You are on page 1of 2

ISL MINGGU 15

Mengumpul dan mencari maklumat dari internet tentang Dasar Pendidikan Kebangsaan dan PIPP. Kaitkan dalam laporan ringkas bagaimana Dasar Pendidikan Kebangsaan dan PIPP berobjektifkan kearah penyatuan dan pembinaan bangsa Malaysia. Dasar Pendidikan Kebangsaan secara jelas mengarah kepada landasan yang tepat demi mewujudkan masyarakat yang harmonis. Hal ini adalah kerana asas yang dijadikan landasan dasar dalam orientasi dan falsafah pendidikan negara yang menggunakan acuan tempatan, contohnya dari segi bahasa pengantar, sukatan mata pelajaran dan kurikulumnya. Pada tahun 1974, Dasar Pendidikan dikaji semula dengan tujuan untuk memperbaiki pelaksanaannya supaya matlamat untuk melahirkan satu masyarakat yang bersatu padu dan berdisiplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang terlatih bagi pembangunan negara dapat dicapai. Keadaan ini mencerminkan hasrat bahawa Dasar Pendidikan diharapkan dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat negara ini dalam jangka masa pendek dan panjang demi melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih. Antara strategi yang telah digubal untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan ialah: 1. Penggunaan satu kurikulum yang sama kandungannya untuk semua sekolah. 2. Penggunaan satu bahasa pengantar yang sama iaitu Bahasa Malaysia di semua sekolah dan university. 3. Penggunaan buku-buku teks yang sama berlatarkan Negara. 4. Memperluaskan pendidikan vokasional dan teknikal. 5. Menggunakan pendidikan rendah mengikut Kurikulum Baru Sekolah Rendah yang berdasarkan 3M (membaca, menulis, mengira). 6. Menggunakan pendidikan menengah mengikut Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). 7. Penggunaan satu peraturan jadual waktu yang sama untuk semua sekolah. 8. Penggunaan satu sistem peperiksaan yang sama. 9. Penggunaan sistem penggal persekolahan yang sama. 10. Penggunaan sistem pentadbiran dan peraturan sekolah yang sama. Bagi melahirkan ruang fizikal dan bukan fizikal yang dapat memupuk perpaduan nasional dari peringkat awal terutama di sekolah-sekolah, kerajaan telah merangka, memperkenalkan dan melaksanakan secara berperingkat melalui beberapa langkah. Kerajaan telah memperkenalkan sekolah wawasan yang bertujuan untuk menyediakan satu ruang sosial yang memberikan kesempatan kepada pelajar daripada pelbagai etnik untuk berinteraksi, menjalinkan hubungan yang erat dan seterusnya dapat menyatukan bangsa Malaysia. Kerajaan juga memperkenalkan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) iaitu kerjasama antara sekolah pelbagai aliran dalam semua program pelajar dan guru. Objektif utama RIMUP adalah (i)menggalakkan penyertaan guru dan murid dalam kegiatan bersama; (ii)mewujudkan sikap kerjasama dan tolong menolong; (iii)melahirkan persefahaman dan bertolak ansur antara murid pelbagai kaum di sekolah; dan (iv)berkongsi kemudahan, peralatan, tenaga dan kepakaran untuk kegiatan khas. Langkah ini diharapkan mampu meningkatkan hubungan etnik dalam kalangan pelajar.

ISL MINGGU 15

Selain itu, kerajaan juga mengambil strategi untuk menawarkan mata pelajaran bahasa Mandarin dan bahasa Tamil sebagai mata pelajaran elektif di sekolah aliran kebangsaan. Penawaran ini membolehkan para pelajar daripada etnik lain dapat mempelajari bahasa Mandarin dan bahasa Tamil sebagai bahasa kedua. Pendedahan kepada kedua-dua bahasa tersebut diharapkan dapat menjadi pemangkin terhadap proses interaksi dan integrasi antara kaum. Penguasaan bahasa ini juga menjadi nilai tambah kepada pencapaian akademik para pelajar. Di samping itu, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) juga diperkenalkan dengan tujuan mewujudkan sebuah masyarakat yang saksama melalui peningkatan paras pendapatan dan kualiti hidup untuk golongan berpendapat rendah dan mengurangkan jurang ekonomi antara kumpulan etnik dan kawasan. Terdapat empat teras utama pelan tersebut iaitu meningkatkan akses kepada pendidikan, meningkatkan ekuiti dalam pendidikan, meningkatkan kualiti dalam pendidikan dan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan pendidikan. Kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai program untuk membantu para pelajar dari keluarga miskin. Contohnya seperti Rancangan Makanan Tambahan(RMT), Program Susu Sekolah, Skim Baucar Tuisyen, dan Skim Pinjaman Buku Teks. Secara kesimpulan, dalam konteks hubungan etnik, dasar pendidikan kebangsaan dan PIPP dengan acuan tempatan berada di landasan yang tepat untuk membawa generasi masa hadapan sebagai generasi yang bersatu padu. Pendekatan yang dibawa oleh dasar pendidikan kebangsaan berbentuk holistic. Dasar ini selaras dengan dasar semasa ke arah pembinaan insan yang unggul.

You might also like