You are on page 1of 10

Tunku Abdul Rahman

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Lompat ke: pandu arah, gelintar


Yang Teramat Mulia
 Tunku Abdul Rahman Al-Haj 
AC CH

Perdana Menteri Malaysia


Dalam pejabat
31 Ogos 1957 – 22 September 1970
Abdul Rahman
Hisamuddin Alam Shah
Raja
Putra
Ismail Nasiruddin Shah
Timbalan Abdul Razak
Didahului oleh Pejabat ditubuhkan
Digantikan oleh Abdul Razak

8 Februari 1903
Lahir
Alor Star, Kedah, British Malaya
6 Disember 1990 (umur 87)
Meninggal
Kuala Lumpur, Malaysia
Pertubuhan Kebangsaan Melayu
Parti politik
Bersatu-Parti Perikatan/National Front
Meriam Chong (1933 – 1935)
Pasangan Violet Coulson (1935 – 1946)
Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah
(1939 – 1990)
Pekerjaan Peguam
Agama Islam
Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah
(8 Februari 1903 - 6 Disember 1990) merupakan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dari
1955, dan Perdana Menteri pertama sejak kemerdekaan pada tahun 1957 sehingga 1970.
Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaiannya yang
teragung. Biasanya dikenali sebagai "Tunku", beliau juga dikenang sebagai "Bapa Kemerdekaan" dan
"Bapa Malaysia".

Isi kandungan
[sorok]
 1 Kehidupan peribadi
o 1.1 Pendidikan

o 1.2 Keluarga

 2 Kerjaya politik
o 2.1 Laluan ke kemerdekaan

o 2.2 Sebagai Perdana Menteri

 3 Kegiatan Islam
 4 Kehidupan kemudian
 5 Garis masa
 6 Rujukan

 7 Pautan luar

Kehidupan peribadi
Dilahirkan di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar, Kedah yang lebih dikenali sebagai Istana Pelamin,
Tunku merupakan anak lelaki yang ketujuh dan anak yang kedua puluh kepada Sultan Abdul
Hamid Halim Shah, Sultan Kedah yang ke-24. Bondanya Cik Menyelara, seorang isteri Sultan
Abdul Hamid yang tidak berdarah gahara, ialah anak perempuan Luang Naraborirak (Kleb),
seorang pegawai daerah Thailand. Kelahiran Tunku disambut secara biasa sahaja kerana beliau
bukan bakal pengganti Sultan Kedah. Pengganti Sultan Kedah, Sultan Badlishah ibni Sultan
Abdul Hamid, telah pun berumur 30 tahun ketika itu.

Semasa kecil, Tunku dipanggil Awang kerana rupa parasnya yang tidak sesegak adik-beradiknya
yang lain. Beliau bebas bermain di luar istana dan pernah membentuk pasukan bola sepak
kampung. Tunku biasa mengendap burung dan melastik, serta bermain lumpur sehingga
menghidapi penyakit puru di kakinya.

Pendidikan
Tunku bermula pendidikannya pada 1909 di sebuah sekolah rendah Melayu di Jalan Baharu,
Alor Setar. Biasa berbahasa Siam di rumah, beliau belajar bahasa Melayu di sekolah itu. Seorang
guru pula datang ke rumahnya untuk mengajar bahasa Inggeris. Tunku kemudian berpindah ke
sebuah sekolah kerajaan bahasa Inggeris yang kini dinamakan Kolej Sultan Abdul Hamid. Di
sini, beliau belajar di sekolah pada waktu siang dan membaca Al-Quran pada waktu petang.

Pada tahun 1913 sewaktu berumur 10 tahun, Tunku dihantar ke Bangkok untuk menetap bersama
Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid, abang sulungnya, dan belajar di Sekolah Thebsirintrawat
(Debsirindir School). Pada tahun 1915, Tunku pulang dan meneruskan pendidikannya di Penang
Free School. Antara gurunya ialah HR Cheeseman dan SM Zainal Abidin. Seorang yang aktif,
beliau menyertai Pengakap dan Kor Kadet.

Pada tahun 1919 ketika berumur 16 tahun, Tunku menerima Biasiswa Negeri Kedah untuk
melanjutkan pendidikannya di Kolej St Catharine di Universiti Cambridge. Beliau merupakan
penuntut pertama untuk menerima pendidikan di United Kingdom dibawah tajaan Kerajaan
Negeri Kedah. Ketika Tunku tidak dibenarkan tinggal di asrama St Catharine kerana dasar
aparteid ('kulit berwarna') masih diamalkan, beliau membantah kepada William Peel, Penasihat
British kepada Kedah. Akhirnya, pengetua sekolah itu terpaksa meminta maaf.

Dari segi berpakaian, Tunku agak kebaratan. Semasa beliau dihantar ke England, tiada sepasang
pun baju Melayu yang dibawa. Tunku dan keluarganya hanya menempah pakaian Barat di kedai
Pritchards di Pulau Pinang. Ketika di England, Tunku amat berlainan dengan Sultan Perak yang
berbaju Melayu, siap dengan tengkolok.

Mula-mulanya, Tunku mengambil jurusan undang-undang bersama rakannya, Ivor Jenning (Sir),
H.V. Davies dan George Brown, tetapi kemudian bertukar kepada jurusan sastera (Sejarah).
Beliau suka bersiar-siar dengan motosikal Riley Sport dan kereta mewah, dan melakukan 28
kesalahan trafik jalan raya semasa berada di Cambridge. Tunku tidak dapat menduduki
peperiksaan akhir Ijazah Sarjana Muda Sastera kerana terlupa jadual waktu peperiksaan. Dengan
bantuan dan kerjasama daripada sahabatnya, Taib Andak, beliau memperolehi ijazahnya pada
tahun 1925.

Pada tahun 1927, Tunku dihantar semula ke England untuk belajar undang-undang di Universiti
Cambridge kerana keluarganya tidak berpuas hati dengan keputusannya yang lalu. Beliau lulus
semester pertama dalam jurusan undang-undang di Inner Temple pada tahun 1930. Selepas
pemulangannya, Tunku bertugas sebagai Pegawai Latihan di Pejabat Penasihat Undang-Undang
Kedah pada tahun 1931, dan dilantik sebagai Pegawai Jajahan untuk Kuala Nerang pada tahun
berikutnya. Beliau dipindahkan ke Pulau Langkawi pada tahun 1935 oleh Clayton, Penasihat
British sewaktu itu. Pada tahun 1937, Tunku bertugas sebagai Pegawai Jajahan di Sungai Petani
bersamping bertindak sebagai hakim daerah dan Pengerusi Lembaga Kebersihan Sungai Petani.
Sebuah masjid di Sungai Petani telah dinamakan Masjid Rahmaniah sempena nama Tunku.

Pada tahun 1938, Tunku pergi semula ke England buat kali yang ketiga untuk menyambung
pelajaran undang-undangnya. Antara temannya ialah Sardon Haji Jubir. Beliau kembali ke
Kedah pada tahun 1939 kerana terdapatnya berita bahawa perang akan meletus di Eropah. Pada
1940, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pasukan Kawalan Am Selatan
Kedah.

Pada 9 Disember 1941, Tunku menyorokkan Sultan Abdul Hamid Halim Syah, ayahandanya
yang ketika itu berumur 80 tahun, sewaktu pegawai British hendak membawanya ke India. Bagi
beliau, tidak wajarlah seseorang sultan melarikan diri daripada tanah airnya sewaktu peperangan.
Berpakaian Tentera Utara Australia, Tunku menculik ayahandanya yang ketika itu bersama
dengan Syed Abu Bakar al Idrus, seorang Merinyu Kesihatan Kedah dan menyembunyikannya
di Sedim, dekat dengan Kulim, di bawah jagaan Penghulu Wahab. Tunku Badlishah, Pemangku
Raja Kedah, tidak berpuas hati dengan tindakan Tunku yang membelakangkannya sebagai bakal
pengganti Sultan Kedah.

Pada 19 Disember 1941, Sultan Abdul Hamid dibawa semula ke Alor Star. Jepun mengiktiraf
baginda sebagai Sultan Kedah tetapi pentadbirannya diletakkan di bawah Gabernor dan Tentera
Jepun. Sultan Abdul Hamid meninggal pada tahun 1943. Semasa Jepun memerintah, Tunku
kekal sebagai Pegawai Jajahan Kulim tetapi ditemani oleh Ohata, seorang pegawai Jepun yang
pernah menjadi tukang gunting di pekan Alor Star.

Tunku menyambung semula pendidikannya di Inner Temple pada tahun 1947. Sewaktu tempoh
itu, Tunku bertemu dengan Abdul Razak Hussein. Beliau dipilih sebagai presiden untuk
Persatuan Pelajar Melayu Britain, dan Abdul Razak, yang berumur 26 ketika itu, dipilih sebagai
setiausaha. Semasa itu, Tunku menyertai "Persatuan Pelajar India Islam" yang menuntut
kemerdekaan India. Beliau juga berkempen untuk Lyold George Jurith, seorang calon Parti
Liberal. Tunku akhirnya dilayakkan menjadi peguam pada tahun 1949.

Seorang yang bersemangat kesukanan, Tunku memulakan pertandingan bola sepak antarabangsa
yang digelar "Pesta Bola Merdeka" pada tahun 1957. Pada tahun berikutnya, beliau dipilih
sebagai presiden pertama untuk Konfederasi Sepak Bola Asia (AFC), sebuah jawatan yang
beliau memegang sehingga 1976.

Keluarga

Pada tahun 1933, Tunku berkahwin dengan Mariam, seorang wanita kacukan Cina-Siam yang
merupakan anak perempuan tauke lombong di Alor Star. Beliau dikurniakan dengan dua cahaya
mata, iaitu Tunku Ahmad Nerang Putra dan Tunku Khadijah. Mariam meninggal dunia pada
tahun 1934 kerana menghidapi penyakit malaria di Kuala Nerang, Kedah.

Selepas kematian Mariam, Tunku berkahwin dengan Violet Coulson, bekas tuan rumahnya di
England. Antara saksi perkahwinannya di Geylang Serai, Singapura ialah Syed Ahmad al Sagoff.
Sebenarnya, kerabat diraja Kedah dilarang berkahwin dengan wanita Inggeris kerana peristiwa
penipuan Pulau Pinang oleh Kapten Francis Light, seorang Inggeris.

Tunku mengalami nasib yang sama seperti Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid. Dititahkan
untuk menceraikan Violet oleh Pemangku Raja Kedah, Tunku kemudian berkahwin dengan
Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah, seorang saudara jauh yang juga merupakan adik Syed
Omar Barakbah, rakan sekuliahnya di England, pada tahun 1939. Perkahwinan ini direstui
kerana berketurunan Arab yang ternama dan kaya di Kedah (Islam disamakan dengan Arab).
Oleh sebab perkahwinan ini tidak mendapat seorang anak pun, mereka mengambil tiga anak
angkat iaitu Faridah, Sulaiman dan Mariam. Tunku juga telah mengahwini seorang yang
berbangsa Cina pada tahun 1963 dengan rahsia dan telah mendapat dua orang cahaya mata
perempuan yang diberi nama Tunku Noor Hayati dan Tunku Mastura.

Kerjaya politik
Selepas pemulangannya ke Malaya pada tahun 1949, Tunku ditugaskan untuk bekerja di sebuah
pejabat Pegawai Undang-undang di Alor Star. Beliau kemudian meminta perpindahan ke Kuala
Lumpur di mana beliau menjadi Timbalan Pendakwa Raya dan selepas itu, dilantik sebagai Yang
Dipertua Mahkamah Sesyen.

Pada tempoh itu, semangat nasionalisme bertambah hebat di kalangan kaum Melayu di tengah-
tengah pengisytiharan penubuhan Malayan Union oleh Britain. Datuk Onn Jaafar mengetuai
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) untuk menentangi Malayan Union (sila lihat:
Sejarah Malaysia) dan Tunku menyertai partinya. Pada Ogos 1951, suatu krisis di dalam UMNO
memaksakan Datuk Onn meletakkan jawatan sebagai presiden parti dan Tunku dilantik sebagai
presiden yang baru. Beliau memegang jawatan itu selama 20 tahun.

Laluan ke kemerdekaan

Pada tahun 1954, Tunku mengetuai sekumpulan perwakilan ke London untuk memperolehi
kemerdekaan Malaya. Bagaimanapun, percubaan sulung itu tidak berjaya. Pada tahun yang
berikut, pilihan raya persekutan yang pertama diadakan. Parti Perikatan yang pada saat itu
merupakan parti campuran UMNO dengan MCA memenangi 51 daripada 52 kerusi yang
ditandingi. Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri Malaya yang pertama. MIC yang mewakili
kaum India kemudian menyertai Parti Perikatan pada tahun 1955.

Pada tahun 1955, Tunku membuat lagi satu perjalanan ke London untuk berunding tentang
kemerdekaan Malaya. Pada kali ini, beliau berjaya, dan 31 Ogos 1957 diputuskan sebagai tarikh
kemerdekaan. Sewaktu bendera British diturun di Kuala Lumpur pada hari kemerdekaan, Tunku
mengetuai orang ramai untuk menyorak "Merdeka!". Gambar-gambar Tunku dengan tangan
yang diangkat naik, dan perakaman-perakaman suaranya yang penuh emosi tetapi berazam
mengetuai sorakan, kini merupakan lambang kemerdekaan Malaysia yang biasa.

Sebagai Perdana Menteri

Selepas kemerdekaan, Tunku mendominasikan politik Malaya dan memimpin Parti Perikatan ke
kemenangan besar dalam pilihan raya umum pada tahun 1959 dan 1964. Pembentukan Malaysia
pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaian Tunku yang teragung.

Tunku pertama sekali mencadangkan sebuah persekutuan Malaya, Singapura, Sabah, Sarawak,
dan Brunei dalam ucapannya kepada "Persatuan Wartawan Asing Asia Tenggara" pada tahun
1961 di Singapura. Pada 16 September 1963, dengan persekutuan negeri-negeri tersebut kecuali
Brunei, beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama.
Bagaimanapun, faktor-faktor perkauman bertambah buruk dengan pemasukan Singapura yang
menaikkan bahagian kaum Cina sehingga hampir-hampir 40%. Kedua-dua UMNO dan MCA
berasa tegang terhadap daya tarikan Parti Tindakan Rakyat (PAP pada waktu itu, diperlihatkan
sebagai sebuah parti sosialis yang radikal) Lee Kwan Yew kepada pengundi-pengundi di
Malaya. Untuk mengatasi kebimbangan itu, Parti Perikatan mencuba membentukkan sebuah
parti di Singapura untuk mencabar kedudukan Lee di sana. Sebagai gerak balas, Lee mengancam
bahawa PAP akan menyertai Pilihan Raya Persekutuan 1964 di Malaya, walaupun terdapatnya
perjanjian awal bahawa beliau tidak akan berbuat demikian (sila lihat Hubungan PAP-UMNO.
Ini membangkitkan kemarahan Tunku yang mendesak supaya Singapura meninggalkan
Malaysia.

Pada 7 Ogos 1965, Tunku mengumumkan kepada Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur bahawa
Parliamen haruslah mengundi untuk menyokong peninggalan Singapura daripada Persekutuan.
Dalam perkataannya, Parliamen harus memilih untuk "memutuskan semua pertalian dengan
sebuah Kerajaan Negeri yang tidak mempertunjukkan sebarang kesetiaan kepada Kerajaan
Pusat" berbanding kaedah yang tidak diingini untuk menindas tindakan PAP. Pemisahan dan
kemerdekaan Singapura menjadi rasmi pada 9 Ogos 1965.

Pada tahun 1961, Tunku menubuhkan Pertubuhan Asia Tenggara (ASA) yang
memperkumpulkan Malaya, Thailand dan Filipina Perkumpulan ini kemudian digantikan dengan
perkumpulan yang lebih besar, iaitu Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), pada 8
Ogos 1967.

Dalam Pilihan Raya Umum 1969, majoriti Parti Perikatan dikurangkan dengan hebat.
Perhimpunan-perhimpunan tunjuk perasaan yang mengikuti pilihan raya itu mencetuskan
rusuhan kaum pada 13 Mei di Kuala Lumpur. Sebahagian pemimpin-pemimpin UMNO yang
diketuai oleh Tun Abdul Razak kritis terhadap cara pengendalian krisis itu oleh Tunku, dan
MAGERAN, sebuah jawatan kuasa darurat, mengambil alih kuasa dan mengisytiharkan keadaan
darurat.

Kuasa Tunku sebagai Perdana Menteri dibatasi secara besar, dan pada 22 September 1970,
beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Tunku kemudian meletakkan
jawatannya sebagai Presiden UMNO pada Jun 1971 di tengah-tengah penentangan hebat oleh
'Turki Muda' yang terdiri daripada penentang-penentang parti seperti Dr Mahathir dan Musa
Hitam. Pasangan itu kemudian masing-masing menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana
Menteri.

Kegiatan Islam
Selepas menjadikan Islam sebagai agama Malaysia yang rasmi pada 1960, Tunku mengasaskan
Pertubuhan Kebajikan Agama Islam (PERKIM), sebuah pertubuhan untuk membantu mualaf
Islam untuk menyesuaikan diri kepada penghidupan baru. Beliau memegang jawatan Presiden
PERKIM sehingga setahun sebelum kematiannya.
Pada 1961, Malaysia menjadi tuan rumah kepada "Pertandingan Membaca Al-Quran Peringkat
Antarabangsa" yang pertama, suatu peristiwa yang diperkembangkan daripada gagasan Tunku
sewaktu beliau mengadakan pertandingan tahap negeri yang pertama di Kedah pada tahun 1951.

Pada 1969, Tunku membantu menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan dilantikkan
sebagai Setiausaha Agung yang pertama. Beliau kemudian menubuhkan Bank Pembangunan
Islam sebagai sebuah institusi yang khusis di dalam OIC. Tunku juga merupakan Presiden
"Majlis Da'wah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik" (RISEAP) dari 1982 sehingga
1988.

Tunku Abdul Rahman pada tahun-tahun yang akhirnya.

Kehidupan kemudian
Pada 1977, setelah memperolehi sebahagian besar hak milik The Star, sebuah syarikat surat
khabar yang berasaskan di Pulau Pinang, Tunku menjadi pengerusinya. Ruang-ruangnya,
"Mengenang kembali" ("Looking Back") dan "Sebagaimana yang Saya Perlihatkan" ("As I See
It") kritis kepada kerajaan, dan pada tahun 1987, Perdana Menteri Dr Mahathir mengharamkan
surat khabar itu. Ini menyebabkan perpecahan di dalam UMNO, dengan Tunku dan bekas
Perdana Menteri, Tun Hussein Onn menubuhkan sebuah parti baru yang digelar "UMNO
Malaysia", tetapi pendaftarannya dibatalkan oleh Dr Mahathir yang menubuhkan UMNO Baru.
Tunku kemudian menyokong Semangat 46 yang merupakan kumpulan serpihan UMNO yang
diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau berkempen dengan cergas untuk Semangat 46
dalam Pilihan Raya Umum 1990, tetapi sewaktu itu, kesihatannya telah merosot.

Dalam tahun-tahun terakhirnya, Tunku tinggal di sebuah rumah di Pulau Pinang. Beliau
meninggal dunia pada 6 Disember 1990 sewaktu berumur 87, dan disemadikan di Makam Diraja
Langgar, Alor Star.
Garis masa
 1903: Dilahirkan pada 8 Februari di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar yang lebih dikenali
sebagai Istana Pelamin.
 1913 (umur 10): Beliau dihantar ke Bangkok untuk menetap bersama Tunku Yusuf ibni
Sultan Abdul Hamid, iaitu abang sulung Tunku Abdul Rahman. Tunku belajar di Sekolah
Debsirindir, Bangkok.
 1916 (umur 13): Pulang ke Kedah dan memasuki Penang Free School.
 1919 (umur 16): Belajar di England.
 1925 (umur 22): Memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) dengan bantuan
dan kerjasama dari sahabatnya Taib Andak.
 1927 (umur 24): Dihantar semula ke England untuk belajar undang-undang di Universiti
Cambridge kerana keluarganya tidak berpuas hati dengan keputusannya yang lalu.
 1930 (umur 27): Lulus semester pertama, jurusan undang-undang di Inner Temple.
 1931 (umur 28): Berkhidmat sebagai pegawai latihan di Pejabat Penasihat Undang-
Undang Kedah dengan gaji sebanyak RM300.00 sebulan, dan kemudiannya sebagai
Penolong Pegawai Jajahan di Kulim.
 1932 (umur 29): Berkhidmat sebagai Pegawai Jajahan di Kuala Nerang.
 1933 (umur 30): Berkahwin dengan Mariam, gadis kacukan Cina-Siam, anak tauke
lombong Cina di Alor Setar. Akhir 1933, Mariam melahirkan anak perempuan dan
dinamakan Tunku Khatijah ibni Tunku Abdul Rahman. Kemudian anak lelaki bernama
Tunku Ahmad Nerang ibni Tunku Abdul Rahman.
 1934: Mariam meninggal dunia kerana penyakit malaria di Kuala Nerang, Kedah. Tunku
berkahwin dengan kekasih lamanya Violet Coulson di Geylang Serai, Singapura.
 1935 (umur 32): Dipindahkan ke Pulau Langkawi oleh Penasihat British, Clayton. Selain
itu , perkahwinan Tunku dengan Violet kurang direstui.
 1937 (umur 34): Bertugas sebagai Pegawai Jajahan di Sungai Petani.Beliau juga
bertindak sebagai hakim daerah Sungai Petani dan Pengerusi Lembaga Kebersihan
Sungai Petani.
 1938 (umur 37): Pergi ke England buat kali ke-3 untuk menyambung pelajaran dalam
bidang undang-undang. Antara temannya ialah Saadon Zubir. Tunku berbaik semula
dengan isterinya yang telah diceraikan , Violet Coulson.
 1939 (umur 36): Kembali ke Kedah kerana ada berita perang akan meletus di
Eropah.Berkahwin dengan Syarifah Rodziah binti Syed Barakbah .Syarifah Rodziah
Syed Syeikh Barakbah ialah adik rakan sekuliahnya di England iaitu Syed Omar
Barakbah. Perkahwinan ini tidak mendapat seorang anak pun.
 1940 (umur 37): Dilantik sebagai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pasukan Kawalan
Am Selatan Kedah.
 1941 (umur 38): Jepun menyerang Kota Bharu , Kelantan pada 8 Disember.
 1947 (umur 44): Berangkat semula ke England untuk menyambung pengajian * 1948
(umur 45): Dipanggil ke bar di Inner Temple.
 1949 (umur 46): Pulang ke Tanah Melayu. Pada mulanya, beliau dihantar ke pejabat
Pegawai Undang-undang di Alor Star. Kemudian beliau memohon untuk bertukar ke
Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, Tunku menjadi Timbalan Pendakwa Raya dan
kemudiannya, dilantik sebagai Presiden Mahkamah Sesi.
 1946: Menyertai UMNO.
 1951 (umur 48): Menjadi Presiden UMNO pada Oktober sewaktu Datuk Onn Jaafar
meletakkan jawatan. Menganjurkan Pertandingan Membaca Al-Quran peringkat negeri
yang pertama di Kedah.
 1954 (umur 51): Mengetuai satu rombongan ke England untuk berbincang bagi menuntut
kemerdekaan bagi Tanah Melayu, tetapi kunjungan itu tidak berhasil.
 1955 (umur 52): Pilihan raya persekutuan umum yang pertama diadakan, dan Parti
Perikatan(Barisan Nasional) memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan.
Dengan majoriti ini, Tunku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Ketua Menteri Tanah
Melayu yang pertama. Satu lagi rombongan ke London diadakan.
 1956 (umur 53): England bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah
Melayu. Sebaik pulang dari England, Tunku mengisytiharkan berita gembira ini buat kali
pertamanya pada 20 Februari di Bandar Hilir, Melaka.
 1957 (umur 54): Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos.
Memperkenalkan kejohanan Pestabola Merdeka, yang merupakan pertandingan
bolasepak antarabangsa.
 1958 (umur 55): Dilantik sebagai Presiden pertama Asian Football Confederation (AFC)
(1958 – 1976).
 1960 (umur 57): Menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM), sebuah
pertubuhan untuk membantu golongan mualaf dalam menyesuaikan hidup baru sebagai
Muslim.
 1961 (umur 58): Memulakan penubuhan Association of Southeast Asia (ASA) yang
menggabungkan Tanah Melayu, Thailand dan Filipina. Menjadi tuan rumah Pertandingan
Membaca Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang pertama.
 1963 (umur 60): Membentuk Malaysia pada 16 September, apabila Tanah Melayu
bergabung dengan Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (sekarang Sabah).
 1967 (umur 64): ASA dibubarkan untuk memberi laluan kepada persatuan yang lebih
besar, iaitu Association of Southeast Asian Nations.
 1969 (umur 66): Membantu menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan
dilantik sebagai Setiausaha Agungnya yang pertama.
 1971 (umur 68): Meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno dan
digantikan oleh timbalannya, Datuk Abdul Razak Hussein.
 1982 (umur 79): Menjadi Presiden Majlis Dakwah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik
(RISEAP) (1982 – 1988).
 1990 (umur 87): Mangkat pada 6 Disember, dan disemadikan di Makam Diraja Langgar
di Alor Star.

You might also like