You are on page 1of 17

NAMA AHLI KUMPULAN: HAFIZUDDIN BIN HUSSIN INTAN NOORHASMAIZAN BINTI MOHAMED NORFADILAH BINTI KAMARUDDIN IDZWANI FARHA

BINTI AB.RASHID NURUL AIN MAZLINA BINTI KHAIRUDDIN ALINA BINTI ALIAS 08BI01158 08BI01112 08BI01178 08BI01180 08BI01197 08BI01199

SMSU (C) SESI II 2010/2011

Soalan a: Definisikan Qarinah dan buktikan kepentingan Qarinah menurut al-Quran serta lisan-lisan sejarah perundangan Islam.

Definisi: Qarinah dari segi bahasa adalah berasal dari kata kerja qarana yang membawa erti perkaitan, hubungan, gabungan, pertalian atau persahabatan.

Manakala Qarinah dari sudut perundangan adalah qarinah oleh diertikan sebagai andaian atau anggapan. Qarinah yang diberikan oleh Abdul Karim Zaidan ialah sebarang tanda sama ada alamarat atau al-alamat yang menunjukkan kewujudan sesuatu atau ketidakwujudan sesuatu.

Bukti kepentingan qarinah al-Quran: Keseluruhan ulama menerima qarinah sebagai salah satu cara pembuktian. Golongan yang menerima qarinah ini kebanyakannya adalah ulama mazhab yang empat. Dalil mereka berdasarkan al-quran, sunnah dan amalan sahabat. .

Firman Allah:
Maksudnya: dan bagi mengesahkan dakwaan itu mereka pula melumurkan baju Yusuf dengan darah palsu, bapa mereka berkata: Tidak, bahkan nafsu kamu memperelokkan kepada kamu sesuatu perkara (yang tidak diterima akal) , kalau demikian, bersabarlah aku, dengan sebaik-baiknya dan Allah jualah yang dipohonkan pertolongan-Nya tentang apa-apa yang kamu katakana itu. (Surah Yusuf:18) Menurut al-Qurtubi, dalam tafsirnya, fuqaha telah menjadikan ayat ini sebagai dalil boleh menggunakan petanda yang menunjukkan dalam masalah fikah seperti qasamah dan sebagainya. Ulama sepakat mengatakan bahawa Nabi Yaakub telah menjadikan bukti terhadap dakwaan palsu saudara Nabi Yusuf berdasarkan baju (yang dipakai oleh Nabi Yusuf) itu tidak koyak. Berdasarkan ayat dan riwayat ini jelas menunjukkan Nabi Yaakub elah menggunakan qrinah sebagai cara membuktikan dakwaan saudara-saudara Nabi Yusuf bahawa nabi yusuf telah dibunuh. Dakwaan bahawa nabi yusuf dimakan oleh serigala bohong berdasarkan kelaziman, kerana seseorang yang diserang atau dibaham serigala, tentulah bajunya akan koyak-rabak. Tetapi ini tidak berlaku kepada baju nabi yusuf. Keadaan ini menimbulkan keraguan tentang kebenaran dakwaan mereka

Kisah Dalam Sejarah Perundangan Islam Kisah (1)

Firman Allah: Maksudnya:


Dan mereka berdua pun berkejaran di pintu serta perempuan itu mengoyakkan baju (Yusuf) dari belakang, lalu terserempaklah kedua-duanya dengan suami perempuan dimuka pintu. Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suaminya), tidak ada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang menyiksanya. Yusuf pula berkata, dialah yang memujukku berkehendakkan diriku. (Suaminya tercengang mendengarnya) dan seseorang daripada keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama) tampil member pendapatnya lalu berkata, jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu dan jadilah Yusuf daripada orang-orang dusta, dan jika bajunya koyak dari belakang maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah daripada orang-orang yang benar Setelah suaminya melihat baju yusuf koyak dari belakang, berkatalah ia, sesungguhnya ini adalah tipu daya kamu orang-orang perempuan. Sesungguhnya tipu daya kamu adalah besar. (Surah Yusuf :25-28)

Kesimpulan: koyaknya baju Nabi Yusuf dari belakang adalah sebagai qarinah yang menunjukkan bahawa Nabi Yusuf tidak melakukan pencerobohan terhadap Zulaikha.

Kisah (2)
Nabi Sulaiman juga pernah menghukum berdasarkan qarinah. Pada suatu hari dia dikunjungi dua orang perempuan membawa seorang kanak-kanak. Masingmasing mendakwa bahawa kanak-kanak itu anaknya. Nabi Sulaiman berkata, berilah kepada ku pisau agar ku belah dua kanak-kanak itu untuk diberikan kepada kamu berdua. Perempuan yang tua itu bersetuju, sedangkan yang muda pula berkata Allahlah memberi rahmatnya kepada tuan. Janganlah dilakukan yang demikian itu. Kanak-kanak ini adalah anakku. Mendengar kata-kata tersebut, Nabi Sulaiman pun menghukumkan bahawa kanak-kanak itu diberikan kepada perempuan muda tersebut.

Soalan b: Huraikan kedudukan keterangan qarinah dalam kes-kes berikut: l. Ibrahim Yusuff lwn Eshah Hj Ishak dan 4 yang lain

Fakta kes: Dalam kes ini perayu (Ibrahim Yusuff) telah membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan kerana tidak berpuashati atas keputusan Mahkamah Tinggi Syariah berkaitan penolakan tuntutannya supaya mengesahkan hibah arwah datuknya kepada arwah ibunya iaitu sebidang tanah. Di atas tanah tersebut terdapat 2 rumah yang telah didiami oleh perayu bersama arwah ibunya sejak dia masih hidup manakala sebuah lagi didiami oleh pihak responden iaitu ibu saudaranya (Eshah Hj Ishak) bersama anak-anaknya sehingga dia pindah ke Kuala Lumpur. Isu yang berbangkit apabila pihak responden menyatakan bahawa tanah tersebut telah ditukarkan atas namanya oleh kerana datuknya telah berhutang dengan ceti haram dan hutang tersebut telah dibayar oleh pihak responden dan tanah itu dianggap balasan. Penghakiman: Hakim Mahkamah Rayuan telah menolak keputusan Mahkamah Tinggi terhadap pengesahan hibah itu dah mengesahkan bahawa tanah itu merupakan hibah dan milik pihak perayu. Dalam kes ini perayu telah mengemukakan 2 orang saksi yang telah mendengar sendiri lafaz hibah itu dilakukan dan ia dikira sebagai syahadah.

Selain itu terdapat beberapa pembuktian secara qarinah yang dapat menyokong kes tersebut: 1.Responden telah menerima Wang pampasan Kerajaan atas pengambilan balik tanah untuk membuat longkang dan telah menyerahkan separuh wang pampasan itu kepada ibu perayu. Ini merupakan satu qarinah kerana pihak responden sendiri mengakui tanah tersebut telah dibahagi secara 2 bahagian.

2.Perayu telah mendiami rumah tersebut sejak lahir bersama arwah ibunya sehingga berpuluhpuluh tahunnya tanpa dihalang oleh pihak responden sehingga berlakunyanya pertikaian terhadap tanah tersebut. Ini boleh dijadikan Qarinah berdasarkan seksyen 8 EKMSS 2003 memperuntukan bahawa apa-apa fakta yang menunjukkan motif, persediaan dan kelakuan dahulu dikira sebagai qarinah. 3.Selain itu, pihak responden tidak pernah menunjukkan geran tanah tersebut sebagai membuktikan tanah tersebut itu miliknya maka pihak perayu mempercayai bahawa nama ibu telah dinamakan utuk memiliki separuh tanah tersebut. Berdasarkan seksyen 16 EKMSS 2003 menyatakan bahawa apabila terdapat soal sama ada sesuatu perbuatan tertentu telah dilakukan , kewujudan apa-apa urusan yang kelazimanya pasti berlaku adalah qarinah. Kesimpulannya kedudukan qarinah dalam kes ini adalah kuat dengan adanya sokongan saksi-saksi dan qarinah yang jelas. Tiada wujudnya dakwaan dan sangkalan daripada mana-mana pihak bahawa berlakunya penarikkan pemberian tanah tersebut.

II.

Permohonan Perisytiharan Status Agama Si Mati Nyonya Binti Tahir.

Fakta Kes: Suatu permohonan ex-parte yang telah dibuat oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan dan Pegawai Agama Islam Daerah Tampin, Negeri Sembilan berhubung status dan ketentuan agama Islam Nyonya Binti Tahir yang telah meninggal dunia pada tarikh 18 Januari 2006 kerana sakit tua. Apabila si mati meninggal dunia timbul masalah tentang pengkebumiannya disebabkan status agama yang meragukan. Beliau adalah seorang perempuan melayu yang dilahirkan pada tahun 1918. Sejak kecil beliau tinggal bersama datuknya seorang muallaf Cina dengan mendapat asuhan dan didikan adat resam dan budaya Cina. Pada tahun 1936, beliau telah berkahwin dengan seorang lelaki Cina dan dikurniakan 13 orang anak. Sejak berkahwin sehingga beliau mati , beliau hidup dengan menyembah Tok Kong dan tidak mengamalkan cara hidup Islam.

Keputusan: Mahkamah memutuskan bahawa si mati bukan beragama Islam dan waris si mati berhak menuntut mayat.

Dalam kes ini terdapat qarinah yang boleh dijadikan hujah untuk menyokong tuntutan kes, iaitu: Seksyen 57 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Negeri Sembilan 2003 memperuntukan mengenai dokumen awam. Yang mana di dalam kes ini, surat akuan yang telah dibuat oleh si mati di hadapan Pesuruhjaya Sumpah yang bertarikh 19 Julai 1991 merupakan salah satu qarinah. Suatu dokumen yang dikeluarkan oleh Pejabat Agama Islam dan Mahkamah Kadi Daerah Alor Gajah Melaka yang bertarikh 7 Mei 1986, yang mana dokumen ini berbentuk suatu surat laporan yang menyebutkan mengenai bersekedudukan dengan lelaki cina iaitu di antara Nyonya Binti Tahir dan Chiang Meng, suami si mati. Keterangan bayyinah yang dibawa oleh anak-anak si mati yang berkaitan dengan amalan ibu mereka semasa hayat yang mengamalkan ajaran agama Budha. Seksyen 58 EKMSNS 2003 adalah mengenai dokumen persendirian yang boleh dilihat sebagai qarinah adalah seperti gambar-gambar yang mana semuanya dapat membantu mahkamah dalam memberikan keputusannya. Kesimpulannya, keterangan qarinah di dalam kes ini adalah kuat kerana ia besertakan dokumen yang menyokong tuntutan tersebut.

iii. Kamsiah Binti Yusof lwn. Latifah Binti Yusof Dan Tiga Yang Lain Isu: Sama ada wujud transaksi hibah terhadap harta-harta si mati kepada pihak Plaintif. Fakta kes: pasangan Yusuf bin Hassan dan Rus binti Mat Noor adalah suami isteri yang memperolehi harta-harta tak alih seperti sebuah tapak rumah dan rumah serta tiga bidang tanah di mukim Gemas. Selepas peninggalan arwah Yusof, semua harta-harta tak alih tersebut telah ditukar milik kepada arwah Rus tanpa ada bantahan daripada ahli waris yang lain. Selepas arwah Rus meninggal dunia, hartaharta tersebut telah dibahagikan mengikut faraid kepada semua ahli waris. Atas persetujuan semua ahli waris, Plaintif telah dilantik sebagai pemegang amanah terhadap harta-harta tersebut. Selepas lebih kurang tiga tahun perintah pembahagian dibuat, telah timbul pertikaian di mana salah seorang defendan ingin menukarkan kuasa mentadbir kepada ahli waris yang lain. Manakala pihak plaintif pula bertindak memfailkan tuntutan hibah ke atas sebahagian harta-harta tersebut. Keputusan: mahkamah menolak tuntutan bahawa harta tersebut bukanlah harta yang dihibahkan oleh si mati kepada Plaintif.

Terdapat beberapa Qarinah yang terdapat di dalam kes ini iaitu: Qarinah yang kuat dapat dilihat apabila pembahagian mengikut faraid yang dibuat dan diputuskan di Pejabat Tanah Gemas tidak dipertikaikan atau dibantah oleh pihak plaintif. Plaintif tidak menimbulkan isu harta tersebut adalah hibah yang dihibahkan kepadanya. Sedangkan Plaintif mempunyai dua peluang bagi membantah keputusan Pejabat Tanah. Qarinah yang kuat menunjukkan hibah tidak berlaku apabila didapati apabila lafaz hibah (ijab) yang diyatakan wujud oleh plaintif terdapat percanggahan dari keterangan saksi serta pihak defendan. Bahkan lafaz tersebut juga tidak menunjukkan bahawa wujud penukaran hak milik terhadap harta si mati. Qarinah lemah dari plaintif yang menyatakan sebagai tanda penerimaan, plaintif telah mendiami rumah dan mengusahakan kebun tersebut. Tetapi mahkamah mendapati lafaz penerimaan hibah (Qabul) dalam majlis akad tidak dinyatakan langsung oleh plaintif. Plaintif juga tidak membuktikan bahawa plaintif telah menguasai rumah tersebut. Kesimpulannya, qarinah bahawa plaintif tiada membuat sebarang bantahan terhadap harta-harta sebelum dibahagikan mengikut faraid dan keterangan saksi tentang lafaz hibah tidak konsisten lebih kuat menunjukkan bahawa transaksi hibah tidak pernah berlaku mengikut hukum syarak walaupun qarinah mendiami rumah tersebut didakwa telah mewujudkan hibah. Maka, jelaslah berdasarkan qarinah-qarinah di dalam kes ini, hibah tersebut tidak berlaku secara sempurna.

Soalan C : Alia bersama ibunya, Asmah membuat permohonan pengesahan waris di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam untuk membolehkannya menuntut harta pusaka arwah bapanya Haji Manaf. Alia pernah berjumpa dengan ibu, abang dan kakak tirinya untuk berbincang tentang pembahagian harta pusaka. Malangnya hasrat beliau ditolak kerana didakwa bukan anak Haji Manaf dan kewujudan perkahwinan antara Haji Manaf dan Asmah diragui. Mereka juga mendakwa semasa hayat Haji Manaf, beliau tidak pernah memaklumkan tentang perkahwinannya dengan orang lain walaupun pernah bertugas lama di sempadan tanah air sebagai tentera. Alia mengemukakan laporan ujian DNA, dokumendokumen kelahiran dan pelajaran, gambar-gambar bersama arwah bapanya, dua orang kampung yang mengetahui latar belakang hidupnya untuk membuktikan kebenaran nasabnya. Putuskan kes di atas. Jawapan : Dalam kes ini, pemohon iaitu Alia dan ibunya Asmah telah membuat permohonan pengesahan waris untuk membenarkannya mencabar menuntut harta pusaka arwah ayahnya iaitu Haji Manaf. Namun begitu, telah wujud kesamaran mengenai kesahtarafan nasab anak dan kewujudan perkahwinan diantara Haji Manaf dan Asmah turut diragui. Maka dengan ini, pemohon perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa beliau adalah anak sah taraf hasil perkahwinan kali kedua diantara Haji Manaf dan Asmah. Terdapat dua isu yang timbul di dalam kes ini iaitu :

Isu Pertama : mahkamah perlu membuat penilaian samada dengan mengemukakan dokumen-dokumen beserta gambar-gambar Alia bersama bapanya terjumlah kepada Qarinah? Pihak yang mendakwa hendaklah membuktikan kebenaran dakwaannya. Ini bermakna, beban membukti adalah atas pihak yang mendakwa. Dalam kes ini, Alia mendakwa bahawa dia merupakan waris kepada Haji Manaf. Oleh itu, Alia bertanggungjawab mengemukakan bukti dan keterangan yang kukuh, kuat dan relevan atau mengemukakan saksi yang kompeten yang boleh memperjelas kebenaran yang didakwa. Perkara ini bersesuaian dengan peruntukan di bawah seksyen 74 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Selangor 2003 yang menyatakan bahawa mana-mana pihak yang berjaya mengemukakan keterangan yang meyakinkan dalam sesuatu guaman atau prosiding akan menang. Di dalam kes ini, Alia telah mengemukakan laporan ujian DNA dan beberapa dokumen penting iaitu dokumen kelahiran dan pelajaran serta gambar-gambar bersama arwah bapanya kepada mahkamah. Menurut seksyen 6 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Selangor 2003, fakta yang menjadi sebahagian daripada transaksi yang sama ialah qarinah. Fakta yang wujud mestilah berhubung kait dari segi masa, tempat dan keadaan. Selain itu, seksyen 11 (b) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Selangor 2003 memperuntukkan bahawa seseuatu fakta boleh menjadi qarinah jika dengan sendirinya atau berkaitan dengan fakta lain, ia menjadikan kewujudan manamana fakta persoalan atau fakta relevan amat barangkali atau amat tak barangkali.

Menurut seksyen 27 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Selangor 2003 menjelaskan bahawa pengemukaan dokumen-dokumen merupakan satu qarinah yang boleh diterima oleh mahkamah. Keadaan ini boleh dibuktikan sekiranya Alia mengemukakan dokumen kelahiran dan pelajaran, kad pengenalan, surat pernikahan bapanya, rekod-rekod pendaftaran perkahwinan, dan gambar-gambar pernikahan ibu bapanya dijadikan eksibit dibawa masuk ke dalam mahkamah bagi membuktikan Alia merupakan anak kepada bapanya. Selain itu itu, di bawah seksyen 38 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Selangor 2003 pendapat pakar tentang hubungan seseorang dengan orang lain dengan menggunakan cara yang khas adalah qarinah. Jika berlaku perebutan dalam menentukan keturunan anak. Contohnya melibatkan kes persetubuhan ( salah sangka ), atau perkahwinan fasid, atau sebagainya sehingga melahirkan seorang anak yang tidak diketahui siapakah bapanya, asal keturunannya maka keturunan anak tersebut boleh ditentukan melalui kaedah qiyafah yang akan dilakukan oleh seorang qaif. Setiap keputusan dan penentuan yang dibuat oleh qaif akan diterima pakai dalam syarak sebagai pembuktian dalam penghakiman.

Alia perlu memberi analisis sampel darah ibu bapanya kepada mahkamah. Menurut teori pakar perubatan, jenis darah anak mempunyai persamaan dengan jenis darah ibu bapanya. Jika jenis darah kedua ibu bapa Alia ialah A, maka jenis darah Alia juga sepatutnya adalah A atau O. Adalah mustahil secara teorinya darah Alia jenis B. Jika darah Alia adalah daripada jenis B, maka sudah tentulah Alia bukan nasab daripada ibu bapa tersebut. Di sini, mahkamah akan menilai keterangan atau bukti yang Alia kemukakan berdasarkan keputusan analisis sampel darah Alia. Sekiranya jenis darah Alia adalah A atau O iaitu sama dengan jenis darah ibu bapanya, ia merupakan qarinah yang kuat yang menghubungkan nasab anak tersebut dengan kedua ibu bapanya.

Contoh kes yang berkaitan dengan isu ini ialah dalam kes Permohonan Pengesahan Waris Baharin Bin Abdul Hamid. Keterangan qarinah telah diambil kira oleh mahkamah dalam menentukan nasab Suraya memandangkan Abdul Hamid telah meninggal Dunia manakala Adah Binti Abdullah iaitu ibu Suraya telah ghaib dan tidak dapat dikesan. Antara qarinah yang dikemukakan ialah surat beranak dari Jabatan Pendaftaran Negara yang menunjukkan Suraya telah dibintikan dengan si mati. Ini menunjukkan pengakuan yang telah dibuat oleh si mati bahawa Suraya adalah anaknya sewaktu Suraya masih bayi lagi.

Disamping itu, tindakan si mati membawa balik Suraya tinggal bersamanya, membesarkan dan memberi pendidikan kepada Suraya serta tidak pernah dinafikan sebagai anak kandungnya selama si mati hidup juga dianggap sebagai qarinah yang membuktikan bahawa Suraya adalah anak kepada si mati. Dalam menerima fakta tersebut sebagai qarinah, mahkamah telah membuat tafsiran di bawah peruntukan seksyen 6 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah ( Wilayah Persekutuan ) 1997 yang menyatakan bahawa berdasarkan kepada peruntukan undang-undang, fakta-fakta yang dikemukakan walaupun tidak menjadi suatu fakta persoalan, namun ia begitu berkait dengan persoalan Suraya sebagai waris kepada si mati. Oleh itu, fakta-fakta tersebut boleh dijadikan sebagai qarinah yang menunjukkan bahawa Suraya adalah anak yang sah kepada si mati.

Aplikasi yang sama turut digunakan oleh mahkamah dalam menilai dokumen-dokumen yang dikemukakan oleh Alia dalam membuktikan nasabnya. Berdasarkan seksyen 6 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Selangor 2003, pengemukaan dokumen-dokumen penting dan gambar Alia bersama bapanya ke mahkamah boleh diterima sebagai qarinah di Mahkamah Tinggi Syariah. Kesimpulannya, berdasarkan hujah yang dikemukakan dan setelah meneliti keterangan dan qarinah yang dibawa oleh Alia tersebut, mahkamah memutuskan bahawa pemohon adalah waris yang sah kepada Haji Manaf. Maka dengan ini Alia berkelayakan untuk menuntut harta pusaka arwah bapanya.

Isu kedua: Adakah dengan mengemukakan keterangan oleh 2 orang kampong yang mengetahui latar belakang hidup Alina boleh dijadikan sebagai qarinah bagi penentuan keturunan Alia?
Dalam pengemukaan saksi bagi menentukan nasab seseorang, menurut peruntukan syarak pensabitan keturunan boleh dibuat berdasarkan salah satu daripada perkara iaitu syahadah, ikrar dan alistifadah. Di dalam kes Alia ini, saksi dua orang kampung yang menegetahui latar belakang hidupnya merupakan salah satu qarinah bahawa Alia dan ibunya mempunyai hubungkait dengan si mati. Menurut Seksyen 6 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah 2003 menjelaskan fakta-fakta walaupun tidak menjadi persoalan, sebegitu berkaitan dengan suatu fakta persoalan sehingga menjadi sebahagian daripada transaksi yang sama adalah qarinah. Sekiranya pengemukaan keterangan dua orang kampung itu berdasarkan cerita yang didengar daripada orang lain maka keterangan tersebut tidak boleh diterima sebagai syahadah tetapi boleh diterima sebagai qarinah dalam seksyen ini. Dalam menentukan nasab melalui keterangan saksi hendaklah diberikan sekurang-kurangnya dua orang saksi atau seorang saksi lelaki dan dua orang saksi perempuan. Hal sedemikian telah diperuntukan dalam seksyen 20(2) EKMSS 2003. Oleh hal yang demikian dua orang kampung yang dibawa oleh Alia adalah kompeten dengan peruntukan ini. Kesimpulannya, penerimaan dua orang saksi ssebagai keterangan yang mengetahui latar belakang adalah diterima oleh mahkamah sebagai pembuktian melalui qarinah. Berdasarkan hujah yang dikemukan dan setelah meneliti keterangan dan qarinah yang dibawa, adalah pemohon merupakan waris yang sah kepada Haji Manaf. Maka Alia berkelayakan untuk menuntut harta pusaka arwah bapanya.

You might also like