You are on page 1of 8

Seminar Pengajaran dan Pembelajaran Berkesan 2008

PENGGUNAAN PENILAIAN FORMATIF SEBAGAI PROSES MELENGKAPKAN GELUNG: SATU USAHA PENAMBAHBAIKAN Hamimi Fadziati A. Wahab, Mohd Taufiq Mohd Yusof, Hafizah Husain, Mohd Hairi Mohd Zaman dan Aini Hussain Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi, Selangor, Malaysia

ABSTRAK Penilaian dalam proses pengajaran dan pembelajaran merupakan satu kaedah untuk mengesan pencapaian objektif pembelajaran. Secara umumnya, terdapat dua jenis penilaian berasaskan masa dan tujuan pelaksanaannya iaitu penilaian formatif dan sumatif. Penilaian formatif ditakrifkan sebagai penilaian secara berterusan dibuat sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berlangsung untuk menilai keberkesanan proses P&P. Manakala penilaian sumatif adalah penilaian di akhir sesuatu tempoh proses P&P untuk menilai pencapaian pelajar. Kebanyakan IPTA masa kini hanya melakukan penilaian sumatif iaitu untuk mengukur pencapaian pelajar semata-mata tanpa sebarang tujuan untuk memperbaiki proses P&P. Oleh itu, kertas kerja ini bertujuan untuk melihat penggunaan serta keberkesanan penilaian formatif sebagai satu usaha ke arah penambahbaikan dalam proses P&P di JKEES, UKM. Kursus KKKL3133 dan KKKL3143 dijadikan kursus percubaan untuk melihat keberkesanan penggunaannya sebelum diimplementasikan sepenuhnya di Jabatan. Pelaksanaannya adalah berdasarkan keputusan peperiksaan pertengahan pelajar dalam kursus tersebut. Setelah penilaian ini dijalankan, hasil dari pelaksanaannya dianalisa dan pencapaian pelajar ini dibandingkan antara sebelum penilaian dibuat dalam peperiksaan pertengahan dan setelah penilaian diadakan melalui pencapaian peperiksaan akhir. Maklumat-maklumat yang diperolehi dari penilaian formatif ini digunakan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang telah dikenal pasti melalui penerapan kaedah melengkapkan gegelung. Dengan itu, penambahbaikan telah dilakukan bagi meningkatkan proses P&P. Kata kunci: Penilaian formatif; penilaian sumatif; pengajaran dan pembelajaran

PENGENALAN Penilaian boleh didefinasikan sebagai satu kaedah untuk mengumpul, merekod, menganalisa serta menggunakannya untuk membantu proses pembelajaran (Harlen et al. 1992). Antara implikasi penilaian kepada pelajar adalah dapat
1

Hamimi Fadziati A.Wahab, Mohd Taufiq Mohd Yusof, Hafizah Husain, Mohd Hairi Mohd Zaman dan Aini Hussain

meningkatkan kesedaran pelajar tentang tahap pencapaian mereka dalam sesuatu kursus dan dapat meningkatkan penglibatan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran, penilaian yang berasaskan masa dan tujuan dapat dikategorikan kepada dua kaedah iaitu penilaian sumatif dan formatif. Sejarah pelaksanaan penilaian formatif dan sumatif bermula pada sekitar 1960an apabila Michael Scriven mengupas mengenai perbezaan diantara kedua-dua penilaian ini (Scriven et al. 1967). Kemudian, sekitar 1970an, ia mula berkembang melalui pelbagai bentuk penilaian yang diolah oleh Benjamin Bloom, Thomas Hastings dan George Madaus (Bloom et al. 1971). Amalan masa kini adalah lebih menitikberatkan kepada penilaian ke atas pembelajaran (sumatif) dan bukannya penilaian untuk pembelajaran (formatif) (James et al.). Oleh itu, peluang yang ada tidak digunakan untuk menjadikan penilaian sebagai salah satu alat bagi membantu untuk memperbaiki proses pembelajaran. Seringkali kita lihat dalam amalan di IPTA, ujian dan penilaian digunakan untuk menghasilkan keputusan akhir seperti gred atau markah peratusan dan para pelajar tidak diberikan maklumat lebih lanjut. Yang jelasnya situasi yang sebaikbaiknya adalah memberikan pelajar seberapa banyak maklum balas yang boleh untuk mereka mempertingkatkan pengetahuan, kemahiran dan sikap sebelum ujian seterusnya diadakan. Maklum balas ini merupakan antara komponen paling penting dalam penilaian formatif (Sadler et al. 1998). Penekanan terhadap penilaian formatif mula diberi perhatian apabila menyedari pelaksanaan penilaian sumatif tidak memberi peluang kepada pelajar untuk memperbaiki kelemahan mereka. Tahap pencapaian mereka hanya diuji setelah proses pembelajaran berakhir. Secara umumnya, penilaian sumatif seperti ini kurang berkesan dimana para pensyarah dan pelajar tidak dapat mengenalpasti masalah yang dihadapi dalam proses pembelajaran secara spesifik. Ini adalah kerana tiadanya peluang interaksi antara pensyarah dengan pelajar dan seterusnya tiada maklum balas dari kedua-dua pihak. Oleh itu, penilaian formatif ini dilihat sebagai salah satu usaha penambahbaikan bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Penilaian formatif atau penilaian untuk pembelajaran adalah bertujuan untuk memantau kemajuan pelajar ketika proses pembelajaran berlangsung dan ianya adalah secara berterusan. Dalam proses ini, pensyarah dan pelajar saling memperolehi maklumat akan kelemahan-kelemahan yang wujud semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Pensyarah berpeluang memberikan maklum balas tentang sejauh mana sesuatu hasil pembelajaran telah dikuasai oleh pelajar. Oleh itu, keupayaan dan keperluan pelajar dalam pembelajaran dapat dikenal pasti dan tindakan susulan berkenaan perancangan aktiviti pengajaran yang sesuai dapat dibentuk. Kedua-dua pihak dapat memperbaiki prestasi masing-masing dalam strategi penyampaian bagi pensyarah dan kaedah pembelajaran bagi pelajar. Penglibatan pelajar secara langsung dalam penilaian formatif ini adalah praktikal dan berkesan untuk mempertingkatkan penguasaan pembelajaran (Garrison et al.). Penilaian formatif ini dilihat sebagai satu sistem atau kaedah yang membantu pensyarah memberi maklum balas yang sesuai dan melakukan tindakan susulan
2

Penggunaan Penilaian Formatif Sebagai Proses Melengkapkan Gelung: Satu Usaha Penambahbaikan

kepada pelajar mereka. Ini adalah untuk memastikan gegelung ditutup dan para pelajar memperolehi semaksimum mungkin dari ujian atau peperiksaan yang dijalankan dan yang paling penting dapat memperbaiki pembelajaran dan keputusan di masa akan datang.

METADOLOGI PENILAIAN FORMATIF

Penilaian formatif ini telah digunapakai dalam kursus KKKL3133 dan KKKL3143 pada Semester 1 Sesi 2007/2008. Secara umumnya, pelaksanaan penilaian ini dibuat semasa proses pembelajaran berlangsung melalui pencapaian pelajar dalam kuiz, tutoran, latihan, laporan makmal atau peperiksaan pertengahan. Pelaksanaan penilaian telah dibuat dengan memberi maklum balas awal kepada pelajar melalui soalan kuiz. Keputusan bagi kuiz diberi seawal mungkin untuk tindakan susulan. Ini secara tidak langsung membantu pelajar dalam menilai tahap pemahaman awal pelajar dan sejauh mana keberkesanan tahap penyampaian pensyarah. Bagi pensyarah, tindakan memperbaiki kaedah penyampaian dibuat manakala pelajar akan dapat memperbaiki kelemahan diri dan memupuk sikap bertanggungjawab. Kemudian, pelajar akan diterangkan mengenai penilaian formatif dan penglibatan mereka dalam penilaian ini. Penilaian formatif dibuat pada peringkat kedua melalui keputusan peperiksaan pertengahan yang dibuat sekitar minggu ke-6 hingga ke-8. Hasil daripada keputusan peperiksaan pertengahan ini, pelajar akan dibahagikan kepada lima kategori bergantung kepada purata keseluruhan pencapaian pelajar seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1. JADUAL 1 Kategori pelajar berdasarkan pencapaian peperiksaan pertengahan Kategori 1 2 3 4 5 Penerangan Sangat Lemah Lemah Sederhana Baik Cemerlang

Berdasarkan Jadual 1, pelajar yang tergolong dalam kategori 1 dan 2 diwajibkan untuk berjumpa pensyarah bagi satu sesi perbincangan. Bimbingan diberikan oleh pensyarah bagi mengenalpasti masalah yang dihadapi. Borang kaji selidik mengenai senarai punca masalah yang dihadapi diisi oleh pelajar. Data yang diperoleh dikumpul dan dianalisa. Maklum balas terhadap masalah tersebut diberi secara terus dalam perbincangan. Ini merupakan peluang interaksi antara pensyarah dengan pelajar melalui pertembungan secara bersemuka. Seterusnya, maklum balas dapat diberikan dan tindakan susulan oleh kedua-dua pihak dilakukan bagi melengkapkan gegelung.
3

Hamimi Fadziati A.Wahab, Mohd Taufiq Mohd Yusof, Hafizah Husain, Mohd Hairi Mohd Zaman dan Aini Hussain

KEPUTUSAN DAN PERBINCANGAN

Hasil penilaian formatif ini dapat dilihat dari pencapaian pelajar dalam peperiksaan akhir semester untuk dua kursus ini iaitu KKKL3133 dan KKKL3143.

RAJAH 1

Bilangan dan Peratusan Pelajar Mengikut Kategori bagi Peperiksaan Pertengahan KKKL3133

Rajah 1 menunjukkan bilangan serta peratusan pelajar bagi setiap pembahagian kategori pelajar dalam kursus KKKL3133. Bilangan pelajar yang diwajibkan menjalani penilaian formatif adalah 13 orang atau 26% daripada 49 orang pelajar. Melalui perbincangan dan borang kajian, beberapa kelemahan pelajar telah dikenalpasti. Rajah 2 menunjukkan beberapa masalah yang telah dilaporkan melalui penilaian formatif ini.

RAJAH 2

Faktor yang Mempengaruhi Pencapaian Pelajar Kategori '1' dan '2' bagi Kursus KKKL 3133

Penggunaan Penilaian Formatif Sebagai Proses Melengkapkan Gelung: Satu Usaha Penambahbaikan

Merujuk kepada Rajah 2, didapati bahawa kebanyakan pelajar menghadapi masalah pengurusan masa iaitu pembahagian waktu belajar dan aktiviti lain. Sebahagian pelajar menghadapi masalah dalam asas pengiraan dan kurangnya latihan tambahan untuk meningkatkan pengukuhan subjek. Hanya seorang pelajar sahaja yang mempunyai masalah dalam memahami soalan yang diberi. Untuk mengatasi masalah ini, pensyarah untuk subjek KKKL3133 telah mengambil tindakan susulan melalui penyemakan semula kertas jawapan pelajar untuk mencari sebab utama masalah timbul. Kesalahan yang telah dilakukan pelajar dibincangkan semula dan pelajar diberi saranan untuk memberi lebih penekanan terhadap beberapa topik yang lemah. Masalah pengurusan masa diatasi dengan mendapatkan senarai aktiviti yang dilakukan oleh pelajar terbabit. Pensyarah menganalisa jadual harian pelajar berkenaan dan bimbingan yang perlu diberikan jika didapati kaedah belajar kurang sesuai. Pensyarah juga memberi cadangan mengenai cara belajar yang sesuai untuk memperbaiki kelemahan mereka. Bagi mengatasi masalah pemahaman terhadap soalan, pelajar berkenaan diminta untuk lebih berhati-hati dalam memahami soalan dan menjawab berdasarkan kehendak soalan yang diberi. Bagi kursus KKKL3143, terdapat seramai 16 orang (33.3%) daripada 48 orang pelajar diwajibkan menjalani penilaian formatif. Jumlah ini adalah mewakili satu pertiga daripada jumlah keseluruhan pelajar di dalam kelas berkenaan. Rajah 3 menunjukkan perincian terhadap bilangan dan peratusan pelajar mengikut kategori.

RAJAH 3

Bilangan dan Peratusan Pelajar Mengikut Kategori Bagi Peperiksaan Pertengahan KKKL3143

Daripada kaji selidik dan perbincangan yang diadakan, didapati terdapat lima faktor utama penyebab berlakunya masalah dalam proses pembelajaran. Rajah 4 menunjukkan faktor yang mempengaruhi pencapaian pelajar kategori 1 dan 2. Masalah mudah lupa dikenalpasti sebagai masalah utama selain masalah kurang latihan dan banyak tugasan lain yang dialami oleh pelajar kategori ini. Selain itu, terdapat beberapa pelajar menyatakan mereka menghadapi masalah sukar memahami subjek ini dan kerap mengamalkan belajar lewat malam.
5

Hamimi Fadziati A.Wahab, Mohd Taufiq Mohd Yusof, Hafizah Husain, Mohd Hairi Mohd Zaman dan Aini Hussain

RAJAH 4

Faktor yang Mempengaruhi Pencapaian Pelajar Kategori '1' dan '2' Bagi Kursus KKKL3143

Untuk mengatasi masalah yang dinyatakan dalam Rajah 4 ini, pertemuan secara bersemuka yang diadakan di antara pelajar dan pensyarah membincangkan mengenai teknik belajar seperti kaedah belajar berkesan, kaedah pengurusan masa dan latih tubi. Pelajar juga disarankan untuk membuat kumpulan belajar untuk meningkatkan tahap pemahaman pelajar.

RAJAH 5 Perbandingan Pencapaian Markah Purata Pelajar untuk Peperiksaan Pertengahan dan Akhir Kursus KKKL3133 dan KKKL3063 Rajah 5 menunjukkan perbandingan pencapaian pelajar dalam peperiksaan pertengahan dan akhir semester. Perbandingan dibuat terhadap kursus KKKL3133 yang melaksanakan kaedah penilaian formatif dan kursus KKKL3063 yang tidak melaksanakan penilaian formatif. Kedua-dua kursus ini diambil oleh pelajar yang sama pada semester yang sama. Keputusan menunjukkan pencapaian bagi pelajar kategori 1 dan 2 dalam kursus KKKL3133 hanya mengalami sedikit penurunan iaitu sebanyak 2.4% berbanding kursus KKKL3063 yang mengalami penurunan sebanyak 17%. Secara umumnya penurunan dalam pencapaian akhir berlaku disebabkan soalan akhir semester
6

Penggunaan Penilaian Formatif Sebagai Proses Melengkapkan Gelung: Satu Usaha Penambahbaikan

diolah dengan tahap yang lebih terperinci dan sukar. Perbezaan ini menunjukkan bahawa pelaksanaan penilaian formatif memberi impak positif terhadap pencapaian pelajar.

RAJAH 6 Perbandingan Pencapaian Markah Purata Pelajar untuk Peperiksaan Pertengahan dan Akhir Kursus KKKL3143 dan KKKL3063 Perbandingan pencapaian pelajar dalam peperiksaan pertengahan dan akhir semester untuk kursus KKKL3143 yang melaksanakan kaedah penilaian formatif dan kursus KKKL3063 yang tidak melaksanakan penilaian formatif ditunjukkan dalam Rajah 6. Kedua-dua kursus ini diambil oleh kumpulan pelajar yang sama pada semester yang sama. Jika diperhatikan pada Rajah 6, terdapat peningkatan markah purata pelajar sebanyak 8.16% untuk kursus KKKL3143 iaitu peningkatan daripada 40% kepada 48.16%. Peningkatan ini disebabkan oleh perubahan sikap pelajar terhadap kaedah belajar dan bimbingan yang telah diberikan semasa perbincangan bersemuka dengan pensyarah kursus. Perbincangan ini secara tidak langsung meningkatkan kesungguhan pelajar setelah mengetahui pensyarah kursus ini mengambil berat tentang pencapaian pelajar terbabit. Ini dapat dibuktikan dengan perbandingan terhadap pelajar yang sama dalam kursus KKKL3063 yang tidak melalui penilaian formatif. Berbanding kursus KKKL3133 dan KKKL3143, kursus KKKL3063 menunjukkan pencapaian purata pelajar mengalami penurunan signifikan dari 55.94% kepada 40.94%. Penurunan sebanyak 15% ini boleh dikaitkan dengan faktor kurangnya usaha pemantauan terhadap pencapaian pelajar atau dengan ertikata lain tiadanya pelaksanaan penilaian formatif terhadap para pelajar kursus tersebut. Justeru, satu rumusan boleh dibuat iaitu penurunan signifikan yang terjadi dalam KKKL3063 boleh dikaitkan dengan ketiadaan penilaian formatif yang menyebabkan pelajar kurang bermotivasi walaupun pencapaian peperiksaan pertengahan semester mereka adalah kurang memberangsangkan. Sisihan piawai di antara peperiksaan pertengahan dan akhir untuk pelajar yang menjalani penilaian formatif (KKKL3133 dan KKKL3143) menunjukkan peningkatan manakala untuk kursus tanpa penilaian formatif (KKKL3063) menunjukkan penurunan. Peningkatan jumlah sisihan piawai menunjukkan terdapat jurang markah disebabkan tahap kesedaran pelajar yang berbeza-beza.
7

Hamimi Fadziati A.Wahab, Mohd Taufiq Mohd Yusof, Hafizah Husain, Mohd Hairi Mohd Zaman dan Aini Hussain

Manakala penurunan markah sisihan piawai menunjukkan pelajar masih berada dalam tahap yang sama dan tiada motivasi untuk berubah.

KESIMPULAN

Penilaian dalam proses pengajaran dan pembelajaran boleh dilakukan secara berterusan melalui penilaian formatif. Ianya adalah satu kaedah sokongan dan langkah intervensi kepada pensyarah dan pelajar untuk mengatasi kelemahan yang ada. Kaedah ini memberi peluang interaksi antara pensyarah dengan pelajar dan seterusnya dapat memberikan motivasi kecemerlangan. Maklum balas yang diterima merupakan komponen penting yang dapat digunakan ke arah usaha penambahbaikan kepada proses pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan mutu penyampaian pensyarah dan pemahaman pelajar. Walaubagaimanapun, ia perlulah dibuat dengan komitmen daripada kedua-dua pihak agar proses melengkapkan gelung dapat dilakukan. Kesimpulannya, penggunaan penilaian formatif ini dilihat sebagai salah satu usaha ke arah penambahbaikan kepada sistem pengajaran dan pembelajaran yang sedia ada di JKEES, UKM.

RUJUKAN

Bloom, B. S., Hastings, J. T. & Madaus. G. F. 1971. Handbook of Formative and Summative Evaluation of Student Learning. New York: McGraw-Hill. Garrison, C. & Ehringhaus, M. t.th. Formative and summative assessments in the classroom. Jaringan Eksklusif National Middle School Association. http://www.nmsa.org/Publications/WebExclusive/Assessment/tabid/1120/Def ault.aspx [5 September 2008]. Harlen, W., Gipps, C., Broadfoot, P. & Nuttall, D. 1992. Assessment and the improvement of education. The Curriculum Journal 3: 215-230. James, M. t.th. Assess for learning insides. University of Cambridge. http://k1.ioe.ac.uk/tlrp/arg/AssessInsides.pdf [29 Oktober 2008]. Sadler, D. R. 1998. Formative assessment: revisiting the territory, Assessment in Education 5(1): 77-84. Scriven, M. 1967. The methodology of evaluation. In R. E. Stake (Ed), Curriculum Evaluation. American Educational Research Association Monograph Series on Evaluation. Chicago: Rand McNally.

You might also like