You are on page 1of 3

Bincangkan bentuk dan sistem feudal yang diamalkan di Vietnam sebelum

kedatangan barat.
Sebelum kedatangan kuasa barat, kerajaan yang memerintah negara-negara di
rantau asia tenggara, asia timur dan asia selatan, merupakan kerajaan yang
mengamalkan struktur masyarakat berdasarkan sistem feudal. Feudalisme
bermaksud satu bentuk susun lapis masyarakat mengikut hierarki dan merupakan
cara hidup yang merangkumi aspek politik, ekonomi dan sosial. Sistem feudal ini
juga merupakan satu bentuk kerajaan tempatan yang diperintah oleh individu
tertentu iaitu seorang raja atau maharaja yang mempunyai kuasa tertinggi dan
dianggap menguasai dan memiliki tanah dan bukan kerajaan pusat. Struktur sistem
feudal pula adalah berbentuk piramid yang terdiri daripada golongan memerintah
dan golongan diperintah. Bagi Negara Vietnam, golongan yang memerintah terdiri
daripada Maharaja dan Quan/Mandarin, manakala golongan yang diperintah pula
terdiri daripada rakyat jelata iaitu petani dan hamba.


Sebelum kedatangan barat, masyarakat Vietnam berpegang kepada kehidupan
secara tradisi. Sistem feudalnya lebih dipengaruhi oleh Negara China. Konsep politik
Negara China yang mengamalkan mandat dari syurga telah diterapkan dalam
institusi kemaharajaan Vietnam. Setiap maharaja Vietnam akan ditabalkn oleh wakil
dari Maharaja China sebelum baginda ditabal sebagai maharaja yang sah dan
berwibawa. Hal ini dapat dilihat apabila Nguyen Anh mengisytiharkan dirinya
sebagai maharaja Vietnam dengan gelaran Maharaja Gia Long (1802-1819).
Baginda telah menghantar satu misi diplomatik ke Beijing untuk meminta China
melaksanakan upacara pertabalan Maharaja Gia Long mengikut adat istiadat yang
diamalkan sejak abad ke-15 lagi.


Masyarakat Vietnam di bawah pemerintahan Maharaja Gia Long dan maharaja-
maharaja selepasnya adalah bercorak birokratik yang berasaskan kepada hierarki
mandarin. Negara dibahagikan kepada tiga wilayah pentadbiran iaitu Annam,
Tongking, dan Cochin-China. Wilayah Annam merupakan ibu negeri dan diletakkan
di bawah pentadbiran maharaja. Sementara wilayah Tongking dan Cochin-China
ditadbir di bawah kuasa wizurai. Ketiga-tiga wilayah ini pula dibahagikan kepada
beberapa bahagian kecil iaitu provinci, phu, huyen, tong dan komun(xa). Setiap
bahagian ini ditadbir oleh seorang pembesar. Sistem yang diamalkan ini
menyebabkan pembesar dapat mengukuhkan kuasa masing-masing.
Walaubagaimanapun, kuasa maharaja adalah mutlak. Dalam sistem feudal di
Vietnam, maharaja berada di hierarki sosial masyarakat yang teratas. Sistem feudal
ini terdiri daripada maharaja, golongan cendekiawan (quan atau mandarin), petani
dan hamba.


Maharaja-maharaja yang memerintah Negara Vietnam dikatakan mempunyai kuasa
yang mutlak dalam pemerintahan pusat, pemilikan tanah dan harta. Maharaja
dianggap sebagai Anak dari Syurga yang mendapat mandat dari Tuhan untuk
memerintah. Kesejahteraan rakyat dan Negara bergantung kepada kebijaksanaan
maharaja dan apabila maharaja mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyatnya,
maka tindakan tersebut akan membawa malapetaka kepada negaranya. Oleh yang
demikian, jika seseorang maharaja tidak bersikap adil dalam pemerintahannya,
mandat yang diterima dari alam kudus itu akan hilang dan negara yang
diperintahnya akan mendapat kecelakaan. Selain itu, maharaja juga hendaklah
bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang bencana alam yang berlaku
semasa pemerintahannya. Hal ini dapat dilihat semasa pemerintahan Maharaja Minh
Mang (18201841), apabila baginda telah membatalkan jamuan istana setelah
mendengar berita berlakunya benteng pecah di wilayah Vietnam.


Golongan yang berada di lapisan kedua dalam hierarki sosial Vietnam ialah
golongan quan atau mandarin. Golongan ini mempunyai bidang kuasa yang besar
dan berpengaruh. Mereka membantu maharaja dalam pemerintahan dengan
melaksanakan tugas-tugas maharaja. Mereka juga mendapat sokongan dan
sanjungan serta penghormatan daripada rakyat jelata. Mereka dianggap sebagai
penjamin dan penegak keadilan. Mereka juga merupakan pentafsir undang-undang
dan bertindak sebagai pegawai kehakiman. Quan awan merupakan quan yang
penting dan bertaraf tinggi berbanding dengan quan-quan yang lain termasuklah
quan tentera. Ketua-ketua quan terdiri daripada kalangan mereka yang mendapat
pendidikan Confucius. Dalam masyarakat Vietnam, rakyat biasa yang pintar serta
mendapat pendidikan Confucius yang tinggi akan berpeluang untuk menjadi
pegawai-pegawai tinggi awam. Mereka diberi peluang mengambil peperiksaan
perkhidmatan awam Confucius dan maharaja berhak melantik mereka sebagai
pegawai tinggi awam. Hal ini membuktikan bahawa wujudnya mobiliti sosial dalam
masyarakat Vietnam.


Golongan pembesar yang paling rendah pangkatnya ialah pembesar yang berkuasa
di peringkat komun (kampung). Pembesar ini dipilih dalam kalangan masyarakat
kampung yang merupakan orang tua yang bijak dan berpengalaman serta mendapat
kelulusan dari pihak istana. Mereka bertanggungjawab menjalankan perintah istana,
mendamaikan perselisihan yang wujud dengan cara rundingan dan bertolak ansur
serta bertanggungjawab mengutip cukai.



Lapisan ketiga dalam hierarki sosial masyarakat Vietnam adalah golongan petani.
Sepertimana di Myanmar, golongan ini turut menjalankan aktiviti sara diri
terutamanya menanam padi di sawah. Mereka telah dapat membantu meningkatkan
kemajuan ekonomi Vietnam. Seorang petani dimestikan membayar cukai dan
terpaksa menyumbang tenaga di antara 20 hingga 60 hari dalam tempoh setahun
dalam urusan-urusan kerajaan seperti membina empangan dan tali air. Sewaktu
pemerintahan Maharaja Minh Mang, baginda telah menetapkan semua pegawai-
pegawai dibayar gaji tetap dalam bentuk wang dan beras. Hal ini dilakukan supaya
tidak berlaku unsur-unsur rasuah atau penyelewengan dalam pentadbiran kerajaan.



Golongan hamba pula merupakan golongan yang berada di lapisan paling bawah
dalam hierarki sosial Vietnam. Golongan ini terdiri daripada mereka yang melakukan
kesalahan jenayah. Mereka akan dihantar ke kem-kem tentera di sempadan dan
membuka tanah baru untuk dikerjakan. Setelah hukuman sebagai hamba tamat,
mereka boleh menjadi petani di tanah yang diusahakan oleh mereka.


Kesimpulannya, sistem feudal di Vietnam lebih dipengaruhi oleh Negara China yang
mengamalkan mandat dari syurga. Sejak sekian lama negara ini telah
melaksanakan dan menerima sistem feudal sebagai sistem sosial mereka. Golongan
pembesar mempunyai pengaruh yang sangat besar meskipun meletakkkan
maharaja sebagai kuasa tertinggi.

You might also like