You are on page 1of 8

9

BAB 2

FAL SAFAH, MATL AMAT DAN
OBJ EK TI F K OK URI K UL UM



OBJEKTIF BAB


Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya dapat:
1. Memahami falsafah kokurikulum.
2. Memahami matlamat kokurikulum.
3. Memahami objektif kokurikulum.


2.1 FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA

Sering kita dengar ungkapan-ungkapan seperti ahli falsafah, jangan nak
berfalsafah di sini, dan sebagainya tetapi tahukah anda apakah yang
dimaksudkan dengan falsafah? Mengikut Kamus Dewan falsafah ialah
pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang
menjadi dasar ilmu-ilmu lain. Daripada pengertian itu, jelas kepada kita
bahawa pengertian falsafah mengandungi dua komponen iaitu pengertian
ilmu tertinggi dan dasar ilmu-ilmu lain. Setiap bidang ilmu biasanya
mempunyai falsafah yang dilandasi. Dengan kata lain, sesuatu bidang
ilmu atau hal itu mestilah digerakkan atau bergerak berlandaskan ilmu
yang lebih tinggi. Dalam pelajaran kita ini, kegiatan kokurikulum
dilaksanakan berdasarkan satu falsafah kokurikulum yang didasarkan
kepada satu falsafah yang lebih tinggi atau besar iaitu falsafah pendidikan
negara.

Sekarang mari kita lihat apakah yang dimaksudkan dengan falsafah
pendidikan negara? Faslsafah Pendidikan Negara yang dikeluarkan oleh
Kementerian Pendidikan Malaysia ialah Pendidikan di Malaysia adalah
suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu
secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dari segi
intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada
Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu
pengetahuan berketetrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri sendiri serta memberi sumbangan
terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.


10
2.2 FALSAFAH KOKURIKULUM

Sebagaimana yang saya nyatakan di atas, sesuatu falsafah itu biasanya
berdasarkan satu bahagian ilmu yang lebih tinggi. Falsafah kokurikulum
juga tidak terkecuali. Kokurikulum diwujudkan dengan berdasarkan
kepercayaan bahawa semua orang harus mempunyai perseimbangan
antara perkembangan mental, rohani dan jasmani. Setiap manusia ialah
makhluk yang mempunyai bakat dan minat yang boleh dimajukan;
mereka juga boleh dididik dan mendidik diri mereka sendiri serta orang
lain terutamanya rakan sebaya. Setiap anggota masyarakat
bertanggungjawab dan berperanan untuk memberi pendidikan kepada
pelajar selain daripada sekolah.

2.3 MATLAMAT KOKURIKULUM

Berlandaskan Falsafah Pendidikan Negara dan kepercayaan yang tersirat
dalam falsafah kokurikulum tersebut, beberapa matlamat kokurikulum
dapat dibentuk. Dalam penjelasan maksud Falsafah Pendidikan Negara
di atas jelas dinyatakan bahawa pendidkan berterusan adalah untuk
mewujudkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani dan emosi serta
jasmani. Seimbang bermakna sama timbang, sama berat, tidak berat
sebelah. Nah! Bagaimana keseimbangan itu boleh dicapai?
Keseimbangan tidak akan tercapai melalui pembelajaran dalam kelas
secara formal sahaja kerana pembelajaran dalam kelas biasanya memberi
penekanan kepada perkembangan kognitif sahaja. Ia tidak memberi
penekanan kepada perkembangan afektif (emosi dan perasaan) dan
psikomotor (pergerakan, aktiviti).

Bertitik-tolak daripada kepercayaan di ataslah maka segala gerak kerja
kokurikulum dapat disusun supaya mencapai matlamat seperti berikut:

2.3.1 Pendidikan yang Menyeluruh dan Seimbang

Sebagaimana yang telah dijelaskan di atas, matlamat pendidikan negara
adalah untuk menghasilkan pelajar yang mempunyai pendidikan
menyeluruh serta seimbang dari segi intelek, emosi/rohani dan jasmani.
Anda tentu bersetuju dengan saya sekiranya saya katakan bahawa
pendidikan formal yang dilaksanakan dalam kelas dalam jangka waktu
yang terhad hanya dapat sebahagian besarnya memajukan bahagian
intelek individu dan bukan bahagian rohani dan jasmani. Untuk
mempertingkatkan pendidikan rohani dan jasmani, program di luar bilik
darjah secara tidak formal harus dijalankan untuk memberi ruang kepada
individu berkenaan memperkembangkan kemampuan rohani dan
jasmani mereka. Dengan mengikuti pelajaran formal di bilik-bilik kuliah
serta pelajaran tidak formal yang berkaitan dengan pelajaran berkenaan di
luar bilik darjah, pastinya keseimbangan pemajuan pendidikan akan
tercapai.


11
2.3.2 Menggilap Bakat Pelajar

Setiap insan di dunia ini dilahirkan dengan sekurang-kurangnya satu
keistimewaan. Ada individu yang pandai berpidato tanpa melalui
sebarang pembelajaran formal. Ada anak yang boleh bernyanyi atau
berlagu sejak usia muda lagi tanpa mendapat pendidikan di kelas-kelas
formal namun berjaya menjadi penyanyi. Ada pula individu yang serba
boleh seperti pandai menyanyi, bernasyid, berpidato dan bersukan. Kita
katakan individu demikian cukup bernasib baik. Di manakah bakat-bakat
berkenaan boleh diperkembangkan atau digilap? Kita tidak mampu
menggilap bakat mereka melalui kelas-kelas formal yang terbatas jumlah
jam pengajarannya. Aktiviti-aktiviti kokurikulum berkaitan dengan bakat
pelajar-pelajar boleh disusun untuk menggilap bakat mereka.

Sehubungan dengan penerusan aktiviti kokurikulum, kebanyakan pihak
percaya bahawa aktiviti-aktiviti berkenaan harus berhenti pada peringkat
sekolah sahaja, kerana di peringkat institusi pengajian tinggi,
perkembangan intelek lebih patut diutamakan daripada perkembangan
aspek rohani dan jasmani. Walau bagaimanapun kepercayaan begitu
didapati meleset kerana penggilapan bakat, sama seperti penggilapan
intelek, adalah tugas yang berterusan dalam hidup individu. Tentu kita
tidak mahu menguburkan bakat individu apabila mereka menjejaki
ambang pengajian tinggi. Di manakah letaknya nanti keseimbangan yang
kita cari dalam pendidikan individu?

2.3.3 Menyemai dan Memupuk Aspek Kepimpinan

Siapa pemimpin dan siapa pula pengikut dalam kehidupan bermasyarakat
kita? Bolehkah individu itu menjadi pemimpin atau pengikut yang baik
tanpa bimbingan atau pelajaran? Kalau kita lihat dalam kehidupan harian,
seorang pemimpin agama (imam, kadi, mufti) misalnya harus mempunyai
ciri-ciri perwatakan tertentu sebelum mampu menjadi ikutan oleh para
pengikutnya. Ciri-ciri seperti kebolehan menarik minat pengikut dengan
mempamerkan kehebatan dalam segi pandai berpidato, berperangai
positif seperti lembut tutur kata, prihatin dan sebagainya harus dimiliki
oleh seorang pemimpin. Di dalam masyarakat, individu akan mencari
model kepimpinan untuk diikuti dan kadang-kadang model kepimpinan
yang dicari itu tidak dapat diterima oleh norma masyarakat. Seorang
remaja mungkin pantas dan senang memilih seorang penyanyi rock yang
bermoral rendah sebagai idolanya dan segala yang dilakukannya dianggap
hebat dan patut ditiru. Seorang yang lain pula mungkin memilih seorang
yang padanya cukup alim untuk dicontohi dan segala yang dilakukan oleh
idolanya itu dikuti tanpa banyak soal. Namun, apakah reaksinya apabila
didapati selepas beberapa ketika tok guru yang dikutinya itu adalah
seorang kaki perempuan dan pembawa ajaran sesat?


12
Kokurikulum menjadi wadah untuk latihan kepemimpinan, yakni latihan
menjadi pemimpin dan menjadi pengikut. Melalui aktiviti-aktiviti
perkemahan, seminar, pertandingan, projek-projek kemasyarakatan,
pelajar-pelajar berlatih dalam hal-hal kepemimpinan. Dengan
terbentuknya jawatankuasa kerja, setiap orang berperanan menjadi ketua
dan sekaligus menjadi pengikut. Seorang Pengerusi jawatankuasa induk
akan menjadi pempimpin kepada semua ahli jawatankuasa di bawahnya,
manakala seorang pekerja paling bawah dalam hieraki tatalaksana projek
menjadi pengikut kepada pemimpin di atasnya. Amalan menjadi
pemimpin dan pengikut dapat dibina dan disemai serta dikukuhkan
melalui semua kegiatan kokurikulum, tanpa mengira sama ada ia
kokurikulum beruniform khas atau tidak.

2.3.4 Peningkatan Disiplin Pelajar

Berdisiplin seperti juga pola perlakuan manusia yang lain tidak lahir
secara natural bersama manusia. Ia harus dipupuk dan diperkukuhkan
supaya sebati dengan diri manusia itu sendiri dan dapat menjadi
kebiasaan dalam kehidupan. Membentuk disiplin bukanlah semudah
mengucapkan perkataan disiplin dengan lidah kerana ia memerlukan
perancangan yang cukup teliti. Pernahkah anda terdengar bahawa ramai
manusia terhumban ke lembah kehinaan kerana tidak berdisiplin? Ada
yang dikenakan hukum sebat, ada yang dihumban ke dalam jel dan ada
juga dihukum bunuh kerana melanggar disiplin yang telah ditentukan.

Pemupukan disiplin dalam diri manusia tidak boleh dilakukan dalam
kelas biasa kerana dalam kelas guru hanya mengenakan tindakan disiplin
dan bukan mengajar disiplin. Ini kerana pelajaran utama dalam kelas
bukanlah pembentukan disiplin tetapi pembelajaran ilmu-ilmu tertentu
seperti Matematik, Bahasa Inggeris, Kimia dan sebagainya. Disiplin
terlatih pada awalnya melalui pendidikan tidak formal dalam keluarga,
kemudian dilanjutkan di sekolah melalui pemantapan norma-norma atau
nilai-nilai bersepakat melalui aktiviti-aktiviti kokurikulum yang
dirancangkan. Individu belajar menghormati pendapat rakan,
berketrampilan, menggunakan bahasa yang baik serta bersikap tolak
ansur melalui kegiatan kokurikulum. Aktiviti kawad mengajar invidu
menjadi pemimpin dan pengikut, mengajar mereka mematuhi undang-
undang dan mengajar mereka bertolak ansur.

2.3.5 Memupuk dan Memperkukuh Perasaan Muhibbah serta
Perpaduan

Apakah perasaan anda apabila anda keseorangan? Bolehkah anda hidup
keseorangan tanpa bantuan dan sokongan daripada orang lain? Manusia


13
sememangnya dijadikan untuk berkawan dan manusia yang tidak
berkawan atau memerlukan rakan-rakan lain adalah manusia yang tidak
normal. Anda juga sudah tentu tidak mahu menjadi kera sumbang.

Apabila manusia bergaul bersama, perasaan kasih sayang akan terjalin
hasil daripada perasaan hormat-menghormati sesama mereka. Daripada
sini, akan muncullah perasaan muhibbah dan perpaduan, tidak kira secara
interkaum atau antara kaum. Apabila ini terjadi maka akan kukuhlah
perpaduan di kalangan kita dan apabila perpaduan sudah kukuh, negara
kita tidak akan tergugat. Melalui kegiatan kokurikulum yang pelbagai,
pelajar-pelajar dapat berintegrasi antara satu sama lain, tanpa mengira
bangsa atau keturunan untuk sama-sama melaksanakan projek yang
dirancang supaya matlamatnya tercapai.

Keadaan ini jelas diperakui oleh jawatankuasa pelaksanaan yang mengkaji
dasar pelajaran 1979 dan mereka menjelaskan bahawa kegiatan
kokurikulum dapat menyemai dan memupuk serta menanam perasaan
kekitaan (espirit de corps) di antara pelajar-pelajar pelbagai keturunan yang
mempunyai latar belakang dan cara hidup yang pelbagai dan berlainan.

2.3.6 Menyemai Nilai-Nilai Pendidikan Melalui Gerak Kerja
Kokurikulum

Apakah dia nilai-nilai pendidikan? Sememangnya jawapan anda betul jika
anda mengatakan bahawa nilai-nilai pendidikan ialah nilai-nilai murni
yang telah diakui masyarakat sebagai nilai baik yang dapat membantu
seseorang menjadikan anggota masyarakat mempertahankan keutuhan
masyarakat. Nilai-nilai ini termasuk menghormati orang tua, jujur, baik
hati, bertolak ansur, bertanggungjawab, berkasih-sayang dan sebagainya.

Apabila sesuatu gerak kerja kokurikulum dilaksanakan oleh pelajar, maka
nilai-nilai berkenaan dapat disemai dengan secara tidak langsung melalui
program-program bermatlamat yang diatur dan dirancang oleh jurulatih.
Ini termasuklah aktiviti berpersatuan, perkhemahan, kawad, kembara
serta permainan.

2.3.7 Penggunaan Masa Lapang dengan Cara Berfaedah

Bagaimanakah caranya anda mengisi masa lapang anda? Anda mungkin
mengisinya dengan pelbagai cara, tetapi yang pasti aktiviti yang anda
lakukan itu biasanya menyeronokkan atau membolehkan anda
mengurangkan ketegangan dalam diri anda. Adakah orang lain juga
mengisi masa lapang mereka sama seperti anda? Jawapannya mungkin ya
dan mungkin tidak. Pengisian masa lapang seseorang bergantung kepada
minat dan nilai terhadap aktiviti yang dijalankan. Mungkin seseorang itu


14
amat berminat dalam hal memikat burung dan nilai yang diberikan
olehnya ialah memikat burung amat berfaedah kerana dapat memuaskan
hatinya setiap kali burung dapat dipikat. Maka memikat burunglah
menjadi aktiviti mengisi masa lapangnya. Bagi seseorang yang lain pula,
mungkin bermain golf pula boleh menenangkan fikirannya dan bagus
untuk riadah. Hal ini akan menjadi satu rantai yang tidak berkeputusan.
Minat dan nilai seseorang terhadap sesuatu aktiviti itu tidak sama kerana
ia amat bergantung kepada sistem nilai yang membaku di dalam diri
individu berkenaan. Bak kata pepatah Inggeris One mans meat is
another mans poison, yakni sesuatu yang menjadi penawar bagi
seseorang mungkin menjadi racun kepada yang lain.

Nah! Bagaimana pula dikatakan bahawa kegiatan kokurikulum itu dapat
mengisi masa lapang dengan berfaedah? Sekiranya kita memerhatikan
dengan teliti aktiviti-aktiviti kokurikulum, kita akan mendapati bahawa
jumlahnya tidak terbatas. Jumlahnya bergantung kepada minat setiap
kelompok manusia. Makin banyak ragam dan minat manusia, makin
banyaklah jumlah kokurikulum yang disediakan. Dengan adanya
kokurikulum yang pelbagai ini, setiap pelajar boleh diarahkan untuk
menyertai satu atau beberapa kegiatan kokurikulum yang dirancang khas
dan difikirkan secocok serta baik untuk mengisi masa lapang mereka
dengan cara yang berfaedah. Dengan cara sedemikian, akan terhidarlah
mereka daripada gejala sosial yang tidak sihat.


Selain matlamat-matlamat yang diberikan, tentu anda
dapat memberikan matlamat lain mengapa
kokurikulum itu patut dipelajari.


2.3.8 Menyumbangkan Usaha Membina Iklim, Budaya dan
Tempat yang Menarik serta Menyeronokkan

Institut pengajian sama ada di peringkat rendah, menengah atau tinggi
bukanlah satu tempat untuk memperkembangkan aspek kognitif pelajar
sahaja. Jika sesebuah sekolah hanya menyediakan itu sahaja, sekolah itu
tidak akan didatangi pelajar, kerana belajar tanpa bermain dan mengisi
masa lapang dengan memperkembangkan bakat pastinya akan menjadi
satu cara hidup yang membosankan. Semakin banyak kegiatan
kokurikulum di sesebuah institut pengajian, maka semakin cerialah
tempat berkenaan. Dari situ, akan terbinalah satu iklim atau budaya
pembelajaran yang menarik minat pelajar dan mewujudkan suasana
pembelajaran serta penguasaan ilmu yang menyeronokkan. Iklim ini amat
perlu untuk membentuk pelajar supaya dapat belajar dalam keadaan yang
tidak tertekan.



15
2.4 OBJEKTIF KOKURIKULUM

Di awal bab ini, anda sudah melihat matlamat diadakan kegiatan
kokurikulum. Seterusnya, mari kita lihat objektif kokurikulum
diwujudkan. Objektif berbeza daripada matlamat kerana sasaran
matlamat adalah untuk jangka masa yang panjang, tetapi sasaran objektif
lebih pendek jangka masanya. Apabila sasaran jangka pendek tercapai
maka penguasaan terhadap sesuatu yang diperolehi itu akan diamalkan
secara berterusan bagi mencapai matlamat yang ditentukan.

Aktiviti kokurikulum disediakan untuk membentuk pelajar supaya
mempunyai sifat-sifat percaya kepada tuhan, beradab, berusaha, taat,
bertanggungjawab, jujur, ikhlas, dapat pengawal diri, tolong-menolong,
pandai menjaga kebersihan, berkasih-sayang, bertimbang rasa, bertolak-
ansur, bercita-cita tinggi, bergembira dan ceria, berani, yakin diri, cekal,
berfikiran tajam, kritikal, lojik dan rasional, berkemahiran, berdikari dan
kreatif. Melalui pemupukan sifat-sifat ini menerusi kegiatan kokurikulum
yang terancanglah diharap pelajar akan dapat menjadi rakyat yang
berguna di masa hadapan.

2.5 RUMUSAN

Dalam bab ini, anda telah didedahkan kepada falsafah pendidikan dan
falsafah kokurikulum. Daripada falsafah berkenaan, kemudian dinyatakan
pula matlamat dan objektif diadakan kokurikulum. Anda tentu dapat
membezakan di antara objektif dan matlamat kokurikulum dan dapat
pula menghayatinya kerana untuk menyediakan sesuatu projek, falsafah,
matlamat dan objektif kokurikulum harus diambil kira.




SOALAN PENILAIAN KENDIRI


1. Apakah yang anda faham tentang konsep falsafah?

2. Apakah falsafah yang dijadikan asas untuk membentuk
matlamat/objektif aktiviti kokurikulum?

3. Apakah matlamat gerak kerja kokurikulum?



16
4. Bagaimanakah matlamat menyemai dan memupuk aspek
kepimpinan dapat dicapai melalui aktiviti kokurikulum?

5. Apakah sifat-sifat yang dapat dicapai/bentuk melalui kegiatan
kokurikulum?




Sila semak jawapan anda di akhir modul ini.

You might also like