You are on page 1of 2

Salam perpaduan, salam damai dan salam 1Malaysia kepada semua pelajar yang dikasihi sekalian.

Ceramah yang saya akan sampaikan pada pagi ini ialah berkenaan dengan Kepentingan Pelajar Mengusai Bahasa Melayu dalam pertuturan dengan baik.

Para pelajar yang dikasihi sekalian.. Seperti yang kita sedia maklum, berdasarkan konteks negara Malaysia, bahasa melayu telah dinobatkan sebagai bahasa rasmi, yakni semua rakyat digalakkan untuk bertutur dalam bahasa melayu. Situasi ini sekaligus menjadikannya sebagai bahasa perpaduan yang menyatupadukan kepelbagaian kaum di Malaysia. Sebagai seorang pelajar, anda adalah ejen utama atau juga digelar sebagai pengguna utama bahasa melayu kerana sepanjang berada di sekolah, anda merupakan penutur utama bahasa melayu terutama sekali ketika berkomunikasi bersama rakan-rakan pelajar dan juga para guru. Bahasa selain bahasa melayu jarang digunakan kerana tidak semua individu dapat menuturkan bahasa yang lain dengan fasih. Jika anda tidak dapat menguasai bahasa melayu dengan baik, berkemungkinan besar akan menjejaskan peluang anda untuk berinteraksi bersama pelajar yang lain seterusnya mengehadkan perkembangan bahasa juga sosialiasi yang akhirnya mempengaruhi perkembangan intelektual anda. Seterusnya, adalah penting untuk pelajar menguasai bahasa melayu kerana bahasa melayu merupakan bahasa pertuturan yang secara langsung digunakan sebagai bahasa pengantar serta bahasa ilmu dalam pendidikan. Sebagai seorang pelajar, anda mungkin sedar bahawa semua bahan pembelajaran yang ada seperti buku teks serta buku rujukan anda menggunakan bahasa Melayu. Ini adalah disebabkan oleh statusnya sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan kecuali bagi sekolah-sekolah jenis vernacular yang masih lagi menggunakan bahasa ibunda mereka sebagau bahasa pengantar. Berdasarkan penyata razak dan laporan rahman talib, bahasa melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa kebangsaan dan mampu menjadi asas kepada pembinaan negara bangsa yang maju seperti yang telah dimasukkan ke dalam wawasan 2020. Kebolehan dan kemampuan golongan muda seperti anda dalam bertutur dalam masyarakat mampu memartabatkan bahasa melayu sebagai salah satu bahasa yang diagungkan di mata dunia serta boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja dari setiap pelosok dunia. Hadirin sekalian Bahasa melayu secara umumnya menjadi bahasa perpaduan yang merangkumi alat komunikasi serta medium penghubung antara sosial, merobohkan sentimen perkauman, geografi dan status penduduk. Sebagai golongan muda, pelajar sebenarnya menjadi pengguna penting kepada bahasa melayu kerana bahasa melayu menjadi alat perhubungan utama dalam kalangan kepelbagaian kaum dan etnik masyarakat di Malaysia. Di dalam sesebuah sekolah misalnya, terdapat ramai murid yang berbeza latar belakang. Hal demikianlah yang memerlukan pelajar untuk menguasai bahasa melayu dalam pertuturan dengan baik untuk memudahkannya berinteraksi dengan murid yang lain. Anda mungkin dapat melihat contohnya dalam kehidupan sebenar anda sebagai seorang pelajar yang mana anda hidup dalam satu kelompok masyarakat pelajar yang besar. Jika sekiranya tidak dapat bertutur dalam bahasa melayu dengan baik, bolehkan anda mengembangkan kemahiran sosial anda? Sudah tentu tidak. Ini disebabkan oleh bahasa melayu merupakan bahasa utama yang digunakan dalam sebarang aktiviti sosialisasi sesuatu kelompok masyarakat. Kemungkinan besar anda tidak menyedari bahawa bahasa melayu mempunyai konsep kesantunan bahasa yang secara tidak langsung bukan sahaja mempengaruhi pertuturan

malahan tingkah laku serta imej masyarakat. Kredibiliti pelajar sebagai generasi muda dalam menguasai bahasa melayu dengan baik dalam pertuturan menunjukkan konsep kesantunan bahasa melayu yang begitu indah serta melambangkan kebudayaan melayu yang wujud dalam kelompok masyarakat terutama sekali dari aspek berbahasa. Anda dididik dan didedahkan dengan kemahiran untuk menggunakan kata sapaan yang betul apabila berinteraksi dengan individu yang berbeza status dengan anda. Kebolehan anda untuk bertutur dalam bahasa melayu akan mampu membuka mata masyarakat tentang kepentingan untuk bertutur dalam bahasa melayu dengan baik. Di samping itu, sebagai penutur bahasa melayu juga, anda menunjukkan kepada mata dunia tentang perlakuan ataupun tingkah laku masyarakat penutur bahasa melayu, mungkin dari segi keindahan dan keunikan bahasa tersebut. Para pelajar, golongan muda yang dikasihi sekalian, Kesimpulannya, andalah penentu kejayaan bahasa melayu di negara kita. Jika sekiranya anda mampu menguasai dan seterusnya menuturkannya dengan baik dalam komunikasi seharian, tidak mustahil suatu hari nanti bahasa melayu akan menjadi menjadi antara bahasa teragung di dunia.

You might also like