You are on page 1of 22

KONSEP BAHASA

Prof. Dr. Awang Sariyan, penyandang kerusi bahasa Melayu di Universiti Beijing
mengatakan bahawa "bahasa ialah pancaran akal budi insan". Hal ini amat bertepatan
dengan slogan "bahasa jiwa bangsa", "bahasa melambangkan bangsa", dan seumpamanya.
Maka, bahasa bukan sekadar alat komunikasi, atau simbol-simbol yang dikodkan untuk
kegunaan perhubungan sesama manusia. Implikasinya amatlah besar, iaitu bahasa lebih
hampir kepada kebenaran, dengan syarat berlakunya pengisian ilmu. Daripada bahasa, kita
dapat mengukur tahap intelektual, tamadun, dan pencapaian si penuturnya. Kita biasa
mendengar orang-orang tua dahulu mengungkapkan "tidak reti bahasa.." yang membawa
maksud tingkah laku seseorang yang tidak selari dengan nilai-nilai yang diamalkan dalam
masyarakat. Bahasa sudah disinonimkan dengan tingkah laku yang sah dan boleh diterima.

Konsep Bahasa menurut Nik Hassan Basri Nik Abdul Kadir (2003, p.1) , bahasa ialah
kebolehan semula jadi manusia yang berupa satu sistem simbol bunyi suara yang arbitrari
yang dipersetujui dan digunakan oleh sekelompok manusia untuk berkomunikasi. Dalam
kajian ini konsep bahasa ialah pamparan enam definisi bahasa yang dikemukakan tokoh-
tokoh bahasa berlainan dan disertai dengan satu kesimpulan
Bahasa telah didefinisikan dalam pelbagai cara mengikut sifat-sifat semula jadi
bahasa, peranan dan fungsinya.

1. Menurut Edward Sapir (1921) (dalam Siti Hajar Abdul Aziz, 2008, p.52) bahasa ialah
yang sering digunakan oleh manusia dan merupakan kaedah yang digunakan untuk
menyampaikan idea,perasaan dan keinginan melalui bunyi-bunyi bahasa yang
dituturkan.

2. Menurut Bloch dan Trager (1942), (dalam Siti Hajar Abdul Aziz, 2008, p.52) , Bahasa
didefinisikan sebagai system lambing-lambang vokal yang digunakan oleh manusia
oleh berkomunikasi. Proses komunikasi bahasa berlaku apabila adanya penutur dan
juga pendengar.
3. Menurut G.Trager (1949), (dalam Siti Hajar Abdul Aziz, 2008, pg. 52) , bahasa ialah
satu sistem lambang vokal yang arbitrari dan bermakna yang digunakan oleh anggota
masyarakat untuk berhubung sebagai satu cara mereka bersosialisasi.

4. Menurut Noam Chomsky (1957) (dalam Siti Hajar Abdul Aziz, 2008,p.52), bahasa
ialah set ayat,sama ada terbatas atau tidak dan setiap ayat yang terbatas panjangnya
dibina oleh satu set elemen yang terbatas juga.

5. Menurut R.A. Hall (1964), (dalam Siti Hajar Abdul Aziz,2008, p. 52) , bahasa
merupakan institusi yang membolehkan manusia berkomunikasi dan berhubung
antara satu sama lain yang mengandungi makna dan menggunakan lambang-
lambang arbitrari lisan pendengaran.

6. Menurut Michael Halliday (1973), (dalam Siti Hajar abdul Aziz, 2008, p.52) , bahasa
ialah satu urutan kemungkinan dan pilihan tingkah laku yang bersesuaian dengan
individu sebagai manusia yang bersosialisasi.

KONSEP MAKNA

Bahasa, menurut R. H. Robbins (1952) menegaskan bahawa kajian makna merupakan
salah satu bahagian yang penting dalam linguistik am. Firth (1944) pula menegaskan bahawa
makna menjadi inti dalam kajian bahasa. Lazimnya, kata makna memberi erti maksud
atau erti. Walau bagaimanapun, kata makna boleh diberi bermacam-macam pengertian lagi.
Misalnya, Ogden dan Richard dalam buku The Meaning of Meaning (1956) pernah
memberikan 16 pengertian dan erti bagi makna; antaranya, makna adalah suatu yang
intrinsik, pokok, kemahuan, dan suatu peristiwa yang diharapkan. Istilah semantik agak
baharu digunakan jika dibandingkan dengan istilah bidang-bidang ilmu yang lain iaitu dicipta
pada akhir abad ke-19. Bloomfield mentakrifkan makna sebagai suatu bentuk linguistik
sebagai keadaan apabila penutur tersebut mengujarkannya dengan gerak balas yang
dijangkakan daripada pendengar. Seseorang itu boleh mentakrifkan makna sesuatu bentuk
pertuturan dengan tepat apabila makna ini berkaitan dengan pengetahuan saintifik yang
dimiliki oleh seseorang ( Leonard Bloomfield, 1992). Menurut Zabech, semantik dalam
peristilahan moden digunakan dengan maksud kajian tentang hubungan antara item-item
bahasa seperti perkataan, penamaan (nama am dan nama khas), ekspresi predikat. Kata
semantik berasal daripada kata adjektif bahasa Yunani semantickos yang membawa makna
significant iaitu penting atau beerti ( Hashim Musa, Ong Chin Guan, 1998). Selain itu,
sema juga beerti tanda atau lambang. Dalam bidang linguistik, semantik ialah bidang yang
mengkaji makna atau erti dalam bahasa ( Nik Safiah Karim, 2001). Semantik atau kajian
makna adalah satu bidang yang luas, mencakupi kebanyakan daripada struktur dan fungsi
bahasa dan juga masalah dalam kajian psikologi, falsafah dan antropologi.

Menurut Dr. T. Fatimah Djajasudarma (1993), pengertian makna (sense) adalah
berbeza dengan erti (meaning) di dalam bidang semantik. Makna adalah pertautan yang
terdapat di antara unsur-unsur bahasa itu sendiri. Makan menurut Palmer (1976) hanya
menyangkut intrabahasa. Manakala Lyons (1977) pula menyebutkan bahawa mengkaji atau
memberikan makna sesuatu kata adalah memahami kajian kata tersebut yang berkenaan
dengan hubungan-hubungan makna yang membuat kata tersebut berbeza dengan kata-kata
yang lain. Selain itu makna dikatakan sebagai penghubung bahasa dengan dunia luar sesuai
dengan kesepakatan para pemakainya (penutur) sehingga dapat saling memahami dan
mengerti. Selain itu, menurut Abdul Chaer (1990), dalam pelajaran bahasa sering dikatakan
bahawa kata mati, misalnya sama maknanya dengan kata meninggal. Menurut teori semantik,
kata mati dan kata meninggal tidak sama maknanya. Hal ini kerana, jika kedua-dua kata
tersebut mempunyai makna yang sama, maka sudah semestinya kedua-dua perkataan tersebut
dapat ditukarkan kedudukannya secara bebas. Kata mati dalam perkataan Ayam itu sudah
mati tidak dapat ditukar dengan kata meninggal sehingga menjadi Ayam itu sudah
meninggal. Perkataan Ayam itu sudah meninggal tidak dapat diterima dalam bahasa.

Perkataan mati dan meninggal sebenarnya tidak membawa makna yang sama namun
mempunyai informati yang sama. Kedua-dua perkataan tersebut membawa informasi bahawa
sebelumnya adalah bernyawa, setelah mati atau meninggal, menjadi tidak bernyawa lagi.
Informasi bukanlah makna kerana makna menyangkut keseluruhan dalam ujaran
(intralingual), sedangkan informasi itu hanya menyangkut masalah luar ujaran (ekstra-
lingual). Dengan kata lain, makan menyangkut semua komponen konsep yang terdapat pada
sebuah kata, sedangkan informasi hanya menyangkut komponen konsep dasarnya sahaja.
Perbandingan kata mati dan meninggal dapat dilihat dalam komponen-komponen konsep
maknanya seperti berikut:
mati meninggal
(i) Tidak bernyawa lagi (i) tidak bernyawa lagi
(ii) Untuk umum (manusia, binatang) (ii) hanya manusia
dan sebagainya)
(iii) Kasar (iii) halus (sopan)
Terdapat beberapa jenis makna dalam bahasa Melayu antaranya ialah, makna
konsepsual, makna konotatif, makna stilistik, makna afektif, makna refleksi, makna kolokatif,
dan makna tematik. Jenis-jenis makna ini dapat memberikan gambaran yang tertentu daripada
maksud tersurat dan tersirat.

a) Makna Konsepsual
Makna denotatif lazimnya diberi penjelasan sebagai makna yang sesuai dengan
pemerhatian. Makna konseptual merupakan konsep makna yang terpenting sekali dalam
bahasa. Kita tidak mungkin dapat menentukan makna, memahami ujaran atau membuat
interpretasi dengan tidak mengaitkan makna konseptual tersebut. Pemahaman konsep adalah
sangat mustahak. Makna konsep adalah mencakup komponen seperti benda, tindakan,
proses, keadaan, atau konsep lainnya (Abdul Chaer, 1990). Menurut Leech (1974) di dalam
makna konseptual, konsep merupakan sesuatu yang asas kerana pokok atau konsep itu
sesuatu yang asas dalam komunikasi linguistik. Palmer (1992) menyatakan bahawa konsep
adalah sesuatu yang menghubungkan kata dan benda melalui perantaraan konsep
pemikiran.

Interpretasi yang pelbagai wujud kerana manusia meluahkan buah fikiran yang
berbeza seperti formulasi yang dibuat oleh Ogden dan Richards (1923), iaitu segitiga
semiotik. Manusia akan berfikir dahulu sebelum mengujarkan sesuatu perkataan. Sebab
itulah dalam formulasi segitiga semiotik yang dibuat oleh Ogden dan Richards meletakkan
pemikiran itu pada tahap yang atas sekali. Organisasi makna konseptual adalah rumit dan
sofistikated (Kushartanti et.al., 2005). Contohnya perkataan wanita dan perempuan
mempunyai makna yang sama iaitu manusia dewasa yang bukan laki-laki (Kamus Dewan,
2001). Leech (1974), mengaitkan konsep dengan dua prinsip iaitu, prinsip konstrastif dan
prinsip struktur konstituen. Contohnya, konotasi antara wanita dan perempuan adalah
berbeza. Contohnya wanita boleh dispesifikasikan sebagai wanita solehah, wanita
bekerjaya, wanita dewasa, wanita sopan. Tetapi sekiranya digunakan perkataan perempuan,
ia menjadi kurang sesuai untuk diucapkan. Selain itu, prinsip lain yang boleh diguna pakai
dalam organisasi linguistik ialah melalui pembahagian menurut tahap struktur linguistik yang
dapat memudahkan pemahaman pengembangan linguistik seseorang. Ujaran linguistik boleh
difahami dengan mudah melalui pembahagian tiga tahap ini iaitu Fonologi, Sintaksis, dan
Semantik. Bagi penutur tindakan pertama ialah mengenkod makna(ujaran daripada penutur)
apa yang hendak dilafazkan melalui ayat atau perkataan dan berakhir dengan bunyi. Bagi
seorang pendengar pula, proses ini beralih, iaitu mendengar bunyi-bunyi ayat dan melakukan
interpretasi. Dalam menganalisis ayat, peringkat pertama kita perlu buat ialah menetapkan
representasi fonologi, representasi sintaksis, dan representasi semantik. Representasi
bermaksud sesuatu yang melambangkan, menggambarkan, atau menyatakan sesuatu yang
lain, perlambangan, gambaran, atau pernyataan. (Kamus Dewan, 2004). Konsep memainkan
peranan penting kepada manusia untuk mentakrif, memahami, memutus buah fikiran. Tanpa
konsep, kita tidak mungkin berupaya mewujudkan makna denotatif atau makna sebenar.
Makna sesebuah perkataan sering bergantung pada konteks ayat atau situasi penggunaannya,
maka makna konseptual atau makna situasional sering juga disebut makna gramatikal
(Kushartanti et.al., 2005). Makna gramatikal berbeza pula dengan makna leksikal. Sekiranya
makna leksikal itu berkenaan dengan makna leksem yang sesuai dengan referennya, maka
makna gramatikal ini merupakan makna yang hadir sebagai akibat berlakunya proses
gramatikal, Contohnya seperti, pengimbuhan, penggandaan, dan pemajmukan. Misalnya, ber-
dalam berjalan, rumah-rumah yang membawa maksud banyak rumah dan penghasilan kata
majmuk surat khabar daripada gabungan surat dan khabar. Tetapi menurut Setiawati
Dermojuwono, bentuk-bentuk yang berkaitan dengan gramatikal lebih tepat disebut memiliki
fungsi gramatikal dan bukannya makna gramatikal. (Kushartanti et.al., 2005)


b) Makna Konotatif
Makna konotatif ialah makna yang ada kaitan dengan nilai rasa, baik positif mahupun
negatif ( Nik Safiah Karim, 2004). Sekiranya nilai rasa itu tidak wujud, maka sifat perkataan
itu nanti mungkin tidak memihak mana-mana. Walaupun perkataan perempuan dan wanita
mempunyai makna denotatif yang sama tetapi, kedua-dua perkataan ini mempunyai nilai rasa
yang berbeza. Perkataan perempuan mempunyai nilai rasa yang rendah manakala perkataan
wanita mempunyai nilai rasa yang tinggi. Samalah juga dengan perkataan jantan dan lelaki.
Begitu juga dengan perkataan babi dan khinzir. Bagi masyarakat yang beragama Islam, nilai
rasa mereka berbeza dengan interpretasi masyarakat bukan Islam. Bagi umat Islam, babi itu
haram, jijik, kotor, najis atau sesuatu yang negatif. Makna konotatif atau makna tambahan
ini juga boleh berubah merujuk kepada faktor-faktor tertentu. Contohnya perkataan
khalwat. Perkataan ini pada asalnya membawa maksud mendekati Allah, duduk
bersendirian perihal (perbuatan) mengasingkan atau memencilkan diri kerana menenangkan
fikiran, bertafakur (Kamus dewan, 2004). Tetapi pada hari ini, maksud perkataan ini telah
berubah, iaitu pengasingan diri berdua-duaan di tempat yg terpencil atau tersembunyi, oleh
lelaki dan perempuan yang bukan muhrim dan bukan pula suami isteri sehingga dianggap
sebagai suatu perbuatan yang sumbang ( Kamus Dewan, 2004). Makna Konotatif ini boleh
dilihat kepada beberapa aspek iaitu, makna konotatif ini tidak spesifik pada bahasa tetapi
dikongsi bersama sistem komunikatif seperti seni visual dan muzik. Contohnya, barangan
atau produk yang diiklankan di televisyen tidak sama seperti produk yang diilustrasikan.
Kedua ialah, makna konotatif bersifat periferal. Makna konotatif tidak stabil, bervariasi
menurut budaya, tempoh masa dan pengalaman individu. Orang yang terpelajar atau orang
yang menimba ilmu, dan berpengalaman menjadikannya berbeza pendapat apabila melihat
sesuatu atau memberikan pendapat. Ketiga, makna konotatif sukar dipastikan dan bersifat
arbitrer dan keterbukaan. Penggunaan kata-kata halus, sedap di dengar, tepat dan sesuai pada
masanya telah digunakan secara meluas oleh masyarakat Melayu. Contohnya, perkataan
kudapan digunakan untuk menggantikan minum dan makan pagi dengan mengambil kuih-
muih sedikit, iaitu kudap-kudap sahaja (makanan ringan seperti minuman kopi dan kuih-muih
yg dimakan sekadar mengalas perut dalam sesuatu majlis antara waktu minum pagi dan
tengah hari atau pada waktu minum petang atau selepas makan malam). (Kamus Dewan,
2004). Makna konotatif ditentukan oleh makna asosiatif dan makna afektif.

c) Makna Denotatif
Menurut Setiawati Dermojuwono di dalam buku Pesona Bahasa, makna denotatif juga
sering disebut sebagai makna deskriptif dan makna leksikal. Makna denotatif pada dasarnya
sama dengan makna referensial sebab makna denotatif lazimnya diberi penjelasan sebagai
makna yang sesuai dengan pemerhatian, menurut penglihatan, pendengaran, perasaan atau
pengalaman lainnya. (Nik Safiah Karim, 2004). Makna denotatif berhubung rapat dengan
penerangan mengenai fakta yang bersifat objektif, maka ia juga disebut makna sebenar ,
makna asal , makna mutlak atau makna dasar. Dengan kata lain makna denotatif ialah
makna sebenarnya. Contohnya, kedua-dua perkataan perempuan dan wanita mempunyai
makna denotatif yang sama, iaitu manusia dewasa bukan laki-laki. Begitu juga dengan
perkataan gadis dan perawan yang bermaksud wanita yang belum bersuami dan pasangan
perkataan isteri dan bini yang bermaksud wanita yang mempunyai suami. Samalah juga
bagi perkataan melantak, makan, sarapan, atau soru. Kesemuanya dikaitkan dengan
makan. Tetapi perkataan melantak itu lebih kasar, tidak manis didengar dan tidak mengikut
tatasusila yang sering dikaitkan dengan orang Melayu. Masyarakat sering mempunyai
pandangan yang berbeza walaupun perkara yang dibincangkan itu sama. Contohnya, suatu
ketika dahulu perkataan aku jarang digunakan kerana rasanya keras dan tidak manis
didengar. Tetapi sekarang, rata-rata anak muda mengakukan diri mereka apabila
berkomunikasi dengan orang lain. Nilai rasa ini sudah menurun.

Merujuk kepada Makna Referensial pula, ia berbeza dengan Makna Nonreferensial.
Perbezaan antara makna referensial dengan makna nonreferensial bergantung pada ada atau
tidak referen bagi perkataan-perkataan berkenaan (Nik Safiah Karim, 2004). Apabila
perkataan mempunyai referen, maka perkataan tersebut mempunyai makna referensial.
Contohnya beg, kasut dan pakaian. Perkataan yang tidak mempunyai referen, seperti kerana,
namun, walaupun , tetapi dikenali sebagai makna nonreferensial. Perkataan yang termasuk
dalam kategori kata penuh seperti makan, tidur, cerdik, cantik tergolong sebagai perkataan
yang mempunyai makna referensial. Manakala perkataan yang tergolong sebagai kata tugas
seperti kata hubung, kata sendi nama dan kata bantu termasuk dalam perkataan
nonreferensial. Makna Leksikal pula adalah perkataan leksikal yang diterbitkan daripada
istilah leksikon yang bermaksud kosa kata atau perbendaharaan kata. Unit leksikon ialah
leksem iaitu bentuk bahasa yang bermakna ( Ibrahim Ahmad, 1994). Makna leksikal
bermaksud makna yang bersifat leksikon, makna yang sesuai dengan referennya, makna yang
sesuai dengan pemerhatian alat indera atau makna yang nyata (Adrienne Lehrer, 1992).
Makna leksikal biasanya dikaitkan dengan kata sedangkan kosa kata tidak hanya terdiri
daripada kata sahaja, tetapi juga terdiri daripada beberapa kata. Contohnya, kambing hitam.
Makna kambing hitam bukan merupakan gabungan makna kambing dan makna hitam, tetapi
memiliki makna yang tersendiri iaitu orang yang dipersalahkan. Maka jelas bahawa makna
tidak dapat ditelusuri dari makna setiap kata pembentuknya, maka perkataan kambing hitam
dikatakan mempunyai makna idiomatis ataupun lebih dikenali sebagai makna gramatikal
(Kushartanti et.al., 2005).

d) Makna stilistik
Makna stilistik merujuk kepada situasi sosial di mana sesuatu ujaran itu berlaku.
Ujaran penutur dan pendengar dapat menentukan bunyi atau kata yang dilafazkan. Daripada
makna stilistik ini, kita dapat menentukan asal-usul atau kedudukan geografis penutur,
hubungan sosial antara penutur dan pendengar, kedudukan status mereka atau pun kita dapat
mengetahui bahasa yang digunakan itu adakah loghat, dialek atau bahasa baku. (Robert
Sibarani et.al., 2003). Pertama, fitur atau ciri tetap stilistik boleh dilihat daripada bahasa yang
dituturkan oleh individu itu, dialek yang digunakan, dan tempoh masa ia dituturkan. Kedua,
wacana yang dibahagikan kepada dua bentuk iaitu, media (samada yang dituturkan, ditulis
dan sebagainya), dan penglibatan (dialog atau monolog). Ketiga, fitur sementara stilistik yang
dipecahkan kepada, laras (bahasa undang-undang, sains, perubatan), status ( bahasa diraja,
slanga, jargona), dan modalitas (bahasa syarahan, berjenakan, ceramah dan sebagainya).
Konteks memainkan peranan penting dalam perbualan antara penutur dengan pendengar.
Dialek, slanga, jargona, atau status seseorang dapat menentukan siapa orang itu, atau orang
ini. Contohnya ayat ini, Hoi, mangkuk hayun! Berambuslah dari sini. Benci sunggung aku
melihat muka kau!- Dalam konteks ini, kita mestilah boleh membuat kesimpulan terhadap
penutur bahawa penutur itu seorang yang pemarah, tidak penyabar, perungus, atau mungkin
kita boleh memastikan status seseorang itu. Namun penilaian kita berbeza apabila terhadap
ujaran yang positif. Contoh, rasalah masakan yang dimasak oleh ibu saya . Dalam konteks
ini kita boleh membuat kesimpulan terhadap penutur, bahawa penutur seorang yang baik hati,
dan pemurah. Jadi penggunaan bahasa ketika kita berkomunikasi dapat menentukan siapa
penuturnya, status, dan latar belakang penutur, loghat, aksen (tekanan suara pada kata atau
suku kata), dialek, pangkat dan sebagainya yang mampu mencerminkan kedudukannya dalam
masyarakat, keluarga yang baik-baik, berstatus tinggi dan berpelajaran tinggi.

e) Makna Afektif
Afektif berkaitan dengan perasaan dan emosi, bukannya fikiran atau daya berfikir
(Kamus Linguistik, 1997). Kita dapat membuat rumusan berdasarkan ucapan yang
disampaikan berdasarkan nada, intonasi, dan tekanan yang memungkinkan kita membuat
interpretasi tentang apa yang diucapkan dan kepada siapa diucapkan. Perasaan seseorang
penutur, termasuk sikap penutur terhadap pendengar atau terhadap sesuatu yang ingin
disampaikan dapat diperjelaskan dengan baik. Perasaan yang muncul itu mungkin positif dan
mungkin juga negatif. Kata jujur, ikhlas, baik hati, bijaksana akan menimbulkan kata afektif
yang positif, sedangkan korupsi, kolusi menimbulkan makna afektif yang negatif
(Kushartanti et.al., 2005). Makna afektif biasanya disampaikan melalui saluran konotatif atau
konseptual sesuatu perkataan. Contohnya, Hoi, mangkuk hayun! Berambuslah dari sini.
Benci sungguh aku melihat muka kau!. Apabila ayat ini diujarkan dengan nada yang tinggi,
kita pasti dapat mengenalpasti dengan tepat perasaan penutur ketika itu. Maka faktor intonasi,
tinggi rendah suara juga merupakan elemen yang sangat penting kerana ia merupakan salah
satu cara kita menyampaikan buah fikiran yang boleh menunjukkan samada kita suka atau
tidak suka kita pada seseorang. Nada sesuatu ujaran boleh mengubah perasaan atau
penerimaan terhadap orang lain. Makna afektif juga berperanan penting dalam menyusun teks
iklan (Kushartanti et.al., 2005). Contohnya, Teh nikmat berkhasiat. Nikmat dan khasiat
mempunayi nilai rasa yang positif, kerana kata nikmat dan khasiat menimbukan asosiasi dan
perasaan positif.

f) Makna Tematik
Tematik bermaksud apa yang dikomunikasikan dan isi yang hendak disampaikan
dalam mesej. Makna tematik ini boleh disampaikan melalui susunan bunyi, susunan kata,
fokus dan tekanan. Contohnya, ayat aktif dan ayat pasif. Contoh ayat,
i) Ibu membeli kuih.(Ayat aktif)
ii) Kuih dibeli oleh ibu.(Ayat pasif)
Kedua-duanya mempunyai nilai komunikasi yang berbeza. Bagi ayat aktif, soalannya ialah,
siapa yang membeli kuih?. Tetapi bagi ayat pasif pula, soalannya ialah, ibu membeli apa?-
Makna tematik terletak pada pilihan kita sendiri berdasarkan minat, sikap, latar belakang,
tekanan emosi dan sebagainya. Tekanan boleh menukar makna. Keadaan ini berlaku apabila
penutur mahu menegaskan mana-mana perkataan dalam mana-mana kontruksi (susunan dan
kedudukan kata-kata dalam ayat atau rangkai kata) ( Kamus Dewan, 2005). Selain tekanan,
panjang pendek perkataan juga memainkan peranan yang penting. Contohnya bahasa yang
digunakan oleh syarikat pengiklanan untuk mempromosikan sesuatu barangan atau produk.
Contohnya,
Caaaakap banyak, baayar kurang!
Ayat ini boleh mengubah dan mempengaruhi orang yang mendengarnya sekaligus dapat
mengubah penerimaan orang terhadap sesuatu barangan atau individu.

g) Makna Asosiatif
Menurut Leech (1976), makna asosiatif adalah makna yang dimiliki sebuah kata
dengan kata lain termasuk di dalamnya makna konotatif, makna stilistik, makna afektif,
makna refleksi dan makna kolokatif. Makna asosiatif ialah perkaitan (antara satu dengan
yang lain), perhubungan dan pertalian (Kamus Linguistik, 1997). Menurut Setiawati
Dermojuwono, makna asosiatif merupakan asosiasi yang muncul dalam benak seseorang
apabila mendengar perkataan tertentu ( Kushartanti, et.al., 2005).Asosiasi ini dipengaruhi
unsur-unsur psikis,pengetahuan dan pengalaman seseorang.Makna asosiatif biasanya dikaji
dalam bidang psikolinguistik (Soenjono Dardjowidjojo, 2003). Makna asosiasi ini sebenarnya
sama dengan perlambangan yang digunakan oleh sesuatu masyarakat yang mempunyai
kemiripan dengan sifat, keadaan, atau ciri yang ada pada konsep asal kata atau perkataan
tersebut. Contohnya, perkataan buaya dikaitkan dengan jahat atau ganas atau
membawa erti seorang laki-laki yang suka memujuk dan menipu wanita. Begitu juga dengan
kata mawar yang bermakna konseptual iaitu sejenis bunga yang kuning tetapi cantik dan
berbau harum dinyatakan untuk perlambangan bersih dan suci. Hal ini bermakna sesuatu
yang berasosiasi berhubung rapat dengan makna konotatif, stilistik, afektif, reflektif dan
kolokatif. Contohnya makna konotatif termasuk dalam makna asosiatif kerana kata-kata
tersebut adalah berasosiasi dengan nilai rasa terhadap perkataan itu. Makna afektif pula lebih
terasa dalam komunikasi lisan kerana ia berkait rapat dengan perasaan atau emosi pembicara
terhadap lawan bicara atau terhadap objek yang dibicarakan dan disampaikan dengan penuh
semangat, nada dan intonansi.

Terdapat banyak persamaan makna asosiatif di dalam satu masyarakat bahasa kerana
pengalaman, lingkungan dan latar belakang budaya yang hampir sama.Makna asosiatif turut
memainkan peranan penting dalam menyusun teks iklan dan bukan sahaja makna referensial
sahaja yang mesti ditonjolkan. Makna asosiatif memainkan peranan yang penting untuk
pemahaman wacana kerana makna asosiatif dapat menjadi pengikat makna-makna kata
sehingga terbentuk pemahaman suatu wacana. Interpretasi bagi sebuah puisi tidak dapat
dipisahkan dari makna asosiatif kerana interpretasi puisi menjadi lebih mudah apabila
seseorang itu memahami makna asosiatif. ( Kushartanti et.al., 2005)

h) Makna Etimologis
Makna etimologis berkaitan dengan asal-usul kata dan perubahan makna kata dilihat
dari aspek sejarah kata. makna etimologis suatu kata mencerminkan perubahan yang terjadi
dengan kata tertentu. Melalui perubahan makna kata, kita dapat menyelusuri perubahan nilai,
norma, keadaan sosiopolitik, dan ekonomi masyarakat. Perubahan makna kata boleh
menyempit atau meluas (Kushartanti et.al., 2005). Contohnya perkataan berkhalwat.
Perkataan ini pada asalnya membawa maksud mengasingkan diri untuk menenangkan fikiran.
Tetapi perkataan ini telah disempitkan mencakupi makna duduk berdua-duaan lelaki dan
perempuan dalam keadaan yang sumbang di tempat yang terpencil dan tersembunyi.
Contohnya. Muhaiza dituduh berkhalwat dengan seorang lelaki di pangsapuri miliknya
semalam. Selain terjadi penyempitan dan peluasan makna, nilai rasa makna sesuatu kata
juga dapat berubah dari negatif kepada positif atau sebaliknya.




KONSEP LOGIK

Logik merupakan satu perkataan yang berasal daripada perkataan greek iaitu logos
yang bermaksud fikiran, idea, hujah, alasan atau prinsip. Logik merupakan satu pengajian
tentang prinsip-prinsip kesahihan tentang sesuatu sama ada diketahui secara tidak langsung
iaitu inferens ataupun sesuatu yang diketahui setelah dijalankan kajian iaitu demonstrasi.
Logik merujuk kepada turutan cara mendapatkan sesuatu rumusan berasaskan kepada
beberapa andaian kukuh. Logik juga turut digunakan dalam elektronik digital. Tingkah laku
litar digital biasanya diputuskan melalui penggunaan litar-litar logik yang dipanggil get logik.
Walau bagaimanapun, dalam bidang sematik, makna logik pula merupakan makna yang
ditinjau dari sudut kebenaran iaitu makna yang dapat diterima oleh akal manusia.

Secara realitinya, sesuatu bahasa tidak mempunyai unsur logikal tetapi bahasa itu
dapat digunakan sebagai bahan atau media untuk berfikir secara logik. Dalam bidang
sematik, sesuatu ungkapan bahasa boleh dikatakan mempunyai makna logik atau tidak logik.
Dalam kehidupan harian, pertuturan atau penggunaan bahasa kita akan dikatakan sebagai
logik atau logikal, sekiranya ia menunjukkan suatu perilaku yang boleh diterima akal atau
dapat masuk akal ataupun ia adalah bersesuaian dengan kebiasaan dan kebudayaan setempat
atau umum.
Sebagai contoh ayat yang logik dan tidak logik dapat dilihat seperti berikut:
(i) Matahari terbenam di sebelah timur
( tidak logik dan tidak masuk akal)
(ii) Matahari terbenam di sebelah barat
( logik dan diterima akal)
Ayat (i) dikatakan tidak betul dan tidak logik kerana pernyataan dalam ayat tersebut
dikatakan telah melanggar kebiasaan umum. Hal ini kerana secara kebiasaannya matahari
terbenam di sebelah barat dan bukan di sebelah timur. Oleh itu, ayat tersebut dikatakan
sebagai tidak masuk akal, maka ayat tersebut dikatakan sebagai satu pernyataan ayang tidak
logik. Ayat kedua dirasakan lebih logik dan diterima akal kerana secara umumnya dapat
diterima masyarakat bahawa matahari terbenam di sebelah barat.

Menurut Jos Daniel Parera (1999), sesuatu penyataan itu adalah logik atau tidak
logik sekiranya kita mampu menghubungkan satu gagasan dan satu konsep gagasan dengan
gagasan atau konsep yang lain.
(i) Orang itu kelaparan dan makan batu
( ayat diatas dikatakan tidak logik kerana hubungan antara ungkapan makan dan batu
adalah bersifat tidak logik.)
(ii) Orang itu kelaparan dan makan nasi
( ayat diatas dikatakan logik kerana nasi termasuk dalam kategori makanan manusia.)
Dalam ayat (i) di atas, kita tidak dapat menentukan bahawa konsep batu (stone) itu
logik atau tidak logik. Hal ini kerana konsep batu itu tidak ada hubungan dengan logik atau
tidak logik. Akan tetapi masalah dari segi logikal makna akan muncul sekiranya kita
menghubungkan perkataan batu dengan konsep atau gagasan yang lain. Ayat (i) diatas
dikatakan tidak logik kerana hubungan antara ungkapan makan dan batu adalah bersifat
tidak logik tetapi ayat (ii) diatas dikatakan logik kerana nasi termasuk dalam kategori
makanan manusia.

Oleh itu, dalam aspek berbahasa, kita perlu mengutamakan makna logikal. Hal inilah
yang dikatakan sebagai logikal dalam berbahasa. Terdapat beberapa syarat dalam logikal
berbahasa iaitu logikal berbahasa mestilah dapat memenuhi tututan pemikiran yang
sistematik dan memenuhi unsur-unsur logikal. Dalam logikal berbahasa juga kita harus
memenuhi hubungan antara konsep-konsep yang ditautkan disamping tidak boleh
menimbulkan kontradiksi.
Sebagai contoh:
(i) Bayi itu memanjat pokok kelapa untuk memetik buah kelapa
(tidak logik dan tidak masuk akal)
(ii) Remaja itu memanjat pokok kelapa untuk memetik buah kelapa
(logik dan dapat diterima akal oleh masyarakat)
Ayat (i) di atas dikatakan tidak logik kerana tindakan bayi yang memanjat pokok kelapa
adalah perbuatan yang langsung tidak masuk akal. Maka, konsep bayi tidak mempunyai
hubungan logik makna apabila ditautkan dengan gagasan memanjat pokok kelapa.
Sebaliknya, ayat (ii) dikatakan lebih logik berbanding ayat (i) itu. Ini menunjukkan bahawa
konsep logik dan makna amat penting dalam berbahasa. Sesuatu penyataan atau ayat akan
menjadi tidak logik sekiranya ia tidak diterima akal oleh masyarakat.

APLIKASI HUBUNGAN MAKNA DAN LOGIK BAGI MENJELASKAN MAKNA
DALAM BAHASA
Dalam prinsip makna logik, penggunaan dan pemilihan kata di dalam sesebuah
ungkapan atau ayat adalah penting demi menghasilkan pernyataan yang logik serta diterima
masyarakat. Sekiranya penggunaan kata yang tidak bersesuaian akan menjejaskan makna
ayat tersebut dan boleh mendatangkan masalah kurang logikal.
Sebagai contoh:
(i) Kucing itu mengejar anjing
( tidak logik dan sukar diterima akal kerana kebiasaaannya anjing yang mengejar kucing
ataupun anjing berlari lebih pantas daripada kucing )
(ii) Kucing itu mengekor anjing
( logik dan diterima masyarakat kerana mungkin seekor kucing itu berjalan atau berada di
belakang anjing)
Ayat (i) di sebelah adalah tidak logik dan sukar diterima akal oleh sesetengah pihak
kerana secara kebiasaannya adalah anjing yang mengejar kucing ataupun anjing adalah
berlari lebih pantas daripada kucing. Maka, ayat (i) dikatakan terdapat unsur yang kurang
logik dan kurang diterima sebagai ayat yang logik. Sebaliknya, masyarakat lebih senang
menerima ayat (ii), iaitu kucing itu mengekor anjing kerana mungkin seekor kucing itu
berjalan atau berada di belakang anjing tersebut.
Ayat yang mempunyai tahap logikal yang lebih tinggi dan lebih senang diterima oleh
masyarakat dianggap sebagai suatu ayat yang logikal dan gramatikal.
Sebagai contoh:
(i) Jika Ahmad bujang, maka dia tidak pernah berkahwin.
(ii) Jika Asmah berlari ke rumah, maka dia pergi ke rumah.
(iii) Jika lelaki itu berkahwin dengan wanita itu, maka wanita itu adalah isterinya.
Ayat (i) di atas dianggap sebagai ayat yang berunsur logikal. Hal ini disebabkan
Ahmad yang masih bujang itu secara logiknya boleh dianggap sebagai dia tidak pernah
berkahwin dengan sesiapapun sebelum ini. Disamping itu, pernyataan dalam ayat (ii) di atas
juga boleh diterima sebagai ayat yang logikal. Manakala pernyataan ayat (iii) yang
menyatakan Jika lelaki itu berkahwin dengan wanita itu, maka wanita itu adalah isterinya.
Pernyataan ini juga secara langsungnya dapat diterima oleh logik akal manusia sebagai ayat
yang logik dan benar. Oleh itu ayat (i), (ii), dan (iii) di atas dikatakan sebagai ayat yang logik
dari segi penjelasan ataupun maknanya. Sebaliknya sesuatu ayat tidak dianggap sebagai ayat
yang logikal jika sesuatu ayat tersebut akan menimbulkan satu persoalan atau kecurigaan.
Sebagai contoh:
(i) Jika Amy memukul Iera, maka Iera telah memukul Amy terlebih dahulu.
Ayat (i) di atas tidak dianggap sebagai ayat yang logikal. Hal ini adalah disebabkan
ayat tersebut akan menimbulkan suatu persoalan atau kecurigaan iaitu jika Amy memukul
Iera, tidak semestinya adalah Iera yang telah memukul Amy terlebih dahulu. Dengan itu akan
menyebabkan kita merasa ragu-ragu terhadap pernyataan yang dikemukakan itu. Maka, ayat
ini telah menjadi tidak logik dari segi penjelasannya dan kurang diterima oleh pengguna.




CADANGAN PENGGUNAAN KONTEKS YANG SESUAI BAGI MENGATASI
MASALAH KEKABURAN MAKNA.

Kekaburan makna muncul kerana adanya penafsiran yang tidak pasti terhadap makna
kata atau frasa tertentu. Contohnya lukisan Anita. Pernyataan ini dapat dimaknakan sebagai
(1) lukisan yang dilukis oleh Anita; (2) lukisan yang dilukis oleh orang lain tetapi telah
dimiliki oleh Anita; (3) lukisan yang menggambarkan wajah Anita; atau bahkan (4) lukisan
yang akan diberikan pada orang bernama Anita dan lukisan itu tidak dilukis oleh Anita, tidak
dibeli oleh Anita, belum dimiliki oleh Anita dan tidak juga menggambarkan wajah Anita.
Kekaburan makna juga dapat muncul karena (1) struktur fonetik; (2) faktor gramatikal; dan
(3) faktor leksikal.

Konteks dan Kesan Konteks
Dalam hal komunikasi, konteks merupakan suatu faktor yang amat penting (Leech,
Semantics, 1974). Mengikut pengalaman bahasa ada banyak ketika kita rasa bingung akan
makna dalam sesuatu ujaran atau tulisan kerana kurangnya maklumat kontekstual. Dengan
mengambil kira konteks, unsur ketaksaan, makna yang pelbagai dapat dielakkan, walaupun
ada pengguguran beberapa komponen dalam ujaran atau tulisan kita. Misalnya, dalam
ujaran, Kamal! Kambing!, makna yang hendak disampaikan ialah Kamal, tolong halau
kambing kambing itu yang mungkin mahu masuk ke dalam kebun, rumah, atau tempat,
bergantung pada tempat ujaran itu dilafazkan.

Konteks memainkan peranan untuk menghilangkan kekaburan dan ketidakjelasan
makna. Konteks juga berfungsi untuk menetapkan makna bagi perkataan dalam satu satu
ujaran atau tulisan. Misalnya, untuk membezakan golongan kata untuk menentukan makna,
seperti dalam kata bilas (basuh / cuci) sebagai kata kerja dan bilas (kabur) sebagai kata
adjektif, konteks amat perlu.

Konteks juga menjadi amat mustahak dalam hal homonim. Umpamanya, untuk
membezakan antara haus sebagai rasa dahaga atau berkurangannya besar kerana tergosok,
kita perlu lihat pada konteks penggunaan ayat atau ujaran tersebut. Mungkin, dalam ayat ini
Kami semua rasa haus, selepas berjalan kaki ke rumah maknanya ialah rasa dahaga.

Dalam hal ini, Wittgenstein dalam bukunya Philosophical Investigations (1953), yang
juga seorang ahli falsafah yang terkenal, pernah dengan tegas menyatakan bahawa makna
kata tidak dapat diketahui kecuali dilihat dalam penggunaannya, atau dalam konteks
penggunaannya. Demikian juga Ullmann berhujah bahawa makna perkataan hanya dapat
ditentukan berdasarkan penelitian terhadap penggunaannya.

Oleh itu, makna kata tidak akan menjelma selain dalam konteks pengunaan perkataan
atau ayat dalam ujaran atau tulisan. Misalnya, ujaran kata cantik, amat kabur maknanya,
kecuali dinyatakan dalam satu konteks seperti diucapkan untuk memberitahu orang lain akan
kecantikan seseorang atau pandangan, benda dan sebagainya, atau untuk memberi
penghargaan atau pujian terhadap sesuatu perbuatan seperti menjaringkan gol dalam
permainan bola sepak. Dalam kedua dua situasi tadi, kata cantik memang tidaklah sama.
Dengan yang demikian menjadi nyata bahawa perkataan memperlihatkan makna yang
berbeza beza ketika digunakan dalam pelbagai situasi sosial oleh manusia.

Melalui pendefinisian yang dibuat oleh Sperber dan Wilson dalam Nor Hashimah Hj.
Jalaluddin (1992), konteks ialah seberkas andaian tentang dunia yang dibina secara psikologi
oleh pendengar. Ia tidak terhad kepada maklumat tentang persekitaran fizikal yang paling
dekat dan ujaran terdahulu yang paling hampir. Konteks dapat juga melibatkan masa depan,
hipotesis saintifik atau kepercayaan keagamaan, kenangan lucu, andaian am tentang budaya
dan kepercayaan terhadap pemikiran penutur. Kesemuanya memainkan peranan dalam
interprestasi ujaran.


Dalam menjamin proses interprestasian ujaran secara berkesan, pemilihan konteks
haruslah dikembangkan dengan menggunakan (salah satu atau kesemuanya) tiga cara iaitu,
melihat ke arah ujaran, melihat ke arah alam persekitaran dan merujuk kepada catatan
ensiklopedia bagi perkataan-perkataan yang telah digunakan dalam ujaran dan konteks. Harus
diingati juga bahawa perkembangan konteks dengan ketiga-tiga cara ini tidak akan berhasil
sekiranya pendengar tidak memastikan sama ada konteks yang dipilih adalah sama dengan
apa yang ingin disampaikan oleh penutur. Oleh itu andaian yang dicerna oleh pendengar
perlulah sesuai bagi melahirkan andaian awalan bagi pendengar.

Andaian awalan atau lebih tepat dirujuk sebagai kesan konteks amat penting bagi
menghuraikan proses pemahaman sesuatu ujaran. Semasa proses perbualan, proses
penggabungan atau penguatan atau pengguguran konteks akan dikemukakan oleh pendengar
dengan andaian awalan yang ada untuk menghasilkan kesan konteks.
Penggabungan dimaksudkan menggabungkan maklumat baru dan konteks bagi menghasilkan
kesan konteks. Contoh (3), peristiwa konteks:

(i) Aminah berandaian jika hari tidak hujan, dia akan pergi menoreh getah.
Apabila Aminah mahu dari keluar rumah dia mendapati:
(ii) Hari Hujan.
Daripada andaian yang wujud dalam (i) dan maklumat baharu (ii), Aminah dapat
merumuskan beberapa lanjut yang tidak boleh dirumuskan sama ada daripada andaian yang
sedia ada, iaitu (i) atau maklumat baharu (ii) untuk merumuskan (iii), iaitu:
(iii) Aminah tidak pergi menoreh getah.
Seterusnya penguatan dimaksudkan dengan menguatkan lagi andaian yang telah sedia
ada. Contoh (4), peristiwa konteks:
Aminah sedang menoreh getah dan terdengar sesuatu bergerak dalam semak di belakangnya.
Aminah membuat andaian yang bergerak dalam semak itu:
(i) Seekor ayam hutan.
Apabila disergah oleh Aminah, didapati yang keluar dari semak itu ternyata:
(ii) Seekor ayam hutan.
Dengan ini, (ii) memperkuatkan atau mengesahkan andaian awal yang terbentuk.
Semakin banyak andaian yang dapat diperkuatkan, semakin relevanlah ujaran tersebut.
Manakala pengguguran pula dimaksudkan dengan pengguguran andaian yang telah sedia ada
apabila berlaku pertentangan maklumat. Contoh (5), peristiwa konteks:
Aminah sedang menoreh getah dan terdengar sesuatu bergerak dalam semak di belakangnya.
Aminah membuat andaian yang bergerak-gerak dalam semak itu:
(i) Seekor ayam hutan.
Apabila disergah oleh Aminah, didapati yang keluar dari semak itu bukanlah seekor ayam
hutan tetapi seekor landak. Rupa-rupanya Aminah mendapati yang bergerak-gerak dalam
semak itu :
(ii) Seekor landak.
Maka dapat dilihat pada contoh (5) berlakunya pertentangan maklumat. Sperber dan
Wilson mendakwa jika maklumat baru adalah relevan dalam mana-mana konteks yang wujud
percanggahan, ini akan membawa kepada pengguguran andaian yang sedia ada. Sokongan
hujah di atas membawa kepada kesimpulan bahawa semakin mewah kesan konteks sesuatu
andaian itu miliki, maka ujaran dan andaian itu pasti bertambah relevan.

Usaha Memproses
Usaha memproses merupakan usaha pendengar memproses sesuatu maklumat agar
maklumat tersebut relevan dengan pemahamannya ketika menginterpretasikan sesuatu ujaran.
Secocok dengan usaha tersebut maka penutur haruslah memastikan ujaran yang dituturkan
olehnya mudah dan senang diproses oleh pendengar. Semakin rendah kegiatan memproses
maklumat, maka semakin relevanlah sesuatu ujaran tersebut. Teliti contoh (6):
(i) Ayah saya bekerja sebagai kakitangan kerajaan.
(ii) Ayah saya bekerja sebagai guru.

Di antara ujaran (i) dan (ii) kita dapati bahawa ujaran (ii) mudah diproses berbanding
dengan ujaran (i). Ini kerana dalam ujaran (ii) pendengar mungkin sukar untuk memproses
maklumat tepat tentang pekerjaan sebagai kakitangan kerajaan berbanding ujaran (i) yang
memperuntukkan maklumat tepat tentang pekerjaan sebagai guru. Proses yang mudah dalam
mengendalikan sesuatu maklumat seharusnya diutamakan oleh penutur agar kerelevanan
dalam sesuatu ujaran dapat dijamin berada pada tahap yang tinggi.

Tiga gagasan utama dalam teori relevans telah pun dibincangkan secara ringkas.
Konteks, kesan konteks dan usaha memproses tidak akan lengkap sekiranya tidak disertai
oleh subgagasannya seperti yang dinyatakan pada awal perbincangan pengenalan teori
relevans iaitu pengayaan, pemilihan rujukan dan penyahtaksaan maklumat.

Secara ringkasnya pengayaan ialah maklumat tambahan yang perlu disediakan oleh
penutur sekiranya maklumat yang asal tidak lengkap. Pemilihan rujukan pula bermaksud
penutur dituntut memastikan penerima ujarannya membuat pemilihan rujukan yang tepat
supaya orang yang dirujuk dalam perbualan itu merujuk kepada orang yang sama seperti
yang dimaksudkan oleh si penutur. Manakala penyahtaksaan ialah usaha yang dilakukan oleh
penutur bagi memastikan ujarannya tidak mengandungi unsur-unsur yang kabur ketika
menyampaikan sesuatu maklumat.

Ganti Nama
Contoh huraian aplikasi dalam menyelesaikan kekaburan masalah yang timbul dalam
ganti nama Dia:
Ada juga kes yang kedua-dua ganti nama dia( dia [+manusia] , dia [-manusia] diujarkan
dalam satu ujaran, di sini akan wujud kekaburan makna dalam erti kata dia yang akan
merujuk kepada ganti nama ketiga [+manusia] dan yang [ -manusia ]. Contoh:




A: Untuk budak besar ni.
B: Yang nilah. Dia ke nak pakai yang ni padan terailah tak apa, kain dia tahan
ni.

Dua dia wujud serentak. Untuk mengatasi masalah ini, sekali lagi ilmu semantik dan
pragmatik diperlukan. Ilmu semantik akan memberi bentuk logik bagi ganti nama dia dan
ilmu pragmatik akan mengisi lompang-lompang tersebut dengan maklumat bukan linguistik.

Kata dia yang pertama, sudah tentulah merujuk kepada manausia kerana ada
pertanyaan seperti dia ke nak pakai. Hanya manusia yang tahu memilih untuk memakai dan
bukannya benda yang tidak bernyawa. Kebetulan pembeli menunjukkan orang ketiga yang
terlibat untuk dicarikan pakaian yang sesuai. Jadi rujukan bagi ganti nama itu lebih sesuai dan
tepat.

Sementara bagi dia yang kedua berlainan pula halnya. Kali ini penjual tidak merujuk
kepada budak tadi sebagai penutur yang ketiga tetapi kepada jenis kain yang dijual.
Ungkapan kain dia tahan jelas menunjukkan jenis dan corak kain yang dijual. Dia di situ
bukan merujuk kepada kain kepunyaan budak itu kerana kain itu masih menjadi milik penjual
dan penjual masih lagi mencuba meyakinkan pembeli tentang mutu barang di kedainya. Jadi,
sudah tentu kain itulah yang menjadi rujukan pertama.








RUJUKAN
1. Abdullah Hassan, 1992. Semantik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka &
2. Kementerian Pelajaran Malaysia
3. Abdul Chaer, 1990. Pengantar Semantik Bahasa Indonesia. Jakarta: PT Rineka Cipta.
4. John Lyons (1993). Pengenalan linguistik teoris (Abdullah Hassan, Rogayah abdul
Razak &
5. Wan Zailena Mohd.Nordin, Terjemah). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
6. dan Kementerian Pendidikan Malaysia.
7. Kamus Dewan Edisi Keempat (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
8. Mansoer Pateda. 1995. Kosakata dan pengajarannya. Indonesia: Penerbit Nusa Indah.
9. Ruth M. Kempson (1991). Teori Semantik (Zaiton Ab. Rahman, Terjemahan). Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
10. Nor Hashimah Hj. Jalaluddin. (1992). Semantik dan Pragmatik: Satu Pengenalan.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
11. Nor Hashimah Hj. Jalaluddin. (1995). Bahasa Jual -Beli dalam Perniagaan Runcit:
Satu Analisis Semantik dan Pragmatik. Tesis Ph.D., Pusat Bahasa, Universiti Malaya,
Kuala Lumpur.
12. Nor Hashimah Hj. Jalaluddin. (2003). Bahasa dalam Perniagaan: Satu Analisis
Semantik dan Pragmatik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
13. S.Nathesan. (2001). Semantik dalam Bahasa Melayu: Satu Pandangan
Komprehensif. dalam Dewan Bahasa, 1(9), 21-28
14. Semantik, http://www.tutor.com.my/tutor/stpm/semantik/semantik.htm

You might also like