You are on page 1of 3

1

Kedinginan bayu. Meniupkan segala inti hawa, melemaskanku dalam dakapan selimut.
Tebal. Cukup untuk memanaskan diriku dalam kesejukan. Impak pendingin hawa yang terus
menyalurkan bakti. Walaupun sebenarnya, tidaklah diperlukan pada saat ini.
Laungan takbir subuh sudah mengetuk gegendang telingaku. Seruan Ilahi yang perlu aku
sahut selaku kewajipan seorang muslim. Tanpa agama, tiadalah tali pegangan. Maka,
senanglah aku tersasar dari matlamat yang teragung. Dalam mentauhidkan Allah yang satu.
Sungguh indah bait-bait laungannya. Menenangkan setiap jiwa-jiwa yang berkecelaru. Nur-
Nya, menerangi keheningan dan kegelapan lautan subuh yang suram ini.
Tatkala menarik diriku daripada lamunan separa sedar. Diriku di awang-awangan. Terpinga di
antara dunia fantasi dan dimensi realiti. Mencetuskan gelombang-gelombang bagi mengesan
hakikatnya diriku. Sudah pasti, realiti itu yang dijejaki.
Telinga kiriku berdesis, Tidurlah. Subuh masih lagi muda. Nikmatilah saat-saat syurga ini!
Tak kurang juga telinga kananku, Jangan! Usah dilayan seruan syaitan! Sahutlah azan itu,
kelak engkau akan bahagia di sana.
Hatiku dibelah sembilu. Kian beribu pilihan menerjah. Satu per satu tak dapat ku hayati
sedalamnya. Tapi, ku tahu, akalku juga tahu. Yang kanan itu lebih kira untungnya. Kiri itu,
syurga dunia tapi neraka akhirat.
Ku lafazkan doa bangun tidur yang seringkali diajar. Doa yang seringkali manusia lupa.
Manusia, manusia. Itulah hakikatnya.
Ku gagahi diriku, melepaskan tali simpulan pertama. Dua tali simpulan syaitan masih lagi
tersimpul, membelenggu diriku. Persoalannya, berjayakah aku?
Ku melangkah ke bilik air, meninggalkan segala keasyikan mimpi tadi. Terasa berat kakiku
melangkah, tapi aku paksakan segala darah terus mengalir, memberikan segala keperluan
kepada otot-otot kakiku untuk bingkas berjalan. Sememangnya nampak senang, namun ramai
yang menempah kegagalan. Aku tak mahu tergolong dalam golongan itu.
Di hadapan sinaran kaca, imej wajahku terserlah. Segalanya nampak kusut. Gambaran yang
langsung tidak molek dilihat. Aku membasahi wajahku. Sejuknya bukan kepalang.
Dugaankah ini?
2

Di teratak berair, aku menadah tangan di bawah curahan air yang kedinginan. Ku tetap tidak
menyerah dengan penurunan suhu ini yang di luar kebiasaan penerimaan termoreseptor
deriaku. Sesungguhnya, aku bukan seorang yang mengalah!
Syaitan, nyah kau! Bergembiralah engkau bersama dengan rakanmu yang fasik itu. Tapi,
bukan dengan aku!
Kesungguhan hatiku membiarkan simpulan kedua terbuka. Sungguh ku tahu airnya membeku,
ku tetap mulakan sapuanku seperti yang diajar. Di mula dari muka, seterusnya tapak tangan
hingga ke siku dan ubun-ubun kepala, ku basahi. Akhirnya, kakiku kanan dan kiri, kedua-
duanya ku lalukan air sehingga sempurna. Maka, berangkatlah hadas kecil dari diriku.
Dalam tiupan bayu redup-redup beralun, menyentuh lembut kulitku yang kebasahan. Ya,
suatu turasan ketenangan menerpa hatiku, membelai dengan penuh keindahan. Sesungguhnya,
indahnya hidup bersyariat.
Namun, ini masih belum penamatnya. Inilah juga klimaksnya. Usahanya masih berterusan.
Istiqamahku dalam tindakan juga begitu. Takkan ku tewas sampai akhir perjuangan.
Ku hamparkan sejadah, dadaku tepat menghadap kiblat. Kaabah. Tempat teragung sirah
Islam. Sejarah antara dua insan bermakna, Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S. Menyahut
seruan Illahi membina binaan ini. Ramai orang berentap ingin menyentuhnya. Bilakah
mungkin, aku diundang ke sana?
Tidurlah. Ngantukmu masih meraguimu. Tidurlah dahulu. Hilangkan ngantukmu. Nanti,
engkau akan segar. Barulah khusyuk. Tidurlah...
Bisikannya umpama api. Membakar dalam diam. Ibaratnya api dalam sekam. Kecilnya
kawan, besarnya lawan.
Tapi, ku yakin ku mampu untuk memadamkan semaraknya. Ku tahu ku boleh. Ku lafazkan
niat dalam hati dengan penuh penghayatan. Takdir diangkat dengan penuh gagah. Ku tidak
menghiraukan bayangan-bayangan mimpi terayun di bulu mataku. Ku cuma inginkan satu.
Semoga jiwaku sentiasa berhubung dengan-Nya. Semoga ikatan ini terus tersirat sehingga nun
di akhirat sana. Semoga mudah-mudahan.
Setiap bait-bait surah Al-Fatihah, ku amati dalam-dalam. Sungguh indah susunan balghahnya.
Teramat dalam maknanya. Allah, sungguh ku kagum akan wahyu-Mu. Allah, sematkanlah
3

ayat-ayat ini dalam pelosok kalbuku paling dalam. Jadikanlah dia sebagai hujahku, menghiasi
amalanku. Jadikan semua itu suratan kebenaran ke atasku.
Akhirnya, simpulan ketiga telah megah ku buka. Aku berjaya! Namun, perjuangan dan
muslihatnya masih tetap bersarang sama ada dalam bayangan konkrit atau dalam jasad
abstrak. Tugasnya sebagai pengoda anak cucu cicit nabi Adam A.S takkan pernah terpadam.
Sampai semuanya tersungkur jatuh ke dalam neraka!
Itu kota janjinya yang takkan pernah hilang. Janjinya di hadapan Allah. Terpahat sampai bila-
bila. Ego dan angkuhnya diri iblis itu.
Aku menadah tangan. Air mata mula bergelinang dalam mataku, berkaca. Ku tak mampu
menahan kesayuan ini. Adakah ku berjaya lagi? Ku tak mampu berjanji. Tapi aku hanya
mampu meminta kepada-Nya.
Ku amati hadis ini.
Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah saw. bersabda: Waktu seseorang sedang tidur,
syaitan membuat tiga buah simpulan di kepalanya. Untuk setiap simpulan ia mengatakan,
'tidurlah engkau sepanjang malam.' Ketika dia terbangun, lalu dia menyebut nama Allah,
maka lepaslah satu simpulan. Jika dia berwuduk, lepas pulalah satu simpulan. Dan jika dia
solat, terbukalah seluruh simpulan.
Semoga hatiku terpahat wahyu-Nya. Yang mendirikan sebuah bangunan kebenaran yang
hakiki. Di mahligai syurga!

You might also like