaran. 15 minit terakhir sebelum bertolak ini digunakan oleh guru pelatih untuk memastikan kesemua peralatan dan persiapan telah dibawa dan diuruskan. Tepat pada jam 1.00 petang, bas Institut Perguruan Kent bertolak membawa guru pelatih ke Persatuan Angkat Berat Amatur Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu. Perjalanan mengambil masa 45 minit dan kami telah sampai ke destinasi pada jam 1.45 petang. Setibanya di sana, kami telah disambut oleh Encik Alfried Bily@Sylvester iaitu Pegawai Penyelaras Sukan Negeri Angkat Berat. Encik Alfried meminta kami untuk duduk sebentar di kawasan perkarangan Persatuan Angkat Berat Amatur Sabah bagi menunggu ketibaan Presiden Persatuan Angkat Berat Amatur Sabah.

SAUDARA AK. AZWAN BERBINCANG BERSAMA ENCIK ALFRIED SEBELUM KETIBAAN PRESIDEN PERSATUAN ANGKAT BERAT AMATUR SABAH

Pada jam 2.05 petang, Encik Philip Gisan iaitu Presiden Persatuan Angkat Berat Amatur Sabah tiba dan kami diminta masuk ke dalam bilik latihan Persatuan Angkat Berat Amatur Sabah. Encik Philip sendiri telah mempersilakan kami untuk mengambil tempat bagi mendengar taklimat yang akan disampaikan oleh beliau sebentar lagi. Acara diteruskan dengan memulakan majlis taklimat dan dipengerusikan oleh Encik Alfried Bily@Sylvester. Beliau mengalu-alukan kedatangan kami dan tanpa membuang masa beliau terus mempersilakan Encik Philip Gisan untuk memberikan taklimat pengurusan dan pentadbiran persatuan kepada kami.

ENCIK PHILIP SEDANG MEMBERIKAN TAKLIMAT KEPADA GURU PELATIH

Encik Philip memberikan taklimat kepada mengenai pengurusan dan pentadbiran persatuan, sejarah dan latarbelakang sukan angkat berat di Sabah, peraturan-peraturan, peralatan dan pengetahuan asas mengenai sukan angkat berat. Antara isi-isi penting yang telah dinyatakan di dalam taklimat beliau itu ialah: 1. Sukan angkat berat di Sabah berkembang lebih awal namun kini penyertaan dari pelbagai negeri seperti negeri Pahang memberikan saingan hebat kepada atlet negeri Sabah di peringkat sukan angkat berat di Malaysia. 2. Pihak pengurusan Persatuan Angkat Berat Amatur Sabah amat mementingkan penggunaan teknik yang betul apabila membuat latihan

bagi

mengelakkan

kemalangan

dan

kecederaan

di

samping

meningkatkan lagi prestasi atlet. 3. Di dalam acara sukan angkat berat, terdapat tiga aspek utama yang penting iaitu titik pusat gravity (center gravity), keseimbangan (balancing), dan kelajuan (speed). 4. Penyertaan kanak-kanak bagi sukan angkat berat ialah seawal umur 10 tahun. 5. Bina badan dan angkat berat merupakan dua konsep dan sukan yang berbeza. 6. Terdapat 5 lagi pusat latihan angkat berat yang terdapat di Sabah (selain di Stadium Likas, Kota Kinabalu) iaitu di Menggatal, Ranau, Sandakan, Keningau dan juga Kinarut) Selain itu, Encik Philip Gisan juga sangat menaruh harapan kepada bakalbakal guru seperti kami untuk memperkenalkan sukan angkat berat ini di peringkat sekolah. Beliau mengharapkan agar dengan adanya pendedahan yang diberikan oleh pihak guru dan sekolah, ianya dapat membantu persatuan di dalam mencari bakat-bakat baru dan seterusnya dapat memupuk aktiviti senaman yang sememangnya perlu di dalam kesihatan seharian. Namun, Encik Philip sendiri turut mengakui bahawa faktor halangan dari segi ekonomi sememangnya menjadi penghalang utama di dalam menjayakan sukan angkat berat ini di peringkat sekolah.

GURU PELATIH MENDENGAR DAN MEMBERIKAN FOKUS KEPADA TAKLIMAT YANG DIBERIKAN OLEH EN. PHILIP

Encik Philip juga berharap agar penyertaan dan penglibatan jurulatih-jurulatih perempuan perlulah diperbanyakkan agar acara sukan ini juga boleh diikuti oleh kaum wanita. Sebelum mengakhiri taklimat beliau, Encik Philip telah memberikan kami edaran mengenai sukan angkat berat dan diberikan kepada wakil lelaki dan juga perempuan. Beliau menyatakan bahawa edaran tersebut adalah sebagai rujukan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai acara sukan angkat berat. Beliau juga turut memberitahu kami mengenai acara sukan angkat berat yang seterusnya adalah pada 8,9,10 dan 11 Ogos 2009 bertempat di Stadium Likas dan berharap agar kami dapat memberikan sokongan dan hadir ke acara tersebut. Taklimat beliau berakhir pada jam 3.00 petang. Lawatan ini diteruskan lagi dengan mengadakan sesi soal jawab bersama Encik Philip Gisan. Respon yang diberikan oleh guru pelatih sangatlah

memberansangkan. Terdapat beberapa soalan yang telah diajukan oleh para pelatih dan diantaranya ialah: 1. Apakah program-program yang telah dijalankan oleh pihak persatuan? 2. Apakah kesan sampingan kepada badan atlet sukan angkat berat. Adakah ianya mempengaruhi ketinggian seseorang? 3. Apakah pula kesan kesan terhadap perempuan (pada bahagian peranakan)? 4. Bagaimana kanak-kanak berusia 10 tahun memulakan latihan sukan angkat berat? 5. Apakah maksud bagi setiap acara seperti 56kg dan sebagainya?

SESI SOAL JAWAB GURU PELATIH BERSAMA ENCIK PHILIP

Encik Philip Gisan memberikan jawapan bagi setiap pertanyaan yang telah diberikan. Antara jawapan-jawapan yang telah diberikan ialah: 1. Terdapat beberapa program yang telah dijalankan oleh persatuan iaitu seperti program yang mempromosikan acara angkat sukan di sekolahsekolah dan juga membuat iklan di surat khabar. 2. Kesan sampingan sering berlaku jika tidak melakukan dan membuat latihan dengan teknik yang betul. Selain itu, acara sukan angkat berat tidak mempengaruhi ketinggian seseorang. 3. Kesan terhadap peranakan perempuan hanya berlaku apabila sudah melahirkan anak. Tempoh diberikan selama 2 tahun kepada

perempuan untuk berehat daripada melakukan latihan sukan angkat berat. 4. Kanak-kanak berusia 10 tahun memulakan latihan menggunakan kayu dan akan berpindah latihan secara berperingkat (mengikut keupayaan). 5. Acara tersebut bergantung kepada berat atlet dan individu tersebut tidak boleh ringan daripada berat tersebut. Lawatan ini diteruskan lagi dengan sesi demonstrasi oleh Encik Nicholas Ang iaitu jurulatih Persatuan Angkat Berat Amatur Sabah. Beliau merupakan bekas atlet acara sukan angkat berat. Beliau juga telah dibantu oleh seorang atlet muda iaitu saudara Lester untuk menunjukkan demonstrasi kepada kami.

SAUDARA LESTER MENUNJUKKAN TEKNIK DAN GAYA ANGKAT BERAT KATEGORI SNATCH

Encik Nicholas menerangkan kepada kami dan menunjukkan teknik yang betul mengenai kategori yang dipertandingkan di dalam sukan angkat berat iaitu Snatch dan Clean and Jerk. Setelah selesai sesi demonstrasi dan penerangan oleh Encik Nicholas dan saudara Lester, mereka memberi peluang kepada guru pelatih untuk membuat simulasi berdasarkan demostrasi langkah yang telah ditunjukkan. Respon yang diberikan sangat menggalakkan dan hampir 4 hingga 5 orang(lelaki dan perempuan) mencuba untuk membuat simulasi bagi kedua-dua jenis kategori. Namun, bagi menjaga keselamatan, Encik Nicholas Ang hanya menyediakan palang besi seberat 15kg bagi sesi simulasi tersebut. Beliau juga mengingatkan kami untuk memberikan tumpuan dan bersikap serius apabila melihat rakan lain mencuba mengangkat palang tersebut bagi mengelakkan kemalangan yang tidak diingini.

GURU PELATIH LELAKI DAN PEREMPUAN MASING-MASING MENCUBA DI DALAM SESI SIMULASI

Sesi ini juga diselitkan dengan beberapa soal jawab di antara Encik Nicholas dengan para pelatih. Di antara soalan-soalan yang diutarakan seperti peraturan pertandingan sebenar, pemakanan atlet dan sebagainya. Sesi ini ditamatkan dengan melihat demonstrasi oleh saudara Lester mengangkat palang besi seberat 45kg bagi kedua-dua kategori (Snatch dan Clean and Jerk) pada jam 4.30 petang dan diteruskan dengan majlis penutupan.

SAUDARA LESTER MEMBUAT DEMONSTRASI TERAKHIR SEBELUM MAJLIS PENUTUPAN

Majlis penutupan dimulai dengan ucapan oleh Ak. Azwan Bin Pengiran Ali sebagai pengerusi Program Lawatan Ilmiah ke Agensi Sukan di Peringkat Negeri. Beliau menyatakan ucapan terima kasih kepada semua pihak dan juga mengharapkan agar lawatan ini dapat memberikan manfaat kepada semua pihak. Seterusnya, majlis diteruskan dengan upacara penyampaian sijil dan cenderamata kepada pihak Persatuan Angkat Berat Amatur Sabah sebagai kenangkenangan dan hadiah terima kasih di atas kesudian mereka menerima lawatan oleh guru pelatih PISMP-IPGM PSV, IPGM Kampus Kent, Tuaran. Majlis tamat pada jam 4.45 petang dan lawatan ini berakhir dengan sesi fotografi dan juga jamuan petang. Tepat jam 5.00 petang, kami pun bertolak pulang ke Institut Perguruan Kent dengan lambaian mesra dari pihak persatuan.

MAJLIS PENUTUPAN DAN PENYAMPAIAN SIJIL DAN CENDERAMATA

You might also like