You are on page 1of 5

Tuesday, 13 September 2011

MODEL BARU RIMUP AKAN DIPERKENALKAN


Sebanyak lima belas resolusi untuk mengukuhkan perpaduan kaum menerusi pendidikan telah
diputuskan oleh seramai 240 peserta yang menghadiri Seminar Merekayasa Rancangan Intergrasi
Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) peringkat kebangsaan yang berakhir pada hari Selasa, 13
September 2011.

Seminar tersebut telah berlangsung selama tiga bermula Ahad (11 September) di sebuah hotel di
Klang dihadiri oleh kakitangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan kakitangan Jabatan
Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional seluruh Negara (JPIN).

Seminar itu turut membincangkan tiga kertas kerja iaitu Strategi Perpaduan Negara oleh JPIN;
Program Integrasi: Teori dan Pelaksanaan oleh Universiti Putra Malaysia; dan Pelaksanaan Program
RIMUP oleh KPM.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Ir Wee Ka Siong semasa berucap menutup seminar tersebut
menjelaskan bahawa sekolah merupakan salah sebuah institusi yang mampu menjadi agen
berkesan kea rah menyatupadukan murid-murid pelbagai kaum di negara ini.

Sekolah juga memainkan peranan yang penting dan berkesan dengan meletakkan agenda integrasi
dan perpaduan sebagai agen paling utama ke arah melahirkan masyarakat yang bersatu padu, aman
dan sejahtera.

Perpaduan merupakan agenda yang amat penting dan menurut Dr Wee lagi, perlu disemai pada
peringkat awal lagi, dan perpaduan merupakan faktor penting dalam memacu kemajuan sesebuah
negara, tanpa mengira bangsa, agama dan kebudayaan.

RIMUP telah pun mula dilaksanakan oleh KPM di peringkat sekolah pada tahun 1986, dan usaha
menilai semula keberkesanan yang diadakan menerusi seminar tiga hari itu berjaya memberikan
fokus baru sejajar dengan perkembangan semasa termasuk kesepadanan dengan gagasan 1
Malaysia.

Sebelum itu, perpaduan turut dijadikan teras utama dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
(PIPP) 2000-2006 Membina Negara Bangsa dan terus diperkemaskan menerusi Program
Transformasi Kerajaan (GTP).

Seramai 240 orang guru, wakil PIBG dan JPNIN yang menghadiri seminar tersebut telah
merumuskan bahawa RIMUP perlu diperkemas dan ditambahbaikkan pelaksanaannya bagi
membolehkan perpaduan wujud dalam masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum,
budaya, agama dan wilayah.
Resolusi tersebut ialah:

1. Bagi menggalakkan lagi penyertaan masyarakat setempat, para guru dan murid serta warga
sekolah dalam program RIMUP, organisasi PIBG perlu menubuhkan biro RIMUP dalam struktur
organisasinya supaya penglibatan PIBG dapat ditingkatkan lagi bagi menyokong aktiviti yang
dilaksanakan oleh pihak sekolah. Selain itu, pihak sekolah perlu mengadakan pelbagai promosi
proram RIMUP dan kempen kesedaran supaya masyarakat setempat dapat mengetahui dan turut
serta. Lokasi aktiviti RIMUP yang dilaksanakan perlu menggunakan lokasi umum seperti balai raya,
dewan serbaguna, padang awam dan seumpamanya bagi tujuan memudahkan pihak masyarakat
setempat turut serta;

2. Sekolah-sekolah swasta perlu dilibatkan sama dalam semua aktiviti RIMUP dan pihak Kementerian
Pelajaran Malaysia perlu memberikan penekanan kepada sekolah-sekolah ini dalam usaha
mewujudkan integrasi nasional dalam pelbagai kaum di semua jenis sekolah. Aktiviti RIMUP juga
perlu dilaksanakan sepanjang tahun secara berterusan;

3. Pihak pentadbiran sekolah perlu memberikan kerjasama dalam perkongsian kemudahan,
peralatan, tenaga dan kepakaran bagi memastikan semua aktiviti RIMUP yang dilaksanakan secara
bersama mencapai matlamatnya. Senarai kemudahan, peralatan dan kepakaran setiap sekolah perlu
disediakan dan dikongsi dengan sekolah yang terlibat. Penggunaan kemudahan, peralatan dan
kepakaran secara kolektif akan dapat menjamin kejayaan aktiviti yang dilaksanakan. Selain itu,
penggunaan prasarana daripada pihak luar seperti agensi swasta dan kerajaan juga perlu
diusahakan supaya tanggung jawab sosial dapat disalurkan untuk kepentingan perpaduan nasional;

4. Tidak dapat dinafikan bahawa pelaksanaan RIMUP daripada aspek domain akademik dapat
menyumbang kepada integrasi nasional. Oleh itu, pihak sekolah perlu meningkatkan lagi aktiviti yang
berkaitan dengan akademik seperti bimbing akademik, program motivasi, seminar menjawab soalan
peperiksaan dan sebagainya. Program mentor-mentee yang melibatkan guru dan murid daripada
pelbagai kaum dapat mengeratkan lagi perpaduan nasional disamping boleh membantu
meningkatkan kecemerlangan akademik murid;

5. Pihak sekolah perlu menggalakkan penglibatan ibu bapa dan komuniti daripada pelbagai kaum
dalam program kecemerlangan akademik yang dianjurkan melalui kerjasama PIBG. Kehadiran ahli
masyarakat ini secara langsung sebagai jawatan kuasa dan pelaksana program akan dapat
memberikan sokongan moral, bimbingan dan nasihat kepada murid;

6. Aktiviti program RIMUP perlu memanfaatkan penggunaan ICT dengan optimum dalam usaha
melibatkan murid pelbagai kaum untuk berinteraksi melalui laman web sekolah, laman web sosial dan
penggunaan khidmat pesanan ringkas (sms) serta penggunaan emel. Selain itu, integrasi kaum juga
dapat dipupuk melalui pertandingan yang dianjurkan seperti pertandingan rekacipta yang
berunsurkan budaya pelbagai kaum (rekacipta tanglung, wau, kaligrafi, khat dan sebagainya);

7. Penglibatan ahli masyarakat pelbagai kaum terutamanya ibu bapa dalam aktiviti kokurikulum dapat
meningkatkan peluang untuk berinteraksi antara satu sama lain. Mereka boleh dilibatkan dalam
aktiviti perkhemahan, pameran dan permainan yang berunsurkan kebudayaan pelbagai kaum. Pihak
sekolah perlu memainkan peranan dalam usaha melibatkan ahli masyarakat yang terdiri daripada
pelbagai kaum dalam aktiviti kokurikulum;

8. Aktiviti sukan dan permainan tradisional kaum Cina dan India perlu diperkenalkan dengan lebih
banyak supaya kaum lain dapat berkongsi dan mengenali budaya kaum tersebut. Masyarakat
setempat juga perlu dilibat dengan lebih banyak dalam pelaksanaan aktiviti tersebut. Selain itu,
sekolah juga perlu mengadakan jaringan kerjasama dengan persatuan sukan dan kebudayaan
daripada pelbagai kaum dalam usaha menambahkan lagi jenis dan kepelbagaian sukan dan
permainan tradisional pelbagai kaum. Guru-guru sekolah juga perlu diberikan pendedahan dalam
bidang sukan dan permainan tradisional pelbagai kaum ini;

9. Bagi meningkatkan lagi penghayatan murid pelbagai kaum terhadap nilai patriotisme, pihak
sekolah perlu mengadakan pelbagai program yang menjurus kepada penghayatan prinsip-prinsip
Rukun Negara. Kelab Rukun Negara perlu ditubuh dan diaktifkan bagi mengendalikan pelbagai
program berkaitan aktiviti patriotik seperti Bulan Kemerdekaan dan majlis membaca ikrar. Lagu-lagu
patriotik didapati tidak popular dalam kalangan murid sekolah. Oleh itu, satu usaha bagi memperkenal
dan mempopularkan lagu-lagu patriotik dalam kalangan murid sekolah pelbagai kaum perlu
dimulakan, contohnya dalam perhimpunan rasmi sekolah setiap minggu;

10. Murid sekolah juga didapati kurang mengenali dan menghayati lambang-lambang negara seperti
bendera dan jata negara. Oleh itu, lambang negara perlu diletakkan pada tanda nama, tali leher dan
sebagainya. Sekolah juga, melalui aktiviti RIMUP ini perlu menggalakkan murid memiliki dan
mengibarkan Jalur Gemilang, mengadakan pertandingan fotografi dan melukis sempena bulan
kemerdekaan. Aktiviti yang memfokuskan kepada pengenalan tokoh-tokoh dan pemimpin negara
daripada pelbagai kaum serta mengetahui tempat-tempat bersejarah negara perlu diutamakan dalam
aktiviti RIMUP;

11. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu menambahkan peruntukan kepada program RIMUP
supaya peruntukan mencukupi untuk membiayai kos pengendalian program RIMUP diperingkat
sekolah. Dicadangkan supaya peruntukan RIMUP mengikut enrolmen murid (seperti PCG mata
pelajaran). Selain itu, pihak sekolah perlu berusaha bagi menambahkan sumber pembiayaan aktiviti
RIMUP melalui bantuan daripada agensi luar (kerajaan, NGO dan swasta). Peruntukan untuk
pembiayaan kos pengendalian aktiviti RIMUP juga perlu diturunkan pada waktu yang bersesuai
supaya aktiviti dapat dilaksanakan sepanjang tahun;

12. Kementerian Pelajaran Malaysia perlu membina laman web khusus RIMUP dibawah pautan
laman web KPM bagi tujuan memudahkan warga sekolah dan masyarakat memperoleh maklumat
mengenai RIMUP. Laman web tersebut juga akan memuatnaikkan aktiviti-aktiviti RIMUP yang telah
dilaksanakan oleh sekolah-sekolah di seluruh negara. Maklumat dalam bentuk klip video dan fotograf
akan dapat dijadikan panduan kepada sekolah-sekolah lain bagi melaksanakan aktiviti dengan lebih
baik lagi;

13. Aktiviti RIMUP perlu memberi penekanan tinggi dalam aspek tokoh perjuangan, pemimpin
negara, sumbangan kemerdekaan, sumbangan perpaduan dan karya patriotik oleh pelbagai kaum.
Sekolah perlu menambah buku-buku dan maklumat berkenaan di Pusat Sumber Sekolah (PSS) dan
galakan tabiat membaca buku berkenaan. Maklumat tersebut juga boleh dicapai daripada laman web;

14. Aspek kenegaraan perlu ditekankan dalam aktiviti kurikulum (P&P) yang merentasi semua mata
pelajaran supaya murid murid-murid dapat mengamalkan prinsip Rukun Negara, rasa cintakan
negara dan mengamalkan semangat perpaduan antara kaum; dan

15. Aktiviti khidmat masyarakat perlu diperluaskan demi meningkatkan modal integrasi masyarakat
prihatin yang amat penting dalam perpaduan dan pembentukan masyarakat madani. Walau pun
aktiviti ini melibatkan kos per murid yang lebih tinggi daripada aktiviti lain, tetapi pulangannya adalah
besar.

Dalam sidang media selepas majlis tersebut, Timbalan Menteri Pelajaran turut menggesa agar
peruntukan yang mencukupi perlu disediakan oleh kerajaan bagi menentukan agenda utama negara
dapat dilaksanakan secara berkesan manakala pihak sekolah seharusnya boleh memikirkan cara-
cara terbaik melaksanakannya dengan komuniti setempat menerusi kerjasama pelbagai pihak.

Dalam majlis yang sama, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata,
program RIMUP terbukti mendatangkan kesan yang positif kepada murid-murid dari segi menghayati
dan mengamalkan semangat perpaduan.

Sehubungan dengan itu, KPM sememangnya berhasrat menerus dan diperkukuhkan. Sekolah juga
merupakan agen sosialisasi terancang dan berfokus untuk membentuk personaliti terpuji dan
toleransi kendiri yang tinggi untuk bergaul mesra antara satu sama lain, dalam pembentukan
masyarakat majmuk setempat yang berkualiti, jelas KPPM lagi.

Teks ucapan alu-aluan KPPM itu telah dibaca oleh Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan
Sekolah Harian.

Menurut Datuk Abdul Ghafar satu model baru program RIMUP akan dibentuk dengan mengambilkira
beberapa input baru termasuk dapatan kajian yang dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia dan
resolusi-resolusi yang dikemukakan akan diperhalusi untuk membolehkan pelaksanaannya benar-
benar mencapai objektifnya.(AKH)

You might also like