You are on page 1of 3

Sains dan Teknologi: Suatu kelebihan atau kemudaratan?

Ditulis oleh Norkumala binti Awang. Posted in Artikel


Dalam era dunia tanpa sempadan, semua maklumat hanyalah dihujung jari. Sains dan teknologi
membawa kita kepada suatu perubahan kehidupan. Kemajuannya tidak boleh dinafikan. Namun,
dalam pada itu, ada juga yang menafikan tentang kesan sains dan teknologi. Pelbagai kesimpulan
yang dibuat oleh individu berdasarkan pengamatan tentang kesan sains dan teknologi sama ada
membawa kepada kemajuan mahupun kemusnahan alam sejagat.

Tidak dapat dinafikan bahawa sains dan teknologi mempunyai peri pentingnya dalam
pembangunan masyarakat sejagat. Namun ia juga tidak dapat disangkal mempunyai kesan buruk
dalam pembangunan negara termasuk alam sekitar mahupun sosial. Semua ini tidak dapat
dielakkan kerana kadang- kadang manusia sibuk mengejar kemajuan dan kecanggihan
sehinggakan alpa dengan kesan buruk yang bakal menimpa. Segala penemuan dan ciptaan sains
dan teknologi yang lahir dari akal manusia kadang tersasar dengan tujuan sebenar kerana tidak
mengikut lunas-lunas yang telah digariskan oleh Islam. Tidak hairanlah jika kini banyak
pengamalan sains dan teknologi juga mengundang kepada kemudaratan jika batas- batas
penerokaan ilmu sains tidak menepati apa yang telah Islam utarakan.

Kini, ciptaan yang cukup canggih hasil penemuan manusia dalam teknologi pertahanan mampu
melindungi negara daripada diserang musuh. Pelbagai bentuk alat pertahanan daripada senjata
sehinggalah alat kelengkapan perang turut mengiringi kemajuan sains dan teknologi. Dari satu
sudut, ia mungkin membawa kebaikan kepada negara tapi jika difikirkan mungkin banyak lagi
kesan yang timbul akibat penggunaan alat canggih hasil kemajuan sains dan teknologi.
Pernahkah terfikir, bahawa kecanggihan alatan perang boleh membawa kemusnahan dunia
termasuklah alam sekitar dan juga banyaknya jiwa yang terkorban dek kerakusan manusia
sendiri. Contohnya, kesan penggunaan bom atau senjata api boleh memusnahkan alam sekitar.
Walaupun sekadar untuk menguji keupayaan sesuatu ciptaan, kadang- kadang ia
mengundangkan kepada kemusnahan alam sekitar seperti membawa kepada pencemaran alam.
Sementara itu, tahap kepakaran yang tinggi dan peralatan canggih diperlukan untuk membina
sendiri sebuah bom nuklear.

Kini kawalan terhadap bahan radioaktif sebenarnya amat longgar memandangkan amalannya
kian meluas. Kesan daripada letupan bom kotor mungkin tidak sedahsyat bom nuklear tetapi
boleh menyebarkan bahan radioaktif dan menyebabkan radiasi ke kawasan yang lebih luas.
Sudah tentu ia memberi kesan psikologi terhadap masyarakat yang kurang pengetahuan
mengenai keselamatan sinaran. Mungkin ia juga menimbul kekalutan dan ketakutan yang akan
menjejaskan kegiatan sesebuah masyarakat. Usaha pembersihan kawasan yang dicemari radiasi
juga menelan belanja yang tinggi dan membabitkan tenaga kerja yang ramai dan peralatan yang
canggih. Bukankah ia akan memberi kesan kepada ketenteraman awam, menyebabkan
kegawatan ekonomi negara malah ia turut tersebar melalui tiupan angin dan tekanan udara ke
negara yang bersempadan. Kesan inilah yang turut dibimbangi oleh banyak pihak kerana
penyalahgunaan kemajuan teknologi yang sedia ada.

Teknologi maklumat yang berkembang pesat sehingga ke hari ini memungkinkan semua lapisan
masyarakat mendapat maklumat dengan begitu mudah. Pelbagai penerokaan maklumat boleh
diperolehi tanpa ada batasan. Dengan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi, jalan
dakwah terbuka luas untuk menyampaikan sesuatu yang berguna kepada masyarakat. Namun di
sebalik kecanggihan dan kelebihan teknologi tersebut kini, terselit suatu keburukan yang jarang
sekali difikirkan kerana ia timbul tanpa disedari. Ramai muda mudi kita terpengaruh dengan
kelebihan teknologi maklumat. Kesannya kepada pembangunan sosial generasi kita terlalu besar
di mana mereka leka dengan teknologi tersebut sehingga mengabaikan nilai murni. Contohnya,
internet yang merupakan gedung ilmu, tetapi kadangkala muda mudi kita menyalahgunakan
kelebihannya dengan melayari laman- laman web yang berunsur lucah dan tidak berakhlak. Ini
akan mempengaruhi fikiran golongan tersebut dan akan merosakkan pembangunan nafs mereka.
Kemajuan teknologi maklumat juga mendatangkan kesan buruk apabila kini berlaku pula
pencerobohan maklumat yang disebut sebagai "penggodam" di mana maklumat sulit sesebuah
negara boleh diceroboh dengan mudah. Melalui teknologi terkini juga, pengubahsuaian ke atas
sesuatu gambar boleh dibuat. Kadangkala ia memberi kesan buruk kerana boleh menyebabkan
fitnah.

Kini bioteknologi memacu negara ke arah pembangunan. Bidang kejuruteraan makanan
menerusi teknologi terkini mampu menghasilkan makanan ubahsuaian genetik (Genetically
Modified Food) yang mempunyai ciri- ciri terbaik seperti tahan lama, sedap dan bermutu,
mudah, murah serta meningkatkan pengeluaran tanaman contohnya beras perang, tomato dan
cili. Makanan yang dihasilkan adalah sama tetapi mempunyai sifat- sifat yang berbeza yang
dimasukkan dengan pelbagai gabungan gen organisma lain. Apa yang menjadi persoalan ialah
sumber genetik yang digunakan untuk menghasilkan makanan ubahsuaian tersebut dikhuatiri
daripada benda-benda yang dilarang oleh syarak. GMF juga memberi kesan terhadap kesihatan
manusia kerana mengandungi bendasing (allergen) yang tidak diketahui kesan buruknya.

Isu pengklonan juga mendapat perhatian hangat dari semua pihak. Hasil kemajuan teknologi
mampu memindahkan genetik dari satu organisma ke organisma lain. Ini akan menghasilkan satu
organisma yang sama dengan yang induk. Isu ini agak dibimbangi kerana takut disalahgunakan
oleh pihak tertentu untuk tujuan pengklonan manusia. Hal ini terlalu menyimpang dari landasan
agama yang sebenar. Begitu juga dengan teknologi "stem cell" yang banyak kelebihannya dalam
membantu mengatasi pelbagai penyakit. Namun apa yang dikhuatiri jika penggunaan
"embryonic stem cell" bakal disalahgunakan juga untuk pengklonan manusia.

Natijah daripada kemajuan sains dan teknologi kini sememangnya banyak membawa kepada
kebaikan disamping terselit juga keburukan. Pokok pangkalnya, apa jua kemajuan yang dicapai
perlulah berlandaskan nilai- nilai Islam dan mengikut batas- batas penerokaan ilmu yang telah
ditetapkan. Barulah kemajuan dan pembangunan yang kita capai tidak terpesong dan tidak
mendatangkan keburukan kepada ummah kerana kadangkala keburukan itu sebenarnya kita juga
yang menciptakannya.

You might also like