You are on page 1of 6

DOKTRIN HAKIKAT MUHAMMAD

Menurut Sufisma Syeikh Muhyiddin Ibnul Arabi, ada satu doktrin yang bergelar
Doktrin Hakikat Muhammad. Banyak orang-orang Sufi mempercayai doktrin ini.
Mereka mendasarkan doktrin ini atas satu Hadis yang bermaksud :

"Aku adalah Nabi tatkala Adam masih lagi antara tanah liat dan air."

Hakikat Muhammad, sekiranya dikira sebagai sumber semua ilmu batin, digelar
oleh orang-orang Sufi sebagai "Misykat khatamul-rasul" (obor penutup segala
Rasul). Ianya berada dalam batin yang paling dalam (sirr) di hati setiap
Sufi. Mereka juga mendasarkan pendapat mereka itu pada ayat Al-Qur'an yang
bermaksud :

"Ku tiupkan kepadanya (Adam) roh-Ku."

[Syaad : 72]

"Maka bila Aku telah menyempurnakan kejadiannya dan telah meniupkan ke


dalamnya roh-Ku, maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud."

[Al-Hijr : 29]

Ibnul Arabi menamakan Hakikat Muhammad itu dengan berbagai-bagai nama iaitu
menurut segi mana memandangnya.

Sebahagian daripada nama-nama itu ialah :-

1. Al-haqiqatul Muhammadiyyah (Hakikat Muhammad)


2. Haqiqatul Haqaiq (Hakikat bagi segala hakikat)
3. Roh Muhammad
4. Al-'Aqlul Awwal (Akal Pertama)
5. Al-'Arasy
6. Al-Ruhul A'zam (Roh Yang paling Agung)
7. Al-Qalamul-A'la (Pena Yang Maha Tinggi)
8. Al-Khalifah
9. Al-Insanul-Kamil (Manusia Sempurna)
10. Aslul 'Alam (Asal Alam)
11. Adam al-Haqiqi (Adam Hakiki)
12. Al-Barzakh (Pengantara)
13. Falakuk-Hayah (Falak Hayat)
14. Al-Haqqul makhluqu bihi (Hakikat yang menjadi alat penciptaan)
15. Al-Hayula (Prime Matter)
16. Al-Ruh
17. Al-Qutub
18. Abdul Jami' (Hamba kepada Yang Meliputi Segalanya)

Dan banyak lagi nama-nama yang lain menurut dari segi fungsi dan aspek
maksudnya.

Hakikat ini menurut Ibnul Arabi adalah Prinsip Rasional (ilmu atau akal
terpendam) yang ada dalam alam semesta raya ini. Dari segi mistik,
digelarnya Hakikat itu sebagai Hakikat Muhammad, Insan Kamil, Qutub dan
sebgainya, kerana hakikat itu adalah prinsip aktif dalam semua ilmu
Ketuhanan dan kebatinan. Dikaitkan dengan manusia, Ibnul Arabi menyamakan
Hakikat itu dengan Adam dan Hakikat Manusia. Dikaitkan dengan alam semesta
raya ini, ia menamakan Hakikat itu sebagai Haqiqatul-Haqaiq (Hakikat bagi
segala hakikat). Sebagai tempat daftaran atau rakaman seluruh maujud ini,
maka dikatakannya al-Kitab dan Al-Qalamul-A'la (Pena yang Maha Tinggi).
Sebagai zat atau sumber segala sesuatu, maka digelar Hayula dan al'-Maddatul
Ula' (Benda Pertama).

(a) Hakikat Muhammad Sebagai Hakikat Bagi Segala Hakikat

Kata Ibnul Arabi, ada tiga kategori Wujud secara metafizika :

(a) Wujud yang berdiri sendirinya dan asal atau sumber segala maujud.

(b) Mumkinul-wujud, itulah wujud yang terdiri melalui atau bersangkut dengan
Wujud Mutlak. Inilah alam.

(c) Wujud yang bukan ada dan bukan tidak ada, yang tidak kekal dan tidak
sementara. Ianya kekal bersama dengan yang kekal dan sementara bersama
dengan yang sementara. Itulah dia Hakikat bagi segala hakikat. Akal Awal dan
sebagainya.

Ia meliputi semua idea dan semua maujud. Ia bukan keseluruhan dan bukan
bahagian-bahagian, tidak boleh bertambah dan tidak boleh berkurang. Sukar
hendak mentakrifkannya. Ia berbilang-bilang dengan berbilang-bilangnya
segala yang maujud ini tetapi tidak terbahagi-bahagi, kecuali dalam fikiran.
Bolehlah dikatakan wujud ini sebagai Tuhan atau alam dan boleh juga
dikatakan bukan Tuhan dan bukan alam.
Dari wujud kategori (c) inilah keluarnya alam semesta raya sebagaimana "yang
sebahagian-bahagian" keluar dari "keseluruhan". Ianya mengandungi
hakikat-hakikat atau idea-idea pelbagai objek, namun ia tetapi sama dan satu
jua. Ia terletak di nisbah yang paling hampir kepada ilmu Allah. Ianya
diketahui oleh Allah melalui ianya sendiri. Itulah kesedaran (consciousness)
Allah. Ianya bukan ilmu Allah itu sendiri tetapi adalah isi atau kandungan
ilmu itu. Di situlah 'alim (yang mengetahui), ilmu (pengetahuan) dan ma'lum
(yang diketahui) bersatu dan berpadu. Melaluinyalah alam ini dizahirkan.
Hakikat ini berada di sebalik penzahiran alam semesta raya ini. Hakikat bagi
segala hakikat ini terzahir dalam alam ini dan alam ini membayangkan wujud
positif Hakikat itu. Hakikat itu sempurna dan alam yang menzahirkan
kesempurnaannya itu adalah juga sempurna. Kesedaran ini mencapai kemuncaknya
dalam diri Insan Kamil. Merekalah yang mengenal Allah dengan sempurnanya.

Untuk penjelasan ringkas tentang theori "Hakikat bagi segala hakikat"


menurut Ibnul Arabi dan tempatnya dalam doktrin metafizikanya, maka bolehlah
kita ringkaskan demikian, Zat atau Diri Ketuhanan itu mempunyai akal yang
dinamakan Akal Semesta atau Ilmu Semesta. Akal atau Ilmu Semesta ini ada isi
atau kandungan (yang diketahui). Inilah Hakikat bagi segala hakikat
(Haqiqatul-Haqaiq). Inilah peringkat Kesedaran Diri Yang Esa itu. Manusia
adalah tumpuan (fokus) Kesedaran dalam fikiran (mind) Tuhan. Hakikat bagi
segala hakikat ini mempunyai banyak aspek sebagaimana banyaknya maujud dalam
alam raya ini. Zat Ketuhanan hanya ada satu aspek bagi semua maujud dalam
alam ini. Kesimpulannya, Hakikat bagi segala hakikat itu adalah isi atau
kandungan ilmu Allah itu.

(b) Hakikat Muhammad Dari Aspek Mistik

Hakikat Muhammad itu adalah Ketua Agung dalam susunan peringkat (hirarki)
kaum Sufi. Dialah penghulu agung. Dari situlah mereka dapat ilmu-ilmu
ketuhanan dan kebatinan. Dialah Guru Agung. Dialah ibarat cahaya Ketuhanan
yang menyinari hati orang Sufi. Dialah Cahaya. Dialah pelita hati. Yang
dimaksudkan dengan Muhammad di sini bukanlah "bentuk Muhammad" atau bentuk
badan jasmani Muhammad itu. Yang dimaksudkan dengan Muhammad itu ialah
Hakikat Muhammad (Al-Haqiqatul Muhammadiyyah) iaitu Prinsip aktif dalam
semua ilmu Ketuhanan dan Kebatinan. Muhammad itulah Akal Awal. Prinsip
Rasional Semesta atau Ilmu Ketuhanan Yang Semesta yang terzahir sepenuhnya
dalam golongan manusia yang digelar Insan Kamil (manusia sempurna). Muhammad
itulah Qutub iaitu Ketua para Anbiya' dan Aulia' dari segi keruhaniannya.
Hanya Muhammad (iaitu Hakikat atau Roh Muhammadiyyah) itu saja yang boleh
digelar Abdullah. Menurut Ibnul Arabi, nama Allah itu adalah Nama yang
merangkumi semua nama-nama Allah. Orang-orang Sempurna yang lain digelar
Abdul Malik, Abdul Rab dan sebagainya, iaitu mereka ini dianggap sebagai
orang bawahan atau penzahiran Abdullah, ketua hirarki itu.

(c) Perhubungan Antara Hakikat Muhammad Dengan Para Anbiya' Dan Aulia'

Setiap Nabi itu adalah Logo (kalimah) Tuhan tetapi bukan Logo Yang Agung
itu. Logo (kalimah) yang Agung itu ialah Muhammad iaitu Ketua Agung hirarki
itu. Ibnul Arabi menggelar setiap sesuatu itu sebagai logo sekiranya ia
mengambil bahagian dalam prinsip Akal dan Hidup alam semesta raya itu. Ini
bererti bahawa segala sesuatu itu adalah kalimah Allah. Tetapi Anbiya' dan
Aulia' terpilih dengan jelasnya kerana mereka menzahirkan kegiatan dan
kesempurnaan Logo Agung dalam darjat yang sempurna. Perbezaan antara
Muhammad dengan paa Anbiya' dan Aulia' ialah seperti perbezaan antara
keseluruhan dan bahagian-bahagiannya. Logo Agung itu menyatukan padanya apa
yang ada pada mereka itu semua. Perbezaan antara Muhammad dengan Adam
adalah
seperti perbezaan antara aspek batin dan aspek zahir sesuatu perkara. Di
dunia ini Muhammad adalah aspek batin Adam (manusia). Di akhirat Adam akan
jadi aspek batin dan Muhammad aspek zahir (iaitu bentuk Muhammad = Adam =
Manusia Nasut : tetapi Hakikat Muhammad = Adam Hakiki = Lahut).

Sebab Nabi-nabi itu digelar Kalimah ialah kerana perhubungan makhluk dengan
Zat Semesta (Nafas Al-Rahman) itu dimisalkan seperti perhubungan kata-kata
dengan nafas manusia. Dan sebagaimana juga kata-kata itu menunjukkan atau
mensyaratkan kepada sesuatu yang melampaui dan di sebalik bentuk-bentuk dan
kata-kata itu, iaitu makna atau maksudnya, maka begitu jugalah bahawa
kalimat itu menunjukkan sesuatu di sebalik dan mengatasi bentuk-bentuknya,
iaitu hakikat terpendamnya (iaitu Hakikat Muhammad atau Hakikat bagi segala
hakikat atau Allah itu sendiri).

Kalimah itu semuanya berpadu dalam satu Prinsip sejagat yang bertindak
melalui semua maujud yang rasional (berakal) yang digelar sebagai Roh
Muhammad atau Hakikat Muhammad. Ianya adalah Prinsip aktif dalam semua wahyu
dan ilham. Melaluinya ilmu Ketuhanan dipancarkan kepada semua Nabi dan Wali,
bahkan kepada Muhammad (bentuk jasmani Muhammad) itu sendiri. Kepada Roh
Muhammad itu sahaja diberikan Jawami'ul kalim.

Ibnul Arabi berkata bahawa Jawami'ul kalim itu adalah (a) Zat Ketuhanan (b)
Alam Semesta (c) perhubungan antara keduanya. Roh Muhammadiyyah itu terzahir
pada Nabi Adam hingga kepaa Nabi-nabi dan Aulia' yang selepasnya. Semua Nabi
dan Wali mendapatkan ilmu atau hikmah mereka dari Roh Muhammadiyyah itu.
Setiap mereka itu memiliki hikmah menurut yang ditentukan oleh sesuatu Nama
Allah yang mempengaruhi setiap orang daripada mereka itu. Hanya Muhammad
sahaja di bawah pengaruh semua nama Tuhan atau nama "ALLAH" yang merangkumi
semua nama-nama yang lain.

Menurut Ibnul Arabi, meskipun Wali-wali itu memperolehi ilmunya dari seorang
Nabi misalnya Musa atau Isa, namun itu adalah melalui Roh atau Nur Muhammad
jua. Dari segi inilah Ibnul Arabi mengatakan bahawa keWalian itu menyerupai
keNabian iaitu dalam pengertian bahawa Aulia' dan Anbiya' itu meminum air
dalam pancuran ilmu (hikmah) yang sama.

Muhammad itu sajalah maujud yang unik, tersendiri dan tanpa tandingan dalam
wujud sejagat ini. Oleh itu, ia unik sendirinya (fardiyyah). Tidak ada yang
mengatasinya kecuali Zat Mutlak. Berkenaan dengan dia sebagai serupa dengan
Akal Awal atau Haqiqatul-Haqaiq, Ibnul Arabi menggelarnya al-Barzakh
(peringkat pengantara) antara Ketuhanan dan Alam, sambungan antara Yang Baqa
dengan yang sementara; Yang Wajib dengan yang mumkin; Hakikat atau Realiti
dan fenomenal, aktif dan pasif, dan sebagainya.

Dengan yang demikian, Hakikat atau Roh Muhammad itu adalah penzahiran
Ketuhanan dalam batin, pemancar semua ilmu Ketuhanan kepada mereka yang
memilikinya bahkan kepada Qutub bagi segala Qutub (iaitu Nabi Muhammad SAW)
itu sendiri.

Hakikat Muhammad itu adalah "penyebab" (cause) terzahirnya semua makhluk.


Ianya serupa dengan Roh dan kegiatan kreatif Tuhan (al-Haqqul Makhluqu
bihi). Ianya Prinsip yang menyelenggara dan memerintah Alam Raya ini ataupun
Prinsip yang memberi hidup dalam semua maujud. Hakikat atau Realiti dengan
fenomenal, aktif dan pasif, dengan sebagainya.

(d) Perhubungan Hakikat Muhammad Dengan Allah Dan Hirarki Anbiya' Dan Aulia'

Kedudukan Qutub (Hakikat Muhammad) sebagai Prinsip kosmos (Dasar Alam Raya)
ini dengan Allah dan susunan peringkat (hierarchy) Anbiya' dan Aulia'
dijelaskan oleh Ibnul Arabi, secara perlambangan (simbolik) seperti
demikian, meskipun maqam (stesen) mistik (iaitu manzilat tanzihil-tawhid)
mengandungi intuisi (ilham) tentang keesaan mutlak dan tanzih Ketuhanan
(transcendence of God), ilmu yang dibukakan dalam tindakan Nur (iaitu dalam
hati orang Sufi) diberi dalam bentuk sesuatu yang boleh dilihat dan
dikhayalkan. Ianya berbentuk "rumah" yang bertiang lima yang di atas rumah
itu ada tetap. Dinding rumah itu tidak ada pintu dan ini menyebabkan rumah
itu tidak boleh dimasuki. Di luar rumah itu ada satu tiang yang bersambung
dengan dinding luar.
Orang Sufi menyentuh dan mencium tiang ini sebagaimana orang Islam mencium
Batu Hitam (Hajar Aswad) pada Kaabah. Bukanlah dalam stesen mistik ini saja
tiang itu boleh disentuh dan dilihat dalam idea atau khayalan tetapi juga
dalam semua stesen mistik (maqam). Tiang ini bertindak sebagai pentafsir
(interpreter) ilmu pengetahuan yang dibukakan kepada orang Sufi dalam maqam
itu. Lidahnya petah berkata-kata. Si Sufi tidak dapat masuk ke dalam
sebahagian daripada "manazil" ini, oleh itu mereka hanya menerima ilmu
berkenaannya dari tiang yang di luar itu, dan mereka percaya dengan apa yang
disampaikan kerana orang Sufi ada bukti tentang kebenaran kata-kata itu
dalam kasyaf.

Oleh itu secara perlambangan Ibnul Arabi menjelaskan "manazil" (stesen


mistik) dan Prinsip yang bertindak melaluinya. Rumah itu keseluruhannya
melambangkan seluruh Realiti (Wujud Semesta Raya). Bahagian luarnya
melambangkan alam zahir dan bahagian dalamnya alam roh. Tiang luar tadi yang
menyambung luar rumah dengan dalam rumah ialah Hakikat Muhammad atau Roh
Muhammad, pentafsir yang petah berkata-kata dan bijaksana antara orang Sufi
dengan alam roh (iaitu antara Ketuhanan dan Kemanusiaan), tetapi Hakikat
Muhammad itu tidak berpisah dari Allah dan tidak berpisah dari alam.

You might also like