You are on page 1of 27

PENGGUNAAN KECERDASAN PELBAGAI DALAM PENGAJARAN DAN

PEMBELAJARAN IBADAH

NURSAFRA BINTI MOHD ZHAFFAR
Kolej Komuniti Jelebu, KPT
Emel: saff07@yahoo.com

WAN ALI AKBAR BIN WAN ABDULLAH
Sekolah Menengah Kebangsaan Undang Jelebu
Emel: wanaliakbar@yahoo.com

DR AB HALIM BIN TAMURI
Universiti Kebangsaan Malaysia

Abstrak
Teori Kecerdasan Pelbagai (Multiple Intelligence) menyatakan terdapat lapan jenis
kecerdasan utama yang berbeza-beza kekuatannya dalam diri setiap pelajar. Justeru, guru
perlu kreatif dalam merangsang kecerdasan pelbagai yang dimiliki pelajar-pelajar agar
mereka memperoleh pengalaman dan hasil pembelajaran semaksimum mungkin. Kajian
tindakan ini dijalankan ke atas 18 orang pelajar lelaki kursus Sijil Teknologi Elektrik (PW2)
semester satu Sesi Januari 2012 Kolej Komuniti Jelebu dalam silibus ibadah. Sebanyak tiga
gelung kajian dijalankan selama satu bulan untuk meningkatkan motivasi dan penguasaan
amali ibadah pelajar menggunakan pendekatan pengajaran berasaskan kecerdasan pelbagai
fokus kepada kecerdasan bahasa, kinestetik dan interpersonal. Kajian ini menggunakan
kaedah temu bual, tinjauan soal selidik dan markah penilaian amali pelajar bagi mengumpul
data tentang keberkesanan tindakan. Analisis dapatan menunjukkan pendekatan ini berjaya
meningkatkan motivasi dan pengusaan amali ibadah pelajar. Kajian ini diharapkan dapat
membantu menambahbaik amalan pengajaran guru agama untuk meningkatkan motivasi
pelajar mengikuti dan mengamalkan ibadah ke arah melahirkan generasi Rabbani yang
cemerlang.

Kata kunci: Teori Kecerdasan Pelbagai, Motivasi, Penguasaan Ibadah, Pengajaran dan
Pembelajaran Ibadah, Pengajaran Berpusatkan Pelajar

Tinjauan Literatur
Teori Kecerdasan Pelbagai merupakan satu pendekatan berpusatkan pelajar yang boleh
diintegrasikan dalam strategi pengajaran guru Pendidikan Islam bagi memenuhi kepelbagaian
pelajar dari sudut keupayaan kognitif dalam menerima rangsangan daripada persekitaran.
Amnya, institusi pengajian tinggi menumpukan kepada dua jenis kecerdasan sahaja;
kecerdasan verbal / bahasa dan logik / matematik. Namun, setiap pelajar mempunyai cara
berbeza bagi mendapatkan ilmu dan kemahiran. Barrington (2004) menyatakan Teori
Kecerdasan Pelbagai relevan kepada pengajaran peringkat pengajian tinggi sebagai respon
kepada kepelbagaian pelajar dari sudut bidang pengajian, jantina, bangsa, etnik, latar belakang
akademik dan asal-usul. Kajian (Barrington 2004) menunjukkan kesemua (n=21) pensyarah
daripada Institut Pendidikan Vokasional, Hong Kong bersetuju bahawa kualiti pembelajaran
boleh ditingkatkan sekiranya teori ini diaplikasikan dalam kelas.

Banyak kajian telah menunjukkan kesan positif daripada aplikasi Teori Kecerdasan Pelbagai
dalam proses pengajaran dan pembelajaran (Siti Nurul Mahfuzah & Mohd Azran 2010;
Douglas 2008; Mustafa & Mustafa Serdar 2007). Melalui kajian Siti Nurul Mahfuzah dan
Mohd Azran (2010) ke atas pelajar-pelajar Kolej Komuniti Masjid Tanah menunjukkan
terdapat peningkatan dalam penguasaan pembelajaran Teknologi Maklumat dalam ujian pos
selepas pengajaran menggunakan perisian interaktif berasaskan Kecerdasan Pelbagai. Pelajar-
pelajar didapati seronok belajar menggunakan perisian yang dibangunkan serta mampu
merangsang kemahiran dan ilmu pelajar berbanding pengajaran tradisional.

Pengaplikasian Teori Kecerdasan Pelbagai ke dalam pengajaran Ibadah diharap dapat
memberikan pembelajaran bermakna kepada pelajar di mana mereka dapat menggunakan
ilmu tersebut dalam kehidupan seharian mereka. Ianya juga merupakan strategi guru untuk
merubah pembelajaran pasif kebanyakan pelajar dalam kelas di Malaysia (Lob 2004) kepada
pembelajaran aktif.

Refleksi Masalah
Pelajar-pelajar Kolej Komuniti merupakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan
datang daripada pelbagai latar belakang keluarga, pendidikan, taraf ekonomi dan minat.
Seharusnya pensyarah menyampaikan pengajaran dengan mengambilkira aspek kepelbagaian
tersebut bagi mewujudkan pembelajaran bermakna (Barrington 2004). Ini kerana kelemahan
penyampaian pengajaran oleh pensyarah antara faktor pelajar ponteng kelas dalam kalangan
pelajar Kolej Komuniti (Zainab 2010).

Menurut Laporan Sesi Kaunseling Pelajar Kolej Komuniti Jelebu (2007-2010), Kementerian
Pengajian Tinggi Malaysia, 20% daripada pelajar-pelajarnya terlibat dengan kes ponteng
1

kelas pada tahun 2007. Gejala ponteng dalam kalangan pelajar Kolej Komuniti didapati
semakin berleluasa dan tidak terkecuali kelas Pendidikan Islam.

1
Ponteng di sini bermaksud tidak hadir ke kelas melebihi 20% jumlah kehadiran dan hadir ke kelas lewat tanpa
alasan yang munasabah.

Seterusnya, gejala ponteng kelas membawa kepada pencapaian yang tidak memuaskan.
Markah Amali Ibadah dalam mata pelajaran Pendidikan Islam di Kolej Komuniti mewakili
40% daripada keseluruhan markah. Oleh itu, kegagalan pelajar menghadirkan diri ke kelas
menyebabkan amali ibadah mereka tidak dicerap dan mempengaruhi sebahagian besar
markah Pendidikan Islam. Menurut statistik peratusan pencapaian pelajar kursus Pendidikan
Islam Kolej Komuniti Jelebu tiga semester kebelakangan, kebanyakan kelas menunjukkan
keputusan yang tidak homogenus dengan serakan markah pencapaian akhir pelajar terlalu
luas. Peratusan pelajar yang lulus cemerlang hampir sama dengan peratusan pelajar gagal
dalam peperiksaan akhir Pendidikan Islam. Selain itu, data menunjukkan peratusan pelajar
cemerlang daripada ketiga-tiga semester terlalu sedikit manakala, separuh daripada pelajar
mendapat keputusan sederhana dan lemah iaitu markah 60% ke bawah.

Selain isu ponteng dan pencapaian akademik, satu lagi isu penting dalam Pendidikan Islam
ialah berkaitan penguasaan pelajar dalam amali ibadah-ibadah khusus dan pengamalannya.
Seterusnya, menurut Laporan Amali Unit Pengajian Am Kolej Komuniti Jelebu untuk subjek
SPA 101 Pendidikan Islam (2009-2010), 10% pelajar tidak menguasai bacaan Tahiyat
Akhir, manakala sebahagian kecil sahaja iaitu 39% pelajar menguasai amali wuduk dengan
sempurna perkara rukun dan sunatnya. Di samping itu, terdapat juga kelemahan dalam
penguasaan bacaan-bacaan sunat seperti Doa Iftitah dan Doa Qunut. Kegagalan pelajar
menguasai perkara rukun dalam wuduk dan solat perlu dipandang serius walaupun
peratusannya kecil kerana pelajar-pelajar ini telah melalui pengalaman pembelajaran
Pendidikan Islam khususnya mempelajari tentang solat dan bersuci di sekolah rendah dan
sekolah menengah.

Seterusnya, menyentuh isu pengamalan solat dalam kehidupan harian pelajar-pelajar di Kolej
Komuniti Jelebu. Menurut Laporan Bengkel Smart Solat Kolej Komuniti Jelebu (2011), 100%
responden (n=31) yang terdiri daripada pelajar-pelajar semester akhir pengajian Sijil Sepenuh
Masa tidak menunaikan solat fardhu dengan lengkap 5 waktu sehari semalam. Antara alasan
tidak menunaikan solat fardhu ialah malas, pengaruh rakan dan tidak diberi dorongan.
Laporan ini menunjukkan pelajar tidak bermotivasi secara berterusan untuk menunaikan solat
wajib.

Fokus Kajian
Daripada kesemua isu di atas berkaitan ponteng, pencapaian keseluruhan kursus Pendidikan
Islam, penguasaan ibadah dan motivasi melaksanakannya di luar daripada kelas menunjukkan
satu tindakan perlu diambil bagi mengatasi masalah-masalah tersebut. Pengkaji berhasrat
melaksanakan kajian tindakan ke atas pelajar yang mengambil kursus Pendidikan Islam
dengan mengintegrasikan Teori Kecerdasan Pelbagai dalam pengajaran topik Ibadah kerana
secara teorinya, strategi kecerdasan pelbagai ini mampu meningkatkan motivasi, pencapaian
dan menghasilkan pengalaman pembelajaran yang sukar dilupakan (Armstrong 1994), di
samping tidak menyekat pelajar menguasai sesuatu kemahiran dan nilai (Ikhsan & Rohizani
2010). Kajian ini memfokuskan pengintegrasian tiga jenis kecerdasan pelbagai sahaja iaitu
kecerdasan bahasa, kinestetik dan interpersonal dalam pengajaran dan pembelajaran ibadah.

Objektif Kajian
Meningkatkan motivasi pelajar mengikuti kelas ibadah selepas menjalani pengajaran dan
pembelajaran Ibadah berasaskan kecerdasan pelbagai.
Meningkatkan motivasi pelajar mengamalkan ibadah dipelajari di luar kelas selepas
menjalani pengajaran dan pembelajaran Ibadah berasaskan kecerdasan pelbagai
Meningkatkan penguasaan hasil pembelajaran pelajar dalam amali Ibadah selepas
menjalani pengajaran dan pembelajaran Ibadah berasaskan kecerdasan pelbagai .

Metodologi
Rekabentuk Kajian
Kajian ini dijalankan secara kajian tindakan menggunakan Model Kajian Tindakan Somekh
(Somekh 2006) yang melibatkan lapan fasa iaitu mengenal pasti masalah atau fokus yang
diminati, mengumpul data, menganalisis data dan membentuk hipotesis, merancang pelan
tindakan, melaksanakan pelan tindakan, mengumpul data untuk mengesan perubahan,
menganalisis dan menilai dan putaran seterusnya.

Responden Kajian
Kajian ini dijalankan di Kolej Komuniti Jelebu melibatkan satu kelas Program Sijil Teknologi
Elektrik (Perkhidmatan dan Pemasangan) semester satu sesi Januari 2012 seramai 18 orang.
Kajian berlangsung dalam surau kolej dan perkarangannya.

Kaedah Pengumpulan Data
Instrumen yang digunakan untuk mengumpul data utama bagi mengesan keberkesanan
tindakan ialah temu bual refleksi pelajar. Data refleksi pelajar ini disokong oleh data-data
berikut:

Jadual 1: Data sokongan pelaksanaan pelan tindakan
Jenis Data Sokongan Sumber Kaedah Analisis
Soal selidik Motivasi
Belajar
Adaptasi daripada kajian Zuria et
al. (2002). Soal selidik diedarkan
Analisis deskriptif
menggunakan perisian SPSS
selepas setiap kali selesai sesi P&P 16.0 (skor min)
Markah Penilaian
Amali
Borang penilaian amali ibadah yang
ditanda untuk menilai penguasaan
ibadah
Analisis deskriptif
menggunakan peratusan.

Analisis Dapatan Kajian
Gelung pertama
Topik pengajaran dan pembelajaran (P&P) ibadah yang pertama ialah Konsep Bersuci (Rujuk
Lampiran A) dengan mengintegrasikan kecerdasan pelbagai dalam pendekatan, kaedah dan
teknik pengajaran.

Penilaian dan Refleksi
Hasil dapatan temu bual individu dan berkumpulan pelajar mendapati pelajar berasa seronok
dengan pengalaman mereka menjalani kaedah pembelajaran ibadah berbentuk amali
terutamanya amali wuduk menggunakan air yang terhad. Tema lain yang muncul daripada
temu bual ialah memperbaiki amalan semasa, keinginan mengamalkan ibadah dan cadangan
penambahbaikan.

Kenyataan peserta tentang penambahbaikan teknik amali, Part yang ustazah suruh dua
orang buat amali wuduk, dua orang buat amali tayamum, saya rasa perlu semua orang buat.
Biar semua orang faham. Setiap orang buat wuduk pastu semua orang buat tayamum.
(G1R1:9-12).

Data Deskriptif Motivasi Belajar
Secara keseluruhan, motivasi belajar berada pada tahap tinggi dengan skor min 6.3952.

Jadual 2: Analisis Nilai Min Motivasi Belajar Gelung 1
Aspek Nilai Min Tahap
Perasaan terhadap subjek yang diajar 6.33 Tinggi
Perasaan terhadap kelas berkaitan dengan subjek ini 6.44 Tinggi
Perasaan terhadap tugasan atau aktiviti bagi subjek ini 6.41 Tinggi

Penilaian Penguasaan Amali
Pada awal penilaian, terdapat enam orang peserta kajian yang tidak sah wuduknya iaitu lima
orang didapati tidak meratakan air mengenai keseluruhan muka dan tangannya apabila
berwuduk menggunakan botol mineral. Baki seorang peserta didapati salah turutan rukun
wuduknya dalam amali wuduk menggunakan air paip. Kesemua enam peserta ini diberi
peluang melakukan amali wuduk sekali lagi dengan memperbaiki kesalahan sebelum.
Hasilnya seperti dalam jadual di atas, 83% peserta dapat berwuduk dengan sah dan sempurna
dengan sebahagian peserta berwuduk menggunakan botol mineral 500ml dan sebahagian lagi
menggunakan paip. Manakala, 17% peserta didapati sah wuduknya namun kurang sempurna
iaitu meninggalkan mana-mana sunat berwuduk Tiada pelajar yang tidak sah wuduknya. Bagi
amali tayamum, 100% pelajar mampu bertayamum dengan sempurna. Skema pemarkahan
amali adalah seperti berikut:
Skor 0 Skor 1 Skor 2
Tidak sah Sah tetapi kurang sempurna Sah dan sempurna

Jadual 3: Skor Amali Ibadah Gelung 1
Amali Skor 2 Skor 1 Skor 0 Bilangan peserta
Wuduk menggunakan air terhad 9 (50%) 1 (6%) - 18
menggunakan air paip 6 (33%) 2 (11%) -
Tayamum 18 (100%) - - 18

Perubahan tindakan
Daripada hasil dapatan dalam gelung kajian pertama ini, pengkaji membuat perubahan dari
segi teknik pengajaran amali berdasarkan refleksi pelajar. Manakala, pendekatan pengajaran
ibadah berasaskan kecerdasan pelbagai dikekalkan (Rujuk Lampiran B).

Gelung Kedua
Sesi P&P kedua mengintrgrasikan kecerdasan pelbagai ini dijalankan ke atas topik Jenis-jenis
Najis dan Hadas serta Cara Menyucikannya.

Penilaian dan Refleksi
Temu bual individu pelajar yang sama sebelum ini dan temu bual berkumpulan mendapati
pelajar konsisten menyatakan keseronokan pembelajaran ibadah dengan teknik amali,
penggunaan bahan sebenar dalam amali dan aktiviti berkumpulan. Selain itu, pelajar juga
menyatakan pengalamannya mempelajari perkara baru dan keinginan mengamalkan ibadah.

Data Deskriptif Motivasi Belajar
Secara keseluruhan, motivasi belajar berada pada tahap tinggi dengan skor min 6.56.

Jadual 4: Analisis Nilai Min Motivasi Belajar Gelung 2
Aspek Nilai Min Tahap
Perasaan terhadap subjek yang diajar 6.57 Tinggi
Perasaan terhadap kelas berkaitan dengan subjek ini 6.58 Tinggi
Perasaan terhadap tugasan atau aktiviti bagi subjek ini 6.54 Tinggi


Penilaian Penguasaan Amali
Secara keseluruhannya, kesemua pelajar mampu menguasai kaedah menyucikan najis
mengikut jenisnya dengan betul dan menepati syariat. Kerjasama antara ahli kumpulan sangat
baik, terdapat seorang yang menerangkan kaedah menyucikannya sambil membantu ahli lain
menyucikan bahan yang terkena najis tersebut. Skema penilaian adalah seperti berikut:
0 Tidak Sah
2
Sah tetapi tidak sempurna proses penyucian (tertinggal mana-mana langkah proses penyucian dan
berlaku pembaziran air atau bahan)
4 Sah tetapi tidak sempurna proses penyucian (tertinggal mana-mana langkah proses penyucian)
6 Sah dan sempurna proses penyucian

Jadual 5: Skor Amali Ibadah Gelung 2
Amali Skor 6 Skor 4 Skor 2 Skor 0 Bilangan Peserta
Menyucikan najis mughallazah 5 - - -
18
Menyucikan najis mutawasitah 5 - - -
Menyucikan najis mukhaffafah 5 - - -
Menyamak kulit binatang 3 - - -

Perubahan Tindakan
Pengkaji mengekalkan pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran ibadah berasaskan
kecerdasan pelbagai seperti dalam gelung kedua kajian berikutan refleksi positif pelajar,
motivasi belajar dan penguasaan amali ibadah pelajar (Rujuk Lampiran C).

Gelung ketiga
Topik P&P yang ketiga ialah Amali Solat Jamak Qasar dan Solat ketika Sakit.

Penilaian dan Refleksi
Daripada hasil temu bual responden individu dan berkumpulan, pelajar memaparkan respon
yang konsisten daripada gelung pertama dan kedua kajian berkenaan pengalaman
pembelajaran. Pelajar juga mengaitkan ibadah dipelajari dengan kehidupan harian serta
menunjukkan kesedaran atas pengabaian ibadah wajib sebelum ini khususnya solat.

Data Deskriptif Motivasi Belajar
Secara keseluruhan, motivasi belajar berada pada tahap tinggi dengan skor min 6.67.

Jadual 6: Analisis Nilai Min Motivasi Belajar Gelung 3
Aspek Nilai Min Tahap
Perasaan terhadap subjek yang diajar 6.63 Tinggi
Perasaan terhadap kelas berkaitan dengan subjek ini 6.75 Tinggi
Perasaan terhadap tugasan atau aktiviti bagi subjek ini 6.63 Tinggi

Penilaian Penguasaan Amali
Secara keseluruhan, 100% pelajar yang dinilai mempamerkan penguasaan dalam kaedah
menyusun saf solat. Imam yang dilantik memantau susunan saf makmum sebelum solat.
Seterusnya, kesemua ahli dalam Kumpulan 1, 2 dan 3 melaksanakan solat jamak atau qasar
dan solat ketika sakit dengan sah dan sempurna berdasarkan soalan tugasan masing-masing.
Namun, Kumpulan 4 diberikan peluang kedua untuk menunaikan solat ketika duduk kerana
mereka tidak berdiri tegak semasa takbiratul ihram. Pada akhirnya, ahli kumpulan ini turut
berjaya melaksanakan tugasan dengan sah dan sempurna. Berikut adalah skema penilaian
amali ibadah kali ini yang terdiri daripada 3 bahagian penilaian;


Susunan saf
2 Saf yang tersusun dan betul kedudukannya
1 Saf yang tersusun tetapi tidak betul kedudukannya
0 Saf yang tidak tersusun dan tidak betul kedudukannya

Penilaian Solat Jamak Qasar dan Solat Ketika Sakit pula seperti di bawah:
4 2 0
Sah dan sempurna Sah tetapi kurang sempurna Tidak sah

Jadual 7: Skor Amali Ibadah Gelung 3
Amali Skor 4 Skor 2 Skor 0 Bilangan Peserta
Susunan saf 15 -
15 Solat Jamak/Qasar atau Jamak Qasar 15 - -
Solat ketika sakit 15 - -

Perbincangan dan Kesimpulan
Secara keseluruhannya, kajian ini berjaya meningkatkan motivasi pelajar yang hadir
mengikuti kelas ibadah daripada awal kelas sehingga ke akhirnya berdasarkan tema refleksi
pelajar yang konsisten iaitu pengalaman pembelajaran yang seronok dengan amali,
penggunaan bahan sebenar dan aktiviti berkumpulan. Dapatan ini selari dengan kajian
Douglas et al. (2008) dan Akkuzu dan Akcay (2011) di mana penggunaan kecerdasan
pelbagai dalam P&P mampu meningkatkan motivasi pelajar dan komitmen terhadap tugasan.
Selain itu, kajian ini juga berjaya meningkatkan motivasi pelajar mengamalkan ibadah
dipelajari dalam kehidupan harian berdasarkan tema refleksi yang diperolehi secara konsisten
iaitu keinginan mengamalkan ibadah. Al-Qardhawi (1998) pernah membincangkan supaya
guru-guru agama tidak hanya menumpukan pengajaran agama kepada aspek teoritikal yang
kaku sahaja, malah memfokuskan kepada aspek pengamalannya sebagai hamba Allah.
Pengkaji berpendapat kaedah pengajaran yang berkesan sangat penting supaya pelajar melihat
ibadah bukanlah sesuatu yang rumit, tetapi sebagai jalan melahirkan rasa kehambaan kepada
Allah. Peserta kajian menyatakan ibadah yang dipelajari kelihatan mudah untuk dilaksanakan
serta bermotivasi melakukannya di luar kelas. Hal ini menunjukkan pelaksanaan kajian
berjaya menyentuh aspek kognitif, afektif dan psikomotor pelajar.

Seterusnya, motivasi belajar peserta kajian kekal berada pada tahap tinggi sepanjang
pelaksanaan kajian. Daripada tiga aspek yang terdapat dalam borang soal selidik, min
perasaan terhadap kelas berkaitan subjek Pendidikan Islam lebih tinggi dalam ketiga-tiga
gelung kajian berbanding aspek perasaan terhadap subjek yang diajar dan aspek perasaan
terhadap tugasan atau aktiviti bagi subjek Pendidikan Islam. Sebagai pendidik, harapan
supaya dengan terbentuknya motivasi pelajar terhadap kelas ibadah akan menjadi pendorong
pelajar mengamalkan ibadah tersebut secara konsisten. Hal ini kerana pendidik hanya mampu
memastikan pelajar memahami, meminati dan menasihati pelajar supaya tidak mengabaikan
ibadah fardhu. Namun, hidayah Allah yang memastikan ketekalan pelajar mengamalkannya
secara konsisten (Surah Al-Qasas: 56).

Penggunaan kecerdasan pelbagai dalam kajian ini ternyata tidak menyekat perkembangan
kemahiran pelajar dalam menguasai ibadah-ibadah yang dipelajari selari dengan dapatan
kajian Ikhsan dan Rohizani (2010). Kajian Ikhsan dan Rohizani mendapati perkembangan
sikap saintifik pelajar seiring dengan pemerolehan ilmu yang dipelajari. Demikian juga
penguasaan ibadah pelajar dalam kajian ini yang semakin bertambah baik daripada gelung
pertama hingga gelung ketiga kajian.

Elemen kecerdasan interpersonal dalam kajian ini menggunakan aktiviti berkumpulan sebagai
asas setiap aktiviti P&P. Kumpulan dibentuk daripada hari pertama kelas dan dikekalkan
sehingga akhir semester. Kajian mendapati aktiviti berkumpulan sesuai dengan kebanyakan
peserta kajian malah mampu meningkatkan keyakinan diri mereka. Perbincangan
berkumpulan dilakukan setiap kali kelas dan setiap ahli saling membantu dalam penjanaan
maklumat tentang konsep sesuatu ibadah di peringkat awal kelas. Namun, terdapat juga
responden yang menyatakan aktiviti berkumpulan hanya sesuai ketika membincangkan teori
di awal kelas dan mencadangkan amali dilakukan secara individu. Ini disokong oleh Teori
Andragogi (Knowles 1984) yang menyatakan pelajar dewasa mementingkan proses
berbanding isi kandungan dan cenderung mendapatkan maklum balas daripada penilaian
aktiviti pembelajaran yang dibuat. Disebabkan peruntukan masa hanya dua jam seminggu,
pengkaji mengambilkira pendapat tersebut dengan mengekalkan amali berkumpulan, namun
penglibatan dan penguasaan amali dinilai secara individu.

Kajian ini memberikan implikasi kepada:
a) Amalan pengajaran pengkaji sendiri sebagai seorang pensyarah agama di kolej komuniti.
Kajian ini dapat menambah baik perancangan, pelaksanaan dan penilaian pengajaran
pengkaji di samping menghasilkan modul pengajaran ibadah berasaskan kecerdasan
pelbagai. Pengkaji boleh menggunakan modul dan pendekatan dalam kajian ini dalam
pengajaran sesi akan datang sekiranya konteks bersesuaian.
b) Para pelajar yang mengikuti kajian tindakan. Kajian ini dapat meningkatkan motivasi
mengikuti kelas ibadah dan motivasi mengamalkan ibadah dalam kehidupan. Selain itu,
pelajar-pelajar ini dapat menguasai kemahiran melaksanakan ibadah tanpa ada keciciran.
c) Pendidik yang mengajar Pendidikan Islam dapat menjadikan kajian ini sebagai panduan
dalam merancang dan melaksanakan P&P Ibadah kepada sasaran pelajar seperti di kolej
komuniti atau konteks yang bersesuaian. Guru atau pensyarah Pendidikan Islam
disarankan mempelbagaikan teknik pengajaran menggunakan kecerdasan pelbagai
mengikut kesesuaian topik dan pelajar.
d) Membuktikan Teori Kecerdasan Pelbagai boleh diserapkan dalam Pendidikan Islam
khususnya bidang ibadah mengikut kesesuaian topik pengajaran, sasaran pelajar dan
tempoh pengajaran. Aplikasi teori dalam kajian berupaya meningkatkan motivasi pelajar
dan penguasaan ibadah pelajar.
e) Modul dalam kajian ini boleh digunakan oleh guru Pendidikan Islam atau pensyarah
agama di kolej komuniti. Modul ini menekankan pembelajaran ibadah perlu kepada
aktiviti amali setiap individu pelajar kerana belajar ibadah tanpa amali bagi pelajar
berkecerdasan kinestetik seperti sasaran kajian menyebabkannya tidak kekal di ingatan
dan kurang difahami aplikasinya.

Berikut merupakan cadangan dikemukakan untuk kajian lanjutan ke arah memperbaiki mutu
pendidikan khususnya Pendidikan Islam. Cadangan tersebut ialah:
a) Menjalankan kajian penggunaan kecerdasan pelbagai ini dalam bidang lain dalam
Pendidikan Islam selain ibadah seperti akidah, akhlak, tasawwur Islam dan sebagainya.
Pengadaptasian teori pembelajaran Barat dalam kerangka Pendidikan Islam boleh dilihat
kesesuaiannya dengan melihat impak pelaksanaannya.
b) Sasaran kajian ini tertumpu kepada pelajar-pelajar Sijil Teknologi Elektrik di Kolej
Komuniti Jelebu sahaja. Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya kajian tindakan yang sama
boleh dijalankan di kolej-kolej lain atau institusi teknikal yang lain untuk melihat
kecenderungan corak pembelajaran pelajar jurusan teknikal dalam kelas agama yang
dapat meningkatkan motivasi.
c) Menjalankan kajian penggunaan kecerdasan pelbagai ini dalam reka bentuk eksperimen
supaya dapat membanding beza kesan kaedah pengajaran tradisional dengan kaedah
pengajaran berasaskan kecerdasan pelbagai.
d) Kajian lanjutan boleh digunakan dengan membangunkan modul pengajaran dan
pembelajaran menggunakan kesemua jenis kecerdasan pelbagai untuk melihat kesannya
kepada pelajar.

Hasil kajian ini diharapkan dapat membantu memperbaiki amalan pengajaran pengkaji dalam
menggalakkan minat pelajar terhadap kursus Pendidikan Islam khususnya kelas ibadah. Di
samping itu, kajian ini boleh memberikan idea atau contoh modul kepada pendidik agama
sebagai keperluan untuk kita mempelbagaikan kaedah pengajaran mengikut kesesuaian
pelajar dan kandungan pelajaran. Hal ini supaya pembelajaran berlaku dengan menyentuh
aspek kognitif, afektif dan psikomotor pelajar sehingga mampu melahirkan generasi Rabbani
yang cermerlang minda, akhlak dan peribadi.











Rujukan
Al-Quran al-Karim.
Akkuzu, N. & Akcay, H. 2011. The Design of a Learning Environment Based on the Theory
of Multiple Intelligence and the Study its Effectiveness on the Achievemnets, Attitudes
and Retention of Students. Procedia Computer Science. 3 (2011): 1003-1008.
Al-Qardhawi, Yusuf. 1998. Ibadah dalam Islam. Penterjemah: H. Umar Fanani. Surabaya:
PT, Bina Ilmu.
Armstrong, T. 1994. Multiple Intelligences in the Classroom. Alexandria: Association for
Supervision and Curriculum Development.
Barrington, E. 2004. Teaching to student diversity in higher education: how Multiple
Intelligence Theory can help. Teaching in Higher Education. 9 (4): 421- 434.
Douglas, O., Burton, K.S., Durham, N.R. 2008. The Effects of the Multiple Intelligence
Teaching Strategy on the Academic Achievement of Eighth Grade Math Students.
Journal of Instructional Psychology. 35 (2):182-187.
Ikhsan Othman & Rohizani Yaakub. 2010. Aplikasi Teori Kecerdasan Pelbagai dalam
Pelaksanaan Kurikulum. Asia Pacific Journal of Educators and Education. 25: 21-32.
Knowles, M. 1984. The Adult Learner: A Neglected Species (3rd Ed.). Houston, TX: Gulf
Publishing.
Laporan Unit Pengajian Am Kolej Komuniti Jelebu 2010. 2010. Jelebu: Kolej Komuniti
Jelebu.
Laporan Bengkel Smart Solat Kolej Komuniti Jelebu. 2011. Jelebu: Kolej Komuniti Jelebu.
Laporan Sesi Kaunseling Pelajar Kolej Komuniti Jelebu 2007-2009. 2009. Jelebu: Kolej
Komuniti Jelebu
Lob, Sau Cheong. 2004. Transfer of Learning among Malaysian Learners. Masalah
Pendidikan. 27: 99-108.
Mustafa Serdar & Mustafa. 2007. The Effect of Multiple Intelligences Theory-based
Instruction on Attitudes Towards the Course, Academic Success and Permanence of
Teaching on the Topic of Respiratory Systems. Educational Sciences: Theory &
Practice. 7 (11): 231-239.
Siti Nurul Mahfuzah. 2010. Learning Tool for Malaysian Community College Based on
Multiple Intelligence. Prosiding Seminar Penyelidikan Kolej Komuniti Negeri Melaka
2010: 1-9.
Somekh, B. 2006. Action Research: a Methodology for Change and Development.
Maidenhead: Open University Press.
Zainab Othman. 2010. Gejala Ponteng di Kalangan Pelajar Kolej Komuniti, Kementerian
Pengajian Tinggi. Prosiding Seminar Kebangsaan Hal Ehwal Pelajar Kolej Komuniti
2010.: 14-19.
Zuria, Mohammad & Thantawi Jauhari. 2002. Persepsi Pelajar ke Atas Amalan Kod Etika
Professional Pensyarah dan Kesannya Ke Atas Motivasi Belajar Pelajar. Prosiding
Seminar Kebangsaan Profesional Perguruan. 401-415.










LAMPIRAN
Lampiran A: Rancangan Pengajaran Harian 1
_____________________________________________________________________
Kursus: Pendidikan Islam Kursus: JLE 1
Unit: Ibadah-ibadah Khusus Kedatangan: /18
Topik: Konsep Taharah (Bersuci) Tajuk: Wuduk dan Tayamum
Masa Pertemuan: 8.15 pagi 10.15 pagi Tarikh:
________________________________________________________________________
Objektif P&P:
Pada akhir P & P pelajar dapat:
Pelajar mengetahui konsep dan kepentingan taharah dalam kehidupan.
Pelajar dapat membezakan perkara rukun dan sunat dalam berwuduk
Pelajar dapat berwuduk dengan sempurna
Pelajar dapat bertayamum dengan sempurna
________________________________________________________________________
Bahan Bantu Mengajar:
Borang Penilaian Amali (Lampiran 1.1), Lembaran Latihan Wuduk (Lampiran 1.2), debu tanah, botol
air mineral 500ml.

Pengetahuan Sedia Ada Pelajar:
Pelajar telah melalui pengalaman pembelajaran Pendidikan Islam di sekolah menengah merangkumi
topik wuduk dan tayamum.

Langkah &
Masa
Kaedah, Teknik dan Aktiviti Pengajaran Jenis
Kecerdasan
Set Induksi
5 minit
1. Pelajar membaca doa diketuai oleh seseorang (mengikut
giliran).

Kecerdasan
2. Guru menunjukkan air daripada botol mineral sambil bertanya
apakah yang boleh dibuat dengan air ini selain diminum?
3. Pelajar meneka air tersebut boleh dibuat berwuduk.
4. Guru mengaitkan jawapan tersebut dengan tajuk
pembelajaran.
5. Guru menerangkan objektif pembelajaran.
Bahasa
Isi Satu
Pembahagian
Taharah dan
Kepentingannya
30 minit
SuSumbangsaran berkumpulan
Pelajar dikumpulkan mengikut kumpulan dan diberi soalan:
Mengapakah Islam mementingkan soal kebersihan dan dan
kesucian setiap masa?
K1: Sudut Ibadah
K2: Sudut Kesihatan
K3: Sudut Hubungan Sosial
K4: Sudut Alam Sekitar

Wakil kumpulan membentangkan hasil perbincangan. Guru
mengaitkan dengan pembahagian taharah; suci dalaman dan suci
luaran.

Kecerdasan
Bahasa,
Kinestetik
Isi Dua
Wuduk
50 minit
Amali wuduk
Pelajar diberi Borang Penilaian Wuduk. Secara berpasangan,
pelajar diminta berwuduk sambil diperhatikan pasangan dan
guru. Penilaian dilakukan.

Arahan amali terbahagi kepada 2:
1.Sebahagian pelajar golongan awal diminta berwuduk
menggunakan air paip sempurna segala rukun dan sunat.
2. Sebahagian lain diminta berwuduk menggunakan sebotol air
Kecerdasan
Kinestetik,
Interpersonal
mineral dengan menyempurnakan perkara rukun sahaja.


Pelajar yang menungu giliran diminta menjawab latihan wuduk.
Setelah selesai amali wuduk, pelajar diminta mereflek kesalahan
yang biasa dilakukan ketika berwuduk.

Guru mengaitkan dengan dalil bersuci, dan kelebihan berwuduk.
Kecerdasan
bahasa,
interpersonal,
intrapersonal
Isi Tiga
Tayamum
30 minit
Guru bersoal jawab tentang keharusan tayammum.

Amali Tayammum
1. Setiap kumpulan telah diminta membawa debu tanah masing-
masing.
2. Seorang pelajar dipanggil sebagai model tayammum. Pelajar
lain memberi pandangan sama ada betul atau salah amali
tayamum model tersebut.
3. Pelajar melakukan amali tayammum dalam kumpulan dengan
pemerhatian guru. Penilaian dilakukan.
Kecerdasan
Interpersonal,
Kinestetik







Penutup
5 minit
Pelajar diminta memberi satu isi pelajaran baru yang dapat
dipelajari pada sesi itu. Guru membuat kesimpulan bahawa
Islam amat menitik beratkan kebersihan dan kesucian setiap
masa khususnya dalam beribadat.








Lampiran B: Rancangan Pengajaran Harian 2
________________________________________________________________________
Kursus: Pendidikan Islam Kursus: JLE 1
Unit: Ibadah-ibadah Khusus Kedatangan: /18
Tajuk: Jenis-jenis Najis dan Hadas serta Cara Menyucikannya
Masa Pertemuan: 8.15 pagi 10.15 pagi Tarikh:
________________________________________________________________________
Objektif P&P:
Pada akhir P & P pelajar dapat:
Menyatakan jenis-jenis najis dan menerangkan cara menyucikannya.
Menyatakan jenis-jenis hadas dan menerangkan cara menyucikannya.
Menyatakan cara menyamak kulit binatang.
________________________________________________________________________
Bahan Bantu Mengajar:
Carta Jenis-jenis Najis dan Hadas serta Cara Menyucikannya, Kain Pelekat, Gayung, Tuala Kecil
(menggantikan kulit lembu), Tawas, Artikel tentang najis dan hadas.
________________________________________________________________________
Pengetahuan Sedia Ada Pelajar:
Pelajar telah menguasai amali wuduk dan tayamum dalam topik sebelum ini.

Langkah &
Masa
Kaedah, Teknik dan Aktiviti Pengajaran Jenis
Kecerdasan
Set Induksi
5 minit

1. Pelajar duduk dalam separa bulatan besar.
2. Kelas dimulakan dengan bacaan doa.
3. Guru menegur terdapat bau najis kucing dalam surau.
4. Pelajar tercari-cari najis tersebut dan guru mengaitkan najis
tersebut dengan tajuk pembelajaran.

Kecerdasan
Kinestetik,
Bahasa

Isi Satu
Pembahagian
najis, hadas dan
cara
penyuciannya.
25 minit
Perbincangan Berkumpulan
1. Setiap pelajar dibekalkan dengan lembaran artikel tentang najis dan
hadas.
2.
3. Hasil perbincangan berkumpulan berpandukan artikel, pelajar
mengisi lembaran carta berkenaan pembahagian najis, hadas dan
cara penyuciannya.
4.
5. Guru membincangkan jawapan setiap kumpulan dalam kelas dan
menerangkan secara keseluruhan konsep najis dan hadas.
Kecerdasan
Kinestetik,
Bahasa.
Isi Dua
Simulasi Mandi
Wajib
15 minit
Demonstrasi
Seorang model daripada pelajar dipanggil ke hadapan untuk
menunjukkan simulasi cara mandi wajib yang sempurna. Pelajar
lain mengulas langkah-langkah mandi wajib model tersebut sama
ada tepat atau tidak.
Kecerdasan
Kinestetik
Isi Tiga
60 minit
Amali Menyucikan Najis
1.Pelajar dikelompokkan dalam 4 kumpulan untuk menjalani amali
menyucikan najis di perkarangan surau.
K1: Mencuci Najis Mukhaffafah
K2: Mencuci Najis Mutawasitah
K3: Mencuci Najis Mughallazah
K4: Menyamak Kulit Binatang

2.Setiap kumpula mengambil bahan dan peralatan yang berkaitan
dengan soalan tugasan amali.

Kecerdasan
Kinestetik,
Interpersonal
3.Pelajar berbincang ringkas dalam kumpulan.

4. Setiap kumpulan melakukan amali sambil diperhatikan oleh
kumpulan lain.

5.Sekiranya ada pelajar yang tidak boleh melakukan amali, peluang
kedua diberikan dengan bantuan ahli kumpulan.
10 minit

Refleksi Aktiviti Amali
Setelah selesai amali menyucikan najis, pelajar diminta mereflek
aktiviti amali tersebut: Apa perkara baru yang dapat kamu pelajari
dalam amali ini? Apa kesalahan kerap dilakukan dalam
menyucikan najis atau hadas?
Kecerdasan
bahasa,
intrapersonal
Rumusan
5 minit
Guru merumuskan isi pengajaran dan pembelajaran dan mengaitkan
dengan kepentingan kebersihan dalam Islam.
Kecerdasan
Bahasa












Lampiran C: Rancangan Pengajaran Harian 3
________________________________________________________________________
Subjek: Pendidikan Islam Kursus: JLE 1
Unit: Ibadah-ibadah Khusus Kedatangan: /18
Tajuk: Amali Solat Jamak Qasar dan Solat Ketika Sakit
Masa Pertemuan: 8.15 pagi 10.15 pagi Tarikh:
________________________________________________________________________
Objektif P&P:
Pada akhir P & P pelajar dapat:
Mempraktikkan amali solat jamak dan qasar dengan betul.
Mengetahui cara-cara bersolat ketika sakit.
________________________________________________________________________
Bahan Bantu Mengajar:
Gambar, Artikel mengandungi gambar kaedah solat ketika sakit, Soalan tugasan, Kerusi, Bantal
________________________________________________________________________
Pengetahuan Sedia Ada Pelajar:
Pelajar mengetahui cara bersuci sebelum solat, pelajar pernah belajar tentang solat fardhu di peringkat
sekolah rendah dan menengah.

Langkah &
Masa
Aktiviti Jenis
Kecerdasan
Set Induksi
5 minit
1. Pelajar duduk dalam separa bulatan besar.
2. Kelas dimulakan dengan bacaan doa.
3. Guru menayangkan dua keping gambar tentang lelaki muda bertongkat
sedang menuruni tangga dan gambar lelaki berkerusi roda sedang solat
berjemaah.
4. Pelajar meneka isi pembelajaran tentang solat ketika sakit.

Kecerdasan
Visual,
Kecerdasan
Bahasa
Isi Satu
Kepentingan
Solat
20 minit
1. Setiap kumpulan diagihkan artikel yang berbeza tentang kepentingan
dan faedah/hikmah solat dari pelbagai sudut.
2. Pelajar dikehendaki berbincang, memahami dan mengeluarkan isi
penting untuk dibentangkan. Guru akan masuk ke dalam perbincangan
kumpulan mengikut giliran untuk merangsang idea dengan soalan
terarah.
3. Setiap kumpulan membentang faedah solat.
4. Guru merumuskan kepentingan dan faedah solat dari sudut spiritual,
fizikal dan emosi didasari oleh dalil Al-Quran, Hadis dan kajian
saintifik.

Kecerdasan
Bahasa,

Kecerdasan
Interpersonal
Isi Dua
Solat Ketika
Sakit
60 minit
Amali Solat Jamak Qasar dan Solat Ketika Sakit
1. Setiap kumpulan diberi nota bergambar dan tugasan yang berbeza
tentang pelaksanaan solat ketika sakit dan solat jamak qasar.
2. Pelajar diberi peluang berbincang dalam kumpulan dan membuat
persediaan amali.
3. Pelajar mempersembahkan tugasan masing-masing di hadapan kelas
sambil dinilai oleh guru.
4. Pelajar yang silap melakukan amali ditegur dan diberi peluang kedua
sambil dibantu oleh ahli kumpulan.
Kecerdasan
Kinestetik,
Interpersonal
Isi Tiga
Bacaan
dalam Solat
30 minit

1. Guru memilih wakil seorang pelajar memperdengarkan bacaan solat
dan melantik yang fasih bacaannya sebagai ketua.
2. Ketua mendengar bacaan rakan sekumpulan dan membantu
memperbaikinya.
3. Tasmi disambung selepas kelas sekiranya tidak habis.
Kecerdasan
Bahasa
Rumusan
5 minit
Guru merumuskan isi pembelajaran dan menekankan kepentingan solat
sebagai hak Allah yang perlu dipenuhi.


Lampiran D: Soal Selidik Motivasi Belajar
Berikut merupakan soal selidik bagi mendapatkan maklumat motivasi belajar responden.
Anda diminta membulatkan skala bipolar bagi menunjukkan sokongan anda terhadap setiap
kenyataan di bawah.

A. Perasaan anda terhadap subjek yang diajar adalah
1 Tidak Bermotivasi 1 2 3 4 5 6 7 Sangat Bermotivasi
2 Bosan 1 2 3 4 5 6 7 Sangat Menarik
3 Tidak Berminat 1 2 3 4 5 6 7 Sangat Berminat
4 Tiada Perasaan 1 2 3 4 5 6 7 Sangat Menjiwai
5 Berat Hati 1 2 3 4 5 6 7 Sangat Ternanti-nanti

B. Perasaan anda terhadap kelas berkaitan dengan subjek ini adalah
1 Tidak Bermotivasi 1 2 3 4 5 6 7 Sangat Bermotivasi
2 Bosan 1 2 3 4 5 6 7 Sangat Menarik
3 Tidak Berminat 1 2 3 4 5 6 7 Sangat Berminat
4 Tiada Perasaan 1 2 3 4 5 6 7 Sangat Menjiwai
5 Berat Hati 1 2 3 4 5 6 7 Sangat Ternanti-nanti

C. Perasaan anda terhadap tugasan atau aktiviti bagi subjek ini adalah
1 Tidak Bermotivasi 1 2 3 4 5 6 7 Sangat Bermotivasi
2 Bosan 1 2 3 4 5 6 7 Sangat Menarik
3 Tidak Berminat 1 2 3 4 5 6 7 Sangat Berminat
4 Tiada Perasaan 1 2 3 4 5 6 7 Sangat Menjiwai
5 Berat Hati 1 2 3 4 5 6 7 Sangat Ternanti-nanti

You might also like