You are on page 1of 2

Refleksi

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya Bina Insan Guru,
(BIG) Fasa IV yang diadakan pada 23 September 2013 berjaya dilaksanakan. BIG
pada semester ini berkisarkan lawatan penanda aras ke Sekolah Kebangsaan
Sultan Sulaiman I (SKSS I). Sekolah ini telah mendapat pengiktirafan sebagai
Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun 2012.
Ribuan terima kasih diucapkan kepada En. Mohd Fadzil B. Baharudin selaku
Tutor Unit Sains 2 atas bimbingan dan galakan semangat yang diberikan kepada
kami sebagai bakal guru yang akan menggalas tanggungjawab besar di sekolah
nanti. Sekalung penghargaan dan ucapan tahniah ditujukan kepada ahli
jawatankuasa yang bergembleng tenaga dalam menjayakan program BIG ini. Jutaan
terima kasih kepada Guru Besar dan Penolong Kanan Pentadbiran serta warga
Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman I atas kesudian menerima kunjungan kami ke
sana.
Ketibaan kami di SKSS I disambut mesra oleh pihak sekolah. Sepanjang sesi
lawatan, kami diperkenalkan serba sedikit mengenai sejarah penubuhan SKSS I.
Sekolah ini ditubuhkan pada tahun 1920 dengan nama Kelas Bahasa Inggeris. Pada
tahun 1938, sekolah tersebut diberi nama sebagai Sultan Sulaiman English School.
SKSS I telah menempa nama sebagai salah sebuah sekolah rendah yang tersohor
di Malaysia. Jadi, tidak hairanlah jika nama-nama besar seperti Al-Wathiqu Billah,
Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah
yang merupakan Sultan Terengganu ke-16 selain Heliza Helmi, seorang penyanyi
dan pelakon tanah air pernah belajar di sana.
Selain itu, kami juga dimaklumkan secara ringkas tentang pencapaian
akademik dan sukan sekolah. Menurut Penolong Kanan Pentadbiran I, Pn. Nor
Asikin Bt. Abdullah, antara kejayaan cemerlang SKSS I dalam bidang sukan ialah
apabila muncul juara keseluruhan pada Kejohanan Taekwondo Jemputan Sekolah-
Sekolah Malaysia yang berlangsung pada 25 Julai 2012 yang lepas. SKSS I berjaya
meraih 10 pingat emas, 2 perak dan 10 gangsa dalam dua kategori yang
dipertandingkan. Hal ini melayakkan SKSS I mewakili Malaysia dalam Kejohanan
Taekwondo Peringkat Antarabangsa.
Dari segi pencapaian akademik, SKSS I menunjukkan peningkatan dalam
keputusan UPSR dari tahun ke tahun sehingga layak dinobatkan sebagai Sekolah
Berprestasi Tinggi sehingga kini. Sepanjang perkongsian, maklumat yang paling
menarik minat saya untuk mendengarnya ialah berkaitan Sekolah Berprestasi
Tinggi. Dahulu, saya faham Sekolah Berprestasi Tinggi adalah sama seperti Sekolah
Berasrama Penuh. Melalui dapatan yang diperoleh, Sekolah Berprestasi Tinggi ialah
sekolah yang mempunyai etos, watak, identiti tersendiri dan unik serta menyerlah
dalam semua aspek pendidikan. Sekolah ini mempunyai tradisi budaya kerja yang
tinggi dan cemerlang serta mampu berdaya saing di persada antarabangsa. Hal ini
bertepatan dengan moto SKSS I iaitu Perkhidmatan Lebih Diutamakan Dari Diri
(Service Above Self).
Dalam sesi interaksi seterusnya, kami diperkenalkan dengan Pn. Masyitah Bt.
Yusuf yang merupakan satu-satunya guru cemerlang dalam bidang kaunseling yang
berada di sekolah tersebut. Saya amat kagum dengan ketokohan beliau sepanjang
berkhidmat sebagai kaunselor sekolah berdasarkan pengalaman yang diceritakan.
Beliau juga ada berpesan kepada kami bahawa jangan mengeluh dalam
melaksanakan tanggungjawab, sebaliknya buatlah yang terbaik dengan niat wang
ikhlas. Usaha gigih pasti beroleh ganjaran di sisi Allah.
Mengikuti Program BIG Fasa IV ini benar-benar memberikan suatu impak
positif kepada saya. Melaluinya, pengalaman dan pengetahuan sedia ada terhadap
dunia pendidikan dapat diperluaskan. Sebagai bakal guru, saya amat menghargai
peluang yang telah diberikan seperti ini. Sesungguhnya peneraju kecemerlangan
sesebuah sekolah terletak pada usaha dan kesepakatan para guru serta pihak
pentadbiran sekolah dalam melahirkan generasi anak muda yang terbilang.

You might also like