You are on page 1of 2

LEGENDA BUAYA BUJANG SENANG

Jika disebut Buaya Bujang Senang sudah semestinya seseorang itu akan
menggambarkan seekor buaya yang bersaiz besar dan juga terkenal dengan
serangannya keatas manusia lebih-lebih lagi di sepanjang Sungai Batang Lupar, Sri
Aman, Sarawak. Namun begitu berapa ramaikah yang mengetahui bahawa ada cerita
mitos mengenai apa itu buaya keramat bernama bujang senang mengikut cerita-ceriti
masyarakat setempat yang mendiami sekitar persisiran Sungai Batang Lupar. Mungkin
cerita legenda buaya bujang senang ini adalah cerita sebenar yang kemudian ditokok
tambah bagi mengindahkan penceritaan hanya Yang Maha Esa sahaja mengetahui
halnya.

Diriwayatkan melalui cerita lisan orang tua-tua di dalam masyarakat Iban yang
mendiami kawasan sekitar Sungai Skrang Sarawak, beratus-ratus tahun dahulu ketika
adat ngayau atau adat memburu kepala masih lagi diamalkan di dalam masyarakat
pribumi telah gah seorang pahlawan Iban yang bernama Lungu. Pahlawan Lungu ini
diceritakan sebagai seorang pahlawan yang hebat terutama sekali sewaktu beliau
menyertai ekspedisi mengayau kerana menyebut namanya sahaja musuh sudah gerun,
Dikatakan bahawa Lungu telah banyak membunuh dan juga memotong kepala
musuhnya dan kehebatannya bukan sahaja di kawasan sekitar Sungai Skrang namun
sehingga ke Batang Lupar. Diceritakan juga bahawa Lungu ini kebal iaitu tidak lut
senjata dan kerana itulah beliau di dalam setiap peperangan dengan mudah membunuh
musuhnya dan tiada tercalitpun kesan kecederaan pada dirinya. Perkara akan hal
kebalnya pahlawan Lungu ini telah menyebabkan musuh-musuhnya bertekad untuk
mencari kelemahannya agar mudah mereka membunuh pahlawan Lungu ini kelak.

Pada satu ketika, maka bertekadlah musuh-musuh Lungu untuk menculik isteri
kesayangan Lungu dan diharap dengan menculik isterinya maka dapatlah mereka
mengetahui kelemahan pahlawan Lungu. Isteri kesayangan Lungu telah diculik dan
disembunyikan di suatu kawasan tidak jauh daripada Sungai Batang Lupar. Apabila
mengetahui bahawa isterinya telah diculik maka marahlah Lungu dan beliau dengan
seorang diri telah mengejar penculik-penculik isterinya sehingga ke Sungai Batang
Lupar. Seketika di dalam penculikan itu, isteri Lungu telah diseksa oleh musuh-musuh
Lungu demi mendapatkan rahsia kekebalan Lungu. Dek kerana tidak tertahan kepada
keseksaan tersebut, isteri Lungu telah secara tidak sengaja membuka rahsia
bagaimana untuk menewaskan Lungu. Setelah mengetahui rahsia kelemahan Lungu,
musuh-musuh Lungu dikatakan telah melepaskan isteri Lungu namun apabila isteri
Lungu terlerai dari ikatan tali pada tangannya, dimasa beliau berlari maka pihak musuh
Lungu telah membaling tombak ke arah badan isteri Lungu maka matilah isterinya yang
tidak berdosa itu.

Lungu yang melihat pembunuhan isterinya itu telah naik berang lalu bertarung dengan
musuh-musuhnya. Namun sayangnya tanpa Lungu sedari bahawa rahsia kekebalannya
telah bocor di tangan musuh-musuhnya. Musuh-musuh Lungu dengan sengaja
mengajak Lungu untuk bertarung dekat dengan air sungai kerana dikatakan kekebalan
Lungu tidak menjadi sekiranya dia memijak air sungai ataupun bertarung di dalam
sungai. Lungu yang sudah marah dan hanya ingin menuntut bela atas kematian
isterinya yang dicintai sudah tidak mengindahkan pantangnya lagi dan terus bertarung.
Akhirnya musuh-musuh Lungu berjaya membaling tombak dan kemudiannya Lungu
tewas, Tidak cukup dengan kematian Lungu yang luka parah akibat ditombak, jasad
Lungu juga disula terbalik dan mayat Lungu dan isterinya dibiarkan di tepi Sungai
Batang Lupar agar ianya tenggelam dan dibawa oleh arus sungai yang deras apabila
air pasang kelak.

Diriwayatkan bahawa mayat kedua-dua pasangan suami isteri iaitu Lungu dan isterinya
setelah air pasang telah bertukar menjadi 2 ekor buaya besar. Salah seekor buaya
besar ini mempunyai tanda belang putih dibelakangnya dan inilah yang dikenali sebagai
Bujang Senang. Mengikut cerita orangtua, buaya Bujang Senang ini telah bersumpah
akan menuntut bela atas kematian mereka dengan akan menjadikan setiap generasi
yang berkaitan dengan musuh-musuh yang telah membunuh mereka sebagai korban.
Sehingga sekarang masyarakat setempat di sekitar Sungai Batang Lupar masih lagi
mempercayai bahawa buaya Bujang Senang itu tidak mati kerana dia adalah buaya
keramat penghuni Sungai Batang Lupar.

Inilah sekelumit cerita legenda buaya Bujang Senang yang amat terkenal di Sarawak.
Ramai manusia yang telah menjadi mangsanya dan kita masih lagi tidak mengetahui
samada benar atau tidak bahawa Bujang Senang telahpun terkorban seperti yang
diwar-warkan pada tahun 1992. Sama-samalah kita berdoa agar semua mangsa-
mangsa korban buaya Bujang Senang yang lepas-lepas tenang disisi Tuhan Yang
Maha Esa. Amin

You might also like