Menurut Abd. Aziz Abd Talib (2000), pengajaran tatabahasa membolehkan murid- murid berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan baik. Pengetahuan dan kemahiran berkomunikasi ini membantu murid menghasilkan ayat yang gramatis dan berkomunikasi dengan berkesan. Menurut Nik Safiah Karim et.al (2008), wacana pula ialah unit bahasa yang melebihi batas ayat. Wacana boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian, dialog, bab, buku, siri buku dan sebagainya, yang memperlihatkan hubungan dan perkembangan fikiran yang berurutan dan lengkap. Harimurti Kridalaksana (1984), menyatakan bahawa wacana adalah satuan bahasa terlengkap; dalam hirarki tatabahasa merupakan satuan tatabahasa tertinggi atau terbesar. Wacana ini direalisasikan dalam bentuk karangan yang utuh seperti novel, buku, ensiklopedia, dan sebagainya, paragraf, ayat atau kata yang membawa amanat yang lengkap. Wacana yang terdiri dalam bentuk tulisan atau lisan, diujarkan untuk menyampaikan maklumat berkaitan sesuatu topik. Wacana tulisan ialah wacana yang disampaikan secara bertulis yang melibatkan hubungan antara penulis dan pembaca. Wacana lisan dihasilkan melalui media lisan yang melibatkan hubungan pembicara dan pendengar. Pengajaran tatabahasa wacana dalam penulisan secara umum meliputi pengaplikasian aspek-aspek bahasa yang lain seperti tatabahasa, fonetik, fonologi dan semantik.Dalam pengajaran penulisan di sekolah-sekolah, di peringkat sekolah rendah mahupun menengah, pelajar di l atih untuk mengungkapkan gagasan dan buah fikiran(idea) dengan tepat dan jelas tentang segala perkara, sama ada yang berbentuk akademik ataupun kegiatan-kegiatan harian serta pengalaman dalam berbagai-bagai jenis penulisan. Konsep tatabahasa wacana bagi penulisan ialah membolehkan pelajar : mengenal pasti dan menggunakan penanda wacana yang sesuai dalam satu perenggan bagi sesebuah karangan. Membina wacana yang sempurna bagi keseluruhan karangan. Menulis surat kiriman, berita dan rencana Menulis beberapa ayat tentang diri, benda sekeliling dan orang yang ada kaitan dengan pelajar ( Kamarudin Haji Husin, 1998)
Wacana yang utuh mempunyai dua ciri utama iaitu kohesi (tautan) dan koheran (runtutan). Kohesi ialah ciri wacana yang membawa keserasian hubungan antara satu unsur linguistik dengan unsur linguistik yang lain dalam sesuatu wacana untuk menghasilkan wacana yang lengkap. Keserasian dilihat melalui hubungan suatu perkataan, frasa atau ayat, dengan perkataan, frasa atau ayat lain dalam wacana yang sama. Koheren pula ialah kesinambungan idea yang terdapat dalam sesbuah wacana sehinga menjadikan teks itu bermakna. (Nik Safiah Karim et.al, 2008).
1.1 Penanda wacana
Penanda wacana digunakan untuk mewujudkan kesinambungan antara ayat dengan frasa dalam sesuatu wacana. Terdapat lima jenis penanda wacana iaitu :
i)Penanda penghubung Perkataan atau frasa yang menghubungkan sesuatu maklumat dengan maklumat lain. Penanda ini dapat dikategorikan kepada empat jenis iaitu :
a) Penghubung tambahan ialah penghubung yang memberi maklumat tambahan kepada sesuatu perkara yang diperkatakan sebelum ini. Antara penanda wacana jenis ini ialah dan, lalu, malahan, tambahan pula, lebih-lebih lagi, di samping itu, dan selanjutnya. b) Penghubung tentangan merupakan penghubung yang menunjukkan pertentangan maklumat antara suatu perkara yang baharu dengan yang sebelumnya. Antaranya ialah tetapi, sebaliknya, namun, namun begitu dan walau bagaimanapun. c) Penghubung musabab ialah penanda wacana yang merupakan sebab berlakunya sesuatu. Contoh penanda musabab ialah kerana, oleh sebab, oleh itu, oleh hal demikian, dengan itu dan maka itu. d) Penghubung tempoh pula merupakan penanda penghubung yang menunjukkan urutan masa atau siri berlakunya sesuatu. Contoh penanda wacana jenis ini ialah pertama, seterusnya, kemudian, selanjutnya, selepas itu, maka dan akhirnya.
ii) Penanda rujukan
Penanda rujukan ialah kata ganti nama yang digunakan bagi merujuk perkataan dan frasa lain. Kata ganti nama rujukan terdiri daripada kata ganti nama orang (pertama, kedua dan ketiga) dan kata ganti nama tunjuk (ini, itu, sini, sana dan situ ). Contoh dalam ayat : Encik Dani mengajar di Sekolah Kebangsaan Sena. Beliau bekerja di situ sejak tahun lalu.
iii) Penanda penggantian
Penanda ini merupakan perkataan atau frasa yang menggantikan perkataan atau frasa lain dalam wacana yang sama. Penanda jenis ini terdiri daripada frasa nama, frasa kerja atau klausa. Contoh dalam ayat: Penagihan dadah merupakan salah satu masalah besar di negara kita. Kerajaan sedang menyusun langkah untuk membanteras gejala ini.
iv) Penanda leksikal
Penanda jenis ini melibatkan pertautan perkataan atau frasa melalui pengulangan kata. Pengulangan terdiri daripada: pengulangan perkataan yang sama: Guru mengucapkan tahniah kepada Alia atas kejayaannya. Kami juga mengucapkan tahniah. Perkataan yang sama makna (sinonim) : Sungguh cantik pemandangan di kawasan itu. Semua orang menyatakan tempat itu sungguh indah. Pengulangan yang melibatkan perkataan yang umum makna dengan yang khusus maknanya (hiponim) Pasar itu menjual pelbagai jenis sayur; ada lobak, sawi, kangkung dan kacang panjang. Pengulangan perkataan yang kehadiran saling berkait (kolokasi). Abang suka menonton permainan bola sepak. Babak yang paling digemarinya ialah apabila berlaku tendangan percuma dan tendangan sudut. v) Penanda pengguguran
Penanda ini melibatkan pengguguran perkataan atau frasa yang telah dinyatakan dalam ayat sebelumnya. Contoh ayat: Minggu lalu Kak Maya dan keluarganya berkelah di Port Dickson . Demikian juga keluarga kami.
4.0 Aplikasi Penulisan Wacana Yang Berbentuk Fakta di Peringkat Sekolah Rendah Penulisan jenis fakta bertujuan untuk menguji tahap pengetahuan dalam sesuatu perkara. Penulisan jenis ini menggunakan format biasa dan bahasa yang digunakan mestilah ringkas, padat dan mudah difahami. Peribahasa boleh diselitkan di tempat- tempat yang sesuai. Tajuk perlu dikaji terlebih dahulu, kemudian mencari isi-isi penting yang sesuai dengan tajuk. Penulisan fakta ini mempunyai bahagian pendahuluan, isi-isi penting dan bahagian penutup. Perenggan isi perlu mempunyai isi, huraian serta contoh. Contoh penulisan fakta Gejala ketagihan dadah semakin meruncing dalam kalangan remaja. Nyatakan faktor-faktor yang menyebabkan gejala ini berlaku. Pendahuluan - Gejala penyalahgunaan dadah sering disiarkan - Melibatkan golongan remaja - Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan gejala ini Isi 1) Sifat ingin mencuba - Dunia remaja yang penuh fantasi - Tidak memikirkan akibat yang terjadi
2) Pegangan agama yang rapuh - kurang didikan agama terutama daripada ibu bapa - tidak tahu dosa dan pahala 3) Tekanan hidup - mengambil jalan mudah menagih dadah - untuk penyelesaian masalah tekanan hidup
4) Rakan sebaya - tempat mengadu masalah - rakan mempengaruhi untuk terjebak dengan penagihan dadah
Penutup Semua pihak berganding bahu menangani masalah ini supaya generasi masa hadapan dapat diselamatkan.
Era globalisasi hari ini, gejala penyalahgunaan dadah semakin menular dalam kalangan rakyat Malaysia. Penularan gejala penyalahgunaan dadah sering disiarkan dalam media massa hampir setiap hari dan golongan remaja merupakan golongan yang sering terjebak dengan gejala yang tidak bermanfaat ini. Prof. Madya Dr. Lekra Ramal daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata 14.6 peratus daripada remaja yang berumur antara 15- 19 tahun sudah mula berjinak-jinak dengan najis dadah. Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan senario ini terus menular dalam kalangan remaja dan perlu diperincikan demi kebaikan bersama dalam membasmi masalah ini sehingga ke akar umbi. Salah satu daripada faktor penyalahgunaan dadah ialah sifat naluri yang ingin mencuba sesuatu yang baharu. Dunia remaja adalah dunia yang indah. Hidup mereka lebih banyak berdasarkan alam fantasi daripada alam realiti. Mereka ingin mencuba apa- apa yang baharu bagi mereka tanpa memikirkan akibat yang akan terjadi. Faktor ingin mencuba inilah menyebabkan para remaja terjebak dalam penagihan dadah. Penagih dadah sememangnya tidak berfikir panjang untuk mengambil dadah. Mereka hanya mahukan kepuasan sehingga sanggup mencuri, membunuh serta melakukan perkara yang boleh membantu mereka mendapatkan dadah. Pegangan agama juga memainkan peranan penting bagi mengatasi masalah ini. Kebanyakan remaja yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah berlatar belakangkan pegangan agama yang rapuh. Mereka tidak tahu maksud dosa atau pahala. Bagi mereka dadah ialah sebahagian daripada hidup. Pegangan agama yang rapuh adalah kerana kurangnya didikan agama daripada ibu bapa. Ibu bapa yang terlalu sibuk mengejar harta duniawi sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka dalam menerapkan didikan agama dan nilai moral kepada anak-anak menyebabkan anak-anak mereka melakukan apa apa sahaja perkara yang dikehendaki. Pada arus pemodenan hari ini, kerap berlaku tekanan hidup kepada seseorang khususnya remaja. Bagi mengatasi masalah tekanan hidup ini, remaja akan mengambil jalan mudah, iaitu dengan menagih dadah. Bagi mereka, dadahlah jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah mereka. Dalam hal ini, ibu bapa perlu membantu dan membimbing anak mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi. Pengaruh rakan sebaya merupakan salah satu faktor yang menyebabkan gejala penyalahgunaan dadah ini semakin menular dalam golongan remaja. Remaja beranggapan kawan-kawan ialah tempat mengadu masalah. Jika kawan mereka ialah seorang yang bertanggungjawab, mungkin masalah mereka dapat diselesaikan, namun sebaliknya jika kawan mereka suka mengambil kesempatan. Justeru, rakyat seharusnya bersatu padu antara satu sama lain bagi membentuk negara Malaysia yang bebas dadah. Rakyat tidak seharusnya berpeluk tubuh dan menyerahkan semua perkara kepada pihak kerajaan. Elakkanlah setelah nasi menjadi bubur barulah kita berganding bahu dengan kerajaan bagai aur dengan tebing untuk menjayakan dasar negara tanpa dadah. Janganlah kita menyesal setelah anak kita menjadi seperti bangkai bernyawa kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
Rujukan Abd. Aziz Abd. Talib (2000). Pedagogi Bahasa Melayu: Prinsip, Kaedah dan Teknik. Kuala Lumpur : Utusan Publication & Distributors Harimurti Kridalaksana (1984). Kamus Linguistik. Indonesia :Gramedia Kamarudin Haji Husin (1998). Pedagogi Bahasa Perkaedahan. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Hj. Musa dan Abdul Hamid Mahmood (2008). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.