You are on page 1of 14

1

1. PENGENALAN
Trend pengangguran di Malaysia dewasa kini menjadi topik yang semakin hangat saban hari
dan waktu terutama sekali di kalangan siswazah seluruh Malaysia. Apakah masalah
sebenar yang menyebabkan pelajar lepasan universiti itu menganggur? Sesuatu pekerjaan
yang ditawarkan tidak setaraf dengan kelulusan dan bukan bidang mereka semasa belajar
di universiti adalah punca utama siswazah itu menganggur.Graduan yang mempunyai
kelulusan yang tidak boleh dipasarkan terpaksa menganggur dalam tempoh yang lebih
lama. Pengangguran setiap tahun meningkat juga adalah kerana taraf pendidikan/ piawaian
peperiksaan dan kelulusan siswazah-siswazah yang agak rendah, membuatkan mereka
jarang diberi peluang pekerjaan. Namun begitu, ada juga segelintir siswazah yang
mempunyai pencapaian yang cemerlang tetapi tidak mendapat peluang pekerjaan, ini
kerana mereka tidak mempunyai kemahiran dan pengalaman bekerja. Masalah
pengangguran siswazah ini akan membawa pelbagai masalah kepada dirinya
sendiri,keluarga,masyarakat dan Negara dan perlu diatasi dengan teliti. Antara kategori
pengangguran yang banyak didapati di Malaysia, antaranya:
a) PENGANGGURAN BERMUSIM
Ia berlaku pada masa tertentu sahaja dan hanya fokus dalam sektor utama
seperti sektor pertanian dan sektor perikanan.
b) PENGANGGURAN TIDAK KETARA
Ini biasanya berlaku dalam sektor pertanian dan perkhidmatan, dan terjadi
apabila bilangan pekerja yang diambil bekerja dalam sesuatu sektor melebihi
bilangan pekerja yang sebenarnya diperlukan. Lebihan pekerja yang ada
tidak menyumbang kepada tingkat pengeluaran.
c) PENGANGGURAN TEKNOLOGI
Ia berlaku apabila penggunaan tenaga buruh dalam proses pengeluaran telah
diambil alih oleh mesin dan robot kerana perkembangan teknologi yang
begitu pesat telah berjaya mencipta alatan yang lebih baik untuk
2

meningkatkan pengeluaran dengan kos pengeluaran yang semakin
berkurangan.
2. ISU UTAMA DALAM KONTEKS PENGANGGURAN
Beberapa persoalan timbul dalam konteks kajian mengenai kes-kes pengangguran di
Malaysia. Berikut dinyatakan beberapa sampel persoalan :
a) Apakah hakikat ciri siswazah yang dimaksudkan dalam keperluan kerjaya masa kini?
b) Apakah langkah dan alternatif yang telah dibangun dan dijalankan oleh pihak IPT
untuk mengeluarkan hasil produktiviti siswazah yang menepati kehendak pasaran
kini?
c) Selain daripada sektor awam dan swasta, apakah mungkin siswazah boleh
menempati sektor pihak ketiga sepeti badan bukan kerajaan (NGO) atau badan-
badan sukarela yang lain? Atau mungkinkah pilihan untuk berkerjaya sendiri
merupakan alternatif yang lebih terbuka?

3. FAKTOR-FAKTOR PENGANGGURAN
Masih ramai graduan yang menganggur walaupun mereka sudah beberapa tahun
menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT). Kebanyakan mereka bukan tidak
mendapat pekerjaan atau tidak menerima sebarang tawaran tetapi mungkin tugas yang
ditawarkan tidak bersesuaian dengan mereka. Kebanyakan graduan ini masih mencari
pekerjaan yang dirasakan tidak bersesuaian dengan status mereka sebagai bekas penuntut
universiti. Kajian mendapati, pendapat dari kalangan siswazah itu sendiri, antara faktor yang
menyebabkan pengangguran di kalangan siswazah ialah sikap siswazah itu sendiri yang
terlalu memilih pekerjaan atau sesuatu pekerjaan yang ditawarkan itu tidak setaraf dengan
kelulusan dan bukan bidang mereka semasa belajar di universiti. Mereka lebih suka tinggal
di rumah tanpa melakukan apa-apa pekerjaan daripada bekerja bukan dalam bidang
mereka. Mereka lebih sanggup menganggur daripada bekerja sebagai kerani atau jawatan
3

lain yang dirasakan kurang setaraf walaupun sebenarnya lebih baik bekerja daripada
menganggur. Pemikiran "lebih baik menganggur selagi tidak jumpa kerja sesuai" perlu
dibuang dari minda setiap graduan kerana ia bukan sahaja merugikan mereka, malah
merugikan sector yang memerlukan tenaga kerja. Sebenarnya, peluang pekerjaan yang
ditawarkan masih banyak tetapi mereka tidak tahu mengambil peluang ini. Di samping itu,
terdapat beberapa agensi usahawan yang menawarkan peluang keusahawan bagi mereka
yang berminat memilih keusahawan sebagai kerjaya pilihan. Selain itu, mereka juga boleh
memperolehi pekerjaan dengan pelbagai cara. Contohnya mereka menceburi bidang
pertanian dan mengusahakan kawasan terbiar sehingga memperolehi hasil dan menjadikan
petani yang berjaya. Oleh demikian, bukan kerja kosong tidak ada tetapi sikap yang terlalu
memilih kerja di kalangan graduan menyebabkan pekerjaan itu tidak dapat diisi.
Antara kenyataan pensyarah IPT di Malaysia mengenai pengangguran, "salah satu masalah
penting menyebabkan berlakunya pengangguran siswazah ialah kelulusan mereka tidak
sesuai dengan permintaan dunia pekerjaan." Majikan akan lebih berhati-hati menggunakan
kriteria ini untuk memilih graduan-graduan yang diperlukan. Graduan yang mempunyai
kelulusan yang tidak boleh dipasarkan akan menghadapi krisis dan terpaksa menganggur
dalam tempoh yang lebih lama. Keperluan pengambilan dan penambahan tenaga buruh
pula akan dihitung dengan lebih teliti dari segi keberkesanan kos dan produktiviti.
Perlumbaan untuk mendapatkan pekerjaan dijangka akan lebih bersifat persaingan dan ini
akan memberi faedah yang besar kepada majikan untuk memilih kualiti tenaga yang terbaik
yang menguntungkan firma-firma perniagaan mereka.
Pengangguran di kalangan siswazah akan terus berlaku sekiranya mereka tidak berusaha
mencari alternatif baru membina kerjaya persendirian atau menceburkan diri dalam kegiatan
ekonomi seperti bidang keusahawanan yang boleh membantu menggerakan ekonomi di
samping dapat berperanan memberi peluang pekerjaan kepada golongan lain. Ruang bagi
golongan mahasiswa menceburi pelbagai bidang pekerjaan persendirian, perniagaan dan
4

keusahawanan begitu luas. Bidang-bidang yang boleh diceburi ini bagaimanapun
memerlukan inisiatif dan kegigihan.
Selain itu, faktor yang menyumbangkan terhadap kewujudan dilema ini adalah kerana
mereka tidak dapat berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dengan baik serta kebanjiran
siswazah-siswazah dari institusi pengajian tinggi awam dan juga swasta yang begitu banyak
sehiggakan nisbah jumpa penganggur dan kerja kosong tidak sama rata. Selain itu juga,
taraf pendidikan/ piawaian peperiksaan dan kelulusan siswazah-siswazah yang agak
rendah, membuatkan mereka jarang di beri peluang pekerjaan.
Kesemua faktor-faktor ini berhubungkait antara satu sama lain. Kebanyakan pelajar berjaya
mendapat ijazah masa kini walaupun purata pencapaian tidaklah di tahap yang memuaskan.
Dengan pencapaian tahap rendah, iaitu kemungkinan CGPA 2.4 ke bawah, agak sukar bagi
mereka mendapatkan peluang pekerjaan segera. Majikan-majikan akan memilih siswazah-
siswazah yang cemerlang dan mepunyai kemahiran serta pengalaman bekerja. Pada masa
yang sama, kebolehan berkomunikasi di dalam Bahasa Inggeris memainkan peranan yang
paling penting di dalam setiap temuduga. Kebanyakan siswazah yang kurang fasih
berbahasa Inggeris akan merasakan kesukaran mendapat tawaran kerja. Namun begitu,
ada juga segelintir siswazah yang mempunyai pencapaian yang cemerlang tetapi tidak
mendapat peluang pekerjaan, ini kerana mereka tidak mempunyai kemahiran dan
pengalaman bekerja serta tiada keyakinan pada diri semasa temudaga diadakan.
Malah, kajian kes mendapati juga ada antara siswazah pernah menganggur selama
berbulan malah bertahun dan hanya berdiam di rumah tanpa melakukan apa-apa pekerjaan
dan tinggal bersama keluarga kerana sikap yang malas bekerja dan ingin rehat di rumah
serta tidak bersedia untuk bekerja. Di dalam tempoh pengangguran itu mereka hanya
mengharapkan sumber pendapatan daripada ibubapanya.
Pihak swasta selalunya lebih mementingkan pengalaman berbanding dengan akademik, ini
kerana kos untuk mengadakan latihan etensif kepada pekerja baru akan membelanjakan
5

wang banyak dan memberi sedikit kerugian kepada sesebuah syarikat pada masa itu. Selain
itu juga, siswazah harus bijak dan aktif dalam berkomunikasi serta cemerlang dalam
pelajaran dan korikulum.
4. KESAN PENGANGGURAN
Pengangguran siswazah boleh mendatangkan pelbagai masalah kepada diri pelajar itu
sendiri, keluarga, masyarakat, dan negara. Contohnya apabila seseorang itu tidak
mempunyai pekerjaan atau tidak mempunyai wang untuk keperluan harian, kemungkinan
dia akan memilih jalan yang mudah untuk mendapatkan hasil yang lumayan dengan
melakukan perkerjaan yang menyalahi undang-undang, contohnya merompak. Pekerjaan
seperti ini akan mendatangkan risiko kepada dirinya sendiri serta kepada orang lain. Semua
ini terjadi kerana seseorang itu berfikiran sempit, terdesak atau tertekan dengan tiadanya
pekerjaan.
5. ALTERNATIF MENGATASI PENGANGGURAN
Antaranya ialah sikap siswazah itu sendiri yang terlalu memilih pekerjaan serta perlu berfikir
secara profesional dan janganlah bersikap negatif terhadap sesuatu pekerjaan, kerana
ianya akan merugikan diri sendiri. Di samping itu, mereka perlu pilih kerjaya yang betul dan
mempunyai sikap tanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Selain itu , kerajaan dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) juga memainkan peranan
penting dalam melaksanakan program sekolah atau universiti kerjaya dengan jelas. Mereka
perlu mengadakan kursus khas atau perancangan tegas kepada graduan daripada
menyediakan pekerja untuk sektor awam atau swasta kepada sektor keusahawanan,
pertanian, perlombongan dan lain-lain lagi.
Kerajaan juga perlu mewujudkan pusat maklumat siswazah di semua IPTA dan IPTS
dengan aktif membuat aktiviti-aktiviti penyelidikan mengesan siswazah secara berkala dan
melaksanakan program penempatan guru siswazah sehingga 50% pada tahun 2010 di
6

semua sekolah rendah. Ini untuk memastikan modal insan dan model budaya dapat
digunakan denga cara yang lebih wajar oleh guru-guru yang terlatih.
Di samping itu, golongan yang masih belajar di sekolah atau IPT perlu memilih bidang
paengajian yang boleh disesuaikan dengan penawaran kerja di pasaran. Kerja yang
ditawarkan di pasaran melebihi jumlah golongan penganggur, tetapi pemikiran mereka harus
diubah. Pemikiran lebih baik menganggur selagi tidak jumpa kerja sesuai harus dibuang
jauh-jauh dari minda setiap graduan kerana ia bukan sahaja merugikan mereka, malah ia
merugikan sektor yang memerlukan tenaga kerja.
Graduan perlu memperbaiki kelemahan berbahasa Inggeris untuk memberi diri kelebihan
mendapat pekerjaan. Oleh itu, kerajaan haruslah menaikan taraf pendidikan dan juga terus
mempromosikan kepentingan Bahasa Inggeris di kalangan siswazah agar masalah ini tidak
akan menghantui fikiran semua rakyat Malaysia di masa akan datang. Selain itu, graduan
juga perlu bijak berkomunikasi dan mempunyai keyakinan diri sermasa berhadapan dengan
orang lain, jangan takut dan teragak-agak menjawab apabila berinteraksi dengan orang
berpangkat atasan.
Selain itu, kerajaan telah menjalankan pelbagai program untuk memahirkan golongan belia
seperti mengadakan program bahasa Inggeris dan mengutamakan penubuhan institut
kemahiran dengan negara-negara luar seperti Jerman. Program ini mampu menyediakan
atu sumber manusia yang mempunyai kemahiran tinggi untuk bersaing dalam era
globalisasi. Kewujudan buruh yang berkemahiran tinggi ini turut menjadikan negara sasaran
utama pelabur asing kelak.
Kerajaan turut memudahkan urusan pembiayaan perniagaan terutamanya kepada golongan
belia. Pihak bank sendiri telah memudahkan urusan untuk mendapatkan pinjaman peribadi
untuk membantu belia memulakan perniagaan mereka secara kecil-kecilan. Langkah drastik
ini memastikan lebih banyak industri kecil dan sederhana mampu diwujudkan dan
7

menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik dalam tempoh terdekat ini. Belia yang tidak
bekerja akan mengambil peluang ini untuk mencuba nasib mereka sebagai ahli perniagaan.
Juga inisiatif daripada graduan itu sendiri perlu untuk mempelbagai kemahiran bagi
memasarkan kreativiti dan daya saing diri siswazah itu sendiri. Beberapa kemahiran yang
perlu untuk diberi perhatian ialah :
a) KEMAHIRAN BERKOMUNIKASI
Kemahiran yang paling utama yang perlu dikuasai oleh bakal graduan ialah Kemahiran
Berkomunikasi. Kemahiran ini merupakan kemahiran paling asas yang perlu diutamakan
kerana majikan akan meneliti dan menguji graduan samaada kemahiran berkomunikasi
mereka adalah benar-benar pada tahap yang diingini. Memandangkan pada masa ini
Malaysia merupakan salah sebuah negara dunia ketiga yang pesat membangun, maka tidak
hairanlah mengapa Malaysia pada masa ini dibanjiri oleh pelabur-pelabur asing yang ingin
menjalankan perniagaan yang sesuai dengan iklim ekonomi negara. Secara tidak langsung,
situasi ini akan memerlukan tenaga kerja mahir yang pastinya boleh berkomunikasi dengan
baik, terutamanya dalam bahasa inggeris. Bukan sahaja hanya mampu bertutur dengan
fasih, tetapi juga menguasai secara lisan. Ini kerana, penguasaan terhadap bahasa inggeris
seperti berkomunikasi dengan baik, akan membolehkan bakal graduan menghasilkan idea
yang kritis dan kreatif untuk membantu menarik minat pelabur agar mengikat perjanjian
perniagaan. Selain itu, kehendak pelanggan dalam urusan perniagaan juga dapat difahami
dengan jelas dan baik. Apabila penguasaan kemahiran berkomunikasi ini dapat dikuasai,
maka daya keyakinan akan menjadi lebih tinggi. Malah, bakal graduan juga akan
berpeluang besar dalam mendapatkan sesuatu kerjaya kerana mempunyai idea yang
bernas selain mempunyai pengetahuan teknikal yang mantap. Penguasaan kemahiran
berkomunikasi dengan baik, terutama sekali dalam bahasa inggeris juga mampu membantu
survival bakal graduan dalam cabaran pencarian kerjaya yang bersesuaian dengan bidang
dan kemahiran yang mereka ada, seperti yang dinyatakan oleh Dr. Marie Aimee Torres,
8

seorang penyelidik senior di Jabatan Pembangunan Pelajaran, Universiti Malaya (UM),
bahawa penguasaan dalam bahasa inggeris umpama penentu kepada graduan agar lebih
berkemampuan bersaing secara efektif dalam pasaran kerja.
b) KEMAHIRAN BERPASUKAN
Kemahiran yang perlu ada dan dikuasai oleh para graduan dan yang diingini majikan juga
ialah Kemahiran Kerja Berpasukan. Persaingan yang berlaku dalam dunia pasaran
pekerjaan di antara para bakal graduan yang telah menamatkan pelajaran saban tahun
menyebabkan ramai graduan yang sukar mendapatkan pekerjaan. Seharusnya para bakal
graduan perlu menggunakan situasi tersebut dengan cuba untuk mengumpul seberapa
banyak kemahiran yang perlu digunakan selepas habis belajar kelak. Kemahiran kerja
berpasukan adalah berbeza daripada kerja individu. Kerja berpasukan menuntut seseorang
itu bekerja dengan lebih ramai orang tetapi dalam satu kumpulan. Komitmen yang tinggi
sangat dituntut dalam kerja berpasukan. Seseorang itu perlu menunjukkan dia adalah
seorang pemain di dalam pasukan tersebut, selain mampu dan berkeupayaan untuk
menguruskan dan menjadi wakil dalam tanggungjawab yang diberikan. Selain itu, bekerja di
dalam satu pasukan juga menuntut agar sesorang itu mampu serta dapat membina
hubungan yang positif dengan rakan sekerja, sekaligus dapat membantu mencapai
matlamat kerja dan objektif perniagaan yang dijalankan, malah mampu meningkatkan kualiti
kerja.Tambahan pula, masalah-masalah di dalam proses seuatu pekerjaan adalah bersifat
komplek serta akan membabitkan pelbagai bahagian dan sistem. Maka secara logiknya,
penyelesaian masalah hal sedemikian adalah di luar batas kemampuan individu. Oleh itu,
penting kepada graduan agar dapat menguasai kemahiran bekerja secara berpasukan agar
mereka dapat menjalankan kerja sekiranya diminta menguruskan sesuatu urusan secara
berkumpulan. Pendedahan yang diberikan atau yang ditimba ketika menjalankan sesi
praktikal perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh para bakal graduan, kerana ketika sesi praktikal
inilah mereka akan didedahkan dengan pengalaman kerja berkumpulan serta membina
hubungan dengan orang lain, iaitu rakan sekerja.
9

c) KEMAHIRAN PENYELESAIAN MASALAH
Selain itu, penguasaan dalam Kemahiran Penyelesaian Masalah juga penting kepada bakal
graduan dalam mencari kerja. Kemahiran ini adalah di antara kriteria yang paling penting
dan utama kepada majikan dalam mencari pekerja. Menurut Ramon Chelvarajasingam,
Ketua Pegawai Sumber Manusia Hong Leong Bank, rata-rata graduan luar adalah lebih
maju dari aspek pemikiran kritikal, lebih inovasi, malah berfikir di luar kebiasaan serta
bermotivasi tinggi untuk maju ke hadapan, terutama inisiatif pembangunan secara
berterusan, berbanding graduan di Malaysia. Maka, perlu bagi bakal graduan untuk cuba
memajukan diri dengan mempersiapkan diri mereka di dalam menguasai kemahiran ini.
Dalam apa jua bidang yang diceburi, semuanya tidak akan pernah terlepas daripada
menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul di dalam kerja. Bakal graduan seharusnya
lebih bersedia dari pelbagai aspek, seperti dari aspek mental kerana penyelesaian masalah
merupakan proses mental dalam mengatasi halangan ketika melakukan sesuatu tugasan.
Walaupun boleh mendatangkan cabaran, namun kejayaan dalam menyelesaikan masalah
itu akan menimbulkan keseronokan. Malah, dari satu sudut pula, kemahiran penyelesaian
masalah ini perlu dikuasai kerana ini merupakan satu kelebihan kerana dapat
menyelesaikan sesuatu permaslahan dari pelbagai aspek. Maka, bakal graduan perlu
mengambil peluang yang ada ketika menjalani praktikal untuk sama-sama terlibat dalam
situasi yang memerlukan penyelesaian masalah dengan memberi sumbangan idea yang
bernas bagi menyelesaikan masalah. Kemahiran ini juga adalah di antara kriteria-kriteria
penting yang perlu ada pada bakal graduan di dalam proses mencari kerja kelak.
d) KEMAHIRAN KEPIMPINAN
Selain itu, Kemahiran Kepimpinan juga perlu dikuasai oleh bakal graduan. Kejayaan
sesebuah perniagaan atau jatuh bangunnya sesuatu itu adalah berdasarkan kepada
kepimpinan. Kriteria ini juga sangat penting untuk dikuasai oleh bakal graduan, sebagai
salah satu daripada antara beberapa kemahiran-kemahiran yang penting untuk dikuasai.
10

Walaupun bakal graduan tidak akan memegang jawatan tertinggi terus ketika menceburkan
diri di dalam bidang pekerjaan, namun mereka perlu menunjukkan potensi sebagai seorang
pemimpin, yang mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan, seterusnya
melaksanakan tugas tersebut kerana ciri-ciri kepimpinan juga akan dinilai oleh majikan.
Mereka juga perlu mampu menunjukkan potensi dalam memotivasikan serta memberi
dorongan kepada rakan sekerja yang akan bekerja bersama mereka kelak. Apa yang paling
penting di dalam sikap kepimpinan ini ialah, bakal graduan perlu tahu tentang tugasan yang
diterima seterusnya melaksanakan tugasan yang diberi dengan baik, menentukan tarikh
akhir tugasan serta menunjukkan kepimpinan dengan memberikan contoh-contoh yang baik
kepada orang lain atau rakan setugas yang lain. Kemahiran Kepimpinan sebenarnya telah
dipupuk ketika menuntut di universiti di kalangan para bakal graduan, samaada secara
langsung mahupun tidak langsung.
e) KEMAHIRAN PENGURUSAN
Seterusnya, bakal graduan perlu memiliki Kemahiran Pengurusan. Melalui kemahiran ini,
majikan akan menilai samaada graduan itu mampu menguruskan sesuatu yang akan
dipertanggungjawabkan kepadanya. Malah, majikan juga akan mempastikan juga samaada
graduan itu mampu melakukan kerja secara efisien dan produktif, untuk menjamin kualiti
kerja yang baik serta pada tahap yang diingini. Dalam kemahiran pengurusan ini, perkara
yang sangat penting juga ialah pengurusan masa. Kemampuan mengurus yang baik
terutamanya di dalam memutuskan untuk melakukan kerja yang perlu diberi keutamaan dan
fokus serta perlu diselesaikan mengikut masa juga akan diambil kira oleh majikan.
Kemahiran pengurusan yang baik adalah bonus buat sesuatu organisasi kerana bukan
sahaja mempunyai pekerja yang cekap dan efisien dalam melakukan tugasan yang diberi,
tetapi juga sebagai jaminan kepada penghasilan kerja yang berkualiti, malah mampu
memuaskan hati pelanggan.

11

6. KESIMPULAN
Kesimpulanya, graduan harus bijak mengatur langkah kehidupan masing-masing, jangan
terlalu memikirkan profesional. Graduan perlu bermula dari bawah untuk dapatkan
pengalaman, bukanya terus dari atas. Justeru , graduan tidak seharusnya terlalu bersikap
memilih , kerana ini bukan saja untuk kebaikan negara,malah ia juga untuk kebaikan diri
graduan itu sendiri dan sikap seperti ini tidak mendatangkan apa-apa kebaikan ke atas diri
mereka sendiri. Bayangkan berapa banyak pengalaman bekerja dan pendapatan yang
mereka rugi jika hanya duduk di rumah disebabkan sikap memilih kerja. Selain itu, mereka
harus mempunyai kemahiran dan pengalaman bekerja.. Oleh itu, mereka haruslah berfikiran
terbuka dan bijak dalam menagani masalah ini agar tidak menyesal di kemudian hari. Bak
kata pepatah berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu,
bersenang- senang kemudian, dan satu lagi pepatah yang mengatakan, di mana ada
kemahuan di situ ada jalan dan nak seribu daya tak nak seribu dalih.
(2746 Patah Perkataan)









12

DATA-DATA MENGENAI ISU PENGANGGURAN


13



14

SENARAI RUJUKAN
IPPTN, (2003). KAJIAN MASALAH PENGANGGURAN DI KALANGAN SISWAZAH,
LAPORAN AKHIR. Diperoleh 15 November 2013 dari :
http://halimlading21.files.wordpress.com/
TREND PENGANGGURAN SISWAZAH DI MALAYSIA, UNIVERSITI MALAYA. Diperoleh
15 November 2013 dari : http://studentsrepo.um.edu.my
Arkib (1998, Mac 3). LANGKAH MENANGANI PENGANGGURAN SISWAZAH.
Utusan Malaysia. Diperoleh 15 November 2013 dari:
http://www.utusan.com.my/

You might also like