You are on page 1of 2

Bagi sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan, KPM telah memberikan bantuan sumber

bagi urusan pentadbiran, bantuan modal bagi menampung keperluan pembangunan fizikal
asrama, memberikan bantuan insentif, dan menyediakan pelbagai prasarana untuk pelajar.
Kebaikan tinggal di asrama ialah mendorong pelajar untuk mematuhi masa dan mendisiplinkan
diri (Fairuz Azhar, 2008). Kebanyakan pengurusan asrama telah menetapkan aktiviti seharian
pelajar yang meliputi waktu pelajar makan, bermain, belajar, berehat dan mengulang kaji
pelajaran. Menurut Abdullah Sani Yahaya (2005), pihak asrama dapat mengawal masalah
disiplin pelajar dengan menentukan semua pelajar sentiasa menggunakan masa mereka dengan
kerja-kerja berfaedah. Oleh itu, pelajar terpaksa melakukan kesemua aktiviti ini dalam masa
yang ditetapkan kerana bimbang didenda atau dikenakan hukuman.
Pelajar juga perlu menguruskan masa dan keperluan mereka sendiri tanpa bantuan
ibubapa ataupun pembantu rumah semasa tinggal di asrama. Mereka bebas menentukan
kehendak dan pilihan mereka berlandaskan peraturan yang telah ditetapkan. Kebebasan yang
sepatutnya diberikan kepada pelajar ialah kebebasan menyoal, menyatakan pendapat dan kritikan
membina, memilih sendiri daripada beberapa pilihan yang boleh diterima dan sesuai dengan
kepentingan serta keupayaan mereka (Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim, 2001). Dengan ini secara
tidak langsung membentuk sifat berdikari di dalam diri setiap pelajar. Pelajar yang tinggal di
asrama akan menghabiskan banyak masa dengan pelajar lain yang juga tinggal di asrama
tersebut. Mereka berpeluang melihat atau berkongsi masalah dengan rakan sebaya yang sudah
semestinya berbeza tingkah laku dan pendapat. Menurut Jas Laile Suzana Jaafar (2002),
pencapaian dan kemajuan (improvement) dalam kemahiran adalah penting untuk perubahan
tingkah laku apabila remaja didedahkan kepada peluang-peluang untuk tunjuk prestasi, melihat
bagaimana orang lain berjaya menunjukkan prestasi yang baik atau diberi pengalaman-
pengalaman arahan kendiri. Ini disokong lagi dengan kenyataan Dr. Mohamad Ismail Ali, pakar
usus dan pembedahan di Hospital Pakar Johor bahawa pengalamannya bercampur dengan murid-
murid pandai ketika di Asrama Semai Bakti membawa kepada kejayaannya sekarang (Berita
Harian, 26 Februari 2008).
Asrama sekolah juga menyediakan kemudahan asas seperti tempat beribadat atau lebih
tepat lagi masjid atau surau. Institusi ini berperanan mendidik pelajar melalui pelbagai aktiviti
keagamaan seperti tazkirah, usrah, kiamulail dan sebagainya. Menurut petikan akhbar Utusan
Malaysia (2000) dalam Abdullah Sani Yahaya (2005), Persatuan Mahasiswa Akademik
Pengajian Agama Islam Universiti Malaya (PMAPIUM) beranggapan punca sebenar berlakunya
gejala sosial di kalangan remaja hari ini terutamanya remaja Muslim adalah kerana kurangnya
didikan agama yang diberikan kepada mereka.

Pengurusan yang efektif adalah amat penting di dalam merancang, mengawal, mengurus
dan menyelesaikan masalah-masalah harian. Pihak Pengurusan adalah penggerak organisasi.
(Pembangunan Sumber Manusia Berhad). Oleh itu, amalan pengurusan asrama yang sistematik
dan berkesan akan menghasilkan output yang cemerlang iaitu penghuni asrama yang berjaya dan
juga dapat menyelesaikan masalah yang berlaku.
Dalam kajian yang dilakukan oleh Kamaliah (2008) beliau menyatakan bahawa pihak
pentadbiran dan pengurusan asrama seharusnya menjadikan asrama sebagai medan pembelajaran
yang kondusif dengan mewujudkan suasana yang selesa sebagai tempat tinggal untuk belajar.
Program ilmiah seperti mengaji, ceramah dan penyediaan kaunselor bagi pelajar yang
mempunyai masalah perlu diterapkan dalam aktiviti asrama. Kamaliah juga menyatakan
kebajikan penghuni asrama perlu dijaga dan asrama pula perlulah sentiasa dalam keadaan
selamat untuk di huni. Selain itu, semua penghuni asrama pula perlulah mendapat makanan yang
berkualiti untuk memenuhi keperluan kesihatan minda dan jasad melalui amalan pemakanan
yang seimbang. Pengurusan dan pentadbiran asrama yang berkesan memainkan peranan yang
penting dalam memastikan keperluan pelajar di asrama terjamin. Keadaan di asrama sebenarnya
mempengaruhi corak pembelajaran pelajar-pelajar. Jika sesebuah sekolah mahukan keputusan
yang cemerlang, maka pihak sekolah perlulah menyediakan keperluan pelajar khususnya
prasarana yang secukupnya. (Kamaliah)

You might also like