You are on page 1of 3

LATAR BELAKANG EMILE JAQUES-DALCROZE

Emile Jaques-Dalcroze merupakan seorang komposer, pemuzik, dan tokoh pendidik muzik
yang berbangsa Swiss. Beliau dilahirkan pada 6 Julai 1865 di Vienna, Austria. Beliau
merupakan salah seorang professor muzik yang berdedikasi dan bertugas di Konservatori
Muzik Geneva, Switzerland di mana bidang pengkhususan beliau adalah bidang harmoni,
solfage, dan komposisi. Selain itu, beliau juga pernah menjadi konduktor muzik di Algiers, di
mana beliau telah didedahkan kepada unsur ritma yang kompleks dan telah membantu
mempengaruhi beliau untuk memberi penekanan dalam aspek ritma dalam muzik.
Beliau sangat dikenali dengan The Dalcroze Method yang turut dikenali sebagai
kaedah Dalcroze ataupun Kaedah Euritmik, di mana kaedah yang diperkenalkannya ini
merupakan kaedah pembelajaran dan pengalaman muzik melalui pergerakan. The Dalcroze
Method ataupun kaedah Dalcroze ini terdiri daripada tiga elemen yang sama penting iaitu
euritmik, solfage, dan improvisasi. Kaedah yang diperkenalkan oleh beliau ini telah
membantu memperkembangan bidang pedagogi dalam pendidikan muzik dan membawa
banyak perubahan positif serta masih digunapakai hingga ke hari ini. Beliau telah meninggal
dunia pada 1 Julai 1990 di Geneva, Switzerland.

KOMPONEN-KOMPONEN PENTING YANG DIPERKENALKAN OLEH EMILE
JAQUES-DALCROZE
Sebagai seorang pendidik muzik, Emile Jaques-Dalcroze telah memperkenalkan banyak
inovasi dalam teknik pengajaran dan pembelajaran muzik. Melalui beberapa kajian dan
eksperimentasi yang telah beliau jalankan mengenai penerimaan diri manusia kepada muzik,
beliau mendapati bahawa kebolehan dan kemampuan pelajar untuk mendengar muzik secara
mental dan pembacaan skor muzik secara semerta boleh ditingkatkan menggunakan kaedah
pengajaran secara latihtubi pendengaran mengikut inner hearing ataupun pendengaran
dalaman.
Semasa menjalankan kajian juga, beliau mendapati bahawa semasa pelajar mengikuti
aktiviti pembelajaran muzik, murid sentiasa melakukan pergerakan di sebahagian anggota
badan mereka seperti menghentak tapak kaki secara perlahan atau mengangguk-anggukkan
kepala semasa menyanyi. Hasil daripada kajian-kajian dan eksperimentasi yang telah beliau
jalankan mendapati bahawa irama badan, gerak geri dan pernafasan merupakan sumber asas
yang meransang kepada tindak balas ataupun respons pelajar terhadap muzik. Beliau juga
telah dapat menyimpulkan bahawa tahap pencapaian pembelajaran muzik yang berkaitan
dengan elemen muzik seperti irama, melodi, dan harmoni di kalangan pelajar dapat
dipertingkatkan melalui aktiviti pergerakan dengan muzik.
Pendekatan yang diketengahkan oleh Dalcroze adalah berdasarkan kepada beberapa
rasional iaitu kanak-kanak mempunyai emosi, emosi kanak-kanak dapat digambarkan melalui
bahagian-bahagian tubuh badan, emosi dapat dirasai dalam pelbagai pergerakan ataupun
dalam keadaan diam sahaja, gaya atau pergerakan kanak-kanak secara sengaja atau tidak
secara spontan menggambarkan perasaan mereka, pergerakan yang dicetuskan oleh emosi
boleh dikaitkan dengan muzik, serta, kanak-kanak harus berlatih membiasakan anggota tubuh
badan sebagai alat muzik dahulu sebulum mempelajari permainan alat-alat muzik lain.
Berdasarkan kepada rasional-rasional tersebut, Dalcroze berpendapat bahawa terdapat
beberapa asas atau teras yang harus dititikberatkan dalam mengimplementasikan aktiviti-
aktiviti muzik dalam pendidikan. Antaranya termasuklah sebarang pergerakan adalah
merupakan peringkat kreativiti pertama, semua aspek dan elemen muzik dapat dipelajari
melalui simbolik pergerakan, serta telinga dan anggota tubuh badan harus dimahirkan dengan
muzik sebelum mempelajari permainan alat muzik lain.
Kaedah Euritmik yang diperkenalkan oleh Emile Jaques-Dalcroze ini berpendapat
bahawa cara terbaik untuk kanak-kanak belajar adalah dengan cara melakukan kerana
tubuh badan merupakan alat muzik paling utama dan menjadi asas kepada keseluruhan
pembelajaran muzik. Penggunaan pergerakan dalam pembelajaran muzik akan mampu
memperkembangkan daya komunikasi pelajar yang mengintegrasikan pendengaran, minda
dan tubuh badan membentuk respons fizikal kepada muzik. Pergerakan yang dimaksudkan
boleh melibatkan pergerakan secara spontan dan automatis, mahupun pergerakan secara
terurus yang melibatkan pergerakan yang dirancang dengan lebih tersusun.
Menurut Dalcroze, aktiviti pergerakan dalam muzik meningkatkan tahap pembelajaran
mengenai unsur muzik seperti irama, melodi, harmoni, dan bentuk. Ini seterusnya akan
memantapkan persepsi pendengaran aural individu untuk diterjemahkan secara kreatif dan
bersesuaian, membawa kepada celik akal dan literasi muzik di kalangan pelajar. Kaedah
Euritmik yang diperkenalkan oleh Dalcroze menekankan penglibatan individu yang
menyeluruh dalam sesebuah aktiviti pembelajaran. Ia melibatkan pengintegrasian minda atau
kognitif, anggota badan, dan emosi individu secara menyeluruh di mana individu tersebut
perlu mendengar, merasai, berimaginasi, mengintepretasikan muzik, dan memberi respons
atau tindakbalas melalui pergerakan untuk memberikan dan menyampaikan maksud secara
luaran. Tubuh badan dijadikan alat untuk mempamerkan intepretasi individu terhadap muzik
melalui penglibatan gerakan tubuh badan, imaginasi, dan emosi yang diransang melalui
stimulus atau ransangan dalam bentuk bunyi, gerak isyarat, dan lisan seperti vokal nyanyian
dan muzik instrumental. Antara perkara penting yang boleh diintepretasikan adalah seperti
lagu berasaskan lirik dan unsur ataupun konsep muzik, contohnya dinamik, kontur melodi,
dan tempo. Intepretasi berbentuk gerakan tubuh badan ini melibatkan pergerakan bukan
lokomotor seperti menepuk, memusing badan, menghayun, membongkok, atau menghentak
kaki, pergerakan lokomotor seperti meloncat, berjalan, berlari, merangkak, atau skip, ataupun
kombinasi pergerakan yang melibatkan kedua-dua pergerakan lokomotor dan bukan
lokomotor. Unsur-unsur pengintepretasian pergerakan ini pula melibatkan unsur tubuh badan,
ruang, masa, daya komunikasi dan maksud yang bersesuaian.
Menerusi Kaedah Euritmik yang diperkenalkan oleh Dalcroze ini, matlamat atau tujuan
akhir yang inigin dicapai dalam sesebuah pengajaran dan pembelajaran muzik itu boleh
dibahagikan kepada tiga iaitu dari segi mental dan emosi, dari segi fizikal, dan dari segi
muzikal, yang seterusnya membantu perkembangan individu secara menyeluruh. Dari segi
mental dan emosi, diharapkan bahawa pengimplementasian kaedah euritmik dalam aktiviti
muzik dapat membentuk sikap peka dan prihatin, dapat berintegrasi secara sosial dengan
sihat, dan dapat menyampaikan atau menyatakan perasaan yang dirasai. Dari segi fizikal
pula, pengimplementasian kaedah euritmik dalam aktiviti muzik pula diharapkan dapat
membantu murid menyedari keadaan badan, kepentingannya dan kebolehannya dalam
membantu perkembangan murid dalam bidang muzik, selain membantu murid melakukan
persembahan muzikal. Manakala dari segi muzikal pula, pengimplementasian kaedah
euritmik ini adalah untuk membantu murid mencapai pemahaman mendalam dalam aspek-
aspek muzik seperti irama, melodi dan bentuk muzik, serta memahirkan murid dalam
improvisasi muzik.

You might also like