You are on page 1of 11

1

4.0 Perkembangan masyarakat Malaysia dari zaman penjajahan hingga kini


Sejarah sosio-ekonomi Malaysia sering dikaitkan dengan pengalamannya
dalam era penjajahan Barat terutamanya orang Inggeris. Perluasan pengaruh
British di Tanah Melayu sejak abad ke-19 telah memberi kesan dari pelbagai
aspek sama ada aspek politik, ekonomi mahupun sosial. Terdapat kesan
penjajahan yang dilakukan berkekalan sehingga kini. Penjajahan British telah
membawa perubahan terhadap pentadbiran, ekonomi dan sosial.
4.1 Politik
Sistem politik Melayu tradisional adalah berteraskan sistem feudal.
Namun, kedatangan penjajah Inggeris telah mengubah corak
pemerintahan pada ketika itu. Pihak Inggeris telah memperkenalkan
beberapa aspek baru dalam corak pemerintahannya, dan dalam masa
yang sama terdapat warisan politik tradisional Melayu yang mereka
kekalkan.
1
Pemerintah tertinggi pada zaman tradisional iaitu raja telah
hilang kekuasaannya dan kedaulatannya di mana selepas kedatangan
British peranan raja telah berkurangan .Hal ini kerana British telah
memperkenalkan sistem Residen yang diperkenalkan di Perak,
Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Residen dilantik sebagai
penasihat sultan, namun bidang tugasnya meliputi hal ehwal
pengutipan cukai, tanah dan perlombongan yang pada awalnya di
bawah tanggungjawab pembesar negeri dan daerah. Residen Inggeris
boleh diibaratkan sebagai Perdana Menteri dalam sistem politik

1
Azmah Abdul Manaf. 2003. Kemunculan Malaysia Moden. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors
Sdn. Bhd. hlm. 33.
2

kerajaan Inggeris.
2
Sistem ini menyebabkan kuasa mutlak sultan telah
digantikan dengan kuasa Residen Inggeris yang telah menguasai
kesemua kuasa. Kuasa sultan menjadi sangat terbatas di mana sultan
hanya terlibat dalam perkara yang berkaitan agama Islam dan adat
istiadat orang Melayu. Tindakan pihak Inggeris ini adalah sebagai
suatu percubaan untuk menyerapkan sistem pemerintahan sekular di
negeri-negeri Melayu dengan memisahkan hal ehwal agama dari
urusan politik. Pada tahun 1941, Tanah Melayu telah dibahagikan
kepada tiga kumpulan politik dan wilayah. Kumpulan-kumpulan ini
terdiri daripada Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang terdiri daripada
Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan: Negeri-Negeri Melayu
Tidak Bersekutu yang mengandungi Perlis, Kedah, Kelantan,
Terengganu dan Johor; dan Pulau Pinang dan Melaka sebagai Negeri-
Negeri Selat.
3
Sistem Residen adalah satu dasar pemerintahan tidak
langsung yang berakhir pada tahun 1948 yang kemudiannya
digantikan dengan Sistem Pentadbiran Persekutuan.
Sistem Persekutuan adalah sistem yang mana kuasa dan
autoriti dibahagikan antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.
Kerajaan Persekutuan akan menguruskan perkara-perkara yang
terdapat dalam Senarai Persekutuan manakala Kerajaan Negeri hanya
mentadbir yang termaktub dalam Senarai Negeri. Selain itu,
Perlembagaan Malaysia mempunyai Senarai Bersama dan kedua-dua
Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mempunyai kuasa dalam

2
Ibid. hlm. 35
3
Haris Mat Jadi. 1990. Etnik, Politik dan Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian
Pendidikan Malaysia. hlm. 6.
3

Senarai Bersama seperti penawaran biasiswa oleh kedua-dua
kerajaan tersebut. Malaysia pada hari ini mengamalkan pentadbiran
bercorak demokrasi berparlimen. Sistem demokrasi berparlimen
dilaksanakan sejak pilihan raya umum yang pertama pada tahun 1955.
Hal ini merupakan kesinambungan terhadap penyatuan orang Melayu,
Cina dan India yang mendesak British memberi kemerdekaan kepada
Tanah Melayu. Ciri-ciri demokrasi berparlimen yang diamalkan ialah
Raja Berpelembagaan. Yang Dipertuan Agong (YDPA) bertindak
sebagai Ketua Negara iaitu pemerintah tertinggi negara dengan
dibantu oleh Perdana Menteri. Namun begitu, kuasa YDPA tertakluk
kepada Perlembagaan Persekutuan. Seterusnya, ciri-ciri demokrasi
berparlimen juga termasuklah pilihan raya. Pemimpin dipilih melalui
pilihan raya dan melalui pilhan raya, rakyat berpeluang membentuk
kerajaan dan berhak untuk menyokong, menukar atau mengekalkan
kerajaan yang sedia ada. Apabila menyebut tentang pilihan raya,
sudah semestinya ada parti politik yang bertanding seperti Persatuan
Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Parti Islam Semalaysia (PAS),
Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan sebagainya. Secara keseluruhannya,
sistem pemerintahan yang pada awalnya berasaskan sistem feudal,
diikuti sistem Residen dan kemudiannya sistem Pentadbiran
Persekutuan yang membawa kepada sistem demokrasi berparlimen
sehingga kini.
4.2 Ekonomi
Pentadbiran Inggeris telah memperkenalkan sistem ekonomi moden
yang berasaskan perdagangan antarabangsa atau komersial telah
4

dilaksanakan. Sistem ekonomi komersial merujuk kepada lebihan hasil
secara besar-besaran dan melibatkan banyak pihak yang memerlukan
barang ekonomi yang berbeza antara satu sama lain. Inggeris lebih
menumpukan kegiatan ekonomi yang berorientasikan eksport. Untuk
mengekalkan ekonomi Malaya sebagai pasaran untuk barang-barang
eksport British, pemerintah penjajah telah menyekat perkembangan
industri di Malaya pada zaman penjajahan.
4
Perkembangan ekonomi
tanah Melayu khususnya Pulau Pinang dan Singapura muncul sebagai
pelabuhan perdagangan penting di bawah pentadbiran yang
mengamalkan dasar ekonomi laissez-faire telah mewujudkan sistem
ekonomi dualisme di Tanah Melayu. Hal ini bermaksud terdapat dua
jenis kegiatan ekonomi yang diamalkan iaitu ekonomi komersil dan
sara diri. Perkembangan ekonomi Tanah Melayu juga bergantung
kepada meningkatnya kemasukan pelaburan daripada pedagang-
pedagang Cina Negeri-negeri Selat dan kemudiannya pemodal Barat.
Orang Cina lebih mendominasi pekerjaan dalam sektor
perlombongan berbanding orang Melayu dan India. Selain faktor
modal, penjajah British yang mengamalkan dasar pecah dan perintah
telah menyebabkan orang Cina begitu sinonim dengan sektor
perlombongan. Keadaan tersebut bermula apabila orang Cina yang
berhijrah dari negara mereka iaitu negara China ke Tanah Melayu
hanyalah sebagai pekerja semata-mata sebelum berubah menjadi
pelabur dan pengusaha terhadap hampir kesemua kawasan
perlombongan yang ada di Tanah Melayu pada ketika itu. Namun

4
Zuraina Majid. (ed.). 1985. Masyarakat Malaysia: Tinjauan dan Perbincangan Terhadap Beberapa Isu dan
Topik Semasa. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia. hlm. 116.
5

begitu, orang Cina juga menjalankan aktiviti pertanian seperti di Kedah,
orang Cina mengusahakan tanaman ubi kayu manakala di Terengganu
dan Johor pula mereka melibatkan diri dalam mengusahakan tanaman
lada hitam.
Revolusi Industri telah meningkatkan permintaan getah
terutamanya untuk perusahaan automobil. Bagi memenuhi permintaan
getah, British memperkenalkan tanaman getah sebagai tanaman
komersial di Tanah Melayu. Perusahaan getah memerlukan tenaga
buruh yang banyak. Dalam keadaan inilah pandangan dihalakan pada
benua kecil India. Keadaan kemiskinan yang terdapat di negara
tersebut , terutama di bahagian selatannya, dan ditambah lagi dengan
kecekapan orang-orang tengah, memudahkan lagi pengaliran buruh ke
Tanah Melayu. Proses ini berterusan sehingga tahun 1938 apabila
kerajaan India mengambil tindakan mengenakan sekatan terhadap
pengambilan buruh-buruh dari negara itu. Kemunculan orang India di
Tanah Melayu bermula pada akhir abad ke-19. Kemasukan mereka
secara besar-besaran serentak dengan perkembangan perusahaan
ladang getah.
Malaysia telah mewarisi sebuah ekonomi yang telah dijajah
sewaktu Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Ekonomi Tanah Melayu pada ketika itu bersifat separuh kapitalis iaitu
pekerja-pekerja berusaha memperoleh upah daripada majikan mereka.
Ekonomi kapitalis bermula apabila terdapat pelaburan modal dalam
kegiatan-kegiatan pengeluaran seperti perlombongan dan pertanian
estet. Dari sudut sosial dan politik wujud pengenalan kaum mengikut
6

kegiatan ekonomi: Melayu tanam padi, Cina tanam sayur, India buruh
estet.
5

Selepas Malaysia mengecapi kemerdekaan, terdapat pelbagai
pembangunan ekonomi telah dirancang untuk memulihkan ekonomi
negara dan ekonomi masyarakat di Malaysia. Kerajaan telah
memberikan tumpuan yang lebih terhadap pembangunan negara
dalam menstabilkan struktur ekonomi dari pelbagai aspek. Terdapat
pelbagai langkah yang diambil untuk membangunkan sektor ekonomi
negara yang dirancang dalam rancangan pembangunan negara setiap
lima tahun untuk mengimbangkan pendapatan antara kaum.
Pembangunan negara fasa pertama terbahagi kepada tiga
rancangan iaitu Rancangan Malaya Pertama, Rancangan Malaya
Kedua, dan Rancangan Malaya Ketiga. Seterusnya, pembangunan
negara fasa kedua merangkumi Rancangan Malaysia Kedua,
Rancangan Malaysia Ketiga, Rancangan Malaysia Keempat dan
Rancangan Malaysia Kelima. Pembangunan negara fasa ketiga
merangkumi Rancangan Malaysia Keenam sehingga kesembilan.
Bermula dari Rancangan Malaysia Kedua, Dasar Ekonomi Baru (DEB)
telah diperkenalkan. Kesemua rancangan pembangunan negara ini
bertujuan untuk membaik pulih sistem ekonomi negara dan
merapatkan jurang ekonomi setiap kaum. Kini, pembangunan ekonomi
Malaysia telah berada dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh.
4.3 Pendidikan

5
Shamsul Amri Baharuddin. 1990. Masyarakat Malaysia yang Membangun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia. hlm. 22.
7

Sebelum pendidikan sekular diperkenalkan, pendidikan orang Melayu
sebelum kedatangan penjajah Inggeris adalah berorientasikan
keagamaan dan tumpuan diberikan terhadap pengajaran al-Quran.
Kebiasaannya pelajaran ini akan diajar sama ada di surau, masjid, dan
sekolah pondok. Pelajaran yang diberikan di pondok tidak tertumpu
kepada membaca dan memahami al-Quran semata-mata kerana
kurikulumnya juga merangkumi bahasa Arab, kemahiran membaca,
menulis dan mengira. Namun, kehadiran kolonialisme British telah
memperkenalkan sistem pendidikan vernakular. Dasar laissez-faire
Inggeris dalam bidang pendidikan telah mewujudkan lima jenis
persekolahan dalam zaman pemerintahannya.
6
Antara sekolah
tersebut ialah sekolah vernakular Melayu, sekolah vernakular Cina,
sekolah vernakular Tamil, sekolah Inggeris dan sekolah agama
madrasah. Vernakular bermaksud bahasa pengantarnya ialah bahasa
ibunda.
Dasar pendidikan British di Tanah Melayu sebelum perang telah
disifatkan sebagai dualistik dan juga sebagai dua lapis kerana
mengekhaskan pendidikan Inggeris bagi golongan elit manakala
pendidikan vernakular dianggap sesuai bagi orang ramai.
7
Maktab
Melayu Kuala Kangsar (MCKK) adalah tempat untuk anak-anak
daripada golongan aristokrat Melayu mendapatkan pendidikan. Maktab
ini menyediakan pelajar untuk menjadi tenaga pekerja yang akan
memenuhi jawatan-jawatan yang terdapat dalam pentadbiran penjajah.

6
Sufean Hussin. 1996. Pendidikan di Malaysia: Sejarah, Sistem dan Falsafah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka. hlm. 5.
7
Ishak bin Saat. 2006. Sejarah Sosiobudaya Melayu. Shah Alam: Karisma Publications. hlm. 124-125.
8

Sekolah Melayu yang dibina untuk memberi pendidikan kepada
masyarakat bawahan terhad kepada pendidikan rendah sahaja dan
kurikulum yang ditawarkan adalah minimum yang mana mata pelajaran
yang diajarkan adalah berorientasikan pekerjaan. Dasar ini adalah
selaras dengan objektif pihak British untuk menjadikan orang Melayu
cekap dalam persekitaran mereka sama ada dalam bidang pertanian
ataupun sebagai nelayan. Sistem sekolah Melayu sampai ke tahap
kegemilangannya pada tahun 1922 apabila Maktab Perguruan Sultan
Idris didirikan di Tanjung Malim, Perak. Ia merupakan institusi
pendidikan yang menghasilkan guru-guru yang akan pulang ke
kampung dan menjadikan penduduk kampung lebih baik daripada
keadaan cara hidup mereka.
Akibat daripada pengasingan kaum oleh British akibat dari
pengkhususan pekerjaan, telah wujud juga sekolah vernakular untuk
kaum Cina dan India di Tanah Melayu. Bagi kaum Cina, sekolah Cina
dibiayai oleh saudagar dari China.Hal ini jelas dibuktikan melalui
penubuhan Sekolah Chung Hwa dan Sekolah Cina Yuk Chai di Kuala
Pilah pada tahun 1926. Suasana dan ciri-ciri sekolah seakan-akan
yang terdapat di negara asal mereka. Sekolah ini menggunakan
bahasa Cina sebagai bahasa pengantar, malah guru-guru, buku teks
dan kandungan kurikulumnya semuanya bercorak kecinaan dan
dibawa masuk keseluruhannya dari negara China.
Pendidikan sekolah Tamil seperti Sekolah Tamil Vivekanada
yang ditubuhkan pada tahun 1912 di Seremban yang berorientasikan
sistem pendidikan di negara India dengan menggunakan sukatan
9

pelajaran, buku dan tenaga pengajar dari India. Sekolah kaum India ini
juga menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar. Kaum
India tertumpu di kawasan ladang. Mereka hanya bekerja di ladang-
ladang getah milik British dan pihak pengurusan ladang
bertanggungjawab dalam membiayai sekolah Tamil di kawasan
ladang. Hal ini berikutan satu dasar berhubung pendidikan orang India
pada tahun 1923 apabila Undang-undang Buruh telah dikanunkan atas
desakan kerajaan India. Kanun Buruh ini membuat peraturan bahawa
sebuah sekolah hendaklah didirikan di setiap ladang getah mempunyai
sepuluh atau lebih kanak-kanak- yang mempunyai umur
persekolahan.
8
Sekolah-sekolah Tamil menghadapi nasib yang sama
seperti sekolah Melayu yang berakhir setakat sekolah rendah sahaja.
Sekolah menengah Tamil tidak disediakan dan sekiranya ada yang
ingin meneruskan pelajaran, mereka bolehlah memasuki sekolah
Inggeris. Namun begitu, yuran persekolahan yang dikenakan adalah
mahal dan ibu bapa tidak mampu membiayai persekolahan anak-anak
mereka. Anak-anak mereka hanya kekal di ladang mengikut jejak
langkah ibu bapa mereka yang bekerja di ladang getah.
Kewujudan sekolah vernakular ini ternyata tidak menggalakkan
perpaduan antara kaum, sehingga menyebabkan kaum- kaum ini
terasing antara satu sama lain. Fakta- Fakta di atas menunjukkan
aliran- aliran pendidikan di negara ini pada zaman penjajahan British
saling berasingan dan memisahkan pandangan antara kaum. Sekolah
vernakular ini masih berkekalan sehingga kini tetapi ditukar namanya

8
Ibid. hlm. 16
10

menjadi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil. Namun,
perubahan demi perubahan dilakukan untuk memperbaiki sistem
pendidikan negara untuk mewujudkan pendidikan yang mengikut
acuan negara Malaysia. Bahasa Melayu dijadikan sebagai mata
pelajaran wajib di sekolah aliran Cina dan Tamil sesuai untuk
memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Selain
itu, sekolah aliran Cina dan Tamil ini tidak lagi berteraskan negara asal
iaitu negara China dan India.
Usaha pertama untuk menyusun semula pelajaran di Tanah
Melayu selepas Perang Dunia Kedua telah disiarkan dalam Council
Paper No.53 tahun 1946 (Malayan Union) yang menerangkan
Rancangan Cheeseman dalam dasar pelajaran baru.
9
Cadangan yang
dikemukakan dalam Rancangan Cheeseman adalah dengan memberi
pendidikan percuma di sekolah-sekolah rendah Melayu, Cina, Tamil
dan Inggeris. Selain itu, mata pelajaran Inggeris juga diajar di semua
sekolah rendah. Dua buah sekolah menengah juga ditubuhkan iaitu
sekolah menengah Inggeris yang mana bahasa ibunda diajar sebagai
satu mata pelajaran dan sekolah menengah pengantar yang
menggunakan bahasa ibunda dan bahasa Inggeris diajar sebagai
bahasa kedua. Pada masa yang sama, pelaksanaan Penyata
Pelajaran Vokasional di Tanah melayu pada tahun 1938.
Dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948, kerajaan
berasa wajar untuk mengkaji semula dasar pelajaran dan tugas
tersebut diberikan kepada Jawatankuasa Penasihat Pusat 1949 tetapi

9
Ibid. hlm. 106.
11

laporannya tidak diterima oleh Majlis Perundangan. Kemudian, suatu
jawatankuasa telah ditubuhkan pada tahun 1950 yang dipengerusikan
oleh L.J. Barnes. Jawatankuasa ini mencadangkan penubuhan sekolah
kebangsaan yang merangkumi kanak-kanak berbilang bangsa dan
diajar menerusi pengantar bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.
Penyata Barnes tidak mendapat sambutan baik dalam kalangan
masyarakat Cina dan India kerana mereka berasa bahawa pelajaran
Cina dan Tamil akan terancam. Keadaan demikian telah menyebabkan
Jawatankuasa Fenn-Wu ditubuhkan bagi mengkaji masalah pelajaran
Cina. Dalam menghasilkan dasar pelajaran kebangsaan pada 1951,
Majlis Pelajaran Persekutuan telah menimbangkan Penyata Barnes,
Penyata Fenn-Wu dan Penyata Penasihat Pusat mengenai pelajaran
dan menghasilkan Ordinan Pelajaran 1952. Selepas itu, Penyata
Razak 1956 dan Penyata Rahman Talib 1960 dihasilkan sebagai asas
pembentukan sistem dan Dasar Pelajaran Kebangsaan seperti yang
termaktub dalam Akta Pelajaran 1961. Kemudian, sebuah
Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan pada tahun 1974 untuk
mengkaji semula pelaksanaan sistem pelajaran kebangsaan. Hal ini
bagi memastikan bahawa sistem pelajaran tersebut dapat memenuhi
matlamat negara ke arah melahirkan masyarakat yang bersatu padu,
berdisiplin dan terlatih. Laporan jawatankuasa ini telah diterbitkan
dalam tahun 1976.

You might also like